28 Ogos 2012

ISU NEGARA : USAH GUGAT SEKOLAH ALIRAN KEBANGSAAN


Rencana ini ditulis oleh :
Dr Anwar Ridwan
Sasterawan Negara dan
Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA


Kementerian Pelajaran sejak beberapa bulan lalu mengadakan siri sidang meja bulat kajian semula sistem pendidikan negara. Pendidikan yang dinamik, seperti yang disebut dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, ‘mengambil kira cabaran dan perubahan perkembangan dunia pendidikan di luar negara dan keperluan pendidikan masyarakat Malaysia.’ Di samping itu, cabaran globalisasi, liberalisasi dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dunia masa kini menuntut Kementerian Pelajaran untuk memastikan semua murid mendapat pendidikan sewajarnya seperti yang dihasratkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dibimbangi, sebab populis untuk mendapatkan sokongan politik yang lebih meluas menjelang pilihan raya umum, Dasar Pendidikan Kebangsaan akan dikorbankan sedikit demi sedikit”

Bagaimanapun ada juga pihak yang mengatakan usaha mengadakan siri sidang meja bulat itu dilakukan pada masa kurang sesuai, iaitu ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) dicabar. Pihak berkenaan bimbang, sidang meja bulat akan diambil kesempatan untuk menuntut perubahan yang bukan-bukan, sehingga menggugat Dasar Pendidikan Kebangsaan.  Kebimbangan bukan dizahirkan tanpa alasan. Sebagai contoh, pihak yang menjaga kepentingan pendidikan Cina membuat tuntutan yang berlebihan melalui memorandum yang mereka kemukakan. Jika tuntutan mereka dipenuhi atas alasan politik, bukan alasan pendidikan tulen, maka usaha integrasi kaum melalui pendidikan tidak akan tercapai.

Contoh kedua ialah tuntutan agar sekolah kebangsaan (rendah dan menengah) yang majoriti pelajar memilih untuk belajar melalui bahasa pengantar Inggeris, dibenarkan meneruskan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Ini sebenarnya permintaan sebahagian kecil ibu bapa, bukan permintaan pelajar seluruhnya. Tuntutan ini pun, jika diluluskan atas alasan politik, bukan alasan pendidikan tulen, akan melemahkan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memecah-belahkan sistem pendidikan kebangsaan kita.

Rumusan perbincangan meja bulat

Baru-baru ini kerajaan memaklumkan, rumusan perbincangan meja bulat kajian semula sistem pendidikan negara akan diumumkan tidak lama lagi, mungkin pada September ini. Memandangkan pilihan raya umum sudah dekat, pejuang bahasa Melayu dan Dasar Pendidikan Kebangsaan tentulah lebih berdebar-debar menunggu inti pati rumusan berkenaan. Dibimbangi, sebab populis untuk mendapatkan sokongan politik yang lebih meluas menjelang pilihan raya umum, Dasar Pendidikan Kebangsaan akan dikorbankan sedikit demi sedikit. Pengorbanan itu termasuk dengan cara memenuhi tuntutan golongan pejuang pendidikan Cina dan terus membenarkan mereka mengendalikan sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah Cina (UEC) yang jelas bertentangan dengan dasar pelajaran kebangsaan serta menukar beberapa sekolah kebangsaan di bandar menjadi sekolah berbahasa pengantar Inggeris sementara sekolah luar bandar kekal menggunakan bahasa Melayu.

Pendidikan tulen atasi tuntutan politik

Akan tetapi ramai masih berharap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran akan meletakkan kepentingan pendidikan tulen di atas kepentingan politik jangka pendek. Ini bermakna Dasar Pendidikan Kebangsaan serta beberapa akta yang berkaitan, termasuk Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979, Falsafah Pendidikan Negara 1988, Akta Pendidikan 1996 dan Pindaan Akta Pendidikan 1997, wajib menjadi panduan, pegangan dan rujukan utama. Sebarang pindaan sistem pendidikan kebangsaan hendaklah selaras dan tidak bertentangan dengan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai bahasa kebangsaan, dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang antara lainnya menggariskan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang digunakan pada peringkat kebangsaan.

Nasib sekolah aliran kebangsaan haruslah lebih baik selepas pengumuman rumusan sidang meja bulat pendidikan, bukan sebaliknya. Sekolah aliran kebangsaan hendaklah terus diperkasakan, menjadi sekolah aliran perdana di negara ini.  Untuk memperkasa sekolah aliran kebangsaan beberapa langkah harus diambil. Antaranya ialah pengisian kurikulum serta seni pengajaran yang lebih kreatif dan berkesan. Di samping itu kelas bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa ketiga harus diperbanyakkan di sekolah kebangsaan, agar sekolah kebangsaan terus menjadi tumpuan pelajar pelbagai kaum.  

Peruntukan kewangan bagi tujuan pelaksanaan kurikulum serta kokurikulum sekolah aliran perdana ini juga mesti jauh lebih besar daripada peruntukan yang diberikan kepada sekolah jenis kebangsaan. Pendidikan kebangsaan arus perdana ini yang menggunakan bahasa Melayu, harus berkesinambungan ke peringkat pengajian tinggi, sebagai mana dibuktikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terutama pada dekad perkembangan awalnya.  Dalam masa yang sama pihak kerajaan melalui kementerian serta agensi di bawahnya serta sektor swasta, harus memberi nilai yang sewajarnya kepada graduan yang melalui sistem pendidikan kebangsaan itu.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Berita Harian
28 Ogos 2012

ISU KENEGARAAN : BENTUK JIWA MERDEKA SEMANGAT MALAYSIA


Rencana ini ditulis oleh :
DR. AMINUDIN MANSOR
Bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.


Membentuk jiwa merdeka dengan semangat Malaysia adalah tugas semua pihak. Jika di sekolah ia menjadi tugas guru, manakala apabila seseorang itu keluar dari bangku sekolah, dia seharusnya membentuk dirinya berjiwa merdeka dengan semangat Malaysia. Adalah menjadi tugas pemimpin masyarakat, badan-badan bukan kerajaan dan juga pemimpin politik untuk mewujudkan rakyat berjiwa merdeka dengan semangat Malaysia. Isu politik tidak seharusnya memecahbelahkan masyarakat dengan pandangan dan pendapat yang boleh membawa pelbagai kontroversi. Tugas pemimpin adalah menyampaikan amanat ke arah kebenaran. Islam mahukan sebagai pemimpin mukmin bukanlah pengumpat dan yang suka mengutuk, yang keji dan ucapannya kotor. Sebagai pengikut, seseorang itu tidak seharusnya mengangkat orang yang bercita-cita akan kedudukan. Merujuk kepada jiwa merdeka semangat Malaysia semua kita seharusnya sedar insaf dan bersyukur hidup di negara ini yang aman dan makmur. Hari Kemerdekaan dan hari perisytiharan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 adalah sangat penting dalam sejarah pembentukan negara kita.

Pada tahun ini ulang tahun kemerdekaan disambut kali ke-55 menandakan kedewasaan Malaysia dan seharusnya melambangkan kematangan pemikiran rakyatnya. Mengikut catatan sejarah, perjanjian Malaysia telah ditandatangani di London pada 9 Julai 1963. Ratu Elizabeth II telah memperkenankan Akta Malaysia yang diluluskan oleh Parlimen Britain. Ini disusuli dengan kelulusan Perjanjian Malaysia oleh Parlimen Tanah Melayu, Dewan Perhimpunan Singapura (sebelum keluar dari Malaysia), Majlis Undangan Sarawak dan Majlis Undangan Sabah. Seterusnya pada 26 Ogos 1963, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan Akta Malaysia. Seterusnya, pada 16 September 1963, negara Malaysia ditubuhkan secara rasminya yang merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Singapura (sebelum keluar dari Malaysia), Sarawak dan Sabah.

Mengimbau semula pada catatan sejarah, pada mulanya pembentukan Malaysia merupakan sesuatu yang agak mustahil terutama apabila melihat reaksi penentangnya yang datang dari dalam negeri dan negara luar. Namun, menerusi diplomasi masalah tersebut dapat diatasi. Sejarah membuktikan pembentukan Malaysia telah berjaya menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu dengan negeri-negeri jirannya bagi kepentingan bersama. Kejayaan ini memaparkan ciri-ciri kepimpinan tokoh tempatan di Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah. Kerajaan British juga sanggup bekerjasama dan bertolak ansur demi mencapai kesejahteraan bersama. Di samping itu, kerjasama yang diberikan oleh rakyat negeri-negeri anggota adalah untuk memastikan kedaulatan negeri terjamin. Perjanjian Malaysia 1963 mengambil kira kepentingan semua negeri anggota untuk mengekalkan kesejahteraan dan perpaduan antara negeri. Bagaimanapun, pada tahun 1965 Singapura telah berpisah dengan Malaysia.

Kini, rakyat Malaysia sedang menuju fasa transformasi ke arah kemajuan dan kemodenan dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan, ekonomi, sosial, politik dan juga budaya. Namun, semuanya diasaskan daripada hasil kemerdekaan negara yang dicapai sejak 55 tahun lalu. Justeru, tema hari ulang tahun kemerdekaan ke-55 tahun ini, "Janji Ditepati" seharusnya menjadi pegangan kepada rakyat dan kerajaan. Membentuk jiwa merdeka dengan semangat Malaysia mestilah dengan rasa cinta dan kefahaman yang mendalam terhadap negara bangsa. Perpaduan dan semangat kecintaan kepada negara mestilah diasaskan sejak di bangku sekolah lagi dan diteruskan ke alam remaja dan dewasa. Semua ini mestilah dilakukan secara berterusan dan bukan hanya pada tanggal 31 Ogos setiap tahun. Pembinaan modal insan yang sanggup menghadapi pelbagai isu dan cabaran mestilah bermula di bangku sekolah. Dalam konteks Malaysia, modal insan dan usaha pembangunannya telah digariskan dalam pelan tindakan pembangunan modal insan yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Inti pati pembangunannya adalah bertujuan membentuk individu berkualiti dan berketerampilan dalam melahirkan masyarakat yang cemerlang.

Ini disebabkan cabaran globalisasi dewasa ini dipacu oleh kuasa pasaran daripada pelbagai sudut yang arusnya mendadak dan drastik. Oleh itu, keperluan kepada pembinaan keupayaan dan pembangunan agenda 'minda kelas pertama' perlu diberi perhatian yang serius dan mendalam. Keperluan ini perlu memfokuskan kepada pembangunan modal insan kerana kita tidak boleh hanya semata-masa bergantung pada prasarana yang bertaraf dunia, malah perlu juga kepada pembangunan model insan bermotifkan kelas pertama yang bertaraf dunia. Melalui pembangunan modal insan, pembentukan jiwa merdeka dengan semangat Malaysia juga dapat dilakukan melalui pendidikan sama ada di rumah dan di sekolah. Mengangkasakan modal insan mestilah melalui impian dan cita-cita yang tinggi dengan daya usaha dan kesungguhan yang gigih, tahap cemerlang, motivasi, berpandangan jauh, bercita-cita, mengambil peluang, keberanian mengambil risiko dan mengendalikan kegagalan sebagai tanda aras kejayaan dan sebagainya.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan insan dalam bentuk yang sebaik-baiknya" (At-Tin:4). Di peringkat universiti, pelajar universiti merupakan agen sosial dan modal insan yang utuh dan mampu menyumbangkan pengetahuan, kemahiran dengan nilai-nilai murni kepada agama, bangsa dan negara. Mereka ini juga mesti difahamkan dengan semangat cintakan negara, patriotik dan perpaduan. Hakikatnya, semua rakyat hidup aman dan sejahtera dengan mengekalkan perpaduan yang sedia terjalin. Oleh sebab itu, setiap pemimpin seharusnya berusaha mengekalkan semangat perpaduan tanpa mengira fahaman politik demi kesejahteraan hidup rakyat.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
28 Ogos 2012

27 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : SUBJEK SEJARAH BERAT DAN SERIUS


Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali


Dibandingkan keberuntungan hidup antara generasi dulu dan kini perbezaannya ibarat langit dan bumi. Generasi dulu terpaksa berhempas pulas demi meneruskan kelangsungan hidup, padahal golongan muda hari ini menikmati kesenangan dalam pelbagai aspek pembangunan, kemudahan dan modenisasi. Malangnya, kepelbagaian kemudahan itu turut menjadikan mereka kurang peka terhadap tuntutan memartabatkan perjalanan sejarah hingga menganggapnya tidak penting. Justeru, timbul tanggapan mereka dilabelkan sebagai generasi buta sejarah hingga menimbulkan polemik dalam masyarakat yang tertanya-tanya apakah kemampuan golongan itu mengemudi negara kelak tanpa sikap patriotisme asli.

Persoalannya, apakah faktor yang menyebabkan mereka alpa? Masyarakatkah yang bersalah kerana lepas tangan atau proses pembangunan yang terlalu pantas menyebabkan golongan itu hanya mengejar keperluan material. Pensyarah Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Ishak Saat berkata, generasi muda hari ini dikelilingi kesenangan dan kemudahan dan jarang didedahkan dengan kesusahan serta perjuangan masyarakat terdahulu. Subjek Sejarah di sekolah yang hanya bersandarkan peperiksaan semata-mata juga menyumbang kepada kekurangan penghayatan sejarah di kalangan golongan muda. “Fenomena ini menyebabkan semangat patriotisme boleh dipersoalkan, malah lebih menyedihkan mereka melihat sejarah dan mentafsirkannya berdasarkan pemahaman sendiri. Mereka membuat penafsiran sendiri dan enggan menjiwainya. Jadi, jangan menunding jari jika golongan berkenaan buta sejarah sebab mereka diajar dengan pendekatan seperti itu,” katanya.

Isu generasi muda hari ini yang menganggap sejarah sebagai aspek picisan cukup membimbangkan, apatah lagi mereka juga gagal menunjukkan semangat patriotik mendalam terhadap negara seperti generasi terdahulu. Keadaan ini menimbulkan polemik dan kebimbangan di kalangan masyarakat mengenai kecenderungan masa depan generasi ini dalam mengemudi negara suatu hari nanti. Beliau berkata, sejarah mesti diajar dengan prinsip supaya tidak dikuasai golongan tertentu semata-mata, sebaliknya perlu dikongsi bersama. “Malangnya, hanya golongan tertentu saja mendominasi perjalanan serta cerita sejarah ini manakala selebihnya hanya diberi ‘sedikit’ saja pengetahuan mengenainya. Ini turut menjadikan minat yang sedikit semakin merudum. Dalam hal ini, bukan salah sepenuhnya generasi muda andai kata mereka tidak minat kerana mekanisme digunakan bagi menarik minat mereka juga kurang tepat,” katanya.

Bagaimanapun, itu bukan alasan terus mengetepikan tanggungjawab untuk menarik minat generasi muda lebih peka terhadap perjalanan dan kepentingan sejarah. “Jika tahu mereka jauh, apa salahnya kita menarik semula perhatian golongan itu dengan mekanisme tertentu. Jangan pisahkan mereka dengan sejarah kerana ini adalah kelangsungan dan kesinambungan perjalanan negara. Kalau bukan mereka yang meneruskannya siapa lagi,” katanya. Ditanya adakah sukar ingin memupuk minat golongan terbabit terhadap sejarah, beliau berkata, ia tidak sukar kerana pandangan mereka lebih kritikal serta mempunyai kekuatan pandangan baru menerusi pelbagai sumber. Mereka boleh memperoleh pelbagai maklumat dengan mudah, jadi masyarakat perlu menggunakan peluang ini bagi mendekati golongan sasaran. Malangnya, apa dilakukan secara bermusim seperti hanya pada bulan kemerdekaan sedangkan penghayatan sejarah perlu sepanjang masa agar sentiasa mantap. Mekanisme digunakan tidak cukup, jadi tidak hairan mereka langsung tidak tertarik,” katanya.

Katanya, generasi dahulu lebih prihatin kerana sistem pendidikannya tidak terlalu berorentasikan peperiksaan. “Malah, guru dulu sanggup berkorban demi meningkatkan semangat patriotik di kalangan pelajar. Bagaimanapun, cabaran dulu dan kini berbeza. Generasi dulu lebih fokus pada pembinaan jati diri tapi kini penghidupan lebih mencabar dengan pembangunan semakin rancak selain materialistik. Tapi, jiwa patriotisme juga mesti dititikberatkan. Kita tidak mahu melahirkan  generasi cerdik pandai tetapi buta sejarah negara sendiri,” katanya. Mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah, Mohamad Husairi Hanafi mengakui, generasi muda kurang berminat pada sejarah kerana beranggapan ia aspek yang leceh, sukar dan tidak penting.

Menurutnya, faktor dibesarkan selepas zaman kemerdekaan serta hidup dikelilingi kemudahan juga menjadi penyebab mereka enggan ‘membebankan’ fikiran dengan fakta sejarah. “Sejarah selalunya dianggap aspek berat, serius selain hanya untuk orang lama, sebab itu kurang mendapat tempat di hati generasi muda. Pemahaman kurang jelas juga menjadikan mereka tidak berminat, sekali gus bakal memberi kesan jangka panjang. Malah, saya mengakui golongan muda hari ini lebih suka pada kebebasan,” katanya. Rakannya, Emy Nazira Embong berpendapat, kecenderungan generasi muda kepada aspek keseronokan mendorong mereka ‘mengabaikan’ kepentingan sejarah. “Biarpun subjek itu diajar, mereka tidak mendalaminya secara serius. Pada mereka, buat apa (belajar) sedangkan negara sudah mencapai kemerdekaan. Tanggapan seperti itulah yang membuatkan mereka ambil mudah dan menganggap sejarah tidak penting, padahal sebuah bangsa berjaya kerana sejarahnya,” katanya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Harian Metro
27 Ogos 2012

ISU WANITA : KUASA WANITA PACU EKONOMI KELUARGA DAN NEGARA


Rencana ini ditulis oleh :
Nor Affizar Ibrahim


Kehadiran Hari Wanita Kebangsaan kali ini sememangnya istimewa ketika seri Syawal masih berbahang dan aura sambutan kemerdekaan negara ke-55 kian terasa. Bertemakan Wanita Pencetus Ekonomi Baru, ia ternyata selaras dengan manifestasi kerajaan terhadap sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi keluarga. Hakikatnya, dalam memastikan pembangunan berjalan lancar, peranan wanita tidak boleh diketepikan. Sumbangan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan meliputi ekonomi, sosial dan politik di kebanyakan negara bukan lagi sekadar bualan kosong, tetapi kenyataan.  Kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia pada hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 tahun atau 20 tahun lalu” - Wan Hasmah Wan Mohd, Ketua Pengarah JPW

Di Malaysia misalnya, dulu wanita hanya dikaitkan dengan status suri rumah tetapi segala-galanya berubah seiring pembangunan negara. Dalam bidang ekonomi, pembabitan wanita tidak hanya ‘bertarung’ membebaskan diri daripada prasangka dan kongkongan, malah mereka sudah menjadi sebahagian penggerak ekonomi diri dan negara. Isu diskriminasi wanita tidak lagi mencengkam golongan Hawa pada hari ini, sebaliknya, integrasi ekonomi dunia seiring dengan kemajuan teknologi yang pesat, sudah membentuk realiti ekonomi wanita dalam pelbagai cara.  Wanita terus mengorak langkah mengharungi cabaran memastikan kehadiran dan bakat mereka disedari dan diiktiraf. Dengan kebanjiran tenaga kerja wanita serta meningkatnya pendapatan dan kekayaan golongan ini, peranan wanita semakin berpengaruh baik dalam hal rumah tangga, organisasi mahupun negara.

Yang pasti, sumbangan wanita boleh dibanggakan sejak kebelakangan ini. Penyertaan wanita dalam tenaga buruh meningkat daripada 44.7 peratus pada 1995 kepada 46.4 peratus pada 2009 dan sasaran sehingga 55 peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh-10 (RMKe-10).  Perumpamaan ‘tangan wanita yang menghayun buaian boleh menggegarkan dunia’ dapat dilihat sebagai gambaran paling tepat untuk menggambarkan kesungguhan wanita di negara ini, khususnya dalam memastikan kestabilan negara dan kedudukan ekonomi. Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Wan Hasmah Wan Mohd, berkata hakikatnya sudah ramai menyedari potensi wanita dan memanfaatkan kehadiran mereka dalam pembangunan dan kemajuan ekonomi di negara ini.

Atas alasan itu, sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012 memilih tema Wanita Pencetus Ekonomi Baru yang mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi keluarga.  “Kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia pada hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 tahun atau 20 tahun lalu. Usaha mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi melalui Model Baru Ekonomi (MBE) menjadikan wanita berperanan besar menggalas cabaran dalam era globalisasi dan terus menyokong pembangunan negara. Justeru, inilah signifikan tema itu dipilih,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini. Wan Hasmah berkata, dalam tiga tempoh Rancangan Malaysia, sumbangan wanita ketara dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara. Sepanjang tempoh itu, pelbagai usaha diambil kerajaan dengan menyediakan persekitaran kondusif bagi memastikan penyertaan wanita lebih berkesan dalam pembangunan negara.

Golongan wanita kian terserlah sebagai usahawan berjaya, turut dilengkapkan dengan pakej sesuai supaya mampu bersaing dalam persekitaran ekonomi moden. “Ketika ini, wanita membentuk 49.1 peratus atau 14.03 juta populasi daripada 28.55 juta penduduk Malaysia. Seramai 9.03 juta (64.3 peratus) wanita adalah pada usia produktif iaitu 15 hingga 64 tahun,” katanya.  Sehubungan itu, sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012, ada isu khusus yang bakal dibincangkan seperti sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi negara, pembabitan wanita dalam pasaran kerja dari pelbagai perspektif, prospek kembali bekerja dan aturan kerja fleksibel.  

“Jika dibandingkan negara lain seperti Vietnam dan China, peratusan jumlah tenaga kerja wanita di Malaysia masih rendah. Ini berlaku kerana ramai wanita berhenti kerja atas faktor tertentu. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku dan kita perlu pastikan, menjelang 2015 dianggarkan 55 peratus wanita produktif berusia 18 hingga 60 tahun mesti berada dalam pasaran kerja. Wan Hasmah berkata, menyedari permasalahan itu sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012, portal Microsite TalentWanita akan dilancarkan. Portal berkenaan berfungsi sebagai pengantara kepada wanita yang meninggalkan pasaran pekerjaan untuk kembali bekerja.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Berita Harian
27 Ogos 2012

ISU SOSIAL : HARAPAM MEMILIKI RUMAH MENJALANG BAJET 2013


Rencana ini ditulis oleh :
Pandangan IKIM
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik
Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).


Walaupun masih berada dalam kemeriahan lebaran dan persiapan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara, sebahagian besar masyarakat masih memberi tumpuan kepada perbahasan mengenai pelan Bajet 2013. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memberi jaminan antara lain untuk menimbang permasalahan kos sara hidup dalam rancangan Bajet 2013 yang akan diumumkan kelak. Walaupun ekonomi negara diunjur tumbuh sekitar 5.4 peratus tahun ini yang diyakini berada dalam landasan yang baik bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi 2020, masih banyak perkara yang perlu ditangani terutama berkenaan kos sara hidup yang menjadi duri dalam daging bagi sebahagian besar rakyat negara ini. Tahun ini kita menyaksikan beberapa kaedah yang diambil kerajaan bagi membantu rakyat mengurangkan kos yang dihadapi namun kebanyakannya adalah bersifat pelan jangka pendek.

Pelan jangka pendek lebih mudah diterima orang ramai berdasarkan kesannya yang cepat dan efektif pada masa itu. Walau bagaimanapun, penstrukturan pelan jangka panjang adalah lebih baik dan penting kerana bersifat lebih kukuh dan berpanjangan dengan kos yang lebih minimum. Dalam isu menangani kos sara hidup dalam pembangunan bajet 2013 ini pelan jangka panjang dan pendek perlu diperhalusi bagi mendapatkan kesan yang lebih kukuh dan efektif. Antara cadangan yang popular dilontar orang ramai untuk pembangunan bajet kali adalah berkaitan isu harga rumah. Isu rumah sememangnya menjadi isu yang amat kritikal kerana rumah adalah satu daripada keperluan asas hidup dan menjadi pelan kontingensi kepada saat-saat kecemasan yang berlaku pada masa akan datang. Oleh itu, memiliki rumah bagi setiap individu pada hari ini dianggap sebagai satu kemestian.

Harga rumah yang meningkat dengan tidak munasabah terutama sekali di bandar dan pinggir bandar sejak lima tahun kebelakangan ini menjadi kekangan kepada sekurang-kurangnya bagi sebuah keluarga untuk memiliki seunit rumah. Malang sekali lagi apabila rumah yang dijual dengan harga begitu mahal tidak berkualiti pula. Bagi golongan muda, kelihatannya seolah-olah amat mustahil untuk memiliki sebuah rumah dalam masa terdekat dengan tambahan hutang pendidikan yang ditanggung mereka. Kita akui bahawa untuk kerajaan mengambil alih kawalan harga rumah sepenuhnya adalah sesuatu yang tidak baik bagi ekonomi negara. Aktiviti ekonomi seharusnya bebas namun perlu dipantau bagi mengelakkan herotan berlaku oleh sebab yang disengajakan seperti spekulasi atau tidak disengajakan seperti kemelesetan ekonomi global. Maka, mengawal harga rumah menerusi kaedah secara tidak langsung diharap dalam dipertimbangkan dalam pembangunan dan pembentukan bajet pada hari ini.

Kaedah sedia ada seperti kerajaan membina rumah mampu milik perlu diperluaskan ke kawasan lain. Peringkat pendapatan juga perlu dikaji bagi memastikan rumah dibina sesuai dan selayaknya dengan pendapatan bagi sesebuah keluarga. Dicadangkan untuk kerajaan mengambil alih kawasan-kawasan emas yang hendak dibangunkan untuk dijayakan sebagai perumahan rakyat agar berlaku keseimbangan pembangunan dan kependudukan secara keseluruhan dalam kawasan tersebut. Selain itu, kaedah pembinaan rumah secara tradisional oleh kontraktor berlesen juga perlu diberi nafas baru. Menjual dahulu rumah yang belum dibina tidak sesuai lagi digunapakai sementelah banyaknya masalah yang timbul daripada kaedah ini yang mana turut merugikan kerajaan kerana terpaksa mengambil alih projek perumahan yang bermasalah. Kaedah-kaedah lain perlu dipertimbangkan sama ada menggunakan kaedah bina dahulu, kemudian jual atau pembinaan dan pembayaran secara berperingkat ataupun menubuhkan satu tabung khas kepada para kontraktor untuk memulakan pembinaan bagi menggantikan kaedah mengambil deposit daripada pembeli.

Sekali gus ini akan mengubah corak pembiayaan perumahan yang akan ditawarkan oleh bank-bank. Aktiviti membolot perumahan baru perlu dihentikan. Memang tidak dinafikan bahawa kita sukakan keuntungan yang maksimum yang pantas, namun dalam masa sama keuntungan yang dinikmati itu tidak harus memudaratkan orang lain. Kegiatan membolot menghampiri kepada perbuatan ihtikar yang mana dilarang oleh Islam. Ihtikar yakni penguasaan (monopoli) atau menyimpan bagi tujuan menaikkan harga lazimnya berlaku dalam jual beli makanan namun dalam hal ini matlamatnya adalah sama iaitu menguasai dan menahan rumah untuk diniagakan bagi tujuan menaikkan harganya. Kemudaratan yang berlaku terhadap individu yang tidak memiliki rumah adalah besar. Ini kerana rumah bukan hanya tempat tinggal bagi sesebuah keluarga, tetapi juga tempat perlindungan, berkasih sayang, tempat menyemai ilmu dan nilai kepada anak-anak kecil.

Adalah menjadi harapan agar isu harga rumah ini diberi pertimbangan sewajarnya dalam merangka pelan belanjawan kerana pembangunan sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi tahun 2020 harus diseimbangi dengan pembangunan masyarakatnya. Kita harus menginsafi bahawa kekayaan dalam kehidupan tidak hanya dimiliki oleh golongan tertentu sahaja sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Hashr. Ketidaksamaan kekayaan adalah kepelbagaian dalam kehidupan dan sebagai manusia, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan setiap individu dapat memenuhi keperluan asasinya termasuklah tempat tinggal yang baik dan selesa tanpa mengira taraf ekonominya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
27 Ogos 2012

26 Ogos 2012

ISU KENEGARAAN : MERDEKAKAN PEMIKIRAN



Tarikh 31 Ogos datang lagi. Tahun ini adalah kali ke 55 rakyat negara ini meraikan tarikh keramat yang membawa makna kepada sebuah negara yang merdeka. Tetapi timbul persoalan, sejauh manakah makna kemerdekaan ini dihayati dan dipraktis dalam kehidupan? Ada pihak menganggap semakin panjang usia kemerdekaan akan semakin nipis perasaan kebangsaan yang dulunya berkobar-kobar untuk mencapai kemerdekaan. Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, KHAIRUNNISA SULAIMAN, tokoh sastera dan ahli akademik, PROFESOR MADYA DR. LIM SWEE TIN berkata, nipisnya perasaan kebangsaan ini akan melahirkan generasi yang rapuh kecintaan kepada negara. Beliau melihat peri pentingnya perasaan kebangsaan ini dijadikan kerangka untuk berkerjasama membangunkan negara ini.

Apakah signifikannya ulang tahun kemerdekaan dalam konteks negara ini?

DR. LIM SWEE TIN: Bagi saya sambutan ulang tahun kemerdekaan adalah satu masa yang terbaik bagi kita menanam apa yang saya namakan pemikiran nasionalisme. Mungkin orang jarang menggunakan istilah pemikiran nasionalisme. Salah satu sebabnya mungkin kefahaman terhadap perasaan kebangsaan itu agak longgar. Nipisnya perasaan kebangsaan ini akan akan melahirkan generasi yang rapuh kecintaan kepada negara. Inilah hakikat yang kita terpaksa terima apabila situasi kebelakangan ini menggambarkan bahawa perasaan kebangsaan kita tidak cukup kuat. Perasaan kebangsaan seharusnya sangat kuat yang dicerminkan dalam segala konteks dan keadaan.

Sejauh manakah pentingnya perasaan kebangsaan dalam konteks hari kebangsaan negara ini?

DR. LIM SWEE TIN: Kuatnya perasaan kebangsaan ini akan menjadi kerangka sebenarnya, buka lagi acuan. Ia adalah kerangka dalam hubungan kita bekerja untuk negara. Ia meliputi soal kemajuan, pembangunan, termasuklah kesejahteraan bersama yang kita perjuangkan sejak terlepas dari belenggu penjajahan Inggeris 55 tahun yang lampau. Sekiranya kita telah berada pada tahap ini pada hemat saya, kita sudah boleh dikatakan mempunyai jati diri yang kukuh. Pada tahap inilah kita menjadi rakyat yang bermakna bagi sesebuah negara.

Di manakah duduknya bahasa dan kesusasteraan dalam konteks sebuah negara yang merdeka?

DR. LIM SWEE TIN: Pada hemat, seandainya kita tidak memuliakan satu bahasa penyatuan kita yang tunggal iaitu bahasa Melayu, tidak adalah erti merdeka. Saya sentiasa menekankan peri pentingnya secara berterus-terusan diingatkan, disebarkan dan diperkasakan semangat menyayangi bahasa yang tunggal ini tanpa kira kaum, bangsa atau etnik. Inilah satu-satunya wahana kita untuk saling memahami, saling menyalurkan aspirasi hidup dan saling mengembangkan minda ke arah mencapai satu bentuk pemikiran yang sama dari segi menyatakan hasrat, keyakinan dan kepercayaan yang terunggul untuk masyarakat, bangsa dan negara. Semua ini melalui jambatan bahasa Melayu. Setiap rakyat harus tahu dan menyedari bahawa sejak awal kemerdekaan bahasa inilah yang sudah diasaskan sebagai bahasa penyatuan. Kita tidak mampu untuk berpecah belah atau perasaan syak wasangka atau curiga mencurigai. Sebab itulah saya melihat keinginan kita yang kuat untuk memperkasakan penguasaan bahasa ini dalam setiap diri rakyat diikhtiarkan melalui pelbagai upaya.

Tetapi yang kelihatan masa ini bahasa Melayu tertolak ke belakang dalam persaingan bahasa Inggeris yang dianggap bertaraf global?

DR. LIM SWEE TIN: Saya tidak menafikan sama sekali bahawa ada di sana sini kekangan dan halangan sehingga kita tidak boleh mencapainya 100 peratus kejayaannya. Malah secara peribadi saya kerap kali melahirkan rasa dukacita. Ini kerana selepas 55 tahun merdeka dengan pelbagai usaha yang dilakukan untuk melahirkan rasa memiliki yang terhadap bahasa kebangsaan tetapi masih tercalar di sana sini. Padahal setiap warganegara yang telah mencapai usia separuh abad di Malaysia memperoleh pendidikan melalui satu sistem pendidikan yang menggunakan bahasa pengantar yang sama. Pada tahun 1976 apabila Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar bermula di sekolah menengah untuk seluruh sistem pendidikan kita sehingga ke peringkat universiti. Pada tahun 1983 pula seluruh pengajian menggunakan bahasa Melayu.

Kenapa kita masih gagal menjadikan bahasa Melayu itu bahasa perpaduan?

DR. LIM SWEE TIN: Saya juga sering tertanya-tanya apakah lagi yang tidak kena apabila bahasa kebangsaan ini diragui peranan dan penggunaannya dalam segala bidang kehidupan. Saya menyeru pada ulang tahun kemerdekaan ini marilah kita sama-sama memikirkan peri bertuahnya kita memiliki satu bahasa yang begitu besar, relevan dalam segala bidang baik sains dan teknologi, bahkan disenaraikan antara empat bahasa terpenting di dunia dari segi bilangan penggunanya. Terimalah dan akuilah bahawa bahasa ini bahasa kita bersama, gunalah dengan penuh kasih demi menjaga kemurniannya dan meletak tinggi kedudukannya.

Apa komen saudara terhadap usaha yang giat dilakukan sebelum dan ketika ini?

DR. LIM SWEE TIN: Saya berasa yakin bahawa usaha-usaha ke arah itu sudah dilakukan tetapi kita memerlukan satu langkah lain yang lebih efektif supaya dapat meninggalkan kesan yang lebih mendalam. Ini yang kita kurang atau dengan bahasa yang jelas mungkin kita gagal sempurnakan. Kesusasteraan boleh membentuk pemikiran, mengubah sikap dan membangunkan minda selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang. Kita tentulah akan dukacita kalau teks-teks sastera kita hanya dibaca oleh anak-anak kita semata-mata atas dasar lulus periksa. Tetapi mereka tidak mampu mengambil intipati pemikiran dan semangat yang diterapkan oleh sasterawan sementelah kita menerima mereka sebagai antara pemikir bangsa.

Sejauh manakah kefahaman terhadap budaya boleh dijadikan jambatan menghubungkan kaum dan etnik di negara pelbagai kaum seperti Malaysia?

DR. LIM SWEE TIN: Kita memerlukan masyarakat yang saling memahami budaya khasnya antara bangsa, kaum dan etnik di Malaysia untuk kita muncul sebagai satu bangsa yang benar-benar kukuh dan bersatu padu. Sekarang kadang-kadang kita terganggu oleh suara-suara sumbang yang pada sesetengah orang disifatkan kecil dan terpinggir akibat daripada ketidakfahaman terhadap budaya amalan kita. Perkara seperti ini tidak sewajarnya terjadi seandainya kita sama-sama memuliakan budaya yang sama-sama kita junjungi. Kefahaman yang mendalam ini secara berterusan sejajar pula dengan Rukun Negara dan aspirasi bangsa kita. Saya percaya bahawa paduan budaya sastera dan bahasa akan membawa kita ke satu ikatan yang kukuh. Usahlah merasakan bahawa budaya kita sudah lapuk dan usang, ketinggalan dan tidak relevan dengan zaman yang serba diwarnai dengan pengaruh peradaban luar yang setengahnya amat membimbangkan.

Kalau dibandingkan dengan negara lain, apakah yang dapat saudara gambarkan tentang Malaysia?

DR. LIM SWEE TIN: Kita bertuah berada di bumi Malaysia. Ini perlu kita tanamkan kepada anak-anak kita di segenap lapisan. Dari segi alamnya, kita dianugerahkan Tuhan selamat dan bebas daripada sebarang bencana seperti di setengah-setengah negara lain. Kita dianugerahkan negara yang makmur dengan segala hasil mahsul yang cukup. Pertanian dan sumber laut kita adalah nikmat manakala sumber bumi kita seperti petroleum menyumbang kepada kemewahan dan kesenangan hidup kita.

Kita tidak menghadapi sebarang ancaman luar sementara ancaman di peringkat dalaman juga sudah sekian lama kerajaan dan pimpinan kita berupaya lumpuhkan. Kita tahu komunis sudah lama lenyap melalui kebijaksanaan kerajaan dan kegigihan anggota keselamatan. Ia tidak lagi mengganggu lena tidur kita seperti satu ketika. Setiap rakyat mempunyai ruang yang mencukupi untuk menjalani kehidupan yang mereka sukai asal tidak membawa kemudaratan. Suasana politik yang tidak mengganggu kita walaupun sesekali muncul juga isu-isu yang kecil-kecil sehingga memperlihatkan seolah-olah adanya percanggahan. Tetapi perbezaan pandangan dan pendapat itu berjaya ditangani secara bijaksana. Maka saya percaya kita perlu terus memainkan peranan masing-masing dalam kapasiti yang ada sebaik-baiknya sambil melihat kegemilangan negara terus memercu untuk zaman yang mendatang.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
26 Ogos 2012

ISU SOSIAL : WAJAH-WAJAH PERPADUAN DALAM PERAYAAN DI MALAYSIA


Rencana ini ditulis oleh :
PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia


Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dengan sendirinya. Jika hari ini ramai melakukan penghijrahan ke negara-negara maju, Malaysia sudah melalui proses itu jauh lebih lama ketika Melaka menjadi pusat pertemuan antara pedagang Cina, India dan lain-lain. Malaysia hari ini turut mendapat perhatian pelbagai warga asing yang melimpah datang untuk mencari peluang meneruskan kehidupan termasuk dari Nepal, Myanmar, Bangladesh, Indonesia, Filipina dan benua Afrika tanpa mengira golongan professional dengan organisasinya beroperasi disini. Sama ada baik atau buruk, hakikatnya Malaysia sudah menjadi pilihan destinasi warga asing; pilihan yang perlu dilalui dalam proses globalisasi dan pergerakan manusia sejagat. Kepelbagaian yang wujud di negara ini merupakan satu kelebihan yang masih menjadi satu tradisi kesinambungan dalam kalangan rakyatnya. Keyakinan terbina kerana adanya ruang untuk menerokai limpahan sumber terhad dan yang membuka ruang ini adalah kesepaduan kestabilan yang lahir dari perpaduan dalam kepelbagaian.

Kepelbagaian bukan sahaja dari kepercayaan, keturunan, agama, etnik dan warna kulit mahupun sebarang latar belakang tetapi kebudayaan yang bermacam-macam juga menjadikan Malaysia seringkali dicemburui dan diiktiraf sebagai yang kompleks, rencam dan majmuk. Dalam kebanyakan negara, ia menjadi satu liabiliti dengan permusuhan yang berlarutan sehingga membawa konflik dan peperangan sedangkan di Malaysia kepelbagaian adalah kekuatan dan ia juga dimuatkan dengan usaha berterusan berinteraksi, integrasi memupuk semangat persahabatan dan ukhuwah; ia berlaku di istana, Seri Perdana, rumah pembesar negeri dan rumah sendiri. Nilai kebudayaan ini termasuk menyambut perayaan yang pelbagai seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Gawai dan pelbagai lagi. Uniknya ia menjadi sambutan semua menandakan semaraknya nilai kemuafakatan, perpaduan dan keharmonian; simbol integrasi.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini banyak memuatkan mesej bertemakan 'perpaduan'. Malahan dalam khutbah raya di Masjid Negara, elemen ini turut diberikan keutamaan. Bukan sekadar perpaduan ummah, tetapi perpaduan yang menjadi teras untuk meraikan kepelbagaian negara ini, yakni perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang etnik negara ini. Hari Raya Aidilfitri memberi gambaran bagaimana perpaduan dalam perayaan memberi impak kepada semangat hubungan antara etnik negara ini. Di setiap pelosok negara, setiap rumah terbuka dibanjiri dengan masyarakat pelbagai peribadi dan personaliti. Beratur panjang yang barangkali mengambil masa berjam lamanya bukan satu rungutan tetapi kesyukuran bertemu dengan pemimpin dan sahabat serta personaliti profil tinggi memberikan satu kepuasan.

Perayaan dapat terus disambut sebegini kerana adanya kestabilan dan asas sebenar kepada hubungan antara etnik adalah kestabilan dalam negara yang membolehkan masyarakat hidup muhibbah dan rukun walaupun berhadapan dengan beberapa cabaran terutama dalam konteks mempertahankan apa yang sudah kita miliki selama ini. Dalam ada negara yang bergelut mencari keamanan, Malaysia gah dan boleh mengamalkan konsep 'ziarah' dan 'kunjung' serta 'lawat'. Keamanan datang dari kestabilan. Tanpa ada kepimpinan yang mempertahankan nilai keamanan, maka Malaysia juga akan mempunyai kecenderungan menjadi 'padang jarak, padang tekukur' akibat manipulasi nilai keamanan, perpaduan dan muhibbah yang adakalanya ramai terlepas pandang mengapa ia perlu terus dipertahankan dari sebarang anasir yang mahu melihat Malaysia sebagaimana negara lain yang berhadapan dengan konflik. Musibah ini mesti dielak atas prinsip kebergantungan antara satu sama lain; hubungan resiprokal yang disuburkan dengan nilai hormat, faham dan menerima di antara satu sama lain.

Tatkala beraya, ada juga segelintir tebal sifat 'keangkuhan' dalam sesetengah warga dan pemimpin yang masih mahu berperang di alam maya sekalipun sewaktu Syawal pertama bilamana di alam sebenar wujud gencatan sekurang-kurangnya sebagai isyarat ada waktu perbalahan terutama dengan nilai politik perlu dihentikan dan menampakkan perdamaian. Perang di alam maya sewaktu perayaan sewajarnya dijadikan pengajaran kepada yang sudah lama berkecimpung dalam politik. Emosi warga adalah ke atas mood perayaan dan ia boleh mengganggu kepercayaan ke atas sesetengah dari mereka yang cuba mengambil kesempatan untuk meneruskan tradisi kebencian sesama ummah dan dalam kalangan masyarakat secara umum. Perayaan adalah salah satu penampilan simbolik bagaimana kita boleh mengetepikan perbezaan sesama manusia untuk dijadikan landasan perpaduan. Kewajaran menjadikan perayaan sebagai alat integrasi boleh diperkukuhkan secara berterusan untuk memobilisasi sokongan agar perpaduan sebagai rakyat Malaysia yang bangga dengan amalan ini tidak menjadi propaganda politik oleh pemimpin yang tidak tahu hormati nilai-nilai perkongsian bersama.

Sambutan perayaan di Malaysia mewarnai kepelbagaian yang selama ini sememangnya menjadi asas hubungan antara etnik. Menyemai nilai ini secara berterusan dengan aktiviti dan program 'muafakat' yang membawa gambaran peri-pentingnya ia diteruskan walau zaman silih berganti terutama dalam kalangan generasi muda yang berkemungkinan tidak melihat kepentingan ia diteruskan dengan semakin terhakisnya sifat perkampungan dan pulang ke kampung. Walau hadir di persekitaran berbeza, amalan integrasi melalui perayaan mesti dipertahankan oleh keseluruhan rakyat Malaysia. Perpaduan memerlukan nilai holistik dalam diri setiap warga yang sedar ia memberikan roh kepada negara-bangsa ini. Andainya perayaan ini boleh dikongsi bersama dan merasakan ada tanggungjawab untuk memainkan peranan dan memberikan makna kepadanya, perayaan sebagai kunci perpaduan tidak perlu dipersoalkan kerana ia juga berjiwa patriotisme dan nasionalis dengan sendirinya berpandukan prinsip dalam Rukunegara dan Perlembagaan yang mempertahankan nilai ini dalam dokumen kebal negara.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
25 Ogos 2012

25 Ogos 2012

ISU KENEGARAAN : MEMBINA BANGSA DENGAN SEMANGAT PATRIOTISME


Rencana ini ditulis oleh :
DR. AMINUDIN MANSOR
Bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu.


Setiap kali menjelang Ogos, rakyat Malaysia diperingatkan supaya sentiasa memperbaharui semangat patriotisme iaitu semangat cintakan negara. Melalui semangat cintakan negara akan dapat membentuk ke arah pembina negara bangsa yang bersatu padu. Matlamat dan wawasan membina Malaysia sebagai sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 mestilah berasaskan kepada penyatuan dan perpaduan rakyat yang kukuh dan padu. Apabila transformasi ini berlaku kemerdekaan akan terus dapat didaulatkan. Patriotisme seharusnya menjadi subjek dan tema penting yang mencorakkan hala tuju perubahan Malaysia selepas negara ini mencapai kemerdekaan hampir 55 tahun yang lalu. Dalam masa sama Malaysia menghadapi pelbagai cabaran semasa yang kritikal seperti globalisasi, liberalisasi, neokolonialisme, feudalisme baru, anarkisme, keganasan, sekularisme, demokrasi, pembinaan negara bangsa dan sebagainya.

Justeru, patriotisme adalah keyakinan kita bahawa negara ini lebih hebat daripada negara lain, disebabkan kita lahir di negara ini. Selain itu, kita juga harus bertanya kepada diri kita apa sumbangan kita kepada negara yang kita cintai. Setiap rakyat yang cintakan negaranya pasti berfikir dan merenung perjuangan yang telah kita lalui sepanjang 55 tahun lalu. Untuk mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 negara kita melalui pelbagai pahit getir dengan perjuangan para pejuang yang mencetuskan kemerdekaan negara. Patriotisme adalah perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan bangsa dan negara. Usaha mengekalkan semangat juang yang tinggi, mendaulatkan kedudukan, status serta pengaruh bangsa dan negara seharusnya dimulakan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Mengibarkan Jalur Gemilang adalah simbol kepada rasa cinta kepada negara. Bendera adalah lambang negara yang seharusnya berkibar megah di perkarangan rumah, sekolah, pejabat dan juga di kenderaan. Melalui semangat ini rasa cintakan negara akan dapat dikekalkan dalam jiwa setiap rakyat. Mengibarkan Jalur Gemilang tidak terbatas kepada pegangan politik. Kemerdekaan adalah lambang kedaulatan sesebuah negara. Patriotisme juga memerlukan komitmen pemimpin dan semua golongan rakyat dengan mempertahankan asas pembinaan dan kedaulatan negara. Mempertahankan negara daripada musuh dan ancaman luar merupakan tanggungjawab setiap rakyat. Kesetiaan pada raja dan negara yang ditunjukkan oleh warganegara melalui sumbangan dan pengorbanan merupakan unsur patriotisme yang sangat penting. Unsur ini perlu disemai dan ditanam dalam jiwa generasi muda khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Patriotisme juga adalah perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan bangsa dan negara. Setiap rakyat yang cintakan negara ini harus mengakui Malaysia adalah tanah tumpah darah dan tiada negara lain seaman dan semakmur Malaysia. Nilai patriotisme yang patut diterapkan dalam hati dan jiwa generasi muda seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban, kesukarelaan, cintakan bangsa dan negara perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan rakyat yang patriotik dan bertanggungjawab pada bangsa dan negara. Semangat patriotisme perlu dibangunkan melalui dasar pembangunan manusia iaitu membabitkan ekonomi, politik, sukan, pendidikan, hubungan diplomatik dan penglibatan Malaysia dalam konteks globalisasi. Usaha haruslah dilakukan dengan menonjolkan imej Malaysia sebagai bangsa dan negara yang berwibawa di arena antarabangsa. Pencapaian dalam sukan Olimpik dengan satu pingat perak dan gangsa di London baru-baru adalah suatu permulaan ke arah itu.

Sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-55 dan Hari Malaysia rasa cinta terhadap negara seharusnya dimantapkan lagi dalam hati setiap rakyat negara ini. Ini mencerminkan jiwa patriotik dan perasaan seseorang itu. Menghayati nikmat merdeka sama ada golongan tua dan muda mestilah dilakukan ke arah membangkitkan semangat cintakan negara. Tema pada tahun ini "Janji Ditepati" tak perlulah dipertikaikan lagi. Pendidikan adalah bidang yang paling berkesan untuk menerapkan semangat cintakan tanah air. Sejak di bangku sekolah lagi seseorang murid dari Tahun Satu hingga Enam dan pelajar dari Tingkatan Satu hingga Lima diterapkan dengan lagu Negaraku, bacaan ikrar Rukun Negara dan mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap kali menjelangnya Ogos bulan kemerdekaan negara. Golongan muda seharusnya mengambil contoh dan teladan pejuang kemerdekaan dahulu selain Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman Putra yang gigih serta mempunyai semangat cintakan negara terdapat juga tokoh lain yang turut berjuang ke arah kemerdekaan.
Sebagai contoh, Pendeta Za'ba ialah pejuang kemerdekaan yang telah berjuang memimpin orang Melayu pada zamannya. Beliau menyatakan: " Saya telah diminta memimpin orang Melayu yang ketika itu tidak ada pemimpin, saya menerima permintaan itu. Dengan semangat, saya ingin menentang Malayan Union dan tidak ada orang memimpin orang Melayu, tanpa sebarang bantahan saya terus berikhtiar menegakkan politik Melayu." Membina bangsa dengan semangat patriotisme mestilah bermula dari bangku sekolah. Melalui mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang jelas mendidik dan memberikan ilmu ke arah semangat cintakan negara. Remaja adalah aset terpenting negara. Penerapan semangat patriotisme iaitu rasa cinta akan negara mestilah dilakukan untuk membina negara bangsa. Memupuk semangat cintakan negara tidak seharusnya bergantung pada wahana sejarah semata-mata. Ini boleh dilakukan melalui mata pelajaran lain melalui penerapan nilai murni dan semangat cintakan negara.

Pemupukan jati diri kepada pelajar mestilah bermula daripada rasa cinta dan sayangkan negara. Negara ini adalah tanah tumpah darah yang mesti dipertahankan kedaulatannya sepanjang masa. Cara memupuk semangat patriotisme kepada pelajar mestilah melalui kesedaran dan ilmu. Menerapkan kesedaran patriotisme mestilah melalui pendidikan dan kesedaran terhadap tanah air. Patriotisme juga tidak dapat dipisahkan daripada jati diri negara iaitu sifat negara merdeka dan berdaulat itu benar-benar dikotakan. Patriotisme terhadap negara bersangkutan juga dengan identiti bangsa dan identiti ini sewajarnya subur melalui bahasa kebangsaan yang berfungsi penuh, termasuk sebagai pengantar pendidikan di sekolah.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
24 Ogos 2012

24 Ogos 2012

ISU SOSIAL : RUMAH TERBUKA SUBURKAN SILATURRAHIM, LAMBANG KEINDAHAN AGAMA ISLAM


Rencana ini ditulis oleh :
DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.


Saranan agar diberikan potongan cukai pendapatan atas perbelanjaan mengadakan rumah terbuka sempena sesuatu perayaan merupakan pendekatan terbaik dalam memupuk nilai-nilai penyatuan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Misalnya, sempena rumah terbuka Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet yang diadakan pada hari pertama Aidilfitri dikunjungi hampir 100, 000 orang daripada pelbagai kaum termasuk pemimpin politik, rakyat biasa dan pelancong asing. Bagi pelancong asing, konsep rumah terbuka yang diamalkan di negara ini adalah unik dan tidak pernah berlaku dalam persekitaran kepimpinan politik di negara mereka. Di Malaysia setiap kali rumah terbuka diadakan oleh pemimpin, kehadiran masyarakat melebihi jangkaan dan ini menjadikan amalan itu sebagai peluang untuk menjalinkan silaturrahim sesama manusia.

Konsep rumah terbuka sempena perayaan Aidilfitri memberikan pengertian betapa Islam itu indah dan tidak mengehadkan kepada penganutnya sahaja untuk meraikannya. Meraikan Aidilfitri dengan mengadakan rumah terbuka bukanlah konsep baru dalam usaha menjalin persefahaman antara agama. Masyarakat Malaysia sudah menerimanya sebagai satu kaedah mengeratkan hubungan sosial yang lebih luas sehingga melampaui sempadan kaum, agama dan budaya. Meskipun demikian, kerana adanya desakan dalam kepentingan tertentu, tradisi sedemikian kadang-kadang bertukar menjadi medan politik yang akhirnya boleh membunuh semangat keintiman antara kelompok. Ada pihak menggunakan rumah terbuka untuk memperkuatkan semangat politik sempit sehingga sanggup mengkritik dengan beranggapan apa yang dilaksanakan kerajaan semuanya tidak betul. Sepatutnya dengan semangat rumah terbuka ia dapat menjadi forum yang sangat efektif untuk memulai hubungan baik atau memperbaharui hubungan yang retak.

Konsep rumah terbuka di Aidilfitri sebenarnya melambangkan keindahan agama Islam itu sendiri, di samping dapat menarik rahmat dan keberkatan yang datang bersama dengan kunjungan tetamu, jiran tetangga (sekalipun bukan seagama). Kemuliaan dan kesuciannya tidak boleh dicemari dengan motif dan tujuan lain yang boleh menggugatkan keamanan dan kedamaian. Sesungguhnya kejahatan dan kepalsuan itu pada dasarnya bertentangan dengan fitrah manusia. Oleh kerana Islam itu agama fitrah yang mudah, samhaa' (harmoni), terbuka dan toleransi maka kita menerima gelagat-gelagat tidak sopan itu dengan penuh kesabaran. Satu hadis daripada Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Bukhari, Tarmizi, Ahmad dan Ibnu Majah. "Seseorang mukmin yang bergaul dalam masyarakat dengan manusia lainnya dan dia sabar menahankan suka duka dalam masyarakat itu, adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak hidup bergaul dalam masyarakat umum dan tidak pula pernah menunjukkan kesabaran atas suka dukanya masyarakat itu."

Di negara kita, agama menjadi faktor penyatuan kaum iaitu dengan menyederhanakan perasaan taksub dan fanatik agama, perkauman dan budaya serta adat resam melampau bagi sesuatu kaum dan bangsa. Perasaan yang melampau tentang perkauman dan agama diredakan oleh semangat tolak ansur, setia kawan ketika menyambut hari raya melalui rumah terbuka. Agama yang kita warisi sebagai agama yang menyatupadukan umat manusia, agama yang menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu mula digugat peranannya oleh ketandusan ilmu pengetahuan yang sebenar tentang Islam. Kita hendaklah menjalinkan silaturrahim sekalipun dengan mereka yang berlainan agama kerana mereka juga ada beberapa haknya seperti hak kewarganegaraan, kejiranan dan kekeluargaan. Emosi melampau mengenai keunggulan sesuatu kaum, atau dalam istilah sosiologi dikenali sebagai ethnocentrisme banyak membawa kemudaratan dalam hubungan antara kaum dalam masyarakat majmuk. Emosi itu membawa kepada pergaduhan dan konflik antara agama sedangkan Islam mementingkan semangat tolak ansur, yakni tidak menghina agama dan kepercayaan orang lain.

Sebagai agama yang membawa mesej perpaduan antara umat manusia, menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu adalah perkara utama. Tetapi, kehendak tersebut semakin tergugat oleh kerana kejanggalan ilmu yang hanya bersandarkan risikan ilmiah secara terpisah dalam tradisi rasionaliti barat, menyebabkan masyarakat Islam semakin melihat dirinya terlalu berpihak dan berkelompok. Melalui silaturrahim, hubungan antara manusia semakin rapat dan tiada kebaikan yang lebih cepat mendapat pahala selain silaturrahim dan tiada kejahatan yang lebih cepat mendatangkan azab Allah selain memutuskan silaturrahim. Begitu juga, tiada yang dapat mengubah takdir selain doa dan tiada yang dapat menambah umur selain kebaikan menjalinkan hubungan silaturrahim. Di sinilah silaturrahim perlu dibudayakan. Dalam kemeriahan kita mengadakan rumah terbuka Aidilfitri ini adalah sesuatu yang besar ertinya jika kita boleh menjadikan detik sejarah hitam negara sebagai iktibar. Kita jadikan ia sebagai sempadan nilai budaya yang bakal membangunkan semula semangat penyatuan antara masyarakat, kerana nilai budaya yang terkandung melalui perayaan Aidilfitri ialah kemenangan setiap Muslim dalam mengekang hawa nafsu.

Dengan menolak pentafsiran semula sejarah negara berdasarkan pertimbangan hawa nafsu (nafsu politik sempit) itu bermakna kita telah berupaya membebaskan pemikiran kita dari segala bentuk penjajahan minda dan unsur-unsur taghut. Kita boleh jadikan ia sebagai teladan berguna, bagaimana hawa nafsu telah menyebabkan manusia sanggup membunuh, berlaku kejam dan seterusnya bertindak sesuka hati demi sebuah tujuan yang bertentangan dengan etika dan moral kemanusiaan. Dalam suasana kemeriahan rumah terbuka Aidilfitri kita seharusnya dapat membuka pintu silaturrahim dengan penuh keakraban, kita jadikan momen-momen sejarah silam sebagai panduan dan bukannya cuba menghidupkan kembali budaya ganas dalam masyarakat sebagaimana dilakukan oleh pendokong ideologi komunis. Sistem komunis yang pernah dipraktikkan di banyak negara sudah lama berubah dan dihapuskan, bahkan China yang dikatakan sebagai pusat komunisme sudah membebaskan peraturan "tertutup menjadi lebih terbuka", maka tidak ada sebab kita harus menghidupkan kembali ideologi yang telah banyak menderitakan kehidupan manusia.

Suasana kemeriahan rumah terbuka dan dalam semangat patriotisme yang turut ada dalam diri kita hendaklah dikekalkan sebagai momentum untuk menjayakan dasar dan cita-cita murni negara. Jangan kita biarkan diri kita menjadi perosak, kerana kita akan dinilai nanti sumbangan sepanjang hidup untuk kepentingan pembangunan kemasyarakatan, keagamaan dan kesejahteraan negara. Dengan memperbanyakkan rumah terbuka sempena menyambut perayaan Aidilfitri, tentunya akan membantu menghapuskan nilai-nilai negatif yang selama ini disandarkan kepada orang Islam. Bukan Islam akan dapat melihat dan merasai sendiri bahawa Islam sebenarnya sebuah agama yang mementingkan kesejahteraan dan keharmonian setiap manusia, maka di sinilah peluang yang sentiasa terbuka asalkan platform itu tidak digunakan untuk menyuburkan dakyah dan menanamkan rasa kebencian terhadap 'musuh politik'.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
24 Ogos 2012

ISU SOSIAL : HARGA RUMAH MELAMBUNG DI LUAR KAWALAN


Rencana ini ditulis oleh :
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Pusat Pengajian Perakaunan dan
Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan,
Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.


Sememangnya isu harga rumah yang meningkat keterlaluan dewasa ini menjadi isu paling menjadi perhatian bagi rakyat selain kos sara hidup yang semakin tinggi. Bajet 2013 yang bakal diumumkan kelak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka memberi tumpuan pada isu harga rumah yang amat menekan rakyat. Pengumuman Bajet 2013 diharap melibatkan strategi-strategi holistik bagi menangani isu ini. Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia, namun program ini masih belum cukup untuk menangani isu ini secara menyeluruh. Ditambah dengan isu kenaikan harga simen baru-baru ini bakal melonjakkan lagi harga rumah. Kerajaan tidak boleh membiarkan isu ini berlarutan kerana ia boleh memudaratkan rakyat dan ekonomi negara untuk jangka masa panjang. Tindakan drastik dan berani tetapi berhemah perlu dilakukan.

Oleh kerana rumah merupakan barangan keperluan adalah wajar kerajaan menjadikan barangan binaan rumah sebagai harga kawalan dan tidak boleh membiarkan pengilang menguasai pasaran harga barang binaan. Simen, besi dan kayu wajar dijadikan barangan kawalan dan tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya. Umum mengetahui, pasaran barangan binaan perumahan dikawal oleh sebilangan pengilang dan ini mewujudkan keadaan kartel. Mereka ini akan menggunakan kuasa kartel untuk kepentingan diri sendiri. Justeru, tiada cara lain kecuali mengawal harga barangan binaan perumahan. Kerajaan juga wajar mengawal harga tanah agar tidak dimanipulasikan oleh spekulator. Meskipun cara ini seolah-olah kerajaan mengambil pendekatan campur tangan dalam pasaran hartanah, namun sebenarnya pendekatan ini adalah pendekatan terbaik.

Usah dikhuatiri desakan-desakan pengilang kartel mahupun spekulator hartanah. Mereka telah banyak mengaut keuntungan daripada perjualan hartanah di Malaysia. Sudah tiba masanya, kerajaan memikirkan kepentingan rakyat berbanding mereka yang hanya mahu mengaut keuntungan. Antara pendekatan terbaik untuk mengekang spekulator hartanah adalah dengan mengharamkan sama sekali agensi jualan rumah. Rumah hanya boleh dibeli secara terus melalui pemaju perumahan mahupun pemilik rumah tersebut bagi rumah yang telah diduduki. Selama ini, agensi jualan rumah akan cuba mengaut keuntungan daripada jualan rumah dan akhirnya jika rantaian ini berterusan, harga rumah akan semakin meningkat. Bagi mengekang spekulasi harga rumah, syarat ketat perlu dikenakan terhadap pembeli yang telah membeli rumah melebihi dua buah. Sebagai contoh, mereka termasuklah bukan warganegara Malaysia tidak boleh sama sekali menjual hartanah untuk tempoh 10 tahun dan cukai keuntungan hartanah dikenakan kepada mereka dua kali ganda lebih tinggi berbanding kadar cukai yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2010.

Syarat ketat juga patut dikenakan kepada pembeli rumah. Bagi rumah yang berharga RM150,000 ke bawah, hanya pembeli bergaji RM4,000 sebulan sahaja layak membelinya. Bagi harga RM150,000 sehingga RM500,000, kelompok rakyat yang layak membelinya adalah golongan yang berpendapatan RM4,001 sehingga RM8,000 sebulan. Selebihnya iaitu berharga RM500,000 ke atas khas untuk yang berpendapatan RM8,000 sebulan ke atas. Projek perumahan RM500,000 ke bawah mestilah dijaga kualitinya meskipun khas untuk golongan berpendapatan sederhana ke bawah. Bagi pembeli bukan warganegara Malaysia, kerajaan perlu mengehadkan peratusan bilangan mereka yang memiliki rumah. Ada di kalangan mereka berniat menjualnya kembali selepas membelinya dalam beberapa tempoh pegangan hartanah tersebut. Rumah tidak boleh dijual kepada mereka sewenang-wenangnya kerana ada di antara mereka mampu membeli rumah di Malaysia kerana tukaran wang asing daripada pendapatan mereka di negara asal lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia.

Selain itu, pemaju perumahan pula perlu diwajibkan sekurang-kurangnya membina 80 peratus projek perumahan yang berharga RM500,000 ke bawah, manakala selebihnya untuk projek perumahan berharga RM500,000 sesuai dengan 80 peratus rakyat Malaysia berpendapatan sederhana ke bawah. Di samping itu, kerajaan perlu mengenakan syarat dengan mengurangkan subkontraktor yang membina rumah agar tiadanya kenaikan harga rumah kerana setiap subkontraktor ingin mengambil keuntungan lebih bagi setiap projek perumahan. Masalahnya, setiap subkontraktor ini mengambil untung melampau dan akhirnya pembeli akan dikenakan harga lebih tinggi oleh pemaju perumahan berbanding hanya beberapa sahaja subkontraktor yang membina rumah. Malahan, pendekatan ini akan mengurangkan risiko rumah yang dibina tidak berkualiti apabila subkontraktor mengambil untung menyebabkan mereka membina rumah sambil lewa.

Pendekatan terakhir adalah dengan memperluaskan PR1MA ke seluruh negara secepat mungkin dan tidak perlu menunggu sehingga tahun depan barulah projek perumahan kos sederhana dibina. Itupun tumpuan projek bermula di Lembah Klang sedangkan negeri-negeri lain seperti Terengganu dan Kedah juga mengalami peningkatan harga rumah yang amat tinggi sekali. Sebagai contoh, harga rumah berkembar di Terengganu pun sudah melebihi RM500,000 sebuah, justeru PR1MA perlu disegerakan di seluruh negara sebagaimana kerajaan berjaya memperluaskan Kedai Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
24 Ogos 2012