Rencana ini ditulis oleh :
DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia.
Saranan agar diberikan potongan cukai
pendapatan atas perbelanjaan mengadakan rumah terbuka sempena sesuatu perayaan
merupakan pendekatan terbaik dalam memupuk nilai-nilai penyatuan dan perpaduan
dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Misalnya, sempena rumah terbuka
Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet yang diadakan pada hari pertama
Aidilfitri dikunjungi hampir 100, 000 orang daripada pelbagai kaum termasuk
pemimpin politik, rakyat biasa dan pelancong asing. Bagi pelancong asing,
konsep rumah terbuka yang diamalkan di negara ini adalah unik dan tidak pernah
berlaku dalam persekitaran kepimpinan politik di negara mereka. Di Malaysia
setiap kali rumah terbuka diadakan oleh pemimpin, kehadiran masyarakat melebihi
jangkaan dan ini menjadikan amalan itu sebagai peluang untuk menjalinkan
silaturrahim sesama manusia.
Konsep rumah terbuka sempena perayaan
Aidilfitri memberikan pengertian betapa Islam itu indah dan tidak mengehadkan
kepada penganutnya sahaja untuk meraikannya. Meraikan Aidilfitri dengan
mengadakan rumah terbuka bukanlah konsep baru dalam usaha menjalin persefahaman
antara agama. Masyarakat Malaysia sudah menerimanya sebagai satu kaedah
mengeratkan hubungan sosial yang lebih luas sehingga melampaui sempadan kaum,
agama dan budaya. Meskipun demikian, kerana adanya desakan dalam kepentingan
tertentu, tradisi sedemikian kadang-kadang bertukar menjadi medan politik yang
akhirnya boleh membunuh semangat keintiman antara kelompok. Ada pihak
menggunakan rumah terbuka untuk memperkuatkan semangat politik sempit sehingga
sanggup mengkritik dengan beranggapan apa yang dilaksanakan kerajaan semuanya
tidak betul. Sepatutnya dengan semangat rumah terbuka ia dapat menjadi forum
yang sangat efektif untuk memulai hubungan baik atau memperbaharui hubungan
yang retak.
Konsep rumah terbuka di Aidilfitri
sebenarnya melambangkan keindahan agama Islam itu sendiri, di samping dapat
menarik rahmat dan keberkatan yang datang bersama dengan kunjungan tetamu,
jiran tetangga (sekalipun bukan seagama). Kemuliaan dan kesuciannya tidak boleh
dicemari dengan motif dan tujuan lain yang boleh menggugatkan keamanan dan
kedamaian. Sesungguhnya kejahatan dan kepalsuan itu pada dasarnya bertentangan
dengan fitrah manusia. Oleh kerana Islam itu agama fitrah yang mudah, samhaa'
(harmoni), terbuka dan toleransi maka kita menerima gelagat-gelagat tidak sopan
itu dengan penuh kesabaran. Satu hadis daripada Ibnu Umar yang diriwayatkan
oleh Bukhari, Tarmizi, Ahmad dan Ibnu Majah. "Seseorang mukmin yang
bergaul dalam masyarakat dengan manusia lainnya dan dia sabar menahankan suka
duka dalam masyarakat itu, adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak
hidup bergaul dalam masyarakat umum dan tidak pula pernah menunjukkan kesabaran
atas suka dukanya masyarakat itu."
Di negara kita, agama menjadi faktor
penyatuan kaum iaitu dengan menyederhanakan perasaan taksub dan fanatik agama,
perkauman dan budaya serta adat resam melampau bagi sesuatu kaum dan bangsa.
Perasaan yang melampau tentang perkauman dan agama diredakan oleh semangat
tolak ansur, setia kawan ketika menyambut hari raya melalui rumah terbuka. Agama
yang kita warisi sebagai agama yang menyatupadukan umat manusia, agama yang
menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu mula digugat peranannya oleh
ketandusan ilmu pengetahuan yang sebenar tentang Islam. Kita hendaklah
menjalinkan silaturrahim sekalipun dengan mereka yang berlainan agama kerana
mereka juga ada beberapa haknya seperti hak kewarganegaraan, kejiranan dan
kekeluargaan. Emosi melampau mengenai keunggulan sesuatu kaum, atau dalam
istilah sosiologi dikenali sebagai ethnocentrisme banyak membawa kemudaratan
dalam hubungan antara kaum dalam masyarakat majmuk. Emosi itu membawa kepada
pergaduhan dan konflik antara agama sedangkan Islam mementingkan semangat tolak
ansur, yakni tidak menghina agama dan kepercayaan orang lain.
Sebagai agama yang membawa mesej
perpaduan antara umat manusia, menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu
adalah perkara utama. Tetapi, kehendak tersebut semakin tergugat oleh kerana
kejanggalan ilmu yang hanya bersandarkan risikan ilmiah secara terpisah dalam
tradisi rasionaliti barat, menyebabkan masyarakat Islam semakin melihat dirinya
terlalu berpihak dan berkelompok. Melalui silaturrahim, hubungan antara manusia
semakin rapat dan tiada kebaikan yang lebih cepat mendapat pahala selain
silaturrahim dan tiada kejahatan yang lebih cepat mendatangkan azab Allah
selain memutuskan silaturrahim. Begitu juga, tiada yang dapat mengubah takdir
selain doa dan tiada yang dapat menambah umur selain kebaikan menjalinkan
hubungan silaturrahim. Di sinilah silaturrahim perlu dibudayakan. Dalam
kemeriahan kita mengadakan rumah terbuka Aidilfitri ini adalah sesuatu yang
besar ertinya jika kita boleh menjadikan detik sejarah hitam negara sebagai
iktibar. Kita jadikan ia sebagai sempadan nilai budaya yang bakal membangunkan
semula semangat penyatuan antara masyarakat, kerana nilai budaya yang
terkandung melalui perayaan Aidilfitri ialah kemenangan setiap Muslim dalam mengekang
hawa nafsu.
Dengan menolak pentafsiran semula
sejarah negara berdasarkan pertimbangan hawa nafsu (nafsu politik sempit) itu
bermakna kita telah berupaya membebaskan pemikiran kita dari segala bentuk
penjajahan minda dan unsur-unsur taghut. Kita boleh jadikan ia sebagai teladan
berguna, bagaimana hawa nafsu telah menyebabkan manusia sanggup membunuh,
berlaku kejam dan seterusnya bertindak sesuka hati demi sebuah tujuan yang
bertentangan dengan etika dan moral kemanusiaan. Dalam suasana kemeriahan rumah
terbuka Aidilfitri kita seharusnya dapat membuka pintu silaturrahim dengan
penuh keakraban, kita jadikan momen-momen sejarah silam sebagai panduan dan
bukannya cuba menghidupkan kembali budaya ganas dalam masyarakat sebagaimana
dilakukan oleh pendokong ideologi komunis. Sistem komunis yang pernah
dipraktikkan di banyak negara sudah lama berubah dan dihapuskan, bahkan China
yang dikatakan sebagai pusat komunisme sudah membebaskan peraturan
"tertutup menjadi lebih terbuka", maka tidak ada sebab kita harus menghidupkan
kembali ideologi yang telah banyak menderitakan kehidupan manusia.
Suasana kemeriahan rumah terbuka dan
dalam semangat patriotisme yang turut ada dalam diri kita hendaklah dikekalkan
sebagai momentum untuk menjayakan dasar dan cita-cita murni negara. Jangan kita
biarkan diri kita menjadi perosak, kerana kita akan dinilai nanti sumbangan
sepanjang hidup untuk kepentingan pembangunan kemasyarakatan, keagamaan dan
kesejahteraan negara. Dengan memperbanyakkan rumah terbuka sempena menyambut
perayaan Aidilfitri, tentunya akan membantu menghapuskan nilai-nilai negatif
yang selama ini disandarkan kepada orang Islam. Bukan Islam akan dapat melihat
dan merasai sendiri bahawa Islam sebenarnya sebuah agama yang mementingkan
kesejahteraan dan keharmonian setiap manusia, maka di sinilah peluang yang
sentiasa terbuka asalkan platform itu tidak digunakan untuk menyuburkan dakyah
dan menanamkan rasa kebencian terhadap 'musuh politik'.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
24 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan