Rencana ini ditulis
oleh:
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Dan Felo Penyelidik
Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan, Kolej Perniagaan Universiti
Utara Malaysia
Sudah semestinya
ekonomi pasaran bebas tidak sesuai diamalkan di Malaysia. Ekonomi pasaran bebas
yang hanya mementingkan yang kuat dan kaya sahaja tetapi mengabaikan yang lemah
mempunyai banyak kelemahan yang amat ketara. Krisis subprima di Amerika
Syarikat (AS) dan krisis hutang di zon Eropah menggambarkan dasar ekonomi
pasaran bebas tidak mendatangkan kemakmuran yang holistik kepada rakyat.
Laungan prinsip keadilan yang diuar-uarkan oleh negara Barat hanya sekadar
omongan kosong. Pengangguran semakin bertambah, rakyat semakin melarat manakala
jurang kekayaan di antara golongan kaya dengan yang miskin semakin melebar. Dasar
ekonomi pasaran bebas telah lama dipinggirkan oleh Malaysia. Dasar Ekonomi Baru
(DEB) yang diasaskan pada era 1970-an berteraskan kepada prinsip keadilan
sosial banyak membantu rakyat Malaysia. Melalui dasar ekonomi ini, kadar
pertumbuhan ekonomi juga menjadi fokus utama.
Sememangnya dasar ini
berjalan dengan baik sehinggalah Krisis Kewangan Asia 1997/1998 melanda negara
telah memperlihatkan betapa masih ada ruang penambahbaikan terhadap dasar ini. Malaysia
memerlukan satu dasar ekonomi yang dapat memacu pertumbuhan secara saksama.
Penulis lebih gemar menggunakan perkataan saksama bagi menggambarkan
kepentingan keadilan sosial untuk semua pihak di Malaysia. Dasar-dasar ekonomi
yang saksama tidak boleh memihak mana-mana pihak mahupun lokasi. Sebagai contoh
apabila sesuatu kaum sahaja yang mengawal ekonomi ia menggambarkan keadilan
sosial dalam ekonomi tidak dilaksanakan dengan baik. Dasar ekonomi keadilan
sosial perlu membantu kaum yang lemah.
Nikmat kekayaan bukan
hanya untuk golongan kaya. Di Malaysia, diketahui umum, kaum bumiputera masih
ketinggalan dalam banyak perkara, misalnya dalam pemilikan hartanah mewah,
maka, dalam memastikan dasar ekonomi dilaksanakan dengan saksama, kaum ini juga
berhak untuk memiliki hartanah yang lebih banyak dan bernilai tinggi. Bezanya
dalam pasaran bebas, kaum bumiputera akan dipinggirkan terus menerus kerana
mereka ini adalah kaum lemah. Maka, mereka tidak layak untuk memiliki hartanah
mewah di bandar meskipun mereka ini golongan majoriti rakyat Malaysia. Secara
tidak langsung, sedikit demi sedikit kaum bumiputera disisihkan dalam arus
pembangunan ekonomi bandar dan akhirnya mereka terpaksa mencari tempat baru
untuk bertapak mencari rezeki. Di manakah tempatnya jika tidak di tempat asal
mereka iaitu di kampung-kampung. Ini amatlah tidak baik untuk negara dalam
jangka masa panjang.
Malahan, dasar
ekonomi pasaran bebas yang tidak adil ini akan memberi kesan negatif dari segi
perpaduan kaum. Dengan mengamalkan dasar ekonomi keadilan sosial, jurang besar
ekonomi antara kaum dapat dikurangkan, rasa tidak puas hati pula di kalangan
mereka dapat diminimumkan manakala ekonomi negara dapat dipacu dengan lebih
saksama dan mapan. Bagaimanapun ia tidak mudah dilaksanakan kerana dalam
mana-mana sistem ekonomi dunia sekalipun masih ada segelintir golongan yang
oportunis yang hanya memikirkan diri sendiri. Ini tidak menghairankan kerana
sekian lama dasar ekonomi pasaran bebas telah menjajah pemikiran golongan
sebegini.
Bagi mengubah
pemikiran mereka agar lebih melihat kemaslahatan masyarakat secara menyeluruh,
dasar-dasar ekonomi yang sedang dan akan dilaksanakan perlu mengambil kira
pendekatan inovatif, kreatif, tegas dan berani serta wasatiyyah. Inilah yang
dikatakan sebagai memecah tembok kemustahilan bagi memastikan pengagihan kek
ekonomi dilaksanakan dengan saksama. Dasar ekonomi yang menitik beratkan
keadilan sosial juga tidak boleh meminggirkan kawasan luar bandar. Penumpuan
yang berlebihan terhadap ekonomi di bandar-bandar besar menyebabkan modal insan
di luar bandar berhijrah secara besar-besaran ke bandar seperti Kuala Lumpur
dan produk-produk luar bandar pula dipinggirkan.
Implikasinya cukup
besar sama sekali kerana apa akan terjadi kepada ekonomi luar bandar jika
tiadanya modal insan terbaik untuk memacu ekonomi luar bandar? Jurang kekayaan
di antara bandar dan luar bandar semakin melebar manakala taraf hidup penduduk
bandar akan semakin tinggi berbanding penduduk luar bandar sedangkan
pertumbuhan yang saksama mestilah melibatkan keterangkuman sebagaimana yang
ditetapkan dalam Model Baru Ekonomi (MBE). Kuantiti dan kualiti pertumbuhan
hanya menjadi sia-sia belaka jika tidak melibatkan prinsip keterangkuman untuk
seluruh rakyat. Bagi mereka yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, anak
yatim, orang miskin dan orang kelainan upaya (OKU) juga perlu diberi perhatian
dalam Bajet 2013 selain golongan berpendapatan sederhana ke bawah.
Sejumlah besar
program dan insentif dalam Bajet 2013 mestilah tertumpu kepada mereka kerana
merekalah yang paling banyak terkena tempias kos sara hidup yang semakin
tinggi. Bagi memperkukuhkan ekonomi negara dan mempertingkatkan produktiviti, seterusnya
meningkatkan pendapatan rakyat ke tahap negara terbaik, agihan Bajet 2013 perlu
dibuat secara berhemah mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan. Justeru,
pengurangan defisit dan hutang kerajaan patut menjadi agenda utama Bajet 2013
supaya ekonomi negara akan kekal mapan dan seterusnya kekayaan negara dapat
diagihkan secara saksama. Inilah cabaran dan intipati utama yang perlu
ditekankan dalam Bajet 2013 agar semua pihak dapat merasai kemakmuran negara.
Hanya kerajaan yang berpegang pada prinsip keadilan sosial mampu untuk
mengharungi cabaran ini dan juga dapat melaksanakan tanggungjawab yang
diamanahkan oleh rakyat dengan saksama.
Sumber :
Utusan Malaysia
4 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan