JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 Mac 2011

ISU PENDIDIKAN : TIGA TUGAS HAKIKI PENDIDIK UNIVERSITI

Oleh Shamrahayu A Aziz
BERITA HARIAN, 15 MAC 2011

'Penyakit' 
berpolitik untuk rebut jawatan 
boleh jejas profesion


Saya terkedu dan sedih membaca kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai 'politiking' dalam merebut jawatan naib canselor di universiti tempatan. Kata Perdana Menteri, politiking dalam pelantikan ini tidak wajar berlaku. Katanya lagi, kalangan akademik di universiti perlu menumpukan perhatian kepada pendidikan supaya pelajar dapat menimba ilmu dan membuka minda. Sebagai seorang akademik, saya memandang serius kenyataan Perdana Menteri ini. Sesungguhnya kenyataan itu menusuk jiwa dan perasaan saya. Seumpama mahu saja saya menutup muka kerana malu ditegur begitu. Tetapi apakan daya, sekiranya perkara itu benar, terpaksalah saya menerimanya, walaupun ia begitu pahit. Saya harap kalangan akademik lain juga memberi perhatian sewajarnya terhadap teguran Perdana Menteri itu.  

Sebelum saya teruskan tulisan ini, saya perlu jelaskan bahawa, tiga tugas hakiki pendidik di menara gading ialah, pertama mendidik pelajar dan mengajar mereka berfikir. Kedua, melakukan kajian atau penyelidikan dan yang ketiga, akademik perlulah menerbitkan terbitan ilmiah untuk dimanfaatkan oleh masyarakat dan juga generasi akan datang.  Selain tugas hakiki ini, pensyarah atau profesor di universiti mestilah dapat menyumbang kepada masyarakat secara terus, sama ada dengan cara terbabit secara langsung di dalam aktiviti kemasyarakatan atau menulis dan memberi pendapat kepada khalayak umum.  Selepas memahami tugas hakiki profesion akademik ini, saya perlu nyatakan bahawa profesion sebagai pendidik di institusi pengajian tinggi mempunyai cabaran tertentu. Tarikan dengan kedudukan atau status dalam organisasi ada kalanya menjadi gangguan. 

Tetapi apa yang sentiasa perlu diberi perhatian oleh semua ahli akademik ialah, jawatan pentadbiran bukanlah sesuatu yang harus di utamakan. Tanggungjawab menjalankan tugas hakiki dalam bidang akademik seperti yang saya sebutkan mesti diberi keutamaan.  Pada ketika ini, tugas hakiki ini menjadi lebih berat kerana kebanyakan universiti tempatan sedang mengejar impian mencapai status universiti penyelidikan. Bagi menjayakan cita-cita universiti, akademik mesti sentiasa bekerja keras untuk menjalankan kajian dan membuat terbitan akademik. Oleh itu, kerja penyelidikan menjadi bertambah-tambah dan berganda-ganda.  Dunia akademik dan dunia pentadbiran adalah dua dunia yang berbeza. Ramai akademik tidak sanggup untuk mengendalikan kerja pentadbiran kerana mereka terpaksa menggadai masa yang sepatutnya diperuntukkan bagi melakukan kajian dan berfikir.  

Kerja menulis dan melakukan kajian adalah kerja 24 jam tanpa henti. Jawatan pentadbiran akan menjadi satu sekatan kepada akademik yang mahu menumpukan kepada penulisan dan kajian. Kedudukan profesion akademik ini suatu yang amat mulia dari segi sumbangannya. Profesion ini dipandang tinggi oleh masyarakat. Kita tidak mahu masyarakat hilang kepercayaan kepada kredibiliti pensyarah atau profesor kerana tindakan mereka berebut dan berpolitik untuk kedudukan atau jawatan di dalam pentadbiran. Sekiranya ini berlaku ia satu kerugian besar dan mungkin juga kemusnahan kepada profesion ini. Seorang akademik secara umumnya hendaklah sentiasa dianggap benar dan dipercayai oleh masyarakat. Saya tidak katakan masyarakat perlu menerima bulat-bulat apa yang disebut akademik, tetapi masyarakat perlu menghormati ahli akademik yang disandarkan kepada hujah ilmu. 

Sekiranya ‘penyakit’ berpolitik untuk apa juga jawatan pentadbiran, dibimbangi profesion ini dianggap seumpama profesion lain yang mementingkan kedudukan dalam struktur organisasi pentadbiran dan bukannya kepakaran di dalam bidang akademik. Sekiranya kebolehan dalam bidang keilmuan dipandang remeh dan jawatan pentadbiran menjadi ukuran, itu adalah petanda kepada lemahnya status akademik pada mata masyarakat. Ini tidak harus berlaku. Masyarakat juga harus tahu bahawa jawatan pentadbiran di dalam akademik adalah jawatan ‘incidental’, iaitu jawatan yang disandang secara kebetulan. Ia bukan jawatan hakiki dalam akademik. Seperti yang saya nyatakan, kualiti seorang akademik adalah bergantung kepada buah fikiran dan idea akademiknya, bukan kepada jawatannya. 

Saya fikir, pemikiran ahli akademik sendiri dan juga masyarakat umum mengenai isu ini perlu diperbetulkan. Saya tidak nafikan bahawa ada antara pemegang jawatan pentadbiran di universiti bijak membahagi masa untuk pentadbiran dan penulisan serta sumbangan lain kepada masyarakat umum. Mereka ini sangat kecil bilangannya.  Sepanjang pembabitan saya di dalam persada akademik selama lebih kurang 18 tahun, kebanyakan ahli akademik yang memegang jawatan pentadbiran tidak dapat memberi tumpuan kepada aktiviti akademik. Masa mereka lebih bertumpu kepada pentadbiran yang semestinya memerlukan perhatian 24 jam juga. Perlu saya sebut bahawa di universiti terkemuka dunia, jawatan pentadbiran dilakukan atas dasar bergilir-gilir. Akademik memerlukan masa yang ekslusif untuk berfikir dalam membina teori baru dan seterusnya membentuk idea atau falsafah baru. Seperti diketahui umum, mencari idea baru bukanlah perkara mudah dan ia hanya boleh dilakukan sekiranya tiada gangguan.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tiada ulasan: