Rencana ini ditulis oleh :
PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
Malaysia merupakan sebuah negara yang
unik dengan sendirinya. Jika hari ini ramai melakukan penghijrahan ke
negara-negara maju, Malaysia sudah melalui proses itu jauh lebih lama ketika
Melaka menjadi pusat pertemuan antara pedagang Cina, India dan lain-lain. Malaysia
hari ini turut mendapat perhatian pelbagai warga asing yang melimpah datang
untuk mencari peluang meneruskan kehidupan termasuk dari Nepal, Myanmar,
Bangladesh, Indonesia, Filipina dan benua Afrika tanpa mengira golongan
professional dengan organisasinya beroperasi disini. Sama ada baik atau buruk,
hakikatnya Malaysia sudah menjadi pilihan destinasi warga asing; pilihan yang
perlu dilalui dalam proses globalisasi dan pergerakan manusia sejagat.
Kepelbagaian yang wujud di negara ini merupakan satu kelebihan yang masih
menjadi satu tradisi kesinambungan dalam kalangan rakyatnya. Keyakinan terbina
kerana adanya ruang untuk menerokai limpahan sumber terhad dan yang membuka
ruang ini adalah kesepaduan kestabilan yang lahir dari perpaduan dalam kepelbagaian.
Kepelbagaian bukan sahaja dari
kepercayaan, keturunan, agama, etnik dan warna kulit mahupun sebarang latar
belakang tetapi kebudayaan yang bermacam-macam juga menjadikan Malaysia
seringkali dicemburui dan diiktiraf sebagai yang kompleks, rencam dan majmuk. Dalam
kebanyakan negara, ia menjadi satu liabiliti dengan permusuhan yang berlarutan
sehingga membawa konflik dan peperangan sedangkan di Malaysia kepelbagaian
adalah kekuatan dan ia juga dimuatkan dengan usaha berterusan berinteraksi,
integrasi memupuk semangat persahabatan dan ukhuwah; ia berlaku di istana, Seri
Perdana, rumah pembesar negeri dan rumah sendiri. Nilai kebudayaan ini termasuk
menyambut perayaan yang pelbagai seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina,
Deepavali, Krismas, Gawai dan pelbagai lagi. Uniknya ia menjadi sambutan semua
menandakan semaraknya nilai kemuafakatan, perpaduan dan keharmonian; simbol
integrasi.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun
ini banyak memuatkan mesej bertemakan 'perpaduan'. Malahan dalam khutbah raya
di Masjid Negara, elemen ini turut diberikan keutamaan. Bukan sekadar perpaduan
ummah, tetapi perpaduan yang menjadi teras untuk meraikan kepelbagaian negara
ini, yakni perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang etnik negara ini. Hari
Raya Aidilfitri memberi gambaran bagaimana perpaduan dalam perayaan memberi
impak kepada semangat hubungan antara etnik negara ini. Di setiap pelosok
negara, setiap rumah terbuka dibanjiri dengan masyarakat pelbagai peribadi dan
personaliti. Beratur panjang yang barangkali mengambil masa berjam lamanya
bukan satu rungutan tetapi kesyukuran bertemu dengan pemimpin dan sahabat serta
personaliti profil tinggi memberikan satu kepuasan.
Perayaan dapat terus disambut sebegini
kerana adanya kestabilan dan asas sebenar kepada hubungan antara etnik adalah
kestabilan dalam negara yang membolehkan masyarakat hidup muhibbah dan rukun
walaupun berhadapan dengan beberapa cabaran terutama dalam konteks
mempertahankan apa yang sudah kita miliki selama ini. Dalam ada negara yang
bergelut mencari keamanan, Malaysia gah dan boleh mengamalkan konsep 'ziarah'
dan 'kunjung' serta 'lawat'. Keamanan datang dari kestabilan. Tanpa ada
kepimpinan yang mempertahankan nilai keamanan, maka Malaysia juga akan
mempunyai kecenderungan menjadi 'padang jarak, padang tekukur' akibat
manipulasi nilai keamanan, perpaduan dan muhibbah yang adakalanya ramai
terlepas pandang mengapa ia perlu terus dipertahankan dari sebarang anasir yang
mahu melihat Malaysia sebagaimana negara lain yang berhadapan dengan konflik.
Musibah ini mesti dielak atas prinsip kebergantungan antara satu sama lain;
hubungan resiprokal yang disuburkan dengan nilai hormat, faham dan menerima di
antara satu sama lain.
Tatkala beraya, ada juga segelintir
tebal sifat 'keangkuhan' dalam sesetengah warga dan pemimpin yang masih mahu
berperang di alam maya sekalipun sewaktu Syawal pertama bilamana di alam
sebenar wujud gencatan sekurang-kurangnya sebagai isyarat ada waktu perbalahan
terutama dengan nilai politik perlu dihentikan dan menampakkan perdamaian. Perang
di alam maya sewaktu perayaan sewajarnya dijadikan pengajaran kepada yang sudah
lama berkecimpung dalam politik. Emosi warga adalah ke atas mood perayaan dan
ia boleh mengganggu kepercayaan ke atas sesetengah dari mereka yang cuba
mengambil kesempatan untuk meneruskan tradisi kebencian sesama ummah dan dalam
kalangan masyarakat secara umum. Perayaan adalah salah satu penampilan simbolik
bagaimana kita boleh mengetepikan perbezaan sesama manusia untuk dijadikan
landasan perpaduan. Kewajaran menjadikan perayaan sebagai alat integrasi boleh
diperkukuhkan secara berterusan untuk memobilisasi sokongan agar perpaduan
sebagai rakyat Malaysia yang bangga dengan amalan ini tidak menjadi propaganda
politik oleh pemimpin yang tidak tahu hormati nilai-nilai perkongsian bersama.
Sambutan perayaan di Malaysia mewarnai
kepelbagaian yang selama ini sememangnya menjadi asas hubungan antara etnik.
Menyemai nilai ini secara berterusan dengan aktiviti dan program 'muafakat'
yang membawa gambaran peri-pentingnya ia diteruskan walau zaman silih berganti
terutama dalam kalangan generasi muda yang berkemungkinan tidak melihat
kepentingan ia diteruskan dengan semakin terhakisnya sifat perkampungan dan
pulang ke kampung. Walau hadir di persekitaran berbeza, amalan integrasi
melalui perayaan mesti dipertahankan oleh keseluruhan rakyat Malaysia. Perpaduan
memerlukan nilai holistik dalam diri setiap warga yang sedar ia memberikan roh
kepada negara-bangsa ini. Andainya perayaan ini boleh dikongsi bersama dan
merasakan ada tanggungjawab untuk memainkan peranan dan memberikan makna
kepadanya, perayaan sebagai kunci perpaduan tidak perlu dipersoalkan kerana ia
juga berjiwa patriotisme dan nasionalis dengan sendirinya berpandukan prinsip
dalam Rukunegara dan Perlembagaan yang mempertahankan nilai ini dalam dokumen
kebal negara.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
25 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan