Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com
Dalam banyak perkara, pandangan ahli akademik atau Profesor jarang sealiran dengan ahli politik. Ahli akademik yang hujahnya bersandarkan penyelidikan dan fakta, tidak digemari ahli politik yang lebih banyak bererotik. Di Malaysia yang suasana politiknya lebih mencabar terutama selepas 2008, ruang untuk ahli akademik bersuara juga menjadi semakin terhad. Banyak tindakan yang bersifat populis dan bertentangan dengan pendirian ahli akademik terpaksa diambil ahli politik semata-mata kerana kelangsungan kuasa. Kerana itu apabila kerajaan menubuhkan Majlis Profesor Negara (MPN) pada April 2010, ramai yang skeptikal mengenainya terutama dari sudut sejauh mana majlis ini mampu berperanan sebagai sebuah badan penasihat kepada kerajaan. Tidak pernah dalam sejarah negara sejak merdeka, ahli akademik diangkat martabatnya sebegitu tinggi. Jika ada sekali pun hubungan antara kerajaan dan ahli akademik sebelum ini, ia banyak berlaku atas platform individu, persatuan atau universiti.
Bukannya atas tiket sebagai sebuah majlis atau organisasi dengan struktur yang lengkap serta menyeluruh seperti MPN. Justeru agak menarik untuk melihat sejauh mana perkembangan MPN sejak ditubuhkan kira-kira setahun lalu atau lebih tepat pada April 2010. Pada hakikatnya, dalam usia yang setahun jagung, tidak banyak kejayaan atau output yang boleh dikongsi MPN ketika ini. Begitu pun, kata Timbalan Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin perkembangan MPN ketika ini boleh dilihat dari tiga tahap yang penting. Tahap pertama adalah dari sudut menstrukturkan majlis tersebut termasuk meyakinkan seramai lebih 1,700 profesor di seluruh negara bahawa mereka merupakan ahli automatik kepada majlis itu. Sebagai ahli akademik, langkah mempromosikan MPN sepatutnya mudah kerana ahli akademik sepatutnya sudah terbiasa dengan persekitaran pengurusan di universiti.
Namun, rupa-rupanya kata Shamsul Amri, menguruskan kumpulan ahli akademik yang bijak adalah satu tanggungjawab yang sukar. Ini kerana mereka merupakan kumpulan yang bebas pemikirannya serta tidak takut menyampaikan pandangan. Begitu pun inilah sebenarnya yang dituntut dalam persekitaran ilmu yang mana ahli akademik perlu bersedia mempertahankan pandangan dan hasil kajian mereka. Tahap kedua dalam perkembangan MPN ketika ini pula adalah mempromosikannya kepada umum. Ini merupakan satu peringkat yang penting kerana kewujudan MPN perlu disedari tidak hanya oleh sektor awam dan swasta, malah dalam kalangan komuniti. Perlu difahami walaupun tugas MPN adalah menasihat kerajaan, namun ia tidak dibuat dalam konteks kepakaran mereka semata-mata. Sebaliknya, berdasarkan apa yang berlaku di peringkat akar umbi atau khalayak masyarakat umumnya sebelum dipanjangkan kepada kerajaan. Tahap ketiga dan yang paling penting kata Shamsul Amri, ialah untuk membuktikan sejauh mana relevan MPN kepada kerajaan yang telah memberi kepercayaan. Dalam soal ini, kata beliau, antara pendekatan yang diambil MPN adalah dengan membuat penerangan polisi berkaitan isu-isu tertentu.
Inilah juga mengapa MPN dibahagikan kepada 14 kluster iaitu supaya penerangan polisi itu boleh dilakukan dengan lebih spesifik dan khusus. Sebagai contoh, kata beliau, sekiranya kerajaan berdepan dengan masalah berkaitan makanan, maka Kluster Pertanian Makanan akan menjadi rujukan. Kluster ini yang dibarisi oleh pakar dalam bidang itu akan mengenal pasti punca permasalahan, mencadangkan jalan penyelesaian seterusnya memastikan apakah langkah yang terbaik untuk masa depan. Sejak setahun penubuhannya, MPN sudah terlibat dalam soal penerangan polisi ini dalam hampir keseluruhan dasar dan agenda negara seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan banyak lagi. Malah, dalam isu kilang nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang juga beberapa Profesor MPN turut dirujuk oleh kerajaan. Bagi Shamsul Amri, dalam proses penerangan polisi ini, MPN memainkan dua peranan penting iaitu secara 'mengisi dan menilai'. Maksudnya, MPN mengisi polisi kerajaan itu dengan ilmu dan kepakaran mereka secara akademik dan menilai pula pelaksanaannya juga daripada ukuran yang sama.
Pada kita, apa yang dilihat tidak kena dalam pelaksanaan dasar kerajaan itu, maka kita akan menegur. Di sini orang ramai perlu faham bahawa kerajaan tidak sepanjang masa mengharapkan pujian. Tetapi jika mahu mengkritik pula, biarlah ia dibuat dengan beradab dan rasa hormat. Kena gaya serta bahasanya dan bukannya secara tidak bertanggungjawab. Begitu pun, kata Shamsul Amri, ada sesuatu yang lebih penting untuk dilihat daripada kewujudan MPN selepas setahun penubuhannya. Yang dimaksudkan beliau adalah ke mana hala tuju dan harapan masa depan MPN selepas ini? Adakah ia hanya akan menjadi sebagai sebuah persatuan, kesatuan atau benar-benar sebagai sebuah badan yang menghimpunkan ahli pemikir? Bagi beliau, sekiranya kerajaan mahu berterusan mendapatkan pandangan yang berkualiti daripada kalangan pemikir, maka MPN perlu diwujudkan dengan struktur tetap. Dalam erti kata lain, MPN perlu menjadi sebuah lagi entiti elit yang memberi pandangan ikhlas secara menjarakkan diri dengan kerajaan dan proses pemerintahan. Dalam perkembangan lain, bersempena setahun penubuhan MPN juga, satu program yang dikenali sebagai Kongres Profesor Negara akan diadakan selama tiga hari bermula pada 6 hingga 8 Julai ini.
Kongres di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu bakal menghimpunkan seramai lebih 1,000 orang Profesor, sekali gus menjadi satu perhimpunan terbesar ahli akademik yang pernah dianjurkan di negara ini. Selain Profesor, kongres itu juga jelas Setiausaha MPN, Prof. Dr. Raduan Che Rose, kongres itu juga dijangka disertai oleh kira-kira 400 penggiat dalam pelbagai sektor korporat. Antara pengisian penting kongres itu yang perlu diberi perhatian adalah ucaptama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Julai yang dijangka menyentuh mengenai transformasi negara. Ucaptama beliau itu kemudiannya akan dirumus oleh Profesor dari Sekolah Perniagaan Harvard, Prof. Dr. Michael E. Porter dengan Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin bertindak sebagai moderator. Ucaptama itu dijayakan dengan kerjasama Yayasan Wangsa Perdana. Agenda lain pada Kongres itu adalah Syarahan Perdana oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 6 Julai. Dr. Mahathir akan mengupas mengenai transformasi negara melangkaui 2020. Ini adalah sesuatu yang sangat istimewa dan penting kerana Dr. Mahathir tidak pernah menyentuh mengenai topik ini sebelum ini.
Ucaptama Najib serta Syarahan Perdana Dr. Mahathir itu juga akan menjadi input kepada sebuah resolusi yang akan diserahkan kepada kerajaan sebagai produk daripada kongres tersebut. Resolusi itu disumbangkan hasil daripada perbincangan tujuh buah kumpulan iaitu kluster-kluster yang digabungkan mengikut kepakaran dan disiplin ilmu masing-masing. Ia akhirnya akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari akhir kongres serentak dengan majlis perasmian penutup program tersebut. Tidak berakhir di situ, MPN kemudiannya akan melihat sejauh mana resolusi itu mampu membantu kerajaan dalam merangka polisi atau dasar kerajaan. Adalah satu kejayaan yang sangat membanggakan, kata Raduan, sekiranya keseluruhan atau sebahagian daripada resolusi itu berjaya dibawa sehingga ke peringkat pelaksanaan. Ini kerana, ia secara tidak langsung telah membuktikan bahawa objektif penubuhan MPN sebagai badan pemikir kepada kerajaan berjaya dicapai. Resolusi itu nanti akan menjadi pandangan yang sangat bernilai kepada kerajaan. Meskipun kerajaan mempunyai kerangka yang tersendiri dalam membentuk polisi atau dasar, namun pandangan ahli akademik yang berjumlah lebih 1,000 orang yang menyumbang kepada resolusi itu sudah semestinya mempunyai pengaruh dan kepentingan yang sangat berguna kepada kerajaan.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan