Rencana ini ditulis
oleh :
Nordin Kardi
Hujung abad ke 19
hingga pertengahan abad ke 20 menyaksikan satu demi satu negara di dunia yang
pernah terjajah puluhan, malah ratusan tahun merayakan kejayaan impian supaya
negara diperintah oleh bangsa sendiri menjadi realiti. Pelbagai perkataan yang
indah dipilih bagi mewakili ekspresi lambang kehebatan negara bangsa yang baru
merdeka itu dalam menentukan kesanggupan bangsa itu menghadapi sendiri nasib
baik dan buruk pada zaman berikutnya. Pelbagai sumpah setia bangsa dilafaz
dengan penuh semangat dan didokumentasikan. Kebebasan menentukan nasib diri
sendiri yang dipanggil juga sebagai kedaulatan menjadi perkataan suci yang
sanggup dipertahankan dengan apa saja.
Aspirasi menentukan
nasib sendiri itu diperkukuhkan oleh Charter Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) yang seperti serik dengan pengalaman menghadapi dua peperangan besar
dunia yang memundurkan tamadun manusia lebih ke belakang. Artikel Satu, Perkara
Dua tujuan penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyebutkan dengan jelas
tentang hubungan antara negara berdasarkan prinsip equal rights dan
self-determination demi memastikan keamanan sejagat. Selanjutnya Artikel Dua,
Perkara Satu menambahkan lagi kejelasan kebebasan setiap negara anggota yang
berbunyi, Organisasi ini berlandaskan prinsip kesamarataan kedaulatan setiap
negara anggota.
Namun pertengahan
kurun ke-20 menyaksikan pula perubahan set pemikiran warganegara yang dahulunya
sangat kental mempertahankan prinsip menolak sebarang campur tangan pihak luar
dalam urusan dalaman sesebuah negara bangsa kepada set pemikiran yang seperti mengundang
pihak luar secara terhormat memberi arahan apa yang betul dan apa yang tidak
betul dalam menguruskan kehidupan sesebuah negara anggota masyarakat dunia. Jika
pada suatu masa generasi muda kecewa kerana sejarah sesuatu negara mencatat
tentang adanya pembesar-pembesar negara sanggup menyerahkan negara dijajah
kuasa luar, generasi yang dahulunya muda tetapi kini telah berusia seperti
mengulang apa yang mereka pernah benci suatu masa lalu itu.
Ini mungkin kerana
kehebatan kerja-kerja diplomasi negara-negara yang secara tradisinya suka
menjajah secara halus menjaga kepentingan mereka melalui pelaburan dalam
pelbagai program bantuan seperti atas nama pertukaran pelajar pelbagai budaya,
aktiviti kesarjanaan dan pembangunan komuniti profesional. Perubahan set
pemikiran segolongan warganegara ini menyediakan tanah yang subur bagi
kuasa-kuasa penjajah tradisi itu menggunakan sepenuhnya PBB untuk tujuan
menjaga pelbagai kepentingan mereka. Kuasa-kuasa tradisi penjajah ini
mewujudkan pelbagai badan bukan kerajaan dan kemudian menggunakan PBB untuk
menghalalkan kuasa badan-badan tersebut.
Badan-badan yang pada
mulanya tidak lebih daripada pertubuhan sukarela, tiba-tiba berubah menjadi
badan penguasa yang boleh mengeluarkan pelbagai peraturan yang mereka namakan
sebagai undang-undang antarabangsa. Kuasa-kuasa penjajah tradisi ini
menyalurkan kehendak-kehendak mereka yang dihalalkan oleh badan dunia yang
mulia itu. Contoh yang mudah difahami mengenai kuasa badan-badan sukarela dunia
ini ialah dalam kes penjanaan tenaga nuklear Iran. Suatu badan yang asalnya
ialah badan sukarela, iaitu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), melekatkan
dirinya dengan PBB atas nama mempromosikan penggunaan tenaga atom untuk tujuan
kesejahteraan manusia dan keamanan, telah mengeluarkan peraturan yang
membataskan apa yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh negara-negara anggota.
Selepas Iran mengakui
telah melakukan ujian nuklear pada tahun 2009, Ketua Pengarah IAEA membuat
kenyataan bahawa kawalan edaran tenaga nuklear hendaklah dipindahkan daripada
kuasa nasional kepada kuasa multinasional. Jika Charter PBB itu diumpamakan
Perlembagaan sesebuah negara, peraturan IAEA telah melanggar dasar Perlembagaan
itu yang menjamin ruang kuasa atau jurisdiction sebuah negara anggota. Arahan
itu secara langsung mencerobohi kemerdekaan dan kedaulatan negara Iran.
Merestui
Dalam kes Iran,
mungkin banyak negara anggota PBB merestui penggunaan IAEA oleh negara penjajah
tradisi kerana kurang yakin terhadap kewarasan Iran mengawal kesudahan usaha
nuklearnya setelah melihat Iran pernah ghairah mengeksport revolusi pada tahun
1980-an di bawah Khomeini. Tetapi, kes negara Haiti, memperlihatkan bagaimana
badan-badan sukarela dipergunakan sepenuhnya secara yang dikatakan sangat tidak
bermoral dalam menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya
demokratik. Kerajaan yang sangat popular dijatuhkan melalui operasi oleh kuasa
luar yang menggunakan ejen-ejen tempatan.
Badan yang ditaja,
menamakan diri mereka the National Coalition for Haitian Rights (NCHR)
memainkan peranan mempersoalkan isu ketelusan proses pilihan raya. Badan
antarabangsa memberi tekanan kepada kerajaan Haiti dengan menghentikan semua
bantuan kewangan berikutan daripada aduan-aduan itu. Namun keadaan itu tidak
pula mengurangkan sokongan kepada kerajaan Aristide. Episod ini berkesudahan
dengan apa yang didakwa oleh Aristide sebagai kudeta yang dilakukan sendiri
oleh tentera negara besar dengan menculiknya dan memaksanya menandatangani surat
meletak jawatan sebagai Presiden. Aristide mengatakan dia diterbangkan dengan
kawalan tentera asing bersenjata ke Republik Afrika Tengah dan kemudiannya ke
Afrika Selatan. Dua orang personaliti Haiti yang telah tinggal dan dilatih di
Amerika Syarikat kemudiannya dibawa pulang ke Haiti untuk menjawat jawatan
masing-masing, sebagai Presiden dan Perdana Menteri.
Ini suatu keadaan
yang tidak semestinya terpencil dengan turut melihat pemimpin di Afghanistan,
termasuk Mesir yang dikagumi segolongan orang Malaysia sekarang. Meskipun The
Caribbean Community (CARICOM) yang seakan-akan ASEAN di sini mengutuk kudeta di
Haiti itu dan mempersoalkan kesahan kerajaan yang baru, kutukan itu tidak
pernah diendahkan oleh masyarakat antara bangsa termasuk PBB. Demikianlah,
bukan sahaja kerajaan yang dikatakan menindas dan dibenci oleh warganegaranya
boleh diturunkan tetapi sebuah kerajaan yang disokong oleh majoriti warganegara
juga boleh diturunkan oleh sesuatu kuasa yang mempunyai kepentingan tertentu.
Kuasa luar dijemput
secara sangat terhormat oleh segolongan warganegara sesebuah negara sasaran,
dan jemputan itu diberi layanan istimewa walaupun yang menjemput itu mewakili
golongan yang sangat minoriti. Di Malaysia sendiri nampaknya ada bibit
warganegaranya mulai dilatih dan diorientasikan dengan sengaja supaya
mengagungkan pengesahan daripada kuasa luar ini tentang apa yang baik dan tidak
baik untuk Malaysia.
Atas nama
pengiktirafan antara bangsa dari sekecil perkara berkaitan hal teknikal seperti
dalam pentadbiran yang memerlukan persijilan ISO berasal dari Geneva, hingga ke
pengurusan ilmu yang institusinya ghairah menagih ranking hinggalah kepada
proses pilihan raya umum yang bakal menentukan nasib buruk atau sejahteranya
umat di negara ini. Seperti tidak sempurna sesuatu aktiviti kehidupan bernegara
di Malaysia sekiranya tidak mendapat endorsement daripada luar. Orang
berpengetahuan psikologi akan cepat mengesan tanda-tanda potensi perlakuan
tidak normal pada masyarakat atau komuniti seperti ini.
Dikatakan Pilihan
Raya Umum di Malaysia tidak akan sah selagi dia tidak diselia, dipantau dan
disahkan oleh badan asing atas nama neutraliti. Yang terbaharu pada pengamatan
saya di Malaysia ialah munculnya golongan yang bergerak cergas mengundang
campur tangan PBB menyemak semula referendum 1963 tentang pembentukan Malaysia.
Mereka menuntut supaya PBB mengadili kesahan referendum itu dan pelaksanaannya.
Gerakan seperti ini, sekiranya berlaku pada zaman Tun Razak dan Tun Hussein
Onn, tentulah akan mendapat jawapan yang sangat serius daripada kedua-dua tokoh
itu. Gerakan seperti ini akan disifatkannya sebagai suatu gerakan subversif dan
anti-nasional. Namun, pada zaman ini, semuanya seperti dibenarkan atas nama
kebebasan menyatakan sesuatu pendirian di sebuah negara yang mengaku
mengamalkan demokrasi seperti Malaysia.
Dalam kes Haiti,
Aristide mendedahkan bahawa kudeta ke atasnya berlaku kerana keengganannya
membuka syarikat-syarikat kepentingan awam seperti elektrik dan telekom yang
dikuasai oleh kerajaan untuk dikuasai oleh syarikat-syarikat besar daripada
Amerika Syarikat terutamanya. Malaysia tidak sedikit pun kurang pentingnya
berbanding Haiti. Malaysia ada TNB, PNB, Telekom, Felda, Tabung Haji dan dengan
itu pemimpin Malaysia sewajarnya lebih bijaksana daripada Aristide.
Bahan ini diperoleh
daripada :
Akhbar Mingguan
Malaysia
02 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan