Oleh NIZAM YATIM
UTUSAN MALAYSIA, 16 MAC 2011
Setiap pemimpin kerajaan tidak harus menganggap suruhanjaya hak asasi manusia di negara mereka sebagai musuh, kerana ia sebenarnya adalah rakan paling akrab. Ini kerana kewujudan suruhanjaya sedemikian akan membantu pemimpin berkenaan memahami lebih mendalam masalah yang dihadapi rakyat khususnya golongan minoriti dan seterusnya membolehkan mereka merancang strategi berkesan untuk menyelesaikannya. Itulah nasihat yang diberikan bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Australia (AHRC), Profesor Brian Burdekin dalam satu taklimat kepada wartawan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini. Burdekin adalah individu yang telah menggegarkan Australia pada 1989 apabila membentangkan laporan bersama-sama bukti kukuh bahawa terdapat lebih 20,000 kanak-kanak merempat di negara itu yang selama ini berbangga sebagai negara maju.
Beliau kini ialah profesor pelawat di Institut Raoul Wallenberg di Sweden dan juga penasihat kepada suruhanjaya hak asasi manusia di Afrika, Asia dan Eropah Timur. Nasihat Burdekin itu harus diberi perhatian serius kerana sistem pemerintahan demokrasi yang diamalkan kebanyakan negara sekarang boleh dianggap sudah ketinggalan zaman kerana ia hanya mengutamakan kepentingan golongan majoriti dan mengabaikan kumpulan minoriti. ''Wujud lompang dalam sistem demokrasi sekarang yang perlu ditangani. Jika pemimpin kerajaan terus mengabai kehendak golongan minoriti, kerajaan itu juga boleh ditumbangkan oleh kuasa rakyat," ujarnya. Jelas beliau, kuasa rakyat yang dimaksudnya adalah penggunaan teknologi Internet seperti Facebook dan Twitter untuk mengetengahkan sesuatu isu. ''Mereka yang tidak berpuas hati kini boleh meluahkan perasaan mereka dengan hanya menaip mesej dalam laman sosial berkenaan yang kemudiannya akan diberikan reaksi oleh pihak lain.
''Perubahan ini bagi saya bukan satu revolusi sebaliknya adalah evolusi (perubahan secara beransur-ansur) apabila setiap rakyat termasuk golongan minoriti mahu dilayan secara adil," katanya sambil menjelaskan kebangkitan kuasa rakyat sedemikian tidak memerlukan pemimpin khusus yang berkarisma. Kuasa laman sosial berkenan terbukti apabila akhbar Berita Harian pada 14 Mac lalu terpaksa menyiarkan permohonan maaf di muka depannya setelah edisi Berita Minggu sehari sebelum itu menyiarkan kartun adi wira popular Jepun, Ultraman lari lintang pukang daripada ombak tsunami yang besar. Walaupun kartun itu langsung tidak menyentuh mengenai penduduk negara ini, akhbar berkenaan terpaksa meminta maaf setelah wujudnya kempen dalam Facebook dan Twitter untuk memboikotnya dan dalam tempoh beberapa jam sahaja setelah kempen itu dimulakan ia telah mengumpul 571 tandatangan.
Selain mengambil berat terhadap segala isu yang diadukan kepada suruhanjaya hak manusia, katanya, kerajaan sesebuah negara harus memastikan bahawa mereka tidak melanggar perjanjian antarabangsa berkenaan hak asasi manusia. ''Ingatlah bahawa tiada kerajaan yang berada di atas daripada undang-undang dan mana-mana pemimpin yang melanggar hak asasi manusia boleh dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). ''ICC sebelum ini telah membicarakan kes-kes yang melibatkan kekejaman di Rwanda dan Kemboja. Saya juga dapat merasakan bahawa satu hari nanti pemimpin Libya, Muammar Gaddafi juga akan dibicarakan di sana," ujarnya. Sementara itu, seorang lagi bekas Pesuruhjaya AHRC, Profesor Chris Sidoti berkata, penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sejak 1999 membuktikan kerajaan negara ini serius untuk memastikan tiada mana-mana pihak yang mencabuli hak asasi manusia.
''Untuk pengetahuan anda, suruhanjaya hak asasi manusia adalah idea baru yang muncul di kalangan negara-negara Asia Pasifik dengan Australia adalah antara negara pertama menubuhnya iaitu pada 1986. ''Oleh itu, anda jangan terkejut jika isu-isu seperti nasib masyarakat peribumi di Amerika Syarikat (AS) tidak dihiraukan kerana negara itu sehingga kini belum mempunyai suruhanjaya sedemikian dan badan sama juga tidak diwujudkan di negara-negara Eropah Barat," katanya. Sidoti menjadi pesuruhjaya antara 1995 hingga 2000. Sepanjang tempoh itu, antara kejayaan terbesar yang telah dicapai oleh AHRC adalah apabila ia mendedahkan kejadian anak-anak penduduk asli Australia yang dipisahkan daripada keluarga masing-masing secara paksa dan dimasukkan ke institusi kerajaan untuk tujuan asimilasi dengan masyarakat kulit putih. Setelah hampir 10 tahun pendedahan itu dibuat, akhirnya pada 2008, Perdana Menteri Australia ketika itu, Kevin Rudd bagi pihak kerajaan secara rasmi memohon maaf kepada penduduk asli negara tersebut.
Dalam pada itu, Sidoti menggesa pihak media supaya memainkan peranan masing-masing untuk mendedahkan pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh mana-mana golongan di negara masing-masing. ''Saya yakin anda masih ingat lagi pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Dili, Timor Leste pada 12 November 1991 apabila tentera Indonesia menembak mati 271 penduduk tidak bersenjata,'' katanya. Insiden itu telah membangkitkan kemarahan masyarakat antarabangsa setelah seorang wartawan Belanda berjaya menyeludup keluar pita video rakaman kejadian itu yang kemudiannya disiarkan stesen televisyen ITV di Britain pada Januari 1992. Pendedahan itu menyebabkan tekanan dikenakan terhadap Indonesia sehingga akhirnya Timor Leste merdeka pada 2002. ''Inilah peranan besar yang boleh dimainkan oleh pihak media. Anda tidak perlu takut untuk menyiarkan berita sedemikian termasuk membabitkan aduan yang dibuat kepada suruhanjaya hak asasi manusia kerana anda dilindungi undang-undang yang membolehkan sesuatu berita atau gambar itu disiarkan atas alasan kepentingan awam. ''Kesedaran mengenai pentingnya hak asasi manusia dihormati semakin bercambah di seluruh dunia. Oleh itu, wartawan dan pengarang akhbar juga perlu berubah untuk menjadi lebih berani dalam mendedahkan pihak-pihak yang melanggarnya," ujar beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan