Fauziah Arof
Berapa banyak pun
bantuan dan peruntukan yang diberikan, sekiranya tidak diuruskan dengan baik,
akhirnya balik ke asal juga. Kata sesetengah orang, berapa tinggi pun jumlah
gaji yang kita dapat setiap bulan, sebenarnya tidak memberi makna. Apa yang
lebih bermakna, berapa jumlah baki yang tinggal setelah ia dibelanjakan untuk
diri sendiri, keluarga dan membayar bil-bil wajib setiap bulan. Jika baki yang
tinggal ke tahap sampai hendak tutup hidung, sesak walaupun baru beberapa
hari menerima gaji, gaji yang banyak pun hanya nampak cantik pada slip gaji. Jadi,
pengurusan kewangan itu penting. Berilah apa jua bantuan kewangan, Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang kini diperluas kepada individu bujang berusia 21
tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM2,000, bonus, baucar Buku 1Malaysia
atau bantuan RM100 untuk setiap murid sekolah rendah dan menengah, jika bantuan
ini disalah guna atau digunakan untuk perkara-perkara lain, tentu sekali tidak
dapat membantu.
Bajet 2013 yang baru
dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu,
walaupun dihentam macam-macam oleh pihak pembangkang, tetapi yang penting kesan
dan manfaatnya kepada orang ramai. Cakaplah apa yang mereka hendak cakap kerana
yang menerima dan menanggung beban kos sara hidup adalah rakyat. Pembangkang
hanya tahu bercakap dan mengutuk. Tidak membantu pun. Diberi bantuan pun teruk
kena kutuk, apatah lagi jika tidak diberi langsung. Jadi kepada rakyat yang
termasuk dalam kategori yang menerima habuan daripada Bajet 2013, terimalah
dengan rasa bersyukur. Pada masa yang sama, uruskanlah bantuan berkenaan
sebaik-baik mungkin. Kepada kakitangan awam, tentunya mereka menerima banyak
keistimewaan berbanding pekerja-pekerja swasta dalam Bajet 2013 ini. Bonus satu
setengah bulan sudah dikira cukup menarik, berbanding pekerja swasta yang ada
sesetengahnya hendak dapat satu bulan bonus pun seperti terpaksa masuk ke medan
peperangan.
Jadi amatlah luar
biasa fitrahnya, apabila segelintir daripada mereka yang mendapat macam-macam
keistimewaan ini termasuk duduk di kuarters kerajaan, mengutuk majikan di
laman-laman sosial terutama pada waktu bekerja dengan menggunakan pula
kemudahan komputer milik majikannya.
Dan kepada ibu bapa
yang mempunyai anak-anak yang bersekolah, tentunya berasa amat bersyukur kerana
pemberian wang tunai RM100 untuk setiap murid diteruskan. Sedikit sebanyak
beban dapat dikurangkan apabila musim persekolahan bermula pada tahun depan. Memanglah
jumlah RM100 bukannya banyak, tetapi untuk yang berpendapatan rendah, pemberian
itu memberi banyak kesan kepada mereka. Ada yang memperlekehkan pemberian itu
dengan mengatakan terlalu sedikit, apa sangat yang boleh dibeli dengan RM100?;
ini duit untuk beli jiwa dan macam-macam lagi. Tetapi bila tiba waktu untuk
mengutipnya, tetap sanggup bermandi peluh, lenguh lutut, beratur panjang di
sekolah anak. Dan kalau pun rasa jumlah itu sedikit, kononnya tidak dapat
membantu, ambil wang itu, berikan kepada yang betul-betul memerlukan. Sudah
tentu dapat pahala bersedekah, daripada merungut-rungut dan mengutuk si
pemberi. Dalam pengurangan subsidi gula pula, perkara ini perlu diambil
perhatian. Memanglah cadangan mengurangkan pengambilan gula itu amat baik
sekali, demi untuk menjaga kesihatan. Tetapi yang tidak baiknya, kita bimbang
peniaga-peniaga di restoran nanti termasuk penjual kuih di tepi jalan turut
panjang akal menaikkan harga makanan.
Jadi, pemantauan
terutamanya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan amat diperlukan supaya rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga
makanan pula. Nanti tidak pasal-pasal pula harga barangan keperluan lain yang
tidak ada kena mengena dengan gula turut dinaikkan oleh peniaga-peniaga yang
hanya menunggu peluang dan ruang untuk menaikkan harga barang. Berbalik soal
menguruskan kewangan, mahu atau tidak, setiap daripada kita perlu membuat
perancangan bajet bulanan sendiri untuk menentukan keluarnya pendapatan bulanan
itu ke mana perginya. Urusan keluar masuk wang sepatutnya dihitung betul-betul.
Adakah wang itu keluar untuk membiayai keperluan, bil-bil dan berapa banyak
perbelanjaan digunakan untuk hal-hal berkaitan berlibur (sekiranya ada baki
untuk itu). Dan berapa pula yang boleh disimpan untuk waktu-waktu kecemasan.
Sekiranya kita terus
berbelanja secara selagi tidak habis, apa sahaja yang kita peroleh, termasuk
bantuan yang jumlahnya kecil atau besar, tentunya tidak mencukupi. Dan itu yang
menjadikan ramai yang sentiasa berasa tidak puas hati dan merungut dengan
imbuhan yang diberikan.
Sumber
Utusan Malaysia
3 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan