Rencana ini ditulis
oleh :
Rejal Arbee
Felo Kanan di UKM
Menghairankan kerana
selepas merdeka selama lebih 55 tahun dengan persetujuan menjadikan bahasa
Melayu bahasa kebangsaan, penggunaannya masih menjadi persoalan. Terbaru ialah
usaha untuk meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris dalam
negara. Diakui bahasa Inggeris sudah pun
menjadi bahasa antarabangsa yang sepatutnya boleh dikuasai rakyat. Usaha juga
perlu dilaksanakan supaya semua lepasan sekolah dan universiti kita dapat
menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
Tetapi apakah
penguasaannya hanya boleh dilakukan dengan mengabai atau memperlekehkan bahasa
Melayu hingga ada pula beberapa kerat rakyat yang mahu sekolah Inggeris, iaitu
sekolah dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, dikembalikan? Apakah
ini saja jalannya untuk memastikan seseorang pelajar fasih bertutur dan menulis
dalam bahasa Inggeris? Mestikah penguasaan baik bahasa Inggeris hanya boleh
dicapai dengan mengabaikan bahasa Malaysia?
Tak serius guna
bahasa Malaysia
Sehingga sekarang
masih terdapat sebilangan rakyat negara ini yang berterusan tidak serius
berhubung penggunaan bahasa Malaysia hingga ada lepasan sekolah, khususnya dari
sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang tidak boleh bertutur atau memahami
bahasa Melayu dengan baik. Persoalan mengenai penggunaan bahasa Malaysia sebagai
bahasa pengantar di sekolah tidak seharusnya timbul lagi, begitu juga pandangan
bahawa hanya dengan wujudnya sekolah bahasa Inggeris barulah rakyat negara ini
boleh menguasai bahasa itu. Dalam keghairahan mahu rakyat menguasai bahasa
Inggeris dengan baik, janganlah kita meminggirkan bahasa Malaysia. Ia sudah pun
diterima sebagai bahasa kebangsaan.
Semua yang mengakui
warga negara ini seharusnya bersedia mendukung dan mencintai bahasa Malaysia,
iaitu bukan sekadar memahami tetapi juga boleh bertutur dengan baik. Bahasa
Malaysia sebenarnya adalah tonggak kenegaraan dan kedudukannya juga mengatasi
bahasa lain termasuk bahasa sukuan. Hakikat ini perlu difahami oleh semua
rakyat negara ini tanpa berdolak dalih lagi. Justeru, semua individu yang
mengakui cintakan negara ini tidak harus terikut dengan kemahuan pendukung
sekolah Cina yang tidak serius mahukan lepasan sekolah itu dapat menguasai
bahasa Malaysia dengan baik. Pembelajaran Bahasa Melayu di SJKC pada masa ini
hanyalah seperti melepaskan batuk di tangga, iaitu untuk pelajar mereka lulus
dalam mata pelajaran itu dan memperoleh sijil persekolahan.
Sudut perkauman
sempit
Itulah juga kenapa
hingga sekarang persatuan seperti Dong Zong tetap tidak berganjak daripada
syarat bahawa semua guru yang mengajar Bahasa Melayu mesti boleh bertutur
bahasa Mandarin. Apa kena mengena pembelajaran Bahasa Melayu dengan penguasaan
bahasa Mandarin? Malah jika guru yang mengajar Bahasa Melayu tidak tahu bahasa
Mandarin, keadaan ini akan memaksa muridnya berusaha mempelajarinya untuk
berinteraksi dengan guru. Kesimpulan
yang boleh kita andaikan ialah puak Dong Zong dan sekutunya tidak mahu menerima
bahasa Melayu sebagai tonggak negara. Mereka tidak mahu menerima usaha
memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu di SJKC kerana kononnya masyarakat Cina
membantah. Mereka ini jugalah yang berterusan melihat semuanya dari sudut
perkauman sempit.
Selagi mereka tidak
bersedia berperasaan terbuka, selagi itulah syak wasangka terhadap puak begini
tidak dapat diketepikan. Justeru, orang Melayu tidak harus terpesong dengan kehendak
melampau begini yang tidak mahu menunjukkan mereka benar-benar adalah warga
negara yang mencintai negara sendiri dan sanggup mendukung tonggak kenegaraan
dengan menghormati bahasa kebangsaan. Puak ini jugalah apabila dipersoalkan
kesetiaan mereka terhadap negara ini akan melenting kononnya mereka juga adalah
rakyat yang setia dan cintakan negara. Kesetiaan apa kalau bahasa negara
sendiri pun diabaikan dan seolah-olah tidak mahu mengiktirafnya?
Kini pihak berkuasa
perlu pula mengadakan lagi kempen Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan
semula pada 2010 untuk mempromosikan kedudukan bahawa kita adalah “satu bahasa,
satu bangsa dan satu negara”. Puak yang tidak mengendahkan penggunaan bahasa
Melayu sepatutnya berasa malu dengan ratusan ribu rakyat asing yang selepas
berada di sini beberapa bulan saja sudah boleh bertutur bahasa Melayu dengan
baik. Sepatutnya selepas begitu lama mencapai kemerdekaan, soal terhadap tahap
penguasaan bahasa Melayu oleh sesetengah rakyat tidak harus wujud lagi. Mereka
yang mengakui diri sebagai warga setia yang cintakan negara tidak akan sesekali
mengabaikan bahasa kebangsaan.
Sumber
Berita Harian
8 November 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan