KEMAJUAN DAN KEJAYAAN
Sistem pendidikan di
Malaysia telah menempa banyak kemajuan sepanjang lebih lima dekad yang lalu.
Hasil daripada Laporan Razak (1956), kemudiannya Laporan Rahman Talib (1960),
Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), penggubalan Akta Pendidikan 1996,
sehinggalah yang terakhir Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010),
sistem pendidikan kita telah mencatat beberapa kejayaan yang membanggakan.
Enrolmen murid pada
peringkat pendidikan rendah, termasuk di sekolah swasta, telah mencapai tahap
hampir sejagat, iaitu 96 peratus (%) berbanding hanya 40% pada tahun 1950.
Kadar enrolmen pada peringkat menengah rendah pula telah mencapai 91%, dan
menengah atas 82%. Peningkatan yang signifikan dalam enrolmen disusuli oleh
peningkatan dalam pencapaian murid. Kadar literasi remaja telah meningkat
daripada 88% pada tahun 1990 kepada kadar hampir sejagat sebanyak 99% masa
kini. Kadar literasi dewasa juga telah meningkat secara mendadak, iaitu
daripada 52% semasa negara mencapai kemerdekaan kepada 93% pada tahun 2010.
Kesemua pencapaian ini amat membanggakan kita.
Kerajaan juga telah
memperuntukkan secara tekal sebanyak 16% daripada bajet negara setiap tahun
untuk Kementerian Pelajaran. Pelaburan yang besar telah dibuat dalam latihan
guru, emolumen dan pembinaan infrastruktur serta kemudahan asas pendidikan yang
telah berhasil meningkatkan penyertaan murid pada peringkat pendidikan rendah
dan menengah, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman. Hasilnya, jurang
pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar telah berkurangan. Dalam
peperiksaan UPSR, jurang pencapaian murid bandar dan luar bandar telah
berkurangan daripada 8% pada tahun 2005 kepada 4% pada tahun 2011.
Mutakhir ini, berkat
usaha gigih warga pendidik dan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif di
bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara bagi sektor pendidikan, enrolmen murid
prasekolah juga telah berjaya ditingkatkan daripada 67% pada tahun 2009 kepada
77% pada tahun 2011. Penguasaan Literasi dan Numerasi murid juga telah
menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan. Berdasarkan keputusan ujian LINUS
2011, kadar literasi murid kohort Tahun1 telah meningkat daripada 87% pada
tahun 2010, kepada 95% apabila mereka berada di Tahun 2 pada tahun 2011. Begitu
juga dengan kadar numerasi murid kohort yang sama telah meningkat daripada 87%
pada tahun 2010 kepada 97% pada tahun 2011.
Semua kejayaan ini
adalah hasil komitmen dan usaha gigih para guru, ibu bapa, anggota masyarakat
dan kerajaan untuk meningkatkan pencapaian murid di negara kita. Namun, di
sebalik lakaran kejayaan ini, masih banyak lagi yang perlu kita capai. Ketika
sistem pendidikan kita menempa beberapa kemajuan penting sepanjang lebih lima
dekad yang lalu, sistem pendidikan di negara-negara lain juga telah bergerak
pantas dalam perlumbaan untuk menjadi sistem yang terbaik di dunia. Dalam
persaingan global yang semakin sengit ini, negara kita perlu bergerak lebih
pantas ke hadapan. Walau bagaimanapun, pentaksiran pada peringkat antarabangsa
menunjukkan pencapaian murid kita dalam beberapa bidang penting seperti Bacaan,
Matematik dan Sains masih rendah berbanding murid di negara-negara maju.
Misalnya, daripada 74 buah negara yang mengambil bahagian dalam ujian Programme
for International Student Assessment atau PISA 2009, murid Malaysia berada di
tempat sepertiga terbawah bagi Bacaan, Matematik dan Sains.
Hal ini perlu diatasi
segera sekiranya negara kita ingin mengorak langkah lebih pantas dalam
perlumbaan menuju negara maju. Tidak ada jalan pintas untuk kita melakukannya.
Tidak ada tongkat ajaib yang boleh menjelmakan hasil yang terbaik dalam sekelip
mata. Sebaliknya, kita perlu akur dengan realiti semasa, jujur melakukan
pembetulan dan mengambil langkah berani untuk melonjakkan prestasi pendidikan
negara.
PENYEDIAAN PELAN
PEMBANGUNAN PENDIDIKAN, 2013-2025
Bertitik tolak
daripada kesedaran ini, Kementerian Pelajaran telah memulakan usaha mengkaji
semula sistem pendidikan negara pada bulan Oktober 2011. Panel Dialog Nasional
Pendidikan Negara telah dibentuk untuk mengumpul pandangan masyarakat umum
mengenai langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan
kualiti pendidikan. Menerusi satu siri jelajah dialog pendidikan yang diadakan
di seluruh negara, sebanyak 7,039 syor telah diterima daripada hampir 12,000
orang peserta yang mengambil bahagian. Kementerian juga telah menerima 156 memorandum
daripada pelbagai pertubuhan dan individu. Selain itu, pandangan daripada Panel
Penilai Bebas Malaysia dan Antarabangsa telah diperolehi dalam menyediakan
Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan. Kementerian juga telah mendapatkan
input daripada kajian-kajian yang dilakukan oleh UNESCO, OECD, Bank Dunia dan
Institusi-Institusi Pendidikan Tinggi Awam tempatan.
Hari ini, ketika kita
masih lagi dalam semangat sambutan ulang tahun kemerderkaan negara yang ke-55,
tercatat satu lagi peristiwa penting dalam lembaran sejarah negara kita.
Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan yang akan memacu pendidikan negara ke
arah pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Pelan ini tidak ubah
seperti satu referendum bersejarah yang melambangkan cita-cita dan pengharapan
rakyat terhadap sistem pendidikan negara.
MATLAMAT DAN
PENDEKATAN
Kementerian Pelajaran
akan mengorak langkah dalam menghasilkan suatu sistem pendidikan negara yang
berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan
dan kecekapan. Di samping itu, pada peringkat murid-murid pula, pelan ini
menyasarkan 6 ciri aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir,
kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, serta identiti
nasional.
Dalam merangka Pelan
ini, 9 bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan
Negara telah diperhalusi. Sembilan perkara tersebut ialah:
* Pertama,
memartabatkan profesion keguruan;
* Kedua, meningkatkan
kualiti kepimpinan sekolah;
* Ketiga,
meningkatkan kualiti sekolah;
* Keempat,
memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran;
* Kelima,
meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa;
* Keenam, mengukuhkan
pelibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam
pendidikan;
* Ketujuh,
meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan
pasaran kerja;
* Kelapan,
memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber; dan
* Kesembilan, membina
kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.
Daripada keseluruhan
9 bidang keutamaan ini, Kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu
dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh seluruh rakyat
Malaysia. Sebahagian daripada anjakan ini merupakan perubahan strategi dan hala
tuju pendidikan, manakala anjakan yang lain merupakan perubahan operasi yang
telah dan sedang dilaksanakan. Sama ada perubahan bersifat strategi atau
operasi, semuanya menggambarkan perubahan amalan semasa.
11 ANJAKAN
ANJAKAN PERTAMA (1)
ialah Menyediakan Kesamarataan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Bertaraf
Antarabangsa. Hakikatnya, hari ini, murid dikatakan telah berjaya menguasai
ilmu apabila mereka berupaya menganalisa maklumat, berfikir secara kritis,
mengaplikasi ilmu secara kreatif dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah
ciri-ciri kemahiran berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di
negara-negara maju. Sehubungan dengan itu, Kementerian akan melancarkan
Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kementerian juga akan
menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran
kepada sekolah mengamalkan jadual anjal selagi sekolah boleh menyampaikan hasil
pembelajaran dan kandungan yang digariskan dalam kurikulum.
Seiring dengan
pelaksanaan kurikulum baharu ini, kementerian akan mengkaji kemungkinan
melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana. Ini
termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah
menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang, dan menamatkan
sekolah rendah dalam masa lima tahun berbanding enam tahun. Selanjutnya,
peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan dirombak untuk meningkatkan tumpuan
terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, seiring dengan pelaksanaan kurikulum
baharu. Sebagai contoh menjelang tahun 2016, peperiksaan UPSR akan mengandungi
80 peratus soalan berbentuk pemikiran aras tinggi.
Selain itu, tempoh
pendidikan wajib juga akan dilanjutkan daripada 6 tahun sekarang kepada 11
tahun, dengan disokong oleh pelbagai inisiatif untuk mengekalkan murid dalam
sistem pendidikan, termasuk memperluaskan laluan pendidikan dan latihan teknik
dan vokasional. Untuk menjamin akses pendidikan berkualiti dan bertaraf
antarabangsa kepada semua murid, kerajaan akan meningkatkan pelaburan bagi
sumber fizikal dan pengajaran kepada murid dengan keperluan khusus. Murid Orang
Asli dan kumpulan minoriti, serta murid kurang upaya fizikal dan pembelajaran,
akan menerima bantuan tambahan supaya mereka juga menikmati peluang yang sama
seperti murid lain.
Dari segi penguasaan
bahasa, Kementerian akan melaksanakan AJAKAN YANG KEDUA (2), iaitu memastikan
setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Menerusi
Pelan Pembangunan Pendidikan ini, Kementerian akan memperluas program LINUS
supaya meliputi literasi Bahasa Inggeris. Kementerian juga akan meningkatkan
kemahiran bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 orang guru bahasa
Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Guru yang
tidak mencapai standard yang ditetapkan akan mengikuti latihan intensif untuk
meningkatkan kemahiran. Di samping itu, murid akan diberi pendedahan yang lebih
meluas terhadap bahasa Inggeris dengan memperkenalkan modul Sastera Inggeris
yang akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah.
Bagi memantapkan
penguasaan bahasa Malaysia di semua jenis sekolah, kementerian akan
memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah,
merangkumi sekolah jenis kebangsaan. Dengan pelaksanaan kurikulum standard ini,
Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsan akan dimansuhkan mulai tahun
2017. Selain itu, Kementerian juga akan menggalakkan setiap murid mempelajari
bahasa tambahan seperti bahasa Cina, bahasa Tamil atau bahasa Arab serta bahasa
ibunda atau bahasa antarabangsa yang lain.
Seterusnya,
Kementerian akan melaksanakan ANJAKAN yang ketiga (3), iaitu melahirkan rakyat
Malaysia yang menghayati nilai. Dalam mengharungi dunia yang semakin mencabar
hari ini, anak-anak kita perlu memiliki nilai-nilai murni sejagat yang selaras
dengan tuntutan moral, etika dan agama. Pada masa yang sama, sebagai
warganegara, anak-anak kita juga perlu sentiasa dipupuk dengan semangat
patriotisme untuk membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu.
Untuk itu, menerusi
Pelan Pembangunan Pendidikan ini, kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan
Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang tahun 2017. Pedagogi untuk
Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan
lebih banyak aktiviti main peranan (role play), simulasi, perbincangan, dan
tugasan dalam kumpulan kecil. Selanjutnya, Kurikulum Pendidikan Islam akan
melibatkan tumpuan terhadap pemahaman nilai teras dan falsafah Islam serta
agama-agama yang lain. Bagi murid bukan Islam pula, Pendidikan Moral akan
mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia.
Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan murid Islam dan bukan Islam
berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar. Program-program
yang sedia ada seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan
program 1Murid 1Sukan 1Kelab dan 1Badan Berunifom juga akan diteruskan.
Segala langkah yang
akan diambil ini tidak akan berhasil tanpa sokongan dan dokongan guru-guru yang
berkualiti. Sehubungan dengan itu, kementerian akan melakukan ANJAKAN YANG
KEEMPAT (4), iaitu meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan
sebagai profesion pilihan. Anjakan ini adalah selari dengan pandangan sebahagian
besar peserta Dialog Nasional Pendidikan Negara yang mahukan kualiti guru
diberikan keutamaan. Untuk itu, kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan
ke latihan perguruan dengan menyasarkan hanya 30% teratas daripada kelompok
pelajar cemerlang menyertai profesion keguruan. Selain itu, bagi guru-guru yang
sudah berada dalam sistem, kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya
berterusan guru-guru dengan melaksanakan program pembangunan kerjaya secara
in-situ di sekolah.
Untuk menyokong
peningkatan prestasi guru, kementerian akan menyediakan laluan kerjaya guru
berasaskan kompetensi dan prestasi. Dalam hal ini, guru berprestasi tinggi akan
berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula daripada gred DG41 sehingga DG54
dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun yang merupakan
purata tempoh kenaikan pangkat secara time-based yang baru. Selain itu,
kementerian akan memastikan guru memberikan tumpuan kepada fungsi teras
pengajaran dengan mengurangkan beban pentadbiran; memperluaskan laluan kerjaya
guru untuk peranan kepimpinan, pakar pengajaran dan pakar bidang khusus; dan
mempertimbangkan untuk mewujudkan satu skim pensijilan yang dikaitkan dengan
penguasaan kecekapan guru.
Seterusnya, ANJAKAN
YANG KELIMA (5) ialah memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan
disetiap sekolah. Untuk itu, kKementerian akan memperkenalkan kriteria
pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan kompetensi, serta memperkukuhkan
proses perancangan penggantian pengetua dan guru besar mulai tahun 2013. Selain
itu, kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di
sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar bertujuan
untuk meningkatkan prestasi sekolah.
Kementerian juga akan
menyediakan sokongan yang secukupnya kepada pengetua dan guru besar untuk
membantu mereka meningkatkan prestasi sekolah. Untuk itu, Kementerian akan
melakukan ANJAKAN YANG KEENAM (6), iaitu mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk
menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan. Kementerian akan
menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah
(School Improvement Specialist Coaches atau SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan
Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Partners atau SiPartners) secara
sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Para jurulatih ini bertanggungjawab
memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah, iaitu
sekolah yang berada dalam band 5, 6 dan 7. Satu projek rintis akan dilaksanakan
di negeri Sabah dan Kedah mulai Januari 2013, manakala pelaksanaan seluruh
negara akan bermula Januari 2014.
Selain itu, untuk
meningkatkan autonomi sekolah, kementerian akan membenarkan fleksibiliti
pengoperasian ke atas pengagihan bajet dan pelaksanaan kurikulum, dimulai
dengan Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Kluster, Sekolah Amanah dan
sekolah-sekolah yang menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara. Dari semasa
ke semasa, lebih banyak sekolah akan diberikan hak membuat keputusan dan
akauntabiliti berdasarkan prestasi yang ditunjukkan.
Dalam dunia yang
pantas berkembang hari ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT
mempunyai potensi yang besar untuk memacu proses pembelajaran. Untuk itu,
kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KETUJUH (7), iaitu memanfaatkan
(ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran. Kementerian akan meningkatkan
akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui pelaksanaan
1BestariNet bagi kesemua 10,000 buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya
pada penghujung tahun 2013. Dalam masa yang terdekat, semua murid akan
mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan landasan
untuk pelaksanaan pembelajaran secara interaktif.
Seterusnya,
kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KELAPAN (8), iaitu mentransformasi
kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran. Struktur organisasi
kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian tidak bertindih. Lebih
ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD, iaitu agensi utama dalam rantaian
penyampaian pendidikan. Dalam konteks ini, PPD bukan lagi semata-mata
berperanan sebagai saluran penghubung antara kementerian dan sekolah, tetapi
sebagai agensi penting yang terlibat secara langsung dalam memantau dan
mengurus prestasi sekolah. Kementerian akan mengekalkan fungsinya dalam
perancangan makro dan penggubalan dasar, manakala JPN akan memberikan tumpuan
kepada penyelarasan dan penyampaian segala perancangan, serta menjadi
penghubung yang penting antara penggubal dasar dan pelaksana di peringkat
bawah.
Menyedari hakikat
bahawa proses pembelajaran tidak hanya berlaku di sekolah, tetapi turut
merangkumi aktiviti-aktiviti di luar sekolah yang melibatkan penyertaan ibu
bapa, komuniti dan sektor swasta, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG
KESEMBILAN (9), iaitu memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibu bapa,
komuniti, dan sektor swasta. Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem
Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), untuk membolehkan ibu bapa memantau
kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian. Perhatian khusus akan
diberikan kepada usaha membantu ibu bapa luar bandar dan miskin bandar
meningkatkan prestasi anak masing-masing.
Selain itu, pihak
kementerian akan mendapatkan maklum balas daripada setiap PIBG mengenai pelaksanaan
kurikulum setempat dan kualiti guru mulai tahun 2016. Untuk menggalakkan
pelibatan sektor swasta dan komuniti, kementerian akan menambah bilangan
Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang tahun 2025 dengan turut melibatkan
kumpulan alumni dan pertubuhan bukan kerajaan yang berpotensi sebagai
penganjur. Saban tahun, sekitar 16% daripada bajet negara diperuntukkan kepada
Kementerian Pelajaran, dan jumlah ini merupakan yang terbesar antara semua
kementerian. Bajet pendidikan di Malaysia, sebagai sebahagian daripada KDNK
juga merupakan satu daripada yang tertinggi di dunia.
Untuk itu,
kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KESEPULUH (10), iaitu memaksimumkan
pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan. Kementerian akan mengaitkan
setiap program yang dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai
dan merasionalisasi program berimpak rendah pada setiap tahun, seiring dengan
anjakan pengurusan kewangan negara ke arah Bajet Berasaskan Keberhasilan
(Outcome-Based Budgeting). Kementerian juga akan meningkatkan kecekapan dalam
mengurus perbelanjaan dengan memberikan keutamaan kepada bidang paling kritikal
seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.
ANJAKAN YANG
KESEBELAS (11), iaitu yang terakhir, ialah meningkatkan ketelusan akauntabiliti
awam. Sepanjang pelaksanaan Pelan ini, semua pihak berkepentingan akan
mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif
yang dilaksanakan oleh kementerian. Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran
dan inisiatif Pelan ini akan diterbitkan untuk tatapan umum mulai tahun 2013.
Kementerian juga akan melaksanakan semakan komprehensif pada tahun 2015, 2020
dan 2025 bagi memastikan pelan ini sesuai dengan sifat dinamis dan perkembangan
semasa sektor pendidikan.
Pelan Pembangunan Pendidikan
ini adalah satu dokumen komprehensif yang bukan sahaja mengenal pasti
bidang-bidang keutamaan dan meletakkan sasaran-sasaran yang hendak dicapai,
malah turut menyenaraikan inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan,
melakar pelan tindakan yang jelas, dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk
mencapai setiap sasaran yang ditetapkan. Misalnya, rakyat boleh menjangkakan
dalam Gelombang Pertama pelaksanaan, iaitu dari tahun 2013 hingga 2015, akan
berlaku peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai
di peringkat negeri dan daerah, dan mutu kepimpinan sekolah.
Dalam Gelombang Kedua
pula, iaitu dari tahun 2016 hingga 2020, akan berlaku perubahan struktur sistem
pendidikan negara yang menyaksikan kesemua 410,00 guru dan 10,000 pengetua atau
guru besar menikmati pakej kerjaya baharu; bahagian-bahagian di Kementerian
distruktur semula untuk menjajarkan dengan peranan yang direncanakan menerusi
Gelombang Pertama; dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula untuk
memastikan ia sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia hari ini. Manakala
dalam Gelombang Ketiga, iaitu dari tahun 2021 hingga 2025, semua sekolah, guru
dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard
minimum. Kementerian akan memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan
keluwesan operasi dan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan
berasaskan sekolah, serta membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan
inovasi dalam pengajaran.
Keseluruhan anjakan ini
akan memberikan impak yang besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara.
Sekiranya kesemua 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan ini dilaksanakan
dengan cekap dan berkesan, untuk tempoh 13 tahun akan datang kita akan
menyaksikan satu anjakan besar dalam sistem pendidikan negara, iaitu daripada
pendidikan yang berfokuskan akses kepada pendidikan yang berfokuskan kualiti. Untuk
itu, sepanjang tempoh pelaksanaan, pegawai-pegawai di Kementerian, khususnya
kumpulan pengurusan tertinggi, mempunyai KPI masing-masing yang dikaitkan
dengan pencapaian setiap sasaran yang ditetapkan. KPI ini akan disebarkan ke
peringkat bawah, dari Kementerian hingga ke sekolah, untuk memastikan matlamat
yang hendak dicapai adalah tekal dan selari.
Selain itu,
Kementerian akan mewujudkan Unit Penyampkian Pendidikan (Education Delivery
Unit) untuk memacu pelaksanaan Pelan ini. Unit ini akan bertanggungjawab
memantau kemajuan, menyelesaikan isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan
pihak berkepentingan dan mengumpul maklumbalas secara berterusan. Pegawai yang
ditempatkan di unit ini akan terdiri daripada mereka yang berbakat besar dan
berpengalaman luas dalam mengurus transformasi, baik dalam sektor awam mahupun
sektor swasta. Dalam konteks ini, Pelan ini agak berbeza daripada
laporan-laporan pendidikan yang terdahulu. Di samping menghuraikan hasrat dan
sasaran yang hendak dicapai, Pelan ini lengkap dengan kaedah pelaksanaan, dan
strategi penyampaian yang jelas.Kementerian dimaklumkan oleh Panel Penilai
Bebas Antarabangsa bahawa kajian semula sistem pendidikan kita telah dilakukan
dengan amat teliti, dan kualiti analisanya menepati standard antarabangsa.
Inilah julung-julung
kali dalam sejarah negara kita, satu pelan pembangunan pendidikan untuk rakyat
disediakan hasil rundingan awam secara telus dan terbuka. Sukacita saya
maklumkan di sini bahawa sehingga kini, lebih 90 peratus pandangan yang dikemukakan
oleh orang ramai menerusi siri jelajah Dialog Nasional Pendidikan Negara telah
diambilkira dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan yang saya
bentangkan pada hari ini.
Selepas ini,
kementerian akan mengadakan Hari Terbuka untuk membolehkan masyarakat umum
meneliti kandungan Pelan ini, mendapatkan penjelasan dan mengemukakan maklum
balas lanjut kepada kerajaan. Saya percaya, apabila pelan ini dibentangkan
kepada Kabinet kelak dan dimuktamadkan pada bulan Disember nanti, apa yang
terhasil adalah satu pelan pendidikan yang sarat dengan cita-cita dan harapan
rakyat. Inilah tanda kesungguhan Kerajaan Barisan Nasional bawah kepimpinan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk menzahirkan matlamat Dasar
Transformasi Nasional yang berasaskan jangkaan dan pengharapan rakyat.
SUMBER
Utusan Malaysia
13 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan