Rencana ini ditulis
oleh:
MUHAMMAD AFIFI ABDUL
RAZAK
afifi@uum.edu.my
Pensyarah Sains Politik
di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian
Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM)
Konflik dalam dunia
adalah satu perkara yang mustahil untuk dielakkan. Antara faktor yang akan
menyokong kenyataan ini adalah komposisi dunia yang dipenuhi dengan pelbagai
negara, pelbagai jenis bangsa dan kaum, pelbagai jenis perspektif, serta
persekitaran kehidupan yang sangat berbeza antara satu sama lain. Apabila wujud
interaksi antara kesemua entiti dan faktor tersebut, maka konflik pasti
berlaku. Politik antarabangsa sebagai contoh saban hari menyaksikan pelbagai
jenis konflik yang tidak pernah jemu mewarnai sejarah dan perkembangannya sejak
zaman dahulu hingga sekarang. Apabila manusia mula mencapai satu tahap tamadun
yang tinggi dan mula menghargai nilai keamanan dan keselamatan, manusia akan
melakukan apa sahaja dengan kuasa yang ada kepada mereka bagi mengekalkan
kewujudan nilai keamanan dan keselamatan tersebut.
Dalam konteks
pengurusan konflik antarabangsa pada masa kini, campur tangan antarabangsa oleh
pertubuhan dan institusi antarabangsa dalam sebarang konflik-konflik serius
adalah sangat dituntut. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) selaku badan
dunia yang bertaraf 'supra-nasional' biasanya memainkan peranan ini selaku
'badan pengaman dunia' yang akan bertindak untuk campur tangan bagi mengamankan
konflik-konflik tersebut. Tugas sebagai 'badan pengaman dunia' ini juga turut
digalas oleh banyak pertubuhan dan institusi antarabangsa yang bersifat
serantau seperti Pakatan Atlantik Utara (NATO), Kesatuan Eropah (EU), Kesatuan
Afrika (AU), Pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASEAN), dan banyak lagi. Semua
pertubuhan dan institusi yang bersifat serantau ini turut sama menyumbang bagi
memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat di samping PBB.
Pun begitu, sejak
beberapa tahun kebelakangan ini kita dapati usaha campur tangan antarabangsa
dalam pelbagai konflik serius seringkali menemui kegagalan. Campur tangan antarabangsa
lebih banyak gagal daripada berjaya dan kadang-kadang separa berjaya sahaja.
Buktinya, lihatlah apa yang sedang berlaku di Syria. Berita-berita antarabangsa
baru-baru ini melaporkan kegagalan misi pengaman PBB di negara tersebut
berikutan dengan perletakkan jawatan ketua misi PBB di Syria. Sebelum itu,
wakil khas Setiausaha Agung PBB ke Syria, Kofi Annan, juga turut meletak
jawatan. Perkembangan mutakhir ini menyebabkan banyak usaha misi pengaman di
Syria terpaksa digantung buat sementara waktu walaupun keadaan di negara
tersebut kian hari kian meruncing dan buruk.
Harus diingat bahawa
ini bukannya kali pertama misi pengaman PBB gagal. Kalau kita tinjau sejarah
perkembangan misi pengaman PBB khasnya selepas tamatnya era Perang Dingin, kita
dapati banyak misi pengaman PBB seperti di Bosnia Herzegovina, Somalia, Rwanda,
Congo dan Yemen turut menerima nasib yang sama, ia gagal. Campur tangan
antarabangsa di beberapa buah negara lain seperti di Iraq dan Afghanistan juga
demikian. Begitu juga halnya dengan campur tangan antarabangsa dalam isu
konflik Arab-Israel serta isu Palestin. Semuanya menemui kegagalan dan kurang
berkesan. Pun begitu, campur tangan oleh NATO dalam krisis di Libya pula
disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai berjaya.
Dalam teori penyelesaian
konflik antarabangsa, campur tangan sebagai satu alat politik yang dijana
menerusi pihak ketiga yang neutral seharusnya membuahkan banyak hasil yang
positif. Persoalannya, berdasarkan kepada beberapa kes yang dikemukakan di
atas, kenapa campur tangan oleh pertubuhan dan institusi antarabangsa dalam
pelbagai isu dan konflik antarabangsa seringkali gagal? Di manakah silapnya? Bagi
menjawab persoalan ini, ada sebuah buku yang bertajuk Can Intervention Work
tulisan Rory Stewart dan Gerald Knaus (2011). Stewart, merupakan bekas Timbalan
Gabenor di dua buah wilayah di Iraq sewaktu zaman pendudukan Amerika Syarikat
di negara tersebut, manakala Knaus pula ialah pengerusi sebuah badan bukan
kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai European Stability Initiative.
Menurut kedua-dua
penulis ini, prasyarat utama kepada kejayaan sesuatu tindakan campur tangan
antarabangsa ialah:
(i) Keupayaan agensi
pelaksananya untuk memahami keadaan, budaya dan norma persekitaran semasa di
tempat tersebut;
(ii) Keupayaan untuk
bekerjasama dengan orang tempatan di tempat tersebut, dan
(iii) Keupayaan untuk
membantu mewujudkan legitimasi agensi pelaksana serta ahlinya di kawasan yang
sedang berkonflik tersebut.
Sebaliknya, menurut
Stewart dan Knaus, tindakan mengekalkan status-quo semasa campur tangan,
seperti mewujudkan keadaan 'darurat yang tetap' akan menghalang pemimpin
tempatan daripada mengambil tanggungjawab yang sepatutnya dan boleh
meningkatkan lagi status populariti 'pihak penentang'. Mereka memberikan contoh
kegagalan campur tangan negara kuasa besar dunia dalam konflik antarabangsa di
Iraq, Afghanistan dan Bosnia Herzegovina. Iraq dan Afghanistan masih tidak
aman, manakala konflik di Bosnia pula gagal dikawal hingga menyebabkan
kehilangan banyak nyawa rakyat yang tidak berdosa.
Stewart dan Knaus
juga mengatakan bahawa masyarakat antarabangsa sebenarnya mampu untuk
menghalang konflik antarabangsa yang memusnahkan banyak jiwa manusia yang tidak
berdosa sebagaimana yang berlaku di Balkan dengan cara mengambil tindakan
secara incremental dengan memahami persekitaran tempatan dan mendapat sokongan
yang sepatutnya daripada masyarakat tempatan di tempat yang sedang berkonflik
tersebut. Berdasarkan kepada hujah dan analogi oleh Stewart dan Knaus ini, kita
boleh menyimpulkan bahawa kegagalan banyak usaha campur tangan antarabangsa
dalam pelbagai konflik antarabangsa di serata pelosok dunia sebenarnya
merupakan kegagalan masyarakat antarabangsa, termasuk PBB dan pertubuhan
serantau, untuk memahami secara mendalam keadaan konflik tersebut sebagaimana
yang sepatutnya. PBB dan pertubuhan serantau mesti mempunyai personal touch
yang baik dengan aktor-aktor tempatan dalam sesuatu konflik sekiranya ingin
menjayakan sebarang usaha campur tangan antarabangsa. Jika tidak, sebarang
usaha mereka ini akan memburukkan lagi keadaan dan dunia ini akan terus berada
dalam keadaan kegawatan yang sangat serius.
Sumber :
Utusan Malaysia
5 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan