Rencana ini ditulis
oleh:
DR. JESSICA ONG HAI
LIAW
Timbalan Pengarah
Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan
di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Hutang adalah
perkataan yang paling digeruni apabila kita tidak mampu membayarnya. Bila
menerima gaji, waktu itulah yang paling ditunggu dan waktu itu juga duit akan
keluar seperti air untuk melunaskan segala hutang pinjaman. Sehingga tidak
sempat untuk dipegang lama gaji yang diterima, terus sahaja mengalir seperti
aliran air sungai yang deras. Hal ini membuatkan kita merasa hidup ini seperti
menjadi hamba untuk membayar rumah dan kereta . Itu semua adalah senario yang
dihadapi semua orang terutama yang bekerja makan gaji. Hutang rumah, kereta,
pembiayaan peribadi dan setiap orang ada alasan masing-masing untuk berhutang.
Apabila diminta untuk menjadi penjamin saudara mara atau kawan, maka kita akan
cuba mengelak. Bukan sebab tidak mahu menolong tetapi menjadi penjamin akhirnya
membuatkan kita secara tidak langsung akan terlibat dengan hutang. Malah
penjamin selalu menjadi mangsa apabila saudara mara dan kawan yang dijamin
tidak mampu membayar, dan dengan mudah boleh menghilangkan diri lalu membuatkan
penjamin yang merana.
Rekod Jabatan
Insolvensi (Jun 2012) menunjukkan sebanyak 116,379 kes muflis di negara ini
dilaporkan di antara 2005 hingga April 2012. Sebanyak 20 peratus melibatkan
individu berusia kurang 35 tahun. 32 peratus melibatkan golongan umur 35 hingga
44 tahun. Sebanyak 18 peratus melibatkan usia 45 hingga 54 tahun. Sebanyak 25
peratus kes muflis disebabkan beban hutang melibatkan pinjaman kereta, pinjaman
peribadi (13 peratus), pinjaman perumahan (12 peratus), pinjaman perniagaan (11
peratus) dan hutang kad kredit (5 peratus). Pengurusan hutang perlu dilakukan
secara bijak dan jika kita ada kelemahan itu maka jangan gunakan kad kredit.
Mengikut perkiraan
awal, memang kita mampu membayar ansuran pinjaman tetapi apabila berlakunya
perkara yang tidak dijangka seperti dibuang kerja, hubungan rumah tangga dan
lain-lain, masalah akan mula timbul. Akhirnya ia menyebabkan hidup kita menjadi
huru-hara, ada yang bercerai-berai, ada sehingga melibatkan Along diikuti
dengan jenayah yang mengorbankan nyawa. Fikiran akan berserabut jika kita tidak
dapat membayar hutang pada tarikh yang ditetapkan. Bank atau institusi pinjaman
akan menelefon tidak henti-henti. Walaupun begitu ada juga bank yang mengambil
pendekatan memahami dan memberi masa serta peluang untuk pelanggan membuat cara
pembayaran yang efisien.
Bersembang tentang
hutang ini, perbelanjaan yang berlebihan dengan adanya shopping online yang
sangat popular kini merupakan satu sindrom apabila kita dapat membeli belah di
hujung jari sahaja. Saya tidak begitu mahir dengan shopping online tetapi
rakan-rakan sekerja hanya melayari Internet dan dapat membeli apa sahaja yang
diinginkan dengan mudah, cepat dengan harga berpatutan. Barangan yang dihantar
pula berkualiti maka itulah punca perasaan untuk membeli membuak-buak.Itu juga
punca masalah apabila kad kredit yang digunakan untuk membeli-belah akan
menyebabkan kita lupa bajet bulanan. Jadi hilang ingatan sekejap apabila
melihat tawaran-tawaran hebat yang boleh didapati dengan harga yang murah dari
luar negara. Hutang kad kredit sangat berbahaya tetapi penggunaan kad debit
atau charge card lebih selamat jika dibandingkan dengan kad kredit.
Insiden yang ingin
saya kongsikan bersama adalah wujudnya andaian bahawa sikap ketagihan
menggunakan kad kredit dan berbelanja khususnya kaum wanita dikatakan dapat menghilangkan
tekanan. Membeli-belah menjadi terapi untuk melegakan kekusutan dan memberi
penghargaan kepada diri sendiri namun terlalu leka boros akan menimbulkan
masalah lain pula. Statistik Harvard Business Review (HBR) menunjukkan mungkin
tidak tepat pada beberapa keadaan terutamanya apabila anda adalah seorang yang
menggalakkan perbelanjaan bijak dan membuat belanjawan. Kuantiti dalam realiti
kes ini, percaya atau tidak majoriti daripada orang (62%) berbelanja atau
membeli sesuatu ialah untuk memulihkan mood.
Kawan saya, Adi
memberitahu bahawa isterinya terlalu gila membeli-belah sehingga perbelanjaan
sebulan mencecah RM5,000. Akhirnya, Adi terpaksa mematahkan kad kredit di depan
isterinya demi menyelamatkan masalah hutang yang semakin tinggi dan rumah tangga,
dengan memilih memerdekakan diri daripada hutang. Ini berbeza dengan seorang
kakitangan awam yang bersara, Sarjan Rohani pernah memberitahu saya bahawa
tidak ada istilah hutang dalam hidupnya. Dia tidak suka berhutang kerana
katanya malam-malam dia tidak boleh tidur jika berhutang. Semua keperluan akan
dibeli secara tunai dan jika tidak mampu dia tidak akan membelinya. Katanya,
apabila sudah bersara dia inginkan ketenangan dan tidak suka jika bank
menelefon setiap bulan.
Bercakap tentang
Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) pada 2009, seramai 78,000
peminjam disekat keluar negara kerana tidak membayar hutang PTPTN. Soalnya,
bukan berapa banyak hutang kepada PTPTN tetapi soal prinsip dan moral; tentunya
apabila kita meminjam maka hutang perlu dibayar. Menurut Datuk Ismail Mohamad
Salleh, Pengerusi PTPTN kepada Kosmo! baru-baru ini, seramai 70% peminjam
tabung melunaskan hutang. Namun begitu, sebanyak satu peratus caj perkhidmatan
pentadbiran atau ujrah akan dicajkan kepada yang belum membayar dan amat
relevan jika dibandingkan dengan 4% dari bank-bank lain. Sebanyak RM44 bilion
peruntukan telah dipinjamkan kepada 1.94 juta penuntut dalam dan luar negara.
Peraturan asas
pengurusan kewangan nampak mudah tetapi hakikatnya sukar. Senang cerita, "
besar periuk besarlah keraknya". Tidak kira berapa gaji kita, jangan
sesekali berbelanja melebihi pendapatan. Berjimat walaupun sedikit boleh
memberi kesan besar pada tabungan. Jadualkan perbelanjaan dan lunaskan hutang
kad kredit, mencarum dalam pelan persaraan, menabung, melabur dan tingkatkan
caruman skim kemudahan untuk pekerja dan kita semak liputan insurans. Merdeka
dari hutang membawa erti tersendiri untuk kita hidup dengan lebih tenang. Kita
baharu menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dengan tema 'Janji Ditepati'.
Janji kita tepati dengan ukur baju di badan sendiri dan ingatkan diri sendiri
dengan mengawal diri dan fikir apa yang perlu dan tidak perlu untuk kita dalam
berbelanja.
Belanja mengikut
kemampuan dan kita tidak perlu rasa rendah diri jika tiada kemampuan. Kita
sebenarnya patut bangga kerana walaupun tidak mampu memiliki barangan mewah
namun kita tidak berhutang. Bukankah itu lebih bermakna dan lena dibuai mimpi
setiap malam? Berhutang ada banyak buruk daripada baiknya. Jika kita berhutang
untuk membeli aset seperti rumah dan kereta sebagai jaminan untuk masa depan,
itu ada baiknya. apa yang penting adalah menguruskan hutang dengan bijak dan
mengawal segalanya dengan baik sebab kitalah penentunya. Beli mengikut
kemampuan bukan dengan nafsu. Merdeka! Salam 1Hati.
Sumber :
Utusan Malaysia
6 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan