UCAPAN PERDANA
MENTERI
Pertamanya, saya
ingin menyampaikan rasa kesyukuran yang tidak terhingga terhadap Allah yang
telah mengizinkan kita bertemu pada pagi ini. Bagi seorang yang mempunyai
pengalaman sedikit sebanyak dalam menerajui Kementerian Pelajaran, saya
menyedari bahawa tugas untuk membentangkan satu Pelan Pembangunan Pendidikan
yang bersifat futuristik dan jangka panjang adalah amat mencabar kerana ia
melibatkan kepentingan 28 juta rakyat Malaysia dalam hal pendidikan negara. Malah,
bukan itu sahaja tetapi mahu tidak mahu setiap daripada kita mengakui, kita
adalah pakar dalam bidang pendidikan.
Justeru, apabila
tugas untuk menyediakan pelan ini sudah sampai ke peringkat untuk dibincangkan
bersama rakyat, ia merupakan satu pelan yang komprehensif dan demokratik kerana
mengambil input daripada pelbagai golongan dan merupakan satu pelan yang telus dan
berani kerana mengambil pandangan daripada pakar-pakar dari dalam dan luar
negara. Di samping itu pelan ini dan kedudukan serta pencapaian sistem
pendidikan di bench mark dengan pencapaian negara-negara lain dan penilaian
dibuat secara objektif. Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tan Sri
Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran dan kementeriannya.
Pembentangan kena
pada masanya sebab kita mempunyai cita-cita dan impian yang besar. Ya, jumlah
pelaburan penting, ia penambahan perdagangan antarabangsa yang boleh menyuntik
pada pertumbuhan ekonomi negara tetapi kalau segala tidak diasaskan pada
kualiti pendidikan rakyat Malaysia yang mempunyai ilmu dan kemahiran yang
mencukupi, nilai, sikap dan pembangunan intelektual kerohanian maka impian
mungkin tidak kesampaian. Sebab itu kalau nak katakan ada satu bidang yang amat
penting lagi kritikal untuk masa depan, tidak lain tidak bukan adalah bidang
pendidikan negara kita. Saya tertarik dengan 11 anjakan paradigma yang
dihuraikan kerana ada juga daripadanya penegasan kepada soal nilai-nilai
masyarakat.
Sehari dua ini
keadaan amat tipikal, demonstrasi jalanan bukan nilai Malaysia yang patut kita
pupuk apatah lagi melondehkan seluar di khalayak ramai, ia bukan nilai yang
boleh kita banggakan. Jadi kalaulah dalam rombakan sistem pendidikan kita
hendak tekan perkara-perkara seperti ini maka kita berminat untuk melahirkan
generasi yang boleh membawa kita ke mercu kejayaan. Pelaburan kerajaan dalam
bidang pendidikan sejak 55 tahun merdeka bukanlah kecil, seawal tahun 1980,
Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan peruntukkan yang tinggi daripada
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pendidikan rendah, menengah dan
tinggi. Pelaburan ini adalah antara peruntukan yang tertinggi di rantau Asia.
Pada 2011
perbelanjaan pendidikan merupakan 3.81 peratus daripada KDNK dan 8.7 peratus
daripada perbelanjaan kerajaan. Barangkali apabila hendak melaksanakan blue
print ini peruntukan perlu ditambah. Keadaan ini selaras dengan trend
negara-negara maju seperti Jepun, Korea, Singapura dan lain-lain dan ia sudah
sampai masanya. Kita bukan saja melihat dari segi kuantitatif tetapi juga
kualitatif. Sebagai Menteri Kewangan saya memberi perhatian pada soal value for
money dan return of invesment akan kita gunakan untuk pastikan setiap ringgit
duit yang datang daripada pembayar cukai digunakan untuk menentukan
keberhasilan sebaik mungkin.
Sebagai kerajaan yang
bertanggungjawab kita sentiasa tangani isu pendidikan dan isu ini mesti dilihat
sebagai isu yang melampaui politik. Perkiraan pendidikan tidak seharusnya
dibuai dengan sentimen kepartian tapi lebih kepada pengiraan nasional. Matlamat
kita adalah untuk pastikan setiap anak Malaysia mampu merealisasikan potensi
kurniaan Tuhan yang dimiliki dan apa yang membezakan mereka adalah sama ada dia
sanggup berusaha atau tidak. Jadi untuk pastikan masa depan yang lebih baik
untuk anak-anak Malaysia keseluruhannya, maka kita sebagai pemimpin perlu ada
keberanian moral sebanyak mungkin untuk depoliticise bidang pendidikan. Ini
bagi memastikan kita membuat keputusan berdasarkan kepentingan anak-anak kita
dan negara bukannya bersifat populis.
Laporan yang
dilancarkan adalah laporan awal bagi menjemput cadangan, makluman balas, komen,
kritikan dan sokongan. Ia sesuai dengan ucapan saya sebelum ini bahawa era
kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan
telah berakhir. Kerajaan menjemput agar semua rakyat Malaysia untuk bersama
memberi pandangan dalam pelan yang amat penting ini. Rupa bentuk negara di masa
depan akan ditentukan dari langkah dan pelan yang diambil hari ini dan
kenyataan ini cukup signifikan dalam bidang pendidikan sebab apa yang
diputuskan akan menjangkau masa yang lama. Justeru, kita tidak mampu
menangguhkan apa yang kita perlu atau mengambil sikap perubahan yang
berdikit-dikit. Untuk mengaut laba masa depan kita perlu berani melabur dan
menyemai secara bijak dan perubahan yang perlu dilakukan dalam mencapai
keberhasilan yang bersifat lonjakan berganda.
Kemeriahan sambutan
kemerdekaan masih lagi terasa. Sejak merdeka hasil sikap pragmatik dan
penolakan kita terhadap kaedah yang dogmatik dalam hal ehwal nasional
menyebabkan kita telah menempa kejayaan demi kejayaan. Dalam beberapa dekat di
awal kemerdekaan, kita telah berjaya lakukan transformasi dari ekonomi
pertanian yang berpendapatan rendah kepada ekonomi perindustrian yang
berpendapatan sederhana tinggi. Setiap dekad kemerdekaan menyaksikan cabaran
bitara dan kita telah berjaya mengharunginya. Era awal kemerdekaan telah
menyaksikan bagaimana kita tangani masalah buta huruf diikuti cara kita tangani
era ekonomi berasas pertanian dan kemudian perindustrian. Hari ini Malaysia
adalah negara dalam transisi ke arah negara maju berpendapatan tinggi dengan
ekonomi berasaskan paradigma yang berbeza dengan ekonomi yang berasaskan
pengetahuan dan pada pengamatan saya ada dua corak dalam ekonomi akan datang
dan ekonomi dahulu.
Satu, waktu di bangku
sekolah bila belajar krisis ekonomi kita diperkenalkan dengan tradisional
factors production tapi hari ini tradisional factors of production telah
digantikan dengan pengetahuan dan ia berteraskan tiga nilai iaitu pengetahuan,
teknologi dan inovasi. Jadi bila merombak sistem pendidikan mesti faham the new
economic yang terasnya adalah ketiga-tiga nilai itu. Jadi sistem pendidikan
kita mesti mampu disesuaikan untuk hadapi cabaran-cabaran semasa. Dua, mesti
lakukan hari ini, kita menyediakan anak-anak kita untuk mengisi pekerjaan yang
belum lagi wujud. Dua cabaran ini penting untuk kita mengolah sistem pendidikan
kita supaya mampu menyediakan apa yang dikatakan untuk masa depan era yang
berubah dengan perubahan yang begitu pantas.
Dalam laporan,
kerajaan mengambil sikap bertanggungjawab, kita tidak rasa segan dan takut
untuk mengatakan apabila kita dinilai dalam Ujian Programme for Internasional
Student Assessment (PISA) berada di kohort 1\3 paling bawah. Kita sedar adalah
lebih baik mengakui daripada menutup dan ini menunjukkan keberanian moral
dengan mengaku kesalahan apatah lagi berani untuk melakukan perubahan dan
anjakan. Kita perlu mencari penyelesaian yang kreatif dan inovatif. Kita
perlukan komitmen dan kepakaran, perlukan pengorbanan dan sumbangan semua
segmen masyarakat dalam menyelesaikan sebarang masalah. Kita tak nafikan kita
telah melakukan banyak perubahan. Tiang seri utama sistem pendidikan kita telah
diterapkan semenjak Penyata Razak diikuti Penyata Rahman Talib dan terkini
ditegaskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.
Kita bertuah kerana
hidup dalam negara yang unik. Kepelbagaian kita anggap sebagai satu kekuatan
pada negara yang kita cuba tangani sebaik mungkin, walaupun tak kurang hebatnya
cabaran itu. Kita terima sebagai generasi terkemudian bahawa pengatur,
bapa-bapa kita yang telah mengasaskan negara ini melalui kebijaksanaan mereka
telah memilih jalan integrasi - berbeza dengan sesetengah negara lain. Ini
jalan yang telah dipilih dan kita tak boleh berpatah balik tapi terima sebagai
legasi dan tidak ada bidang yang dapat mencermin perkara ini dengan jelas
berbanding apa yang kita lihat dalam pendidikan nasional kita.
Begitu banyak jenis
sekolah dalam sistem kita. Ada sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan
Tamil, sekolah agama, sekolah persendirian Cina, sekolah mubaligh, sekolah
swasta dan antarabangsa. Saya tak fikir ada negara lain mempunyai sistem
sekolah seperti yang kita ada iaitu banyak jenis sekolah. Kita kena urus
perkara ini sebab ia sudah merupakan legasi kita. Oleh itu melalui pelan yang
baru ini, saya telah mendapat penegasan daripada Menteri Pelajaran, setiap
perubahan harus membawa manfaat dan kesan yang disasarkan pada semua jenis
sekolah yang ada. Kita tidak mahu ia akan dijadikan bahan politik mana-mana
pihak. Saya nak sebut setelah 55 tahun merdeka, Kita mesti pastikan setiap
rakyat mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik. Kalau tidak boleh
menulis tetapi dari segi pertuturan, cakap dan sebutannya mestilah baik.
Suka saya tegaskan
kepada semua sekolah mesti menguasai bahasa kebangsaan ini. Ini bukan soal
politik tetapi nasional. Kita juga hendak tingkatkan penguasaan bahasa
Inggeris. Saya fikir nak belajar Bahasa Inggeris kena bermula dengan sastera
Inggeris secara berperingkat malah penguasaan bahasa ketiga amat digalakkan.
Saya sendiri menggalakkan anak-anak saya untuk kuasai Mandarin. Kita sebuah
negara berbilang kaum dan bangsa. Kita boleh kuasai kepelbagaian yang orang
lain tak boleh kuasai. Kenapa loose kelebihan itu. Melalui sistem pendidikan
kita tak mungkin dapat realisasikan apa yang diharapkan. Oleh itu kita ada
banyak aspirasi dan tidak kurang prinsip pendemonstrasian pendidikan nasional.
Sebab kita mahu akses terhadap pendidikan berkualiti dapat dinikmati semua
rakyat tak kira di mana mereka berada. Sama ada di Kampung Bantal Ulu Tembeling
atau Rumah Panjang Ulu Lacau di Sarawak.
Semua tempat mesti
mendapat akses pendidikan berkualiti tapi ia bergantung kepada guru besar dan
pengetua yang berkualiti tetapi mahukah guru kita ke kawasan luar bandar. Nak? Tapi
jangan pula menulis surat kecil minta ditukar ke tempat lain. Jangan pula
datang berjumpa dengan menteri, dengan Saya, jumpa dengan wakil rakyat
tempatan. Kalau disuruh berkhidmat demi negara, berkhidmatlah.
Sumber :
Utusan Malaysia
12 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan