10 November 2012

ISU IPT : GRADUAN PERLU BUKA MINDA


Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin


Jika dulu graduan dengan keputusan cemerlang sering menjadi pilihan majikan, senario alaf baru menyaksikan graduan bertahap sederhana pula laku seperti goreng pisang panas. Meskipun dengan keputusan cemerlang, bukan semua bernasib baik malah ada juga terpaksa berhempas pulas bersaing dengan ribuan graduan lain mencari pekerjaan. Sebaliknya, mereka hanya memiliki sijil kemahiran serta kelayakan lebih rendah mudah pula memancing hati majikan hingga menimbulkan pertanyaan, apakah kecemerlangan graduan ini tidak bermakna. Adakah senario ini isyarat bahawa keputusan cemerlang bukan lagi jaminan graduan itu tidak akan bergelar ‘penganggur terhormat’? Atau adakah dunia pendidikan dan kerjaya hari ini sebulat suara tidak mementingkan lagi keputusan cemerlang sebagai syarat utama menawarkan pekerjaan sebaliknya perlu diseimbangkan dengan kehendak semasa?

Ketua Program Komunikasi dan Pengarah Kewartawanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Siti Suriani Othman, berkata trend majikan kini lebih mengkhusus kepada mereka yang berkemahiran serta memiliki personaliti positif menjadikan graduan biarpun mempunyai keputusan cemerlang sebagai pilihan kedua. Beliau berkata, keputusan atau ijazah bukan lagi jaminan mereka mudah diterima bekerja andai kata tidak memiliki kriteria dikehendaki seperti pandai berkomunikasi, berani dan penuh idea.  “Jika memiliki ijazah dengan keputusan cemerlang, ia masih belum mencukupi untuk menambat hati majikan yang hari ini begitu selektif memilih pekerja. Dulu, golongan ini memang menjadi pilihan dan larisnya seperti goreng pisang panas. Kini, keadaan berbeza kerana dunia pekerjaan juga sudah semakin mencabar dan kompetitif. Majikan bukan lagi mencari seorang pekerja yang hanya tahu menurut perintah semata-mata namun lebih kepada mereka yang mempunyai jiwa perjuangan supaya sama-sama boleh memajukan syarikat,” katanya.

Justeru, tidak usah hairan jika graduan yang memiliki keputusan cemerlang sukar bersaing mendapatkan pekerjaan berbanding mereka yang hanya mempunyai kelayakan sederhana seperti sijil atau diploma. “Sekeping ijazah dan keputusan cemerlang bukan lagi penanda aras graduan itu berkebolehan melaksanakan tugasan sebaliknya majikan mencari sesuatu yang ‘istimewa’. Contohnya, personaliti calon pekerja yang sentiasa optimis, pandai berkomunikasi dengan baik serta peka cabaran sekeliling. Dengan kata lain, bukan seperti robot yang diprogramkan. Diakui, bukan semua graduan cemerlang seperti itu tapi kebanyakan memang begitu kerana dunia mereka dihabiskan untuk pencapaian akademik tanpa mengimbangi dengan keperluan sosial dan kemahiran,” katanya.

Katanya, hari ini kita jarang mendengar kesukaran graduan diploma atau sijil memperoleh pekerjaan sedangkan lambakan graduan berijazah sentiasa berlaku. “Hakikatnya, kita perlu melihat senario ini sebagai satu isyarat tegas dari dunia pekerjaan bahawa ada kriteria lain ditetapkan sebelum seseorang itu ditawarkan kerja. Dan, syarat itu perlu diikuti tanpa kompromi. Justeru, graduan perlu membuka minda supaya tidak lagi menganggap akademik sebagai nyawa kejayaan sebaliknya kemahiran lain juga asas pemilihan,” katanya. Biarpun bukan semua graduan cemerlang berdepan risiko itu terutama dari bidang kritikal, peningkatan jumlah graduan berijazah saban tahun dikhuatiri mampu menimbulkan masalah berpanjangan. Berbanding graduan sijil atau diploma atau mereka yang berkelayakan sederhana namun aktif, peluang untuk meneroka pasaran kerjaya lebih luas hasil daripada kemahiran dimiliki.

Kemahiran itu, katanya, banyak membantu mereka merencanakan masa depan dengan baik dan menjadi bonus menampilkan keyakinan diri sekali gus menjadi aset menarik mata majikan. “Sebab itu, di institusi sangat ditekankan pelbagai aktiviti yang lari dari konsep akademik dan peperiksaan seperti khidmat komuniti dan kelab. Penubuhannya bukan sekadar suka-suka sebaliknya membantu mahasiswa meneroka potensi diri juga sebagai persediaan sebelum menempuh alam pekerjaan. Malangnya, bukan semua mahasiswa tahu kepentingan kemudahan itu sebaliknya menganggap buku dan peperiksaan lebih penting manakala kemahiran jatuh nombor dua,” katanya. Bukan kata tidak penting tapi perlu diselarikan dengan kemahiran sebab sekarang majikan memang mencari calon berkemahiran demi memenuhi tuntutan kerjaya globalisasi. Kemahiran adalah aset paling mahal bagi majikan hari ini dan sudah tentu mereka mengkehendaki dan akan menjaganya dengan baik,” katanya.

Ditanya mengapa tiada masalah bagi graduan sijil dan diploma, katanya, golongan terbabit memang sudah disediakan bagi tujuan pasaran pekerjaan. “Sebab itu, permintaan keduanya lebih laris. Tapi tidak bermakna mereka juga tidak berdepan cabaran mencari pekerjaan tapi jarang mendengar mereka menganggur. Ubahlah stigma bahawa dengan sekeping ijazah dan keputusan cemerlang, anda akan menjadi pilihan. Kini semuanya mempunyai peluang sama rata. Yang penting, bagaimana kita menampilkan diri untuk memikat hati majikan dengan kemahiran sedia ada. Justeru, masih belum terlewat mengubah stigma sedia ada,” katanya.

Sumber
Harian Metro
5 November 2012

ISU IPT : USAH MENGHUKUM TAPI BERI SOKONGAN


Rencana ini ditulis oleh :
Oleh Ruhaiza Rusmin


Imej mahasiswa yang terjejas dengan pelbagai isu, kini dipersoalkan lagi dengan kehadiran ragam mahasiswa berperwatakan lembut yang dilihat semakin ketara sejak akhir-akhir ini. Biarpun bukan ancaman, kehadiran mereka ada kalanya kurang disenangi mahasiswa lain hingga wujud 'pergeseran' dalam diam. Ditambah lagi dengan sikap mahasiswa berkenaan yang dikatakan boleh berlagak 'selamba', bermulut laser dan tidak kisah dengan pandangan serong orang sekeliling, ia dikhuatiri boleh menimbulkan konflik berpanjangan. Namun, benarkah golongan mahasiswa itu mengganggu pandangan serta mengusik perasaan mahasiswa lain? Atau, adakah ada penyebab lain mengapa mereka tidak selesa dengan kehadiran golongan berkenaan?

Pengarah Pusat Inovasi Keusahawanan dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kehadiran golongan itu tidak wajar dijadikan isu kerana mereka juga berhak memperoleh pendidikan. Beliau berkata, penampilan individu menjadi hak eksklusif diri sendiri yang tidak boleh dipersoalkan dan masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk menampilkan diri. "Walaupun kehadiran mahasiswa begini kurang disenangi pihak tertentu, mereka masih mempunyai hak memperoleh pendidikan atau apa saja kebebasan selagi masih menuruti undang-undang. Jadi, jangan anggap kehadiran mereka sebagai gangguan biarpun ada yang tidak suka. Kita tidak berhak memberi label atau penarafan berpandukan fizikal semata-mata. Malah institusi pengajian tinggi juga bersikap terbuka dan menganggap mereka sama seperti mahasiswa lain. Asalkan masih mengikut peraturan, tiada diskriminasi untuk menuntut ilmu, " katanya.

Senario mahasiswa berperwatakan lembut yang kian membanjiri pelbagai institusi pengajian tinggi hari ini bukan janggal malah sudah lama wujud. Namun, sikap kurang terbuka masyarakat untuk menerima kehadiran mereka menjadi antara punca golongan terbabit seolah-olah dipinggirkan. Lebih menyedihkan apabila wujud suara sumbang mengatakan mereka antara punca terjadinya gejala sosial di kalangan generasi muda. Beliau yang menjalankan kajian mengenai permasalahan berkenaan pada 2008, bagaimanapun menafikan mahasiswa lembut adalah golongan bermasalah. "Memang tidak dinafikan, secara luaran, kehidupan mereka nampak 'bermasalah' kerana meniru perwatakan gender berlawanan namun keseluruhannya bukan begitu. Hanya segelintir terbabit dan mereka terdorong melakukannya kerana beberapa faktor tertentu seperti pengaruh rakan, didikan keluarga juga persekitaran. Boleh disimpulkan mereka sama seperti mahasiswa normal lain yang menjalani kehidupan biasa biarpun secara fizikal, masyarakat melihatnya sebagai sesuatu yang kurang wajar," katanya.

Beliau turut tidak menafikan kehidupan mahasiswa itu cukup mencabar dalam mengharungi dunia kehidupan di kampus. "Ini kerana mereka berdepan dengan diskriminasi atau penolakan hanya kerana penampilan digayakan. Tanpa memberi ruang golongan terbabit menunjukkan kebolehan diri, mereka ditafsirkan memang bermasalah. Sebenarnya, mahasiswa ini sangat memerlukan sokongan bagi memperbetulkan keadaan.  Malangnya, masyarakat menolak mereka menjadikan mahasiswa berperwatakan lembut ini tiada pilihan selain mendapat sokongan kumpulan senasib," katanya. Bagaimanapun, sesuatu yang istimewa ialah biarpun berdepan penolakan itu, jiwa mereka kental dan kebanyakan mereka tergolong dalam kategori pelajar cemerlang. "Hanya kerana penampilan fizikal yang sedikit berbeza, masyarakat terus memberi penilaian serta menjadikannya sebagai sasaran pengecualian interaksi sosial. Golongan ini seolah-olah tidak mendapat keadilan kerana hanya dinilai secara luaran sedangkan mungkin mereka ada niat berubah tapi tidak mendapat kekuatan sokongan orang lain. Sikap masyarakat yang suka menghukum tanpa memberi peluang atau menunjukkan jalan yang betul juga adalah antara penyebab mereka tidak mahu berubah malah boleh berpaling pada jalan salah," katanya.

Ditanya mengenai pendirian institusi, katanya institusi berperanan menjalankan tanggungjawab utama iaitu memberi pendidikan sama rata kepada mereka yang memenuhi syarat tanpa prejudis. Menurutnya, tiada diskriminasi dalam memberi ilmu kepada sesiapa yang ingin belajar dan institusi tidak pernah memberi syarat atau melabel mahasiswa tertentu. "Yang penting setiap mahasiswa tertakluk pada peraturan. Sesiapa saja jika melakukan kesalahan akan dihukum dan dikenakan tindakan selaras peraturan sedia ada. Bagaimanapun, adalah sesuatu yang sangat baik jika mereka mahu mengubah penampilan. Ini juga satu proses pembelajaran berterusan untuk membina masa depan. Apapun, ini hak setiap individu dan institusi tidak boleh campur tangan sewenangnya. Walaupun mungkin salah pada pandangan kita, namun mungkin tidak pada orang lain," katanya.

Sumber
Harian Metro
5 November 2012

08 November 2012

ISU BAHASA : WARGA SETIA KUASAI BAHASA KEBANGSAAN


Rencana ini ditulis oleh :
Rejal Arbee
Felo Kanan di UKM


Menghairankan kerana selepas merdeka selama lebih 55 tahun dengan persetujuan menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan, penggunaannya masih menjadi persoalan. Terbaru ialah usaha untuk meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris dalam negara.  Diakui bahasa Inggeris sudah pun menjadi bahasa antarabangsa yang sepatutnya boleh dikuasai rakyat. Usaha juga perlu dilaksanakan supaya semua lepasan sekolah dan universiti kita dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Tetapi apakah penguasaannya hanya boleh dilakukan dengan mengabai atau memperlekehkan bahasa Melayu hingga ada pula beberapa kerat rakyat yang mahu sekolah Inggeris, iaitu sekolah dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, dikembalikan? Apakah ini saja jalannya untuk memastikan seseorang pelajar fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris? Mestikah penguasaan baik bahasa Inggeris hanya boleh dicapai dengan mengabaikan bahasa Malaysia?

Tak serius guna bahasa Malaysia

Sehingga sekarang masih terdapat sebilangan rakyat negara ini yang berterusan tidak serius berhubung penggunaan bahasa Malaysia hingga ada lepasan sekolah, khususnya dari sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang tidak boleh bertutur atau memahami bahasa Melayu dengan baik. Persoalan mengenai penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah tidak seharusnya timbul lagi, begitu juga pandangan bahawa hanya dengan wujudnya sekolah bahasa Inggeris barulah rakyat negara ini boleh menguasai bahasa itu. Dalam keghairahan mahu rakyat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, janganlah kita meminggirkan bahasa Malaysia. Ia sudah pun diterima sebagai bahasa kebangsaan.

Semua yang mengakui warga negara ini seharusnya bersedia mendukung dan mencintai bahasa Malaysia, iaitu bukan sekadar memahami tetapi juga boleh bertutur dengan baik. Bahasa Malaysia sebenarnya adalah tonggak kenegaraan dan kedudukannya juga mengatasi bahasa lain termasuk bahasa sukuan. Hakikat ini perlu difahami oleh semua rakyat negara ini tanpa berdolak dalih lagi. Justeru, semua individu yang mengakui cintakan negara ini tidak harus terikut dengan kemahuan pendukung sekolah Cina yang tidak serius mahukan lepasan sekolah itu dapat menguasai bahasa Malaysia dengan baik. Pembelajaran Bahasa Melayu di SJKC pada masa ini hanyalah seperti melepaskan batuk di tangga, iaitu untuk pelajar mereka lulus dalam mata pelajaran itu dan memperoleh sijil persekolahan.

Sudut perkauman sempit

Itulah juga kenapa hingga sekarang persatuan seperti Dong Zong tetap tidak berganjak daripada syarat bahawa semua guru yang mengajar Bahasa Melayu mesti boleh bertutur bahasa Mandarin. Apa kena mengena pembelajaran Bahasa Melayu dengan penguasaan bahasa Mandarin? Malah jika guru yang mengajar Bahasa Melayu tidak tahu bahasa Mandarin, keadaan ini akan memaksa muridnya berusaha mempelajarinya untuk berinteraksi dengan guru.  Kesimpulan yang boleh kita andaikan ialah puak Dong Zong dan sekutunya tidak mahu menerima bahasa Melayu sebagai tonggak negara. Mereka tidak mahu menerima usaha memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu di SJKC kerana kononnya masyarakat Cina membantah. Mereka ini jugalah yang berterusan melihat semuanya dari sudut perkauman sempit.

Selagi mereka tidak bersedia berperasaan terbuka, selagi itulah syak wasangka terhadap puak begini tidak dapat diketepikan. Justeru, orang Melayu tidak harus terpesong dengan kehendak melampau begini yang tidak mahu menunjukkan mereka benar-benar adalah warga negara yang mencintai negara sendiri dan sanggup mendukung tonggak kenegaraan dengan menghormati bahasa kebangsaan. Puak ini jugalah apabila dipersoalkan kesetiaan mereka terhadap negara ini akan melenting kononnya mereka juga adalah rakyat yang setia dan cintakan negara. Kesetiaan apa kalau bahasa negara sendiri pun diabaikan dan seolah-olah tidak mahu mengiktirafnya?

Kini pihak berkuasa perlu pula mengadakan lagi kempen Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan semula pada 2010 untuk mempromosikan kedudukan bahawa kita adalah “satu bahasa, satu bangsa dan satu negara”. Puak yang tidak mengendahkan penggunaan bahasa Melayu sepatutnya berasa malu dengan ratusan ribu rakyat asing yang selepas berada di sini beberapa bulan saja sudah boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik. Sepatutnya selepas begitu lama mencapai kemerdekaan, soal terhadap tahap penguasaan bahasa Melayu oleh sesetengah rakyat tidak harus wujud lagi. Mereka yang mengakui diri sebagai warga setia yang cintakan negara tidak akan sesekali mengabaikan bahasa kebangsaan.

Sumber
Berita Harian
8 November 2012

ISU GURU : CIKGU DG29 YANG MEMILIKI IJAZAH SARJANA MUDA BOLEH DILANTIK KE DG41 TANPA TEMUDUGA



Guru, guru besar dan pentadbir cemerlang yang memiliki ijazah sarjana muda akan dilantik terus ke gred DG41 tanpa temuduga mulai tahun depan. Kumpulan itu yang memperoleh ijazah melalui pengajian separuh masa atau pengajian jarak jauh (PJJ) boleh memohon terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran SPP untuk dikecualikan daripada ditemuduga.  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan SPP itu bertujuan menyokong usaha Kementerian Pelajaran meningkatkan latihan dalam perkhidmatan kumpulan pendidik di negara ini.

Cepat proses kenaikan pangkat

“Langkah ini dibuat bagi mempercepatkan proses kenaikan gred kerana mereka terbukti cemerlang,” katanya ketika mengumumkan perkara itu dalam ucapan perasmiannya pada Persidangan Perkhidmatan Pendidikan pada 7 November 2012. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, SPP turut mengecualikan temu duga bagi pelantikan guru baru yang cemerlang dalam akademik dan ikhtisas dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan institusi pengajian tinggi (IPT). Katanya, SPP mula mengenal pasti calon terbabit ketika pemilihan awal bakal guru. Sehubungan itu, katanya semakan semula sistem pelajaran dan organisasi IPGM dan IPT perlu dibuat bagi melahirkan warga pendidik berkualiti dan cemerlang.

2,960 orang kelompok pertama

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, kajian Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKPT) mendapati hanya 50 peratus pengajian disampaikan dengan berkesan atau memuaskan. Bulan lalu, beliau mengumumkan calon guru yang bakal dipilih ialah 30 peratus di kalangan mereka dengan keputusan 9A dan berminat dalam bidang perguruan.  Beliau berkata, seramai 2,960 orang kelompok pertama graduan IPGM dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan sebelum 1 Julai, ditempatkan sementara oleh Kementerian Pelajaran mulai 16 Oktober. Katanya, calon berijazah selepas Jun seramai 7,755, perlu mengemukakan permohonan kepada SPP mulai 1 November secara online, melalui portal SPP (untuk calon IPGM) atau JobsMalaysia (calon IPTA).

Sumber
Berita Harian
8 November 2012

04 November 2012

ISU SOSIAL : MANSUH HUKUMAN MATI


Rencana ini ditulis oleh
Muhammad Shafee Abdullah
PENULIS ialah peguam kanan di Kuala Lumpur serta bekas Pesuruhjaya Suhakam dan kini dilantik sebagai Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR). Penulisan ini adalah pandangan peribadi beliau.


Hukuman mati ditetapkan untuk beberapa kesalahan, iaitu bunuh dan melancarkan perang terhadap Raja (kesalahan di bawah Kanun Keseksaan), culik untuk mendapat wang tebusan (Akta Culik 1960 berbanding dengan culik di bawah Kanun Keseksaan), mengedar dadah (kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan undang-undang statut lain berkaitan), kesalahan lain berkaitan pemilikan senjata api dan peluru atau bahan letupan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang telah dimansuhkan baru-baru ini.

Kebanyakan hukuman mati adalah mandatori selepas dibuktikan bersalah tanpa sebarang keraguan munasabah. Ini bermakna hakim yang terlibat dalam perbicaraan tidak boleh menggunakan budi bicara ketika menimbangkan hukuman yang ada selain hukuman mati seperti penjara seumur hidup atau menetapkan tempoh tertentu sehingga semaksimum yang boleh, setimpal dengan hukuman mati, yang lebih layak dijatuhkan ke atas pesalah selepas mengambil kira bermacam-macam keadaan yang membawa kaitan dengan kesalahan dan/atau pesalah.

Badan perundangan Malaysia pernah mengamanahkan hakim-hakim dengan fungsi budi bicara yang penting ini. Contohnya, hakim di mahkamah tinggi pernah diberikan kuasa menggunakan kebijaksanaan dan budi bicara dalam mengadili kes-kes pengedaran dadah. Bagaimanapun Peguam Negara sebelum ini kecewa dengan hakikat yang hakim-hakim memilih untuk mengenakan hukuman penjara seumur hidup ke atas pengedar dadah berbanding menjatuhkan hukuman mati. Hakim-hakim berkenaan mempunyai alasan yang baik dalam kebanyakan kes untuk tidak memilih hukuman mati. Dalam apa jua kes, jika hakim terkhilaf akan sentiasa ada proses rayuan yang boleh dilakukan oleh pihak pendakwa untuk menyemak semula keputusan tersebut supaya dijatuhkan hukuman mati. Tetapi pertimbangan tidak matang dan tidak berpandangan jauh nampaknya mengatasi yang lain pada masa itu. Kita telah terperangkap dengan budaya ‘knee-jerk’ iaitu pantang tersentak yang menjadi amalan badan perundangan kita, yang tidak mendapat nasihat sepenuhnya daripada pihak yang mendraf rang undang-undang dan pihak berkuasa berkaitan. Akibatnya, pindaan yang dibuat itu tidak komprehensif dan kurang keselarasan dengan skim sistem undang-undang umum yang sedia ada.

Sekitar 2008, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, dalam ucapan penting pada sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata bahawa Kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan langkah-langkah untuk memansuhkan hukuman mati. Ia akan dilakukan secara beransur-ansur. Saya ingatkan langkah pertama adalah dengan mengembalikan semula bidang kuasa budi-bicara kepada hakim-hakim ke atas hukuman semua kesalahan, terutamanya kes-kes pengedaran dadah. Singapura baharu saja meminda undang-undangnya untuk membolehkan ia digunakan bagi kes-kes pengedaran dadah dan kategori bunuh semata-mata dan mereka nampaknya terang-terang mahu mengwujudkan koordinasi dengan Malaysia dalam melaksanakan perubahan yang penting itu. Seperti biasa, kita membiarkan Singapura mendahului kita apabila tidak melakukan apa-apa untuk melaksanakan idea perubahan itu sungguhpun Pejabat Peguam Negara mendakwa sudah menimbangkan idea dan penyelidikan mengenainya sejak setahun lalu. Singapura kini ternampak lebih sedikit liberal dan adil dari segi hukuman melibatkan kes-kes pengedaran dadah berbanding kita! Sungguh ironik! Rakan saya, peguam kanan Roger Tan sudah pun memperkatakan tentang ini di dalam artikel terbarunya.

Malaysia patut memikirkan semula tentang keseluruhan debat mengenai pemansuhan hukuman mati secara menyeluruh dan praktikal, bukan hanya tentang memansuhkan hukuman mati mandatori sebaliknya memimpin serta menjadi penyokong utama untuk melaksanakannya secara aktif dalam kalangan negara ASEAN. Sebagai wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), saya telah membangkitkan idea ini beberapa kali dalam kalangan anggota suruhanjaya agar dipertimbangkan oleh 10 negara ASEAN.

Tidak berapa lama dulu, Menteri Undang-undang berkata, bahawa Malaysia mungkin belum bersedia untuk memansuhkan hukuman mati. Nampaknya, menurut beliau, majoriti rakyat Malaysia menentang idea pemansuhan itu. Sejak kebelakangan ini, menteri mencadangkan pemansuhan hukuman mati mandatori dalam kes-kes pengedaran dadah. Ia serupa dengan undang-undang di Singapura sekarang. Sayangnya di negara ini, kita mengambil masa yang panjang untuk menimbangkannya sedangkan kita sepatutnya sudah boleh mendahului.

Debat

Tan Sri Lee Lam Thye baru-baru ini memberi pandangan yang bertentangan berhubung cadangan pemansuhan hukuman mati. Saya mempunyai beberapa hujah untuk menjawab pandangannya itu.

Pertamanya, saya berpendapat beliau mungkin tersalah faham akan kenyataan menteri. Menteri tersebut tidak berkata yang semua hukuman mati akan dimansuhkan. Beliau hanya merujuk kepada hukuman mati mandatori yang terhad kepada kesalahan berkaitan dadah sahaja. Sementara saya menyokong hukuman mati mandatori dalam kes-kes berkaitan dadah dihapuskan serta-merta, saya mencadangkan agar penghakiman dikurangkan secara beransur-ansur sehingga pemansuhan hukuman mati secara total. Saya cadangkan agar beberapa langkah berikut diberi pertimbangan:

Sebagai permulaan, moratorium serta-merta patut diisytiharkan iaitu penangguhan hukuman ke atas semua kes berkaitan sehingga satu keputusan dicapai oleh pihak berkuasa terlibat.

1) Kemudiannya sebagai langkah pertama, keluarkan (remove) hukuman mati mandatori daripada semua kes pengedaran dadah;

2) Keduanya, dalam tempoh setahun, keluarkan hukuman mati mandatori daripada semua kes jenayah tanpa pengecualian;

3) Ketiga, dalam tempoh tiga tahun daripada langkah pertama, mansuhkan semua hukuman mati dalam semua kes kecuali melancarkan perang terhadap Raja dan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan.

4) Keempat, pada masa yang sesuai selepas tiga tahun daripada langkah pertama (tetapi tidak melebihi lima tahun) hukuman mati perlu dikeluarkan biarpun dalam dua kesalahan itu iaitu melancarkan perang terhadap Raja dan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan.

Dalam kata lain, pada akhir tahun ketiga dari langkah pertama, hanya dua jenis kes tersebut masih memakai hukuman mati tetapi bukan secara mandatori sehingga pelaksanaan sepenuhnya seperti dicadangkan di atas. Bagi saya, dua kategori kes itu adalah serius semata-mata kerana ia sepenuhnya menjurus kepada kemarahan masyarakat dan penghinaan kepada polisi umum di mana kesalahan ini adalah yang paling jelik sifatnya dan sentiasa terdapat elemen kejam yang ekstrem bagi kedua-dua kesalahan tersebut.

Kedua-dua jenayah ini biasanya paling kejam, diperhitungkan dan dirancang selain dikaitkan dengan keganasan. Hampir semuanya dilakukan oleh geng dan sindiket yang ada kaitan dengan elemen subversif dan jenayah terancang. Jenayah yang berkaitan dengan pengedaran dadah bermula daripada organisasi bersindiket sehinggalah kepada individu yang menjadi pembawa atau keldai dadah, semuanya didorong untuk meraih keuntungan. Kelemahan dalam membezakan di antara dadah konvensional dan rekreasi selain pengedar sebenar dan individu yang diperalatkan sebagai keldai dadah dalam undang-undang Malaysia, telah menambahkan komplikasi dalam hukuman.

Sebab-sebab pemansuhan hukuman mati.

Antara alasan yang biasa dikemukakan adalah:

a) hukuman ini zalim dan tidak berperikemanusiaan;

b) ia tidak boleh ditarik balik jika berlaku kesilapan sabitan;

c) ia bertentangan dengan piawaian hak asasi manusia dunia;

d) teori pembalasan ‘hutang darah dibayar darah’ (an eye for an eye) tidak lagi diterima dalam prinsip-prinsip hukuman;

e) hukuman mati tidak mengurangkan jenayah spesifik seperti kesalahan dadah dan bunuh.

Semua alasan di atas adalah munasabah.

Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang bagaimanapun telah mengutarakan alasan bijak untuk memansuhkan hukuman mati mandatori. Beliau berkata, agak sukar untuk Malaysia meminta bantuan daripada negara asing agar menjatuhkan hukuman ringan ke atas pesalah dadah rakyat tempatan jika kita terus menguatkuasakan hukuman mati. Namun tentu lebih menarik jika menteri menyarankan pemansuhan penuh hukuman mati daripada hanya memansuhkan hukuman mati mandatori. Apa agaknya yang akan dilakukan oleh menteri jika mahkamah Malaysia menjatuhkan hukuman mati ke atas warga asing dalam kes berkaitan dadah yang tidak memperuntukkan hukuman mati mandatori?

Kita tidak boleh menggunakan Lembaga Pengampunan semata-mata untuk menyenangkan hati kerajaan asing kerana langkah itu tidak selaras dengan konsep kesamarataan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan, jika pesalah rakyat Malaysia mendapat hukuman lebih keras daripada warga asing. Sehubungan itu, adalah lebih baik menggunakan hujah menteri untuk menjustifikasi pemansuhan secara total hukuman mati dalam kes-kes pengedaran dadah. Namun pertimbangkan secara serius alasan-alasan bukan tradisional berikutnya yang menyokong cadangan memansuhkan hukuman mati:-

Pertama, dalam hal ekstradisi (di bawah Akta Ekstradisi 1992) dan/atau bantuan bersama di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 (MACMA), jika Kerajaan Malaysia membuat tuntutan sama ada mengekstradisi seseorang atau bukti, negara yang diminta bantuan dalam banyak keadaan akan meminta Malaysia memberikan jaminan yang undang-undang kita tidak melaksanakan sama ada hukuman mati atau fizikal (corporal punishment) seperti merotan, jika tidak negara berkenaan tidak akan melayan permintaan kita. Ini adalah tekanan antarabangsa yang dikenakan oleh kebanyakan negara (terutama Eropah) ke atas negara yang mengamalkan sistem hukuman mati dan fizikal.

Kedua dan mungkin paling mustahak, setiap negara yang mengamalkan hukuman mati pasti akan berhadapan dengan masalah ‘double jeopardy’ iaitu perdapatan salah dan keseksaan dua kali atas satu kesalahan sama, secara tidak adil dan mendatangkan kesan buruk kepada banduan terbabit. Mengikut Sistem Undang-undang Jenayah negara, sesuatu perbicaraan dengan mengambil kira sekurang-kurangnya dua peringkat rayuan akan memakan masa paling minimum enam tahun. Ini ditambah pula dengan kelewatan sistem badan pengampunan. Adalah menjadi kebiasaan, walaupun segalanya berjalan lancar, ia tetap akan mengambil masa di antara tujuh ke lapan tahun juga. Biasanya kira-kira sembilan tahun atau lebih. Jika dikira semua tempoh masa dari tarikh reman sehingga pelaksanaan hukuman mati, pesalah terbabit sudah pun meringkuk di dalam penjara selama 13 tahun setengah (mengambil kira pengurangan sepertiga hukuman penjara secara automatik). Maknanya pesalah hanya ke tali gantung setelah menjalani hukuman penjara selama sekurang-kurangnya 13 tahun setengah. Inilah yang saya maksudkan dengan ‘double jeopardy’, menderita dua hukuman untuk satu kesalahan jenayah.

Tetapi itu adalah keadaan yang paling baik menjadi kebiasaan, juga , banduan bilik akhir sudah mengalami hukuman penjara selama 16 tahun sebelum hukuman mati dijalankan. Ada juga yang menunggu selama 20 tahun, 25 tahun malah 38 tahun! Fikirkanlah! Ini bukan lagi ‘double jeopardy’. Ia adalah ‘triple jeopardy’ apabila kita mengambil kira yang hukuman penjara seumur hidup hanya 20 tahun (dan banduan hanya dipenjarakan selama 14 tahun selepas mengambil kira pengurangan hukuman secara automatik).

Adakah kita benar-benar serius mahu mempertahankan ketidakadilan yang nyata ini, yang kurang asas hak asasi manusia dan menjatuhkan darjat pesalah? Apa jenis masyarakat yang kita hidup sekarang ini? Ramai pemimpin politik (baik kerajaan atau pembangkang) tidak mahu mengambil inisiatif memimpin perubahan kerana takut menjadi tidak popular dan kerap kali menyalahkan masyarakat umum yang mahu mengekalkan sistem hukuman yang tidak adil ini. Saya ingin tegaskan bahawa dalam perkara-perkara yang menyaksikan sistem keadilan jenayah itu sendiri dibicarakan, pemimpin masyarakat perlu berada di hadapan dan bukannya menjadi pengikut. Masyarakat perlu dididik tentang perkara-perkara yang dibincangkan di sini supaya mereka dapat menghargai ketidakadilan yang sekian lama berlaku dalam sistem perundangan dan penghakiman. Proses pengadilan jenayah tidak boleh dibuat terburu-buru dan dibenamkan. Ini bukan desakan untuk badan kehakiman mempercepatkan kes-kes jenayah ke tahap yang tidak realistik hanya kerana mengejar KPI (Petunjuk Utama Prestasi).

Sekarang ini pun wujud kebimbangan terhadap ‘tahap kelajuan’ badan kehakiman menyelesaikan kes-kes sivil. Rakyat Malaysia cukup terkenal dengan sikap melebih-lebih dalam semua perkara. Apabila jiran kita menetapkan jangkamasa perbicaraan sesuatu kes perlu selesai dalam tempoh dua tahun dari tarikh difailkan, kita mahu lebih baik dengan mengehadkan hanya enam bulan hingga sembilan bulan sahaja! Rakyat Malaysia memang suka sesuatu yang ekstrem. Baru-baru ini, Sultan Johor meringankan hukuman mati beberapa banduan di negeri itu dan ramai yang dibebaskan pada hari sama; mereka telahpun menderita double dan triple jeopardy. Dengan keputusan itu, baginda secara tidak langsung telah mengajar semua pihak tentang hak-hak asasi manusia, keadilan, belas kasihan dan ihsan. Kita semua patut merasa malu kerana melakukan dan bertoleransi dengan sistem yang tidak adil, tidak berperikemanusiaan dan kejam ini. Cukup mengejutkan, ia masih berterusan!

Ketiganya, saya sering menyuarakan dan memerhatikan bahawa hukuman ekstrem seperti mati ini menyebabkan peningkatan rasuah dalam sistem penguatkuasaan. Seorang lelaki yang ditangkap mengedar sejumlah dadah sanggup menawarkan seberapa banyak wang pun sebagai rasuah untuk menyelamatkan tengkuknya. Dalam kalangan pengamal undang-undang jenayah, kami biasa mendengar kisah-kisah menakutkan daripada pelanggan dan saksi. Malangnya, walaupun dinasihatkan supaya membuat aduan, rata-rata mereka terlalu takut untuk membangkitkan perkara ini, mungkin kerana mereka juga terlibat memberi rasuah.

Pegawai tinggi polis khususnya Pengarah Narkotik, Datuk Noor Rashid mencuba sehabis baik untuk memupuk sikap jujur, dedikasi dan profesionalisme dalam kalangan anggota penguat kuasa. Sementara langkah ini perlu dipuji, hakikat bahawa ‘nyawa’ masih menjadi taruhan membuka peluang dan menarik pengedar dadah yang sedang terdesak untuk memberi rasuah bagi mengelak hukuman mati. Menjadi harapan kita dengan menarik keluar hukuman mati daripada kes-kes berkaitan dadah akan mengurangkan kecenderungan untuk memberi rasuah.

Tidak salah rasanya untuk saya mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk menimbang melihat semula hukuman penjara sepanjang hayat kerana adalah cukup kejam untuk mengurung seseorang di dalam penjara sehingga dia mati. Ia menguburkan semua harapan untuk banduan itu berubah. Tambahan pula, banduan tersebut pada hujung usia akan menimbulkan masalah pengurusan yang serius kepada pihak berkuasa penjara. Dalam keadaan ini, seolah-olah pihak berkuasa penjara pula yang menerima hukuman.

Sumber
Utusan Malaysia
4 November 2012

ISU SOSIAL : JANGAN JADIKAN AES MANGSA TERBAHARU KEDEGILAN PEMANDU DI MALAYSIA


Rencana ini ditulis oleh
Oleh Azman Anuar


Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang baharu dilaksanakan di negara ini setelah perancangannya dibuat 10 tahun lalu, tetap menerima bantahan daripada segelintir wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan dan individu tertentu. Pada 10 Oktober lalu, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang di Dewan Rakyat bersetuju untuk meminta kerajaan menangguh dan mengkaji semula penggunaan AES. Mereka mahu pelaksanaan sistem mencegah kemalangan di jalan raya khususnya kemalangan maut itu ditangguhkan. Mereka mahu kajian lanjut dibuat untuk memastikan penggunaan sistem itu berbaloi dengan belanja operasinya.

Nampaknya empat negeri yang diterajui pembangkang bercadang untuk menangguhkan pelaksanaan AES. Pergerakan Pemuda UMNO pula mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES setelah mendapat maklum balas di peringkat akar umbi bahawa terlalu banyak kelemahan dalam pelan pelaksanaannya meskipun sistem itu dianggap amat baik. Bantahan juga dilakukan sebab lokasi menempatkan AES dikatakan tidak bersesuaian dan mengundang banyak kemarahan pengguna. Sebulan lalu, dalam tempoh tujuh hari lebih 100,000 saman dikeluarkan daripada 14 lokasi AES yang menunjukkan rakyat tidak didedahkan sepenuhnya penguatkuasaan AES itu.

Pelaksanaan AES merupakan antara kaedah yang boleh digunakan untuk mendidik pengguna jalan raya di negara ini supaya lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan seperti pematuhan had laju. Malangnya usaha baik ini akhirnya telah dianggap oleh masyarakat sebagai bertujuan untuk menyaman semata-mata. AES merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat merah. Sesungguhnya, tidak ada sebab AES perlu ditangguhkan kerana setiap hari negara menghadapi kisah-kisah kemalangan maut kerana kegagalan pemandu mendisiplinkan diri masing-masing. Oleh itu AES perlu diteruskan untuk mendidik pengguna jalan raya agar lebih menghormati undang-undang jika mereka tidak mahu dikenakan tindakan saman.

Bagaimanapun kita harus mendengar pandangan rakyat. Bagi segelintir pemandu, AES ini boleh mendorong rakyat menipu, ketika memandu laju mereka akan memecut tetapi di kawasan kamera AES, kenderaan dipandu secara perlahan. Tidak kurang juga yang berhujah, kerajaan perlu menangguhkan sementara pelaksanaan AES demi kepentingan strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Sama ada AES ditangguhkan atau dibatalkan, isu ini tetap akan dipolitikkan. Tetapi jangan dilupakan tujuan AES hendak dikuatkuasakan adalah untuk mendidik disiplin pengguna jalan raya. Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya serta agensi yang berkaitan telah berusaha untuk mengurangkan angka kematian dan kemalangan. Pelbagai pendekatan pencegahan kemalangan, penguatkuasaan undang-undang dan penggunaan teknologi moden diperkenalkan dari tahun ke tahun - tetapi kadar kematian dan kemalangan tidak berubah.

Jadi kenapa pelaksanaan AES juga mahu kita gagalkan. Sebelum ini banyak usaha dan pembaharuan dilakukan namun kurang berjaya kerana sikap pemandu Malaysia sendiri. Pemandu negara kita gemar memandu laju, suka langgar peraturan lalu lintas dan tidak berdisiplin di jalan raya. Mungkin sikap pemanduan rakyat Malaysia tidak akan berubah selagi ada bantahan dan kritikan terhadap sesuatu usaha yang baru dikuatkuasakan. Kemudian kehendak mereka dilayan kerana takut kesan politik. Jika begini sikap kita, sampai bila pun pemandu kita tidak akan berubah. Sudah banyak hujah dan pandangan dilontarkan dalam menangani masalah kemalangan jalan raya.

Jika sistem lampu berkamera yang diperkenalkan beberapa tahun lalu dianggap gagal kerana kurang penyeliaan, maka pihak berkenaan terutama JPJ perlu mengambil iktibar dan jangan perkara yang sama diulangi. Kita percaya jika sistem AES digunakan di tempat strategik, mana-mana pesalah pasti diberikan saman tanpa rasa takut dan memilih, malah ia mencegah daripada berlaku rasuah. Pengguna jalan raya perlu menerima hukuman atas kesalahan yang mereka lakukan. Ingatlah penguatkuasaan peraturan, pelaksanaan dan pengenalan sistem lalu lintas dibuat untuk menjamin keselamatan nyawa pengguna jalan raya di negara ini.

Semua ini dibuat kerana kos kemalangan di jalan raya menyebabkan Malaysia kerugian dari sudut ekonomi sebanyak dua peratus daripada Keluaran Negara Kasar setiap tahun. Sebenarnya kita perlu keberanian dan ketegasan dalam melaksanakan undang-undang jalan raya. Oleh kerana kurang tegas maka kita berdepan dengan sikap segelintir penumpang kereta yang masih berdegil tidak mahu menggunakan tali pinggang keledar bahagian belakang. Jika AES mahu ditangguhkan, pastikan penguatkuasaan peraturan di jalan raya dijalankan tanpa sambil lewa. Kita bimbang, kemalangan terus berlaku.

Hasrat kita ingin menjadi negara maju pada tahun 2020 mungkin terbantut jika mempunyai rakyat yang bersikap ‘raja jalan raya’ dan degil terhadap peraturan jalan raya. Apa makna menjadi negara maju jika perangai pemandu kita sukar dididik. Jika di negara lain, penggunaan AES dapat membantu mengurangkan kemalangan, di negara kita belum pun bermula sudah berbakul-bakul kritikan disumbatkan. Selagi kita gemar tolak tarik keputusan yang telah dibuat, maka sampai bila pun tahap pemikiran kita di jalan raya tidak akan berubah.

Sumber
Utusan Malaysia
3 November 2012

ISU EKONOMI : SKILL-TEACH MENGATASI LATIHAN KEMAHIRAN


Rencana ini ditulis oleh
Nordin Abdul Malek
Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech


Dalam buku Sun Tzu, The Art Of War, tercatat kata-kata bahawa  kecil tidak semestinya lemah, besar pula tidak semestinya kuat". Ungkapan falsafah perang ini membayangkan bahawa kekuatan sesebuah organisasi itu bukan terletak kepada saiz zahirnya tetapi sebenarnya terletak kepada ‘keupayaan’ sesebuah organisasi menggerakkan organisasi bagi mencapai kejayaan. Atas kepercayaan kepada keupayaan diri, walaupun Skill-Tech mungkin tidak sebesar pusat-pusat latihan lain tetapi institusi ini telah sampai ke satu tahap yang mampu melepasi peranan hakiki sebagai sebuah institusi latihan kemahiran pertanian swasta. Tumpuan bukan sahaja sebagai penyedia latihan tetapi juga pembangunan graduan. Malah kini sudah diamanahkan untuk bersama-sama kerajaan membangunkan masyarakat luar bandar kepada pembangunan kampung-kampung.

Daripada aspek pembangunan latihan, Skill-Tech telah memecahkan tradisi latihan kemahiran terutama di sektor pertanian yang dahulunya bersifat orthodok. Dengan berbekalkan kombinasi kepimpinan generasi baru yang berpengalaman, dinamik dan agresif, latihan kemahiran versi baru ini berjaya menarik minat kumpulan belia yang kebanyakannya tercicir dalam arus pendidikan terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak. Selain faktor promosi yang bersifat penjenamaan baru, proaktif dan penuh motivasi, minat mula timbul dalam kalangan generasi muda kerana mereka diberi keyakinan bahawa masa depan kerjaya serta peluang perniagaan pertanian adalah lumayan. Di samping itu, jika sebelum ini, tumpuan kursus-kursus pertanian di Malaysia adalah bersifat stereo taip, strategi baru Skill-Tech yang menumpukan pula kepada industri hiliran menjadikan kursus berkenaan semakin diminati.

Kesannya dapat dilihat apabila kemasukan pada 2005 hanya sekitar 200 hingga 300 orang setahun mampu mencecah kepada 2,000 orang pada 2008. Pada 2011, jumlah permohonan masuk sahaja meningkat kepada 5,000 orang secara online tanpa bersusah payah untuk mempromosikannya. Faktor kepercayaan ini mungkin didorong oleh perkhidmatan berterusan yang dijalankan di peringkat post latihan seperti penempatan pekerjaan di sektor peladangan serta bimbingan usahawan. Graduan Skill-Tech adalah antara mereka yang paling banyak memanfaatkan pinjaman MyAgrosis yang disediakan kerajaan untuk usahawan siswazah tani menerusi Agro Bank. Graduan Sabah sahaja berjaya memanfaatkan RM1 juta peruntukan skim berkenaan pada April lalu.

Segala peluang keusahawanan dan sokongan pelbagai pihak membolehkan matlamat 30 peratus melahirkan usahawan boleh dicapai. Ini mengatasi graduan IPTA yang dilaporkan hanya mampu dilahirkan sekitar 0.3 peratus sebagai usahawan. Atas kejayaan dan pengalaman membangunkan pertanian di peringkat kampung-kampung, pelbagai pihak turut menjadikan Institut Skill-Tech sebagai rakan kongsi pembangunan belia kampung untuk mewujudkan peluang ekonomi dan seterusnya mengekalkan mereka untuk memajukan kampung masing-masing.

Penglibatan aktif MyKampung MyFuture dalam perkongsian Blue Ocean Strategy yang diketuai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi mandat supaya Skill-Tech turut mengambil peranan dalam pembangunan belia kampung. Tugas bersama ini sedang dijalankan di tiga kampung perintis iaitu Kg. Gedong, Simunjan, Sarawak, Kg. Merotai, Tawau, Sabah dan Pulau Tiga, Kg. Gajah, Perak. Tidak ketinggalan juga usaha menyemarakkan integrasi nasional antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak turut mengeratkan hubungan menerusi program latihan kerana hampir separuh pelatih adalah datangnya dari Sabah dan Sarawak. Usaha mengetengahkan budaya dan tradisi Borneo di Semenanjung yang dilakukan oleh Institut Skill-Tech menjadikan kemesraan masyarakat Sabah dan Semenanjung semakin akrab umpama sebuah keluarga.

Kepercayaan yang diberikan kepada Skill-Tech daripada peringkat latihan, pembangunan graduan hinggalah ke peringkat pembangunan komuniti kampung adalah bukti prestasi kerja yang melangkaui tugas yang biasanya dilakukan oleh institusi pendidikan biasa terutama sektor swasta. Situasi ini sepatutnya memberikan gambaran kepada pelbagai pihak bahawa bukan semua institusi swasta seperti Skill-Tech hanya mengaut keuntungan dan mahu menjadi kaya-raya. Malah sesetengah pihak termasuk masyarakat di luar negara seringkali menyangkakan institusi ini milik penuh kerajaan kerana peranannya lebih cenderung dilihat melaksanakan tugas agensi kerajaan.

Dalam erti kata lain, peranan yang dijalankan oleh Skill-Tech amat berbaloi untuk kerajaan bekerjasama kerana pakej luar biasa yang ditawarkan, selain komitmen untuk mencapai pembangunan seimbang antara matlamat perniagaan dan pembangunan masyarakat bersama kerajaan. Namun begitu, di sebalik kejayaan semua pencapaian di atas, ada juga pihak yang gagal melihat kepentingan program seumpama ini wajar diteruskan dan Skill-Tech sewajarnya disokong dengan apa jua cara sekalipun. Apatah lagi apabila institusi ini berjaya diiktiraf sebagai Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) di bawah Teraju.

Disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Amat malang apabila kegemilangan yang pernah dicapai tidak dapat menuju puncak jaya atas sebab-sebab yang sukar untuk dihuraikan. Cukuplah sekadar membayangkan masalah yang dihadapi adalah sebahagian isu menyeluruh usahawan bumiputera yang ditegaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa Kongres Usahawan Bumiputera, anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), baru-baru ini. Kisahnya adalah sama! Cuma di kesempatan ini, kami mengucapkan tahniah kepada graduan yang telah mengisi keperluan sektor pertanian di Malaysia. Sebagai peneraju Institut Skill-Tech, mungkin wajar saya mengulangi pesanan keramat ketika mereka menjadi pelatih dahulu bahawa “apa yang dikecapi selama ini sebagai bumiputera belum tentu kekal selama-lamanya. Maka, rebutlah peluang ketika hak itu masih ada".

Sumber
Utusan Malaysia
3 November 2012

ISU GLOBAL : PENGKHIANAT DILAKNAT AGAMA DAN MASYARAKAT


Rencana ini ditulis oleh
DATUK DR AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).


Beberapa hari lalu, Mahkamah Vietnam menjatuhkan hukuman sehingga enam tahun penjara ke atas dua orang pemuzik terkenal atas kesalahan menyebarkan propaganda antikerajaan. Dua orang pemuzik itu ialah Viet Khang atau nama sebenar ialah Vo Minh Tri, 34 dan Tran Vu Anh Binh, 37. Viet Khang dijatuhkan hukuman selama empat tahun manakala Anh Binh enam tahun. Selesai menjalani hukuman penjara, mereka turut dikenakan dua tahun 'tahanan rumah' atas pengakuan mempunyai hubungan dengan sebuah pertubuhan politik yang diharamkan.

Walaupun kedua-duanya dikatakan tidak mempunyai hubungan politik, mereka sebenarnya didapati bersalah menyebarkan propaganda menghina tindakan polis kerana menghalang kumpulan aktivis anti-China dan menyelar program kerajaan yang tidak mempedulikan keadilan sosial rakyat bawahan. Kerajaan mendakwa kedua-dua pemuzik terkenal itu atas alasan Viet Khang menulis lirik lagunya mengecam polis manakala Anh Binh pula menyanyikan beberapa buah lagu yang bertemakan tindakan memenjarakan pejuang rakyat berhubung konflik perebutan sebuah pulau di Laut China Selatan antara Vietnam dan China.

Tentunya, pemenjaraan itu dilihat sebagai sesuatu yang patut kerana kedua-dua artis itu adalah 'pengkhianat negara.' Dalam mana-mana sistem politik, sesiapa yang dianggap 'pengkhianat negara' akan dikenakan tindakan keras, termasuk dihukum mati. Sesebuah negara boleh melucutkan kerakyatan kepada seseorang yang dianggap sebagai 'pengkhianat' jika orang berkenaan tidak bersedia untuk dihadapkan tindakan mahkamah. Kebiasaannya, mereka melarikan diri ke negara tertentu untuk mendapatkan perlindungan sementara ataupun kekal sebagai 'suaka'.

Ada juga atas alasan tertentu, mereka sendiri sedia melucutkan taraf kewarganegaraan asalnya kerana ingin mendapat kerakyatan negara lain, terutamanya negara yang dilihatnya mampu memberikan keuntungan material ataupun psikologi. Mereka tetap boleh dianggap sebagai 'pengkhianat negara' tetapi tahap pengkhianatannya tidaklah sedarjat dengan mereka yang benar-benar mengkhianati negaranya sendiri tetapi tidak sanggup mengambil keputusan sukarela melucutkan kerakyatan asal.

Kita pernah mendengar ada desakan agar kerajaan melucutkan kerakyatan kepada seseorang yang dilihat sentiasa memburuk-burukkan pemimpin yang berkuasa kerana percaya selagi kuasa tidak dikawal oleh individu berkaitan, kerajaan yang memerintah bersikap zalim. Pendirian tersebut menjadi semakin kasar dan kesat apabila turut mengkreatifkan dakwaan 'zalim' atau 'tidak adil' sebagai tindakan diskriminasi bagi mengekalkan kuasa.

Wilayah pengaruhnya bukan setakat menggunakan pentas-pentas politik dalam negara, bahkan menggunakan pelbagai platform antarabangsa mengutuk dan mencipta propaganda bagi mendapat sokongan asing. Bahkan, ada ketikanya sanggup mengemis sumber kewangan daripada pertubuhan-pertubuhan tertentu demi kelangsungan matlamatnya bagi membiayai program-program dakyah dalam negeri. Dalam sejarah Islam tercatat pengkhianatan berlaku pada peringkat awal penyebaran Islam. Ubay bin Ka'ab menjadi 'pelakonnya' dengan mengkhianati pasukan Islam dalam Perang Uhud sehingga kemenangan yang sudah di depan mata akhirnya sirna. Akibat perbuatan khianat yang dilakukan satu orang, jutaan orang akan menanggung derita dan kegagalan yang diakibatkan oleh perbuatan khianat.

Perbuatan khianat juga memercikkan implikasi kepada dua dimensi kehidupan iaitu dimensi spiritual dan dimensi sosial. Perbuatan khianat dalam dimensi spiritual menyerlahkan sikap melanggar dan menentang ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Orang yang berbuat khianat, sama ertinya dengan mengkhianati Allah dan Rasul. Hal ini ditegaskan Allah dalam firmannya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu sedangkan kamu mengetahui" (Al Anfal 27).

Selain menanggung dosa, perbuatan khianat juga menimbulkan bahaya kepada struktur masyarakat. Kesan yang timbul antara lain, memudaratkan dan menghancurkan tata nilai dan pegangan yang dianut masyarakat, mencetuskan permusuhan dan perbalahan yang tiada berkesudahan antara pengkhianat dan orang yang dikhianati dan menimbulkan sikap curiga mencurigai di kalangan masyarakat. Seperti ditulis oleh seorang tokoh strategi klasik China, Sun Tzu, kemenangan sebenar dalam sesuatu peperangan adalah kerana berjaya mengenali musuh dengan tepat. Mengenali musuh dengan tepat itu mampu menakluk minda mereka dan ada ketikanya, dengan kekuatan propaganda, musuh itu dapat ditakluk secara perlahan-lahan tanpa melalui peperangan terbuka atau fizikal.

Menurut Pengasas Pergerakan Islam Palestin 1948, Sheikh Raed Solah, sesebuah pertubuhan yang menerima dana daripada pertubuhan atau individu yang bergerak atas semangat Yahudi, adalah pengkhianat kepada bangsa, agama dan negara. Beliau membuktikan bahawa kejatuhan Empayar Turki Uthmaniah adalah perancangan jahat Yahudi untuk menghancurkan Islam kerana keengganan Sultan Abdul Hamid II memberikan mereka sebahagian wilayah Islam bagi menubuhkan sebuah negara Isreal.

Bagaimanapun, kehadiran Mustapha Kamal Attartuk daripada kelompok muda Turki dengan tipu muslihatnya, akhirnya berjaya meruntuhkan empayar Islam tersebut, yang berjaya ditakluki oleh Muhammad al-Fateh pada tahun 1453M daripada taklukan penganut Kristian. Mustapha Kamal Attartuk mempunyai darah keturunan Yahudi dari bapanya. Kerana itulah Attartuk boleh mencapai kemenangan secara rampasan kuasa apabila dibantu oleh keturunan Yahudi dari segi ketenteraan, peralatan dan kewangan.

Dalam proses mempengaruhi keputusan sesebuah negara, kuasa besar atau pihak asing sentiasa berusaha mempengaruhi para penguasa menerusi pelbagai cara. Mula-mula mereka mendekati pertubuhan-pertubuhan sukarela tempatan dengan menjalin hubungan baik dan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan. Jalinan hubungan pelbagai pertubuhan itu akhirnya menyebabkan pertubuhan tempatan ikut menerima ideologi politik dan matlamat pertubuhan asing itu secara tidak sengaja. Ini akan menyebabkan pertubuhan tempatan berada dalam putaran ganas pertubuhan asing sehingga memaksakan pendirian semakin terikat dengan kehendak dan agenda pemberi dana asing itu.

Pertubuhan antarabangsa ini pula dibiayai oleh pihak tertentu termasuk mereka yang mahukan seluruh dunia memberikan pengiktirafan ke atas wilayah Israel sebagai sebuah negara yang berdaulat. Semakin banyak negara Islam sebenarnya terperangkap dengan agenda tersebut, kerana Israel terus menggunakan lobinya dan kepintaran intelektual serta sumber kuasa ekonomi Yahudi dalam mempengaruhi keputusan dasar luar Washington. Menurut wartawan terkenal The Guardian, Nick Davies, kegiatan perhubungan awam dan pemberitaan kabel (newswire) adalah sesuatu yang semakin berpengaruh sehingga menyebabkan wartawan tidak lagi menghormati prinsip kebenaran menulis berita.

Prinsip ini dilanggari oleh wartawan kerana mereka tidak lagi perlu menulis berita dengan mengutip maklumat di lapangan, semuanya sudah dihidangkan oleh firma perhubungan awam dan ini menyebabkan berita-berita semakin 'rata'. (baca, The Flat Earth News, 2009).

Bagi Gordon Corera, koresponden hal ehwal keselamatan Perbadanan Penyiaran British (BBC), selepas berakhirnya Perang Dingin, kaedah perisikan sudah banyak berubah dari pendekatan 'budaya macho'", menggunakan wanita cantik dan seksi telah berubah kepada jalinan persahabatan dan memberikan perhatian serius kepada manusia menerusi bantuan serta misi kemanusiaan. Usaha ini sedang berjalan secara senyap-senyap oleh agensi perisikan British - M16 kerana Britain tidak lagi berminat melakukan penjajahan secara fizikal. (Baca, The Art of Betrayal:Life and Death in the British Secret Service, 2012).

Kesemua bentuk 'persahabatan dan jalinan' yang memaksakan ketundukan kepada kuasa asing tidak akan mudah dilaksanakan jika rakyat sesebuah negara tidak mengizinkan diri sendiri dipengaruhi atau terikat dengan sumber luaran. Menerima dana asing akan menyebabkan penerimanya sanggup 'mengkhianati' negara sendiri kerana pembiayanya bersedia melakukan apa sahaja bentuk kekerasan sekiranya berlaku pelanggaran persetujuan tersebut.

Situasi inilah yang membimbangkan rakyat Malaysia apabila mendapat tahu ada pertubuhan dalam negara menerima bantuan asing bagi melaksanakan pelbagai aktiviti bermula dengan propaganda menuntut 'kebebasan bersuara' dan 'demokrasi liberal' hinggalah kepada menjatuhkan kerajaan yang tidak dapat memenuhi keinginan pihak terbabit. Ini semuanya dilakukan atas nama monopoli kuasa dan ekonomi.

Golongan 'pengkhianat' ini sanggup menggadaikan maruah dan kehormatan diri serta agama kerana mahukan kedudukan politik yang lebih baik. Sejarah mengajar manusia bagaimana golongan atau individu yang berusaha mencapai matlamatnya secara tidak jujur ini telah mengkhianati bangsa, agama dan negaranya sendiri. Golongan ini menjadi 'duri dalam daging' dan berusaha sehabis tenaga walaupun sedar tindakan yang diambil itu adalah paling tidak beretika.

Sumber
Utusan Malaysia
2 November 2012

31 Oktober 2012

ISU ICT : E-BUKU MEMBEBASKAN RUANG RUMAH DARIPADA TIMBUNAN KERTAS-KERTAS


Rencana ini ditulis oleh
Zin Mahmud


Bukannya senang hidup sebagai seorang ulat buku. Sebenarnya mereka tidak memilih untuk menjadi seorang ulat buku. Ini semua takdir. Mereka telah dilahirkan sebagai ulat buku. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Tidak perlu kempen membaca. Mereka tidak perlukan itu semua. Kegilaan mereka terhadap buku datang dengan sendirinya, tanpa sebarang galakan, apatah lagi paksaan. Sedar-sedar mereka sudah menjadi ulat buku. Mungkin ada orang kagum terhadap mereka yang berminat membaca. Ulat buku sememangnya golongan minoriti. Tetapi sebenarnya banyak orang tidak suka pada ulat buku. Ini kerana gila buku adalah suatu penyakit.

Sebeanrnya penyakit ini dapat dikesan sejak dari awal lagi. Para ulat buku seringkali adalah golongan yang suka menyendiri. Tidak suka bersosial, lebih gemar menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgitnya demi buku. Maka para ibu bapa yang mempunyai ulat buku di kalangan anak-anak mereka pasti dapat mengesan penyakit ini dari awal, sejak di sekolah rendah. Ulat-ulat buku ini dengan sendirinya, tanpa disuruh akan gemar pergi ke perpustakaan sekolah. Mereka akan pinjam buku sebanyak mana dibenarkan, membacanya cepat-cepat dan mengembalikannya sepantas mungkin, supaya dapat meminjam buku lain pula. Sering kali ulat buku ini akan segera menjadi pustakawan sekolah supaya mereka dapat hidup dikelilingi buku. Di luar waktu sekolah, kedai buku sentiasa menjadi tumpuan mereka.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak berpenyakit gila buku ini, mereka akan mula menyedari kesan-kesan negatifnya. Ini kerana buku-buku yang dibaca oleh ulat-ulat itu seringkali bukannya buku pelajaran untuk peperiksaan dalam silibus nya. Maka ulat-ulat buku ini akan membaca apa saja yang diminatinya, seringkali berbeza daripada mata pelajaran di sekolahnya. Jika tidak dikawal, pencapaian pelajarannya akan terjejas kerana ulat-ulat buku ini banyak menghabiskan masa membaca buku-buku lain. Kesan negatif lain ialah banyaknya wang yang dihabiskan oleh kanak-kanak ulat buku ini untuk membeli buku. Mereka sanggup berlapar supaya wang belanja makan digunakan untuk membeli buku.

Maka dalam waktu singkat bilik dan rumahnya akan penuh dengan buku dan majalah yang pasti dirasakan menyempitkan dan semak bagi para ibu bapa mereka terutama yang hanya mampu memiliki rumah kecil. Selain itu, kesan negatif daripada ulat buku ialah sifatnya yang tidak suka bersosial dan bersukan hingga menjejaskan pembangunan dirinya dan kemahiran hubungan sesama insan. Tidak kiralah apa kerjaya yang diceburinya, penyakit gila buku ini akan berterusan hingga ke akhir hayat. Apabila mereka mula bekerja, dengan memiliki wang sendiri, maka banyak lagilah buku yang dibeli dan diperoleh dan seterusnya memenuhi ruang-ruang di rumahnya. Masalah ini akan menjadi rumit jika seorang lelaki ulat buku berkahwin dengan wanita yang tidak toleran dengan penyakit ini.

Sejak mula berkahwin hinggalah beranak cucu, leteran terhadap buku-buku yang terus bertambah menimbun dalam rumah akan menjadi suatu kebiasaan. Tetapi bagi ulat-ulat buku, mereka tidak akan menjawab balik terhadap leteran-leteran itu. Mereka hanya memekakkan telinga dan terus tenggelam dalam dunia pembacaannya. Bagi isteri-isteri ulat buku, penyakit suami mereka ini dirasakan menyempitkan hidupnya. Perebutan ruang dalam rumah pasti berlaku. Ini kerana buku-buku memakan banyak ruang yang berharga terutama dalam rumah teres dua tingkat dengan bilik terhad. Soal buku sememangnya sensitif bagi ulat buku. Jika dia mendapati bukunya diusik, apatah lagi dipindahkan ke tempat lain, maka berangnya tidak mengenal ahli keluarga. Buku adalah sebahagian daripada dirinya.

Tanda-tanda bahawa seseorang lelaki itu berpenyakit gila buku sepatutnya boleh disedari oleh seseorang perempuan sejak awal dia mula mengenal bakal suaminya. Pastinya lelaki ini akan membawa teman wanitanya ke tempat-tempat yang ada kedai buku. Kalau pergi ke kompleks membeli belah, pastinya dia akan memilih tempat yang ada kedai buku. Gaya hidup ini akan berterusan sepanjang hayatnya. Anak-anak ulat buku juga dari awal lagi sedar bahawa ke mana saja mereka berjalan, bapanya pasti membawa mereka ke kedai buku. Seringkali bapa mereka akan membeli lebih banyak buku daripada anak-anaknya.

Ada masanya apabila tidak tahan dengan protes isterinya, maka ulat buku ini akan menjalani hidup secara gerila. Mereka membeli buku secara gelap, sembunyi-sembunyi. Apabila membeli buku, ia akan disorokkannya dalam kereta. Setelah keluarganya tidur, barulah dia keluarkan buku daripada keretanya. Setelah berbulan-bulan berlalu, tiba-tiba tanpa disedari isterinya, rumah menjadi sempit kerana penuh buku. Tetapi sejak tahun-tahun kebelakangan ini, teknologi maklumat telah membawa harapan baru kepada keluarga ulat buku. Ulat-ulat buku tidak perlu lagi bimbang dileter atau dimarah isterinya kerana menyempitkan ruang rumah akibat terlalu banyak buku. Kemunculan e-buku akan meringankan beban ulat-ulat buku daripada kemarahan keluarganya. Ini kerana e-buku tidak lagi memakan banyak ruang. Zaman ulat e-buku sudah tiba.

Sumber
Utusan Malaysia
30 Oktober 2012