TEMPAT : Petaling Jaya
Tarikh : 2 Oktober 2012
Hari : Selasa
Baru berusia sembilan
tahun, tapi lima murid tahun tiga sebuah sekolah di sini sudah berani berlagak
samseng apabila membelit leher seorang rakan sekelas mereka dengan tali
pinggang selain memukul mangsa dengan kasut dan pembaris besi pada 2 Oktober
2012. Malah, lima samseng cilik terbabit turut mengugut untuk membunuh serta
mencampak rakan mereka itu ke dalam hutan dan mereka berbuat demikian hanya
kerana tidak menyukai mangsa. Sumber polis berkata, kejadian itu berlaku jam
1.30 tengah hari di sekolah berkenaan dan kelima-lima murid terbabit terlebih
dulu mengepung mangsa sekelas mereka ketika berada dalam bilik darjah.
KOMEN CIKGU ZUL
Salah laku pelajar pada masa ini semakin lama semakin membimbangkan. Pada usia yang sebegitu muda sebegini mereka mudah terikut-ikut dengan setiap perbuatan orang dewasa yang dilihat secara nyata di depan mata atau ditonton melalui filem dan pelbagai lagi sumber yang ada pada hari ini. Kecanggihan dunia internet yang menjadikan dunia tanpa sempadan membolehkan segala maklumat sama ada baik atau buruk menjadi sajian minda setiap orang yang melayari internet tanpa mengira usia. Asuhan ibu bapa di rumah dan didikan guru di sekolah bagaikan mencurah garam ke laut kerana kepercayaan anak-anak muda masa kini dipengaruhi oleh pelbagai aspek. Siapakah yang harus dipersalahkan? Jika kita menunding jari kepada ibu bapa tidak mustahil ibu bapa pula akan menundingkan jari kepada kita. Haruskah guru dipersalahkan? Jika harus, pernahkah kita terfikir, adakah semua guru di Malaysia ini mahu anak-anak didik mereka bertingkah laku seperti samseng?
Tunding menunding tidak akan membawa apa-apa keberkesanan atau menemukan kita dengan jalan penyelesaian kerana selepas ini kita akan terus dihidangkan dengan berita sebegini tatkala kita sedang berselera menjamah sarapan. Pada persepsi saya, kematangan dan keintelektualan harus dibentuk dalam setiap murid sejak sekolah rendah lagi. Mentaliti mereka perlu dicondongkan ke arah kebaikan. Nilai-nilai keagamaan perlu dipasak kukuh di minda mereka sejak menuntut di tadika. Bukan menafikan pendidikan yang sedia ada sekarang tetapi golongan cerdik pandai perlu memikirkan kembali keberkesanan kurikulum sedia ada dalam menjana modal insan yang unggul dan utopia. Ibu bapa perlu mengubah cara mendidik anak. Kadang-kadang didikan yang kita rasakan betul tidak semestinya betul kerana kita tidak pernah melakukan penilaian dan pemantauan disebabkan sikap terlalu sensitif dan pantang ditegur. Budaya menyalahkan pihak lain dan mengatakan diri kita sahaja yang betul harus diperbetul sebelum cacing naik ke mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan