Rencana ini ditulis
oleh
DATUK SAM MANNAN
Pengarah Jabatan
Perhutanan Sabah
Satu tuduhan telah
dibuat bahawa penebangan balak secara haram yang berskala besar dan berleluasa
sedang berlaku di Sabah, yang mana hasilnya didakwa dilaburkan secara haram ke
luar negara, seperti yang dilaporkan secara meluas dalam blog-blog dan yang
amat mengejutkan kenyataan tersebut dibuat oleh pelbagai agensi akhbar
antarabangsa, secara bercetak dan dalam talian. Satu angka bernilai AS$90 juta
telah disebutkan sebagai "nest egg" (wang simpanan untuk kegunaan
masa hadapan) atau hampir RM300,000,000. Jika tuduhan ini benar, ia
menggambarkan yang tidak kurang 1 juta meter persegi (m3) balak telah ditebang
secara haram. Ia seperti merompak tidak kurang dari 20,000 hektar (50,000 ekar)
bekalan hutan yang kaya dengan kayu-kayan.
Skala pembalakan ini,
jika benar akan mewakili 50 peratus (%) balak yang dihasilkan daripada hutan
semula jadi dalam tahun 2011 atau sebanyak 30% daripada pengeluaran balak di
Sabah pada tahun 2012. Jabatan Perhutanan mengakui bahawa penebangan secara
haram berlaku di Sabah tetapi tidak mungkin menghampiri skala dan tahap
sebagaimana yang didakwa. Tuduhan-tuduhan ini adalah tidak berasas dan dibuat
dengan niat tidak baik (Mal Fide) untuk merosakkan nama dan meremehkan usaha
dan pengorbanan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri Sabah, bagi mencapai
tadbir urus hutan yang baik dan Pengurusan Hutan Mampan (SFM) dalam jangka masa
yang sesingkat mungkin, walaupun dengan cabaran-cabaran kewangan ekonomi dan
sosial.
Fakta-fakta untuk
menyangkal tuduhan liar dan berniat jahat ini adalah seperti berikut:
PERTAMA
Tuduhan pembalakan
haram (1 juta m3) yang seluas ini tidak mungkin terlepas daripada perhatian
dunia secara umumnya. Suatu kawasan hutan yang kaya seluas 20,000 hektar yang
telah dibalak dengan teruk secara haram akan dengan mudah dikesan oleh
satelit-satelit dan menarik perhatian para NGO, pakar-pakar alam sekitar dan
komuniti yang tinggal berhampiran. Tiada langsung kemungkinan yang membolehkan
perbuatan tersebut dilakukan dan diluluskan tanpa disedari. Melainkan dan
sehingga bukti kukuh dapat ditunjukkan, tuduhan-tuduhan tersebut adalah tidak
berasas dan tidak benar.
KEDUA
Jika 50% pengeluaran
tahunan balak dari Sabah didakwa dibuat secara haram, pasaran-pasaran dunia
terutamanya yang peka seperti Eropah, Amerika Utara dan Jepun sepatutnya telah
lama berhenti daripada membeli balak dari Sabah, dan implikasi-implikasi
ekonomi dan kewangan yang besar sepatutnya telah memberi kesan teruk kepada
negeri ini secara keseluruhannya. Ini tidak terjadi kerana pembalakan haram
pada skala besar seperti yang didakwa tidak pernah berlaku.
KETIGA
Lesen-lesen jangka
panjang Sabah telah tertakluk kepada pengauditan pihak ketiga (audit bebas)
sejak tahun 2010, di bawah Malaysia-EC TLAS (Program Jaminan Balak Disahkan).
Auditor-auditor bebas sepatutnya telah mengesan penebangan haram pada skala
seumpama itu. Sebaliknya, Sabah sentiasa telus dan membiarkan pengurus hutannya
terbuka kepada penelitian umum dan pihak auditor ketiga bagi mencapai
kredibiliti yang diiktiraf dunia.
KEEMPAT
RIL (Impak pembalakan
dikurangkan) telah diperkenalkan dalam tahun 2009 dengan pelaksanaan penuh
dalam tahun 2010, sekali lagi disahkan secara bebas oleh auditor-auditor pihak
ketiga, sehubungan itu tuduhan penebangan haram yang berleluasa (20,000 ha
sekurang-kurangnya) amat mustahil terlepas daripada perhatian auditor-auditor
antarabangsa yang memang terkenal.
KELIMA
Sekurang-kurangnya
800,000 hektar hutan Sabah adalah separa atau sepenuhnya dipersijilkan di bawah
pelbagai sistem yang diiktiraf di peringkat antarabangsa (Majlis Pengawasan
Hutan atau FSC, MTCS - Skim Pengiktirafan Balak Malaysia), PEFC - Skim
Perhutanan Pan-European). Ini juga meliputi hutan di bawah Yayasan Sabah dengan
sekurang-kurangnya 250,000 hektar bagi persijilan penuh dan 150,000 hektar
hutan pensijilan separa.
KEENAM
Lebih banyak kawasan
hutan sedang dikenal pasti untuk persijilan dan Sabah mensasarkan tahun 2014
sebagai tahun bagi kawasan-kawasan berlesen jangka panjang mendapat pensijilan
sepenuhnya. Proses pensijilan ini bermakna pihak ketiga bebas dalam mengaudit
di peringkat akar umbi untuk mengakses kredibiliti. Jika pertuduhan sedemikian
benar, kenapa Sabah terus dapat menarik perhatian badan-badan persijilan dan
NGO, yang ingin menjadi rakan kongsi kerajaan dan membantu kita dalam
mendapatkan tadbir urus yang boleh disahkan dan dipersijilkan?
KETUJUH
Seluruh dunia telah
mengetahui yang Sabah adalah wilayah tropika pertama di seluruh dunia yang
mempunyai satu kawasan hutan hujan yang diiktiraf di bawah Piawaian Emas bagi
FSC dalam 1997. Contohnya Hutan Simpan Dermakot. Ini adalah satu kawasan contoh
bukan sahaja untuk Malaysia tetapi dunia tropika.
KELAPAN
Wilayah-eko Ulu
Segama-Malua di Sabah yang bersempadan dengan Lembah Danum juga merupakan
lokasi kepada model GRASP dunia (Great Apes Succeed Project) di bawah UNESCO,
dengan tidak kurang daripada 3,000 Orang Utan pada masa ini dilindungi di hutan
yang diiktiraf FSC yang mana kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Musa
Aman, telah menghentikan sepenuhnya pembalakan pada 31.12.2007, selepas
pengumuman dasar yang telah dibuat pada 15.3.2006. Keputusan berani telah
dibuat walaupun terdapat implikasi kewangan yang besar - kehilangan potensi
hasil sekurang-kurangnya RM4 bilion. Kenapa perlu disimpan hutan-hutan hujan
yang bernilai ini selamanya jika pentadbiran tidak jujur dalam menangani penebangan
haram?
KESEMBILAN
Kawasan simpanan TPAS
(Kawasan-kawasan dilindung sepenuhnya) di Sabah pada masa sekarang mencapai 1.3
juta hektar atau 20% kawasan Sabah keseluruhannya, malah melebihi piawaian IUCN
sebanyak 10%. Penambahan terkini adalah sebanyak 180,000 hektar - 55,000 hektar
koridor hidupan liar menghubungkan Maliu Basin, Imbak Canyon ke Danum/Ulu
Segama dan pengklasifikasian semula Ulu Segama (130,000 hektar) ke status
perlindungan sepenuhnya. Perlu dinyatakan bahawa kepimpinan Ketua Menteri Sabah
sekarang telah menunjukkan pengembangan terbesar dalam usaha peluasan TPAS
dalam sejarah Sabah, di sebalik peluang konservasi.
KESEPULUH
Di bawah kepimpinan
beliau, SFM telah diperbaiki secara mendadak, lesen-lesen jangka pendek yang
mengakibatkan kemusnahan besar kepada alam sekitar secara drastiknya telah
diberhentikan dan kredibiliti pengurusan hutan Sabah adalah pada tahap
tertinggi - menerusi falsafah keterbukaan di mana kawasan pengurusan perhutanan
dan pembalakan adalah semuanya terbuka kepada penelitian pihak ketiga dan NGO.
Kebaikan, keburukan dan kecacatan adalah didedahkan secara terbuka dengan niat
memperbaiki piawaian dan amalan-amalan di peringkat dasar.
KESEBELAS
Penurunan hasil hutan
yang dirancang adalah satu strategi yang disengajakan untuk memastikan hutan-hutan
diberikan peluang untuk pulih semula (sebanyak RM150 juta/ setahun pada masa
sekarang berbanding kepada RM500 juta - RM1 bilion di dalam hutan) dan bekalan
ditingkatkan semula dalam tempoh 20 tahun kemudian dan ini akan memberi manfaat
kepada generasi akan datang. Adalah lebih mudah untuk mengambil pendekatan
mengaut hasil hutan semata-mata dan mengabaikan pemuliharaan terutamanya dalam
tempoh masa yang singkat. Jika dasar sedemikian diguna pakai hutan di negeri
ini akan lupus di masa akan datang. Ini umumnya dikenali dalam ekonomi sebagai
tragedi amalan biasa.
KEDUABELAS
Tuduhan-tuduhan yang
liar dan tidak berasas sebenarnya mengakibatkan kemudaratan yang banyak kepada
hutan hujan negeri Sabah dan bukan membantunya. Orang awam yang mudah
terpengaruh akan berhenti membeli balak (sumber utama bernilai kewangan dalam
sesebuah hutan) dari Sabah, menjadikan hutan hujan dan usaha-usaha SFM tidak
bermakna dan tidak mempunyai nilai ekonomi. Apabila hutan hujan tidak lagi
mempunyai nilai ekonomi dan balak tidak boleh dijual, maka mereka akan terancam
dengan penggunaan-penggunaan tanah alternatif. Jika SFM dan pemulihan tidak
lagi bermakna dan membawa faedah kepada masyarakat, maka pastinya dasar-dasar
digugurkan, walaupun kemajuan telah dicapai walaupun secara perit sepanjang
tahun.
KETIGABELAS
Adalah diharapkan
mereka yang telah melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas menyedari betapa
besarnya kesan memberi informasi yang salah kepada dunia dan dalam proses
tersebut, mereka akan mempunyai kesan yang merosakkan usaha pemuliharaan secara
keseluruhannya.
KEEMPATBELAS
Kita mempunyai alasan
kukuh bahawa tuduhan-tuduhan tidak berasas ini bermotifkan politik dan bukannya
didorong oleh perasaan sayang kepada alam sekitar. Ia memesongkan dengan motif
menggagalkan segala usaha Sabah dan momentum pembaharuan pengurusan hutan.
Orang ramai seharusnya mengabaikan semua laporan yang berniat jahat dan membawa
kebinasaan kepada Sabah.
Sumber :
Utusan Malaysia
13 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan