Rencana ini ditulis oleh :
Pandangan IKIM
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik
Pusat Kajian Ekonomi dan
Kemasyarakatan,
Institut Kefahaman Islam Malaysia
(IKIM).
Walaupun masih berada dalam kemeriahan
lebaran dan persiapan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara, sebahagian
besar masyarakat masih memberi tumpuan kepada perbahasan mengenai pelan Bajet
2013. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memberi jaminan
antara lain untuk menimbang permasalahan kos sara hidup dalam rancangan Bajet
2013 yang akan diumumkan kelak. Walaupun ekonomi negara diunjur tumbuh sekitar
5.4 peratus tahun ini yang diyakini berada dalam landasan yang baik bagi
mencapai status negara berpendapatan tinggi 2020, masih banyak perkara yang
perlu ditangani terutama berkenaan kos sara hidup yang menjadi duri dalam
daging bagi sebahagian besar rakyat negara ini. Tahun ini kita menyaksikan
beberapa kaedah yang diambil kerajaan bagi membantu rakyat mengurangkan kos
yang dihadapi namun kebanyakannya adalah bersifat pelan jangka pendek.
Pelan jangka pendek lebih mudah
diterima orang ramai berdasarkan kesannya yang cepat dan efektif pada masa itu.
Walau bagaimanapun, penstrukturan pelan jangka panjang adalah lebih baik dan
penting kerana bersifat lebih kukuh dan berpanjangan dengan kos yang lebih
minimum. Dalam isu menangani kos sara hidup dalam pembangunan bajet 2013 ini
pelan jangka panjang dan pendek perlu diperhalusi bagi mendapatkan kesan yang
lebih kukuh dan efektif. Antara cadangan yang popular dilontar orang ramai
untuk pembangunan bajet kali adalah berkaitan isu harga rumah. Isu rumah
sememangnya menjadi isu yang amat kritikal kerana rumah adalah satu daripada
keperluan asas hidup dan menjadi pelan kontingensi kepada saat-saat kecemasan
yang berlaku pada masa akan datang. Oleh itu, memiliki rumah bagi setiap
individu pada hari ini dianggap sebagai satu kemestian.
Harga rumah yang meningkat dengan
tidak munasabah terutama sekali di bandar dan pinggir bandar sejak lima tahun
kebelakangan ini menjadi kekangan kepada sekurang-kurangnya bagi sebuah
keluarga untuk memiliki seunit rumah. Malang sekali lagi apabila rumah yang
dijual dengan harga begitu mahal tidak berkualiti pula. Bagi golongan muda,
kelihatannya seolah-olah amat mustahil untuk memiliki sebuah rumah dalam masa
terdekat dengan tambahan hutang pendidikan yang ditanggung mereka. Kita akui
bahawa untuk kerajaan mengambil alih kawalan harga rumah sepenuhnya adalah
sesuatu yang tidak baik bagi ekonomi negara. Aktiviti ekonomi seharusnya bebas
namun perlu dipantau bagi mengelakkan herotan berlaku oleh sebab yang
disengajakan seperti spekulasi atau tidak disengajakan seperti kemelesetan
ekonomi global. Maka, mengawal harga rumah menerusi kaedah secara tidak
langsung diharap dalam dipertimbangkan dalam pembangunan dan pembentukan bajet
pada hari ini.
Kaedah sedia ada seperti kerajaan
membina rumah mampu milik perlu diperluaskan ke kawasan lain. Peringkat
pendapatan juga perlu dikaji bagi memastikan rumah dibina sesuai dan selayaknya
dengan pendapatan bagi sesebuah keluarga. Dicadangkan untuk kerajaan mengambil
alih kawasan-kawasan emas yang hendak dibangunkan untuk dijayakan sebagai
perumahan rakyat agar berlaku keseimbangan pembangunan dan kependudukan secara
keseluruhan dalam kawasan tersebut. Selain itu, kaedah pembinaan rumah secara
tradisional oleh kontraktor berlesen juga perlu diberi nafas baru. Menjual
dahulu rumah yang belum dibina tidak sesuai lagi digunapakai sementelah
banyaknya masalah yang timbul daripada kaedah ini yang mana turut merugikan
kerajaan kerana terpaksa mengambil alih projek perumahan yang bermasalah. Kaedah-kaedah
lain perlu dipertimbangkan sama ada menggunakan kaedah bina dahulu, kemudian
jual atau pembinaan dan pembayaran secara berperingkat ataupun menubuhkan satu
tabung khas kepada para kontraktor untuk memulakan pembinaan bagi menggantikan
kaedah mengambil deposit daripada pembeli.
Sekali gus ini akan mengubah corak
pembiayaan perumahan yang akan ditawarkan oleh bank-bank. Aktiviti membolot
perumahan baru perlu dihentikan. Memang tidak dinafikan bahawa kita sukakan
keuntungan yang maksimum yang pantas, namun dalam masa sama keuntungan yang
dinikmati itu tidak harus memudaratkan orang lain. Kegiatan membolot
menghampiri kepada perbuatan ihtikar yang mana dilarang oleh Islam. Ihtikar
yakni penguasaan (monopoli) atau menyimpan bagi tujuan menaikkan harga lazimnya
berlaku dalam jual beli makanan namun dalam hal ini matlamatnya adalah sama
iaitu menguasai dan menahan rumah untuk diniagakan bagi tujuan menaikkan
harganya. Kemudaratan yang berlaku terhadap individu yang tidak memiliki rumah
adalah besar. Ini kerana rumah bukan hanya tempat tinggal bagi sesebuah
keluarga, tetapi juga tempat perlindungan, berkasih sayang, tempat menyemai
ilmu dan nilai kepada anak-anak kecil.
Adalah menjadi harapan agar isu harga
rumah ini diberi pertimbangan sewajarnya dalam merangka pelan belanjawan kerana
pembangunan sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi tahun 2020 harus
diseimbangi dengan pembangunan masyarakatnya. Kita harus menginsafi bahawa
kekayaan dalam kehidupan tidak hanya dimiliki oleh golongan tertentu sahaja
sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Hashr. Ketidaksamaan kekayaan adalah
kepelbagaian dalam kehidupan dan sebagai manusia, menjadi tanggungjawab kita
untuk memastikan setiap individu dapat memenuhi keperluan asasinya termasuklah
tempat tinggal yang baik dan selesa tanpa mengira taraf ekonominya.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
27 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan