Anwar Patho Rohman
Itulah kenyataan
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika mengulas isu menghina agama
dalam internet baru-baru ini. Soalnya, mengapakah perkara itu berlaku. Apakah
faktor yang menyebabkan penghinaan itu berterusan. Adakah disebabkan
keterbukaan dan sikap bertolak ansur umat Islam mewajarkan Islam dipersenda
seperti yang berlaku dalam isu murtad, penggunaan kalimah Allah dan melempar
surau dengan cat atau meletakkan kepala babi dekat masjid sebelum ini? Jika
berlaku pun penghinaan itu, biasanya ia berakhir dengan ‘drama’ saling
bermaaf-maafan diiringi kata-kata ‘menyesal dengan apa yang berlaku’.
Ketagih internet
Lebih menyedihkan
jika penghinaan dalam internet itu bukan saja dilakukan bukan Islam, malah
orang Islam sendiri tanpa sebarang rasa bersalah. Hakikatnya, perbuatan
menghina agama terutama Islam boleh dianggap bukan luar biasa khasnya sejak
internet muncul disusuli lambakan laman sosial yang menjadi tempat pengguna
internet meluahkan perasaan. Manusia kini begitu ketagih dengan internet
sehingga setiap apa saja perasaan, perbuatan, pandangan dan keinginan hati atau
yang berlaku sekeliling mereka akan ditulis dalam laman sosial menerusi status
mereka sama ada mempunyai tujuan khusus atau sekadar suka-suka. Ketagihan itu
pula disokong dengan kemunculan pelbagai telefon pintar canggih yang
membolehkan manusia melayari internet di mana saja atau dalam apa situasi
sekali pun. Hidup manusia pada hari ini boleh dikatakan seperti ‘tidur
internet, makan internet’.
Laman sosial menjadi
medan meluahkan rasa atau pendapat dan ia menjadi budaya dalam masyarakat sehingga
apa yang diluahkan itu kadangkala menyentuh isu sensitif dalam sudut agama,
budaya dan bangsa. Ada yang menyangka, tindakan meluahkan perasaan dan
pandangan dalam internet adalah kebebasan dalam dunia maya dan orang lain tidak
berhak menghalangnya. Apabila perasaan itu terus bersarang di jiwa, berlaku
insiden ada individu dan pihak tertentu tidak lagi sensitif dengan perkara
boleh membangkitkan kemarahan penganut agama lain. Di negara ini, penghinaan
terhadap agama khasnya Islam menerusi internet dan laman sosial banyak berlaku,
namun tidak begitu didedahkan atas alasan untuk memelihara keharmonian antara
kaum.
Guna saluran
diplomasi
Ramai yang tidak
menyedari kerajaan tidak sewenang-wenangnya menggunakan peruntukan
undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 untuk menghukum mereka yang menghina
agama. Sebaliknya, kerajaan masih menggunakan saluran diplomasi bagi menangani
isu berkaitan seperti menerusi Rukun Tetangga (RT), persatuan komuniti dan
badan bukan kerajaan (NGO). Kerajaan menggunakan kuasa undang-undang seperti
Akta Hasutan 1948 bagi menangani isu membabitkan keselamatan, keharmonian dan
perpaduan, tetapi tidak pada isu menghina agama. Dalam hal ini, Ketua Pengarah
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Azman Amin
Hassan mengesahkan isu membabitkan perselisihan faham antara kaum seboleh
mungkin diselesaikan menerusi rundingan.
Apa yang berlaku hari
ini disebabkan masyarakat berbilang bangsa dan agama tidak memahami
adat resam
dan amalan agama lain. Silang budaya ini masih berlaku dan ia menjadi punca
keretakan
hubungan antara kaum dan perpaduan, termasuk
punca perbuatan menghina
agama.
Akta Keharmonian
Nasional
“Segala permasalahan
yang menyentuh isu keharmonian kaum dan agama hari ini tidak sampai satu
peratus, tetapi ia menjadi isu apabila ada pihak yang cuba menangguk di air
keruh untuk meraih keuntungan peribadi,” katanya. Menjadi harapan jika Akta
Keharmonian Nasional diwartakan menjadi undang-undang menggantikan Akta Hasutan
1948 yang mungkin menjadi sinar baru dalam amalan kebebasan beragama di negara
ini tanpa menjatuhkan martabat Islam sebagai agama Persekutuan seperti
termaktub dalam Perlembagaan. Penggubalan akta baru itu juga diharap memberi
tumpuan bagaimana isu berkaitan agama, bukan saja Islam juga yang dijamin
kedudukannya dalam Perlembagaan ditangani dengan berhemah dan bijaksana.
Sumber
Berita Harian
4 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan