14 September 2012

ISU PENDIDIKAN : MENGANJAK PENDIDIKAN NEGARA



KEMAJUAN DAN KEJAYAAN

Sistem pendidikan di Malaysia telah menempa banyak kemajuan sepanjang lebih lima dekad yang lalu. Hasil daripada Laporan Razak (1956), kemudiannya Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), penggubalan Akta Pendidikan 1996, sehinggalah yang terakhir Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010), sistem pendidikan kita telah mencatat beberapa kejayaan yang membanggakan.

Enrolmen murid pada peringkat pendidikan rendah, termasuk di sekolah swasta, telah mencapai tahap hampir sejagat, iaitu 96 peratus (%) berbanding hanya 40% pada tahun 1950. Kadar enrolmen pada peringkat menengah rendah pula telah mencapai 91%, dan menengah atas 82%. Peningkatan yang signifikan dalam enrolmen disusuli oleh peningkatan dalam pencapaian murid. Kadar literasi remaja telah meningkat daripada 88% pada tahun 1990 kepada kadar hampir sejagat sebanyak 99% masa kini. Kadar literasi dewasa juga telah meningkat secara mendadak, iaitu daripada 52% semasa negara mencapai kemerdekaan kepada 93% pada tahun 2010. Kesemua pencapaian ini amat membanggakan kita.

Kerajaan juga telah memperuntukkan secara tekal sebanyak 16% daripada bajet negara setiap tahun untuk Kementerian Pelajaran. Pelaburan yang besar telah dibuat dalam latihan guru, emolumen dan pembinaan infrastruktur serta kemudahan asas pendidikan yang telah berhasil meningkatkan penyertaan murid pada peringkat pendidikan rendah dan menengah, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman. Hasilnya, jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar telah berkurangan. Dalam peperiksaan UPSR, jurang pencapaian murid bandar dan luar bandar telah berkurangan daripada 8% pada tahun 2005 kepada 4% pada tahun 2011.

Mutakhir ini, berkat usaha gigih warga pendidik dan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara bagi sektor pendidikan, enrolmen murid prasekolah juga telah berjaya ditingkatkan daripada 67% pada tahun 2009 kepada 77% pada tahun 2011. Penguasaan Literasi dan Numerasi murid juga telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan. Berdasarkan keputusan ujian LINUS 2011, kadar literasi murid kohort Tahun1 telah meningkat daripada 87% pada tahun 2010, kepada 95% apabila mereka berada di Tahun 2 pada tahun 2011. Begitu juga dengan kadar numerasi murid kohort yang sama telah meningkat daripada 87% pada tahun 2010 kepada 97% pada tahun 2011.

Semua kejayaan ini adalah hasil komitmen dan usaha gigih para guru, ibu bapa, anggota masyarakat dan kerajaan untuk meningkatkan pencapaian murid di negara kita. Namun, di sebalik lakaran kejayaan ini, masih banyak lagi yang perlu kita capai. Ketika sistem pendidikan kita menempa beberapa kemajuan penting sepanjang lebih lima dekad yang lalu, sistem pendidikan di negara-negara lain juga telah bergerak pantas dalam perlumbaan untuk menjadi sistem yang terbaik di dunia. Dalam persaingan global yang semakin sengit ini, negara kita perlu bergerak lebih pantas ke hadapan. Walau bagaimanapun, pentaksiran pada peringkat antarabangsa menunjukkan pencapaian murid kita dalam beberapa bidang penting seperti Bacaan, Matematik dan Sains masih rendah berbanding murid di negara-negara maju. Misalnya, daripada 74 buah negara yang mengambil bahagian dalam ujian Programme for International Student Assessment atau PISA 2009, murid Malaysia berada di tempat sepertiga terbawah bagi Bacaan, Matematik dan Sains.

Hal ini perlu diatasi segera sekiranya negara kita ingin mengorak langkah lebih pantas dalam perlumbaan menuju negara maju. Tidak ada jalan pintas untuk kita melakukannya. Tidak ada tongkat ajaib yang boleh menjelmakan hasil yang terbaik dalam sekelip mata. Sebaliknya, kita perlu akur dengan realiti semasa, jujur melakukan pembetulan dan mengambil langkah berani untuk melonjakkan prestasi pendidikan negara.

PENYEDIAAN PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN, 2013-2025

Bertitik tolak daripada kesedaran ini, Kementerian Pelajaran telah memulakan usaha mengkaji semula sistem pendidikan negara pada bulan Oktober 2011. Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara telah dibentuk untuk mengumpul pandangan masyarakat umum mengenai langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan. Menerusi satu siri jelajah dialog pendidikan yang diadakan di seluruh negara, sebanyak 7,039 syor telah diterima daripada hampir 12,000 orang peserta yang mengambil bahagian. Kementerian juga telah menerima 156 memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan individu. Selain itu, pandangan daripada Panel Penilai Bebas Malaysia dan Antarabangsa telah diperolehi dalam menyediakan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan. Kementerian juga telah mendapatkan input daripada kajian-kajian yang dilakukan oleh UNESCO, OECD, Bank Dunia dan Institusi-Institusi Pendidikan Tinggi Awam tempatan.

Hari ini, ketika kita masih lagi dalam semangat sambutan ulang tahun kemerderkaan negara yang ke-55, tercatat satu lagi peristiwa penting dalam lembaran sejarah negara kita. Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan yang akan memacu pendidikan negara ke arah pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Pelan ini tidak ubah seperti satu referendum bersejarah yang melambangkan cita-cita dan pengharapan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.

MATLAMAT DAN PENDEKATAN

Kementerian Pelajaran akan mengorak langkah dalam menghasilkan suatu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Di samping itu, pada peringkat murid-murid pula, pelan ini menyasarkan 6 ciri aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, serta identiti nasional.

Dalam merangka Pelan ini, 9 bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalusi. Sembilan perkara tersebut ialah:

* Pertama, memartabatkan profesion keguruan;

* Kedua, meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah;

* Ketiga, meningkatkan kualiti sekolah;

* Keempat, memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran;

* Kelima, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa;

* Keenam, mengukuhkan pelibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan;

* Ketujuh, meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja;

* Kelapan, memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber; dan

* Kesembilan, membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.

Daripada keseluruhan 9 bidang keutamaan ini, Kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh seluruh rakyat Malaysia. Sebahagian daripada anjakan ini merupakan perubahan strategi dan hala tuju pendidikan, manakala anjakan yang lain merupakan perubahan operasi yang telah dan sedang dilaksanakan. Sama ada perubahan bersifat strategi atau operasi, semuanya menggambarkan perubahan amalan semasa.

11 ANJAKAN

ANJAKAN PERTAMA (1) ialah Menyediakan Kesamarataan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Bertaraf Antarabangsa. Hakikatnya, hari ini, murid dikatakan telah berjaya menguasai ilmu apabila mereka berupaya menganalisa maklumat, berfikir secara kritis, mengaplikasi ilmu secara kreatif dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah ciri-ciri kemahiran berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara-negara maju. Sehubungan dengan itu, Kementerian akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kementerian juga akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal selagi sekolah boleh menyampaikan hasil pembelajaran dan kandungan yang digariskan dalam kurikulum.

Seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu ini, kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana. Ini termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang, dan menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun berbanding enam tahun. Selanjutnya, peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan dirombak untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu. Sebagai contoh menjelang tahun 2016, peperiksaan UPSR akan mengandungi 80 peratus soalan berbentuk pemikiran aras tinggi.

Selain itu, tempoh pendidikan wajib juga akan dilanjutkan daripada 6 tahun sekarang kepada 11 tahun, dengan disokong oleh pelbagai inisiatif untuk mengekalkan murid dalam sistem pendidikan, termasuk memperluaskan laluan pendidikan dan latihan teknik dan vokasional. Untuk menjamin akses pendidikan berkualiti dan bertaraf antarabangsa kepada semua murid, kerajaan akan meningkatkan pelaburan bagi sumber fizikal dan pengajaran kepada murid dengan keperluan khusus. Murid Orang Asli dan kumpulan minoriti, serta murid kurang upaya fizikal dan pembelajaran, akan menerima bantuan tambahan supaya mereka juga menikmati peluang yang sama seperti murid lain.

Dari segi penguasaan bahasa, Kementerian akan melaksanakan AJAKAN YANG KEDUA (2), iaitu memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan ini, Kementerian akan memperluas program LINUS supaya meliputi literasi Bahasa Inggeris. Kementerian juga akan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 orang guru bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Guru yang tidak mencapai standard yang ditetapkan akan mengikuti latihan intensif untuk meningkatkan kemahiran. Di samping itu, murid akan diberi pendedahan yang lebih meluas terhadap bahasa Inggeris dengan memperkenalkan modul Sastera Inggeris yang akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah.

Bagi memantapkan penguasaan bahasa Malaysia di semua jenis sekolah, kementerian akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah, merangkumi sekolah jenis kebangsaan. Dengan pelaksanaan kurikulum standard ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsan akan dimansuhkan mulai tahun 2017. Selain itu, Kementerian juga akan menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, bahasa Tamil atau bahasa Arab serta bahasa ibunda atau bahasa antarabangsa yang lain.

Seterusnya, Kementerian akan melaksanakan ANJAKAN yang ketiga (3), iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai. Dalam mengharungi dunia yang semakin mencabar hari ini, anak-anak kita perlu memiliki nilai-nilai murni sejagat yang selaras dengan tuntutan moral, etika dan agama. Pada masa yang sama, sebagai warganegara, anak-anak kita juga perlu sentiasa dipupuk dengan semangat patriotisme untuk membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu.

Untuk itu, menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan ini, kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang tahun 2017. Pedagogi untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan (role play), simulasi, perbincangan, dan tugasan dalam kumpulan kecil. Selanjutnya, Kurikulum Pendidikan Islam akan melibatkan tumpuan terhadap pemahaman nilai teras dan falsafah Islam serta agama-agama yang lain. Bagi murid bukan Islam pula, Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan murid Islam dan bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar. Program-program yang sedia ada seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan program 1Murid 1Sukan 1Kelab dan 1Badan Berunifom juga akan diteruskan.

Segala langkah yang akan diambil ini tidak akan berhasil tanpa sokongan dan dokongan guru-guru yang berkualiti. Sehubungan dengan itu, kementerian akan melakukan ANJAKAN YANG KEEMPAT (4), iaitu meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai profesion pilihan. Anjakan ini adalah selari dengan pandangan sebahagian besar peserta Dialog Nasional Pendidikan Negara yang mahukan kualiti guru diberikan keutamaan. Untuk itu, kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan menyasarkan hanya 30% teratas daripada kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion keguruan. Selain itu, bagi guru-guru yang sudah berada dalam sistem, kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya berterusan guru-guru dengan melaksanakan program pembangunan kerjaya secara in-situ di sekolah.

Untuk menyokong peningkatan prestasi guru, kementerian akan menyediakan laluan kerjaya guru berasaskan kompetensi dan prestasi. Dalam hal ini, guru berprestasi tinggi akan berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula daripada gred DG41 sehingga DG54 dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun yang merupakan purata tempoh kenaikan pangkat secara time-based yang baru. Selain itu, kementerian akan memastikan guru memberikan tumpuan kepada fungsi teras pengajaran dengan mengurangkan beban pentadbiran; memperluaskan laluan kerjaya guru untuk peranan kepimpinan, pakar pengajaran dan pakar bidang khusus; dan mempertimbangkan untuk mewujudkan satu skim pensijilan yang dikaitkan dengan penguasaan kecekapan guru.

Seterusnya, ANJAKAN YANG KELIMA (5) ialah memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan disetiap sekolah. Untuk itu, kKementerian akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan kompetensi, serta memperkukuhkan proses perancangan penggantian pengetua dan guru besar mulai tahun 2013. Selain itu, kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar bertujuan untuk meningkatkan prestasi sekolah.

Kementerian juga akan menyediakan sokongan yang secukupnya kepada pengetua dan guru besar untuk membantu mereka meningkatkan prestasi sekolah. Untuk itu, Kementerian akan melakukan ANJAKAN YANG KEENAM (6), iaitu mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan. Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Specialist Coaches atau SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Partners atau SiPartners) secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Para jurulatih ini bertanggungjawab memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah, iaitu sekolah yang berada dalam band 5, 6 dan 7. Satu projek rintis akan dilaksanakan di negeri Sabah dan Kedah mulai Januari 2013, manakala pelaksanaan seluruh negara akan bermula Januari 2014.

Selain itu, untuk meningkatkan autonomi sekolah, kementerian akan membenarkan fleksibiliti pengoperasian ke atas pengagihan bajet dan pelaksanaan kurikulum, dimulai dengan Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Kluster, Sekolah Amanah dan sekolah-sekolah yang menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara. Dari semasa ke semasa, lebih banyak sekolah akan diberikan hak membuat keputusan dan akauntabiliti berdasarkan prestasi yang ditunjukkan.

Dalam dunia yang pantas berkembang hari ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT mempunyai potensi yang besar untuk memacu proses pembelajaran. Untuk itu, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KETUJUH (7), iaitu memanfaatkan (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran. Kementerian akan meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui pelaksanaan 1BestariNet bagi kesemua 10,000 buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung tahun 2013. Dalam masa yang terdekat, semua murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan landasan untuk pelaksanaan pembelajaran secara interaktif.

Seterusnya, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KELAPAN (8), iaitu mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran. Struktur organisasi kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian tidak bertindih. Lebih ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD, iaitu agensi utama dalam rantaian penyampaian pendidikan. Dalam konteks ini, PPD bukan lagi semata-mata berperanan sebagai saluran penghubung antara kementerian dan sekolah, tetapi sebagai agensi penting yang terlibat secara langsung dalam memantau dan mengurus prestasi sekolah. Kementerian akan mengekalkan fungsinya dalam perancangan makro dan penggubalan dasar, manakala JPN akan memberikan tumpuan kepada penyelarasan dan penyampaian segala perancangan, serta menjadi penghubung yang penting antara penggubal dasar dan pelaksana di peringkat bawah.

Menyedari hakikat bahawa proses pembelajaran tidak hanya berlaku di sekolah, tetapi turut merangkumi aktiviti-aktiviti di luar sekolah yang melibatkan penyertaan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KESEMBILAN (9), iaitu memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta. Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), untuk membolehkan ibu bapa memantau kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian. Perhatian khusus akan diberikan kepada usaha membantu ibu bapa luar bandar dan miskin bandar meningkatkan prestasi anak masing-masing.

Selain itu, pihak kementerian akan mendapatkan maklum balas daripada setiap PIBG mengenai pelaksanaan kurikulum setempat dan kualiti guru mulai tahun 2016. Untuk menggalakkan pelibatan sektor swasta dan komuniti, kementerian akan menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang tahun 2025 dengan turut melibatkan kumpulan alumni dan pertubuhan bukan kerajaan yang berpotensi sebagai penganjur. Saban tahun, sekitar 16% daripada bajet negara diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran, dan jumlah ini merupakan yang terbesar antara semua kementerian. Bajet pendidikan di Malaysia, sebagai sebahagian daripada KDNK juga merupakan satu daripada yang tertinggi di dunia.

Untuk itu, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KESEPULUH (10), iaitu memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan. Kementerian akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak rendah pada setiap tahun, seiring dengan anjakan pengurusan kewangan negara ke arah Bajet Berasaskan Keberhasilan (Outcome-Based Budgeting). Kementerian juga akan meningkatkan kecekapan dalam mengurus perbelanjaan dengan memberikan keutamaan kepada bidang paling kritikal seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.

ANJAKAN YANG KESEBELAS (11), iaitu yang terakhir, ialah meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam. Sepanjang pelaksanaan Pelan ini, semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian. Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif Pelan ini akan diterbitkan untuk tatapan umum mulai tahun 2013. Kementerian juga akan melaksanakan semakan komprehensif pada tahun 2015, 2020 dan 2025 bagi memastikan pelan ini sesuai dengan sifat dinamis dan perkembangan semasa sektor pendidikan.

Pelan Pembangunan Pendidikan ini adalah satu dokumen komprehensif yang bukan sahaja mengenal pasti bidang-bidang keutamaan dan meletakkan sasaran-sasaran yang hendak dicapai, malah turut menyenaraikan inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan, melakar pelan tindakan yang jelas, dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan. Misalnya, rakyat boleh menjangkakan dalam Gelombang Pertama pelaksanaan, iaitu dari tahun 2013 hingga 2015, akan berlaku peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah, dan mutu kepimpinan sekolah.

Dalam Gelombang Kedua pula, iaitu dari tahun 2016 hingga 2020, akan berlaku perubahan struktur sistem pendidikan negara yang menyaksikan kesemua 410,00 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerjaya baharu; bahagian-bahagian di Kementerian distruktur semula untuk menjajarkan dengan peranan yang direncanakan menerusi Gelombang Pertama; dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula untuk memastikan ia sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia hari ini. Manakala dalam Gelombang Ketiga, iaitu dari tahun 2021 hingga 2025, semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum. Kementerian akan memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan keluwesan operasi dan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah, serta membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran.

Keseluruhan anjakan ini akan memberikan impak yang besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara. Sekiranya kesemua 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, untuk tempoh 13 tahun akan datang kita akan menyaksikan satu anjakan besar dalam sistem pendidikan negara, iaitu daripada pendidikan yang berfokuskan akses kepada pendidikan yang berfokuskan kualiti. Untuk itu, sepanjang tempoh pelaksanaan, pegawai-pegawai di Kementerian, khususnya kumpulan pengurusan tertinggi, mempunyai KPI masing-masing yang dikaitkan dengan pencapaian setiap sasaran yang ditetapkan. KPI ini akan disebarkan ke peringkat bawah, dari Kementerian hingga ke sekolah, untuk memastikan matlamat yang hendak dicapai adalah tekal dan selari.

Selain itu, Kementerian akan mewujudkan Unit Penyampkian Pendidikan (Education Delivery Unit) untuk memacu pelaksanaan Pelan ini. Unit ini akan bertanggungjawab memantau kemajuan, menyelesaikan isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan mengumpul maklumbalas secara berterusan. Pegawai yang ditempatkan di unit ini akan terdiri daripada mereka yang berbakat besar dan berpengalaman luas dalam mengurus transformasi, baik dalam sektor awam mahupun sektor swasta. Dalam konteks ini, Pelan ini agak berbeza daripada laporan-laporan pendidikan yang terdahulu. Di samping menghuraikan hasrat dan sasaran yang hendak dicapai, Pelan ini lengkap dengan kaedah pelaksanaan, dan strategi penyampaian yang jelas.Kementerian dimaklumkan oleh Panel Penilai Bebas Antarabangsa bahawa kajian semula sistem pendidikan kita telah dilakukan dengan amat teliti, dan kualiti analisanya menepati standard antarabangsa.

Inilah julung-julung kali dalam sejarah negara kita, satu pelan pembangunan pendidikan untuk rakyat disediakan hasil rundingan awam secara telus dan terbuka. Sukacita saya maklumkan di sini bahawa sehingga kini, lebih 90 peratus pandangan yang dikemukakan oleh orang ramai menerusi siri jelajah Dialog Nasional Pendidikan Negara telah diambilkira dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan yang saya bentangkan pada hari ini.

Selepas ini, kementerian akan mengadakan Hari Terbuka untuk membolehkan masyarakat umum meneliti kandungan Pelan ini, mendapatkan penjelasan dan mengemukakan maklum balas lanjut kepada kerajaan. Saya percaya, apabila pelan ini dibentangkan kepada Kabinet kelak dan dimuktamadkan pada bulan Disember nanti, apa yang terhasil adalah satu pelan pendidikan yang sarat dengan cita-cita dan harapan rakyat. Inilah tanda kesungguhan Kerajaan Barisan Nasional bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk menzahirkan matlamat Dasar Transformasi Nasional yang berasaskan jangkaan dan pengharapan rakyat.

SUMBER
Utusan Malaysia
13 September 2012

13 September 2012

ISU ALAM SEKITAR : TUDUHAN PEMBALAKAN HARAM DI SABAH


Rencana ini ditulis oleh
DATUK SAM MANNAN
Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah


Satu tuduhan telah dibuat bahawa penebangan balak secara haram yang berskala besar dan berleluasa sedang berlaku di Sabah, yang mana hasilnya didakwa dilaburkan secara haram ke luar negara, seperti yang dilaporkan secara meluas dalam blog-blog dan yang amat mengejutkan kenyataan tersebut dibuat oleh pelbagai agensi akhbar antarabangsa, secara bercetak dan dalam talian. Satu angka bernilai AS$90 juta telah disebutkan sebagai "nest egg" (wang simpanan untuk kegunaan masa hadapan) atau hampir RM300,000,000. Jika tuduhan ini benar, ia menggambarkan yang tidak kurang 1 juta meter persegi (m3) balak telah ditebang secara haram. Ia seperti merompak tidak kurang dari 20,000 hektar (50,000 ekar) bekalan hutan yang kaya dengan kayu-kayan.

Skala pembalakan ini, jika benar akan mewakili 50 peratus (%) balak yang dihasilkan daripada hutan semula jadi dalam tahun 2011 atau sebanyak 30% daripada pengeluaran balak di Sabah pada tahun 2012. Jabatan Perhutanan mengakui bahawa penebangan secara haram berlaku di Sabah tetapi tidak mungkin menghampiri skala dan tahap sebagaimana yang didakwa. Tuduhan-tuduhan ini adalah tidak berasas dan dibuat dengan niat tidak baik (Mal Fide) untuk merosakkan nama dan meremehkan usaha dan pengorbanan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri Sabah, bagi mencapai tadbir urus hutan yang baik dan Pengurusan Hutan Mampan (SFM) dalam jangka masa yang sesingkat mungkin, walaupun dengan cabaran-cabaran kewangan ekonomi dan sosial.

Fakta-fakta untuk menyangkal tuduhan liar dan berniat jahat ini adalah seperti berikut:

PERTAMA
Tuduhan pembalakan haram (1 juta m3) yang seluas ini tidak mungkin terlepas daripada perhatian dunia secara umumnya. Suatu kawasan hutan yang kaya seluas 20,000 hektar yang telah dibalak dengan teruk secara haram akan dengan mudah dikesan oleh satelit-satelit dan menarik perhatian para NGO, pakar-pakar alam sekitar dan komuniti yang tinggal berhampiran. Tiada langsung kemungkinan yang membolehkan perbuatan tersebut dilakukan dan diluluskan tanpa disedari. Melainkan dan sehingga bukti kukuh dapat ditunjukkan, tuduhan-tuduhan tersebut adalah tidak berasas dan tidak benar.

KEDUA
Jika 50% pengeluaran tahunan balak dari Sabah didakwa dibuat secara haram, pasaran-pasaran dunia terutamanya yang peka seperti Eropah, Amerika Utara dan Jepun sepatutnya telah lama berhenti daripada membeli balak dari Sabah, dan implikasi-implikasi ekonomi dan kewangan yang besar sepatutnya telah memberi kesan teruk kepada negeri ini secara keseluruhannya. Ini tidak terjadi kerana pembalakan haram pada skala besar seperti yang didakwa tidak pernah berlaku.

KETIGA
Lesen-lesen jangka panjang Sabah telah tertakluk kepada pengauditan pihak ketiga (audit bebas) sejak tahun 2010, di bawah Malaysia-EC TLAS (Program Jaminan Balak Disahkan). Auditor-auditor bebas sepatutnya telah mengesan penebangan haram pada skala seumpama itu. Sebaliknya, Sabah sentiasa telus dan membiarkan pengurus hutannya terbuka kepada penelitian umum dan pihak auditor ketiga bagi mencapai kredibiliti yang diiktiraf dunia.

KEEMPAT
RIL (Impak pembalakan dikurangkan) telah diperkenalkan dalam tahun 2009 dengan pelaksanaan penuh dalam tahun 2010, sekali lagi disahkan secara bebas oleh auditor-auditor pihak ketiga, sehubungan itu tuduhan penebangan haram yang berleluasa (20,000 ha sekurang-kurangnya) amat mustahil terlepas daripada perhatian auditor-auditor antarabangsa yang memang terkenal.

KELIMA
Sekurang-kurangnya 800,000 hektar hutan Sabah adalah separa atau sepenuhnya dipersijilkan di bawah pelbagai sistem yang diiktiraf di peringkat antarabangsa (Majlis Pengawasan Hutan atau FSC, MTCS - Skim Pengiktirafan Balak Malaysia), PEFC - Skim Perhutanan Pan-European). Ini juga meliputi hutan di bawah Yayasan Sabah dengan sekurang-kurangnya 250,000 hektar bagi persijilan penuh dan 150,000 hektar hutan pensijilan separa.

KEENAM
Lebih banyak kawasan hutan sedang dikenal pasti untuk persijilan dan Sabah mensasarkan tahun 2014 sebagai tahun bagi kawasan-kawasan berlesen jangka panjang mendapat pensijilan sepenuhnya. Proses pensijilan ini bermakna pihak ketiga bebas dalam mengaudit di peringkat akar umbi untuk mengakses kredibiliti. Jika pertuduhan sedemikian benar, kenapa Sabah terus dapat menarik perhatian badan-badan persijilan dan NGO, yang ingin menjadi rakan kongsi kerajaan dan membantu kita dalam mendapatkan tadbir urus yang boleh disahkan dan dipersijilkan?

KETUJUH
Seluruh dunia telah mengetahui yang Sabah adalah wilayah tropika pertama di seluruh dunia yang mempunyai satu kawasan hutan hujan yang diiktiraf di bawah Piawaian Emas bagi FSC dalam 1997. Contohnya Hutan Simpan Dermakot. Ini adalah satu kawasan contoh bukan sahaja untuk Malaysia tetapi dunia tropika.

KELAPAN
Wilayah-eko Ulu Segama-Malua di Sabah yang bersempadan dengan Lembah Danum juga merupakan lokasi kepada model GRASP dunia (Great Apes Succeed Project) di bawah UNESCO, dengan tidak kurang daripada 3,000 Orang Utan pada masa ini dilindungi di hutan yang diiktiraf FSC yang mana kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Musa Aman, telah menghentikan sepenuhnya pembalakan pada 31.12.2007, selepas pengumuman dasar yang telah dibuat pada 15.3.2006. Keputusan berani telah dibuat walaupun terdapat implikasi kewangan yang besar - kehilangan potensi hasil sekurang-kurangnya RM4 bilion. Kenapa perlu disimpan hutan-hutan hujan yang bernilai ini selamanya jika pentadbiran tidak jujur dalam menangani penebangan haram?

KESEMBILAN
Kawasan simpanan TPAS (Kawasan-kawasan dilindung sepenuhnya) di Sabah pada masa sekarang mencapai 1.3 juta hektar atau 20% kawasan Sabah keseluruhannya, malah melebihi piawaian IUCN sebanyak 10%. Penambahan terkini adalah sebanyak 180,000 hektar - 55,000 hektar koridor hidupan liar menghubungkan Maliu Basin, Imbak Canyon ke Danum/Ulu Segama dan pengklasifikasian semula Ulu Segama (130,000 hektar) ke status perlindungan sepenuhnya. Perlu dinyatakan bahawa kepimpinan Ketua Menteri Sabah sekarang telah menunjukkan pengembangan terbesar dalam usaha peluasan TPAS dalam sejarah Sabah, di sebalik peluang konservasi.

KESEPULUH
Di bawah kepimpinan beliau, SFM telah diperbaiki secara mendadak, lesen-lesen jangka pendek yang mengakibatkan kemusnahan besar kepada alam sekitar secara drastiknya telah diberhentikan dan kredibiliti pengurusan hutan Sabah adalah pada tahap tertinggi - menerusi falsafah keterbukaan di mana kawasan pengurusan perhutanan dan pembalakan adalah semuanya terbuka kepada penelitian pihak ketiga dan NGO. Kebaikan, keburukan dan kecacatan adalah didedahkan secara terbuka dengan niat memperbaiki piawaian dan amalan-amalan di peringkat dasar.

KESEBELAS
Penurunan hasil hutan yang dirancang adalah satu strategi yang disengajakan untuk memastikan hutan-hutan diberikan peluang untuk pulih semula (sebanyak RM150 juta/ setahun pada masa sekarang berbanding kepada RM500 juta - RM1 bilion di dalam hutan) dan bekalan ditingkatkan semula dalam tempoh 20 tahun kemudian dan ini akan memberi manfaat kepada generasi akan datang. Adalah lebih mudah untuk mengambil pendekatan mengaut hasil hutan semata-mata dan mengabaikan pemuliharaan terutamanya dalam tempoh masa yang singkat. Jika dasar sedemikian diguna pakai hutan di negeri ini akan lupus di masa akan datang. Ini umumnya dikenali dalam ekonomi sebagai tragedi amalan biasa.

KEDUABELAS
Tuduhan-tuduhan yang liar dan tidak berasas sebenarnya mengakibatkan kemudaratan yang banyak kepada hutan hujan negeri Sabah dan bukan membantunya. Orang awam yang mudah terpengaruh akan berhenti membeli balak (sumber utama bernilai kewangan dalam sesebuah hutan) dari Sabah, menjadikan hutan hujan dan usaha-usaha SFM tidak bermakna dan tidak mempunyai nilai ekonomi. Apabila hutan hujan tidak lagi mempunyai nilai ekonomi dan balak tidak boleh dijual, maka mereka akan terancam dengan penggunaan-penggunaan tanah alternatif. Jika SFM dan pemulihan tidak lagi bermakna dan membawa faedah kepada masyarakat, maka pastinya dasar-dasar digugurkan, walaupun kemajuan telah dicapai walaupun secara perit sepanjang tahun.

KETIGABELAS
Adalah diharapkan mereka yang telah melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas menyedari betapa besarnya kesan memberi informasi yang salah kepada dunia dan dalam proses tersebut, mereka akan mempunyai kesan yang merosakkan usaha pemuliharaan secara keseluruhannya.

KEEMPATBELAS
Kita mempunyai alasan kukuh bahawa tuduhan-tuduhan tidak berasas ini bermotifkan politik dan bukannya didorong oleh perasaan sayang kepada alam sekitar. Ia memesongkan dengan motif menggagalkan segala usaha Sabah dan momentum pembaharuan pengurusan hutan. Orang ramai seharusnya mengabaikan semua laporan yang berniat jahat dan membawa kebinasaan kepada Sabah.

Sumber :
Utusan Malaysia
13 September 2012

ISU UMUM : IKTIRAF PSM BADAN BERAUTORITI RUJUKAN SEJARAH NEGARA


Rencana ini ditulis oleh
Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
Pengerusi Yayasan Guru
Malaysia Berhad dan Ahli Majlis Persatuan Sejarah Malaysia


Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) perlu mencari jalan supaya menjadi badan yang diiktiraf sebagai tempat rujukan atau mempunyai autoriti bagi menentukan kesahihan sebarang isu yang berkaitan sejarah tanah air." Demikian salah satu usul tergempar yang dikemukakan oleh perwakilan dalam Mesyuarat Tahunan Majlis, Persatuan Sejarah Malaysia Ke-57 yang berlangsung di Anjung Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 6 September yang lalu. Tambah perwakilan tersebut, baru-baru ini telah timbul isu siapakah individu yang sebenarnya bertanggungjawab membuka dan membangunkan Kuala Lumpur? Adakah Raja Abdullah atau Kapitan Yap Ah Loy atau Sutan Naposo@Sutan Puasa?

Ini disebabkan terdapat dalam dokumen sejarah di mana nama ketiga-tiga tokoh ini pernah dikaitkan dengan orang yang bertanggung jawab terhadap peristiwa penting itu. Satu lagi isu yang menggemparkan baru-baru ini ialah ada pihak yang mempertikaikan kesahihan kewujudan pahlawan tersohor Laksamana Hang Tuah. Pandangan ini seolah-olah menolak peristiwa sejarah yang telah dikisahkan sejak turun temurun. Fakta melalui tulisan dalam Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan dokumen-dokumen tempatan yang lain nampaknya tidak mencukupi. Kewujudan nama Hang Tuah yang pada nama orang, jalan, bangunan atau institusi bukan sahaja di negara kita malah di Indonesia dan selatan Thailand nampaknya masih diragui kewujudannya oleh pihak tersebut.

Timbulnya isu sebegini boleh mendatangkan keresahan dalam masyarakat. Malah boleh mengelirukan murid yang sedang berusaha mengenali sejarah tanah air. Oleh itu saranan perwakilan untuk menjadikan PSM sebagai badan yang mempunyai autoriti dalam memberikan pendapat, pandangan atau menentukan kesahihan sesuatu isu sejarah sudah sampai masa dan ketikanya. Pengiktirafan kepada PSM akan dapat menyelesaikan persoalan sejarah yang mungkin lebih banyak dibangkitkan pada masa akan datang. Mesyuarat Tahunan telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam ucapannya, beliau menyatakan kerajaan sedang merangka kandungan baharu kurikulum Sejarah sekolah menengah sebagai sebahagian daripada usaha memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Pendekatan tersebut adalah selari dengan keputusan kerajaan menjadikan subjek Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus bagi mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan. Sementara itu keputusan telah dibuat untuk memperkenalkan Sejarah sebagai satu mata pelajaran pada peringkat sekolah rendah mulai 2014. Rangka kandungan kurikulum baharu Sejarah peringkat sekolah menengah dibuat berpandukan perakuan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah. Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Tan Sri Omar Mohd Hashim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PSM bersama 10 orang anggota yang merupakan pakar dalam bidang sejarah.

Perubahan kandungan kurikulum Sejarah itu bertujuan untuk membolehkan generasi muda lebih memahami dan menghargai warisan sejarah dan budaya negara. Ia merupakan penentu utama pembinaan satu identiti nasional yang kukuh dan jitu. Untuk menjayakannya perlu ditingkatkan tahap profesionalisme guru yang mengajar subjek tersebut. Ini disebabkan mereka berperanan membina sikap, nilai, kefahaman dan kemahiran intelektual di kalangan murid. Anggapan Sejarah sebagai mata pelajaran pinggiran telah berlalu. Ia perlu diberi nafas baru, dimartabat, diberi perhatian serius dan diajar oleh guru yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan mendalam mengenainya.

Cadangan pihak kerajaan untuk merangka semula kandungan kurikulum Sejarah itu sangat dialu-alukan dan telah mendapat reaksi positif daripada orang ramai. Pelbagai pendapat telah dikemukakan melalui akhbar, majalah, memorandum dan dalam blog di talian maya. Ramai berpendapat Sejarah perlu diajar oleh guru yang terlatih dan mempunyai opsyen dalam mata pelajaran berkenaan. Pandangan yang menganggap sejarah adalah subjek yang membosankan perlu dihindarkan. Sejarah tidak seharusnya diajar melalui pendekatan sehala dalam bilik darjah tetapi perlu menggalakkan pelajar membuat kajian pelbagai bahan seperti buku, akhbar, majalah, jurnal atau artifak tertentu.

Selain itu kaedah temu duga dengan tokoh tertentu boleh mendekatkan murid dengan peristiwa yang dialami. Lebih menyeronokkan sekiranya sesuatu topik itu diajar dengan memberi peluang kepada murid terlibat melalui aktiviti lakonan, kuiz, forum, syarahan atau perbahasan yang sekali gus akan mencabar minda mereka. Dengan menggunakan pelbagai kaedah pengajaran akan menjadikan mata pelajaran itu lebih menarik, hidup dan memberi kemahiran sampingan kepada murid.Terdapat juga pandangan supaya kerangka sejarah Sarawak dan Sabah diawalkan lagi tidak hanya menjelaskan peristiwa yang membawa kepada pembentukan Malaysia. Sejarah kedua-dua negeri itu perlu dihuraikan lebih awal iaitu sebelum kedatangan kuasa penjajah Inggeris ke negeri tersebut.

Jika kita melayari internet terdapat beberapa blog yang memberikan pendapat supaya subjek Sejarah turut memberi penekanan kepada gerakan golongan kiri dalam memperjuangkan kemerdekaan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Parti Komunis Malaya (PKM) dan lain-lain. Sementara itu tokoh seperti Ibrahim Yaakub, Abu Bakar Albaqir, Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestaman dan Chin Peng diberikan tempat yang lebih luas dalam konteks kemerdekaan tanah air. Menurut mereka, peranan golongan kiri ini juga seharusnya ditonjolkan dalam penulisan buku teks Sejarah peringkat sekolah. Pelbagai bentuk pendapat dan pandangan itu elok dikaji dan beri perhatian supaya tidak menjadi polemik berpanjangan. Jika peranan itu diberikan kepada PSM maka ia dijangka akan dapat menyelesaikan isu itu. Pendapat dan padangan PSM sebagai pakar rujuk berautoriti diharap dapat memantapkan kurikulum Sejarah yang digunakan di sekolah. Sekiranya ini berlaku maka objektif PSM perlu ditambah '… sebagai badan berautoriti dan tempat rujukan sebarang isu berkaitan sejarah tanah air!'

Sumber :
Utusan Malaysia
13 September 2012

12 September 2012

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN UNTUK MASA DEPAN RAKYAT MALAYSIA


UCAPAN PERDANA MENTERI


Pertamanya, saya ingin menyampaikan rasa kesyukuran yang tidak terhingga terhadap Allah yang telah mengizinkan kita bertemu pada pagi ini. Bagi seorang yang mempunyai pengalaman sedikit sebanyak dalam menerajui Kementerian Pelajaran, saya menyedari bahawa tugas untuk membentangkan satu Pelan Pembangunan Pendidikan yang bersifat futuristik dan jangka panjang adalah amat mencabar kerana ia melibatkan kepentingan 28 juta rakyat Malaysia dalam hal pendidikan negara. Malah, bukan itu sahaja tetapi mahu tidak mahu setiap daripada kita mengakui, kita adalah pakar dalam bidang pendidikan.

Justeru, apabila tugas untuk menyediakan pelan ini sudah sampai ke peringkat untuk dibincangkan bersama rakyat, ia merupakan satu pelan yang komprehensif dan demokratik kerana mengambil input daripada pelbagai golongan dan merupakan satu pelan yang telus dan berani kerana mengambil pandangan daripada pakar-pakar dari dalam dan luar negara. Di samping itu pelan ini dan kedudukan serta pencapaian sistem pendidikan di bench mark dengan pencapaian negara-negara lain dan penilaian dibuat secara objektif. Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran dan kementeriannya.

Pembentangan kena pada masanya sebab kita mempunyai cita-cita dan impian yang besar. Ya, jumlah pelaburan penting, ia penambahan perdagangan antarabangsa yang boleh menyuntik pada pertumbuhan ekonomi negara tetapi kalau segala tidak diasaskan pada kualiti pendidikan rakyat Malaysia yang mempunyai ilmu dan kemahiran yang mencukupi, nilai, sikap dan pembangunan intelektual kerohanian maka impian mungkin tidak kesampaian. Sebab itu kalau nak katakan ada satu bidang yang amat penting lagi kritikal untuk masa depan, tidak lain tidak bukan adalah bidang pendidikan negara kita. Saya tertarik dengan 11 anjakan paradigma yang dihuraikan kerana ada juga daripadanya penegasan kepada soal nilai-nilai masyarakat.

Sehari dua ini keadaan amat tipikal, demonstrasi jalanan bukan nilai Malaysia yang patut kita pupuk apatah lagi melondehkan seluar di khalayak ramai, ia bukan nilai yang boleh kita banggakan. Jadi kalaulah dalam rombakan sistem pendidikan kita hendak tekan perkara-perkara seperti ini maka kita berminat untuk melahirkan generasi yang boleh membawa kita ke mercu kejayaan. Pelaburan kerajaan dalam bidang pendidikan sejak 55 tahun merdeka bukanlah kecil, seawal tahun 1980, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan peruntukkan yang tinggi daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pendidikan rendah, menengah dan tinggi. Pelaburan ini adalah antara peruntukan yang tertinggi di rantau Asia.

Pada 2011 perbelanjaan pendidikan merupakan 3.81 peratus daripada KDNK dan 8.7 peratus daripada perbelanjaan kerajaan. Barangkali apabila hendak melaksanakan blue print ini peruntukan perlu ditambah. Keadaan ini selaras dengan trend negara-negara maju seperti Jepun, Korea, Singapura dan lain-lain dan ia sudah sampai masanya. Kita bukan saja melihat dari segi kuantitatif tetapi juga kualitatif. Sebagai Menteri Kewangan saya memberi perhatian pada soal value for money dan return of invesment akan kita gunakan untuk pastikan setiap ringgit duit yang datang daripada pembayar cukai digunakan untuk menentukan keberhasilan sebaik mungkin.

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita sentiasa tangani isu pendidikan dan isu ini mesti dilihat sebagai isu yang melampaui politik. Perkiraan pendidikan tidak seharusnya dibuai dengan sentimen kepartian tapi lebih kepada pengiraan nasional. Matlamat kita adalah untuk pastikan setiap anak Malaysia mampu merealisasikan potensi kurniaan Tuhan yang dimiliki dan apa yang membezakan mereka adalah sama ada dia sanggup berusaha atau tidak. Jadi untuk pastikan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak Malaysia keseluruhannya, maka kita sebagai pemimpin perlu ada keberanian moral sebanyak mungkin untuk depoliticise bidang pendidikan. Ini bagi memastikan kita membuat keputusan berdasarkan kepentingan anak-anak kita dan negara bukannya bersifat populis.

Laporan yang dilancarkan adalah laporan awal bagi menjemput cadangan, makluman balas, komen, kritikan dan sokongan. Ia sesuai dengan ucapan saya sebelum ini bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan telah berakhir. Kerajaan menjemput agar semua rakyat Malaysia untuk bersama memberi pandangan dalam pelan yang amat penting ini. Rupa bentuk negara di masa depan akan ditentukan dari langkah dan pelan yang diambil hari ini dan kenyataan ini cukup signifikan dalam bidang pendidikan sebab apa yang diputuskan akan menjangkau masa yang lama. Justeru, kita tidak mampu menangguhkan apa yang kita perlu atau mengambil sikap perubahan yang berdikit-dikit. Untuk mengaut laba masa depan kita perlu berani melabur dan menyemai secara bijak dan perubahan yang perlu dilakukan dalam mencapai keberhasilan yang bersifat lonjakan berganda.

Kemeriahan sambutan kemerdekaan masih lagi terasa. Sejak merdeka hasil sikap pragmatik dan penolakan kita terhadap kaedah yang dogmatik dalam hal ehwal nasional menyebabkan kita telah menempa kejayaan demi kejayaan. Dalam beberapa dekat di awal kemerdekaan, kita telah berjaya lakukan transformasi dari ekonomi pertanian yang berpendapatan rendah kepada ekonomi perindustrian yang berpendapatan sederhana tinggi. Setiap dekad kemerdekaan menyaksikan cabaran bitara dan kita telah berjaya mengharunginya. Era awal kemerdekaan telah menyaksikan bagaimana kita tangani masalah buta huruf diikuti cara kita tangani era ekonomi berasas pertanian dan kemudian perindustrian. Hari ini Malaysia adalah negara dalam transisi ke arah negara maju berpendapatan tinggi dengan ekonomi berasaskan paradigma yang berbeza dengan ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan pada pengamatan saya ada dua corak dalam ekonomi akan datang dan ekonomi dahulu.

Satu, waktu di bangku sekolah bila belajar krisis ekonomi kita diperkenalkan dengan tradisional factors production tapi hari ini tradisional factors of production telah digantikan dengan pengetahuan dan ia berteraskan tiga nilai iaitu pengetahuan, teknologi dan inovasi. Jadi bila merombak sistem pendidikan mesti faham the new economic yang terasnya adalah ketiga-tiga nilai itu. Jadi sistem pendidikan kita mesti mampu disesuaikan untuk hadapi cabaran-cabaran semasa. Dua, mesti lakukan hari ini, kita menyediakan anak-anak kita untuk mengisi pekerjaan yang belum lagi wujud. Dua cabaran ini penting untuk kita mengolah sistem pendidikan kita supaya mampu menyediakan apa yang dikatakan untuk masa depan era yang berubah dengan perubahan yang begitu pantas.

Dalam laporan, kerajaan mengambil sikap bertanggungjawab, kita tidak rasa segan dan takut untuk mengatakan apabila kita dinilai dalam Ujian Programme for Internasional Student Assessment (PISA) berada di kohort 1\3 paling bawah. Kita sedar adalah lebih baik mengakui daripada menutup dan ini menunjukkan keberanian moral dengan mengaku kesalahan apatah lagi berani untuk melakukan perubahan dan anjakan. Kita perlu mencari penyelesaian yang kreatif dan inovatif. Kita perlukan komitmen dan kepakaran, perlukan pengorbanan dan sumbangan semua segmen masyarakat dalam menyelesaikan sebarang masalah. Kita tak nafikan kita telah melakukan banyak perubahan. Tiang seri utama sistem pendidikan kita telah diterapkan semenjak Penyata Razak diikuti Penyata Rahman Talib dan terkini ditegaskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

Kita bertuah kerana hidup dalam negara yang unik. Kepelbagaian kita anggap sebagai satu kekuatan pada negara yang kita cuba tangani sebaik mungkin, walaupun tak kurang hebatnya cabaran itu. Kita terima sebagai generasi terkemudian bahawa pengatur, bapa-bapa kita yang telah mengasaskan negara ini melalui kebijaksanaan mereka telah memilih jalan integrasi - berbeza dengan sesetengah negara lain. Ini jalan yang telah dipilih dan kita tak boleh berpatah balik tapi terima sebagai legasi dan tidak ada bidang yang dapat mencermin perkara ini dengan jelas berbanding apa yang kita lihat dalam pendidikan nasional kita.

Begitu banyak jenis sekolah dalam sistem kita. Ada sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah agama, sekolah persendirian Cina, sekolah mubaligh, sekolah swasta dan antarabangsa. Saya tak fikir ada negara lain mempunyai sistem sekolah seperti yang kita ada iaitu banyak jenis sekolah. Kita kena urus perkara ini sebab ia sudah merupakan legasi kita. Oleh itu melalui pelan yang baru ini, saya telah mendapat penegasan daripada Menteri Pelajaran, setiap perubahan harus membawa manfaat dan kesan yang disasarkan pada semua jenis sekolah yang ada. Kita tidak mahu ia akan dijadikan bahan politik mana-mana pihak. Saya nak sebut setelah 55 tahun merdeka, Kita mesti pastikan setiap rakyat mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik. Kalau tidak boleh menulis tetapi dari segi pertuturan, cakap dan sebutannya mestilah baik.

Suka saya tegaskan kepada semua sekolah mesti menguasai bahasa kebangsaan ini. Ini bukan soal politik tetapi nasional. Kita juga hendak tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Saya fikir nak belajar Bahasa Inggeris kena bermula dengan sastera Inggeris secara berperingkat malah penguasaan bahasa ketiga amat digalakkan. Saya sendiri menggalakkan anak-anak saya untuk kuasai Mandarin. Kita sebuah negara berbilang kaum dan bangsa. Kita boleh kuasai kepelbagaian yang orang lain tak boleh kuasai. Kenapa loose kelebihan itu. Melalui sistem pendidikan kita tak mungkin dapat realisasikan apa yang diharapkan. Oleh itu kita ada banyak aspirasi dan tidak kurang prinsip pendemonstrasian pendidikan nasional. Sebab kita mahu akses terhadap pendidikan berkualiti dapat dinikmati semua rakyat tak kira di mana mereka berada. Sama ada di Kampung Bantal Ulu Tembeling atau Rumah Panjang Ulu Lacau di Sarawak.

Semua tempat mesti mendapat akses pendidikan berkualiti tapi ia bergantung kepada guru besar dan pengetua yang berkualiti tetapi mahukah guru kita ke kawasan luar bandar. Nak? Tapi jangan pula menulis surat kecil minta ditukar ke tempat lain. Jangan pula datang berjumpa dengan menteri, dengan Saya, jumpa dengan wakil rakyat tempatan. Kalau disuruh berkhidmat demi negara, berkhidmatlah.

Sumber :
Utusan Malaysia
12 September 2012

11 September 2012

ISU GURU : GURU AKAN DIJADIKAN PROFESION BERPRESTIJ 2013 - 2025



Guru akan dijadikan profesion berprestij dan bertaraf elit, yang hanya mengambil 30 peratus siswazah paling cemerlang di negara ini, demikian menurut cadangan Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, 11 September 2012, laporan awal tentang rangka tindakan itu menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran akan melaksanakan dengan ketat standard kemasukan bagi memastikan setiap pengambilan guru pelatih memenuhi kelayakan akademik minimum yang ditetapkan.

Ini sejajar dengan satu daripada 11 anjakan yang digariskan di dalam dokumen ke arah mentransformasikan sistem pendidikan negara – mentransformasikan jawatan guru agar menjadi profesion pilihan utama. Rangka tindakan awal itu menyatakan Kementerian Pelajaran akan berganding bahu dengan Institut Pendidikan Guru dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan kualiti kurikulum dan pensyarah dinaik taraf bagi melahirkan para guru seperti yang dihasratkan. Ia juga menyatakan bahawa mulai 2013, beban guru dalam bidang pentadbiran akan diringankan bagi membolehkan mereka memberi fokus terhadap tugas mengajar.

“Ini akan dicapai dengan memperkemas dan mempermudahkan proses pengumpulan data dan pengurusan sedia ada. Sesetengah fungsi pentadbiran juga akan dipindah kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru khusus pentadbiran di peringkat sekolah. Malah, guru paling baik mungkin dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 dalam tempoh lebih cepat berbanding tempoh kenaikan pangkat purata sedia ada iaitu 25 tahun,”

Kementerian Pelajaran juga bercadang melaksanakan kemajuan kerja berasaskan kecekapan dan prestasi menjelang 2016, apabila guru diberi penilaian setiap tahun oleh pengetua masing-masing, dengan inputnya mungkin diberi rakan setugas mereka. Laporan itu seterusnya berkata guru yang menghadapi masalah untuk mencapai kualiti minimum pula akan diberi bimbingan sokongan tambahan untuk membantu mereka kembali berada di landasan sewajarnya.

“Guru yang sering mencatat prestasi rendah, 
walaupun sudah menerima sokongan tambahan, 
akan diberi tugas lain yang mempunyai kaitan 
dengan fungsi sekolah seperti pentadbiran, 
pegawai tatatertib atau pengurusan kokurikulum,”

Sumber :
BERNAMA
11 September 2012

ISU UMUM : PERANG APPLE SAMSUNG, KEMANA SUDAHNYA?


Oleh Afiq Hanif


Perang paten antara dua gergasi elektronik popular, Apple dan Samsung berakhir dengan keputusan yang memihak syarikat dari Cupertino, Amerika Syarikat itu apabila menerima ganti rugi lebih RM3 bilion selepas menang dalam kes pelanggaran hak cipta menentang Samsung. Sembilan juri memutuskan kebanyakan ciri telefon pintar dan peranti mudah alih seperti tablet Samsung melanggar hak cipta rekaan Apple seperti inovasi paparan yang membolehkan pengguna memfokus dekat dan jauh apabila menyentuh skrin. Selain itu, juri juga memutuskan pelanggaran paten oleh Samsung yang dikatakan sengaja dilakukan dan mereka memaklumkan saman balas yang dikemukakan syarikat Korea sebanyak RM1 bilion itu disifatkan tanpa merit.

Kes terbabit bermula apabila Apple mendakwa Samsung menciplak telefon mereka dengan pengeluaran Galaxy. Ia menyaksikan Apple dengan nama rasmi syarikat, Apple Corp memfailkan saman pada April 2011 dan membabitkan peguam hak cipta paling mahal untuk menuntut RM8 bilion daripada pesaingnya yang biasa dengan sistem operasi Android. Apple mendakwa Samsung mengakibatkan syarikat Cupertino kerugian jualan apabila pasarannya terpecah kepada dua dengan inovasi Apple. Tindakan itu juga mendorong Samsung di bawah Samsung Electronics Co bertindak balas dengan mengemukakan saman balas. Namun, pertembungan paten itu dijangka tidak akan berakhir dalam hanya selepas Samsung membayar jumlah yang ditetapkan apabila kes terbabit hanya disebut di satu mahkamah di Amerika Syarikat.

Masih ada kira-kira sembilan negara yang terbabit dalam perang paten terbabit termasuk Jepun, Korea Selatan, Perancis, Belanda dan Australia, sekali gus menunjukkan perang paten tidak akan berakhir dengan jalan mudah. Namun, timbul persoalan sama ada perang paten terbabit akan memberi kesan kepada pengguna yang memilih telefon pintar, apatah lagi dua jenama terbabit boleh dikatakan pilihan masyarakat dunia ketika ini. Tanggapan mengenai keputusan kes itu yang akan menjejaskan pasaran komunikasi mudah alih mungkin terlalu awal untuk dijangkakan tetapi ia sedikit sebanyak menggambarkan sekatan atau rangsangan inovasi reka bentuk produk dan ciri baru. Ada yang berpendapat, ia menunjukkan Samsung dan mana-mana syarikat lain yang mahu memasuki pasaran telefon pintar perlukan inovasi baru dan bukannya salinan produk semata-mata.

Secara positifnya, ia menunjukkan pengguna bakal mempunyai rekaan telefon yang berbeza-beza dan tidak terlalu bergantung kepada keupayaan skrin sentuh dan inovasi kreatif daripada pembangun pada masa depan. Tuntutan Samsung bahawa kerugian dalam saman itu hanya akan menyekat persaingan adalah tidak benar. Dalam dunia teknologi, peluang untuk mencipta, berinovasi dan mencipta perisian serta perkakasan baru seharusnya bermula dari awal dan bukan sekadar melihat ‘trend’ saja. Pada masa sama, pengguna mempunyai pilihan yang lebih pada masa depan, mana tidaknya, keputusan terbabit bermakna beberapa syarikat lain mungkin akan lebih berhati-hati dalam mencipta rekaan mereka. Kita boleh melihat pengeluar telefon ‘bermain’ dengan cara selamat atau mengubah rekaan mereka untuk mendapatkan reka bentuk dan paten berlainan daripada Apple.

Bagi kes Samsung pula, tidak perlu menjangkakan perubahan ketara mengenai produk mereka di pasaran walaupun mereka kalah di Amerika Syarikat. Peranti yang melanggar paten reka bentuk mungkin tidak lagi dijual di Amerika Syarikat termasuk beberapa produk Galaxy. Beberapa penganalisis berkata, kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Apple menjelang pelancaran iPhone 5 dan boleh menguasai pasaran sebagai syarikat atau merebut semula pasaran yang dikaut syarikat berasaskan sistem operasi Google Android itu. Malah, mungkin dua pertiga pengeluar telefon di pasaran global terpaksa mempertimbangkan perubahan reka bentuk peranti mereka. Salah seorang juri mengenai kes di Amerika Syarikat, Velvin Hogan, 67, berkata, ia bukan keputusan yang mudah namun selepas meneliti kedua-dua hujah, Apple berhak menang. Beliau juga berkata, testimoni video daripada eksekutif kanan Samsung yang dibuat benar-benar menambah kejelasan kepada mereka bahawa pelanggaran itu dilakukan dengan sengaja.

“Hujah Apple mengenai keperluan untuk 
melindungi inovasi meyakinkan bilik juri. 
Kami tidak mahu memberikan kemenangan 
mudah kepada sebuah syarikat tertentu saja 
walau segah manapun nama mereka daripada 
melanggar harta intelek orang lain,”

Walau bagaimanapun, Hogan berkata, permintaan kerosakan Apple sehingga RM8.3 bilion adalah ‘luar biasa’ kerana masih tidak jelas sama ada Apple mempunyai bekalan komponen yang cukup untuk menjual lebih banyak telefon. Pakar kerosakan Apple memberi keterangan bahawa Samsung memperoleh margin kira-kira 35.5 peratus produknya ketika tuntutan mahkamah menyebabkan kerugian pendapatan kira-kira RM25 bilion. Walau bagaimanapun, Hogan berkata, juri memikirkan peratusan Apple tidak betul-betul tepat. Hogan bekerja sebagai seorang jurutera selama beberapa dekad sebelum beliau bersara. Beliau berkata, juri dapat melengkapkan perbincangan mereka dalam masa kurang tiga hari, lebih cepat daripada yang diramalkan pakar undang-undang. Ia berikutan ada di kalangan mereka mempunyai pengalaman dalam kejuruteraan dan undang-undang yang membantu dengan isu yang kompleks.

“Kami mahu pastikan mesej yang kami hantar 
sebagai satu tamparan kepada mana-mana syarikat 
agar tidak sewenang-wenangnya meniru inovasi 
orang lain. Jangan salah faham, kami tidak 
hanya pergi ke dalam sebuah bilik dan mula memilih secara rambang untuk menentukan siapa yang salah. Kami merasakan keputusan kami adil, saya yakin 
kami sebagai juri tidak akan berat sebelah,”

Ada satu ketika pada hari kedua perbincangan, juri mematikan lampu dalam bilik untuk menyelesaikan perbahasan mengenai pengaruh potensi kecerahan skrin antara Apple dan Samsung dan mengambil keputusan reka bentuk skrin Apple lebih unik. Kes difailkan di Mahkamah Daerah AS, Daerah California Utara, dengan nama kes adalah Apple Inc vs Samsung Electronics Co Ltd et al, No 11-1846. Namun perang paten di Jepun pula menyaksikan Mahkamah Tokyo menolak dakwaan Apple Inc bahawa Samsung melanggar hak ciptanya. Samsung dari Korea Selatan, pengeluar telefon terbesar dunia, mengalu-alukan keputusan Mahkamah Daerah Tokyo bahawa teknologinya untuk menyesuaikan peralatan telefon bimbit dengan komputer tidak melanggar hak cipta Apple.

“Sudah lama kami berpendirian begitu dan 
kami akan terus menawarkan produk inovatif 
kepada pengguna serta meneruskan sumbangan 
kepada pembangunan industri telefon bimbit,”

Dalam sesi yang berlangsung selama beberapa minit, Hakim Tamotsu Shoji berkata, beliau tidak berasa produk Samsung menyamai teknologi Apple dan menolak saman berkenaan, yang difailkan Apple, Ogos tahun lalu. Keputusan itu adalah yang pertama dibuat di Jepun perbalahan perundangan kedua-dua pihak di seluruh dunia, tetapi teknologi lain turut dibawa ke mahkamah oleh kedua-dua syarikat itu dalam kes perundangan berasingan di Jepun. Lain pula kesnya di Korea Selatan apabila mahkamah memutuskan kedua-dua syarikat Apple dan Samsung bersalah menggunakan paten lawan masing-masing dan mengenakan pengharaman terhadap sebahagian produk dua syarikat berkenaan. Mahkamah Daerah Pusat Seoul mengarahkan Apple menarik balik iPhone 3GS, iPhone 4, iPad 1 dan iPad 2 daripada kedai di Korea Selatan manakala produk Samsung yang diharamkan ialah GalaxyS2.

Produk iPhone 4S dan Galaxy S3 boleh terus dijual. Samsung pula diarah membayar kira-kira RM66,000 kepada lawannya manakala Apple diarah membayar pesaingnya, kira-kira RM109,353. Pengeluar produk elektronik seharusnya melindungi hasil ciptaan itu dengan mempatenkannya kerana ada peruntukan undang-undang mengenainya. Bahkan, paten hak eksklusif yang diberikan terhadap suatu reka cipta sama ada suatu produk ataupun proses menghasilkan cara baru bagi membuat sesuatu ataupun untuk penyelesaian teknikal bagi sesuatu masalah. Disifatkan sebagai ‘harta intelek’, ia dapat ditafsirkan sebagai hasil ciptaan minda sama ada dalam bentuk reka cipta dan reka bentuk yang digunakan dalam perdagangan serta ciptaan mahupun teknologi dan dilindungi undang-undang.  Secara jujurnya, perang paten itu dijangka akan terus rancak, namun kita tidak akan menjangkakan Apple menyaman syarikat elektronik lain.

Kesan kepada pengguna?
TIADA!

Sumber
Harian Metro
10 September 2012


Klik pada gambar untuk lebih jelas

ISU PENDIDIKAN : ERA BARU PENDIDIKAN, AMBIL KIRA SUARA RAKYAT


Oleh Ruhaiza Rusmin


Melangkah era baru penuh cabaran, sektor pendidikan negara juga bergerak seiring bagi menjadikannya lebih proaktif, dinamik, profesional serta menepati standard global. Apatah lagi dengan pelbagai sasaran ditetapkan bagi melahirkan pelajar dan institusi yang bukan saja cemerlang akademik malah memenuhi kriteria prestasi tinggi, menjadikan sektor pendidikan negara perlu berdepan perubahan besar. Pengenalan Kajian Semula Pendidikan juga satu cara sektor pendidikan negara melonjakkan lagi tahap sedia ada ke satu peringkat boleh dibanggakan. Justeru, apakah jangkaan terhadap sektor pendidikan negara apabila pengenalan ini dilaksanakan dalam tempoh sasaran?

Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga ahli panel Dialog Nasional Pendidikan Negara, Profesor Dr Teo Kok Seong berkata, menerusi Kajian Semula Pendidikan, dunia pendidikan negara dijangka melonjakkan lagi profesionalisme serta pencapaian dalam dua aspek utama iaitu perkembangan kecendekiawanan serta pembangunan insaniah pelajar. Beliau berkata, dua aspek itu nadi terhadap kecemerlangan pelajar, sekali gus melahirkan bangsa yang mempunyai jati diri kukuh. 

“Ini adalah masa paling tepat bagi melakukan perubahan kerana pelajar kita akan berdepan persaingan global serta transformasi alaf baru dunia pendidikan yang serba pantas. Penekanan terhadap dua aspek itu antara paling utama sebagai usaha melahirkan pelajar yang mampu berfikir secara global, berakhlak baik serta bertanggungjawab. Dalam tempoh sasaran ditetapkan selama 15 tahun, diharap negara mampu melahirkan pelajar yang mempunyai daya saing tinggi supaya boleh bersaing di persada dunia antarabangsa,” 

Sistem pendidikan negara juga, katanya, mampu berdiri setanding negara maju seperti Finland, sekali gus meningkatkan lagi kualiti pendidikan sedia ada ke tahap terbaik. “Pelbagai aspek akan diperbaiki dari semasa ke semasa bagi mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan sedia ada. Ini membantu melonjak keupayaan negara untuk setanding negara maju dalam sektor pendidikan,” katanya. Kajian Semula Pendidikan yang akan dilancarkan esok antara mekanisme serta transformasi kerajaan bagi melonjakkan lagi pencapaian sektor pendidikan negara ke tahap paling membanggakan. Ini juga bagi menjadikan sektor berkenaan berdaya saing dengan pelbagai visi dan aspirasi baru bagi menjadikan sistem pendidikan lebih kompetitif dan mencapai standard global.

Antara objektif Kajian Semula Pendidikan adalah untuk memahami isu dan cabaran, menjelaskan visi dan aspirasi baru untuk sistem pendidikan negara pada masa depan juga mencetuskan transformasi bagi meningkatkan standard serta merapatkan jurang pencapaian. Pelan ini adalah inklusif dan kolektif merangkumi suara rakyat dengan 156 memorandum, 20 meja bulat, 16 dewan terbuka, 14 negeri dan lima forum murid selain syor daripada 7,757 guru, 2,117 ahli persatuan ibu bapa dan guru dan 1,853 orang awam. Dijangkakan menerusi kajian semula itu, sistem pendidikan negara akan berupaya melonjakkan lagi prestasi pencapaian sedia ada menjelang tempoh sasaran pada 2025 dengan keupayaan melahirkan melahirkan pelajar berkapasiti pendidikan dengan nilai pengalaman selain merapatkan pencapaian jurang yang wujud masa kini.

Diharapkan menjelang tempoh itu, setiap pelajar akan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan pelbagai kemahiran seperti kepemimpinan, berpengetahuan, beridentiti nasional juga menguasai bahasa. Malah, profesionalisme guru juga diharap mampu dilonjakkan ke tahap optimum menerusi pelaksanaan suntikan pakej baru dalam kerjaya berkenaan manakala bagi institusi sekolah dapat menganjak pencapaian sedia ada ke tahap lebih baik dengan kadar segera. Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin yang juga ahli panel Dialog Nasional Pendidikan Negara (Panel Bebas) juga berpendapat, usaha penambahbaikan yang dilakukan menerusi Kajian Semula Pendidikan itu tepat pada masanya demi kegemilangan dunia pendidikan negara pada masa depan.

“Penambahbaikan ini demi kebaikan bersama terutama dalam mentransformasikan sistem pendidikan negara ke tahap global. Ia dilaksanakan dengan sokongan pendapat semua dan manfaatnya juga akan dapat dinikmati dengan menyeluruh,”

Sumber
Harian Metro
10 September 2012