DR. JESSICA ONG HAI
LIAW
Timbalan Pengarah
Bahagian Kepimpinan,
Korporat dan
Perhubungan Antarabangsa dan pensyarah Kanan
di Universiti
Pertahanan Nasional Malaysia.
Pelan Strategik
Pengajian Tinggi Negara atau PSPTN untuk mentransformasi pensyarah muda
berpotensi bagi pembangunan negara telah diterapkan dalam Program Kepimpinan
Inovasi dan Transformasi Pensyarah Muda Zon Tengah dalam dua siri oleh
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi
(AKEPT) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Tahun ini, program
diteruskan dengan menggabungkan pensyarah-pensyarah muda dari Universiti Putra
Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Nasional
Malaysia dan Razak School of Government. Hasil bengkel ini, saya kongsikan
suara-suara pensyarah muda yang bercakap tentang kehadiran masing-masing,
adakah mereka dipilih datang ke program ini kerana muda dari segi perkhidmatan
atau memang muda. Baguslah kalau masih muda kerana pensyarah muda dapat
menentukan hala tujunya dengan program sebegini apabila mereka dapat berjumpa
dengan ahli panel dan penceramah yang hebat.
Kesemuanya penceramah
dan ahli panel yang hebat dengan hujah dan jawapannya membantu pensyarah muda
merungkai seribu persoalan. Perbincangan yang hangat didebatkan menjurus kepada
isu dan cabaran pensyarah muda yang mencari, membina nilai dan menilai kualiti
kepimpinan berdasarkan kerangka kepimpinan yang menjadi asas. Platform bagi
pemimpin muda untuk membentuk idea serta cadangan, menjana dialog dan
pertukaran pandangan sesama generasi tidak dapat dilaksanakan kerana
suara-suara mereka seakan-akan tenggelam kerana dikatakan tidak berpengalaman
dan disisihkan. Bengkel ini akan membawa suara hati pensyarah muda melalui
AKEPT kepada KPT untuk dibentangkan kepada Menteri Pengajian Tinggi. Harapan
supaya pensyarah muda mempunyai kepakaran yang berbeza dan janganlah dilihat di
atas jurnal-jurnal berimpak tinggi sahaja tanpa menilai kerja-kerja lain yang
menyumbang kepada universiti. Alangkah lebih baik, kata mereka, duduk dalam
bilik dan menulis jurnal tanpa perlu memegang jawatan tambahan dan akhirnya
mereka yang dapat naik pangkat lebih menjurus kepada bilangan jurnal berimpak
tinggi.
Guru-guru bahasa di
universiti masih dengan Gred DG turut meminta pihak Kementerian Pengajian
Tinggi memikirkan nasib mereka ditukar kepada Gred DS iaitu menjadi pensyarah
bahasa. Banyak lagi isu yang tidak dapat saya utarakan dan akan diusulkan
kepada KPT berkaitan masalah kelayakan geran dan sebagainya.
AKEPT di bawah
pimpinan Datuk Prof. Dr. Roziah Omar sentiasa prihatin dalam menyediakan
pemimpin pelapis dalam pelan penggantian di setiap universiti. Kumpulan
pensyarah muda yang mempunyai asas kepimpinan kukuh ini diharap dapat
menyumbang kepada kualiti kepimpinan akademik di institut pengajian tinggi awam
sekali gus memenuhi hasrat kementerian untuk menjadikan Malaysia sebagai hab
pengajian tinggi khususnya dalam konteks kepimpinan pengajian tinggi. Pelbagai
kemahiran kepimpinan dapat diperkukuhkan dalam kalangan para peserta pada
program ini selain membantu dalam meningkatkan soft skills yang begitu
diperlukan bagi mereka yang mampu digunapakai dalam bidang masing-masing semasa
di universiti. Harapan AKEPT supaya pertemuan dan perbincangan dengan
pensyarah-pensyarah muda dari beberapa universiti negara ini secara tidak
langsung memberi peluang untuk berinteraksi secara sihat selain melontarkan
pandangan dan idea dalam pelbagai bidang. Idea dan pandangan dari pensyarah
muda ini amat ditagih dalam setiap institusi bagi memastikan wujudnya pandangan
yang lebih segar dengan perspektif berbeza dan seterusnya mampu dimanfaatkan
untuk kepentingan bersama.
Model Baharu Ekonomi
(MBE) untuk mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara maju yang
berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Penglibatan tenaga akademik dalam
menyalurkan idea dan kaedah dalam usaha pembangunan Negara. Akademia Muda juga
hendaklah bertindak sebagai perunding dan pakar dalam aktiviti think tank pada
peringkat kebangsaan atau antarabangsa.
Malahan Akademia Muda
digalakkan untuk mewujudkan kolaborasi yang mantap, kukuh dan pintar (Smart
Partnership) dengan pihak industri kerana kedua-dua pihak saling memerlukan
antara satu sama lain dalam konteks pembangunan negara. Kolaborasi yang mantap
ini bukan sahaja dapat mengukuhkan aspek berkaitan pembelajaran dan pengajaran
semata-mata tetapi juga dalam masa sama dapat berganding bahu dalam menangani
dan mengurus cabaran ke arah mewujudkan ekosistem persekitaran mapan. Majlis
Profesor Negara (MPN) mempunyai barisan profesor yang cukup mantap dan
berwibawa dari segi kepimpinannya. Namun, saya merasakan MPN perlu membuka
ruang untuk pensyarah-pensyarah muda menimba ilmu dan mendapat peluang belajar
dengan para profesor dari MPN. Pensyarah-pensyarah muda dapat membuka minda dan
turun padang sama-sama dalam setiap aktiviti bersama MPN untuk melihat dan
belajar dengan para profesor sebagai sifu. Pensyarah-pensyarah muda masih ingin
belajar dan terus menimba ilmu dengan para sifu dengan harapan sudi membimbing
mereka.
Menteri Pengajian
Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sering menegaskan dalam setiap acara
dan program yang dihadirinya bahawa sektor pengajian tinggi merupakan sektor
yang paling kritikal dalam menjayakan Program Transformasi Negara. Ini kerana
sektor pengajian tinggi adalah merupakan sumber yang bertanggungjawab dalam
melahirkan modal insan yang memiliki minda kelas pertama. Modal insan minda
kelas pertama adalah merujuk kepada mereka yang mampu menggunakan pengetahuan
secara proaktif, kreatif, inovatif dan berkemahiran teknikal serta mampu untuk
menangani persekitaran global yang sentiasa berubah-ubah. Bagi memastikan modal
insan yang dilahirkan seperti yang ditetapkan ia bukan hanya bergantung kepada
kehebatan infrastruktur dan prasarana semata-mata tetapi tenaga akademik yang
akan memacu juga hendaklah berkualiti tinggi, profesional, berwibawa,
berpandangan jauh dan yang paling penting memiliki nilai integriti.
Maka, pemimpin
pelapisnya ialah pensyarah muda. Wang ringgit bukanlah ukuran untuk pensyarah
muda inginkan tetapi mereka ingin menyumbangkan idea dan tenaga dalam
membangunkan pendidikan negara. Sekadar ucapan penghargaan yang diberikan cukup
memadai.
Semangat kita ada
kalanya luntur apabila bercakap tentang penghargaan dan dilema antara peranan
dan tanggungjawab diberikan kepada kita terlalu berat dalam mengejar Key
Performer Indicators (KPI). Kesempatan saya menemubual dua tokoh yang disegani
iaitu Mejar Jeneral Datuk Abdullah Babu PGB yang berpesan - "Sentiasa
menjaga anak-anak buah dengan baik dan berikan kata-kata penghargaan, semangat
dan ganjaran untuk semua tanpa mengira senior dan junior jika mereka
menunjukkan prestasi yang baik.'' Kata-kata berharga daripada Jeneral Tan Sri
Datuk Paduka Dr. Hashim Mohd Ali:
''Doa ibu bapa amat
penting, sayangilah ibu bapa kerana keberkatan restu mereka membawa kebahagiaan
dalam kehidupan kita". Satu amanat dari beliau sebelum saya melangkah
pergi, terus saya sematkan di hati kini dan selamanya, "Always look at
people's strength not on their weakness".
Salam 1Hati.
Sumber
Utusan Malaysia
Utusan Malaysia
3 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan