Rencana ini ditulis
oleh:
Mior Kamarul Shahid
Kelmarin tanggal 31
Ogos 2012, negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-55. Ulang tahun
kemerdekaan negara diadakan setiap tahun sejak negara bebas daripada
pemerintahan penjajah pada 31 Ogos 1957. Hanya mereka yang pernah hidup dijajah
saja benar-benar dapat menghayati erti kebebasan atau dalam bahasa akademik dan
politik disebut kemerdekaan. Sebagaimana perasaan hamba abdi yang dibebaskan
daripada tuannya, begitulah perasaan rakyat yang bebas daripada cengkaman
penjajah. Hari kemerdekaan negara adalah hari istimewa untuk setiap rakyat,
tanpa mengira status, jantina, warna kulit dan agama. Tidak ada seseorang pun
boleh mengatakan mereka dilarang merayakan ulang tahun kemerdekaan. Jika ada
sesiapa mengatakan ulang tahun kemerdekaan ini bukan untuk mereka, sewajarnya
mereka melihat sejarah keturunan dan asal-usul mereka.
Sekali pun berbeza
ideologi, mungkin datuk nenek mereka adalah antara pejuang kemerdekaan negara
akibat tuntutan semasa ketika itu. Bagi golongan yang tidak mengendahkan erti
kebebasan, hari kemerdekaan tidak bermakna bagi mereka. Mereka mungkin belajar
sejarah di sekolah, tetapi sekadar untuk menjawab soalan peperiksaan. Mereka
gagal menghayati erti pengorbanan nenek moyang mereka selepas menikmati
kesenangan hidup. Kemerdekaan negara hanya bermakna kepada rakyat yang tahu
erti berhutang budi dan bersyukur atas kemakmuran hidup serta kesejahteraan.
Jasa kerajaan paling nyata ialah kejayaan mewujudkan keamanan negara dan
kestabilan politik. Walaupun pelbagai gerakan dan cubaan dilakukan untuk
menimbulkan huru-hara dan menggugat kestabilan politik, kerajaan berjaya
mematahkan segala percubaan mereka.
Jika ada sesiapa
mengatakan ulang tahun kemerdekaan ini bukan untuk mereka, sewajarnya mereka
melihat sejarah keturunan dan asal-usul mereka. Sekali pun berbeza ideologi,
mungkin datuk nenek mereka adalah antara pejuang kemerdekaan negara akibat
tuntutan semasa ketika itu. Kerajaan bukan saja sebelum ini berjaya mematahkan
percubaan komunis yang menyerap ke dalam masyarakat dan menghadapi huru-hara
sewaktu rusuhan 13 Mei 1969, malah kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu
membangunkan negara dan kini dalam proses menempa nama sebagai negara maju pada
2020. Beberapa percubaan juga dilakukan menerusi perhimpunan dan demonstrasi
yang seterusnya mencetuskan rusuhan bagi menguji ketahanan kerajaan. Pemikiran
rakyat cuba dirasuk dengan idea songsang semata-mata untuk mengurangkan
kepercayaan rakyat kepada kerajaan. Atas nama demokrasi dan disemai dengan idea
Barat, rakyat diajak untuk menimbulkan kucar-kacir seterusnya memberi ruang
kepada anasir asing untuk menunjukkan, siapa yang mereka mahu untuk mentadbir
negara ini. Keadaan ini sudah berlaku di beberapa negara lain yang mana
pemikiran rakyatnya dikawal kuasa asing sering menghadapi masalah dalaman.
Apabila berlaku huru-hara, mereka muncul untuk mengawal keadaan dengan syarat
berunsur penjajahan.
Rakyat yang tidak
menghargai kemerdekaan biasanya dipengaruhi oleh pihak tertentu khasnya mereka
yang bercita-cita tinggi mahu mengambil alih pemerintahan negara. Di dunia ini
ada ratusan, malah ribuan idea yang mengubah dunia ini untuk kebaikan. Pada
masa sama, banyak idea yang boleh menghancurkan dunia. Di Malaysia keadaannya
juga sama. Begitu banyak idea diperkenal dan dilaksanakan di negara ini untuk
kemakmuran rakyat, ada juga yang ingin menghancurkan negara ini. Mereka tidak
peduli apa akan berlaku kepada rakyat dan negara, malah generasi akan datang
asalkan mereka dapat mentadbir negara ini. Mereka gunakan pelbagai cara,
termasuk memperalatkan Islam.
Atas nama ulama,
mereka mencipta fatwa untuk mengkafirkan orang lain dan pelbagai idea
karut-marut. Ketaksuban mereka kepada pemimpin menyebabkan mereka percaya apa
saja dikatakan oleh pemimpin. Jika pemimpin mereka mempertahan tingkah laku
seseorang walaupun lengkap dengan bukti keruntuhan moralnya, mereka tetap akur
keputusan ketua mereka. Jika ketua mereka kata ia fitnah, maka semua pengikut mereka
akan mengatakan itu fitnah. Jika ketua mereka mengatakan kerajaan hari ini
adalah kerajaan assabiah, maka mereka juga menganggukkan kepala.
Mereka tahu Malaysia
adalah negara yang pernah dijajah Inggeris, sebelum itu Belanda dan pernah
berada dalam zaman pendudukan Jepun dan asalnya Melaka ditawan Portugis.
Selepas menempuh pelbagai ranjau dan duri, akhirnya pada 31 Ogos 1957, negara
ini mencapai kemerdekaan. Setiap tahun rakyat memperingati hari ini kerana ia
adalah lambang kebebasan. Di negara ini rakyat bebas melakukan apa juga selagi
mereka tidak melanggar undang-undang. Mereka bebas pergi ke mana saja tanpa
perlu bimbang keselamatan diri melainkan jika mereka mendampingi kegiatan
jenayah, mereka boleh menjalankan perniagaan yang dibenarkan, kebebasan
beragama dan beribadat, kebebasan mengumpul harta dan kebebasan berpolitik.
Bagaimanapun, kebebasan ini disalahertikan oleh mereka yang ingin berkuasa atas
nama demokrasi.
Sumber :
Berita Harian
3 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan