Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
Dibandingkan keberuntungan hidup
antara generasi dulu dan kini perbezaannya ibarat langit dan bumi. Generasi
dulu terpaksa berhempas pulas demi meneruskan kelangsungan hidup, padahal
golongan muda hari ini menikmati kesenangan dalam pelbagai aspek pembangunan,
kemudahan dan modenisasi. Malangnya, kepelbagaian kemudahan itu turut
menjadikan mereka kurang peka terhadap tuntutan memartabatkan perjalanan
sejarah hingga menganggapnya tidak penting. Justeru, timbul tanggapan mereka
dilabelkan sebagai generasi buta sejarah hingga menimbulkan polemik dalam
masyarakat yang tertanya-tanya apakah kemampuan golongan itu mengemudi negara
kelak tanpa sikap patriotisme asli.
Persoalannya, apakah faktor yang
menyebabkan mereka alpa? Masyarakatkah yang bersalah kerana lepas tangan atau
proses pembangunan yang terlalu pantas menyebabkan golongan itu hanya mengejar
keperluan material. Pensyarah Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Ishak Saat berkata, generasi
muda hari ini dikelilingi kesenangan dan kemudahan dan jarang didedahkan dengan
kesusahan serta perjuangan masyarakat terdahulu. Subjek Sejarah di sekolah yang
hanya bersandarkan peperiksaan semata-mata juga menyumbang kepada kekurangan
penghayatan sejarah di kalangan golongan muda. “Fenomena ini menyebabkan
semangat patriotisme boleh dipersoalkan, malah lebih menyedihkan mereka melihat
sejarah dan mentafsirkannya berdasarkan pemahaman sendiri. Mereka membuat penafsiran
sendiri dan enggan menjiwainya. Jadi, jangan menunding jari jika golongan
berkenaan buta sejarah sebab mereka diajar dengan pendekatan seperti itu,”
katanya.
Isu generasi muda hari ini yang
menganggap sejarah sebagai aspek picisan cukup membimbangkan, apatah lagi
mereka juga gagal menunjukkan semangat patriotik mendalam terhadap negara
seperti generasi terdahulu. Keadaan ini menimbulkan polemik dan kebimbangan di
kalangan masyarakat mengenai kecenderungan masa depan generasi ini dalam
mengemudi negara suatu hari nanti. Beliau berkata, sejarah mesti diajar dengan
prinsip supaya tidak dikuasai golongan tertentu semata-mata, sebaliknya perlu
dikongsi bersama. “Malangnya, hanya golongan tertentu saja mendominasi
perjalanan serta cerita sejarah ini manakala selebihnya hanya diberi ‘sedikit’
saja pengetahuan mengenainya. Ini turut menjadikan minat yang sedikit semakin
merudum. Dalam hal ini, bukan salah sepenuhnya generasi muda andai kata mereka
tidak minat kerana mekanisme digunakan bagi menarik minat mereka juga kurang
tepat,” katanya.
Bagaimanapun, itu bukan alasan terus
mengetepikan tanggungjawab untuk menarik minat generasi muda lebih peka
terhadap perjalanan dan kepentingan sejarah. “Jika tahu mereka jauh, apa
salahnya kita menarik semula perhatian golongan itu dengan mekanisme tertentu. Jangan
pisahkan mereka dengan sejarah kerana ini adalah kelangsungan dan kesinambungan
perjalanan negara. Kalau bukan mereka yang meneruskannya siapa lagi,” katanya. Ditanya
adakah sukar ingin memupuk minat golongan terbabit terhadap sejarah, beliau
berkata, ia tidak sukar kerana pandangan mereka lebih kritikal serta mempunyai
kekuatan pandangan baru menerusi pelbagai sumber. Mereka boleh memperoleh
pelbagai maklumat dengan mudah, jadi masyarakat perlu menggunakan peluang ini
bagi mendekati golongan sasaran. Malangnya, apa dilakukan secara bermusim
seperti hanya pada bulan kemerdekaan sedangkan penghayatan sejarah perlu
sepanjang masa agar sentiasa mantap. Mekanisme digunakan tidak cukup, jadi
tidak hairan mereka langsung tidak tertarik,” katanya.
Katanya, generasi dahulu lebih
prihatin kerana sistem pendidikannya tidak terlalu berorentasikan peperiksaan. “Malah,
guru dulu sanggup berkorban demi meningkatkan semangat patriotik di kalangan
pelajar. Bagaimanapun, cabaran dulu dan kini berbeza. Generasi dulu lebih fokus
pada pembinaan jati diri tapi kini penghidupan lebih mencabar dengan
pembangunan semakin rancak selain materialistik. Tapi, jiwa patriotisme juga
mesti dititikberatkan. Kita tidak mahu melahirkan generasi cerdik pandai tetapi buta sejarah
negara sendiri,” katanya. Mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
Sejarah, Mohamad Husairi Hanafi mengakui, generasi muda kurang berminat pada
sejarah kerana beranggapan ia aspek yang leceh, sukar dan tidak penting.
Menurutnya, faktor dibesarkan selepas
zaman kemerdekaan serta hidup dikelilingi kemudahan juga menjadi penyebab
mereka enggan ‘membebankan’ fikiran dengan fakta sejarah. “Sejarah selalunya
dianggap aspek berat, serius selain hanya untuk orang lama, sebab itu kurang
mendapat tempat di hati generasi muda. Pemahaman kurang jelas juga menjadikan
mereka tidak berminat, sekali gus bakal memberi kesan jangka panjang. Malah, saya
mengakui golongan muda hari ini lebih suka pada kebebasan,” katanya. Rakannya,
Emy Nazira Embong berpendapat, kecenderungan generasi muda kepada aspek
keseronokan mendorong mereka ‘mengabaikan’ kepentingan sejarah. “Biarpun subjek
itu diajar, mereka tidak mendalaminya secara serius. Pada mereka, buat apa
(belajar) sedangkan negara sudah mencapai kemerdekaan. Tanggapan seperti itulah
yang membuatkan mereka ambil mudah dan menganggap sejarah tidak penting,
padahal sebuah bangsa berjaya kerana sejarahnya,” katanya.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Harian Metro
27 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan