06 September 2012

ISU NEGARA : FORMULA KEKALKAN KEMERDEKAAN NEGARA


Rencana ini ditulis oleh:
MOHD ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru


Kemeriahan Syawal masih lagi terasa. Namun begitu seluruh masyarakat diseru tidak lupa betapa nikmat kemerdekaan yang di kecapi hari inilah yang membolehkan kita melakukan segala-galanya termasuklah bebas berhari raya ke sana ke mari dalam suasana muhibah semangat 1Malaysia. Sementara itu, amalan rumah terbuka yang meriah dilakukan di merata tempat turut dikongsi bersama oleh masyarakat majmuk yang berkongsi budaya sungguhpun berlatarbelakangkan kepercayaan yang berbeza. Nikmat kemerdekaan dan kebebasan ini hendaklah dipelihara agar ia berkekalan sepanjang masa hingga ke akhir zaman. Sehubungan itu juga beberapa formula untuk mengekalkan nikmat kemerdekaan negara perlu dilestarikan bagi keharmonian hidup bersama.

Era penjajahan di Tanah Melayu sudah lama berkubur, namun begitu puing-puing penjajahan budaya dan pemikiran yang membelenggu masyarakat kelihatan sukar untuk dikikis. Akibatnya satu demi satu nilai jati diri Melayu secara khususnya tidak lagi mendapat tempat di hati segelintir masyarakat. Pemakaian baju Melayu, bersongkok dan bersamping sebagai contohnya mula dilupakan terutama ketika menyambut hari raya. Begitu pula terdapat di kalangan generasi muda lebih gemar memperagakan fesyen terkini berbanding baju kurung yang melambangkan kesopanan dan nilai Nusantara. Malah ada yang lebih selesa mengenakan fesyen pakaian yang menjolok mata dan keterlaluan demi ikutan nafsu sendiri.

Corak pemikiran yang tidak berteraskan nilai-nilai ketimuran juga mula dipraktikkan. Akibatnya gejala seks songsang seperti gay dan lesbian menarik perhatian golongan yang menyimpang daripada ajaran agama suci. Kelab-kelab hiburan yang mempromosikan amalan seks songsang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Muda-mudi Islam tanpa segan silu memuat naik perlakuan jijik mereka di laman sosial sehingga seluruh dunia menyaksikan betapa kita masih dijajah walaupun setelah 55 tahun merdeka. Justeru apa erti kemerdekaan jika hakikatnya masyarakat masih terjajah tanpa disedari.

Nikmat kebebasan beragama yang sebati dengan masyarakat Malaysia juga hendaklah terus dipelihara. Malah nilai yang dikongsi bersama ini merupakan teras keharmonian dan kesejahteraan negara yang telah dinikmati sejak zaman berzaman. Oleh itu, sebarang anasir jahat yang cuba diseludup masuk ke negara ini seperti usaha buruk menyebarkan ajaran menyeleweng kepada golongan gelandangan dan umat Islam yang dalam kesempitan hendaklah ditentang habis-habisan. Begitu pula usaha pihak tertentu sama ada dari dalam mahupun luar yang ingin mencetuskan huru-hara dengan gerakan memurtadkan orang Islam secara terancang eloklah dihentikan bagi mengelak perbalahan agama yang merugikan semua.

Ini kerana berteraskan kepada Perlembagaan Negara, Agama Islam merupakan agama rasmi negara yang dipersetujui oleh semua kaum sejak negara mencapai kemerdekaan. Sungguhpun begitu agama-agama lain bebas dianuti dan diamalkan oleh penganutnya, sehingga tiada sekatan untuk membina rumah ibadat secara sah dan melaksanakan ritual agama masing-masing. Bagaimanapun kebebasan ini tertakluk kepada larangan untuk mempengaruhi dan menyebarkan agama lain kepada umat Islam.

Malah uniknya lagi perayaan kaum yang berlatar belakangkan agama berbeza juga turut diraikan bersama oleh seluruh masyarakat Malaysia. Justeru diingatkan agar tiada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dalam situasi yang aman harmoni ini. Oleh itu, fahaman menyimpang seperti fanatisme, cauvanisme dan taksub yang melampau eloklah dijauhi dan dihindari. Jika tidak nikmat keamanan sedia ada serta impak negatif perbalahan etnik dan agama seperti yang berlaku di Rohingya pada ketika ini boleh sahaja menular ke sini dan pasti tiada sesiapa menghendakinya.

Sebagai makhluk yang dicipta tiada sesiapapun yang sempurna. Sudah pasti setiap insan punya kelemahan dan kelebihan masing-masing. Justeru jadikan kekurangan sebagai mekanisme untuk memperbaiki diri dan kelebihan dikongsi bersama agar manfaatnya melata dan dapat dirasai oleh semua. Selain itu sikap buruk saling mengeji dan memburuk-burukkan orang lain tidak wajar dipraktikkan. Begitu juga sikap dengki dan sering berpandangan serong termasuk penyakit dalaman yang memudaratkan.

Sebaliknya nikmat kemerdekaan hendaklah dikongsi bersama dengan semua pihak berusaha mengamalkan nilai-nilai positif seperti toleransi dan saling menghormati antara satu dan lain. Perselisihan dan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara hendaklah disalurkan kepada pihak bertanggungjawab supaya penyelesaian yang komprehensif dapat diusahakan. Umum mengetahui betapa susah payah tokoh pejuang kemerdekaan terdahulu berusaha membebaskan negara daripada belenggu penjajahan. Segala pengorbanan yang ditempuhi mereka demi keamanan hidup generasi hari ini hendaklah dijadikan sumber inspirasi bagi membina negara bangsa yang berjaya dan disegani di mata dunia.

Untuk itu, semua individu yang cinta kepada negara haruslah berjuang meningkatkan pencapaian diri dalam apa jua bidang yang diceburi hingga akhirnya manfaat dan kebaikannya akan dirasai bersama. Golongan muda diseru memanfaatkan masa muda dengan berjuang untuk mendalami ilmu dan pengetahuan, supaya akan lahir lebih ramai cendekiawan Malaysia yang boleh dibanggakan satu hari nanti. Kalangan pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta selayaknya bekerja dengan penuh dedikasi tanpa dicemari oleh unsur-unsur negatif seperti rasuah, curi tulang dan mengamalkan kerenah birokrasi melampau yang boleh jadi menyusahkan urusan orang lain.

Akhirnya perpaduan dan kesatuan masyarakat untuk mempertahankan nikmat kemerdekaan ini merupakan formula terbaik untuk mengekalkan keharmonian dan kemerdekaan negara. Apa guna berbagai-bagai slogan dan pandangan diutarakan jika masyarakat berpecah belah dan tidak bersatu hati. Malah situasi seperti ini dibimbangkan akan membuka jalan dan ruang kepada pihak tertentu yang cuba untuk meniupkan api perkauman hingga marak menyala dan sukar untuk dipadamkan. Umum mengetahui perselisihan dan pandangan berbeza dalam sesuatu perkara akan tetap berlaku di mana-mana namun begitu biarlah ia berteraskan kepentingan dan kemaslahatan hidup bersama bukan atas kepentingan kendiri.

Sumber :
Utusan Malaysia
6 September 2012

ISU SOSIAL : LALUI HIDUP TENANG DENGAN "MEMERDEKAKAN DIRI" DARIPADA HUTANG-PIUTANG


Rencana ini ditulis oleh:
DR. JESSICA ONG HAI LIAW
Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.


Hutang adalah perkataan yang paling digeruni apabila kita tidak mampu membayarnya. Bila menerima gaji, waktu itulah yang paling ditunggu dan waktu itu juga duit akan keluar seperti air untuk melunaskan segala hutang pinjaman. Sehingga tidak sempat untuk dipegang lama gaji yang diterima, terus sahaja mengalir seperti aliran air sungai yang deras. Hal ini membuatkan kita merasa hidup ini seperti menjadi hamba untuk membayar rumah dan kereta . Itu semua adalah senario yang dihadapi semua orang terutama yang bekerja makan gaji. Hutang rumah, kereta, pembiayaan peribadi dan setiap orang ada alasan masing-masing untuk berhutang. Apabila diminta untuk menjadi penjamin saudara mara atau kawan, maka kita akan cuba mengelak. Bukan sebab tidak mahu menolong tetapi menjadi penjamin akhirnya membuatkan kita secara tidak langsung akan terlibat dengan hutang. Malah penjamin selalu menjadi mangsa apabila saudara mara dan kawan yang dijamin tidak mampu membayar, dan dengan mudah boleh menghilangkan diri lalu membuatkan penjamin yang merana.

Rekod Jabatan Insolvensi (Jun 2012) menunjukkan sebanyak 116,379 kes muflis di negara ini dilaporkan di antara 2005 hingga April 2012. Sebanyak 20 peratus melibatkan individu berusia kurang 35 tahun. 32 peratus melibatkan golongan umur 35 hingga 44 tahun. Sebanyak 18 peratus melibatkan usia 45 hingga 54 tahun. Sebanyak 25 peratus kes muflis disebabkan beban hutang melibatkan pinjaman kereta, pinjaman peribadi (13 peratus), pinjaman perumahan (12 peratus), pinjaman perniagaan (11 peratus) dan hutang kad kredit (5 peratus). Pengurusan hutang perlu dilakukan secara bijak dan jika kita ada kelemahan itu maka jangan gunakan kad kredit.

Mengikut perkiraan awal, memang kita mampu membayar ansuran pinjaman tetapi apabila berlakunya perkara yang tidak dijangka seperti dibuang kerja, hubungan rumah tangga dan lain-lain, masalah akan mula timbul. Akhirnya ia menyebabkan hidup kita menjadi huru-hara, ada yang bercerai-berai, ada sehingga melibatkan Along diikuti dengan jenayah yang mengorbankan nyawa. Fikiran akan berserabut jika kita tidak dapat membayar hutang pada tarikh yang ditetapkan. Bank atau institusi pinjaman akan menelefon tidak henti-henti. Walaupun begitu ada juga bank yang mengambil pendekatan memahami dan memberi masa serta peluang untuk pelanggan membuat cara pembayaran yang efisien.

Bersembang tentang hutang ini, perbelanjaan yang berlebihan dengan adanya shopping online yang sangat popular kini merupakan satu sindrom apabila kita dapat membeli belah di hujung jari sahaja. Saya tidak begitu mahir dengan shopping online tetapi rakan-rakan sekerja hanya melayari Internet dan dapat membeli apa sahaja yang diinginkan dengan mudah, cepat dengan harga berpatutan. Barangan yang dihantar pula berkualiti maka itulah punca perasaan untuk membeli membuak-buak.Itu juga punca masalah apabila kad kredit yang digunakan untuk membeli-belah akan menyebabkan kita lupa bajet bulanan. Jadi hilang ingatan sekejap apabila melihat tawaran-tawaran hebat yang boleh didapati dengan harga yang murah dari luar negara. Hutang kad kredit sangat berbahaya tetapi penggunaan kad debit atau charge card lebih selamat jika dibandingkan dengan kad kredit.

Insiden yang ingin saya kongsikan bersama adalah wujudnya andaian bahawa sikap ketagihan menggunakan kad kredit dan berbelanja khususnya kaum wanita dikatakan dapat menghilangkan tekanan. Membeli-belah menjadi terapi untuk melegakan kekusutan dan memberi penghargaan kepada diri sendiri namun terlalu leka boros akan menimbulkan masalah lain pula. Statistik Harvard Business Review (HBR) menunjukkan mungkin tidak tepat pada beberapa keadaan terutamanya apabila anda adalah seorang yang menggalakkan perbelanjaan bijak dan membuat belanjawan. Kuantiti dalam realiti kes ini, percaya atau tidak majoriti daripada orang (62%) berbelanja atau membeli sesuatu ialah untuk memulihkan mood.

Kawan saya, Adi memberitahu bahawa isterinya terlalu gila membeli-belah sehingga perbelanjaan sebulan mencecah RM5,000. Akhirnya, Adi terpaksa mematahkan kad kredit di depan isterinya demi menyelamatkan masalah hutang yang semakin tinggi dan rumah tangga, dengan memilih memerdekakan diri daripada hutang. Ini berbeza dengan seorang kakitangan awam yang bersara, Sarjan Rohani pernah memberitahu saya bahawa tidak ada istilah hutang dalam hidupnya. Dia tidak suka berhutang kerana katanya malam-malam dia tidak boleh tidur jika berhutang. Semua keperluan akan dibeli secara tunai dan jika tidak mampu dia tidak akan membelinya. Katanya, apabila sudah bersara dia inginkan ketenangan dan tidak suka jika bank menelefon setiap bulan.

Bercakap tentang Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) pada 2009, seramai 78,000 peminjam disekat keluar negara kerana tidak membayar hutang PTPTN. Soalnya, bukan berapa banyak hutang kepada PTPTN tetapi soal prinsip dan moral; tentunya apabila kita meminjam maka hutang perlu dibayar. Menurut Datuk Ismail Mohamad Salleh, Pengerusi PTPTN kepada Kosmo! baru-baru ini, seramai 70% peminjam tabung melunaskan hutang. Namun begitu, sebanyak satu peratus caj perkhidmatan pentadbiran atau ujrah akan dicajkan kepada yang belum membayar dan amat relevan jika dibandingkan dengan 4% dari bank-bank lain. Sebanyak RM44 bilion peruntukan telah dipinjamkan kepada 1.94 juta penuntut dalam dan luar negara.

Peraturan asas pengurusan kewangan nampak mudah tetapi hakikatnya sukar. Senang cerita, " besar periuk besarlah keraknya". Tidak kira berapa gaji kita, jangan sesekali berbelanja melebihi pendapatan. Berjimat walaupun sedikit boleh memberi kesan besar pada tabungan. Jadualkan perbelanjaan dan lunaskan hutang kad kredit, mencarum dalam pelan persaraan, menabung, melabur dan tingkatkan caruman skim kemudahan untuk pekerja dan kita semak liputan insurans. Merdeka dari hutang membawa erti tersendiri untuk kita hidup dengan lebih tenang. Kita baharu menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dengan tema 'Janji Ditepati'. Janji kita tepati dengan ukur baju di badan sendiri dan ingatkan diri sendiri dengan mengawal diri dan fikir apa yang perlu dan tidak perlu untuk kita dalam berbelanja.

Belanja mengikut kemampuan dan kita tidak perlu rasa rendah diri jika tiada kemampuan. Kita sebenarnya patut bangga kerana walaupun tidak mampu memiliki barangan mewah namun kita tidak berhutang. Bukankah itu lebih bermakna dan lena dibuai mimpi setiap malam? Berhutang ada banyak buruk daripada baiknya. Jika kita berhutang untuk membeli aset seperti rumah dan kereta sebagai jaminan untuk masa depan, itu ada baiknya. apa yang penting adalah menguruskan hutang dengan bijak dan mengawal segalanya dengan baik sebab kitalah penentunya. Beli mengikut kemampuan bukan dengan nafsu. Merdeka! Salam 1Hati.

Sumber :
Utusan Malaysia
6 September 2012

05 September 2012

ISU PENDIDIKAN : UNIVERSITI SEBAGAI MAKMAL HIDUP


Rencana ini ditulis oleh:
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia


Setiap tahun beribu-ribu orang anak muda berlumba-lumba untuk memasuki universiti. Ada yang datang menangis dan merayu dengan pelbagai cara untuk memastikan mendapat tempat walaupun tidak memenuhi kelayakan dan sedar yang ia sukar untuk dipenuhi. Ada juga yang datang berjumpa pihak pengurusan universiti dengan surat daripada pihak-pihak tertentu. Kenapa orang berlumba-lumba untuk memasuki universiti? Walaupun universiti dikritik dengan pelbagai perkara, dicari segala kelemahan dan kekurangannya, namun ia tidak mematahkan semangat untuk mereka yang percaya bahawa universiti berupaya mengubah nasib dan masa hadapannya untuk terus mendapat tempat, mencari ilmu dan memastikan mendapat segulung ijazah sebagai pengiktirafan terhadap proses penguasaan ilmunya.

Upacara konvokesyen masih menjadi antara acara penting yang perasaan bangganya tidak pernah kurang untuk dirakamkan foto dan diletakkan di atas meja atau menghiasi dinding sebagai menunjukkan pengiktirafan terhadap ilmu yang dipelajari di universiti. Malah, ada ibu bapa dan graduan yang marah jika tidak berpeluang naik ke pentas mendapat ijazah masing-masing kerana ia amat istimewa dan bermakna. Bagi mereka yang pernah melaluinya, sukar menafikan bahawa universiti adalah makmal hidup yang bermakna bagi mereka yang bijak mengambil peluang dan kesempatan yang ada.

Walaupun filem dan drama kita lebih banyak memaparkan kisah-kisah cinta kampus dari sisi penerokaan ilmu yang sebenar, universiti menyediakan begitu banyak ruang untuk seseorang itu menetapkan pandangan hidupnya terhadap alam kehidupan yang ada. Kehidupan kampus kerap kali dikaitkan dengan idealisme unggul yang kadang-kadang tidak berpijak di bumi nyata. Kehidupan yang dilihat dari sudut ilmu dan idealisme yang dibangunkan sangat istimewa, ideal dan kerap kalinya mempunyai perspektif dan sudut pandang yang berbeza daripada kehidupan sebenar. Di sinilah seseorang mahasiswa akan diuji dari sudut kekuatan ilmu dengan kehidupan sebenar yang dilaluinya. Kerap kali mahasiswa ini membuat perbandingan yang sangat indah dari perspektif ilmunya yang jika tidak diseimbangkan dengan pengetahuan terhadap dunia sebenar akan menjadikannya cepat terpesong dan melihat orang lain sebagai punca dan salah.

Walau pun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dipinda membolehkan para mahasiswanya menyertai politik, kampus universiti sewajarnya tidak diperjudikan untuk tujuan itu. Berpolitiklah di luar kampus kerana jika dibawa secara besar-besaran dalam kampus, akan mudahlah diprovokasi dan dipergunakan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menjadikan idealisme anak-anak muda ini mengikut kepentingan sendiri. Yang menerima padah tentunya anak-anak muda yang sepatutnya bergelut untuk menguasai ilmu dan kebijaksanaan serta hikmah yang ada untuk pembangunan masyarakat dan negara pada masa hadapan.

Kerana itulah kita dapati, sesetengah orang cepat berubah pandangan hidupnya berbanding dengan tatkala berada di kampus universiti setelah melalui dunia sebenar yang mempunyai pelbagai cabaran dan hakikat yang di luar dari jangkaannya. Namun, jika seseorang itu bijak menggunakan kesempatan yang ada, universiti adalah persediaan yang bermakna untuk menghadapi masa hadapan. Politik dalam kampus sewajarnya sekadar menjadi asas untuk memahami secara lebih luas bukan untuk mencari kuasa dan tujuan-tujuan lain, apatah lagi apabila pelbagai pihak saling berusaha untuk menguasai pemikiran anak-anak muda ini. Kampus adalah makmal hidup untuk mencari pengalaman baru, misalnya dari segi penguasaan bahasa dan pergaulan, universiti mempunyai pelbagai kemudahan dan kesempatan. Memandangkan hampir semua kampus universiti mempunyai pelajar dari pelbagai negara luar, maka di sinilah peluang untuk anak-anak muda ini belajar memahami bahasa dan budaya lain serta berusaha menyesuaikan diri dengan diri dengan dunia global yang sebenar.

Apatah lagi, peluang untuk mengikuti pengajian selama satu atau dua semester di negara luar sentiasa terbuka luas jika mereka tahu mengambil kesempatan daripadanya. Ini bermakna bukan sahaja mereka boleh belajar bahasa asing secara formal tetapi juga proses sosialisasi yang tidak formal yang terbuka luas. Malah, mereka yang berada di universiti juga boleh mengambil kesempatan mempraktikkan idea keusahawanan sama ada berniaga secara formal, belajar untuk menguasai keusahawanan malah menceburinya secara terus seawal mungkin. Hampir semua universiti tempatan sekarang ini mempunyai kelab keusahawanan atau jabatan-jabatan tertentu yang menguruskan penglibatan mahasiswa dalam bidang ini.

Banyak peruntukan diberikan selama ini untuk mendorong mahasiswa terlibat dalam keusahawanan sebagai sebahagian usaha untuk memastikan mereka dapat meneruskannya apabila tamat pengajian kelak. Dalam konteks ini keusahawanan harus dilihat sebagai cara kreatif dan inovatif untuk meneroka peluang baru dalam meneruskan kehidupan pada masa hadapan. Begitu juga dengan usaha mewujudkan semangat kesukarelaan dalam kalangan anak-anak muda. Universiti adalah tempat terbaik untuk melatih mereka secara formal atau tidak formal dalam menanamkan semangat untuk menolong orang lain dan menjulang nilai-nilai kemanusiaan bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan malah juga masyarakat dunia di mana sahaja.

Program-program latihan yang tersusun boleh diterokai dalam memastikan anak-anak muda kita bersedia untuk membantu orang lain, belajar berkomunikasi dan menjalin hubungan tanpa ada batas sempadan dari segi bahasa, budaya, agama atau apa sahaja yang membezakan manusia. Apatah lagi bagi komuniti universiti yang pelbagai, dengan kumpulan mahasiswa dari ceruk rantau negara dan bangsa, kaum dan agama serta warna kulit yang tidak pernah menghalang untuk saling berkomunikasi, memahami dan hidup rukun damai. Sekali gus belajar untuk menghargai kepelbagaian yang ada dan memanfaatkannya untuk mengkayakan dengan pengalaman dan kekuatan bersama. Soalnya, dengan pelbagai kemudahan infrastruktur, infostruktur untuk komunikasi dan teknologi maklumat serta ruang dan peluang ada, mampukah seseorang yang memasuki kampus universiti untuk berubah dan menjadi berbeza daripada sebelum memasukinya.

Tentunya mereka yang memilih untuk berdiam diri, tidak bercampur dengan orang lain dan hidup dalam dunia angan-angan, fantasi yang di awang-awangan atau enggan menerima pendapat dan pandangan orang lain, jumud pemikirannya dan enggan untuk berubah, maka universiti tidak jauh berbeza daripada sebuah sekolah atau tempat untuk belajar di bilik darjah dan kuliah dan kemudian luahkan semula di atas kertas peperiksaan. Universiti adalah makmal kehidupan yang sangat menarik dan menyeronokkan bagi mereka yang percaya kepada diri, mempunyai fokus dalam hidup, ingin memanfaatkan ilmu dan menerokainya sejauh mungkin serta bersedia untuk menggunakan setiap peluang dan ruang yang ada untuk menjadi seseorang yang mampu berfikir dan menggunakannya sebaik mungkin untuk diri, masyarakat, agama dan negara. Walaupun dunia kampus sebahagian besarnya dipenuhi oleh idealisme, tetapi hakikatnya itulah makmal terbaik untuk menyediakan kita dengan dunia sebenar yang jika diadunkan dengan ilmu, akan menyelesaikan banyak masalah yang ada dengan penuh kebijaksanaan dan hikmahnya.

Sumber :
Utusan Malaysia
4 September 2012

ISU EKONOMI : MEMACU PERTUMBUHAN SAKSAMA BANDAR - LUAR BANDAR


Rencana ini ditulis oleh:
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan, Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia


Sudah semestinya ekonomi pasaran bebas tidak sesuai diamalkan di Malaysia. Ekonomi pasaran bebas yang hanya mementingkan yang kuat dan kaya sahaja tetapi mengabaikan yang lemah mempunyai banyak kelemahan yang amat ketara. Krisis subprima di Amerika Syarikat (AS) dan krisis hutang di zon Eropah menggambarkan dasar ekonomi pasaran bebas tidak mendatangkan kemakmuran yang holistik kepada rakyat. Laungan prinsip keadilan yang diuar-uarkan oleh negara Barat hanya sekadar omongan kosong. Pengangguran semakin bertambah, rakyat semakin melarat manakala jurang kekayaan di antara golongan kaya dengan yang miskin semakin melebar. Dasar ekonomi pasaran bebas telah lama dipinggirkan oleh Malaysia. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diasaskan pada era 1970-an berteraskan kepada prinsip keadilan sosial banyak membantu rakyat Malaysia. Melalui dasar ekonomi ini, kadar pertumbuhan ekonomi juga menjadi fokus utama.

Sememangnya dasar ini berjalan dengan baik sehinggalah Krisis Kewangan Asia 1997/1998 melanda negara telah memperlihatkan betapa masih ada ruang penambahbaikan terhadap dasar ini. Malaysia memerlukan satu dasar ekonomi yang dapat memacu pertumbuhan secara saksama. Penulis lebih gemar menggunakan perkataan saksama bagi menggambarkan kepentingan keadilan sosial untuk semua pihak di Malaysia. Dasar-dasar ekonomi yang saksama tidak boleh memihak mana-mana pihak mahupun lokasi. Sebagai contoh apabila sesuatu kaum sahaja yang mengawal ekonomi ia menggambarkan keadilan sosial dalam ekonomi tidak dilaksanakan dengan baik. Dasar ekonomi keadilan sosial perlu membantu kaum yang lemah.

Nikmat kekayaan bukan hanya untuk golongan kaya. Di Malaysia, diketahui umum, kaum bumiputera masih ketinggalan dalam banyak perkara, misalnya dalam pemilikan hartanah mewah, maka, dalam memastikan dasar ekonomi dilaksanakan dengan saksama, kaum ini juga berhak untuk memiliki hartanah yang lebih banyak dan bernilai tinggi. Bezanya dalam pasaran bebas, kaum bumiputera akan dipinggirkan terus menerus kerana mereka ini adalah kaum lemah. Maka, mereka tidak layak untuk memiliki hartanah mewah di bandar meskipun mereka ini golongan majoriti rakyat Malaysia. Secara tidak langsung, sedikit demi sedikit kaum bumiputera disisihkan dalam arus pembangunan ekonomi bandar dan akhirnya mereka terpaksa mencari tempat baru untuk bertapak mencari rezeki. Di manakah tempatnya jika tidak di tempat asal mereka iaitu di kampung-kampung. Ini amatlah tidak baik untuk negara dalam jangka masa panjang.

Malahan, dasar ekonomi pasaran bebas yang tidak adil ini akan memberi kesan negatif dari segi perpaduan kaum. Dengan mengamalkan dasar ekonomi keadilan sosial, jurang besar ekonomi antara kaum dapat dikurangkan, rasa tidak puas hati pula di kalangan mereka dapat diminimumkan manakala ekonomi negara dapat dipacu dengan lebih saksama dan mapan. Bagaimanapun ia tidak mudah dilaksanakan kerana dalam mana-mana sistem ekonomi dunia sekalipun masih ada segelintir golongan yang oportunis yang hanya memikirkan diri sendiri. Ini tidak menghairankan kerana sekian lama dasar ekonomi pasaran bebas telah menjajah pemikiran golongan sebegini.

Bagi mengubah pemikiran mereka agar lebih melihat kemaslahatan masyarakat secara menyeluruh, dasar-dasar ekonomi yang sedang dan akan dilaksanakan perlu mengambil kira pendekatan inovatif, kreatif, tegas dan berani serta wasatiyyah. Inilah yang dikatakan sebagai memecah tembok kemustahilan bagi memastikan pengagihan kek ekonomi dilaksanakan dengan saksama. Dasar ekonomi yang menitik beratkan keadilan sosial juga tidak boleh meminggirkan kawasan luar bandar. Penumpuan yang berlebihan terhadap ekonomi di bandar-bandar besar menyebabkan modal insan di luar bandar berhijrah secara besar-besaran ke bandar seperti Kuala Lumpur dan produk-produk luar bandar pula dipinggirkan.

Implikasinya cukup besar sama sekali kerana apa akan terjadi kepada ekonomi luar bandar jika tiadanya modal insan terbaik untuk memacu ekonomi luar bandar? Jurang kekayaan di antara bandar dan luar bandar semakin melebar manakala taraf hidup penduduk bandar akan semakin tinggi berbanding penduduk luar bandar sedangkan pertumbuhan yang saksama mestilah melibatkan keterangkuman sebagaimana yang ditetapkan dalam Model Baru Ekonomi (MBE). Kuantiti dan kualiti pertumbuhan hanya menjadi sia-sia belaka jika tidak melibatkan prinsip keterangkuman untuk seluruh rakyat. Bagi mereka yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, anak yatim, orang miskin dan orang kelainan upaya (OKU) juga perlu diberi perhatian dalam Bajet 2013 selain golongan berpendapatan sederhana ke bawah.

Sejumlah besar program dan insentif dalam Bajet 2013 mestilah tertumpu kepada mereka kerana merekalah yang paling banyak terkena tempias kos sara hidup yang semakin tinggi. Bagi memperkukuhkan ekonomi negara dan mempertingkatkan produktiviti, seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat ke tahap negara terbaik, agihan Bajet 2013 perlu dibuat secara berhemah mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan. Justeru, pengurangan defisit dan hutang kerajaan patut menjadi agenda utama Bajet 2013 supaya ekonomi negara akan kekal mapan dan seterusnya kekayaan negara dapat diagihkan secara saksama. Inilah cabaran dan intipati utama yang perlu ditekankan dalam Bajet 2013 agar semua pihak dapat merasai kemakmuran negara. Hanya kerajaan yang berpegang pada prinsip keadilan sosial mampu untuk mengharungi cabaran ini dan juga dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat dengan saksama.

Sumber :
Utusan Malaysia
4 September 2012

ISU GLOBAL : MENGAPA CAMPURTANGAN ANTARABANGSA SERING KALI GAGAL?


Rencana ini ditulis oleh:
MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK
afifi@uum.edu.my
Pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM)


Konflik dalam dunia adalah satu perkara yang mustahil untuk dielakkan. Antara faktor yang akan menyokong kenyataan ini adalah komposisi dunia yang dipenuhi dengan pelbagai negara, pelbagai jenis bangsa dan kaum, pelbagai jenis perspektif, serta persekitaran kehidupan yang sangat berbeza antara satu sama lain. Apabila wujud interaksi antara kesemua entiti dan faktor tersebut, maka konflik pasti berlaku. Politik antarabangsa sebagai contoh saban hari menyaksikan pelbagai jenis konflik yang tidak pernah jemu mewarnai sejarah dan perkembangannya sejak zaman dahulu hingga sekarang. Apabila manusia mula mencapai satu tahap tamadun yang tinggi dan mula menghargai nilai keamanan dan keselamatan, manusia akan melakukan apa sahaja dengan kuasa yang ada kepada mereka bagi mengekalkan kewujudan nilai keamanan dan keselamatan tersebut.

Dalam konteks pengurusan konflik antarabangsa pada masa kini, campur tangan antarabangsa oleh pertubuhan dan institusi antarabangsa dalam sebarang konflik-konflik serius adalah sangat dituntut. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) selaku badan dunia yang bertaraf 'supra-nasional' biasanya memainkan peranan ini selaku 'badan pengaman dunia' yang akan bertindak untuk campur tangan bagi mengamankan konflik-konflik tersebut. Tugas sebagai 'badan pengaman dunia' ini juga turut digalas oleh banyak pertubuhan dan institusi antarabangsa yang bersifat serantau seperti Pakatan Atlantik Utara (NATO), Kesatuan Eropah (EU), Kesatuan Afrika (AU), Pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASEAN), dan banyak lagi. Semua pertubuhan dan institusi yang bersifat serantau ini turut sama menyumbang bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat di samping PBB.

Pun begitu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapati usaha campur tangan antarabangsa dalam pelbagai konflik serius seringkali menemui kegagalan. Campur tangan antarabangsa lebih banyak gagal daripada berjaya dan kadang-kadang separa berjaya sahaja. Buktinya, lihatlah apa yang sedang berlaku di Syria. Berita-berita antarabangsa baru-baru ini melaporkan kegagalan misi pengaman PBB di negara tersebut berikutan dengan perletakkan jawatan ketua misi PBB di Syria. Sebelum itu, wakil khas Setiausaha Agung PBB ke Syria, Kofi Annan, juga turut meletak jawatan. Perkembangan mutakhir ini menyebabkan banyak usaha misi pengaman di Syria terpaksa digantung buat sementara waktu walaupun keadaan di negara tersebut kian hari kian meruncing dan buruk.

Harus diingat bahawa ini bukannya kali pertama misi pengaman PBB gagal. Kalau kita tinjau sejarah perkembangan misi pengaman PBB khasnya selepas tamatnya era Perang Dingin, kita dapati banyak misi pengaman PBB seperti di Bosnia Herzegovina, Somalia, Rwanda, Congo dan Yemen turut menerima nasib yang sama, ia gagal. Campur tangan antarabangsa di beberapa buah negara lain seperti di Iraq dan Afghanistan juga demikian. Begitu juga halnya dengan campur tangan antarabangsa dalam isu konflik Arab-Israel serta isu Palestin. Semuanya menemui kegagalan dan kurang berkesan. Pun begitu, campur tangan oleh NATO dalam krisis di Libya pula disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai berjaya.

Dalam teori penyelesaian konflik antarabangsa, campur tangan sebagai satu alat politik yang dijana menerusi pihak ketiga yang neutral seharusnya membuahkan banyak hasil yang positif. Persoalannya, berdasarkan kepada beberapa kes yang dikemukakan di atas, kenapa campur tangan oleh pertubuhan dan institusi antarabangsa dalam pelbagai isu dan konflik antarabangsa seringkali gagal? Di manakah silapnya? Bagi menjawab persoalan ini, ada sebuah buku yang bertajuk Can Intervention Work tulisan Rory Stewart dan Gerald Knaus (2011). Stewart, merupakan bekas Timbalan Gabenor di dua buah wilayah di Iraq sewaktu zaman pendudukan Amerika Syarikat di negara tersebut, manakala Knaus pula ialah pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai European Stability Initiative.

Menurut kedua-dua penulis ini, prasyarat utama kepada kejayaan sesuatu tindakan campur tangan antarabangsa ialah:

(i) Keupayaan agensi pelaksananya untuk memahami keadaan, budaya dan norma persekitaran semasa di tempat tersebut;

(ii) Keupayaan untuk bekerjasama dengan orang tempatan di tempat tersebut, dan

(iii) Keupayaan untuk membantu mewujudkan legitimasi agensi pelaksana serta ahlinya di kawasan yang sedang berkonflik tersebut.

Sebaliknya, menurut Stewart dan Knaus, tindakan mengekalkan status-quo semasa campur tangan, seperti mewujudkan keadaan 'darurat yang tetap' akan menghalang pemimpin tempatan daripada mengambil tanggungjawab yang sepatutnya dan boleh meningkatkan lagi status populariti 'pihak penentang'. Mereka memberikan contoh kegagalan campur tangan negara kuasa besar dunia dalam konflik antarabangsa di Iraq, Afghanistan dan Bosnia Herzegovina. Iraq dan Afghanistan masih tidak aman, manakala konflik di Bosnia pula gagal dikawal hingga menyebabkan kehilangan banyak nyawa rakyat yang tidak berdosa.

Stewart dan Knaus juga mengatakan bahawa masyarakat antarabangsa sebenarnya mampu untuk menghalang konflik antarabangsa yang memusnahkan banyak jiwa manusia yang tidak berdosa sebagaimana yang berlaku di Balkan dengan cara mengambil tindakan secara incremental dengan memahami persekitaran tempatan dan mendapat sokongan yang sepatutnya daripada masyarakat tempatan di tempat yang sedang berkonflik tersebut. Berdasarkan kepada hujah dan analogi oleh Stewart dan Knaus ini, kita boleh menyimpulkan bahawa kegagalan banyak usaha campur tangan antarabangsa dalam pelbagai konflik antarabangsa di serata pelosok dunia sebenarnya merupakan kegagalan masyarakat antarabangsa, termasuk PBB dan pertubuhan serantau, untuk memahami secara mendalam keadaan konflik tersebut sebagaimana yang sepatutnya. PBB dan pertubuhan serantau mesti mempunyai personal touch yang baik dengan aktor-aktor tempatan dalam sesuatu konflik sekiranya ingin menjayakan sebarang usaha campur tangan antarabangsa. Jika tidak, sebarang usaha mereka ini akan memburukkan lagi keadaan dan dunia ini akan terus berada dalam keadaan kegawatan yang sangat serius.

Sumber :
Utusan Malaysia
5 September 2012

ISU UMUM : MALAYSIA NEGARA PALING BIADAP?



Reader’s Digest sekali lagi meletakkan kita sebagai negara yang penduduknya paling biadab di dunia. Enam tahun lalu kita diletakkan oleh majalah berkenaan di tangga ke-33. Kali ini pun masih di tangga yang sama daripada 34 negara yang disenaraikan. Bagi sesetengah daripada kita, kajian dan penyelidikan daripada majalah ataupun agensi dalam dan luar negara, kita selalunya mengambil sikap tidak ambil pusing kerana menganggap ia satu penyelidikan yang dibuat secara rambang dan tidak menyeluruh, maka kita tidak percaya dan sangsi dengan hasil kajian itu. Bagaimanapun ada asas juga untuk melihat apa hasilnya, lebih-lebih lagi penemuan kajian berkenaan sememangnya 'dekat' dengan kita.

Kebiadapan itu dinilai melalui kes kemalangan jalan raya yang direkodkan oleh pihak polis menunjukkan sebanyak 20 peratus daripada 1.3 juta kes kemalangan setiap tahun di negara ini berpunca daripada sikap biadab di jalan raya. Selain itu, rakyat kita merokok di zonlarangan merokok, menjawab telefon di dalam panggung wayang, lewat datang untuk temu janji, tidak mengucapkan "terima kasih" dan meninggalkan troli selepas membeli-belah di tempat meletak kereta begitu sahaja dan merempuh masuk ke dalam lif, tren dan bas sebelum penumpang keluar.

Memang banyak kebenarannya. Apa yang disenaraikan memang sering berlaku di depan mata kita dan sudah tentu sebagai rakyat Malaysia kita boleh menyenaraikan lebih banyak lagi perbuatan yang boleh dimasukkan dalam kategori biadab yang seolah-olah sudah menjadi 'makan dan minum' sebahagian daripada orang kita. Kita semua sudah pasti melalui keadaan di mana apabila berbaris panjang untuk membayar barangan di kedai runcit atau pasar raya atau mendapatkan perkhidmatan, ada yang dengan muka selamba memotong masuk barisan tanpa rasa bersalah. Bagi yang bekerja di kaunter pembayaran pula akan menunjukkan 'muka ketat' apabila pembeli tidak ada wang kecil, seolah-olah pembeli telah melakukan 'dosa besar' kerana tidak membayar dengan wang kecil. Membiarkan kereta lain beratur panjang di stesen minyak menunggu kita mengisi petrol, sementara kita masih di dalam kedai stesen minyak seperti 'makan angin' membeli belah makanan ringan sambil berborak-borak di telefon bimbit, melintas jalan sesuka hati dengan menggunakan 'kuasa tangan', membuang sampah merata-rata termasuk dari kenderaan ketika memandu, menggunakan telefon bimbit di kawasan-kawasan yang dilarang seperti dalam bank dan banyak lagi.

Dan sudah pastinya kebiadapan yang dimaksudkan itu akan lebih terserlah apabila melayari laman-laman sosial di alam maya. Kita boleh membaca ayat-ayat yang digunakan apabila membuat komen mengenai sesuatu isu terutamanya apabila ia membabitkan hal-hal politik. Dan tidak kurang pula dalam satu-satu isu yang tiada kaitan dengan isu politik pun, akhirnya dikaitkan dengan politik dan berlakulah pergaduhan siber. Yang peliknya, orang kita boleh menghabiskan masa yang lama melayari laman sosial ini untuk bercakap hal-hal politik, tidak mengira waktu, entah masa bila mereka melakukan kerja-kerja 'hakiki' mereka. Tahap pendidikan seseorang itu juga tidak membataskan diri untuk turut memberikan komen-komen biadab yang langsung tidak mencerminkan dari universiti atau pusat pengajian tinggi mana seseorang itu belajar.

Bagi saya apabila terlalu banyak politiking, semua perkara hendak dikaitkan dengan politik, membuatkan semua benda yang dibuat ada saja tidak kena dan dipandang tidak betul, akhirnya berbalah sesama kita, yang sudah pasti tidak membawa sebarang keuntungan selain mencari musuh. Ada yang hilang kawan, saudara-mara dan isteri! semuanya sebab terlalu banyak politiking. Sikap biadab ini juga ditunjukkan oleh segelintir anak muda kita dalam himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka pada malam ambang merdeka yang lalu, yang bertindak memijak gambar pemimpin negara dan melondehkan seluar untuk menayangkan punggung dan mahu menukar bendera negara Jalur Gemilang dengan bendera baru. Ini belum lagi kita masukkan aksi-aksi biadab dalam demonstrasi-demonstrasi sebelum ini.

Dan kalau kita langsung tidak menganggap perlakuan sebegini sebagai biadab atau melampau, tentu ada yang sesuatu yang tidak kena dengan kita. Jadi apabila negara ini diletakkan dalam kategori rakyatnya paling biadab walaupun bukan di tangga juara, kita sewajarnya melihat sendiri apa yang berlaku di sekeliling kita. Bukan terus mengatakan bahawa Reader's Digest itu tidak cukup 'digest' dalam membuat kajiannya. Adakah sebilangan dari kita mahu berterusan bersikap biadab dan mahu yang lain turut hidup dalam masyarakat yang dipenuhi oleh perlakuan biadab? Kita sendiri amat takut dan malu apabila anak-anak kita dikata tidak tahu adab dan biadab. Jadi, sebenarnya ia bermula dari kita sendiri. Sewajarnyalah kitalah yang memberi contoh yang baik-baik kepada mereka. Dan mereka mengikut.

Sumber :
Utusan Malaysia
5 September 2012

03 September 2012

ISU ICT : TEKNOLOGI "BUNUH" ANAK MUDA APABILA DIGUNAKAN SECARA TIDAK WARAS


Rencana ini ditulis oleh:
Oleh Ruhaiza Rusmin


Hidup pada zaman moden ini tidak dapat lari daripada penggunaan teknologi, apatah lagi impaknya terhadap keperluan semasa, menjadikan ia antara keperluan terpenting dalam kehidupan. Malangnya, sedang rancak masyarakat disogok dengan keindahannya, tanpa disedari ia seperti menyemarakkan masalah sosial sedia ada terutama generasi muda yang sedang belajar. Ada beranggapan ia banyak membantu, namun ada pula sebaliknya. Persoalannya, mengapa mesti timbul tanggapan itu sedangkan peranannya sangat besar dalam melestarikan kehidupan golongan itu yang lahir pada zaman alaf baru ini? Ketua Jabatan Media Sains dan Grafik Management and Science University, Suhaila Khalid berkata, sikap keterlaluan kerana taksub dengan kepelbagaian fungsi diperkenalkan menyebabkan mereka hilang pertimbangan hingga sanggup mengambil risiko luar biasa.

Beliau berkata, generasi muda terutama yang masih belajar perlu menggunakan kemudahan teknologi dengan bijak selari dengan kepentingan semasa.“Malangnya keadaan itu tidak berlaku sebaliknya teknologi dianggap alat yang membinasakan tamadun, akhlak serta perjalanan kehidupan manusia. Biarpun tanggapan itu kedengaran keterlaluan, ‘sumbangan’ teknologi dalam pelbagai gejala sosial yang memusnahkan rantaian normal hari ini seperti membenarkannya. Ini sekali gus memberi persepsi berbeza kepada mereka yang melihat bagaimana fungsi teknologi berkenaan digunakan terutama kesannya kepada golongan muda,” katanya.

Perkembangan dunia teknologi terutama komunikasi dan maklumat (ICT) tanpa sepadan yang cukup pantas memaksa masyarakat bekerja keras mencari alternatif sesuai mengimbangi kesan negatif itu. Biarpun ramai menganggap teknologi sebagai pemangkin terhadap proses modenisasi serta globalisasi, penyalahgunaannya dikhuatiri mampu memberi impak jangka panjang yang tidak terjangka. Paling membimbangkan, menukar serta mempengaruhi kehidupan sosial generasi muda yang diselubungi sikap ingin tahu tanpa memikirkan risiko kepada diri sendiri.

Beliau berkata, menegah mereka daripada mengikuti perkembangan itu tidak bersesuaian, apatah lagi mereka lahir sebagai anak moden. “Ada yang berkata, sekat atau halang mereka (untuk mengikuti perkembangan teknologi). Pendapat saya, itu mustahil kerana mereka lahir seiring perkembangan teknologi. Bagaimanapun, ini bukan bermakna kita tidak boleh mengawal keadaan, cuma caranya perlu betul. Biar apapun tanggapan buruk mengenai teknologi, ia boleh diselarikan dengan tindakan waras. Kita tidak boleh menyekat atau ‘membunuh’ perkembangan teknologi kerana mereka tetap mencarinya,” katanya.

Menurutnya, bukan saja golongan terbabit suka pada teknologi, malah golongan dewasa juga ada yang tersungkur. “Cuma impak negatif lebih ketara pada golongan itu hingga menimbulkan kebimbangan masyarakat, apatah lagi jika mereka masih ada tanggungjawab kepada pelajaran. Pengaruh luar biasa teknologi ini hingga mampu menukar watak serta diri seseorang antara sebab ramai pihak tidak senang jika golongan ini taksub pada kecanggihan teknologi kini,” katanya.

Generasi muda juga katanya, perlu mengambil sikap terbuka terhadap luahan kebimbangan masyarakat dan jangan menganggapnya sebagai kongkongan. “Apabila masyarakat bersuara, mereka perlu menerima pandangan secara terbuka, bukannya ia menjaga tepi kain orang lain. Mereka perlu tahu membezakan antara suka dan tidak suka. Malangnya, ramai beranggapan mereka sudah dewasa, tahu segalanya, tetapi akhirnya terjebak hingga meranapkan masa depan," katanya juga berpendapat konsep pendidikan bermaklumat perlu sentiasa diadakan bagi mewujudkan kesedaran. Bercakap dengan generasi muda hari ini bukan boleh dilakukan secara sembarangan, tapi perlu ada bukti kukuh supaya mereka faham. Berikan mereka pendidikan bermaklumat secara formal dan tidak formal supaya tahu tindakan diambil. Saya percaya apa jua jenis teknologi diperkenalkan, jika kena gayanya memang membawa kebaikan. Kemusnahan hanya disebabkan kesalahan mereka yang menyalahgunakannya,” katanya.

Mahasiswa ijazah sarjana muda Visual Communication and Design, MSU, Wan Ahmad Faris Wan Abd Hamid, 20, mengakui kehidupan generasi muda memang tidak boleh dipisahkan dengan penggunaan teknologi dan menganggapnya sebagai satu keperluan asas. “Golongan muda memang taksub dengan teknologi, namun menyalahkannya sebagai punca perubahan ke arah kejahatan tidak wajar. Mungkin segelintir menggunakan medium itu untuk tujuan tidak sihat, namun sebahagian besar kami tahu memanfaatkannya. Saya akur, cabaran kami sebagai generasi muda sangat besar untuk menangkis pengaruh negatif sebab itu bimbingan masyarakat perlu,” katanya.

Bagaimanapun, dia berharap masyarakat tahu bagaimana mahu memberi bimbingan menggunakan pendekatan lebih mesra. "Selalunya masyarakat hanya tahu menyalahkan atau nampak yang buruk saja, malah pendekatan dibuat kadang kala tidak sesuai. Golongan muda seperti kami memerlukan bimbingan bukan ditempelak,” katanya. Rakannya, Habibah Mat Yaakob, 20, berkata sebagai generasi muda mereka melihat keperluan teknologi sebagai satu persaingan hidup “Dengan kata lain, siapa tidak tahu atau mengikuti (perkembangan teknologi) dianggap ketinggalan zaman. Apatah lagi sebagai pelajar, penggunaan teknologi membantu memudahkan urusan pembelajaran.  Pendapat saya, terpulang kepada individu bagaimana mahu mencorakkan kepentingan teknologi ini. Jika baik mendapat manfaat, jika tidak sebaliknya,” katanya.

Sumber :
Harian Metro
3 September 2012

ISU KENEGARAAN : ERTI KEMERDEKAAN


Rencana ini ditulis oleh:
Mior Kamarul Shahid


Kelmarin tanggal 31 Ogos 2012, negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-55. Ulang tahun kemerdekaan negara diadakan setiap tahun sejak negara bebas daripada pemerintahan penjajah pada 31 Ogos 1957. Hanya mereka yang pernah hidup dijajah saja benar-benar dapat menghayati erti kebebasan atau dalam bahasa akademik dan politik disebut kemerdekaan. Sebagaimana perasaan hamba abdi yang dibebaskan daripada tuannya, begitulah perasaan rakyat yang bebas daripada cengkaman penjajah. Hari kemerdekaan negara adalah hari istimewa untuk setiap rakyat, tanpa mengira status, jantina, warna kulit dan agama. Tidak ada seseorang pun boleh mengatakan mereka dilarang merayakan ulang tahun kemerdekaan. Jika ada sesiapa mengatakan ulang tahun kemerdekaan ini bukan untuk mereka, sewajarnya mereka melihat sejarah keturunan dan asal-usul mereka.

Sekali pun berbeza ideologi, mungkin datuk nenek mereka adalah antara pejuang kemerdekaan negara akibat tuntutan semasa ketika itu. Bagi golongan yang tidak mengendahkan erti kebebasan, hari kemerdekaan tidak bermakna bagi mereka. Mereka mungkin belajar sejarah di sekolah, tetapi sekadar untuk menjawab soalan peperiksaan. Mereka gagal menghayati erti pengorbanan nenek moyang mereka selepas menikmati kesenangan hidup. Kemerdekaan negara hanya bermakna kepada rakyat yang tahu erti berhutang budi dan bersyukur atas kemakmuran hidup serta kesejahteraan. Jasa kerajaan paling nyata ialah kejayaan mewujudkan keamanan negara dan kestabilan politik. Walaupun pelbagai gerakan dan cubaan dilakukan untuk menimbulkan huru-hara dan menggugat kestabilan politik, kerajaan berjaya mematahkan segala percubaan mereka.

Jika ada sesiapa mengatakan ulang tahun kemerdekaan ini bukan untuk mereka, sewajarnya mereka melihat sejarah keturunan dan asal-usul mereka. Sekali pun berbeza ideologi, mungkin datuk nenek mereka adalah antara pejuang kemerdekaan negara akibat tuntutan semasa ketika itu. Kerajaan bukan saja sebelum ini berjaya mematahkan percubaan komunis yang menyerap ke dalam masyarakat dan menghadapi huru-hara sewaktu rusuhan 13 Mei 1969, malah kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu membangunkan negara dan kini dalam proses menempa nama sebagai negara maju pada 2020. Beberapa percubaan juga dilakukan menerusi perhimpunan dan demonstrasi yang seterusnya mencetuskan rusuhan bagi menguji ketahanan kerajaan. Pemikiran rakyat cuba dirasuk dengan idea songsang semata-mata untuk mengurangkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan. Atas nama demokrasi dan disemai dengan idea Barat, rakyat diajak untuk menimbulkan kucar-kacir seterusnya memberi ruang kepada anasir asing untuk menunjukkan, siapa yang mereka mahu untuk mentadbir negara ini. Keadaan ini sudah berlaku di beberapa negara lain yang mana pemikiran rakyatnya dikawal kuasa asing sering menghadapi masalah dalaman. Apabila berlaku huru-hara, mereka muncul untuk mengawal keadaan dengan syarat berunsur penjajahan.

Rakyat yang tidak menghargai kemerdekaan biasanya dipengaruhi oleh pihak tertentu khasnya mereka yang bercita-cita tinggi mahu mengambil alih pemerintahan negara. Di dunia ini ada ratusan, malah ribuan idea yang mengubah dunia ini untuk kebaikan. Pada masa sama, banyak idea yang boleh menghancurkan dunia. Di Malaysia keadaannya juga sama. Begitu banyak idea diperkenal dan dilaksanakan di negara ini untuk kemakmuran rakyat, ada juga yang ingin menghancurkan negara ini. Mereka tidak peduli apa akan berlaku kepada rakyat dan negara, malah generasi akan datang asalkan mereka dapat mentadbir negara ini. Mereka gunakan pelbagai cara, termasuk memperalatkan Islam.

Atas nama ulama, mereka mencipta fatwa untuk mengkafirkan orang lain dan pelbagai idea karut-marut. Ketaksuban mereka kepada pemimpin menyebabkan mereka percaya apa saja dikatakan oleh pemimpin. Jika pemimpin mereka mempertahan tingkah laku seseorang walaupun lengkap dengan bukti keruntuhan moralnya, mereka tetap akur keputusan ketua mereka. Jika ketua mereka kata ia fitnah, maka semua pengikut mereka akan mengatakan itu fitnah. Jika ketua mereka mengatakan kerajaan hari ini adalah kerajaan assabiah, maka mereka juga menganggukkan kepala.

Mereka tahu Malaysia adalah negara yang pernah dijajah Inggeris, sebelum itu Belanda dan pernah berada dalam zaman pendudukan Jepun dan asalnya Melaka ditawan Portugis. Selepas menempuh pelbagai ranjau dan duri, akhirnya pada 31 Ogos 1957, negara ini mencapai kemerdekaan. Setiap tahun rakyat memperingati hari ini kerana ia adalah lambang kebebasan. Di negara ini rakyat bebas melakukan apa juga selagi mereka tidak melanggar undang-undang. Mereka bebas pergi ke mana saja tanpa perlu bimbang keselamatan diri melainkan jika mereka mendampingi kegiatan jenayah, mereka boleh menjalankan perniagaan yang dibenarkan, kebebasan beragama dan beribadat, kebebasan mengumpul harta dan kebebasan berpolitik. Bagaimanapun, kebebasan ini disalahertikan oleh mereka yang ingin berkuasa atas nama demokrasi.

Sumber :
Berita Harian
3 September 2012

02 September 2012

ISU SOSIAL : MALAYSIA SASARAN PENIPU WARGA ASING


Rencana ini ditulis oleh :
Rejal Arbee
Felo Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Selepas sekian lama pelbagai perlakuan tidak senonoh rakyat asing yang mengakui mereka kononnya pelajar di pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini, dilaporkan ekoran operasi besar-besaran sejak kebelakangan ini, barulah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedar ada ramai antara mereka itu sebenarnya bukanlah pelajar. Penulis sendiri sudah beberapa kali menimbulkan perkara ini tetapi tidak mendapat perhatian kementerian kerana pihak IPT swasta berterusan mengeluarkan visa pelajar kepada warga asing yang kononnya mahu belajar tetapi tidak pernah pun menjenguk muka di institusi terbabit.

Malah seorang pelajar asing pernah memberitahu penulis dia ditawarkan visa pelajar tanpa sebarang kerenah kiranya sanggup membayar RM4,000 kepada ejen yang mempunyai kaitan dengan agensi penguat kuasa.  Bayangkan keadaan sesiapa saja yang sanggup mengeluarkan bayaran sedemikian boleh dengan mudah mendapatkan visa itu berbanding dengan pelajar sahih yang bercita-cita untuk belajar di negara ini tetapi terpaksa menghadapi pelbagai kerenah tidak munasabah sebelum boleh memasuki ke IPTA di sini.  Tidak dinafikan ada IPTS yang hanya mementingkan bayaran yuran oleh orang asing ini tanpa mahu menentukan apakah mereka mempunyai kelayakan melanjutkan pelajaran dan tidak akan melakukan perkara lain.

Syor agensi ditutup

Malah Presiden Persatuan Kolej dan Universiti Swasta (MAPSU), Datuk Dr Parmjit Singh yang menyokong penubuhan agensi itu, berkata masalah itu sudah lama boleh diatasi sekiranya institusi yang berterusan mengeluarkan visa pelajar kepada mereka ditutup saja seperti pernah disarankan penulis.  Walaupun sudah terlambat, ia masih dialu-alukan supaya tidak akan berlaku lagi penyalahgunaan visa pelajar oleh penjenayah dan penipu yang berterusan ke negara ini menimbulkan pelbagai masalah kepada rakyat tempatan, terutama dari Afrika dan Timur Tengah yang sering melakukan pelbagai kerenah yang menyinggung perasaan penduduk.

Mengikut Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kementerian sedang berusaha menubuhkan Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) yang akan menjadi pusat sehenti menguruskan kemasukan semua pelajar asing ke negara ini. Diharapkan agensi itu akan benar-benar melaksanakan apa yang diamanahkan kepadanya dengan terbaik. Kita tidak mahu ada penjawat awam yang menyalahgunakan peraturan untuk kepentingan sendiri dan dengan itu berlaku pula masalah sampingan lain yang memberi gambaran betapa tidak cekapnya pegawai yang mengendali dan melaksanakan pelbagai peraturan yang diwujudkan. Berita mengenai beberapa ketua beberapa jabatan kerajaan amat liat hendak mengambil tindakan terhadap kakitangan mereka yang didapati bersalah melakukan perkara yang tidak sepatutnya amat dikesali.

Penyalahgunaan visa pelajar

Sebenarnya pelaku penyelewengan dan penyalahgunaan visa pelajar oleh pihak tertentu yang dikatakan direstui pihak berkuasa bukan saja patut dikenakan tindakan jabatan, malah perlu dikenakan tindakan polis supaya boleh didakwa di mahkamah. Sekiranya mahkamah juga menganggap perlakuan mereka boleh menjejas keselamatan negara dan dengan itu menjatuhkan hukuman penjara, pastinya beberapa kerat di antara mereka itu merengkok dalam penjara, barulah akan menakutkan puak ini daripada melakukan apa yang sudah mereka buat selama ini. Diketahui kita suka sangat mengadakan peraturan kononnya untuk menangani sesuatu masalah. Malangnya, pelaksanaan peraturan itu diselewengkan oleh mereka yang tidak bermaruah hanya kerana kepentingan diri sehingga menimbulkan masalah lain pula.

Aneh juga sebelum peraturan baru ini diwujudkan, tidakkah pernah terfikir oleh pegawai Kementerian Pengajian Tinggi kenapa Malaysia saja antara negara ASEAN yang menjadi sasaran warga asing khususnya dari Afrika yang berterusan ke negara ini kononnya untuk belajar tetapi terbabit dalam kegiatan jenayah dan penipuan. Tidak pula kedengaran wujud kelompok ini di Indonesia, Filipina atau Thailand, jauh sekali di Singapura yang mana peraturan mengenai pelajar asing di republik itu yang walaupun menggalakkan kemasukan pelajar asing tetapi mempunyai peraturan dan penguatkuasaan amat ketat. Tidak menghairankan kenapa kelompok penipu warga asing ini menjadikan negara ini pusat kegiatan mereka. Sebab mereka tahu penguatkuasaan kita amat lesu dan tidak tegas sehingga mengundang mereka ke negara ini untuk melakukan kegiatan tidak bermaruah dengan sewenang-wenangnya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Berita Harian
02 September 2012

ISU UMUM : UNDANG PENGESAHAN ANTARABANGSA


Rencana ini ditulis oleh :
Nordin Kardi


Hujung abad ke 19 hingga pertengahan abad ke 20 menyaksikan satu demi satu negara di dunia yang pernah terjajah puluhan, malah ratusan tahun merayakan kejayaan impian supaya negara diperintah oleh bangsa sendiri menjadi realiti. Pelbagai perkataan yang indah dipilih bagi mewakili ekspresi lambang kehebatan negara bangsa yang baru merdeka itu dalam menentukan kesanggupan bangsa itu menghadapi sendiri nasib baik dan buruk pada zaman berikutnya. Pelbagai sumpah setia bangsa dilafaz dengan penuh semangat dan didokumentasikan. Kebebasan menentukan nasib diri sendiri yang dipanggil juga sebagai ‘kedaulatan’ menjadi perkataan suci yang sanggup dipertahankan dengan apa saja.

Aspirasi menentukan nasib sendiri itu diperkukuhkan oleh Charter Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang seperti serik dengan pengalaman menghadapi dua peperangan besar dunia yang memundurkan tamadun manusia lebih ke belakang. Artikel Satu, Perkara Dua tujuan penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyebutkan dengan jelas tentang hubungan antara negara berdasarkan prinsip ‘equal rights’ dan ‘self-determination’ demi memastikan keamanan sejagat. Selanjutnya Artikel Dua, Perkara Satu menambahkan lagi kejelasan kebebasan setiap negara anggota yang berbunyi, ‘Organisasi ini berlandaskan prinsip kesamarataan kedaulatan setiap negara anggota’.

Namun pertengahan kurun ke-20 menyaksikan pula perubahan set pemikiran warganegara yang dahulunya sangat kental mempertahankan prinsip menolak sebarang campur tangan pihak luar dalam urusan dalaman sesebuah negara bangsa kepada set pemikiran yang seperti mengundang pihak luar secara terhormat memberi arahan apa yang betul dan apa yang tidak betul dalam menguruskan kehidupan sesebuah negara anggota masyarakat dunia. Jika pada suatu masa generasi muda kecewa kerana sejarah sesuatu negara mencatat tentang adanya pembesar-pembesar negara sanggup menyerahkan negara dijajah kuasa luar, generasi yang dahulunya muda tetapi kini telah berusia seperti mengulang apa yang mereka pernah benci suatu masa lalu itu.

Ini mungkin kerana kehebatan kerja-kerja diplomasi negara-negara yang secara tradisinya suka menjajah secara halus menjaga kepentingan mereka melalui pelaburan dalam pelbagai program bantuan seperti atas nama pertukaran pelajar pelbagai budaya, aktiviti kesarjanaan dan pembangunan komuniti profesional. Perubahan set pemikiran segolongan warganegara ini menyediakan tanah yang subur bagi kuasa-kuasa penjajah tradisi itu menggunakan sepenuhnya PBB untuk tujuan menjaga pelbagai kepentingan mereka. Kuasa-kuasa tradisi penjajah ini mewujudkan pelbagai badan bukan kerajaan dan kemudian menggunakan PBB untuk menghalalkan kuasa badan-badan tersebut.

Badan-badan yang pada mulanya tidak lebih daripada pertubuhan sukarela, tiba-tiba berubah menjadi badan penguasa yang boleh mengeluarkan pelbagai peraturan yang mereka namakan sebagai undang-undang antarabangsa. Kuasa-kuasa penjajah tradisi ini menyalurkan kehendak-kehendak mereka yang dihalalkan oleh badan dunia yang mulia itu. Contoh yang mudah difahami mengenai kuasa badan-badan sukarela dunia ini ialah dalam kes penjanaan tenaga nuklear Iran. Suatu badan yang asalnya ialah badan sukarela, iaitu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), melekatkan dirinya dengan PBB atas nama mempromosikan penggunaan tenaga atom untuk tujuan kesejahteraan manusia dan keamanan, telah mengeluarkan peraturan yang membataskan apa yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh negara-negara anggota.

Selepas Iran mengakui telah melakukan ujian nuklear pada tahun 2009, Ketua Pengarah IAEA membuat kenyataan bahawa ‘kawalan edaran tenaga nuklear hendaklah dipindahkan daripada kuasa nasional kepada kuasa multinasional’. Jika Charter PBB itu diumpamakan Perlembagaan sesebuah negara, peraturan IAEA telah melanggar dasar Perlembagaan itu yang menjamin ruang kuasa atau jurisdiction’ sebuah negara anggota. Arahan itu secara langsung mencerobohi kemerdekaan dan kedaulatan negara Iran.

Merestui

Dalam kes Iran, mungkin banyak negara anggota PBB merestui penggunaan IAEA oleh negara penjajah tradisi kerana kurang yakin terhadap kewarasan Iran mengawal kesudahan usaha nuklearnya setelah melihat Iran pernah ghairah mengeksport revolusi pada tahun 1980-an di bawah Khomeini. Tetapi, kes negara Haiti, memperlihatkan bagaimana badan-badan sukarela dipergunakan sepenuhnya secara yang dikatakan sangat tidak bermoral dalam menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya demokratik. Kerajaan yang sangat popular dijatuhkan melalui operasi oleh kuasa luar yang menggunakan ejen-ejen tempatan.

Badan yang ditaja, menamakan diri mereka the National Coalition for Haitian Rights (NCHR) memainkan peranan mempersoalkan isu ketelusan proses pilihan raya. Badan antarabangsa memberi tekanan kepada kerajaan Haiti dengan menghentikan semua bantuan kewangan berikutan daripada aduan-aduan itu. Namun keadaan itu tidak pula mengurangkan sokongan kepada kerajaan Aristide. Episod ini berkesudahan dengan apa yang didakwa oleh Aristide sebagai kudeta yang dilakukan sendiri oleh tentera negara besar dengan menculiknya dan memaksanya menandatangani surat meletak jawatan sebagai Presiden. Aristide mengatakan dia diterbangkan dengan kawalan tentera asing bersenjata ke Republik Afrika Tengah dan kemudiannya ke Afrika Selatan. Dua orang personaliti Haiti yang telah tinggal dan dilatih di Amerika Syarikat kemudiannya dibawa pulang ke Haiti untuk menjawat jawatan masing-masing, sebagai Presiden dan Perdana Menteri.

Ini suatu keadaan yang tidak semestinya terpencil dengan turut melihat pemimpin di Afghanistan, termasuk Mesir yang dikagumi segolongan orang Malaysia sekarang. Meskipun The Caribbean Community (CARICOM) yang seakan-akan ASEAN di sini mengutuk kudeta di Haiti itu dan mempersoalkan kesahan kerajaan yang baru, kutukan itu tidak pernah diendahkan oleh masyarakat antara bangsa termasuk PBB. Demikianlah, bukan sahaja kerajaan yang dikatakan menindas dan dibenci oleh warganegaranya boleh diturunkan tetapi sebuah kerajaan yang disokong oleh majoriti warganegara juga boleh diturunkan oleh sesuatu kuasa yang mempunyai kepentingan tertentu.

Kuasa luar dijemput secara sangat terhormat oleh segolongan warganegara sesebuah negara sasaran, dan jemputan itu diberi layanan istimewa walaupun yang menjemput itu mewakili golongan yang sangat minoriti. Di Malaysia sendiri nampaknya ada bibit warganegaranya mulai dilatih dan diorientasikan dengan sengaja supaya mengagungkan pengesahan daripada kuasa luar ini tentang apa yang baik dan tidak baik untuk Malaysia.

Atas nama pengiktirafan antara bangsa dari sekecil perkara berkaitan hal teknikal seperti dalam pentadbiran yang memerlukan persijilan ISO berasal dari Geneva, hingga ke pengurusan ilmu yang institusinya ghairah menagih ranking hinggalah kepada proses pilihan raya umum yang bakal menentukan nasib buruk atau sejahteranya umat di negara ini. Seperti tidak sempurna sesuatu aktiviti kehidupan bernegara di Malaysia sekiranya tidak mendapat endorsement daripada luar. Orang berpengetahuan psikologi akan cepat mengesan tanda-tanda potensi perlakuan tidak normal pada masyarakat atau komuniti seperti ini.

Dikatakan Pilihan Raya Umum di Malaysia tidak akan sah selagi dia tidak diselia, dipantau dan disahkan oleh badan asing atas nama neutraliti. Yang terbaharu pada pengamatan saya di Malaysia ialah munculnya golongan yang bergerak cergas mengundang campur tangan PBB menyemak semula referendum 1963 tentang pembentukan Malaysia. Mereka menuntut supaya PBB mengadili kesahan referendum itu dan pelaksanaannya. Gerakan seperti ini, sekiranya berlaku pada zaman Tun Razak dan Tun Hussein Onn, tentulah akan mendapat jawapan yang sangat serius daripada kedua-dua tokoh itu. Gerakan seperti ini akan disifatkannya sebagai suatu gerakan subversif dan anti-nasional. Namun, pada zaman ini, semuanya seperti dibenarkan atas nama kebebasan menyatakan sesuatu pendirian di sebuah negara yang mengaku mengamalkan demokrasi seperti Malaysia.

Dalam kes Haiti, Aristide mendedahkan bahawa kudeta ke atasnya berlaku kerana keengganannya membuka syarikat-syarikat kepentingan awam seperti elektrik dan telekom yang dikuasai oleh kerajaan untuk dikuasai oleh syarikat-syarikat besar daripada Amerika Syarikat terutamanya. Malaysia tidak sedikit pun kurang pentingnya berbanding Haiti. Malaysia ada TNB, PNB, Telekom, Felda, Tabung Haji dan dengan itu pemimpin Malaysia sewajarnya lebih bijaksana daripada Aristide.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Mingguan Malaysia
02 September 2012