Walaupun dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, ia tidak bermakna kerajaan mengetepikan usaha mengukuhkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar. Pada masa sama, kerajaan juga terus memperkasa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini. Kedua-duanya dilakukan seiring menerusi dasar baru yang diwujudkan iaitu Memperkasa Bahasa Melayu Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Tidak dapat dinafikan, menguasai lebih satu bahasa, terutama bahasa Inggeris mampu meningkatkan keterampilan dan daya saing pada peringkat antarabangsa. Ini kerana bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu yang dipertuturkan hampir di seluruh dunia dalam pelbagai forum antarabangsa. Kebanyakan bahan bacaan, rujukan serta sumber ilmu sains dan teknologi adalah dalam bahasa Inggeris. Mempelajari dan seterusnya menguasai bahasa Inggeris wajar dimulakan pada peringkat awal terutama sejak di sekolah rendah.
Justeru, langkah kerajaan mengambil seramai 300 tenaga pengajar lepasan ijazah dari Amerika Syarikat untuk mengajar bahasa itu di sekolah pastinya dapat membantu guru meningkatkan kemahiran pelajar menguasai bahasa itu. Langkah itu dilihat mampu meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris dengan berkesan kerana mereka diajar sendiri oleh guru penutur asal bahasa berkenaan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu di Washington, kelmarin menjelaskan program yang dinamakan Fulbright itu akan dimulakan tahun depan. Keputusan itu adalah kesinambungan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton, di New York dan di Kuala Lumpur sebelum ini. Kita percaya kerjasama itu memberi banyak manfaat kepada pelajar dalam jangka panjang dan pada masa sama ia mengeratkan hubungan dua hala kedua-dua negara. Apapun, usaha itu tidak bermakna kita menafikan keupayaan bahasa kebangsaan.
Kita mempelajari bahasa Inggeris untuk mendalami ilmu daripada bahasa sumber itu sendiri. Tidak timbul soal pelajar kita akan terpengaruh dengan budaya, adat resam atau cara hidup yang diamalkan Barat apabila guru Amerika mengajar bahasa Inggeris di sini. Bagaimanapun, Kementerian Pelajaran harus memantau guru bahasa Inggeris itu agar program Fulbright mencapai matlamat seperti yang diharapkan. Adalah lebih baik tenaga pengajar asing itu diberikan pendedahan sewajarnya agar mereka memahami budaya rakyat tempatan sebelum memulakan tugas di sini. Kita tidak mahu mereka turut menerapkan budaya negatif kepada pelajar disebabkan tiada penjelasan mengenai perbezaan budaya dan amalan masyarakat di sini. Kita yakin tenaga pengajar AS ini dapat menjadi daya penarik baru kepada pelajar di negara ini meningkatkan usaha mereka mempelajari bahasa Inggeris. Kita percaya tenaga pengajar ini dapat menggunakan pendekatan lebih menarik serta menyeronokkan dan aktiviti mereka tidak hanya terbatas di dalam kelas semata-mata. Sebagai penutur asal, tenaga pengajar ini juga dapat berkongsi ilmu dengan guru bahasa Inggeris tempatan. Dengan program pengajaran yang terancang dan berkesan, kita yakin penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dapat dipertingkatkan dengan lebih berkesan.
SUMBER
BERITA HARIAN
01 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan