JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



06 April 2023

AKU SEORANG SAHAJA KE YANG ADA MASALAH SELALU LUPA

 


Semalam saya berbelanja barang di sebuah kompleks beli belah selepas balik dari sekolah. Tabiat saya sambil shopping saya akan tengok jumlah duit yang ada di dompet. Saya raba kocek belakang, duit dompet tiada! Aduh, barang sudah penuh bakul saya ambil. Saya buka telefon, tengok Sarawak Pay sebab saya memang ada letak wang di situ untuk belanja bulanan. Internet pula bermasalah. Saya pun berpatah balik simpan semua barang dalam bakul ke tempat saya ambil. Masalah saya tertinggal beg duit ini kerap kali berlaku. Kadang-kadang saya berlapar di sekolah apabila lupa bawa duit. Duit yang saya simpan dalam kereta untuk kecemasan pula adakalanya sudah habis.

Saya teringat kawan saya pernah bercerita dia lupa bawa isteri dan anak dia ke sebuah gedung beli belah di Kuching. Dia pulang sendiri ke rumah dalam jarak 50 kilometer. Apabila sampai di rumah, baru teringat isteri dan anak tiada. Dia pun menelefon mereka. Dia sambil ketawa sambil bercerita kena bebel dengan isteri dia sebab mereka cari dia di gedung itu hampir dua jam. Masalah lupa kunci lagi haru. Pintu bilik tidur saya sudah lebih 7 kali saya pecahkan kerana kunci hilang. Selepas pecahkan pintu dan beli baharu maka jumlah kunci itu di kocek seluar dan di bawah kerusi kereta. Semasa dicari, tidak pula nampak! Geram betul. Dalam perjalanan ke sekolah pada setiap pagi, saya selalu dihantui oleh masalah lupa tutup suis elektrik dan sterika. Saya sering berpatah balik ke rumah di pertengahan jalan tetapi apabila sampai di rumah sebenarnya suis memang sudah dipadamkan. Alamatnya, terbazirlah masa!

Saya selalu juga terlupa menyiapkan kerja yang disuruh atau perlu dihantar hingga berjaga sampai pagi menyiapkan semua itu. Yang saya tidak akan lupa ialah waktu makan. Saya sentiasa ingat bila waktu makan. Saya juga tidak pernah lupa waktu perlawanan bola sepak bagi pasukan Liverpool. Saya sanggup menghitung waktu menanti waktu siaran bermula. Oleh sebab saya ada dua ekor kucing comel yang bernama Jerico dan Vella Jelita, saya sentiasa ingat makanan dan pasir kucing saya habis. Akan tetapi, saya selalu lupa pada hal berkaitan dengan diri sendiri. Saya paling takut kalau saya lupa janji dengan pelajar, walaupun perkara ini selalu berlaku terutama tertinggal kertas peperiksaan yang sudah disemak di rumah, saya tidak malu mengaku  di hadapan mereka. Saya amat hormati pelajar-pelajar saya kerana saya seorang pendidik.

Setakat ini saya tidak pernah lupa yang saya sudah mempunyai isteri dan anak-anak. Saya yakin saya tidak akan berkahwin lagi, jangan risau isteriku! Saya juga tidak lupa akan asal usul saya yang bertahun-tahun berjuang melepaskan diri daripada kemiskinan sebagai anak pedalaman yang tersisih dari kemajuan dan pembangunan. Saya juga tidak pernah lupa akan mendiang ibu dan ayah saya yang berkorban membesarkan dan membiayai persekolahan saya dan adik-adik saya. Yang pernah menolong dan menyokong serta memberi semangat dan harapan sepanjang perjuangan ini, semuanya sentiasa tersemat indah di tugu kasih hati. Yang terakhir, saya tidak pernah lupa pada Allah Yang Maha Esa selagi masih bernyawa kerana saya sedar tanpa keberkatan daripada-Nya, hidup ini tiada bermakna. Insya-Allah.

Tiada ulasan: