07 Oktober 2012

ISU UMUM : INSOMNIA PUNCA KERUGIAN RM101.3 BILION



Rasa mengantuk ketika bekerja dan tidak dapat menumpukan perhatian? Ia menyebabkan kerugian besar terhadap anda dan juga negara. Kajian yang dijalankan penyelidik menganggarkan masalah insomnia bertanggungjawab terhadap 274 000 kes kejadian kemalangan dan kesalahan di tempat kerja, menambah kepada AS$31 billion (RM101.3 bilion) kos tambahan.  Kajian cadang agar tempat kerja memberi lebih perhatian terhadap penghidap insomnia dan membuat skrin pekerja untuk mengenal pasti bakal pekerja yang mengidap insomnia," Victoria Shahly, Ketua penyelidik Kajian yang dijalankan tidak konklusif berikutan wujud faktor lain selain faktor mengantuk yang mengakibatkan kemalangan, misalnya.

Mengantuk musuh utama

Begitupun, kajian itu tetap mengaitkan antara kekurangan tidur dengan masalah di tempat kerja. “Kajian cadang agar tempat kerja memberi lebih perhatian terhadap penghidap insomnia dan membuat skrin pekerja untuk mengenal pasti bakal pekerja yang mengidap insomnia,” kata ketua penyelidik, Victoria Shahly, pakar psikologi dan pelatih pelajar di Universiti Perubatan Harvard di Boston.  Beliau berkata, kemalangan dan kesalahan secara langsung akan menjejaskan kecekapan di tempat kerja.

“Mengantuk adalah musuh utama kepada usaha 
untuk fokus. Apabila kita letih kekuatan memori, koordinasi dan perhatian akan mula merosot,”

Di dalam kajian baru Shahly dan rakan sekerja mencuba untuk memahami keadaan ini dan kaitannya dengan tempat kerja. Pada 2008 dan 2009, penyelidik membuat kajian ke atas 10,000 pekerja di Amerika Syarikat yang mempunyai insurans kesihatan dan berbahasa Inggeris. Peserta dipilih kerana mereka mewakili penduduk negara secara amnya dan menjawab soalan melalui panggilan telefon. Penyelidik menganggarkan 20 peratus daripada peserta terbabit menghidapi insomnia sekurang-kurangnya 12 bulan lalu.

Terbabit kemalangan

Bagi kes kemalangan, penyelidik mendapati 5.5 peratus mereka yang mengalami insomnia akan terbabit di dalam kemalangan atau kesalahan di tempat kerja yang menelan kos AS$500 (RM1,635) berbanding empat peratus bagi mereka yang tidak mengalami insomnia. Bentuk kemalangan dan kesalahan yang dilakukan adalah membuat kesilapan ketika berada di dalam barisan pemasangan, terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika bekerja dan kesalahan di dalam membuat perhitungan, kata Shahly.

Pengarah di unit Penyelidikan Klinikal Tidur di Universiti Loughborough di Leicestershire, England Kevin Morgan, memuji penyelidikan itu dan berkata kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi topik yang kurang mendapat perhatian ini. Sehingga kini penyelidik masih cuba memahami kesan kekurangan tidur terhadap pekerja dan bagaimana ia memberi kesan kepada pekerja yang tinggal di rumah dan bukan di tempat kerja, kata beliau.

Sumber
Berita Minggu
7 Oktober 2012

ISU UMUM : MENERIMA HAKIKAT BAHAWA DUNIA HARI INI IALAH MODEN


Rencana ini ditulis oleh :
Zin Mahmud


Perkataan moden boleh ditakrifkan secara pelbagai dengan sudut pandangan berbeza yang boleh menyemarakkan perbahasan sehingga tidak ada penghujungnya. Akan tetapi untuk memudahkan perbincangan amat ringkas ini, tafsiran moden yang hendak ditetapkan adalah zaman apabila manusia menilai alam sekelilingnya menurut pemahaman sains. Sains juga mempunyai pelbagai takrifan. Ada yang menyamakan istilah sains dengan ilmu. Perkara ini juga tidak ada penghujungnya. Untuk memudahkan perbincangan, sains yang hendak diulas di sini merujuk kepada cara manusia memahami alam sekelilingnya melalui pemerhatian dan pertimbangan akalnya berdasarkan bukti uji kaji.

Lebih mudah untuk diperkatakan ialah sains merujuk kepada himpunan suatu usaha manusia yang timbul di sekitar kurun ke-16 dan 17 di Eropah khususnya di Britain. Pada masa itu berlakulah apa yang kini dikenali sebagai Revolusi Saintifik dengan nama-nama besar saintis, antaranya Isaac Newton. Dengan tercetusnya Revolusi Saintifik, maka berlakulah juga perubahan teknologi manusia yang kini dikenali sebagai Revolusi Industri. Kedua-dua ini adalah mercu tanda dunia moden. Maknanya apa yang dikatakan sebagai dunia moden boleh dikira dari ketika sains mula diamalkan. Maka, hari ini, ialah zaman moden. Sebelum itu disebut pra-moden. Semua manusia yang ada hari ini menjalankan kehidupan moden. Iaitu sekurang-kurangnya kebanyakan manusia di dunia.

Mungkin suku-suku kaum terpencil yang masih ada mengamalkan kehidupan pra-moden. Daripada mula Revolusi Sains dahulu, sedikit demi sedikit, akhirnya keseluruhan dunia menjadi moden dan mengambil sains sebagai pemahaman hidup ini. Sejak lahir, hampir keseluruhan manusia di dunia hari ini sudah menjadi moden dan menerima cara pemikiran sains. Dunia pra-moden sudah lama berlalu. Di Malaysia, bila masa mula penduduk negara ini menjadi moden dengan menerima cara pemikiran saintifik adalah suatu yang menarik untuk diketahui. Tetapi apa yang jelas ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan diikuti dengan penubuhan Malaysia, rakyat negara ini sudah menjadi moden dan menerima sains sebagai cara untuk memahami dunia sekitarnya.

Progresif

Malah dalam Rukun Negara telah juga dinyatakan bahawa rakyat negara ini berhasrat membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden. Di Malaysia tidak pernah berlaku Revolusi Sains. Tetapi sains menjadi cara fikir rakyat ini secara halus dan menyeluruh tanpa begitu disedari. Oleh itu, rakyat negara ini turut menjadi moden secara perlahan, tanpa kontroversi dan polemik. Namun jika diteliti sejarah, pemikiran saintifik mula tersemai di negara ini melalui pertanian. Oleh kerana teras masyarakat negara ini adalah pertanian, maka di bidang inilah cara fikir sains diperkenalkan. Usaha kerajaan kolonial memperkenalkan tanaman getah di Tanah Melayu diperkukuhkan dengan penubuhan Jabatan Pertanian dan Sekolah Pertanian telah merintis kepada kesedaran cara berfikir sains di negara ini.

Maka perubahan dan cadangan untuk meningkatkan mutu penghasilan pertanian oleh kerajaan kolonial telah diterima baik oleh peladang dan petani tempatan. Dari sinilah kemajuan pertanian di negara ini berkembang meliputi penubuhan Sekolah Pertanian, yang kemudian menjadi Kolej Pertanian. Malaya tidak menoleh ke belakang. Sains, teknologi dan industri sudah diterima oleh rakyat negara ini. Serentak itu negara ini menjadi moden merentasi dari zaman pembangunan kepada impian wawasan. Tetapi otak manusia tidaklah bersifat saintifik secara semula jadi, serta merta dan sedia ada. Untuk berfikiran saintifik, ia memerlukan usaha yang memenatkan otak. Sains bukanlah sesuatu yang masuk akal (common sense). Tanpa tunjuk ajar yang mencelikkan otak seseorang, manusia lebih selesa untuk berada dalam mitos, syak wasangka dan fantasi.

Maknanya sifat kemodenan itu bukanlah suatu yang semula jadi. Tabir mitos perlu disingkap barulah otak dapat melihat rumus-rumus sains. Ia tidaklah mudah. Maka tidak menghairankan, walaupun mempelajari sains dari sejak sekolah rendah, dan terdedah dengan pemikiran saintifik dalam media massa, ditambah pula dengan kehidupan moden yang menggunakan teknologi, otak seseorang boleh terus diselubungi dengan mitos-mitos pra moden. Untuk menikmati mitos-mitos pra moden dengan menganggapnya sebagai hiburan dan warisan budaya, ia tidaklah sesuatu yang berbahaya. Tetapi jika seseorang menolak kemodenan dan cara fikir sains untuk hidup kembali ke dalam alam mitos kurun ke-16 atau sebelumnya, mereka pasti menemui jalan buntu. Kemodenan adalah realiti hari ini. Dalam banyak-banyak bidang sains, perubatan berasaskan buktilah yang banyak menyelamatkan nyawa.

Sumber :
Mingguan Malaysia
7 Oktober 2012

05 Oktober 2012

ISU UMUM : BUKU BELUM MATI, BEGITU JUGA TRADISI ILMU


Rencana ini ditulis oleh :
Johan Jaaffar


Judul kecil bagi buku The Gutenberg Elegies karya Sven Birkerts ialah The Fate of Reading in An Electronic Age. Buku ini menanyakan apakah benar dalam keghairahan kita mengalu-alukan era elektronik kita sebenarnya mengabaikan budaya membaca dan membunuh industri buku?

Sebenarnya manusia lebih banyak membaca daripada sebelum ini. Mungkin mediumnya berubah daripada buku atau akhbar dalam bentuk tradisionalnya kepada membaca dalam dunia siber menggunakan landasan media baru e-mel, SMS, Facebook, Twitter dan sebagainya. Melayari Internet itu sendiri menuntut ketekunan membaca. Akhbar talian menjadi pilihan baru pembaca muda, begitu juga buku dalam bentuk elektronik. Kini kita melahirkan generasi e-pembaca. Buku belum berkubur, itulah hakikat yang harus diterima. Malah lebih banyak buku diterbitkan pada masa ini daripada zaman sebelum ini. Era elektronik sebenarnya membantu memperkaya dunia buku dan pembacaan.

Debat berkuburnya buku bukan baru. Pada tahun 50-an apabila TV mula menjadi popular, banyak pihak yang meramalkan buku akan pupus. Jumlah penerbitan buku menunjukkan sebaliknya. Menurut Gabriel Zaid dalam bukunya So Many Books, pada tahun-tahun 50-an, dunia menerbitkan kira-kira 250,000 judul setahun. Apabila mesin cetak Gutenberg memungkinkan buku dicetak secara meluas pada tahun 1450, hanya 100 judul mampu diterbitkan setahun. Pada tahun 2000, sejuta judul buku telah diterbitkan. Sebagai perbandingan pada tahun 1947, Amerika Syarikat (AS) mempunyai hanya tujuh saluran TV, pada tahun 1949 jumlah itu menjadi 50 dan 517 pada tahun 1960. Hari ini jumlahnya ribuan. Di antara tahun 1947 dan 1960, judul buku yang diterbitkan di AS meningkat dari 7,000 setahun menjadi 15,000. Stesen TV bertambah banyak kali ganda.

Pada tahun 1550 terdapat 35,000 judul buku yang diterbitkan, seratus tahun kemudian jumlah terkumpul judul buku menjadi 150,000. Pada tahun 1750 jumlahnya ialah 700,000 dan pada tahun 2000, jumlah terkumpul judul buku dunia ialah 52 juta.  Pada hari ini sebuah buku terbit setiap 30 saat. Apabila anda selesai membaca rencana ini, 2,400 judul buku baru telah diterbitkan di dunia.

Sekali lagi, buku belum berkubur. Buku akan terus menjadi wahana ilmu dan maklumat utama manusia. Buku mencorakkan tamadun. Tamadun ditunjang oleh buku. Manusia menjadi cerdik kerana buku dan kecerdikan memungkinkan kelahiran buku. Tradisi keilmuan akan dicorakkan oleh buku, dulu, kini dan selamanya.  Maka itu buku tidak boleh pupus dalam bentuk asalnya. Memang benar era elektronik hari ini mengurangkan waktu membaca manusia dalam konteks yang kita fahami dahulu tetapi tidak mengurangkan jumlah buku yang terbit. Ada pandangan yang mengatakan perpustakaan tidak lagi relevan dengan wujudnya Wikipedia. Semua maklumat boleh didapati di hujung jari. Maklumat dan ilmu pasang siap bukan tandingannya tradisi ilmu sebenar yang teruji oleh amalan kesarjanaan dan budaya fikir yang halus.

Memang benar penerbit buku dan akhbar dicabar dengan hebatnya oleh banyak medium baru dalam era elektronik. Banyak syarikat akhbar yang satu masa dahulu gah kini gulung tikar. Pada waktu yang sama banyak syarikat buku yang berdepan dengan masa depan yang malap. Kompendium ilmu yang tersohor, Encyclopedia Britannica yang bermula pada tahun 1768 mengaku kalah dek asakan elektronik lalu menghentikan penerbitan dalam bentuk tradisionalnya. Pada bulan Mac 2012, penerbit ensiklopedia itu mengumumkan bahawa edisi tahun 2012 merupakan edisi bentuk buku yang terakhir.  Di sebaliknya cerita suram dunia perbukuan, banyak lagi cerita kejayaan luar biasa yang harus kita banggakan. Penerbit masih mampu mengeluarkan judul yang dianggap buku laris dunia yang memberikan kekayaan pada penulis. Penulis yang berjaya hari ini bukan sahaja menjadi selebriti tetapi hidup kaya raya dengan royalti.

Malangnya buku paling laris di Malaysia ialah novel popular dan buku agama. Akhdiat Akasah misalnya telah menulis 87 judul novel menjadikan beliau novelis paling produktif di negara kita. Buku serius sukar dijual, termasuk buku karya Sasterawan Negara kita.

Industri buku di Malaysia sebenarnya lebih kecil daripada industri ayam pedaging. Malaysia hanya mampu menerbitkan paling banyak 5,000 judul buku setahun, kebanyakannya buku teks dan buku kerja sekolah. Kita sepatutnya menerbitkan 12,500 judul buku am setahun. DBP sendiri hanya mampu menerbitkan 300 judul baru setahun. Hari ini China menerbitkan 180,000 judul, United Kingdom 16,000, AS 60,000 dan India 49,000. Terlalu banyak potensi untuk mengembangkan industri buku di negara ini. Apa yang diperlukan ialah usaha menyemarakkannya. Kita memerlukan komitmen semua pihak bagi tujuan ini. Kita perlu menggalakkan pembacaan di kalangan rakyat. Usaha memasyarakatkan buku dan pembacaan memerlukan strategi baru. Buku dan pembacaan masih lagi anak kunci pada tradisi fikir dan budaya ilmu.

Sumber :
Berita Harian
5 Oktober 2012

ISU BAHASA : BAHASA MELAYU MAMPU SAMPAIKAN PEMIKIRAN KRITIS


Rencana ini ditulis oleh :
Teo Kok Seong


Pemberian peruntukan tambahan RM500 juta dalam Belanjawan 2013 untuk mempertingkat kemahiran mengajar dalam kalangan pendidik untuk empat subjek teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, amat dialu-alukan. Ia bertujuan mengembangkan kemahiran berfikiran kritis dalam kalangan pelajar oleh guru.  Sehubungan ini, Sejarah yang diangkat menjadi subjek teras dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, perlu turut dimasukkan dalam latihan perguruan ini. Selain subjek wajib, ia antara kurikulum penting yang dapat memupuk asas dan perspektif nasional yang dikongsi bersama. Kemahiran berfikir aras tinggi sebagai aspirasi penting dalam PPPM, akan cuba dicapai melalui tiga cara.

Pertama, dengan penguasaan kemahiran berfikiran kreatif dan inovatif, pelajar diajar untuk memperoleh kepandaian menjana prospek baharu, selain mencipta gagasan dan pengetahuan baru. Kedua, melalui penguasaan kemahiran menyelesaikan masalah dan menaakul, pelajar dilatih untuk bersedia berdepan dengan sebarang masalah, yang kemudian diselesaikan selepas menaakul dengan kritis dan logik, agar keputusan yang dibuat itu bernas.  Ketiga, melalui penguasaan kemahiran keupayaan belajar, pelajar diasuh untuk memiliki ketangkasan mendorong diri sendiri untuk terus menimba ilmu sepanjang hayat mereka, bagi menjadi warga yang berpengetahuan.

Diakui bidang ini tidak dirangkumi dalam sistem pendidikan negara sebelum ini. Justeru, pelajar kita didapati bukan saja tidak mampu menerapkan ilmu yang diperoleh. Tetapi yang lebih mudarat lagi mereka gagal berfikir secara kritis, khususnya dalam konteks akademik baru.

Sehubungan latihan ini, sesetengah pihak meragui kemampuan guru dalam memperoleh kemahiran begini untuk diri mereka sendiri, sebelum disampaikan kepada pelajar. Dalam hal ini, kita harus meyakini keupayaan guru yang sudah memiliki ilmu mengenai bidang pengkhususan masing-masing, selain ilmu pelajar yang berbagai-bagai dari segi kecerdasan dan lain-lain, serta ilmu pedagogi untuk pendidikan yang berkesan. Apabila setiap kali subjek Sains dan Matematik disentuh dan kali ini dalam konteks pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi melalui dua subjek ini, sebahagian daripada masyarakat yang kepingan dan fanatik dengan bahasa Inggeris, menggunakan kesempatan ini untuk cuba mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang sudah dimansuhkan. Alasan yang sama diberikan dan mereka yang menyokong pemansuhannya pula akan memberi hujah yang sama.

Sehubungan ini, sudah tiba masanya PPSMI ini dilupakan dan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dikembangkan. Hal ini sebenarnya ditekankan dalam PPPM melalui Anjakan Kedua yang akan memastikan setiap pelajar memiliki kecekapan yang sama dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, iaitu kedua-duanya saling melengkapi sebagai bahasa kemajuan. Untuk ini, bahasa Melayu adalah bahasa ilmu, bahasa Inggeris pula adalah bahasa sumber ilmu. Dari segi ilmu linguistik, bahasa Melayu kini adalah bahasa moden, yakni bahasa yang mampu mengungkapkan segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak, dalam apa-apa juga bidang ilmu. Justeru, dengan upaya sebegini, kita tidak perlu meragui, apatah lagi mempertikai kehandalannya untuk mengendalikan sistem pendidikan negara.

Bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, dari segi linguistik, adalah wahana komunikasi, dengan cara dan pola masing-masing yang boleh dengan jayanya digunakan untuk menyampaikan gagasan pemikiran kritis, selain yang logik, oleh penggunanya yang kreatif dan inovatif. Maka tidak timbullah persoalan bahawa bahasa Inggeris lebih ekspresif sifatnya berbanding bahasa Melayu. Sifat ini, yakni kebolehan menyatakan perasaan, fikiran dan seumpamanya, dengan baik dan lancar, sesungguhnya terletak pada kecekapan berbahasa seseorang itu dan tidak semata-matanya pada sistem bahasa. Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu yang kreatif dan inovatif berjaya menghasilkan ungkapan Ini sabun baharu. Ini baharu sabun yang indah lagi bermaklumat untuk tujuan pengiklanan sesuatu barangan.

Kita harus meyakini keupayaan bahasa Melayu untuk terus mendidik anak bangsa yang mampu bersaing di persada dunia.

Sumber :
Berita Harian
5 Oktober 2012

04 Oktober 2012

ISU SOSIAL : ATASI ISU HINA AGAMA DI INTERNET SECARA BERHEMAH


Anwar Patho Rohman


"Tindakan menghina agama di Facebook sepatutnya tidak berlaku jika orang ramai mempunyai rasa tanggungjawab dan hormat terhadap negara yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa serta agama."

Itulah kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika mengulas isu menghina agama dalam internet baru-baru ini. Soalnya, mengapakah perkara itu berlaku. Apakah faktor yang menyebabkan penghinaan itu berterusan. Adakah disebabkan keterbukaan dan sikap bertolak ansur umat Islam mewajarkan Islam dipersenda seperti yang berlaku dalam isu murtad, penggunaan kalimah Allah dan melempar surau dengan cat atau meletakkan kepala babi dekat masjid sebelum ini? Jika berlaku pun penghinaan itu, biasanya ia berakhir dengan ‘drama’ saling bermaaf-maafan diiringi kata-kata ‘menyesal dengan apa yang berlaku’.
Ketagih internet

Lebih menyedihkan jika penghinaan dalam internet itu bukan saja dilakukan bukan Islam, malah orang Islam sendiri tanpa sebarang rasa bersalah. Hakikatnya, perbuatan menghina agama terutama Islam boleh dianggap bukan luar biasa khasnya sejak internet muncul disusuli lambakan laman sosial yang menjadi tempat pengguna internet meluahkan perasaan. Manusia kini begitu ketagih dengan internet sehingga setiap apa saja perasaan, perbuatan, pandangan dan keinginan hati atau yang berlaku sekeliling mereka akan ditulis dalam laman sosial menerusi status mereka sama ada mempunyai tujuan khusus atau sekadar suka-suka. Ketagihan itu pula disokong dengan kemunculan pelbagai telefon pintar canggih yang membolehkan manusia melayari internet di mana saja atau dalam apa situasi sekali pun. Hidup manusia pada hari ini boleh dikatakan seperti ‘tidur internet, makan internet’.

Laman sosial menjadi medan meluahkan rasa atau pendapat dan ia menjadi budaya dalam masyarakat sehingga apa yang diluahkan itu kadangkala menyentuh isu sensitif dalam sudut agama, budaya dan bangsa. Ada yang menyangka, tindakan meluahkan perasaan dan pandangan dalam internet adalah kebebasan dalam dunia maya dan orang lain tidak berhak menghalangnya. Apabila perasaan itu terus bersarang di jiwa, berlaku insiden ada individu dan pihak tertentu tidak lagi sensitif dengan perkara boleh membangkitkan kemarahan penganut agama lain. Di negara ini, penghinaan terhadap agama khasnya Islam menerusi internet dan laman sosial banyak berlaku, namun tidak begitu didedahkan atas alasan untuk memelihara keharmonian antara kaum.

Guna saluran diplomasi

Ramai yang tidak menyedari kerajaan tidak sewenang-wenangnya menggunakan peruntukan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 untuk menghukum mereka yang menghina agama. Sebaliknya, kerajaan masih menggunakan saluran diplomasi bagi menangani isu berkaitan seperti menerusi Rukun Tetangga (RT), persatuan komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO). Kerajaan menggunakan kuasa undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 bagi menangani isu membabitkan keselamatan, keharmonian dan perpaduan, tetapi tidak pada isu menghina agama. Dalam hal ini, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Azman Amin Hassan mengesahkan isu membabitkan perselisihan faham antara kaum seboleh mungkin diselesaikan menerusi rundingan.

Apa yang berlaku hari ini disebabkan masyarakat berbilang bangsa dan agama tidak memahami 
adat resam dan amalan agama lain. Silang budaya ini masih berlaku dan ia menjadi punca keretakan 
hubungan antara kaum dan perpaduan, termasuk 
punca perbuatan menghina agama.

Akta Keharmonian Nasional

“Segala permasalahan yang menyentuh isu keharmonian kaum dan agama hari ini tidak sampai satu peratus, tetapi ia menjadi isu apabila ada pihak yang cuba menangguk di air keruh untuk meraih keuntungan peribadi,” katanya. Menjadi harapan jika Akta Keharmonian Nasional diwartakan menjadi undang-undang menggantikan Akta Hasutan 1948 yang mungkin menjadi sinar baru dalam amalan kebebasan beragama di negara ini tanpa menjatuhkan martabat Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan. Penggubalan akta baru itu juga diharap memberi tumpuan bagaimana isu berkaitan agama, bukan saja Islam juga yang dijamin kedudukannya dalam Perlembagaan ditangani dengan berhemah dan bijaksana.

Sumber
Berita Harian
4 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : MELESTARIKAN PENDIDIKAN BERKUALITI


PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia


Sejak setahun lalu, pendidikan menjadi tumpuan ramai baik dalam kalangan yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Ini kerana pendidikan dianggap penyumbang utama kepada pembinaan dan pengisian sesebuah negara bangsa termasuk Malaysia. Pengajian asas dilihat penting untuk membolehkan negara terus bersaing dengan negara-negara lain terutama negara maju. Bajet yang dibentangkan minggu lalu jelas memaparkan komitmen kerajaan terutama melalui Kementerian Pelajaran untuk mentransformasi sistem pendidikan ke arah pembentukan masyarakat kelas satu di sebuah negara kelas pertama; masyarakat yang mempunyai pengetahuan, skil dan kemahiran diselaputi dengan nilai, semangat patriotisme dan moral dalam melahirkan modal insan yang berkarakter tinggi dengan adanya nilai intelektual, spiritual, emosi dan fizikal; hubungan konstruktif ke arah masyarakat kelas pertama, cerminan falsafah pendidikan kebangsaan untuk melahirkan pembangunan holistik dalam kalangan pelajar.

Yang penting dalam Bajet 2013 bertemakan 'Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati', adalah 'kualiti' untuk melestarikan sistem pendidikan berkualiti untuk mentransformasi sistem pendidikan dan turut memperkasakan sistemnya. Sebanyak RM11.1 bilion diperuntukkan untuk sektor sosial yang turut melibatkan pendidikan dan latihan. Sektor pendidikan diperuntukan 21 peratus (%) daripada bajet untuk memperkukuhkan pemetaan kelangsungan pendidikan sebagai tunggak pembentukan negara bangsa dengan berfokuskan kepada kemakmuran dan kesejahteraan sosial negara. RM38.7 bilion pula akan diperuntukan untuk memperbaiki kualiti pendidikan dan tambahan sebanyak RM500 juta untuk mengembangkan latihan guru dalam bidang subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik ke arah pembangunan skil pemikiran yang lebih baik.

Kerajaan juga memperkenalkan inisiatif seperti insentif bebas cukai dan geran untuk membuka tadika baru; RM1.2 bilion untuk pembangunan prasekolah dan RM1 bilion untuk penambahbaikan sekolah, RM400 juta untuk sekolah kebangsaan di samping RM100 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil, mubaligh, agama, berasrama penuh dan MRSM. Ada pihak yang mencadangkan agar PTPTN dimansuh, diberikan pendidikan percuma dari prasekolah sehingga universiti serta RM500 sebagai elaun khas untuk guru tetapi ia lebih dilihat sebagai pendekatan populis untuk memanipulasi pemikiran umum seolah-olah untuk memberikan harapan kepada pemegang saham dalam pendidikan daripada kaca mata mereka sendiri. Namun, kerajaan secara berterusan memberikan sokongan dan bantuan secara realistik yang diterima dan disokong. Malahan, untuk menggalakkan tabungan pendidikan, mereka yang menyumbang kepada Skim Tabungan Pendidikan diberikan pelepasan cukai RM6,000 berbanding dengan RM3,000 sebelumnya.

Baucar RM100 untuk murid sekolah rendah dan menengah serta RM250 baucar buku untuk pelajar institusi pengajian tinggi dengan kenaikan RM50 daripada sebelumnya; diskaun untuk pembayaran semula pinjaman PTPTN berasaskan kepada pembayaran konsisten menunjukkan bahawa yang mahu dilahirkan adalah pelajar yang bertanggungjawab dan memahami bahawa PTPTN bukan 'hak' tetapi adalah satu 'keistimewaan'. Mengenal pasti aspirasi dan cabaran yang diperincikan dalam laporan awal pemetaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012, 'pelaksanaan' menjadi tumpuan dan tunjang utama daripada pembentangan bajet ke atas sektor pendidikan. Kerajaan sedar bahawa hanya melalui hasil akhir pelaksanaan yang bersifat empirikal, umum akan memberikan pengiktirafan dan kepercayaan ke atas sistem pendidikan negara. Menteri Kewangan memberi kepastian bahawa Unit Pelaksanaan Pendidikan akan memainkan peranan penting dalam proses penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Untuk meninjau dan melangkah ke hadapan dalam pendidikan, maka pendidikan akan memberi fokus kepada pelaksanaan dengan bantuan sistem sokongan yang strategik. Pendidikan adalah satu proses dan umum perlu memberikan ruang kepada kesemua yang terbabit dalam pelaksanaan untuk meneruskan agenda yang sudah dirangka dengan perancangan Bajet 2013. Melestarikan sistem pendidikan dalam kerangka holistik hanya akan berjaya sekiranya kesemua yang terlibat secara implisit mahupun eksplisit bekerjasama walaupun mempunyai perbezaan ketara, agar visi mentransformasi negara ke arah menjadi sebuah negara maju pada 2020 dapat direalisasikan dengan jayanya.

Sumber
Utusan Malaysia
4 Oktober 2012

03 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : PACU PENINGKATAN KUALITI PENDIDIKAN


Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.


Pengumuman Bajet 2013 nampaknya mempunyai kaitan yang signifikan dalam usaha menjayakan transformasi pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. Melalui Bajet 2013 ternyata peruntukan besar disediakan bagi melaksanakan tiga aspek penting iaitu untuk peningkatan kualiti pengajaran guru, melengkapkan infrastruktur sekolah dan memastikan keberkesanan pelaksanaan melalui pemantauan transformasi tersebut. Apabila Bajet 2013 diumumkan pada 28 September lepas didapati sektor pendidikan terus mendapat peruntukan tinggi iaitu sebanyak RM38.7 bilion meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan daripada jumlah keseluruhan bajet RM251.6 bilion. Bajet 2013 memberi tumpuan bagi menjayakan transformasi pendidikan. Aspek pertama ialah meningkatkan kualiti pengajaran guru. Bagi tujuan tersebut disediakan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta untuk membolehkan guru melaksanakan pengajaran melalui pendekatan kemahiran berfikir aras tinggi dalam pengajaran subjek-subjek teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Sesungguhnya penekanan kepada peningkatan kualiti guru melalui pendekatan tersebut dinyatakan dalam PPP 2013-2025 dengan Anjakan Pertama iaitu menyediakan kesemarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.

Hakikatnya apabila murid dikatakan telah berjaya menguasai ilmu, mereka berupaya menganalisis maklumat, berfikir secara kritis dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah bentuk kemahiran berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara maju. Sementara itu Anjakan Kedua menekankan setiap murid mahir dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Ini dilakukan dengan meluaskan program LINUS supaya meliputi literasi Bahasa Inggeris. Peningkatan kemahiran Bahasa Inggeris juga dilakukan dengan memastikan semua 70,000 guru bahasa tersebut lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Peluasan pendedahan kemahiran berbahasa juga dilakukan dengan memperkenalkan modul Sastera Inggeris yang akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah. Bagi memastikan pelaksanaan pendekatan pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi guru-guru akan terus didedahkan kaedah pengajaran yang berpusatkan kepada pelajar. Aktiviti yang menyeronokkan dan menarik minat pelajar seperti main peranan, lakonan, syarahan, debat, forum, simulasi, perbincangan, tugasan luar bilik darjah dan kerja dalam kumpulan kecil akan menggalakkan murid sentiasa berfikir dan berusaha meningkatkan daya pemikiran mereka.

Sementara itu Anjakan Ketujuh iaitu memanfaatkan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran adalah berkait rapat dengan usaha meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi. Perbelanjaan yang besar diperlukan untuk meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya.

Ini akan dilakukan melalui pelaksanaan 1BestariNet bagi semua 10,000 buah sekolah. Dengan adanya akses kepada rangkaian 4G di sekolah maka landasan untuk pelaksanaan pembelajaran secara interaktif akan dapat dilaksanakan. Aspek kedua bagi menjayakan PPP ialah melengkapkan infrastruktur sekolah. Kemudahan yang baik disediakan di sekolah akan membolehkan guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan. Bajet 2013 telah menyediakan peruntukan besar iaitu sebanyak RM1 bilion di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah. Peruntukan ini akan digunakan bagi keperluan seperti membaikpulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.

Bagi memastikan infrastruktur sekolah dapat disempurnakan terutama sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman maka kerajaan telah memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion lagi. Ini bermakna bagi tujuan meningkatkan keupayaan infrastruktur sekolah sebanyak RM2 bilion telah disediakan. Di samping itu Tabung Khas pula diwujudkan iaitu peruntukan sebanyak RM400 juta daripada RM2 bilion itu akan disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan dan RM100 juta lagi diperuntukkan kepada setiap aliran sekolah lain iaitu SRJK(C), SRJK(T), sekolah mubaligh, sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah berasrama penuh. Aspek ketiga yang penting bagi menjayakan PPP 2013-2025 ialah memastikan keberkesanaan pelaksanaan dan pemantauan. Dalam majlis pelancaran PPP yang lalu, Perdana Menteri menekankan bahawa perancangan yang nampak cantik dan lengkap belum menjanjikan kejayaan tanpa penekanan kepada aspek pemantauan dan diikuti penilaian serta penambahbaikan.

Oleh itu dalam Bajet 2013 Perdana Menteri mencadangkan penubuhan Unit Pelaksanaan Pendidikan bertujuan memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi tersebut. Pelaksanaannya boleh menggunakan peruntukan tambahan RM500 juta yang turut digunakan dalam meningkatkan kemahiran guru. Aspek pelaksanaan dan pemantauan ini ada dinyatakan dalam PPP melalui Anjakan Keenam iaitu pengupayaan serta memperkasakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Peranan mereka bukan sahaja untuk menyelesaikan isu berasaskan keperluan seperti menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus, Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan tetapi juga memastikan semua perancangan yang telah disediakan dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan. Penambahan pegawai dan kakitangan di JPN dan PPD diperlukan untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang diberikan di samping mendapat latihan yang bersesuaian. Keberkesanan Unit ini adalah indikator kepada kejayaan PPP 2013-2025.

Sesungguhnya Bajet 2013 yang bertemakan ‘Memakmurkan Negara, Mensejahterakan Rakyat: Sebuah Janji Ditepati’ itu menyediakan keperluan transformasi pendidikan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 bagi memacu peningkatan kualiti pendidikan.

Sumber
Utusan Malaysia
3 Oktober 2012

ISU EKONOMI : BUAT PERANCANGAN BAJET BULANAN SENDIRI


Fauziah Arof


Berapa banyak pun bantuan dan peruntukan yang diberikan, sekiranya tidak diuruskan dengan baik, akhirnya balik ke asal juga. Kata sesetengah orang, berapa tinggi pun jumlah gaji yang kita dapat setiap bulan, sebenarnya tidak memberi makna. Apa yang lebih bermakna, berapa jumlah baki yang tinggal setelah ia dibelanjakan untuk diri sendiri, keluarga dan membayar bil-bil wajib setiap bulan. Jika baki yang tinggal ke tahap sampai hendak ‘tutup hidung’, sesak walaupun baru beberapa hari menerima gaji, gaji yang banyak pun hanya nampak cantik pada slip gaji. Jadi, pengurusan kewangan itu penting. Berilah apa jua bantuan kewangan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang kini diperluas kepada individu bujang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM2,000, bonus, baucar Buku 1Malaysia atau bantuan RM100 untuk setiap murid sekolah rendah dan menengah, jika bantuan ini disalah guna atau digunakan untuk perkara-perkara lain, tentu sekali tidak dapat membantu.

Bajet 2013 yang baru dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu, walaupun dihentam macam-macam oleh pihak pembangkang, tetapi yang penting kesan dan manfaatnya kepada orang ramai. Cakaplah apa yang mereka hendak cakap kerana yang menerima dan menanggung beban kos sara hidup adalah rakyat. Pembangkang hanya tahu bercakap dan mengutuk. Tidak membantu pun. Diberi bantuan pun teruk kena kutuk, apatah lagi jika tidak diberi langsung. Jadi kepada rakyat yang termasuk dalam kategori yang menerima habuan daripada Bajet 2013, terimalah dengan rasa bersyukur. Pada masa yang sama, uruskanlah bantuan berkenaan sebaik-baik mungkin. Kepada kakitangan awam, tentunya mereka menerima banyak keistimewaan berbanding pekerja-pekerja swasta dalam Bajet 2013 ini. Bonus satu setengah bulan sudah dikira cukup menarik, berbanding pekerja swasta yang ada sesetengahnya hendak dapat satu bulan bonus pun seperti terpaksa masuk ke medan peperangan’.

Jadi amatlah luar biasa fitrahnya, apabila segelintir daripada mereka yang mendapat macam-macam keistimewaan ini termasuk duduk di kuarters kerajaan, mengutuk majikan di laman-laman sosial terutama pada waktu bekerja dengan menggunakan pula kemudahan komputer milik majikannya.

Dan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah, tentunya berasa amat bersyukur kerana pemberian wang tunai RM100 untuk setiap murid diteruskan. Sedikit sebanyak beban dapat dikurangkan apabila musim persekolahan bermula pada tahun depan. Memanglah jumlah RM100 bukannya banyak, tetapi untuk yang berpendapatan rendah, pemberian itu memberi banyak kesan kepada mereka. Ada yang memperlekehkan pemberian itu dengan mengatakan terlalu sedikit, apa sangat yang boleh dibeli dengan RM100?; ini duit untuk ‘beli jiwa’ dan macam-macam lagi. Tetapi bila tiba waktu untuk mengutipnya, tetap sanggup bermandi peluh, lenguh lutut, beratur panjang di sekolah anak. Dan kalau pun rasa jumlah itu sedikit, kononnya tidak dapat membantu, ambil wang itu, berikan kepada yang betul-betul memerlukan. Sudah tentu dapat pahala bersedekah, daripada merungut-rungut dan mengutuk si pemberi. Dalam pengurangan subsidi gula pula, perkara ini perlu diambil perhatian. Memanglah cadangan mengurangkan pengambilan gula itu amat baik sekali, demi untuk menjaga kesihatan. Tetapi yang tidak baiknya, kita bimbang peniaga-peniaga di restoran nanti termasuk penjual kuih di tepi jalan turut panjang akal menaikkan harga makanan.

Jadi, pemantauan terutamanya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan amat diperlukan supaya rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga makanan pula. Nanti tidak pasal-pasal pula harga barangan keperluan lain yang tidak ada kena mengena dengan gula turut dinaikkan oleh peniaga-peniaga yang hanya menunggu peluang dan ruang untuk menaikkan harga barang. Berbalik soal menguruskan kewangan, mahu atau tidak, setiap daripada kita perlu membuat perancangan bajet bulanan sendiri untuk menentukan keluarnya pendapatan bulanan itu ke mana perginya. Urusan keluar masuk wang sepatutnya dihitung betul-betul. Adakah wang itu keluar untuk membiayai keperluan, bil-bil dan berapa banyak perbelanjaan digunakan untuk hal-hal berkaitan berlibur (sekiranya ada baki untuk itu). Dan berapa pula yang boleh disimpan untuk waktu-waktu kecemasan.

Sekiranya kita terus berbelanja secara selagi tidak habis, apa sahaja yang kita peroleh, termasuk bantuan yang jumlahnya kecil atau besar, tentunya tidak mencukupi. Dan itu yang menjadikan ramai yang sentiasa berasa tidak puas hati dan merungut dengan imbuhan yang diberikan.

Sumber
Utusan Malaysia
3 Oktober 2012

ISU UMUM : PENSYARAH MUDA, PEMIMPIN PELAPIS


DR. JESSICA ONG HAI LIAW
Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan,
Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan pensyarah Kanan
di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.


Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara atau PSPTN untuk mentransformasi pensyarah muda berpotensi bagi pembangunan negara telah diterapkan dalam Program Kepimpinan Inovasi dan Transformasi Pensyarah Muda Zon Tengah dalam dua siri oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Tahun ini, program diteruskan dengan menggabungkan pensyarah-pensyarah muda dari Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Nasional Malaysia dan Razak School of Government. Hasil bengkel ini, saya kongsikan suara-suara pensyarah muda yang bercakap tentang kehadiran masing-masing, adakah mereka dipilih datang ke program ini kerana muda dari segi perkhidmatan atau memang muda. Baguslah kalau masih muda kerana pensyarah muda dapat menentukan hala tujunya dengan program sebegini apabila mereka dapat berjumpa dengan ahli panel dan penceramah yang hebat.

Kesemuanya penceramah dan ahli panel yang hebat dengan hujah dan jawapannya membantu pensyarah muda merungkai seribu persoalan. Perbincangan yang hangat didebatkan menjurus kepada isu dan cabaran pensyarah muda yang mencari, membina nilai dan menilai kualiti kepimpinan berdasarkan kerangka kepimpinan yang menjadi asas. Platform bagi pemimpin muda untuk membentuk idea serta cadangan, menjana dialog dan pertukaran pandangan sesama generasi tidak dapat dilaksanakan kerana suara-suara mereka seakan-akan tenggelam kerana dikatakan tidak berpengalaman dan disisihkan. Bengkel ini akan membawa suara hati pensyarah muda melalui AKEPT kepada KPT untuk dibentangkan kepada Menteri Pengajian Tinggi. Harapan supaya pensyarah muda mempunyai kepakaran yang berbeza dan janganlah dilihat di atas jurnal-jurnal berimpak tinggi sahaja tanpa menilai kerja-kerja lain yang menyumbang kepada universiti. Alangkah lebih baik, kata mereka, duduk dalam bilik dan menulis jurnal tanpa perlu memegang jawatan tambahan dan akhirnya mereka yang dapat naik pangkat lebih menjurus kepada bilangan jurnal berimpak tinggi.

Guru-guru bahasa di universiti masih dengan Gred DG turut meminta pihak Kementerian Pengajian Tinggi memikirkan nasib mereka ditukar kepada Gred DS iaitu menjadi pensyarah bahasa. Banyak lagi isu yang tidak dapat saya utarakan dan akan diusulkan kepada KPT berkaitan masalah kelayakan geran dan sebagainya.

AKEPT di bawah pimpinan Datuk Prof. Dr. Roziah Omar sentiasa prihatin dalam menyediakan pemimpin pelapis dalam pelan penggantian di setiap universiti. Kumpulan pensyarah muda yang mempunyai asas kepimpinan kukuh ini diharap dapat menyumbang kepada kualiti kepimpinan akademik di institut pengajian tinggi awam sekali gus memenuhi hasrat kementerian untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi khususnya dalam konteks kepimpinan pengajian tinggi. Pelbagai kemahiran kepimpinan dapat diperkukuhkan dalam kalangan para peserta pada program ini selain membantu dalam meningkatkan soft skills yang begitu diperlukan bagi mereka yang mampu digunapakai dalam bidang masing-masing semasa di universiti. Harapan AKEPT supaya pertemuan dan perbincangan dengan pensyarah-pensyarah muda dari beberapa universiti negara ini secara tidak langsung memberi peluang untuk berinteraksi secara sihat selain melontarkan pandangan dan idea dalam pelbagai bidang. Idea dan pandangan dari pensyarah muda ini amat ditagih dalam setiap institusi bagi memastikan wujudnya pandangan yang lebih segar dengan perspektif berbeza dan seterusnya mampu dimanfaatkan untuk kepentingan bersama.

Model Baharu Ekonomi (MBE) untuk mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Penglibatan tenaga akademik dalam menyalurkan idea dan kaedah dalam usaha pembangunan Negara. Akademia Muda juga hendaklah bertindak sebagai perunding dan pakar dalam aktiviti think tank pada peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Malahan Akademia Muda digalakkan untuk mewujudkan kolaborasi yang mantap, kukuh dan pintar (Smart Partnership) dengan pihak industri kerana kedua-dua pihak saling memerlukan antara satu sama lain dalam konteks pembangunan negara. Kolaborasi yang mantap ini bukan sahaja dapat mengukuhkan aspek berkaitan pembelajaran dan pengajaran semata-mata tetapi juga dalam masa sama dapat berganding bahu dalam menangani dan mengurus cabaran ke arah mewujudkan ekosistem persekitaran mapan. Majlis Profesor Negara (MPN) mempunyai barisan profesor yang cukup mantap dan berwibawa dari segi kepimpinannya. Namun, saya merasakan MPN perlu membuka ruang untuk pensyarah-pensyarah muda menimba ilmu dan mendapat peluang belajar dengan para profesor dari MPN. Pensyarah-pensyarah muda dapat membuka minda dan turun padang sama-sama dalam setiap aktiviti bersama MPN untuk melihat dan belajar dengan para profesor sebagai sifu. Pensyarah-pensyarah muda masih ingin belajar dan terus menimba ilmu dengan para sifu dengan harapan sudi membimbing mereka.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sering menegaskan dalam setiap acara dan program yang dihadirinya bahawa sektor pengajian tinggi merupakan sektor yang paling kritikal dalam menjayakan Program Transformasi Negara. Ini kerana sektor pengajian tinggi adalah merupakan sumber yang bertanggungjawab dalam melahirkan modal insan yang memiliki minda kelas pertama. Modal insan minda kelas pertama adalah merujuk kepada mereka yang mampu menggunakan pengetahuan secara proaktif, kreatif, inovatif dan berkemahiran teknikal serta mampu untuk menangani persekitaran global yang sentiasa berubah-ubah. Bagi memastikan modal insan yang dilahirkan seperti yang ditetapkan ia bukan hanya bergantung kepada kehebatan infrastruktur dan prasarana semata-mata tetapi tenaga akademik yang akan memacu juga hendaklah berkualiti tinggi, profesional, berwibawa, berpandangan jauh dan yang paling penting memiliki nilai integriti.

Maka, pemimpin pelapisnya ialah pensyarah muda. Wang ringgit bukanlah ukuran untuk pensyarah muda inginkan tetapi mereka ingin menyumbangkan idea dan tenaga dalam membangunkan pendidikan negara. Sekadar ucapan penghargaan yang diberikan cukup memadai.

Semangat kita ada kalanya luntur apabila bercakap tentang penghargaan dan dilema antara peranan dan tanggungjawab diberikan kepada kita terlalu berat dalam mengejar Key Performer Indicators (KPI). Kesempatan saya menemubual dua tokoh yang disegani iaitu Mejar Jeneral Datuk Abdullah Babu PGB yang berpesan - "Sentiasa menjaga anak-anak buah dengan baik dan berikan kata-kata penghargaan, semangat dan ganjaran untuk semua tanpa mengira senior dan junior jika mereka menunjukkan prestasi yang baik.'' Kata-kata berharga daripada Jeneral Tan Sri Datuk Paduka Dr. Hashim Mohd Ali:

''Doa ibu bapa amat penting, sayangilah ibu bapa kerana keberkatan restu mereka membawa kebahagiaan dalam kehidupan kita". Satu amanat dari beliau sebelum saya melangkah pergi, terus saya sematkan di hati kini dan selamanya, "Always look at people's strength not on their weakness".

Salam 1Hati.

Sumber
Utusan Malaysia
3 Oktober 2012

ISU PELAJAR : KECIL-KECIL SUDAH BERLAGAK SAMSENG


TEMPAT : Petaling Jaya
Tarikh : 2 Oktober 2012
Hari : Selasa


Baru berusia sembilan tahun, tapi lima murid tahun tiga sebuah sekolah di sini sudah berani berlagak samseng apabila membelit leher seorang rakan sekelas mereka dengan tali pinggang selain memukul mangsa dengan kasut dan pembaris besi pada 2 Oktober 2012. Malah, lima samseng cilik terbabit turut mengugut untuk membunuh serta mencampak rakan mereka itu ke dalam hutan dan mereka berbuat demikian hanya kerana tidak menyukai mangsa. Sumber polis berkata, kejadian itu berlaku jam 1.30 tengah hari di sekolah berkenaan dan kelima-lima murid terbabit terlebih dulu mengepung mangsa sekelas mereka ketika berada dalam bilik darjah.

KOMEN CIKGU ZUL

Salah laku pelajar pada masa ini semakin lama semakin membimbangkan. Pada usia yang sebegitu muda sebegini mereka mudah terikut-ikut dengan setiap perbuatan orang dewasa yang dilihat secara nyata di depan mata atau ditonton melalui filem dan pelbagai lagi sumber yang ada pada hari ini. Kecanggihan dunia internet yang menjadikan dunia tanpa sempadan membolehkan segala maklumat sama ada baik atau buruk menjadi sajian minda setiap orang yang melayari internet tanpa mengira usia. Asuhan ibu bapa di rumah dan didikan guru di sekolah bagaikan mencurah garam ke laut kerana kepercayaan anak-anak muda masa kini dipengaruhi oleh pelbagai aspek. Siapakah yang harus dipersalahkan? Jika kita menunding jari kepada ibu bapa tidak mustahil ibu bapa pula akan menundingkan jari kepada kita. Haruskah guru dipersalahkan? Jika harus, pernahkah kita terfikir, adakah semua guru di Malaysia ini mahu anak-anak didik mereka bertingkah laku seperti samseng? 

Tunding menunding tidak akan membawa apa-apa keberkesanan atau menemukan kita dengan jalan penyelesaian kerana selepas ini kita akan terus dihidangkan dengan berita sebegini tatkala kita sedang berselera menjamah sarapan. Pada persepsi saya, kematangan dan keintelektualan harus dibentuk dalam setiap murid sejak sekolah rendah lagi. Mentaliti mereka perlu dicondongkan ke arah kebaikan. Nilai-nilai keagamaan perlu dipasak kukuh di minda mereka sejak menuntut di tadika. Bukan menafikan pendidikan yang sedia ada sekarang tetapi golongan cerdik pandai perlu memikirkan kembali keberkesanan kurikulum sedia ada dalam menjana modal insan yang unggul dan utopia. Ibu bapa perlu mengubah cara mendidik anak. Kadang-kadang didikan yang kita rasakan betul tidak semestinya betul kerana kita tidak pernah melakukan penilaian dan pemantauan disebabkan sikap terlalu sensitif dan pantang ditegur. Budaya menyalahkan pihak lain dan mengatakan diri kita sahaja yang betul harus diperbetul sebelum cacing naik ke mata. 

02 Oktober 2012

ISU GLOBAL : NAKOULA BUAT DUNIA ISLAM LUPA AGENDA BESAR


Imlan Adabi


Nakoula Basseley atau dikenali Sam Bacile sepatutnya berterima kasih kepada sebahagian besar umat Islam kerana memberi publisiti percuma kepada filemnya. Innocence Of Muslims hanya filem murahan yang tiada kualiti. Bacile bukan pengarah ternama apatah lagi penulis skrip yang meraih Anugerah Oscar. Dia hanya penyangak yang ada kes penipuan perbankan.

Tiada siapa peduli ketika dia memulakan penggambaran Desert Warriors kerana tiada tarikan magis untuk diperkatakan. Ia sekadar cerita pahlawan padang pasir yang tidak sesuai lagi dengan selera semasa. Malah, wartawan hiburan di California pun menolak undangan sidang media kerana filem yang kemudian ditukar kepada Innocence of Muslims dianggap tiada isu untuk dipaparkan. Innocence of Muslims hanya meletup apabila menerima bantahan umat Islam sejagat. Bacile dianggap anti-Islam dan menjalankan agenda Yahudi untuk memburukkan Nabi Muhammad SAW. Jika tiada bantahan umat Islam, tiada siapa pun yang kenal Innocence of Muslims apatah lagi menyebut nama pengarahnya.  Bacile tentu gembira kerana latah umat Islam menyebabkan filemnya jadi sebutan dunia. Lebih aneh, kemarahan itu menyebabkan umat Islam sendiri menjadi mangsa. Seramai 300 penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kaherah. Bukan Bacile atau Yahudi yang cedera, tapi umat Islam. Seramai 224 cedera sejak keganasan tercetus.

Seramai 5,000 merusuh di Khartoum, Sudan dengan menyerbu Kedutaan Britain dan Jerman. Perusuh cedera kerana bergaduh sesama sendiri selain bergasak dengan polis. Lebih parah di Yaman, ribuan penunjuk perasaan merusuh menyebabkan seorang maut dan 15 cedera di luar Kedutaan AS. Barangkali yang tidak beruntung bagi pihak AS adalah di Benghazi, timur Libya apabila dutanya, Chris Stevens dan tiga warganya terbunuh. Bantahan turut diadakan di Palestin dengan ribuan orang berkumpul di Genting Gaza, manakala ratusan yang lain berhimpun di Baitulmaqdis. Kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan polis Israel di Baitulmaqdis. Ada yang parah dan dipenjarakan rejim Yahudi. Yang untung dalam kes ini ialah Yahudi. Di Gaza pula penunjuk perasan mengibarkan bendera Hamas dan pergerakan Jihad Islam serta membakar bendera AS sambil melaungkan slogan meminta AS dan Israel dihapuskan. Mereka menjadikan isu sebuah filem yang mungkin tidak pernah ditonton untuk menunjuk perasaan. Mereka bagai lupa nasib umat Islam di Palestin, Myanmar dan Thailand yang sentiasa ditindas.

Moral ceritanya umat Islam mudah sensitif jika penganut agama lain mencerca mereka secara terbuka. Tapi mereka mudah lupa betapa sesama sendiri bersengketa dan berpuak-puak. Sejak pasca Perang Salib, tamadun Islam tiada lagi. Umat Islam yang kononnya mempunyai tamadun berabad sudah dipermainkan pihak lain. Banyak negara Islam menjadi bidak catur kuasa asing yang menjadikan fahaman feudal, sosialis, komunis dan kapitalis sebagai fahaman kepartian. Akhirnya polemik politik menjadi medan untuk menghina Islam dan hukum Allah itu sendiri. Ada yang mendakwa pejuang Islam tapi secara terbuka merendahkan hudud yang kononnya melahirkan masyarakat tidak bertamadun, sedangkan syariat Islam memenuhi semua aspek pentadbiran, gerakan siasah, pembentukan akhlak dan tamadun manusia. Innocence of Muslims hanya sekelumit cabaran terhadap umat Islam sejagat. Cabaran lebih besar membentuk jiwa Islam dalam kalangan ummah sendiri. Walaupun ada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang kononnya menyatupadukan suara ummah, polemik di sebalik tabir lebih memeranjatkan. Negara Islam kaya bagai alpa membantu umat kebuluran di Somalia dan Sudan. Mereka juga abai isu Rohingnya walaupun pada masa sama bercakap soal Libya, Syria dan Palestin.

Lebih lucu ketika Innocence of Muslims diperkatakan, restoran makanan segera dan minuman ringan keluaran Yahudi kekal laris di seluruh dunia. Yahudi sudah berada di ruang tamu kita menerusi TV yang menayangkan pelbagai filem dan siaran berita Barat yang memberi tempat kepada musuh Islam itu. Kita lupa ancaman wujud dalam diri sendiri!

Sumber
Berita Harian
2 Oktober 2012