JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 Mac 2011

ISU SOSIAL : SKIM RUMAH PERTAMAKU, INFLASI, DAN HUTANG

Oleh ROHAMI SHAFIE


Selama dua hari berturut-turut, rakyat dihidangkan dua khabar gembira. Pertama, berita baik untuk golongan muda yang berumur 35 tahun ke bawah dan berpendapatan kurang RM3,000 sebulan. Kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku, satu skim khas yang memberi peluang kepada golongan belia untuk memiliki rumah sendiri. Skim ini cukup baik untuk golongan belia memiliki rumah. Dengan pinjaman maksimum RM220,000 tanpa perlu membayar sebarang pendahuluan, sudah tentu ia membuka peluang yang lebih luas kepada golongan muda yang selama ini mendambakan rumah. Jika sebelum ini mereka perlu menyediakan pendahuluan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga rumah, maka dengan adanya skim ini mereka tidak perlu lagi memikirkan permasalahan ini. 

Sememangnya menyediakan pendahuluan merupakan salah satu beban kepada mereka berpendapatan rendah. Bayangkan jika harga rumah berharga RM200,000, maka mereka terpaksa menyediakan pendahuluan sebanyak RM20,000. Jumlah ini cukup besar dan memerlukan tempoh masa yang agak lama untuk disediakan. Walhal harga rumah semakin meningkat. Rumah sama yang ingin dimiliki tidak lagi sama harganya pada masa akan datang. Maka, bertambahlah jumlah pendahuluan yang perlu dibayar dan sudah tentunya bertambahlah tempoh masa bagi mereka untuk menyediakan wang pendahuluan tersebut. Natijah, sampai bila-bila pun mereka tidak mampu memiliki rumah. Inilah kebaikan skim ini dan sepatutnya peluang ini direbut oleh para belia kita. Lantaran itu, segala birokrasi bagi memperoleh pinjaman tersebut daripada pihak bank perlu dipermudahkan terutama bagi pemohon-pemohon yang benar-benar layak dan mampu membayar balik pinjaman. 

Janganlah pula apabila diumumkan skim ini, pelbagai lagi syarat tambahan dikenakan kepada pemohon. Di sebalik kebaikan pinjaman ini, penulis merasakan skim ini juga perlu dilihat dari konteks yang lebih luas lagi. Kekhuatiran penulis ialah caj yang dikenakan boleh membebankan peminjam. Sebagai contoh, katakanlah peminjam meminjam maksimum RM200,000, dengan caj 4.5 peratus selama 30 tahun, peminjam terpaksa membayar ansuran balik pinjaman dalam lingkungan RM1,000 sebulan. Jumlah ini cukup besar bagi golongan berpendapatan RM3,000 ke bawah. Penulis merasakan caj yang dikenakan mestilah pada kadar paling minimum atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan keprihatinan pihak bank untuk membantu rakyat Malaysia. Selain itu, penulis juga kurang bersetuju ke atas cadangan untuk menaikkan jumlah pinjaman sehingga RM350,000. Jika cadangan ini dilaksanakan, maka akan berlakulah satu risiko yang amat tinggi, peningkatan hutang tidak berbayar (NPL) di kalangan belia.

Umum mengetahui, ramai golongan belia yang terperangkap dalam permasalahan kewangan yang teruk, maka jika cadangan ini dilaksanakan, mereka berisiko tinggi untuk muflis. Ambillah iktibar apa yang telah berlaku ke atas Amerika Syarikat (AS) sebelum ini berkaitan dengan pinjaman hartanah kepada golongan yang berpendapatan rendah. Berita baik kedua yang menggembirakan rakyat ialah kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak RM4 bilion jika harga minyak global kekal melepasi AS$100 setong. Ini merupakan langkah yang terbaik bagi membendung peningkatan inflasi di Malaysia. Lebih-lebih lagi, harga minyak dijangka akan semakin meningkat ekoran kekacauan yang berlaku di Libya. Dilaporkan pengeluaran minyak di Libya merosot sebanyak tiga kali ganda sejak berlakunya konflik di negara tersebut. 

Langkah meningkatkan subsidi minyak ini meskipun kurang popular bagi sesetengah pakar ekonomi kerana ia dikatakan sebagai subsidi yang merencatkan ekonomi pasaran bebas, namun langkah ini merupakan langkah bijak bagi melindungi rakyat secara keseluruhannya. Satu perkara yang tidak boleh sama sekali terlepas pandang ialah harga minyak yang semakin meningkat (jika tidak disubsidi) boleh mendatangkan kesan negatif kepada ekonomi negara secara keseluruhannya. Rakyat sebagai pengguna terpaksa mengurangkan perbelanjaan lain dek kerana kuasa beli yang semakin menurun. Sektor perniagaan akan teruk terjejas. Bukan itu sahaja, peningkatan harga minyak global boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi dunia. Bayangkan dengan hanya pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia, maka jika harga minyak di Malaysia dinaikkan, kesan negatif ke atas ekonomi negara akan semakin berganda. 

Sasaran pertumbuhan ekonomi negara sebanyak enam peratus pada tahun ini juga akan turut terjejas. Rakyat pula akan semakin tertekan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Kesan rantaiannya sudah pastinya nisbah hutang isi rumah terhadap Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) akan semakin meningkat. Lantaran itu, kedua-dua khabar berita ini menggambarkan betapa kerajaan menyedari suasana semasa dan mengambil tindakan proaktif bagi melindungi ekonomi negara dan membela nasib rakyat.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

UTUSAN MALAYSIA, 15 MAC 2011

Tiada ulasan: