16 Mac 2011

ISU UMUM : SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA BUKAN MUSUH

Oleh NIZAM YATIM
UTUSAN MALAYSIA, 16 MAC 2011


Setiap pemimpin kerajaan tidak harus menganggap suruhanjaya hak asasi manusia di negara mereka sebagai musuh, kerana ia sebenarnya adalah rakan paling akrab. Ini kerana kewujudan suruhanjaya sedemikian akan membantu pemimpin berkenaan memahami lebih mendalam masalah yang dihadapi rakyat khususnya golongan minoriti dan seterusnya membolehkan mereka merancang strategi berkesan untuk menyelesaikannya. Itulah nasihat yang diberikan bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Australia (AHRC), Profesor Brian Burdekin dalam satu taklimat kepada wartawan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini. Burdekin adalah individu yang telah menggegarkan Australia pada 1989 apabila membentangkan laporan bersama-sama bukti kukuh bahawa terdapat lebih 20,000 kanak-kanak merempat di negara itu yang selama ini berbangga sebagai negara maju.

Beliau kini ialah profesor pelawat di Institut Raoul Wallenberg di Sweden dan juga penasihat kepada suruhanjaya hak asasi manusia di Afrika, Asia dan Eropah Timur. Nasihat Burdekin itu harus diberi perhatian serius kerana sistem pemerintahan demokrasi yang diamalkan kebanyakan negara sekarang boleh dianggap sudah ketinggalan zaman kerana ia hanya mengutamakan kepentingan golongan majoriti dan mengabaikan kumpulan minoriti. ''Wujud lompang dalam sistem demokrasi sekarang yang perlu ditangani. Jika pemimpin kerajaan terus mengabai kehendak golongan minoriti, kerajaan itu juga boleh ditumbangkan oleh kuasa rakyat," ujarnya. Jelas beliau, kuasa rakyat yang dimaksudnya adalah penggunaan teknologi Internet seperti Facebook dan Twitter untuk mengetengahkan sesuatu isu. ''Mereka yang tidak berpuas hati kini boleh meluahkan perasaan mereka dengan hanya menaip mesej dalam laman sosial berkenaan yang kemudiannya akan diberikan reaksi oleh pihak lain.

''Perubahan ini bagi saya bukan satu revolusi sebaliknya adalah evolusi (perubahan secara beransur-ansur) apabila setiap rakyat termasuk golongan minoriti mahu dilayan secara adil," katanya sambil menjelaskan kebangkitan kuasa rakyat sedemikian tidak memerlukan pemimpin khusus yang berkarisma. Kuasa laman sosial berkenan terbukti apabila akhbar Berita Harian pada 14 Mac lalu terpaksa menyiarkan permohonan maaf di muka depannya setelah edisi Berita Minggu sehari sebelum itu menyiarkan kartun adi wira popular Jepun, Ultraman lari lintang pukang daripada ombak tsunami yang besar. Walaupun kartun itu langsung tidak menyentuh mengenai penduduk negara ini, akhbar berkenaan terpaksa meminta maaf setelah wujudnya kempen dalam Facebook dan Twitter untuk memboikotnya dan dalam tempoh beberapa jam sahaja setelah kempen itu dimulakan ia telah mengumpul 571 tandatangan.

Selain mengambil berat terhadap segala isu yang diadukan kepada suruhanjaya hak manusia, katanya, kerajaan sesebuah negara harus memastikan bahawa mereka tidak melanggar perjanjian antarabangsa berkenaan hak asasi manusia. ''Ingatlah bahawa tiada kerajaan yang berada di atas daripada undang-undang dan mana-mana pemimpin yang melanggar hak asasi manusia boleh dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). ''ICC sebelum ini telah membicarakan kes-kes yang melibatkan kekejaman di Rwanda dan Kemboja. Saya juga dapat merasakan bahawa satu hari nanti pemimpin Libya, Muammar Gaddafi juga akan dibicarakan di sana," ujarnya. Sementara itu, seorang lagi bekas Pesuruhjaya AHRC, Profesor Chris Sidoti berkata, penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sejak 1999 membuktikan kerajaan negara ini serius untuk memastikan tiada mana-mana pihak yang mencabuli hak asasi manusia.

''Untuk pengetahuan anda, suruhanjaya hak asasi manusia adalah idea baru yang muncul di kalangan negara-negara Asia Pasifik dengan Australia adalah antara negara pertama menubuhnya iaitu pada 1986. ''Oleh itu, anda jangan terkejut jika isu-isu seperti nasib masyarakat peribumi di Amerika Syarikat (AS) tidak dihiraukan kerana negara itu sehingga kini belum mempunyai suruhanjaya sedemikian dan badan sama juga tidak diwujudkan di negara-negara Eropah Barat," katanya. Sidoti menjadi pesuruhjaya antara 1995 hingga 2000. Sepanjang tempoh itu, antara kejayaan terbesar yang telah dicapai oleh AHRC adalah apabila ia mendedahkan kejadian anak-anak penduduk asli Australia yang dipisahkan daripada keluarga masing-masing secara paksa dan dimasukkan ke institusi kerajaan untuk tujuan asimilasi dengan masyarakat kulit putih. Setelah hampir 10 tahun pendedahan itu dibuat, akhirnya pada 2008, Perdana Menteri Australia ketika itu, Kevin Rudd bagi pihak kerajaan secara rasmi memohon maaf kepada penduduk asli negara tersebut.

Dalam pada itu, Sidoti menggesa pihak media supaya memainkan peranan masing-masing untuk mendedahkan pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh mana-mana golongan di negara masing-masing. ''Saya yakin anda masih ingat lagi pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Dili, Timor Leste pada 12 November 1991 apabila tentera Indonesia menembak mati 271 penduduk tidak bersenjata,'' katanya. Insiden itu telah membangkitkan kemarahan masyarakat antarabangsa setelah seorang wartawan Belanda berjaya menyeludup keluar pita video rakaman kejadian itu yang kemudiannya disiarkan stesen televisyen ITV di Britain pada Januari 1992. Pendedahan itu menyebabkan tekanan dikenakan terhadap Indonesia sehingga akhirnya Timor Leste merdeka pada 2002. ''Inilah peranan besar yang boleh dimainkan oleh pihak media. Anda tidak perlu takut untuk menyiarkan berita sedemikian termasuk membabitkan aduan yang dibuat kepada suruhanjaya hak asasi manusia kerana anda dilindungi undang-undang yang membolehkan sesuatu berita atau gambar itu disiarkan atas alasan kepentingan awam. ''Kesedaran mengenai pentingnya hak asasi manusia dihormati semakin bercambah di seluruh dunia. Oleh itu, wartawan dan pengarang akhbar juga perlu berubah untuk menjadi lebih berani dalam mendedahkan pihak-pihak yang melanggarnya," ujar beliau lagi.

JANGAN TERLALU KEJAM PADA DIRI SENDIRI



Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pengunjung-pengunjung blog Cikgu Zul yang dikasihi dan disayangi. Cikgu Zul amat menghargai kehadiran anda semua ke sini dan Cikgu Zul berharap agar anda memperoleh sesuatu yang berharga di sini. Amin.


Cikgu Zul ingin bercakap tentang suatu perkara yang agak penting untuk kita hayati dan insafi bersama. Kita sebagai manusia kadang kala terlalu kejam pada diri sendiri. Pertama, kita selalu memaksa diri kita untuk membenci orang yang paling kita sayangi. Kita pendam rasa di dada sampai membuakkan rasa marah yang berapi sehinggakan jiwa kita berasa amat pedis dan perit untuk menanggungnya. Rasa kebencian kita makin lama makin mendalam sehingga menjadi duri yang mencucuk hati sampai terluka parah. Kita puas memperlakukan diri kita sebegitu. Kita puas melihat orana yang kita benci itu menderita, sengsara, dan melarat kerana bagi kita itulah tandanya kejayaan yang mengundang jutaan rasa megah tidak bernoktah. Sebenarnya, jika ditafsir, itulah tandanya kita berlaku kejam kepada diri kita sendiri kerana terlalu taksub membina benteng permusuhan daripada mencipta menara persahabatan antara sesama manusia. 

Kedua, kita berlaku kejam kepada diri kita sendiri apabila membiarkan hari-hari yang kita lalui tanpa berdoa dan bersyukur kepada Allah atas kurnia-Nya. Semakin jauh kita melangkah dan semakin banyak kejayaan yang kita rangkul, kita semakin menjauhi Allah. Kita selalu kesuntukan masa untuk beribadat dan bermunajat kepada-Nya sehinggalah bala datang bertimpa barulah kita sujud memohon ampun dengan deraian air mata berharga. Sesungguhnya, Allah itu maha pengampun dan pengasih. Janganlah kita berlaku kejam kepada diri dengan meninggalkan Allah sewaktu kita mengecapi nikmat kesenangan hidup di dunia. Daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya jua kita mengabdikan diri pada setiap waktu tidak kira susah mahupun senang.


Ketiga, kita selalu berlaku kejam kepada diri apabila membiarkan masa berharga berlalu begitu sahaja. Kita gunakan masa dengan mengumpat, mencaci, mengeji atau berbual-bual tentang artis serta perkara-perkara yang tidak mendatangkan kemaslahatan buat diri kita. Kita jarang menggunakan deria kurniaan Allah untuk membaca dan menelaah dari pagi hingga ke senja hari. Kita mudah bosan dan jemu untuk melakukan perkara-perkara yang bermanfaat apabila masa lapan bertandang. Setelah terhimpit barulah kita terdesak dan tersepit. Inilah senario yang Cikgu Zul lihat dalam kalangan pelajar-pelajar Cikgu Zul. Apabila ditanya, "Siapa nak dapat keputusan 4A dalam STPM? Semuanya angkat tangan dengan bersemangat. Akan tetapi, Cikgu Zul lihat mereka tidak cukup usaha untuk mengapai impian itu. Mereka lebih suka pergi ke tandas dari mendengar Cikgu Zul mengajar. Mereka lebih suka meniru kerja kawan-kawan. Mereka lebih suka bersembang dan bergurau senda dengan guru atau rakan-rakan. Hidup mereka terlalu mudah kerana masa yang ada digunakan untuk membuat kerja-kerja yang tidak memerlukan mereka berfikir!




SAYANGILAH DIRI KITA SENDIRI DAN LAKUKAN YANG TERBAIK UNTUK DIRI KITA KERANA KEHADIRAN KITA KE DUNIA INI TERLALU SINGKAT. PADA BILA-BILA MASA KITA AKAN DIJEMPUT ...

ISU ALAM SEKITAR : BENCANA LETUPAN LOJI NUKLEAR DI JEPUN BAKAL MEMBAWA BAHANA KEPADA MANUSIA SEJAGAT

BERITA 1 : TAHAP RADIASI DI BANDAR RAYA TOKYO TINGGI

Krisis nuklear Jepun semakin meruncing apabila satu lagi letupan hidrogen berlaku ke atas sebuah reaktor ketiga di Fukushima Daiichi yang mengeluarkan radiasi ke udara sehingga merebak ke Tokyo, kira-kira 170 kilometer di selatan loji yang lumpuh akibat gempa bumi mega minggu lalu itu. Tahap radiasi 20 kali di atas paras biasa di Tokyo, tetapi kerajaan tempatan berkata, tahap itu masih tidak memberi risiko kesihatan kepada manusia. Perdana Menteri Naoto Kan, merayu penduduk negara itu tidak panik, tetapi memberi amaran wujud risiko tinggi pembocoran selanjutnya akan berlaku. Bagaimanapun, arah angin mungkin menjadi penyelamat berikutan tiupan kini membawa radiasi itu menuju ke Lautan Pasifik dan tidak ke kawasan padat penduduk di Jepun dan negara Asia lain. Letupan di loji nuklear Fukushima Daiichi semalam adalah ketiga dalam empat hari – menjadikan krisis itu terburuk sejak bencana di reaktor nuklear Chernobyl di Ukraine pada 1986.

Walaupun berdepan risiko pendedahan radiasi, jurutera di loji Fukushima Daiichi yang berusia 40 tahun itu, berkerja keras untuk menyejukkan reaktor nombor dua yang rosak teruk dengan mengepam masuk air laut ke dalamnya. Kebanyakan daripada 800 pekerja di loji itu sudah dipindahkan ke tempat lebih selamat dengan hanya 50 pekerja ditinggalkan untuk menangani krisis berkenaan. Selepas mesyuarat Kabinet tergempar, Kan memberitahu penduduk dalam lingkungan 20 kilometer dari loji Fukushima Daiichi agar tidak keluar dari rumah, menutup tingkap dan tidak menggunakan pendingin udara. Rayuan beliau disambut baik penduduk dengan tidak ada tanda suasana panik di negara yang pernah mengalami serangan radiasi di Hiroshima dan Nagasaki yang menamatkan Perang Dunia Kedua. Ketua bahagian pengurangan risiko Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), Maryam Golnaraghi, berkata arah angin semasa meniup bahan radioaktif dari loji Fukushima Daiichi ke arah Lautan Pasifik dan tidak kawasan padat penduduk, namun arah angin itu mungkin berubah.

Sementara itu, beribu-ribu mangsa dipercayai terperangkap dan masih menunggu bantuan dengan kira-kira 1,300 orang ditemui berlindung di pulau Oshima, wilayah Miyagi. Kira-kira 7,000 hingga 8,000 orang yang berlindung di sekolah juga dikesan masih tidak mendapat bantuan. Gabenor Miyagi, Yoshihiro Murai memberitahu sidang akhbar kebanyakan hospital menghadapi masalah kekurangan ubat, manakala peningkatan mendadak jumlah mayat yang ditemui menyebabkan rumah mayat sesak. Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana berkata jumlah bangunan yang musnah sepenuh atau sebahagiannya mencecah 72,945 semalam.

BERITA 2 : SIAP SEDIA HADAPI ANCAMAN NUKLEAR

Walaupun digesa kekal tenang oleh Perdana Menteri Naoto Kan, penduduk tetap bergegas ke kedai untuk membeli barang keperluan bagi bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana nuklear. Di pusat beli-belah Don Quixote, sebuah kedai 24 jam yang menjual barangan keperluan di daerah Roppongi di Tokyo, produk seperti radio, lampu suluh, lilin dan beg tidur habis dijual. Beberapa kedutaan menasihatkan kakitangan dan rakyat masing-masing untuk meninggalkan kawasan terjejas radiasi dan daerah yang musnah akibat gempa bumi magnitud 9 (dinaikkan daripada 8.9 semalam) dan tsunami Jumaat lalu yang mungkin mengorbankan sehingga 6,000 nyawa. Pelancong juga didapati memendekkan cuti masing-masing dan syarikat antarabangsa menggesa kakitangan masing-masing untuk berpindah atau merancang memindahkan pejabat ke kawasan di luar Tokyo.

Media Jepun semakin kritikal terhadap cara Kan menangani krisis berganda ini dan mengecam Tokyo Electric Power Co (TEPCO) - pengendali loji nuklear Fukushima Daiichi - kerana gagal memberi maklumat yang memadai berhubung masalah di loji berkenaan yang lumpuh akibat gempa bumi. Kan juga membidas TEPCO kerana mengambil masa terlalu lama untuk memaklumkan pejabat beliau berhubung letupan terbaru yang menyebabkan pengeluaran radiasi ke udara sehingga merebak sejauh 170 kilometer ke Tokyo semalam. Televisyen melaporkan letupan ketiga berlaku pagi semalam tetapi pejabat perdana menteri hanya dimaklumkan sejam kemudian,” kata Kan. Sejak ia rosak akibat gempa bumi Jumaat lalu, loji nuklear berusia 40 tahun itu mengalami empat letupan, dengan letupan terbaru berlaku terhadap reaktor dua dan empat. Pihak berkuasa bimbang kebocoran akan berlaku menyebabkan bencana nuklear seperti Chernobyl di Ukraine pada 1986 yang menyaksikan kawasan sekeliling dicemari radiasi.

BERITA 3 : DUA LETUPAN BARU DI LOJI NUKLEAR FUKUSHIMA DAIICHI

Loji nuklear Fukushima Daiichi yang lumpuh berikutan gempa bumi mengalami kebocoran radiasi yang serius semalam berikutan dua letupan baru dan satu kebakaran ketika kakitangan di tapak berkenaan bertungkus lumus mengelak kebocoran. Krisis nuklear terbesar negara itu semakin buruk setiap hari berikutan empat daripada enam reaktor di loji nuklear Fukushima mengalami letupan hidrogen sejak gempa bumi melanda wilayah Tohoku Jumaat lalu. Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) mengarahkan 800 kakitangannya berpindah dari loji terbabit tetapi meninggalkan 50 yang lain untuk mengepam air laut ke reaktor dalam usaha yang disifatkan terdesak untuk menyejukkan tiga daripada empat reaktor dan berusaha untuk mengelak pembocoran teras. 

Dalam satu taklimat malam kelmarin, Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano mengakui adanya risiko tiga daripada empat reaktor terjejas itu boleh mengalami kebocoran. Namun Kazuhiko Maekawa, profesor madya di Universiti Tokyo semalam berkata walaupun senario ini mungkin berlaku, sekurang-kurangnya pada masa sekarang, ia adalah berbeza dengan kebocoran teras di Chernobyl pada 1986 di Ukraine yang membabitkan letupan nuklear berskala besar. Walaupun kebocoran berlaku, ia masih dalam keadaan cecair, kata Maekawa. Jika reaktor utama tidak musnah secara keseluruhan, bahan radioaktif membawa maut masih kekal dalam kawasan reaktor.

BERITA 4 : PERISTIWA PERANG DUNIA KEDUA BERULANG

Hirosato Wako hanya mampu merenung kemusnahan penempatan kecil nelayan yang dipenuhi runtuhan bangunan, besi dan mayat dengan tangan yang kelihatan terkeluar. Hanya sekali beliau pernah melihat keadaan seperti itu, iaitu ketika Perang Dunia Kedua. “Saya tinggal ketika Sendai pernah dilanda serangan udara, tetapi kali ini ia lebih teruk,” kata Wako, 75, merujuk kepada pengeboman di bandar raya terbesar di timur laut berkenaan. Bagi orang tua yang tinggal di perkampungan di pinggir pantai timur laut Jepun itu, ia bagaikan kembali kepada masa silam yang mana anak-anaknya tidak pernah mengetahuinya.  Generasi tua yang terus tinggal berhadapan dengan kemusnahan dan kemungkinan pencemaran radiasi – satu cabaran dihadapi semula generasi itu selepas negara Matahari Terbit itu terpaksa dibangunkan semula berikutan tewas pada Perang Dunia Kedua pada 1945. Di perkampungan Yuriage, operasi mencari mangsa bertukar menjadi pencarian mayat. Kebanyakan mayat terbabit membabitkan golongan tua yang tidak bermaya untuk lari dari tsunami.

Yuta Saga, 21, mengutip beberapa cawan yang pecah akibat gempa bumi apabila beliau terdengar bunyi siren dan jeritan ‘tsunami!’.  Beliau sempat menyambar tangan ibunya dan berlari ke sekolah tinggi, bangunan tertinggi di kawasan terbabit. Apabila tiba di sekolah, Saga dan ibunya mendapati tangga untuk naik ke bumbung dipenuhi orang tua yang tidak lagi berdaya untuk memanjatnya. Ada yang sekadar duduk atau berbaring di atas tangga terbabit. Dalam keadaan panik, penduduk muda mula menolak sesama sendiri dan memanjat mereka yang tidak bergerak atau menepis mereka untuk menuju ke atas. “Saya seperti tidak percaya. Mereka sekadar menolak orang tua. Orang tua terbabit langsung tidak dapat menyelamatkan diri,” kata Saga.  Saga masih ingat, seorang wanita menyerahkan bayinya kepada beliau. “Tolong sekurang-kurangnya selamatkan bayi ini,” rayu beliau ketika air sudah mencecah bahagian dadanya. 

SEKADAR UNTUK RENUNGAN BERSAMA

ALLAH berfirman di dalam aL-Quran,


Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).Adakah kamu – (sesudah diselamatkan ke darat) – merasa aman (dan tidak memikirkan), bahawa Allah akan menggempakan sebahagian dari daratan itu menimbus kamu, atau dia akan menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung kamu?.Atau adakah kamu merasa aman (dan tidak memikirkan) bahawa Allah akan mengembalikan kamu sekali lagi ke laut, kemudian Ia menghantarkan kepada kamu angin ribut yang memecah belahkan segala yang dirempuhnya, lalu Ia mengaramkan kamu dengan sebab kekufuran kamu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang boleh menuntut bela tentang itu terhadap Kami?

(aL-Isra' :67-69)

15 Mac 2011

ISU ALAM SEKITAR : BANTU JEPUN HADAPI BENCANA NUKLEAR

Oleh Mustafa Kamal Basri


Gempa bumi di pantai timur laut Jepun pada 11 Mac lalu bukan sahaja menyebabkan negara itu berhadapan krisis kemanusiaan paling besar sejak Perang Dunia Kedua tetapi juga bakal mencetuskan tragedi nuklear terbesar pada abad ini. Gempa berukuran 8.9 pada skala Richter itu merupakan yang terkuat melanda Negara Matahari Terbit itu dalam tempoh 140 tahun sehingga mencetuskan tsunami setinggi 10 meter, kedua terkuat selepas tsunami 2004 yang melanda Acheh dan beberapa negara di pesisiran Lautan Hindi ekoran gempa bumi berukuran 9.1 pada skala Richter di lautan itu. Bencana di Jepun itu setakat ini dianggarkan telah mengorbankan kira-kira 10,000 orang dan beratus-ratus lagi dilaporkan cedera. Berjuta-juta rakyat negara itu juga sedang bergelap akibat terputus bekalan elektrik dan kekurangan makanan dan bekalan air bersih. Kebanyakan mangsa yang terselamat kini ditempatkan di pusat-pusat perlindungan tanpa bekalan api, kekurangan khemah, selimut, makanan, bahan api serta air minuman.

Pasukan penyelamat dan tentera mengalami kesukaran untuk menjalankan usaha menyelamat serta membantu mangsa di wilayah-wilayah yang dilanda gempa termasuk di bandar kecil Tagajo, berhampiran bandar pelabuhan Sendai yang teruk dihentam tsunami, ekoran terputus hubungan akibat kerosakan teruk kemudahan infrastruktur dan jalan-jalan raya. Hospital Besar Sengen yang menampung banyak mangsa gempa yang cedera beroperasi dalam keadaan bergelap akibat tiada bekalan elektrik, kakitangan hospital pula bekerja keras siang dan malam mengangkat pesakit yang terlantar dan mangsa gempa yang kritikal menaiki tangga kerana lif tidak dapat digunakan. Paling membimbangkan ialah Jepun dijangka berhadapan bencana nuklear terbesar di abad ini ekoran banyak loji nuklearnya rosak teruk dan beberapa buah daripadanya meletup dan melepaskan radiasi yang mencetuskan kebimbangan berlaku tragedi nuklear serius di negara itu.

Walaupun Jepun mempunyai teknologi yang canggih bagi menghadapi sebarang kemungkinan akibat kebocoran radiasi daripada loji-loji nuklearnya yang musnah akibat gempa tersebut, namun terdapat kebimbangan bencana loji nuklear Chenobyl, Ukraine pada 26 April, 1986 akibat letupan kuat akan berulang di Jepun. Dalam kejadian di Ukraine itu, 32 orang maut di tempat kejadian, manakala 8,000 yang lain mengalami kesan pencemaran radioaktif dan lebih 120,000 penduduk yang lain terpaksa dipindahkan. Tragedi di Chenobyl itu sangat serius kerana pencemaran radiasi itu dilaporkan merebak sejauh ke barat Eropah. Sehubungan itu, semua negara perlu tampil membantu Jepun bagi menangani krisis bencana yang sedang melanda negara itu sekarang bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban.

UTUSAN MALAYSIA, 15 MAC 2011

ISU SOSIAL : BEKUKAN SELURUH PENGAMBILAN BURUH ASING KE MALAYSIA


Kerajaan wajar membekukan seluruh pengambilan buruh asing ke Malaysia buat masa ini. Selagi pihak penguat kuasa undang-undang belum berjaya membanteras kehadiran seluruh warga asing di Malaysia secara haram, maka selagi itulah pembekuan ini perlu dikuatkuasakan. Saya membuat cadangan ini dalam konteks mutakhir ini di mana terdapat kementerian sehingga membuka kaunter khas semata-mata untuk memudahkan pembawaan masuk sejumlah 45,000 pekerja asing daripada India. Persoalan saya di sini, mengapakah bawa masuk warga asing sedangkan yang berada di Malaysia secara haram berpuluh-puluh ribunya jumlahnya? Adakah kementerian berkenaan dan juga Kementerian Dalam Negeri tidak memandang serius hakikat ini? Mengapa diburu seluruh pendatang asing tanpa permit ini secara habis-habisan di seluruh negara? Mengapa harus bawa orang baru masuk secara halal tetapi kemudiannya mereka juga akan lesap dan melencong entah ke mana?

Berkait persoalan ini, kerajaan juga perlu menyiasat, adakah benar bahawa mutakhir ini terdapat buruh-buruh asing yang diizinkan bekerja di syarikat-syarikat yang sensitif terhadap keselamatan negara Malaysia? Contohnya, adakah benar bahawa beratus-ratus bekas tentera laut India kini diizinkan berkhidmat sebagai pekerja pelabuhan di Pelabuhan Klang? Bukankah pelabuhan merupakan satu daripada pintu masuk ke negara ini? Bagaimana jika buruh asing ini dijadikan perkakas untuk memajukan JRS? Bagaimana jika buruh-buruh asing ini bersubahat dengan kegiatan penyeludupan, sama ada barang-barang biasa, ataupun senjata api dan juga dadah? Bagaimana jika buruh-buruh asing yang terdiri daripada kumpulan yang terlatih di bidang ketenteraan ini terlibat dengan aktiviti-aktiviti sabotaj, espionage dan pengkhianatan terhadap Malaysia? 

Saya bangkitkan persoalan ini dalam konteks JRS, sebab ia memang sering dijadikan saluran kepada kegiatan terorisme, sabotaj atau pun espionage. Saya juga bangkitkan soal kehadiran bekas tentera laut India berkhidmat di Pelabuhan Klang sebab saya menerima maklumat mengenai hal ini. Oleh sebab itu, saya minta harap kerajaan menjelaskan kemusykilan ini secara terperinci. Jangan lagi jawab perkara ini penuh dengan silat dan lenggang lenggok yang mengelirukan. Berikan jawapan sama ada hakikat ini benar, mengapa dan apakah rasionalnya? Adakah kita semua insaf bahawa keselamatan negara kita terdedah kepada bahaya jika kelompok yang terlatih dalam ketenteraan ini disalahgunakan oleh pihak musuh kita? Saya serius dalam hal ini sebab saya prihatin terhadap kedaulatan dan kemerdekaan tanah air ini. 

Saya tidak rela masa depan kita terancam dan lama-kelamaan bangsa Melayu kehilangan kuasa di tanah airnya sendiri. Sebenarnya, banyak lagi perkara sensitif mengenai khidmat buruh asing ini. Apa tidaknya, jika rekod dan data mereka pun disimpan oleh pihak yang melakukan pemeriksaan perubatan mereka yang saya dapat tahu syarikat ini pun merupakan anak syarikat milik sebuah negara asing. Ringkasnya, kerajaan perlu melakukan apa yang saya cadangkan di atas. Lakukan kajian menyeleruh dan bersepadu terhadap dasar kita terhadap perburuhan asing. Perlu ditetapkan di sektor manakah mereka boleh diizinkan bekerja dan di sektor mana pula mereka tidak boleh diizinkan untuk bekerja. Penyimpanan rekod pekerja asing pula perlu diserahkan kepada jabatan kerajaan yang khusus. 

Jangan izinkan syarikat milik negara asing menyimpan rekod dan data pekerja asing di Malaysia. Ini semua bermakna kerajaan perlu melakukan suatu tindakan drastik berasaskan keselamatan negara supaya tidak mudah kita dimanupulasikan oleh pihak-pihak asing yang memusuhi Malaysia. Oleh sebab itu, biarpun Malaysia mempunyai undang-undang yang ketat dan tegas mengenai penyeludupan dadah, mengenai pihak warga asing tanpa izin, mengenai rasuah, dan mengenai hal ehwal imigresen, mari kita tanya diri sendiri secara ikhlas dan jujur, adakah seluruh undang-undang ini boleh menjamin keselamatan nasional dan keselamatan insan Malaysia jika seluruh undang-undang tersebut telah dikompromikan oleh sesetengah pihak atas motivasi rasuah?

Persoalan inilah yang sewajarnya menginsafkan pihak kerajaan untuk mensekuritisasikan seluruh JRS, khususnya mengenai buruh asing, sebagai ancaman keselamatan nasional. Ini kerana keseluruhan jenayah rentas sempadan adalah bahaya yang nyata kepada negara dan rakyatnya dalam pelbagai aspek kehidupan                                      termasuk sosio-politik dan ekonomi. Oleh sebab itu juga, kerajaan perlu bertindak tegas menerusi penguatkuasaan undang-undang imigresen yang rigid dan keras. Sebarang bentuk korupsi sistemik dalam pengurusan imigresen dan pekerja asing perlu dibanteras habis-habisan dan dengan segera. Tindakan ini penting dilakukan secara komprehensif kerana mutakhir ini wujud kajian-kajian oleh sarjana keselamatan antarabangsa yang membuktikan bahawa pelbagai sindiket transmigrasi dan JRS kini berjaya melakukan rasuah sistemik terhadap jentera pentadbiran daripada yang serendah-rendahnya hingga ke peringkat penggubal undang-undang dan pentadbir undang-undang di beberapa negara.

Hakikat ini serius sebab jumlah pendatang asing tanpa izin boleh mencetuskan pelbagai bentuk jenayah, boleh melunturkan identiti sesebuah negara, dan boleh menggugat status kekuasaan di negara terbabit di masa akan datang. Dalam konteks ini, Kerajaan juga wajar mengkaji semula kemasukan buruh asing daripada India dan Republik Rakyat China dan lain-lain negara sumber yang bukan Islam. Pada waktu yang sama, agensi-agensi kemasukan pelajar asing daripada luar negara, terutamanya daripada Republik Rakyat China dan Afrika, perlu dipantau dan dibanteras sekeras-kerasnya jika terbukti wujud penyelewengan. Tindakan-tindakan ini kritikal kerana segelintir rakyat asing bukan Islam yang sudah diwarganegarakan di Malaysia kini terbukti sedang berusaha untuk mengubah status quo identiti Malaysia yang berpaksikan Melayu, Islam dan Bumiputera. 

Ini berbahaya kepada kelangsungan Melayu, Islam, dan Bumiputera. Dalam dekad-dekad mendatang, soal mengubah identiti status quo ini boleh jadi bertambah genting dan boleh menjejaskan keselamatan negara. Oleh sebab itu, kerajaan perlu tidak berkompromi terhadap seluruh masalah ini pada hari ini. Moga-moga kerajaan memahami maksud saya yang tersirat di sebalik kenyataan ini. Oleh sebab itu, kerajaan perlu mempertahankan kedaulatan negara, menjaga keselamatan negara, memastikan kelangsungan negara, dan melindungi kepentingan negara. Kedaulatan negara adalah konsep perundangan yang memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menggubal undang-undang, peraturan, dan prosidur bertujuan menjaga keselamatan, kelangsungan, dan kepentingan negara dan rakyat jelata. Pendek kata, kedaulatan adalah konsep yang menghalalkan sesebuah negara dan kerajaannya bertindak mengikut falsafah, matlamat dan persekitaran keselamatannya yang tersendiri.

Falsafah, matlamat dan persekitaran keselamatan ini pula berasaskan komposisi rakyatnya, ciri-ciri budayanya, keunggulannya agamanya, dan tahap serta taraf ekonominya. Hakikat ini membuktikan bahawa asas utama sesebuah negara dalam konteks konsep negara, adalah kedaulatan, bukannya demokrasi. Maksudnya, antara kedaulatan dan demokrasi, kedaulatan adalah lebih penting. Ini kerana kedaulatan memberikan kuasa kepada negara supaya bertanggungjawab sepenuhnya kepada keselamatan, survival dan kepentingan utamanya. Ini bermakna, ideologi yang didukung oleh sesebuah negara mesti disesuaikan kepada falsafah dan matlamat untuk mencapai objektif utama negara itu sendiri, iaitu menentukan kedaulatan, keselamatan, survival dan kepentingannya demi rakyat dan demi kekuasaannya.

DatuK IBRAHIM ALI ialah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)

UTUSAN MALAYSIA, 15 MAC 2011

ISU SOSIAL : SKIM RUMAH PERTAMAKU, INFLASI, DAN HUTANG

Oleh ROHAMI SHAFIE


Selama dua hari berturut-turut, rakyat dihidangkan dua khabar gembira. Pertama, berita baik untuk golongan muda yang berumur 35 tahun ke bawah dan berpendapatan kurang RM3,000 sebulan. Kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku, satu skim khas yang memberi peluang kepada golongan belia untuk memiliki rumah sendiri. Skim ini cukup baik untuk golongan belia memiliki rumah. Dengan pinjaman maksimum RM220,000 tanpa perlu membayar sebarang pendahuluan, sudah tentu ia membuka peluang yang lebih luas kepada golongan muda yang selama ini mendambakan rumah. Jika sebelum ini mereka perlu menyediakan pendahuluan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga rumah, maka dengan adanya skim ini mereka tidak perlu lagi memikirkan permasalahan ini. 

Sememangnya menyediakan pendahuluan merupakan salah satu beban kepada mereka berpendapatan rendah. Bayangkan jika harga rumah berharga RM200,000, maka mereka terpaksa menyediakan pendahuluan sebanyak RM20,000. Jumlah ini cukup besar dan memerlukan tempoh masa yang agak lama untuk disediakan. Walhal harga rumah semakin meningkat. Rumah sama yang ingin dimiliki tidak lagi sama harganya pada masa akan datang. Maka, bertambahlah jumlah pendahuluan yang perlu dibayar dan sudah tentunya bertambahlah tempoh masa bagi mereka untuk menyediakan wang pendahuluan tersebut. Natijah, sampai bila-bila pun mereka tidak mampu memiliki rumah. Inilah kebaikan skim ini dan sepatutnya peluang ini direbut oleh para belia kita. Lantaran itu, segala birokrasi bagi memperoleh pinjaman tersebut daripada pihak bank perlu dipermudahkan terutama bagi pemohon-pemohon yang benar-benar layak dan mampu membayar balik pinjaman. 

Janganlah pula apabila diumumkan skim ini, pelbagai lagi syarat tambahan dikenakan kepada pemohon. Di sebalik kebaikan pinjaman ini, penulis merasakan skim ini juga perlu dilihat dari konteks yang lebih luas lagi. Kekhuatiran penulis ialah caj yang dikenakan boleh membebankan peminjam. Sebagai contoh, katakanlah peminjam meminjam maksimum RM200,000, dengan caj 4.5 peratus selama 30 tahun, peminjam terpaksa membayar ansuran balik pinjaman dalam lingkungan RM1,000 sebulan. Jumlah ini cukup besar bagi golongan berpendapatan RM3,000 ke bawah. Penulis merasakan caj yang dikenakan mestilah pada kadar paling minimum atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan keprihatinan pihak bank untuk membantu rakyat Malaysia. Selain itu, penulis juga kurang bersetuju ke atas cadangan untuk menaikkan jumlah pinjaman sehingga RM350,000. Jika cadangan ini dilaksanakan, maka akan berlakulah satu risiko yang amat tinggi, peningkatan hutang tidak berbayar (NPL) di kalangan belia.

Umum mengetahui, ramai golongan belia yang terperangkap dalam permasalahan kewangan yang teruk, maka jika cadangan ini dilaksanakan, mereka berisiko tinggi untuk muflis. Ambillah iktibar apa yang telah berlaku ke atas Amerika Syarikat (AS) sebelum ini berkaitan dengan pinjaman hartanah kepada golongan yang berpendapatan rendah. Berita baik kedua yang menggembirakan rakyat ialah kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak RM4 bilion jika harga minyak global kekal melepasi AS$100 setong. Ini merupakan langkah yang terbaik bagi membendung peningkatan inflasi di Malaysia. Lebih-lebih lagi, harga minyak dijangka akan semakin meningkat ekoran kekacauan yang berlaku di Libya. Dilaporkan pengeluaran minyak di Libya merosot sebanyak tiga kali ganda sejak berlakunya konflik di negara tersebut. 

Langkah meningkatkan subsidi minyak ini meskipun kurang popular bagi sesetengah pakar ekonomi kerana ia dikatakan sebagai subsidi yang merencatkan ekonomi pasaran bebas, namun langkah ini merupakan langkah bijak bagi melindungi rakyat secara keseluruhannya. Satu perkara yang tidak boleh sama sekali terlepas pandang ialah harga minyak yang semakin meningkat (jika tidak disubsidi) boleh mendatangkan kesan negatif kepada ekonomi negara secara keseluruhannya. Rakyat sebagai pengguna terpaksa mengurangkan perbelanjaan lain dek kerana kuasa beli yang semakin menurun. Sektor perniagaan akan teruk terjejas. Bukan itu sahaja, peningkatan harga minyak global boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi dunia. Bayangkan dengan hanya pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia, maka jika harga minyak di Malaysia dinaikkan, kesan negatif ke atas ekonomi negara akan semakin berganda. 

Sasaran pertumbuhan ekonomi negara sebanyak enam peratus pada tahun ini juga akan turut terjejas. Rakyat pula akan semakin tertekan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Kesan rantaiannya sudah pastinya nisbah hutang isi rumah terhadap Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) akan semakin meningkat. Lantaran itu, kedua-dua khabar berita ini menggambarkan betapa kerajaan menyedari suasana semasa dan mengambil tindakan proaktif bagi melindungi ekonomi negara dan membela nasib rakyat.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

UTUSAN MALAYSIA, 15 MAC 2011

ISU UMUM : PENYERAGAMAN SISTEM BAYAR SAMAN ANTARA POLIS DAPAT ELAK TINDKAAN BERTINDIH, JPJ DAN PBT


Undang-undang dan peraturan tertentu yang digubal dan dilaksanakan dalam sesebuah negara selepas diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri perlu dipatuhi setiap rakyat. Kegagalan mematuhi undang-undang atau peraturan yang diwujudkan sudah pasti akan menimbulkan kacau bilau dan kesukaran mentadbir sesebuah negara dan negeri. Undang-undang dan peraturan sedia ada juga bagi memastikan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat mentadbir wilayah masing-masing dengan cekap dan berkesan. Begitu juga dengan agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut memerlukan undang-undang kecil dan peraturan penguatkuasaan yang tegas. Hukuman atau denda seperti saman yang dikenakan agensi terbabit terhadap individu bagi memastikan setiap rakyat mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Namun begitu, ada juga orang ramai tidak membayar saman seperti kesalahan trafik sehingga menyebabkan tunggakan saman berjumlah jutaan ringgit. Apapun, untuk menyalahkan pesalah trafik semata-mata kerana tidak membayar saman mereka mungkin tidak adil. Pastinya ada sebab orang ramai khususnya pesalah trafik tidak dapat atau gagal membayar saman mereka. Antara masalah yang timbul kerana tidak wujud keseragaman antara pihak polis, JPJ dan PBT dalam menguatkuasa peraturan dan saman yang dikenakan sehingga orang ramai berasa teraniaya. Mereka mungkin disaman beberapa kali atas kesalahan sama oleh agensi penguatkuasaan yang berbeza. Sehubungan itu, kita melihat kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kelmarin iaitu kerajaan akan mengambil langkah untuk menyeragam dan menyelaras sistem kutipan pembayaran saman oleh PDRM, JPJ dan PBT khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah tepat pada masanya.

Justeru, kerjasama ketiga-tiga pihak terbabit dapat memastikan sistem kutipan pembayaran saman dan penguatkuasaan ke atas pesalah trafik akan lebih berkesan, telus dan tidak menganiaya orang ramai. Kita melihat cadangan itu memerlukan penelitian dan kita tidak menolak ia barangkali mengambil masa lama untuk direalisasikan bagi mewujudkan satu sistem bersepadu. Ketika ini, pesalah trafik lebih memberi perhatian untuk membayar saman jika disaman polis atau JPJ, berbanding PBT. Polis boleh mengeluarkan waran tangkap, manakala JPJ pula boleh menyenaraihitamkan mereka daripada memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan. Dengan penyeragaman ini, PBT terbabit dijangka turut mempunyai kuasa yang sama. Sehubungan itu, semua agensi terbabit perlu berbincang bagi melaksanakan langkah terbabit seterusnya mengelakkan orang ramai berasa tidak berpuas hati serta mengakibatkan pelbagai masalah teknikal lain.

Kita percaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang ditubuhkan kerajaan mampu menggalas misi ini bagi memperbaiki mutu pengangkutan awam di Malaysia, terutama dengan penguatkuasaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Fungsi teras SPAD adalah menggubal polisi pengangkutan awam darat, perancangan, kawal selia dan undang-undang penguatkuasaan, syarat dan peraturan membabitkan pengangkutan awam darat. Apa yang kita harapkan tidak ada lagi pihak memperlekeh atau memandang ringan peraturan penguat kuasa yang ada. Pada masa sama, kita juga berharap agensi penguat kuasa terbabit tidak mengenakan saman hanya untuk mencari ‘keuntungan’ sehingga membebankan orang ramai atau tanpa budi bicara sehingga melupakan tanggungjawab sosial mereka kepada rakyat.


BERITA HARIAN, 15 MAC 2011

ISU PENDIDIKAN : TIGA TUGAS HAKIKI PENDIDIK UNIVERSITI

Oleh Shamrahayu A Aziz
BERITA HARIAN, 15 MAC 2011

'Penyakit' 
berpolitik untuk rebut jawatan 
boleh jejas profesion


Saya terkedu dan sedih membaca kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai 'politiking' dalam merebut jawatan naib canselor di universiti tempatan. Kata Perdana Menteri, politiking dalam pelantikan ini tidak wajar berlaku. Katanya lagi, kalangan akademik di universiti perlu menumpukan perhatian kepada pendidikan supaya pelajar dapat menimba ilmu dan membuka minda. Sebagai seorang akademik, saya memandang serius kenyataan Perdana Menteri ini. Sesungguhnya kenyataan itu menusuk jiwa dan perasaan saya. Seumpama mahu saja saya menutup muka kerana malu ditegur begitu. Tetapi apakan daya, sekiranya perkara itu benar, terpaksalah saya menerimanya, walaupun ia begitu pahit. Saya harap kalangan akademik lain juga memberi perhatian sewajarnya terhadap teguran Perdana Menteri itu.  

Sebelum saya teruskan tulisan ini, saya perlu jelaskan bahawa, tiga tugas hakiki pendidik di menara gading ialah, pertama mendidik pelajar dan mengajar mereka berfikir. Kedua, melakukan kajian atau penyelidikan dan yang ketiga, akademik perlulah menerbitkan terbitan ilmiah untuk dimanfaatkan oleh masyarakat dan juga generasi akan datang.  Selain tugas hakiki ini, pensyarah atau profesor di universiti mestilah dapat menyumbang kepada masyarakat secara terus, sama ada dengan cara terbabit secara langsung di dalam aktiviti kemasyarakatan atau menulis dan memberi pendapat kepada khalayak umum.  Selepas memahami tugas hakiki profesion akademik ini, saya perlu nyatakan bahawa profesion sebagai pendidik di institusi pengajian tinggi mempunyai cabaran tertentu. Tarikan dengan kedudukan atau status dalam organisasi ada kalanya menjadi gangguan. 

Tetapi apa yang sentiasa perlu diberi perhatian oleh semua ahli akademik ialah, jawatan pentadbiran bukanlah sesuatu yang harus di utamakan. Tanggungjawab menjalankan tugas hakiki dalam bidang akademik seperti yang saya sebutkan mesti diberi keutamaan.  Pada ketika ini, tugas hakiki ini menjadi lebih berat kerana kebanyakan universiti tempatan sedang mengejar impian mencapai status universiti penyelidikan. Bagi menjayakan cita-cita universiti, akademik mesti sentiasa bekerja keras untuk menjalankan kajian dan membuat terbitan akademik. Oleh itu, kerja penyelidikan menjadi bertambah-tambah dan berganda-ganda.  Dunia akademik dan dunia pentadbiran adalah dua dunia yang berbeza. Ramai akademik tidak sanggup untuk mengendalikan kerja pentadbiran kerana mereka terpaksa menggadai masa yang sepatutnya diperuntukkan bagi melakukan kajian dan berfikir.  

Kerja menulis dan melakukan kajian adalah kerja 24 jam tanpa henti. Jawatan pentadbiran akan menjadi satu sekatan kepada akademik yang mahu menumpukan kepada penulisan dan kajian. Kedudukan profesion akademik ini suatu yang amat mulia dari segi sumbangannya. Profesion ini dipandang tinggi oleh masyarakat. Kita tidak mahu masyarakat hilang kepercayaan kepada kredibiliti pensyarah atau profesor kerana tindakan mereka berebut dan berpolitik untuk kedudukan atau jawatan di dalam pentadbiran. Sekiranya ini berlaku ia satu kerugian besar dan mungkin juga kemusnahan kepada profesion ini. Seorang akademik secara umumnya hendaklah sentiasa dianggap benar dan dipercayai oleh masyarakat. Saya tidak katakan masyarakat perlu menerima bulat-bulat apa yang disebut akademik, tetapi masyarakat perlu menghormati ahli akademik yang disandarkan kepada hujah ilmu. 

Sekiranya ‘penyakit’ berpolitik untuk apa juga jawatan pentadbiran, dibimbangi profesion ini dianggap seumpama profesion lain yang mementingkan kedudukan dalam struktur organisasi pentadbiran dan bukannya kepakaran di dalam bidang akademik. Sekiranya kebolehan dalam bidang keilmuan dipandang remeh dan jawatan pentadbiran menjadi ukuran, itu adalah petanda kepada lemahnya status akademik pada mata masyarakat. Ini tidak harus berlaku. Masyarakat juga harus tahu bahawa jawatan pentadbiran di dalam akademik adalah jawatan ‘incidental’, iaitu jawatan yang disandang secara kebetulan. Ia bukan jawatan hakiki dalam akademik. Seperti yang saya nyatakan, kualiti seorang akademik adalah bergantung kepada buah fikiran dan idea akademiknya, bukan kepada jawatannya. 

Saya fikir, pemikiran ahli akademik sendiri dan juga masyarakat umum mengenai isu ini perlu diperbetulkan. Saya tidak nafikan bahawa ada antara pemegang jawatan pentadbiran di universiti bijak membahagi masa untuk pentadbiran dan penulisan serta sumbangan lain kepada masyarakat umum. Mereka ini sangat kecil bilangannya.  Sepanjang pembabitan saya di dalam persada akademik selama lebih kurang 18 tahun, kebanyakan ahli akademik yang memegang jawatan pentadbiran tidak dapat memberi tumpuan kepada aktiviti akademik. Masa mereka lebih bertumpu kepada pentadbiran yang semestinya memerlukan perhatian 24 jam juga. Perlu saya sebut bahawa di universiti terkemuka dunia, jawatan pentadbiran dilakukan atas dasar bergilir-gilir. Akademik memerlukan masa yang ekslusif untuk berfikir dalam membina teori baru dan seterusnya membentuk idea atau falsafah baru. Seperti diketahui umum, mencari idea baru bukanlah perkara mudah dan ia hanya boleh dilakukan sekiranya tiada gangguan.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

ISU ALAM SEKITAR : MALAYSIA PERLU GUBAL DASAR INOVATIF, PENGURUSAN AIR BERDAYA MAJU

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bhatian.com.my
BERITA HARIAN, 15 MAC 2011


Adakah kita akan berdepan krisis air dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi? Jika ia benar-benar berlaku, apa akan jadi terhadap kehidupan manusia?  Krisis bekalan air di Lembah Klang pada 1998 yang menyebabkan hampir dua juta penduduk terpaksa dicatu bekalan air selama enam bulan akibat cuaca panas luar biasa mungkin berulang jika sumber air negara tidak diuruskan dengan baik. Selain itu, Melaka pernah mengalami krisis air paling buruk dalam sejarahnya pada 1991 apabila Empangan Durian Tunggal yang menjadi nadi bekalan air di negeri berkenaan kering berikutan kemarau panjang. Kemungkinan berlakunya semula musibah dan keadaan darurat inilah yang membimbangkan pelbagai pihak jika ia tidak ditangani mulai sekarang.  Ini kerana pembangunan dan pemuliharaan sumber air di negara kita masih dianggap belum memuaskan. 

Oleh itu, negara kita dan seluruh masyarakat dunia perlu berfikir segera, paling tidak pun 100 tahun ke hadapan bagi mengelak berlaku krisis bekalan air. Faktor perubahan iklim dunia, keadaan sumber air yang semakin tercemar selain kepesatan pembangunan dan perindustrian memerlukan kerjasama erat antara semua pihak. Populasi manusia yang semakin bertambah antara faktor mengurangkan kuantiti air bersih.  Sebenarnya, istilah krisis air digunakan di seluruh dunia untuk menunjukkan situasi sumber air mentah ketika ini. Aspek utama krisis air adalah kekurangan sumber air yang boleh digunakan dan pencemaran air.  Golongan penggubal dasar, pemain dalam sektor industri, cendekiawan sehingga aktivis alam sekitar perlu berbincang dan berbuat sesuatu mengenai isu terbabit. Ramai tidak tahu dan tersalah anggap bahawa selagi ada laut dan sungai, manusia tidak akan menghadapi krisis air. 

Mereka tidak memahami jumlah tenaga dan kos yang diperlukan untuk menukar air masin dan air tawar kepada air bersih yang bukannya sedikit atau murah. Bagi Malaysia, kita dianggap bertuah kerana mempunyai sumber air yang banyak dengan kedudukan di garisan Khatulistiwa memberikannya hujan sepanjang tahun berjumlah lebih 2,000 milimeter (mm) setahun, manakala 5,000mm bagi kawasan Pantai Timur. Melihatkan keadaan ini, pasti ramai berpendapat adalah tidak masuk akal jika negara kita akan mengalami krisis air. Namun, itulah hakikatnya jika semua pihak masih bersikap acuh tidak acuh mengenai permasalahan ini. Perkara berkenaan adalah antara isu bakal didebatkan pada Persidangan dan Pameran Air Asia Pasifik (APRWC) 2011 yang akan diadakan di Hotel Grand Dorsett Subang, Selangor selama tiga hari, mulai hari ini. 

Program anjuran Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (SWAN) bertemakan Pendekatan Air Secara Kolektif. Seramai 15 penceramah luar negara antaranya dari Australia, Amerika Syarikat, Belanda, Jepun, Singapura, Denmark, Indonesia dan Kemboja serta 11 penceramah tempatan akan membuat pembentangan sepanjang persidangan itu. Ia disertai lebih 300 wakil pelbagai latar belakang seperti ahli korporat, perunding, penyelidik dan pembuat dasar yang pakar dalam bidang masing-masing. APRWC 2011 juga bertujuan mencari penyelesaian jangka panjang menangani pelbagai isu berkaitan industri air seperti cabaran perubahan iklim, pengurusan dan masalah alam sekitar yang mempengaruhi bekalan air bersih kepada penduduk dunia, termasuk di rantau Asia Pasifik. 

Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Tan Sri Rozali Ismail, berkata Malaysia tidak boleh leka dalam menjaga dan merawat sumber airnya walaupun dianggap antara yang terbaik daripada segi penggunaan teknologi bekalan air bersih di rantau ini. "Kita perlu membangun serta menggubal dasar yang inovatif dan strategik, merangka kerja kawal selia sendiri serta membentuk sistem pengurusan berdaya maju dan berkesan. "Rangka ini pula perlu bersifat jangka panjang demi kelangsungan negara kita. Kita perlu menjangka apa yang akan berlaku pada masa depan. Jangan apabila krisis air hampir atau sudah berlaku baru kita hendak bertindak,” katanya sambil berharap persidangan itu akan membentuk kerjasama berterusan antara negara yang membolehkan pertukaran pengalaman membabitkan cabaran yang dihadapi dalam pengeluaran air bersih bagi kegunaan rakyat.