BERITA 1 : TAHAP RADIASI DI BANDAR RAYA TOKYO TINGGI
Krisis nuklear Jepun semakin meruncing apabila satu lagi letupan hidrogen berlaku ke atas sebuah reaktor ketiga di Fukushima Daiichi yang mengeluarkan radiasi ke udara sehingga merebak ke Tokyo, kira-kira 170 kilometer di selatan loji yang lumpuh akibat gempa bumi mega minggu lalu itu. Tahap radiasi 20 kali di atas paras biasa di Tokyo, tetapi kerajaan tempatan berkata, tahap itu masih tidak memberi risiko kesihatan kepada manusia. Perdana Menteri Naoto Kan, merayu penduduk negara itu tidak panik, tetapi memberi amaran wujud risiko tinggi pembocoran selanjutnya akan berlaku. Bagaimanapun, arah angin mungkin menjadi penyelamat berikutan tiupan kini membawa radiasi itu menuju ke Lautan Pasifik dan tidak ke kawasan padat penduduk di Jepun dan negara Asia lain. Letupan di loji nuklear Fukushima Daiichi semalam adalah ketiga dalam empat hari – menjadikan krisis itu terburuk sejak bencana di reaktor nuklear Chernobyl di Ukraine pada 1986.
Walaupun berdepan risiko pendedahan radiasi, jurutera di loji Fukushima Daiichi yang berusia 40 tahun itu, berkerja keras untuk menyejukkan reaktor nombor dua yang rosak teruk dengan mengepam masuk air laut ke dalamnya. Kebanyakan daripada 800 pekerja di loji itu sudah dipindahkan ke tempat lebih selamat dengan hanya 50 pekerja ditinggalkan untuk menangani krisis berkenaan. Selepas mesyuarat Kabinet tergempar, Kan memberitahu penduduk dalam lingkungan 20 kilometer dari loji Fukushima Daiichi agar tidak keluar dari rumah, menutup tingkap dan tidak menggunakan pendingin udara. Rayuan beliau disambut baik penduduk dengan tidak ada tanda suasana panik di negara yang pernah mengalami serangan radiasi di Hiroshima dan Nagasaki yang menamatkan Perang Dunia Kedua. Ketua bahagian pengurangan risiko Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), Maryam Golnaraghi, berkata arah angin semasa meniup bahan radioaktif dari loji Fukushima Daiichi ke arah Lautan Pasifik dan tidak kawasan padat penduduk, namun arah angin itu mungkin berubah.
Sementara itu, beribu-ribu mangsa dipercayai terperangkap dan masih menunggu bantuan dengan kira-kira 1,300 orang ditemui berlindung di pulau Oshima, wilayah Miyagi. Kira-kira 7,000 hingga 8,000 orang yang berlindung di sekolah juga dikesan masih tidak mendapat bantuan. Gabenor Miyagi, Yoshihiro Murai memberitahu sidang akhbar kebanyakan hospital menghadapi masalah kekurangan ubat, manakala peningkatan mendadak jumlah mayat yang ditemui menyebabkan rumah mayat sesak. Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana berkata jumlah bangunan yang musnah sepenuh atau sebahagiannya mencecah 72,945 semalam.
BERITA 2 : SIAP SEDIA HADAPI ANCAMAN NUKLEAR
Walaupun digesa kekal tenang oleh Perdana Menteri Naoto Kan, penduduk tetap bergegas ke kedai untuk membeli barang keperluan bagi bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana nuklear. Di pusat beli-belah Don Quixote, sebuah kedai 24 jam yang menjual barangan keperluan di daerah Roppongi di Tokyo, produk seperti radio, lampu suluh, lilin dan beg tidur habis dijual. Beberapa kedutaan menasihatkan kakitangan dan rakyat masing-masing untuk meninggalkan kawasan terjejas radiasi dan daerah yang musnah akibat gempa bumi magnitud 9 (dinaikkan daripada 8.9 semalam) dan tsunami Jumaat lalu yang mungkin mengorbankan sehingga 6,000 nyawa. Pelancong juga didapati memendekkan cuti masing-masing dan syarikat antarabangsa menggesa kakitangan masing-masing untuk berpindah atau merancang memindahkan pejabat ke kawasan di luar Tokyo.
Media Jepun semakin kritikal terhadap cara Kan menangani krisis berganda ini dan mengecam Tokyo Electric Power Co (TEPCO) - pengendali loji nuklear Fukushima Daiichi - kerana gagal memberi maklumat yang memadai berhubung masalah di loji berkenaan yang lumpuh akibat gempa bumi. Kan juga membidas TEPCO kerana mengambil masa terlalu lama untuk memaklumkan pejabat beliau berhubung letupan terbaru yang menyebabkan pengeluaran radiasi ke udara sehingga merebak sejauh 170 kilometer ke Tokyo semalam. Televisyen melaporkan letupan ketiga berlaku pagi semalam tetapi pejabat perdana menteri hanya dimaklumkan sejam kemudian,” kata Kan. Sejak ia rosak akibat gempa bumi Jumaat lalu, loji nuklear berusia 40 tahun itu mengalami empat letupan, dengan letupan terbaru berlaku terhadap reaktor dua dan empat. Pihak berkuasa bimbang kebocoran akan berlaku menyebabkan bencana nuklear seperti Chernobyl di Ukraine pada 1986 yang menyaksikan kawasan sekeliling dicemari radiasi.
BERITA 3 : DUA LETUPAN BARU DI LOJI NUKLEAR FUKUSHIMA DAIICHI
Loji nuklear Fukushima Daiichi yang lumpuh berikutan gempa bumi mengalami kebocoran radiasi yang serius semalam berikutan dua letupan baru dan satu kebakaran ketika kakitangan di tapak berkenaan bertungkus lumus mengelak kebocoran. Krisis nuklear terbesar negara itu semakin buruk setiap hari berikutan empat daripada enam reaktor di loji nuklear Fukushima mengalami letupan hidrogen sejak gempa bumi melanda wilayah Tohoku Jumaat lalu. Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) mengarahkan 800 kakitangannya berpindah dari loji terbabit tetapi meninggalkan 50 yang lain untuk mengepam air laut ke reaktor dalam usaha yang disifatkan terdesak untuk menyejukkan tiga daripada empat reaktor dan berusaha untuk mengelak pembocoran teras.
Dalam satu taklimat malam kelmarin, Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano mengakui adanya risiko tiga daripada empat reaktor terjejas itu boleh mengalami kebocoran. Namun Kazuhiko Maekawa, profesor madya di Universiti Tokyo semalam berkata walaupun senario ini mungkin berlaku, sekurang-kurangnya pada masa sekarang, ia adalah berbeza dengan kebocoran teras di Chernobyl pada 1986 di Ukraine yang membabitkan letupan nuklear berskala besar. Walaupun kebocoran berlaku, ia masih dalam keadaan cecair, kata Maekawa. Jika reaktor utama tidak musnah secara keseluruhan, bahan radioaktif membawa maut masih kekal dalam kawasan reaktor.
BERITA 4 : PERISTIWA PERANG DUNIA KEDUA BERULANG
Hirosato Wako hanya mampu merenung kemusnahan penempatan kecil nelayan yang dipenuhi runtuhan bangunan, besi dan mayat dengan tangan yang kelihatan terkeluar. Hanya sekali beliau pernah melihat keadaan seperti itu, iaitu ketika Perang Dunia Kedua. “Saya tinggal ketika Sendai pernah dilanda serangan udara, tetapi kali ini ia lebih teruk,” kata Wako, 75, merujuk kepada pengeboman di bandar raya terbesar di timur laut berkenaan. Bagi orang tua yang tinggal di perkampungan di pinggir pantai timur laut Jepun itu, ia bagaikan kembali kepada masa silam yang mana anak-anaknya tidak pernah mengetahuinya. Generasi tua yang terus tinggal berhadapan dengan kemusnahan dan kemungkinan pencemaran radiasi – satu cabaran dihadapi semula generasi itu selepas negara Matahari Terbit itu terpaksa dibangunkan semula berikutan tewas pada Perang Dunia Kedua pada 1945. Di perkampungan Yuriage, operasi mencari mangsa bertukar menjadi pencarian mayat. Kebanyakan mayat terbabit membabitkan golongan tua yang tidak bermaya untuk lari dari tsunami.
Yuta Saga, 21, mengutip beberapa cawan yang pecah akibat gempa bumi apabila beliau terdengar bunyi siren dan jeritan ‘tsunami!’. Beliau sempat menyambar tangan ibunya dan berlari ke sekolah tinggi, bangunan tertinggi di kawasan terbabit. Apabila tiba di sekolah, Saga dan ibunya mendapati tangga untuk naik ke bumbung dipenuhi orang tua yang tidak lagi berdaya untuk memanjatnya. Ada yang sekadar duduk atau berbaring di atas tangga terbabit. Dalam keadaan panik, penduduk muda mula menolak sesama sendiri dan memanjat mereka yang tidak bergerak atau menepis mereka untuk menuju ke atas. “Saya seperti tidak percaya. Mereka sekadar menolak orang tua. Orang tua terbabit langsung tidak dapat menyelamatkan diri,” kata Saga. Saga masih ingat, seorang wanita menyerahkan bayinya kepada beliau. “Tolong sekurang-kurangnya selamatkan bayi ini,” rayu beliau ketika air sudah mencecah bahagian dadanya.
SEKADAR UNTUK RENUNGAN BERSAMA
ALLAH berfirman di dalam aL-Quran,
Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).Adakah kamu – (sesudah diselamatkan ke darat) – merasa aman (dan tidak memikirkan), bahawa Allah akan menggempakan sebahagian dari daratan itu menimbus kamu, atau dia akan menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung kamu?.Atau adakah kamu merasa aman (dan tidak memikirkan) bahawa Allah akan mengembalikan kamu sekali lagi ke laut, kemudian Ia menghantarkan kepada kamu angin ribut yang memecah belahkan segala yang dirempuhnya, lalu Ia mengaramkan kamu dengan sebab kekufuran kamu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang boleh menuntut bela tentang itu terhadap Kami?
(aL-Isra' :67-69)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan