Imlan Adabi
Nakoula Basseley atau
dikenali Sam Bacile sepatutnya berterima kasih kepada sebahagian besar umat
Islam kerana memberi publisiti percuma kepada filemnya. Innocence Of Muslims hanya filem murahan yang
tiada kualiti. Bacile bukan pengarah ternama apatah lagi penulis skrip yang
meraih Anugerah Oscar. Dia hanya penyangak yang ada kes penipuan perbankan.
Tiada siapa peduli
ketika dia memulakan penggambaran Desert Warriors kerana tiada tarikan magis
untuk diperkatakan. Ia sekadar cerita pahlawan padang pasir yang tidak sesuai
lagi dengan selera semasa. Malah, wartawan hiburan di California pun menolak
undangan sidang media kerana filem yang kemudian ditukar kepada Innocence of
Muslims dianggap tiada isu untuk dipaparkan. Innocence of Muslims hanya meletup
apabila menerima bantahan umat Islam sejagat. Bacile dianggap anti-Islam dan
menjalankan agenda Yahudi untuk memburukkan Nabi Muhammad SAW. Jika tiada
bantahan umat Islam, tiada siapa pun yang kenal Innocence of Muslims apatah
lagi menyebut nama pengarahnya. Bacile
tentu gembira kerana latah umat Islam menyebabkan filemnya jadi sebutan dunia.
Lebih aneh, kemarahan itu menyebabkan umat Islam sendiri menjadi mangsa.
Seramai 300 penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Kedutaan Amerika
Syarikat (AS) di Kaherah. Bukan Bacile atau Yahudi yang cedera, tapi umat
Islam. Seramai 224 cedera sejak keganasan tercetus.
Seramai 5,000 merusuh
di Khartoum, Sudan dengan menyerbu Kedutaan Britain dan Jerman. Perusuh cedera
kerana bergaduh sesama sendiri selain bergasak dengan polis. Lebih parah di
Yaman, ribuan penunjuk perasaan merusuh menyebabkan seorang maut dan 15 cedera
di luar Kedutaan AS. Barangkali yang tidak beruntung bagi pihak AS adalah di
Benghazi, timur Libya apabila dutanya, Chris Stevens dan tiga warganya
terbunuh. Bantahan turut diadakan di Palestin dengan ribuan orang berkumpul di
Genting Gaza, manakala ratusan yang lain berhimpun di Baitulmaqdis. Kumpulan
penunjuk perasaan bertempur dengan polis Israel di Baitulmaqdis. Ada yang parah
dan dipenjarakan rejim Yahudi. Yang untung dalam kes ini ialah Yahudi. Di Gaza
pula penunjuk perasan mengibarkan bendera Hamas dan pergerakan Jihad Islam
serta membakar bendera AS sambil melaungkan slogan meminta AS dan Israel
dihapuskan. Mereka menjadikan isu sebuah filem yang mungkin tidak pernah
ditonton untuk menunjuk perasaan. Mereka bagai lupa nasib umat Islam di
Palestin, Myanmar dan Thailand yang sentiasa ditindas.
Moral ceritanya umat
Islam mudah sensitif jika penganut agama lain mencerca mereka secara terbuka.
Tapi mereka mudah lupa betapa sesama sendiri bersengketa dan berpuak-puak.
Sejak pasca Perang Salib, tamadun Islam tiada lagi. Umat Islam yang kononnya
mempunyai tamadun berabad sudah dipermainkan pihak lain. Banyak negara Islam
menjadi bidak catur kuasa asing yang menjadikan fahaman feudal, sosialis,
komunis dan kapitalis sebagai fahaman kepartian. Akhirnya polemik politik
menjadi medan untuk menghina Islam dan hukum Allah itu sendiri. Ada yang
mendakwa pejuang Islam tapi secara terbuka merendahkan hudud yang kononnya
melahirkan masyarakat tidak bertamadun, sedangkan syariat Islam memenuhi semua
aspek pentadbiran, gerakan siasah, pembentukan akhlak dan tamadun manusia. Innocence
of Muslims hanya sekelumit cabaran terhadap umat Islam sejagat. Cabaran lebih
besar membentuk jiwa Islam dalam kalangan ummah sendiri. Walaupun ada
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang kononnya menyatupadukan suara ummah,
polemik di sebalik tabir lebih memeranjatkan. Negara Islam kaya bagai alpa
membantu umat kebuluran di Somalia dan Sudan. Mereka juga abai isu Rohingnya
walaupun pada masa sama bercakap soal Libya, Syria dan Palestin.
Lebih lucu ketika
Innocence of Muslims diperkatakan, restoran makanan segera dan minuman ringan
keluaran Yahudi kekal laris di seluruh dunia. Yahudi sudah berada di ruang tamu
kita menerusi TV yang menayangkan pelbagai filem dan siaran berita Barat yang
memberi tempat kepada musuh Islam itu. Kita lupa ancaman wujud dalam diri
sendiri!
Sumber
Berita Harian
2 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan