Reader’s Digest
sekali lagi meletakkan kita sebagai negara yang penduduknya paling biadab di
dunia. Enam tahun lalu kita diletakkan oleh majalah berkenaan di tangga ke-33.
Kali ini pun masih di tangga yang sama daripada 34 negara yang disenaraikan. Bagi
sesetengah daripada kita, kajian dan penyelidikan daripada majalah ataupun
agensi dalam dan luar negara, kita selalunya mengambil sikap tidak ambil pusing
kerana menganggap ia satu penyelidikan yang dibuat secara rambang dan tidak
menyeluruh, maka kita tidak percaya dan sangsi dengan hasil kajian itu. Bagaimanapun
ada asas juga untuk melihat apa hasilnya, lebih-lebih lagi penemuan kajian
berkenaan sememangnya 'dekat' dengan kita.
Kebiadapan itu
dinilai melalui kes kemalangan jalan raya yang direkodkan oleh pihak polis
menunjukkan sebanyak 20 peratus daripada 1.3 juta kes kemalangan setiap tahun
di negara ini berpunca daripada sikap biadab di jalan raya. Selain itu, rakyat
kita merokok di zonlarangan merokok, menjawab telefon di dalam panggung wayang,
lewat datang untuk temu janji, tidak mengucapkan "terima kasih" dan
meninggalkan troli selepas membeli-belah di tempat meletak kereta begitu sahaja
dan merempuh masuk ke dalam lif, tren dan bas sebelum penumpang keluar.
Memang banyak kebenarannya.
Apa yang disenaraikan memang sering berlaku di depan mata kita dan sudah tentu
sebagai rakyat Malaysia kita boleh menyenaraikan lebih banyak lagi perbuatan
yang boleh dimasukkan dalam kategori biadab yang seolah-olah sudah menjadi
'makan dan minum' sebahagian daripada orang kita. Kita semua sudah pasti
melalui keadaan di mana apabila berbaris panjang untuk membayar barangan di
kedai runcit atau pasar raya atau mendapatkan perkhidmatan, ada yang dengan
muka selamba memotong masuk barisan tanpa rasa bersalah. Bagi yang bekerja di
kaunter pembayaran pula akan menunjukkan 'muka ketat' apabila pembeli tidak ada
wang kecil, seolah-olah pembeli telah melakukan 'dosa besar' kerana tidak
membayar dengan wang kecil. Membiarkan kereta lain beratur panjang di stesen
minyak menunggu kita mengisi petrol, sementara kita masih di dalam kedai stesen
minyak seperti 'makan angin' membeli belah makanan ringan sambil berborak-borak
di telefon bimbit, melintas jalan sesuka hati dengan menggunakan 'kuasa
tangan', membuang sampah merata-rata termasuk dari kenderaan ketika memandu,
menggunakan telefon bimbit di kawasan-kawasan yang dilarang seperti dalam bank
dan banyak lagi.
Dan sudah pastinya
kebiadapan yang dimaksudkan itu akan lebih terserlah apabila melayari
laman-laman sosial di alam maya. Kita boleh membaca ayat-ayat yang digunakan
apabila membuat komen mengenai sesuatu isu terutamanya apabila ia membabitkan
hal-hal politik. Dan tidak kurang pula dalam satu-satu isu yang tiada kaitan
dengan isu politik pun, akhirnya dikaitkan dengan politik dan berlakulah
pergaduhan siber. Yang peliknya, orang kita boleh menghabiskan masa yang lama
melayari laman sosial ini untuk bercakap hal-hal politik, tidak mengira waktu,
entah masa bila mereka melakukan kerja-kerja 'hakiki' mereka. Tahap pendidikan
seseorang itu juga tidak membataskan diri untuk turut memberikan komen-komen
biadab yang langsung tidak mencerminkan dari universiti atau pusat pengajian
tinggi mana seseorang itu belajar.
Bagi saya apabila
terlalu banyak politiking, semua perkara hendak dikaitkan dengan politik,
membuatkan semua benda yang dibuat ada saja tidak kena dan dipandang tidak
betul, akhirnya berbalah sesama kita, yang sudah pasti tidak membawa sebarang
keuntungan selain mencari musuh. Ada yang hilang kawan, saudara-mara dan
isteri! semuanya sebab terlalu banyak politiking. Sikap biadab ini juga
ditunjukkan oleh segelintir anak muda kita dalam himpunan Janji Bersih di
Dataran Merdeka pada malam ambang merdeka yang lalu, yang bertindak memijak
gambar pemimpin negara dan melondehkan seluar untuk menayangkan punggung dan
mahu menukar bendera negara Jalur Gemilang dengan bendera baru. Ini belum lagi
kita masukkan aksi-aksi biadab dalam demonstrasi-demonstrasi sebelum ini.
Dan kalau kita
langsung tidak menganggap perlakuan sebegini sebagai biadab atau melampau,
tentu ada yang sesuatu yang tidak kena dengan kita. Jadi apabila negara ini
diletakkan dalam kategori rakyatnya paling biadab walaupun bukan di tangga
juara, kita sewajarnya melihat sendiri apa yang berlaku di sekeliling kita.
Bukan terus mengatakan bahawa Reader's Digest itu tidak cukup 'digest' dalam
membuat kajiannya. Adakah sebilangan dari kita mahu berterusan bersikap biadab
dan mahu yang lain turut hidup dalam masyarakat yang dipenuhi oleh perlakuan
biadab? Kita sendiri amat takut dan malu apabila anak-anak kita dikata tidak
tahu adab dan biadab. Jadi, sebenarnya ia bermula dari kita sendiri.
Sewajarnyalah kitalah yang memberi contoh yang baik-baik kepada mereka. Dan
mereka mengikut.
Sumber :
Utusan Malaysia
5 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan