Rencana ini ditulis oleh :
Nor Affizar Ibrahim
Kehadiran Hari Wanita Kebangsaan kali
ini sememangnya istimewa ketika seri Syawal masih berbahang dan aura sambutan
kemerdekaan negara ke-55 kian terasa. Bertemakan Wanita Pencetus Ekonomi Baru,
ia ternyata selaras dengan manifestasi kerajaan terhadap sumbangan wanita dalam
pembangunan ekonomi keluarga. Hakikatnya, dalam memastikan pembangunan berjalan
lancar, peranan wanita tidak boleh diketepikan. Sumbangan wanita dalam pelbagai
aspek kehidupan meliputi ekonomi, sosial dan politik di kebanyakan negara bukan
lagi sekadar bualan kosong, tetapi kenyataan. Kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia
pada hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 tahun atau 20 tahun lalu”
- Wan Hasmah Wan Mohd, Ketua Pengarah JPW
Di Malaysia misalnya, dulu wanita
hanya dikaitkan dengan status suri rumah tetapi segala-galanya berubah seiring
pembangunan negara. Dalam bidang ekonomi, pembabitan wanita tidak hanya
‘bertarung’ membebaskan diri daripada prasangka dan kongkongan, malah mereka
sudah menjadi sebahagian penggerak ekonomi diri dan negara. Isu diskriminasi
wanita tidak lagi mencengkam golongan Hawa pada hari ini, sebaliknya, integrasi
ekonomi dunia seiring dengan kemajuan teknologi yang pesat, sudah membentuk
realiti ekonomi wanita dalam pelbagai cara. Wanita terus mengorak langkah mengharungi
cabaran memastikan kehadiran dan bakat mereka disedari dan diiktiraf. Dengan
kebanjiran tenaga kerja wanita serta meningkatnya pendapatan dan kekayaan
golongan ini, peranan wanita semakin berpengaruh baik dalam hal rumah tangga,
organisasi mahupun negara.
Yang pasti, sumbangan wanita boleh
dibanggakan sejak kebelakangan ini. Penyertaan wanita dalam tenaga buruh
meningkat daripada 44.7 peratus pada 1995 kepada 46.4 peratus pada 2009 dan
sasaran sehingga 55 peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh-10
(RMKe-10). Perumpamaan ‘tangan wanita
yang menghayun buaian boleh menggegarkan dunia’ dapat dilihat sebagai gambaran
paling tepat untuk menggambarkan kesungguhan wanita di negara ini, khususnya
dalam memastikan kestabilan negara dan kedudukan ekonomi. Ketua Pengarah
Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Wan Hasmah Wan Mohd, berkata hakikatnya sudah
ramai menyedari potensi wanita dan memanfaatkan kehadiran mereka dalam
pembangunan dan kemajuan ekonomi di negara ini.
Atas alasan itu, sambutan Hari Wanita
Kebangsaan 2012 memilih tema Wanita Pencetus Ekonomi Baru yang mengiktiraf
peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi keluarga. “Kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia
pada hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 tahun atau 20 tahun lalu.
Usaha mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi melalui Model Baru
Ekonomi (MBE) menjadikan wanita berperanan besar menggalas cabaran dalam era
globalisasi dan terus menyokong pembangunan negara. Justeru, inilah signifikan
tema itu dipilih,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini. Wan
Hasmah berkata, dalam tiga tempoh Rancangan Malaysia, sumbangan wanita ketara
dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara. Sepanjang tempoh itu, pelbagai
usaha diambil kerajaan dengan menyediakan persekitaran kondusif bagi memastikan
penyertaan wanita lebih berkesan dalam pembangunan negara.
Golongan wanita kian terserlah sebagai
usahawan berjaya, turut dilengkapkan dengan pakej sesuai supaya mampu bersaing
dalam persekitaran ekonomi moden. “Ketika ini, wanita membentuk 49.1 peratus
atau 14.03 juta populasi daripada 28.55 juta penduduk Malaysia. Seramai 9.03
juta (64.3 peratus) wanita adalah pada usia produktif iaitu 15 hingga 64
tahun,” katanya. Sehubungan itu, sempena
sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012, ada isu khusus yang bakal dibincangkan
seperti sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi negara, pembabitan wanita
dalam pasaran kerja dari pelbagai perspektif, prospek kembali bekerja dan aturan
kerja fleksibel.
“Jika dibandingkan
negara lain seperti Vietnam dan China, peratusan jumlah tenaga kerja wanita di
Malaysia masih rendah. Ini berlaku kerana ramai wanita berhenti kerja atas
faktor tertentu. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku dan kita perlu pastikan,
menjelang 2015 dianggarkan 55 peratus wanita produktif berusia 18 hingga 60
tahun mesti berada dalam pasaran kerja. Wan Hasmah berkata, menyedari
permasalahan itu sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012, portal Microsite
TalentWanita akan dilancarkan. Portal berkenaan berfungsi sebagai pengantara
kepada wanita yang meninggalkan pasaran pekerjaan untuk kembali bekerja.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Berita Harian
27 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan