Oleh THOMAS CHONG
Kemelut hubungan Malaysia dan Singapura berhubung tanah kereta api di Tanjung Pagar berakhir dengan muktamadnya perjanjian pertukaran tanah antara kedua-dua negara. Pemeteraian perjanjian tersebut menyaksikan satu halangan besar dalam hubungan dua hala telah dialihkan. Ia seterusnya membuka jalan kepada kerjasama antara sayap pelaburan dua negara iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Temasek Holdings (Temasek) untuk membangunkan tanah di Johor dan Singapura. Berbanding kebuntuan yang dialami kedua-dua negara semasa era Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan rakan sejawatnya, Lee Kuan Yew ataupun Goh Chok Tong, perjanjian yang dimuktamadkan baru-baru ini membuktikan Malaysia dan Singapura masih ada ruang untuk meningkatkan hubungan. Malaysia dan Singapura menghormati antara satu sama lain sebagai sebuah negara yang berdaulat, tetapi masing-masing menyedari bahawa kekurangan sesuatu yang intim di sebalik hubungan diplomatik yang normal.
Keadaan ini didorong oleh pelbagai isu yang masih membelenggu hubungan dua hala kedua-dua negara di mana legasi sejarah terus menjadi batu halangan kepada hubungan yang mesra. Tidak dinafikan bahawa kemunculan dua pemimpin baru iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Lee Hsien Loong telah meniup nafas baru dalam hubungan Malaysia dengan Singapura. Seperti Presiden Suharto yang menghidupkan semula hubungan Malaysia-Indonesia pada akhir 1960-an, kemunculan Najib dan Hsien Loong turut mewujudkan satu suasana baru kepada hubungan Malaysia-Singapura. Ramai lagi masih mengingati Najib dan Hsien Loong hadir kenduri durian di Pulau Sentosa semasa lawatan ke Singapura pada tahun lalu. Durian mungkin merupakan buah yang paling sesuai untuk menggambarkan hubungan Malaysia-Singapura. Ini kerana hubungan dua negara ini sejak 1965 sememangnya penuh dengan duri.
Jika hubungan Malaysia-Singapura diibaratkan sebagai duri dalam daging, maka Najib dan Hsien Loong berjaya mencabut salah satu duri apabila isu berkenaan tanah kereta api di Tanjung Pagar berjaya diselesaikan. Sebelum itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) cuba mencabut duri berkenaan rebutan Pulau Batu Puteh. Namun duri itu belum tercabut sepenuhnya memandangkan pelbagai isu teknikal masih belum diselesaikan sepenuhnya oleh Malaysia dan Singapura. Ditambah lagi dengan duri-duri lain berhubung pembinaan jambatan, penggunaan ruang udara dan isu-isu rumit yang lain. Hubungan kedua-dua negara memang penuh dengan cabaran. Malaysia dan Singapura sebenarnya mempunyai asas hubungan ekonomi dan sosial yang agak baik di mana rakyat kedua-dua negara saling melawat antara satu sama lain pada hujung minggu. Interaksi rakyat juga dijangka terus meningkat dengan terbinanya sistem transit pantas (RTS) pada 2018 yang merentasi Selat Johor yang memisahkan kedua-dua negara.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan