06 Julai 2011

ISU SOSIAL : PROGRAM PR1MA MENAMBAH BAIK KUALITI HIDUP RAKYAT


Pelaksanaan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) ialah satu lagi usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat memiliki rumah berikutan harga yang semakin melambung terutama di kawasan bandar besar di negara ini. Program itu mensasarkan golongan berpendapatan sederhana, terutama di bandar dan pinggir bandar, membabitkan isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan. Sehingga kini, sebanyak 20 tapak strategik di Lembah Klang, Selangor dan Negeri Sembilan dikenal pasti bagi pelaksanaan projek PR1MA itu, termasuk lapan yang dijangka bermula tahun ini dan tahun depan, membabitkan 42,000 unit rumah strata dan kediaman bertanah. Rumah atau tempat perlindungan adalah salah satu keperluan asas kehidupan selain makanan. Justeru, keprihatinan kerajaan dalam usaha berkenaan tentunya menepati matlamat gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan – untuk menyediakan kemudahan kepada semua golongan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Skim perumahan berkenaan dibuka kepada semua lapisan masyarakat di negara ini, sama ada yang bekerja dengan kerajaan, swasta atau bekerja sendiri, asalkan mereka berada dalam lingkungan isi rumah yang berpendapatan tidak melebihi RM6,000 sebulan. Harga seunit rumah ditetapkan antara RM150,000 hingga RM300,000 mengikut lokasi tetapi untuk projek fasa pertama di Precint 11, Putrajaya, harganya bermula daripada RM120,000. Apa yang menarik projek rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan sederhana ini ialah tawaran pinjaman sehingga 105 peratus oleh institusi kewangan terpilih dan tempoh bayaran balik sehingga 30 tahun selain pengecualian bayaran duti setem sebagai langkah mengurangkan bebanan pemohon. Selain itu pembeli juga boleh mengeluarkan simpanan akaun dua dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung sebahagian daripada bayaran balik pinjaman. Kita yakin ramai rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan kriteria yang layak membeli akan mengemukakan permohonan mereka bagi merebut peluang daripada skim terbaru kerajaan itu.

Pada masa ini terdapat jurang besar dalam pembinaan rumah kos sederhana di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru memandangkan pemaju lebih suka membina projek kos sederhana-tinggi dan tinggi bagi meraih keuntungan besar. Keadaan itu menyebabkan golongan berpendapatan sederhana berada dalam keadaan tersepit - tatkala mereka tidak mampu membeli rumah berharga mahal, mereka juga tidak layak membeli rumah kos rendah. Namun menerusi pelaksanaan PR1MA ini, semua golongan akan mendapat peluang memiliki rumah, yang melengkapkan lagi agenda kerajaan untuk menambah baik kualiti hidup rakyat Malaysia secara lebih menyeluruh. Kerajaan dijangka membentangkan satu akta di Parlimen Oktober depan untuk menubuhkan Perbadanan Program PR1MA bagi merancang dan menyelaras pembinaan projek itu di seluruh negara. Langkah itu juga akan menentukan pengagihan rumah kepada pemohon yang layak. Kita harap dengan adanya akta itu, pemilihan pembeli dibuat dengan sistematik, adil dan telus berdasarkan kriteria ditetapkan tanpa wujud campur tangan mana-mana pihak berkepentingan, selaras dengan pencapaian matlamat 1Malaysia.

SUMBER
BERITA HARIAN
6 JULAI 2011

05 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : KENAL PASTI SEKOLAH CEMERLANG


Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pelajaran dan agensi di bawahnya agar proaktif mengenal pasti mana-mana sekolah cemerlang di seluruh negara. Langkah tersebut bertujuan bagi membolehkan bantuan disalurkan supaya sekolah terlibat mampu menyediakan kemudahan pendidikan lebih berkualiti. Sekolah yang dipilih itu mestilah cemerlang namun masih belum layak diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) disebabkan terdapat kelemahan dalam bidang-bidang tertentu. Di bawah usaha ini, kita akan ambil langkah proaktif untuk tentukan kekurangan bidang yang dihadapi sekolah terlibat, umpamanya tiada konsep antarabangsa atau tiada jalinan kerjasama antarabangsa sekolah itu dengan sekolah luar negara lain atau tiada pertukaran pelajar. Jika sekolah terlibat mengalami kekurangan dalam bidang seperti itu, kita akan usahakan untuk bantu sekolah tersebut meningkatkan kualiti kemudahan pendidikan sekolah mereka. Usaha itu diharap mendorong warga pendidik khususnya guru besar dan pengetua untuk menentukan hala baru sekolah masing-masing sekali gus menepati keperluan kualiti pendidikan negara.

Kita harus mencabar keupayaan kita, setidak-tidaknya pengetua dan pimpinan sekolah ada sasaran baru untuk tentukan hala tuju sekolah yang kita pimpin sekarang ini sehingga ia boleh mencapai tahap pendidikan bertaraf dunia.  Selain itu, mengenai rancangan kementerian menjadikan mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya, perkara itu hanya akan dilaksanakan setelah keperluan tenaga guru mata pelajaran itu sudah mencukupi dan cukup terlatih. Mungkin tidak berapa lama lagi saya akan umumkan mengenai perkara ini kerana sekarang kementerian tidak cukup lagi untuk sampai ke tahap itu, nanti bila kita sudah ada guru bahasa Inggeris yang mencukupi dan sudah menguji dasar itu, barulah boleh kita laksanakan ia dengan baik. Berhubung pendidikan pra sekolah, beliau meminta kerjasama pihak swasta agar tampil membantu kerajaan menyediakan kemudahan sekolah di peringkat itu dengan kerajaan bersedia menampung pembiayaan modal sejumlah RM10,000 kepada mereka yang berminat.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
5 JULAI 2011

ISU SERANTAU : GPEC ASIA 2011 : BENTERAS JENAYAH MERENTASI SEMPADAN

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my


Perlumbaan dalam bidang pertahanan dan keselamatan tidak hanya membabitkan negara dan syarikat-syarikat pengeluar peralatan teknologi serta persenjataan tetapi juga antara pihak berkuasa dengan golongan penjenayah. Masing-masing berlumba bukan untuk menunjukkan kehebatan teknologi dan peralatan yang mereka ada kerana ia mudah diperolehi sama ada melalui pasaran terbuka dan secara haram. Tetapi ia sebenarnya lebih kepada persoalan ‘siapa yang lebih bijak’ memanipulasikan teknologi dan peralatan yang mereka gunakan untuk mencapai matlamat masing-masing. Ini kerana peperangan antara penjenayah dengan pihak berkuasa masa kini bukan lagi secara bersua muka tetapi lebih kepakaran mengatur strategi dengan menggunakan teknologi dan peralatan yang ada. Kebijaksanaan dalam mengatur strategi adalah penting bagi mengelakkan kehilangan sumber tenaga yang ada akibat kecacatan atau kematian yang sia-sia, di samping kemusnahan kepada peralatan dan teknologi yang dimiliki.

Lagipun, pihak berkuasa menyedari adalah tidak mudah untuk membina satu pasukan yang mempunyai kesungguhan yang tinggi, pengalaman dan kepakaran menggunakan teknologi dalam menggempur golongan penjenayah secara lebih berkesan. Justeru, Pameran dan Persidangan Kedua Ketua Polis dan Peralatan Khas Asia (GPEC) 2011 di Putrajaya baru-baru ini, menunjukkan kesungguhan pihak berkuasa bersama-sama syarikat pertahanan dan keselamatan untuk ‘berada selangkah di hadapan’ golongan penjenayah era masa kini. Malah, pihak berkuasa juga menyedari bahawa penjenayah masa kini bergerak secara lebih tersusun dan mempunyai rangkaian yang lebih luas sehingga ada ketikanya kegiatan jenayah mereka itu sukar dikesan. Pameran yang dianjurkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu adalah eksklusif bagi anggota pihak berkuasa yang menguruskan soal kelengkapan kepolisan, teknologi keselamatan dan perkhidmatan.

Ia juga mempamerkan inovasi dan teknologi bagi peralatan canggih dan latihan yang memberi tumpuan utama bagi meningkatkan keselamatan terhadap keganasan, jenayah dan ancaman lain berkaitan negara masing- masing. Malah, ada juga beberapa teknologi keselamatan dan pertahanan yang diberikan nafas baru agar ia selari dengan perkembangan semasa, turut dipamerkan. Antaranya adalah sistem C41, Penyelidikan Teknologi Maklumat (IT) Forensik, teknologi pemerhatian dan pemantauan, pengesanan dan penyiasatan narkotik, bahan letupan, senjata, kenderaan (untuk darat, laut dan udara) dan gajet keselamatan yang terkini. Selain itu, pameran tersebut turut mempamerkan modul latihan dan pendidikan dalam bidang keselamatan serta pertahanan yang terkini. Lebih menarik lagi, pameran kali kedua itu disertai oleh Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand, Vietnam dan Singapura.

Beberapa negara luar ASEAN seperti Rusia, Itali, United Kingdom, Denmark, Jerman, Amerika Syarikat (AS), Australia, India, Arab Saudi dan Sepanyol turut menyertai pameran itu. Dan kesungguhan itu juga diperlihatkan melalui penyertaan para menteri, ketua-ketua polis, pegawai kanan pihak berkuasa, juruteknik, jurulatih dan ahli Parlimen dari negara-negara peserta dalam forum yang diadakan. Penyertaan sedemikian membolehkan negara peserta berkongsi maklumat, data, risikan serta kepakaran dalam usaha memerangi jenayah dan aktiviti-aktivitinya yang kini mengancam komuniti dunia. Ini kerana rangkaian penjenayah masa kini telah merentasi sempadan negara dalam menjalankan kegiatan jenayah seperti pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, jenayah merentas negara, penyeludupan senjata serta dadah dan keganasan. Tidak mungkin sesebuah agensi boleh duduk dalam kelompoknya sendiri, justeru perlu bekerjasama menggunakan teknologi perkongsian maklumat dan melihat teknologi terkini untuk memastikan jenayah merentasi sempadan seperti penyeludupan manusia dan penggubalan wang haram dibanteras habis-habisan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
5 JULAI 2011

04 Julai 2011

ISU KENEGARAAN : MAJLIS PROFESOR NEGARA MENJADI PENASIHAT KEPADA DASAR KERAJAAN

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com

Dalam  banyak perkara, pandangan ahli akademik atau Profesor jarang sealiran dengan ahli politik. Ahli akademik yang hujahnya bersandarkan penyelidikan dan fakta, tidak digemari ahli politik yang lebih banyak bererotik. Di Malaysia yang suasana politiknya lebih mencabar terutama selepas 2008, ruang untuk ahli akademik bersuara juga menjadi semakin terhad. Banyak tindakan yang bersifat populis dan bertentangan dengan pendirian ahli akademik terpaksa diambil ahli politik semata-mata kerana kelangsungan kuasa. Kerana itu apabila kerajaan menubuhkan Majlis Profesor Negara (MPN) pada April 2010, ramai yang skeptikal mengenainya terutama dari sudut sejauh mana majlis ini mampu berperanan sebagai sebuah badan penasihat kepada kerajaan. Tidak pernah dalam sejarah negara sejak merdeka, ahli akademik diangkat martabatnya sebegitu tinggi. Jika ada sekali pun hubungan antara kerajaan dan ahli akademik sebelum ini, ia banyak berlaku atas platform individu, persatuan atau universiti.

Bukannya atas tiket sebagai sebuah majlis atau organisasi dengan struktur yang lengkap serta menyeluruh seperti MPN. Justeru agak menarik untuk melihat sejauh mana perkembangan MPN sejak ditubuhkan kira-kira setahun lalu atau lebih tepat pada April 2010. Pada hakikatnya, dalam usia yang setahun jagung, tidak banyak kejayaan atau output yang boleh dikongsi MPN ketika ini. Begitu pun, kata Timbalan Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin perkembangan MPN ketika ini boleh dilihat dari tiga tahap yang penting. Tahap pertama adalah dari sudut menstrukturkan majlis tersebut termasuk meyakinkan seramai lebih 1,700 profesor di seluruh negara bahawa mereka merupakan ahli automatik kepada majlis itu. Sebagai ahli akademik, langkah mempromosikan MPN sepatutnya mudah kerana ahli akademik sepatutnya sudah terbiasa dengan persekitaran pengurusan di universiti.

Namun, rupa-rupanya kata Shamsul Amri, menguruskan kumpulan ahli akademik yang bijak adalah satu tanggungjawab yang sukar. Ini kerana mereka merupakan kumpulan yang bebas pemikirannya serta tidak takut menyampaikan pandangan. Begitu pun inilah sebenarnya yang dituntut dalam persekitaran ilmu yang mana ahli akademik perlu bersedia mempertahankan pandangan dan hasil kajian mereka. Tahap kedua dalam perkembangan MPN ketika ini pula adalah mempromosikannya kepada umum. Ini merupakan satu peringkat yang penting kerana kewujudan MPN perlu disedari tidak hanya oleh sektor awam dan swasta, malah dalam kalangan komuniti. Perlu difahami walaupun tugas MPN adalah menasihat kerajaan, namun ia tidak dibuat dalam konteks kepakaran mereka semata-mata. Sebaliknya, berdasarkan apa yang berlaku di peringkat akar umbi atau khalayak masyarakat umumnya sebelum dipanjangkan kepada kerajaan. Tahap ketiga dan yang paling penting kata Shamsul Amri, ialah untuk membuktikan sejauh mana relevan MPN kepada kerajaan yang telah memberi kepercayaan. Dalam soal ini, kata beliau, antara pendekatan yang diambil MPN adalah dengan membuat penerangan polisi berkaitan isu-isu tertentu.

Inilah juga mengapa MPN dibahagikan kepada 14 kluster iaitu supaya penerangan polisi itu boleh dilakukan dengan lebih spesifik dan khusus. Sebagai contoh, kata beliau, sekiranya kerajaan berdepan dengan masalah berkaitan makanan, maka Kluster Pertanian Makanan akan menjadi rujukan. Kluster ini yang dibarisi oleh pakar dalam bidang itu akan mengenal pasti punca permasalahan, mencadangkan jalan penyelesaian seterusnya memastikan apakah langkah yang terbaik untuk masa depan. Sejak setahun penubuhannya, MPN sudah terlibat dalam soal penerangan polisi ini dalam hampir keseluruhan dasar dan agenda negara seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan banyak lagi. Malah, dalam isu kilang nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang juga beberapa Profesor MPN turut dirujuk oleh kerajaan. Bagi Shamsul Amri, dalam proses penerangan polisi ini, MPN memainkan dua peranan penting iaitu secara 'mengisi dan menilai'. Maksudnya, MPN mengisi polisi kerajaan itu dengan ilmu dan kepakaran mereka secara akademik dan menilai pula pelaksanaannya juga daripada ukuran yang sama.

Pada kita, apa yang dilihat tidak kena dalam pelaksanaan dasar kerajaan itu, maka kita akan menegur. Di sini orang ramai perlu faham bahawa kerajaan tidak sepanjang masa mengharapkan pujian. Tetapi jika mahu mengkritik pula, biarlah ia dibuat dengan beradab dan rasa hormat. Kena gaya serta bahasanya dan bukannya secara tidak bertanggungjawab. Begitu pun, kata Shamsul Amri, ada sesuatu yang lebih penting untuk dilihat daripada kewujudan MPN selepas setahun penubuhannya. Yang dimaksudkan beliau adalah ke mana hala tuju dan harapan masa depan MPN selepas ini? Adakah ia hanya akan menjadi sebagai sebuah persatuan, kesatuan atau benar-benar sebagai sebuah badan yang menghimpunkan ahli pemikir? Bagi beliau, sekiranya kerajaan mahu berterusan mendapatkan pandangan yang berkualiti daripada kalangan pemikir, maka MPN perlu diwujudkan dengan struktur tetap. Dalam erti kata lain, MPN perlu menjadi sebuah lagi entiti elit yang memberi pandangan ikhlas secara menjarakkan diri dengan kerajaan dan proses pemerintahan. Dalam perkembangan lain, bersempena setahun penubuhan MPN juga, satu program yang dikenali sebagai Kongres Profesor Negara akan diadakan selama tiga hari bermula pada 6 hingga 8 Julai ini.

Kongres di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu bakal menghimpunkan seramai lebih 1,000 orang Profesor, sekali gus menjadi satu perhimpunan terbesar ahli akademik yang pernah dianjurkan di negara ini. Selain Profesor, kongres itu juga jelas Setiausaha MPN, Prof. Dr. Raduan Che Rose, kongres itu juga dijangka disertai oleh kira-kira 400 penggiat dalam pelbagai sektor korporat. Antara pengisian penting kongres itu yang perlu diberi perhatian adalah ucaptama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Julai yang dijangka menyentuh mengenai transformasi negara. Ucaptama beliau itu kemudiannya akan dirumus oleh Profesor dari Sekolah Perniagaan Harvard, Prof. Dr. Michael E. Porter dengan Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin bertindak sebagai moderator. Ucaptama itu dijayakan dengan kerjasama Yayasan Wangsa Perdana. Agenda lain pada Kongres itu adalah Syarahan Perdana oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 6 Julai. Dr. Mahathir akan mengupas mengenai transformasi negara melangkaui 2020. Ini adalah sesuatu yang sangat istimewa dan penting kerana Dr. Mahathir tidak pernah menyentuh mengenai topik ini sebelum ini.

Ucaptama Najib serta Syarahan Perdana Dr. Mahathir itu juga akan menjadi input kepada sebuah resolusi yang akan diserahkan kepada kerajaan sebagai produk daripada kongres tersebut. Resolusi itu disumbangkan hasil daripada perbincangan tujuh buah kumpulan iaitu kluster-kluster yang digabungkan mengikut kepakaran dan disiplin ilmu masing-masing. Ia akhirnya akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari akhir kongres serentak dengan majlis perasmian penutup program tersebut. Tidak berakhir di situ, MPN kemudiannya akan melihat sejauh mana resolusi itu mampu membantu kerajaan dalam merangka polisi atau dasar kerajaan. Adalah satu kejayaan yang sangat membanggakan, kata Raduan, sekiranya keseluruhan atau sebahagian daripada resolusi itu berjaya dibawa sehingga ke peringkat pelaksanaan. Ini kerana, ia secara tidak langsung telah membuktikan bahawa objektif penubuhan MPN sebagai badan pemikir kepada kerajaan berjaya dicapai. Resolusi itu nanti akan menjadi pandangan yang sangat bernilai kepada kerajaan. Meskipun kerajaan mempunyai kerangka yang tersendiri dalam membentuk polisi atau dasar, namun pandangan ahli akademik yang berjumlah lebih 1,000 orang yang menyumbang kepada resolusi itu sudah semestinya mempunyai pengaruh dan kepentingan yang sangat berguna kepada kerajaan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 JULAI 2011

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : MALAYSIA MASUKI FASA KOMERSIAL S&T

Oleh Marhaini Kamaruddin

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menamatkan lawatan kerja selama empat hari ke Washington D.C. dari 27 hingga 30 Jun lalu yang dirumuskannya sebagai satu manifestasi tentang perhatian utama yang diberikan oleh kerajaan Malaysia terhadap bidang sains dan teknologi (S&T). Walaupun tumpuan banyak diberikan kepada kehadirannya ke Konvensyen Antarabangsa BIO 2011, beliau bangga kerana kemajuan dalam hubungan dua hala Amerika Syarikat (AS)-Malaysia dapat dicapai dalam beberapa siri pertemuan yang diatur sepanjang lawatannya kali ini. “Kita bukan saja dapat menekankan pentingnya hubungan dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, pertahanan dan keselamatan tetapi mustahaknya hubungan itu dipertingkatkan lagi,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika merumuskan hasil lawatan kerja itu sebelum berlepas pulang ke tanah air. Sidang media itu diadakan selepas acara memperkenalkan Bio-Malaysia 2011 dan Sidang Kemuncak Lingkaran Pasifik Mengenai Bioteknologi dan Biotenaga di Walter E. Convention Centre pada 30 Jun lalu. Kuala Lumpur (KL) akan menjadi tuan rumah bagi kedua-dua acara itu dari 21 hingga 23 November depan.

Menurut Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bioteknologi dan Biodiversiti, selepas meletakkan asas yang kukuh dalam pertumbuhan bioteknologi dari segi pembinaan kapasiti, Malaysia kini memasuki fasa kedua iaitu pengkomersialannya. “Saya diberitahu kita telah berhasil dan bioteknologi telah menyumbangkan 2.2 peratus kepada Keluaran Negara Kasar (GDP). Dalam tempoh lima tahun, kita jangka akan mencapai lima peratus. Ini peratusan yang besar,” katanya. Justeru pemilihan KL untuk mengacarakan sidang kemuncak itu yang juga dikenali sebagai Pac Rim buat pertama kalinya di luar AS, menunjukkan keyakinan anggota Pertubuhan Industri Bioteknologi (BIO) terhadap komitmen dan potensi Malaysia sebagai peneraju industri itu. Ia seiring dengan misi menjadikan negara pangkalan bioteknologi di rantau Asia Tenggara. “Ini satu perkembangan yang positif. Kita akan dapat memperluaskan jaringan kerjasama dengan syarikat AS dan dari negara lain kerana banyak perkara boleh dibincangkan untuk meningkatkan bidang ini di Malaysia,” katanya.

Majlis Perniagaan AS-ASEAN dalam pertemuan dengan Muhyiddin telah menyampaikan rasa puas hati dengan layanan Malaysia terhadap syarikat mereka yang berpangkalan di dalam negara sehinggakan: “Tidak ada satu komplen pun disampaikan.” Selain ahli perniagaan AS itu dan para pegawai kanan pentadbiran AS semasa bersarapan dengan Timbalan Perdana Menteri menunjukkan minat mereka terhadap program transformasi kerajaan (GTP) dan pelan transformasi ekonomi (ETP) yang sedang dilaksanakan Malaysia. “Mereka merasakan program ini boleh memberikan faedah dalam kerjasama Kuala Lumpur-Washington,” kata Muhyiddin. Dalam pertemuan dengan kumpulan pemikir pula, pelbagai pandangan dan pertanyaan dikemukakan tentang dasar luar Malaysia termasuk kerjasama peringkat ASEAN, pendirian Kuala Lumpur dalam soal konflik di Asia Barat, sidang kemuncak Asia Timur, perebutan wilayah di Laut China Selatan, proses demokrasi di Myanmar serta kerjasama ekonomi pelbagai hala seperti rundingan Perkongsian Trans Pasifik (TPP). “Mereka berpuas hati dengan penjelasan saya. Pertemuan seperti ni amat baik kerana mereka sudah mula memahami Malaysia, lebih daripada masa yang lepas.

“Mereka melihat pentingnya Malaysia sebagai sebuah negara yang boleh memberi sumbangan kepada Amerika dan dalam konteks antarabangsa,” katanya. Namun seperti yang dikatakan oleh Muhyiddin, ini adalah jaringan kerjasama dua hala! Kerjasama tidak membawa makna sekiranya hanya sebelah pihak menuai nikmatnya. Dalam pada negara mengalu-alukan kemasukan syarikat-syarikat asing, Malaysia juga mahu melihat syarikat-syarikat tempatan bertapak kukuh di bumi asing khususnya di AS yang merupakan antara kuasa ekonomi terbesar dunia. Sehingga kini, Malaysia mempunyai lebih 180 syarikat berasaskan bioteknologi dengan lima daripadanya telah disenaraikan di Bursa Malaysia, London dan Australia, walaupun industri itu baru berusia lima tahun. Pasarannya juga bukan untuk Malaysia sahaja sebaliknya 50 peratus pendapatan adalah daripada eksport barangan yang meliputi antaranya produk penjagaan kesihatan dan pertanian. Hubungan akrab Kuala Lumpur-Washington yang dicerminkan daripada pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Barack Obama tahun lalu, diikuti kunjungan Timbalan Perdana Menteri pada April lepas dan kali ini, membuka laluan seluas-luasnya untuk syarikat-syarikat Malaysia melebarkan sayap di sini. Inilah masanya untuk mereka merebut peluang itu tambahan pula, Duta Malaysia ke sini, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis yang mesra dipanggil ‘Ambassador JJ’ mempunyai jaringan hubungan yang baik dengan komuniti perniagaan mahupun pentadbiran AS. “Jika Malaysia boleh memperluaskan bidang bioteknologi halal, ia sudah pasti boleh menguntungkan negara kita,” ujar Muhyiddin.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 JULAI 2011

ISU SERANTAU : MENCABUT "DURI" KEBUNTUAN HUBUNGAN

Oleh THOMAS CHONG

Kemelut  hubungan Malaysia dan Singapura berhubung tanah kereta api di Tanjung Pagar berakhir dengan muktamadnya perjanjian pertukaran tanah antara kedua-dua negara. Pemeteraian perjanjian tersebut menyaksikan satu halangan besar dalam hubungan dua hala telah dialihkan. Ia seterusnya membuka jalan kepada kerjasama antara sayap pelaburan dua negara iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Temasek Holdings (Temasek) untuk membangunkan tanah di Johor dan Singapura. Berbanding kebuntuan yang dialami kedua-dua negara semasa era Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan rakan sejawatnya, Lee Kuan Yew ataupun Goh Chok Tong, perjanjian yang dimuktamadkan baru-baru ini membuktikan Malaysia dan Singapura masih ada ruang untuk meningkatkan hubungan. Malaysia dan Singapura menghormati antara satu sama lain sebagai sebuah negara yang berdaulat, tetapi masing-masing menyedari bahawa kekurangan sesuatu yang intim di sebalik hubungan diplomatik yang normal.

Keadaan ini didorong oleh pelbagai isu yang masih membelenggu hubungan dua hala kedua-dua negara di mana legasi sejarah terus menjadi batu halangan kepada hubungan yang mesra. Tidak dinafikan bahawa kemunculan dua pemimpin baru iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Lee Hsien Loong telah meniup nafas baru dalam hubungan Malaysia dengan Singapura. Seperti Presiden Suharto yang menghidupkan semula hubungan Malaysia-Indonesia pada akhir 1960-an, kemunculan Najib dan Hsien Loong turut mewujudkan satu suasana baru kepada hubungan Malaysia-Singapura. Ramai lagi masih mengingati Najib dan Hsien Loong hadir kenduri durian di Pulau Sentosa semasa lawatan ke Singapura pada tahun lalu. Durian mungkin merupakan buah yang paling sesuai untuk menggambarkan hubungan Malaysia-Singapura. Ini kerana hubungan dua negara ini sejak 1965 sememangnya penuh dengan duri.

Jika hubungan Malaysia-Singapura diibaratkan sebagai duri dalam daging, maka Najib dan Hsien Loong berjaya mencabut salah satu duri apabila isu berkenaan tanah kereta api di Tanjung Pagar berjaya diselesaikan. Sebelum itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) cuba mencabut duri berkenaan rebutan Pulau Batu Puteh. Namun duri itu belum tercabut sepenuhnya memandangkan pelbagai isu teknikal masih belum diselesaikan sepenuhnya oleh Malaysia dan Singapura. Ditambah lagi dengan duri-duri lain berhubung pembinaan jambatan, penggunaan ruang udara dan isu-isu rumit yang lain. Hubungan kedua-dua negara memang penuh dengan cabaran. Malaysia dan Singapura sebenarnya mempunyai asas hubungan ekonomi dan sosial yang agak baik di mana rakyat kedua-dua negara saling melawat antara satu sama lain pada hujung minggu. Interaksi rakyat juga dijangka terus meningkat dengan terbinanya sistem transit pantas (RTS) pada 2018 yang merentasi Selat Johor yang memisahkan kedua-dua negara.    

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 JULAI 2011                                                                                            

ISU PENDIDIKAN : SINDROM "BONCENGAN GRATIS" DALAM DUNIA AKADEMIK

Oleh PROF. DR. MUHAMMAD SYUKRI SALLEH

Pada 6 hingga 8 Julai ini, Majlis Profesor Negara buat pertama kalinya akan mengadakan Kongres bagi membincangkan kaedah mentransformasikan negara. Jika kesemua profesor di Malaysia hadir, jumlahnya adalah sekitar 1,600 orang. Sebagai intelegensia akademia yang pastinya mempunyai pemikiran yang besar-besar dalam bidang masing-masing, profesor-profesor tersebut dijangka akan membincangkan isu-isu menarik dengan analisis mendalam. Kalaulah di celah-celah pemikiran besar dan analisis yang mendalam itu dapat diselitkan perbincangan tentang masalah dalaman dunia akademik mereka sendiri dan kemudiannya sampai kepada cara penyelesaiannya, tentulah ia lebih bermakna lagi. Salah satu masalah yang jelas semakin berleluasa dalam dunia akademik di Malaysia sekarang tetapi tidak begitu menarik perhatian sebahagian besar orang akademik ialah masalah yang saya panggil boncengan gratis (free-riderism). Boncengan di sini bermaksud menumpang, manakala gratis bermaksud percuma.

Boncengan gratis oleh itu bermaksud menumpang dengan percuma. Secara lebih khusus, ia bermaksud menumpangkan nama dalam sesuatu hasil kerja akademik, terutamanya dalam penyelidikan dan penerbitan tanpa 'membayarnya' dengan apa-apa sumbangan yang sewajarnya. Misalnya seseorang akademik meletakkan namanya dalam satu hasil dokumentasi penyelidikan, atau dalam satu penulisan, atau dalam satu penerbitan, walau pun sebenarnya beliau tidak menyumbang apa-apa. Kalau pun mereka dikatakan menyumbang, sumbangannya itu hanyalah dalam bentuk routine performance, umpamanya dengan hanya sedikit sebanyak mengumpul data, atau hanya dengan memberi idea, atau hanya dengan menyunting, atau hanya dengan menguruskan pentadbiran, atau hanya dengan menguruskan hal-ehwal yang tidak melibatkan penulisan. Ringkasnya, mereka hanya menyumbang secara pasif dalam bentuk yang sememangnya telah menjadi tugas asas mereka, tetapi mereka tidak menyumbang dalam bentuk penulisan dokumentasi atau penerbitan tersebut.

Sumbangan sedemikian tidak cukup untuk melayakkan seseorang akademik meletakkan namanya dalam sesebuah hasil dokumentasi atau penerbitan akademik. Konvension kepengarangan menetapkan sekurang-kurangnya tujuh syarat bagi melayakkan seseorang itu meletakkan namanya dalam hasil dokumentasi atau penerbitan akademik tersebut. Pertama, kesemua mereka perlu terlibat secara aktif dalam menjana keaslian idea penulisan tersebut. Kedua, mereka perlu terlibat secara aktif dalam membina reka bentuk dan penulisannya. Ketiga, mereka perlu bertanggungjawab dalam pengamatan dan pengumpulan data. Keempat, mereka perlu memainkan peranan kepimpinan mengikut kapasiti masing-masing dalam pelaksanaan kajian yang dijadikan asas penulisan tersebut. Kelima, mereka perlu terlibat sepenuhnya dalam proses menulis dengan bukan sahaja menulis draf manuskrip tetapi juga mengulang kaji dan menyemak manuskrip tersebut. Keenam, mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas manuskrip akhir. Dan ketujuh, mereka perlu mampu mempertahankan penerbitan tersebut mengikut disiplin profesional masing-masing. Ketujuh-tujuh syarat ini walau bagaimanapun tidak semua dipenuhi oleh kesemua ahli akademik masa kini. Cuba lihat contoh-contoh yang benar-benar terjadi.

Pertama, seorang pelajar PhD mengadu kepada saya bahawa penyelia bersamanya tiba-tiba meminta beliau memasukkan nama penyelia bersama tersebut dalam kertas kerja yang akan dibentangkannya di satu persidangan di Langkawi. Pelajar tersebut terkejut besar kerana penyelia bersama itu sedikit pun tidak mengetahui sebelumnya tentang kertas kerja tersebut, apatah lagi menyumbang apa-apa, sedangkan penyelia utamanya walau pun banyak memberi idea dan membimbingnya, tidak pernah pula meminta beliau melakukan demikian. Apabila hal ini disuarakan, penyelia bersama itu memberi jawapan yang sangat mudah. Katanya, penyelia utamanya sudah menjadi profesor, sedangkan beliau sedang berusaha mengumpul poin untuk memohon jawatan profesor. Kedua, seorang yang berhasrat menjadi profesor menceritakan kepada saya bahawa beliau sedang merancang untuk memohon jawatan profesor apabila pelajar-pelajar siswazahnya menghasilkan beberapa penulisan lagi. Dengan gembira beliau menyatakan bahawa terdapat pelajarnya yang berkebolehan dan prolifik dalam penulisan. Dalam jangka masa terdekat, beliau yakin beliau sudah cukup bahan tulisannya untuk memohon jawatan profesor tersebut. Saya kehairanan kenapa pelajarnya yang berkebolehan dan prolifik, tetapi tanpa segan silu beliau pula yang merasakan layak memohon jawatan profesor.

Jawapannya senang. Dalam penulisan pelajar-pelajarnya itu, beliau akan menaruhkan namanya sekali dan mendapat kredit sewajarnya. Ketiga, seorang teman mengadu kepada saya bahawa kawannya yang sama-sama membuat penyelidikan dan kemudian sama-sama menulis sebuah artikel akademik, tiba-tiba meletakkan nama suaminya sebagai salah seorang daripada penulis artikel tersebut. Bila ditanya kenapa, kawan itu berterus terang mengatakan untuk menolong suaminya agar sama-sama mengumpul kelayakan untuk kenaikan pangkat. Teman saya itu akhirnya memberi dua pilihan, sama ada tidak memasukkan nama suaminya, atau memasukkan nama suaminya tetapi membuang namanya. Saya kurang pasti pilihan mana yang dipilih. Yang jelas kemudiannya, hubungan peribadi antara mereka sudah terjejas. Keempat, seorang pensyarah muda yang baru menyelesaikan PhD bertanya kepada saya dalam satu bengkel penulisan, apakah betul bahawa hak cipta tesisnya adalah hak cipta penyelianya. Pensyarah muda tersebut menceritakan bahawa penyelianyalah yang mengatakan demikian. Penyelia tersebut memberi peringatan agar mendapatkan kebenarannya terlebih dahulu apabila mahu menulis berkaitan tesis tersebut . Kemudian, dalam apa jua penulisan yang dihasilkan pensyarah muda ini, nama penyelia tersebut mestilah dicatatkan.

Kelima, para pensyarah sebuah universiti yang agak baru, dalam satu wacana penulisan menyifatkan saya sebagai mempunyai pendirian yang berbeza kerana tidak bersetuju dengan boncengan gratis, sedangkan ramai ahli akademik yang datang ke universiti tersebut menasihatkan mereka menggunakan bahan dan penulisan pelajar sebaik mungkin untuk meletakkan nama mereka bersama. Mereka cukup gusar dengan pendirian saya, sehingga memohon pendapat sama ada berdosa atau tidak jika melakukan sebagaimana saranan ahli-ahli akademik lain itu. Salah seorang daripada mereka cukup sayang dan terhutang budi kepada bekas penyelia PhDnya, hingga beliau merasakan dalam apa jua tulisannya, beliau harus meletakkan nama penyelianya bersama, walau pun tidak semestinya diketahui oleh penyelia tersebut. Keenam, pernah dalam satu persidangan antarabangsa yang kami anjurkan tahun lepas, seorang pensyarah agak gelabah kerana teman-temannya tidak datang sedangkan nama mereka tercatat sebagai ahli kumpulan yang menulis kertas kerja bersamanya. Kumpulan dengan ahli-ahlinya yang sama ini telah cuba membentangkan tiga kertas kerja, dengan hanya menukarkan nama penulis pertama sahaja.

Pensyarah tersebut gelabah kerana beliau hanya mengetahui tentang kertas kerja yang beliau menjadi penulis pertama sahaja, sedangkan kertas kerja kedua dan ketiga tidak begitu diketahuinya walau pun namanya diletakkan sebagai penulis dalam kedua-dua kertas kerja tersebut. Puncanya kerana yang benar-benar menulis kertas kerja tersebut ialah penulis pertamanya sahaja, sedangkan ahli-ahli yang lain hanyalah menumpangkan namanya, hanya kerana mereka adalah ahli-ahli kumpulan penyelidikan yang sama. Contoh-contoh boncengan gratis ini merupakan refleksi akan betapa sudah mula tidak beretikanya sesetengah orang akademik di Malaysia sekarang. Masalah etika sedemikian juga berlaku dalam persidangan-persidangan. Misalnya, dalam satu persidangan di Australia beberapa tahun yang lepas, ada seorang pensyarah Malaysia yang membentangkan kertaskerja pada hari pertama, manakala penulis bersamanya belum tiba lagi dari Malaysia. Namun begitu, walaupun penulis bersama ini tiba keesokannya, beliau tidak hadir ke persidangan tersebut.

Sepanjang persidangan itu berlangsung hingga ke hari akhirnya, beliau sememangnya tidak hadir langsung. Saya mendapat tahu dari teman-temannya bahawa ketika Persidangan berehat selama satu hari, beliau bersama teman-temannya berjalan-jalan melihat Australia. Beginilah antara senario integriti sesetengah orang akademik di Malaysia sekarang. Sebahagiannya tidak mustahil telah pun menjadi profesor. Bolehkah mereka mentransformasikan negara?

Penulis ialah Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 JULAI 2011

03 Julai 2011

ISU EKONOMI : ANGKA DAN KEHIDUPAN


Ketika mengemukakan cadangan mengurang dan memansuhkan subsidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mengemukakan banyak angka. Angka-angka ini diberikan untuk memudahkan orang ramai faham dan membuat perbandingan.  Dengan melihat angka orang ramai dapat mengetahui implikasi subsidi kepada negara. Paling penting, orang ramai diberi peluang untuk membuat komen berpandukan kepada fakta yang diberikan menerusi angka, bukan emosi. Angka tidak ada emosi, tetapi dalam hal tertentu ia mungkin boleh dimanipulasi. Namun, dalam soal subsidi, angka sukar dimanipulasi sewenang-wenangnya kerana ia boleh dikira. Semua angka ini adalah diaudit. Angka boleh memberi gambaran sebenar mengenai sesuatu keadaan. Tanpa angka, ia menyebabkan berlaku kekaburan. Bagaimana seseorang boleh membandingkan kedudukan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau pertumbuhan ekonomi negara ini dengan negara lain tanpa angka.

Tidak ada sesiapa yang boleh membayangkan sesuatu keadaan dengan hanya mengatakan secara umum bahawa ekonomi negara adalah lebih kukuh daripada sesebuah negara lain tanpa mengemukakan sebarang angka. Kenyataan seperti ini memerlukan angka yang boleh dikira bagi menunjukkan perbandingan.  Tanpa angka, ia ibarat mengatakan besar atau kecil, tinggi atau rendah, berat atau ringan sesuatu benda tanpa menyatakan ukuran saiznya atau mahal atau murah sesuatu barang tanpa menyebut harganya serta tebal atau nipis sesebuah buku tanpa menyebut jumlah muka suratnya.  Usaha yang dilakukan Idris sangat dialu-alukan kerana ia memberi pemahaman yang jelas terhadap kedudukan subsidi. Menerusi angka-angka yang membabitkan jangkaan kenaikan harga, rebat dan diskaun serta penjimatan yang boleh diperoleh dalam rancangan rasionalisasi subsidi yang dibentangkan Idris kelmarin, memberi peluang kepada orang ramai membuat perbandingan, di samping menilai buruk dan baiknya amalan subsidi yang diamalkan sejak sekian lama di negara ini.

Berapakah keseluruhan subsidi yang sudah diberikan sejak ia diperkenalkan? Tanpa angka, tidak ada sesiapa yang boleh meneka dengan tepat. Dasar pemberian subsidi mungkin sesuai ketika itu dan sudah dianggap lapok hari ini. Hari ini, beberapa barang dan perkhidmatan ditampung oleh subsidi. Orang yang kaya dan mampu juga menikmati subsidi, sama seperti orang miskin. Ini adalah elemen ketidakadilan dalam pemberian subsidi. Subsidi boleh membantu mengurangkan harga sesuatu barang atau perkhidmatan kerana ia menggunakan mekanisme yang mana lebihan harga ditampung oleh kos subsidi. Subsidi adalah wang rakyat. Logik akal, apa gunanya subsidi jika ia datangnya daripada wang rakyat. Dalam cadangan rasionalisasi subsidi ini ada cara lain yang boleh mengurangkan tekanan rakyat sekali pun subsidi dimansuhkan. Angka yang disediakan oleh Idris amat meyakinkan menerusi rebat tunai atau diskaun yang akan diberikan kepada rakyat nanti.

Hakikatnya, angka amat penting dalam kehidupan manusia. Itulah sebabnya kerajaan menjadikan matematik sebagai subjek utama di sekolah. Ramai yang boleh membaca, tetapi tidak ramai yang gemar kepada angka. Mereka yang tidak gemar kepada angka biasanya golongan yang gagal matematik. Mereka tidak berminat menjadi akauntan yang sentiasa bergelumang dengan angka. Angka menjadi ukuran kepada apa saja yang berlaku dalam dunia ini. Seorang pelajar akan berusaha sedaya upaya untuk mendapat kedudukan nombor satu dalam peperiksaan atau mendapat A1 bagi semua mata pelajaran yang didudukinya. Mereka akan malu jika menduduki ujian daripada tempat ke 20 hingga 40 kerana dianggap lemah. Adalah sukar diketahui jarak sesuatu perjalanan tanpa menyebut jumlah angka dalam kiraan kilometer atau angka jumlah jam perjalanan atau angka kelajuan meter kenderaan. Usia seseorang juga adalah angka bermula daripada tarikh lahir, tarikh berkahwin sehinggalah kepada usia matinya.

Itulah sebabkan ketika menziarahi jenazah, ramai yang bertanya usia sebenar orang yang meninggal dunia itu. Seseorang juga dibezakan dengan angka yang dicatatkan dalam kad pengenalan diri masing-masing. Mahal atau murah sesuatu barang atau nilai sesuatu harta ditentukan dengan perbandingan angka. Kaya atau miskin seseorang turut ditentukan oleh angka. Siapa orang paling kaya di Malaysia atau di dunia ditentukan oleh angka harta dan wangnya. Seseorang akan berbelanja mengikut jumlah pendapatan bulanannya berasaskan kepada angka gaji yang diperolehnya. Lebih banyak, lebih bagus. Sesuatu keputusan pilihan raya juga ditentukan oleh angka. Dalam sistem demokrasi, calon atau parti yang menang akan mendapat undi lebih banyak daripada pencabarnya. Calon dan parti yang bertanding terpaksa bekerja kuat dan mencari pengaruh untuk mengejar angka.

Pada masa ini, rakyat seluruh dunia teruja dengan kehadiran kejohanan bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan. Kemenangan kejohanan ini akan ditentukan oleh angka, iaitu menerusi bilangan gol. Setiap pemain berhempas pulas untuk mendapatkan angka kemenangan.  Bagi penganalisis, mereka bukan saja melihat angka gol tetapi juga angka tendangan penalti, tendangan sudut, tendangan yang gagal menghasilkan gol dan sebagainya. Mereka akan membuat kiraan setiap perkara yang berlaku seperti mereka mengira berapa banyak tumbukan yang tepat ke muka Mike Tyson ketika bertinju dan sebagainya. Bagi peniaga di Afrika Selatan, mereka menunggu jumlah angka keuntungan yang boleh mereka peroleh sepanjang kejohanan. Bagi pengusaha stadium, mereka mengharapkan angka kutipan tiket yang besar.

SUMBER
BERITA HARIAN
3 JULAI 2011

ISU SOSIAL : MUDAHNYA BURUH ASING BERTAPAK DI MALAYSIA

Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my


Shahul (bukan nama sebenar) ialah pemuda Bangladesh yang sejak bertahun lalu sering ke pejabat rakan penulis untuk membaiki lampu rosak atau terbakar.  Dia yang berusia lingkungan 30-an bekerja dengan syarikat peralatan elektrik, tetapi kakitangan pejabat rakan menelefonnya, bukan syarikat itu. Dia pasti datang lewat sehari dengan pelbagai alasan.  Shahul hanya tahu menukar dan memasang lampu yang baru dan jika ada masalah seperti lampu tidak menyala walaupun diganti baru, dia akan memberi pelbagai alasan tidak logik seperti pejabat itu tiada elektrik. Penulis bukan hendak menceritakan kisah Shahul, tetapi kebanjiran buruh asing, termasuk yang tiada kemahiran. Hari ini, sebaik keluar dari pintu rumah untuk bekerja hingga pulang, hidup kita diselubungi pekerja asing. Pergi ke kedai runcit, juruwangnya juga warga asing. Pergi mencuci kereta, wajah buruh asing turut menerpa kita.

Pernah pada majlis makan malam di sebuah hotel Port Dickson, penulis bertanyakan sesuatu kepada pelayan yang wajahnya seperti Melayu, tetapi dia minta maaf kerana tidak boleh berbahasa Melayu. Apabila ditanya, pelayan itu memberitahu dia dari Filipina. Di sebelah pejabat penulis di Kemayan Square pula ada projek terbengkalai yang semakin hari semakin ramai didatangi buruh Indonesia. Berdasarkan pemerhatian, ada beberapa isu berkaitan kehadiran pekerja asing yang tiada kemahiran. Bagaimana pula dengan kehadiran warga asing yang tiada pekerjaan, sedangkan kedatangan mereka mesti berdasarkan keperluan di negara ini. Ketika sebuah kereta terjunam ke longkang besar di Seremban dua tahun lalu, penulis berbual dengan saksi berasal dari Indonesia.  “Kamu buat apa di sini,” tanya penulis. Kata pemuda itu, dia mahu mencari pekerjaan. Timbul tanda tanya bagaimana dia boleh ke negara ini untuk mencari pekerjaan semudah itu.

Adakah kemasukannya atas tiket pelancong atau melalui pintu haram. Kehadiran warga asing, terutama secara haram perlu dipandang serius. Kehadiran mereka di sesuatu tempat seperti taman perumahan hingga mewujudkan koloni menimbulkan masalah.  Tanyalah penduduk di Taman Semarak, Nilai atau sekitar Senawang dekat Seremban. Melayan kerenah pekerja asing memang menyakitkan hati. Mereka membuang sampah sesuka hati, bising, bergaduh, minum arak dan pergaulan bebas. Inilah sifat manusia apabila berada dalam kelompok besar. Pergaduhan antara pekerja warga Vietnam dan Bangladesh di Nilai baru-baru ini, tidak begitu mengejutkan.  Pada 1990-an ratusan pekerja Indonesia di Nilai merusuh selepas polis menahan rakan mereka dipercayai memiliki dadah.  Justeru, pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, minggu lalu, mengenai penghantaran pulang pekerja haram antara strategi yang dialu-alukan untuk mengurangkan mereka.

Majikan harus menghantar mereka pulang, malah pekerja secara sukarela perlu pulang kerana tidak dikenakan tindakan undang-undang. Tidak seperti dakwaan sesetengah negara dan disokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pekerja asing dilayan buruk di negara ini, kerajaan bertimbang rasa dengan melancarkan program ini. Cuma selepas tamat, tindakan tegas perlu diambil. Kehadiran pekerja asing sepatutnya dengan jaminan majikan, iaitu selepas mereka mempunyai pekerjaan. Majikan sektor perkilangan juga perlu memastikan pekerja diberi asrama. Amalan menyewa di taman perumahan atau flat perlu dihentikan kerana menimbulkan konflik dengan penduduk. Pekerja juga perlu berkemahiran kerana amat menyedihkan apabila majikan mendakwa pekerja tempatan tidak berminat dengan pekerjaan tertentu, tetapi realitinya dakwaan itu tidak benar. Ada lulusan institusi kemahiran mempunyai kemahiran yang dapat melakukan kerja Shahul, tetapi majikan lebih rela mengambil pekerja asing yang boleh dibayar gaji lebih rendah walaupun perkhidmatannya tidak memuaskan. Jangan sampai kera di hutan disusukan, anak di rumah menangis kelaparan.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian Negeri Sembilan

SUMBER
BERITA HARIAN
01 JULAI 2011

ISU PENDIDIKAN : CIKGU AMERIKA DAYA PENARIK UTAMA PELAJAR BELAJAR BAHASA INGGERIS


Walaupun dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, ia tidak bermakna kerajaan mengetepikan usaha mengukuhkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar. Pada masa sama, kerajaan juga terus memperkasa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini. Kedua-duanya dilakukan seiring menerusi dasar baru yang diwujudkan iaitu Memperkasa Bahasa Melayu Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Tidak dapat dinafikan, menguasai lebih satu bahasa, terutama bahasa Inggeris mampu meningkatkan keterampilan dan daya saing pada peringkat antarabangsa. Ini kerana bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu yang dipertuturkan hampir di seluruh dunia dalam pelbagai forum antarabangsa. Kebanyakan bahan bacaan, rujukan serta sumber ilmu sains dan teknologi adalah dalam bahasa Inggeris. Mempelajari dan seterusnya menguasai bahasa Inggeris wajar dimulakan pada peringkat awal terutama sejak di sekolah rendah.

Justeru, langkah kerajaan mengambil seramai 300 tenaga pengajar lepasan ijazah dari Amerika Syarikat untuk mengajar bahasa itu di sekolah pastinya dapat membantu guru meningkatkan kemahiran pelajar menguasai bahasa itu. Langkah itu dilihat mampu meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris dengan berkesan kerana mereka diajar sendiri oleh guru penutur asal bahasa berkenaan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu di Washington, kelmarin menjelaskan program yang dinamakan Fulbright itu akan dimulakan tahun depan. Keputusan itu adalah kesinambungan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton, di New York dan di Kuala Lumpur sebelum ini. Kita percaya kerjasama itu memberi banyak manfaat kepada pelajar dalam jangka panjang dan pada masa sama ia mengeratkan hubungan dua hala kedua-dua negara. Apapun, usaha itu tidak bermakna kita menafikan keupayaan bahasa kebangsaan.

Kita mempelajari bahasa Inggeris untuk mendalami ilmu daripada bahasa sumber itu sendiri. Tidak timbul soal pelajar kita akan terpengaruh dengan budaya, adat resam atau cara hidup yang diamalkan Barat apabila guru Amerika mengajar bahasa Inggeris di sini. Bagaimanapun, Kementerian Pelajaran harus memantau guru bahasa Inggeris itu agar program Fulbright mencapai matlamat seperti yang diharapkan. Adalah lebih baik tenaga pengajar asing itu diberikan pendedahan sewajarnya agar mereka memahami budaya rakyat tempatan sebelum memulakan tugas di sini.  Kita tidak mahu mereka turut menerapkan budaya negatif kepada pelajar disebabkan tiada penjelasan mengenai perbezaan budaya dan amalan masyarakat di sini. Kita yakin tenaga pengajar AS ini dapat menjadi daya penarik baru kepada pelajar di negara ini meningkatkan usaha mereka mempelajari bahasa Inggeris. Kita percaya tenaga pengajar ini dapat menggunakan pendekatan lebih menarik serta menyeronokkan dan aktiviti mereka tidak hanya terbatas di dalam kelas semata-mata. Sebagai penutur asal, tenaga pengajar ini juga dapat berkongsi ilmu dengan guru bahasa Inggeris tempatan. Dengan program pengajaran yang terancang dan berkesan, kita yakin penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dapat dipertingkatkan dengan lebih berkesan. 

SUMBER
BERITA HARIAN
01 JULAI 2011

ISU PENDIDIKAN : LARIAN SERENTAK 1 MURID 1 SUKAN


TAIPING 2 Julai - Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang berlangsung di seluruh negara berjaya mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai larian terbesar yang disertai oleh 4,137,126 pelajar daripada 9,980 buah sekolah. Larian yang diadakan sempena pelaksanaan dasar 1Murid 1Sukan di Padang Dataran Perbandaran Taiping itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin sewaktu berucap pada majlis tersebut menegaskan, sukan merupakan satu platform pembentukan sahsiah pelajar dan memupuk integrasi sosial seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara. Beliau amat berharap acara ini akan menjadi pemangkin ke arah pembudayaan sukan di kalangan semua murid di setiap sekolah di seluruh negara. Sehubungan itu, bagi menjayakan matlamat dasar 1Murid 1Sukan, kesedaran serta komitmen yang jitu haruslah ditunjukkan oleh kepimpinan sekolah untuk merealisasikan aspirasi ini dalam masa terdekat. Dasar 1Murid 1Sukan yang diumumkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran pada Mac 2011 antara lain bertujuan melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 JULAI 2011