14 Ogos 2012

ISU SOSIAL : KEREDUPAN HATI WARGA EMAS


Rencana ini ditulis oleh :
DR. JESSICA ONG HAI LIAW
Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, 
Korporat dan Perhubungan Antarabangsa, dan
Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.


Cadangan kenaikan had umur bagi pengeluaran penuh KWSP kepada 60 tahun selari dengan batas umur persaraan minimum swasta menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pencarum. Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, memang ada ura-ura tersebut namun beliau berkata kerajaan tidak bercadang melaksanakan sistem tersebut. Had umur bagi membolehkan pengeluaran penuh caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal pada umur 55 tahun dan bukan 60 tahun. Berita ini tentu menggembirakan kerana persaraan akan diiringi sejumlah wang untuk masa depan. Apabila mendapat sejumlah wang yang besar itu, bagaimana pula hendak menguruskan wang tersebut. Sesetengah warga emas memberitahu ia boleh membantu hidup anak-anak yang kesempitan. Namun begitu, bagaimana pula kehidupan warga emas yang tidak caruman KWSP atau wang pencen? Warga emas yang hanya bertungkus lumus bekerja dahulunya dan berjaya menyara anak-anak hingga ke peringkat universiti tetapi tiada simpanan pada hari tua. Akhirnya mereka hanya mengharapkan anak-anak akan menyara mereka. Adakah itu realiti kehidupan yang diharapkan atau sebaliknya?

Anak-anak pada hari ini sibuk bekerja dan tidak dapat menjaga ibu bapa. Kenyataan itu sudah menjadi kebiasaan kerana kata mereka menghantar ke rumah orang tua lebih mudah sebab ibu bapa mereka akan ada ramai kawan di sana. Di rumah orang tua, ada jururawat yang menjaga jika sakit dan demam. Sesetengah orang pula menyerahkan penjagaan ibu bapa kepada orang gaji dan jarang menjenguk mereka. Ramai ibu atau bapa yang terlantar di hospital dan dijaga orang lain, yang bukan anak-anak mereka. Kata mereka, wang tidak menjadi masalah cuma mereka tidak mempunyai masa hendak menjaga ibu bapa. Justeru, ibu bapa dibiarkan menanggung rindu dan menghitung hari-hari sunyi mengharapkan kepulangan anak-anak. Kita perlu ingat, restu ibu bapa amat penting dalam memberikan keberkatan dalam hidup kita. Syurga di bawah telapak kaki ibu kerana doa ibu tiada tandingannya dan amat membahagiakan kita. Kata-kata itu memang sering diingati kerana seorang ibu boleh memelihara sepuluh orang anak tapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu. Ibu mengandungkan anak selama sembilan bulan 10 hari bertarung nyawa ketika melahirkan dan penat lelah menjaga anak-anak mereka.

Segala pengorbanan ibu bapa tidak pernah menuntut ganjaran dan berharap anak-anak yang sudah dewasa mampu menampung diri sendiri. Satu hari nanti kita juga akan menjadi tua. 'What goes around comes around'. Adakah itu semua benar berlaku atau lakonan dalam drama yang kita tonton seperti drama Baitul Rahmat di TV1 dan 7 Ramadan di TV3? Drama Baitul Rahmat yang ke udara jam 7.30 malam di TV1 berjaya mengutip jumlah penonton 541,105 penonton sarat dengan pengajaran kepada kita supaya jangan menderhaka kepada ibu bapa. Drama 7 Ramadan di TV3 juga amat memberikan pengajaran yang penuh pengertian. Tahniah diucapkan kepada stesen televisyen kerajaan dan swasta yang menyampaikan mesej-mesej berguna kepada masyarakat. Iklan-iklan di televisyen seperti iklan raya Petronas pada 2006 yang memaparkan tentang kasih ayah kepada anak perempuannya tetapi akhirnya diketepikan apabila sudah tua dan sakit. Pengajaran yang boleh kita jadikan iktibar, jika itu yang kita lakukan kepada orang tua kita maka tidak mustahil jika kita pula dilakukan demikian oleh anak-anak kita.

Kita masih boleh mencari ruang untuk memberikan yang terbaik kepada ibu bapa kita kerana di sebalik keredupan masa depan warga emas, tidak semua orang memiliki sifat-sifat begini kerana masih ramai yang sayangkan ibu bapanya dan masih ada prihatin. Sekumpulan nenek berbangsa Cina yang tinggal di kawasan perumahan saya sentiasa berbincang di sebuah kedai kopi menyatakan entah bila giliran mereka akan dihantar ke rumah orang tua jika mereka sakit nanti. Salah seorang makcik yang dipanggil Makcik Kampar kerana berasal dari Kampar adalah antara yang paling takut nasibnya akan berakhir di Rumah Orang Tua. Namun, ramalannya tepat kerana dia telah dihantar ke Rumah Orang Tua kerana masalah penglihatan. Makcik Kampar telah melakukan pembedahan mata namun masih kabur penglihatannya dan itulah nasibnya. Sekumpulan nenek itu sering mengeluh dan risau adakah nasib mereka akan berakhir seperti Makcik Kampar. Bagi kaum Cina, ibu bapa memang suka tinggal dengan anak lelaki kerana bagi mereka anak lelaki adalah pewaris. Namun begitu, makin ramai orang Cina memilih untuk tinggal dengan anak perempuan kerana kata mereka menantu lelaki lebih mudah untuk diajak berbincang.

Saya amat memahami situasi ini kerana bukan mudah hubungan antara ibu bapa mertua dengan menantu perempuan atau lelaki. Namun saya tidak memahami kenapa anak-anak cuba lari daripada tanggungjawab sebelum cuba bertanggungjawab ke atas orang tua mereka. Saya pernah mendengar kata-kata bahawa mereka ingin mencari suami atau isteri yang tiada ibu bapa. Kata mereka lebih mudah dan tidak ada masalah bila kahwin. Anak-anak yang dari awal merancang untuk berhijrah ke luar negara dan lari tanggungjawab? Anak-anak yang sengaja duduk terlalu jauh dari ibu bapa dan anak-anak yang tidak membenarkan ibu bapanya menjejakkan kaki ke rumah apabila mereka sudah kaya-raya. Macam-macam yang berlaku pada hari ini apabila anak-anak terlalu berkira dalam soal menjaga ibu bapa. Mereka sanggup memberikan wang tetapi tidak sanggup menjaga ibu bapa kerana suami atau isteri tidak suka dengan kehadiran orang tua di rumah. Mereka lupa bahawa ibu bapa yang ada di rumah akan membawa keberkatan dan rezeki kepada kita sebenarnya. Nasib warga emas masih baik jika ada anak-anak yang sanggup sekurang-kurangnya memberi wang dan bagaimana pula dengan anak-anak yang langsung tidak memberi wang kepada ibu bapa mereka? Kata mereka, ibu bapa mereka sudah kaya tetapi sebenarnya apa yang ibu bapa hendakkan bukan ratusan ringgit.

Kata Makcik Azura yang mempunyai wang pencen, jika duit RM50 pun dah cukup menggembirakan kerana itu ingatan anak-anak kepadanya. Wang itu disimpannya untuk anak-anaknya juga bila dia tiada lagi di dunia ini. Kita fikir sejenak, siapalah kita dan bagaimana kita dapat bernafas pada hari ini jika tidak ada ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan kita. Kaum Melayu dan kaum India bagaimana pula pandangan mereka? Adakah anak-anak lelaki yang perlu lebih bertanggungjawab atau anak perempuan atau sama sahaja? Pertelagahan antara anak-anak tentang siapa yang perlu menjaga ibu bapa mereka memang wujud dan apabila saya melihat dari perspektif anak-anak pula memang ada yang memberikan penjelasan. Keluhan anak-anak yang menyatakan ibu bapa yang pilih kasih, tak pernah sayangkan mereka dan macam-macam cerita yang berlaku. Namun, pada pendapat saya, yang tua tetap perlu kita hormati walaupun mereka pernah bersalah dan pilih kasih. Ibu bapa tetap perlu kita jaga sehingga akhir hayat mereka. Jenguklah mereka di mana sahaja mereka berada sempena bulan Ramadan dan mohon kemaafan di Syawal nanti kerana itulah keberkatan yang tiada nilainya. Sayangilah ibu bapa kita. Salam 1Hati.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Isnin, 14 Ogos 2012

13 Ogos 2012

ISU UMUM : TRANSFORMASI : SUATU PERSEPSI


Rencana ini ditulis oleh :
TAN SRI SYED HAMID ALBAR,
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)


Persepsi adalah satu proses yang mana penerimaan naluri kita diterjemah dan digabungkan menjadi satu pandangan yang menyeluruh terhadap persekitaran kita. Walaupun semestinya berdasarkan kepada infomasi yang tidak lengkap dan tidak sahih, persepsi sering disamakan dengan realiti dan mewakili perangai kita. Hari ini kita lihat politik di serata dunia menjadi lebih bercelaru. Kita berdepan dengan persoalan tentang kebebasan serta pertembungan antara hak individu dan kepentingan masyarakat dalam konteks demokrasi dan hak asasi. Dalam order baru dunia, kuasa besar Barat berjaya membentuk hegemoni, politik dan ekonomi, tanpa adanya dunia multipolar. Serentak dengan itu, situasi ekonomi dunia terus tidak menentu; dan mengikut ramalan Bank Dunia, ekonomi dunia akan terus bergerak perlahan. Pengerusi Federal Reserve Amerika Syarikat pula meramalkan ekonomi negara itu tidak akan bertambah baik, malahan akan terus meruncing.

Berlatar belakang kedudukan ekonomi dunia yang tidak memberangsangkan, bidang politik juga menyaksikan perubahan kerajaan sama ada melalui proses pilihan raya bebas atau melalui pemberontakan seperti mana yang telah tercetus khususnya di Asia Barat. 'Sumpitan' daripada kuasa dalaman kerajaan, kuasa luar akhirnya mengakibatkan kerajaan berkenaan digulingkan dengan pertumpahan darah dan kehilangan nyawa di kalangan mereka yang terlibat dan tidak terlibat. Maka nyata bahawa persepsi ekonomi-politik hari ini sememangnya bercelaru. Soalnya adakah persepsi ini terancang agar akhirnya keadaan bercelaru ini menjemput campur tangan asing secara terang-terangan melalui ketetapan atau resolusi Majlis Keselamatan PBB sebagai pengendorsnya untuk menghalalkan campur tangan dan perubahan.

Jelas sekali campur tangan ke atas negara-negara Islam adalah amat ketara berbanding yang diberikan perhatian kepada negara-negara lain yang berkonflik contohnya di Amerika Latin. Namun apa yang dipanggil penyelesaian itu tidak menjamin keamanan dan keselamatan. Kuasa-kuasa besar Barat terus menggunakan kekuatan ketenteraan dan PBB dibawa bersama bagi mencorakkan order baru dunia di atas asas persepsi bahawa campur tangan kemanusiaan dan mahu mendemokratikkan negara-negara tersebut adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Walaupun perubahan yang mereka bawa tidak semestinya menjadi jawapan ataupun jalan penyelesaian kepada konflik dalaman sesebuah negara, ia tidak pula menjadi persoalan. Justeru masalah keselamatan, keamanan, ekonomi dan politik terus menekan dan membawa penderitaan kepada rakyat di negara-negara yang kononnya telah diselamatkan. Tapi apa yang jelas ia berjaya melahirkan negara-negara yang pro Barat dengan agenda demokrasi dan kebebasan. Persoalannya, sama ada hegemoni dan sistem ekonomi kapitalis yang dieksport Barat dapat menangani segala kemelut termasuk ekonomi dan politik di Eropah belum lagi terserlah.

Apa yang nyata ialah tersebarnya satu persepsi bahawa perlunya transformasi melalui sistem kapitalis, demokrasi dan globalisasi di negara-negara yang tidak mengenalnya sebelum ini. Tetapi realitinya masih lagi sangsi. Pendekatan sebegitu dianggap sebagai penjajahan cara baru yang bertukar hanya bentuknya. Tambahan lagi, banyak pendapat yang mengatakan sistem kapitalis, demokrasi dan globalisasi bukanlah satu penyelesaian muktamad untuk semua keadaan yang dihadapi oleh dunia. Tidak dapat dinafikan yang umat manusia berada di atas satu pentas yang telah didekatkan serta saling kebergantungan akibat dari kemajuan teknologi maklumat dan internet. Dalam tamadun sains dan teknologi ini jelas sekali kuasa terkuat yang muncul hari ini adalah pihak media. Mereka berupaya bercanang, mereka-reka, dan membina persepsi yang tidak berlandaskan realiti semasa. Pengaruh media menjadi dominan dan berjaya serta berkesan membentuk persepsi dalam semua persoalan.

Persepsi boleh membentuk pemikiran, pegangan dan keputusan sama ada semasa berdepan dengan krisis ataupun di luar krisis. Masyarakat setempat dan antarabangsa tidak dapat lari daripada hakikat ini. Media alternatif telah menyentuh dan menentukan hala tuju dalam pelbagai bidang termasuk politik domestik dan antarabangsa. Justeru, kebebasan demokratik seharusnya diteraskan kepada wasatiyyah atau kesederhanaan bagi mencapai keseimbangan dalam melaksanakan tanggungjawab di antara hak individu dan masyarakat. Komunikasi dan penyampaian maklumat yang bergerak begitu pantas dengan insiden dan kejadian semasa memerlukan kerajaan berada di hadapan. Pada hari ini, Malaysia sedang melalui proses transformasi yang amat hebat dalam sejarah politik dan ekonomi negara. Ia dilaksanakan untuk menaikkan taraf hidup, melahirkan peluang perkerjaan dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi serta terhubung di antara satu wilayah dengan wilayah yang lain atau dari satu tempat ke tempat yang lain. Pemimpin dan mereka yang berada di persekitaran pemimpin perlu dapat menguasai setiap nadi dan pergerakan dasar, sama ada tersurat ataupun tersirat.

Mereka harus mengerti dan memahami niat dan tujuan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), ProgramTransformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan ( GTP) yang luhur dan murni itu dapat dirasai dan dikecapi oleh rakyat. Dalam konteks ini amalan dan implementasi akan diyakini oleh golongan yang hendak dimanfaatkan. Jika program-program dapat dilaksanakan dengan telus dan sempurna maka akan terbitlah keyakinan terhadap pemimpin dan kerajaan dan kredibiliti pemerintah akan dapat ditingkatkan. Bila dapat diajukan dasar, sasarannya dan maklumat dengan telus dan tepat maka susah untuk dimanipulasikan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan untuk memenuhi agenda mereka bagi melahirkan persepsi negatif terhadap kerajaan. Persepsi negatif hanya boleh dikalahkan dengan kebenaran. Tetapi jika kebenaran tersembunyi, akhirnya pembohongan yang diulang-ulangkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab akan diterima sebagai kebenaran.

Justeru, kejayaan dan kegagalan kerajaan pada dewasa ini bergantung banyak kepada bagaimana pemimpin dan jentera dianggap cekap dan autoratif dalam menengahkan kebenaran sebagai realiti. Sekali gus pihak yang lain tidak dapat membentuk persepsi negatif terhadap setiap dasar atau tindakan kerajaan. Kerajaan tidak boleh hanya respons setelah sesuatu terjadi dan persepsi negatif telah diatur bentuk oleh 'Dr. Spin' pihak lawan. Apabila itu berlaku mereka akan mewarnakan kebenaran melalui persepsi mereka. Begitu juga kerajaan tidak boleh membiar atau mengizinkan manipulasi fakta oleh pihak lain dan kemudiannya kelam-kabut menyediakan jawapan. Dasar pemerintah sebenarnya hendaklah diterjemah dan diimplimentasi agar dapat dilihat sendiri manfaatnya oleh rakyat dan bukan sesuatu yang dilaung-laungkan oleh kerajaan. Dalam hal ini kerajaan tidak boleh bersikap defensif dan apologetik. Sudah banyak sentuhan yang dihulurkan melalui program dan tindakan sama ada untuk jangka masa pendek ataupun panjang.

Media arus perdana dan alternatif harus digunakan untuk melaporkan pencapaian sebenar program dan tindakan tersebut, bukan hanya setakat untuk melaungkan persepsi transformasi. Pemimpin pula perlu perihatin membicara menggunakan bahasa dan memahami kecenderungan setiap peringkat masyarakat . Jika tidak, jurang realiti dan persepsi akan dibentuk oleh orang lain dan akan merugikan pemerintah. Sekiranya ingin berjaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, kerajaan perlu menangani pertarungan persepsi ini dengan cara yang bijak dan berkesan. Persepsi yang pemimpin kerajaan atau politik tidak bersih atau sombong atau hidup mewah atau susah untuk ditemui perlu dapat diatasi melalui pendekatan yang sungguh mesra rakyat dan terbuka dengan cara bertawaduk seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri. Pada masa yang sama dari sekarang hingga PRU-13, insya-Allah masyarakat tidak didedahkan dengan cerita-cerita skandal, salah laku sama ada bersifat jenayah ataupun tidak, yang membangkitkan kemarahan dan keraguan rakyat atau menyinggung sensitiviti mereka sehingga boleh menjejaskan sokongan dan minat kepada kerajaan dalam PRU-13.

Seharusnyalah parti pemerintah dapat mengatasi pihak pembangkang dengan memaparkan keupayaan, keikhlasan dan ketelusan kerajaan. Sebenarnya pemerintahlah penterjemah dan pelaksana kepada pembinaan satu negara bangsa berteraskan 1Malaysia untuk semua rakyat mengecapi kemajuan dan kesejahteraan.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Isnin, 13 Ogos 2012

ISU SOSIAL : KESAN BESAR SIKAP PEMANDU


Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor,
Universiti Sains Malaysia


Terdapat banyak kejadian yang dianggap kecil tetapi apabila dilakukan atau tidak diambil peduli kerapkali mengundang masalah, malah boleh membawa padah yang membuatkan kita menyesal sepanjang hayat. Dalam kesibukan kita menjalani kehidupan ini, kerjaya mahu pun perjuangan yang tertentu, kita kerap abaikan perkara-perkara yang dianggap remeh, namun berpotensi untuk menjadi besar. Apabila memandu kereta baru, berjenama hebat sesetengah orang cuba mengujinya di jalan raya dengan kelajuan tinggi. Kita jangka kita cekap dan mampu mengawalnya apatah lagi kereta baru yang canggih teknologinya dan mampu mengelak kerosakan, tetapi apabila terbabas, kereta dan diri kita mungkin selamat, tetapi pengguna jalan raya lain mungkin mendapat kesan dan akibatnya. Jalan raya akan sesak teruk dan padahnya dirasai sama oleh orang lain.

Pada musim perayaan ini, kita memandu dan tergesa-gesa untuk cepat sampai destinasi. Kita cuba mengambil jalan mudah dengan teknik pemanduan yang kita sangka cekap dan hebat. Kita memotong di sana sini tanpa mengira selekoh bahaya atau kesesakan, malah juga menggunakan laluan kecemasan. Siapa tahu, yang akan tiba di destinasi kita hanyalah jenazah yang terbujur kaku, tangisan sanak saudara pada pagi yang sepatutnya disambut gembira dan bahagia dan juga menyebabkan kesesakan lebuh raya atau jalan raya yang di luar jangkaan. Kita tidak pernah serik dengan pelbagai berita dan foto ngeri kemalangan jalan raya, kecacatan dan pelbagai kerosakan kerana kita ambil mudah. Betul, malang tidak berbau, tetapi jika kita yang mengundangnya, kita hanya menyusahkan diri dan keluarga serta mereka yang menyayangi kita, tetapi juga orang lain. Memandu dalam keadaan mengantuk, tidak sabar, berlumba, laju yang keterlaluan, mengambil mudah dan mementingkan diri dan banyak lagi yang kita lakukan yang sebenarnya mengundang padah buat diri sendiri dan orang lain.

Kita berlumba-lumba di jalan raya, mengharungi segala susah payah dan tekanan perasaan untuk balik kampung bertemu ibu bapa dan sanak saudara. Malangnya apabila tiba di kampung halaman anak-anak, malah kita sendiri pun memberi lebih banyak masa melayan telefon bimbit dengan pelbagai urusan dan media sosial, terperuk melayan pelbagai tayangan menarik di televisyen dan pelbagai lagi, daripada benar-benar mengambil masa dari kesempatan yang ada untuk mengukuhkan silaturrahim, berkenalan dengan sanak saudara yang tidak pernah ditemui atau melayan karenah ibu bapa yang telah tua dan ingin sedikit perhatian kita. Kita kata, kita adalah masyarakat yang bersopan santun dan berbudi bahasa. Tetapi hari ini anak-anak muda kita yang masih belajar di kolej dihukum mahkamah kerana memaki hamun pihak berkuasa. Kita sendiri pun mencarut di mana sahaja termasuk di dalam kereta yang terperangkap dalam kesesakan. Anak-anak memerhatikan kita dan kitalah cerminannya.

Ramadan dan Syawal yang akan datang dianggap bulan seribu sujud dan penuh kemuliaan, namun sikap dan kasih sayang kita kepada orang lain jarang kita nilaikan. Kita terus memandang kecil hal-hal yang merosakkan masa hadapan masyarakat dan negara. Kita tidak perduli nasib jiran tetangga dan mereka yang memerlukan. Kita jarang melihat nasib mereka dalam kalangan keluarga sendiri yang memerlukan bantuan dan sokongan. Kita lupa saudara-saudara kita yang menghidap penyakit berbahaya termasuk HIV AIDS, penagihan najis dadah dan lain-lainnya yang tersisih. Kita hina kesilapan mereka dan keluarga mereka yang dilanda musibah jadi bahan umpatan dan sesetengahnya jenazah pun enggan diuruskan. Lalu apabila orang lain yang datang hulurkan bantuan dan sokongan, terutamanya dari kumpulan agama lain, kita marah dan lihat dengan prasangka. Kita bercerita pula tentang hal-hal yang boleh menggugat keselamatan negara dan keharmonian sesama rakyat yang ada. Kita adu domba dan menyalahkan sesiapa sahaja termasuk kerajaan dan pihak berkuasa. Kita lupa melihat tanggungjawab dan amanah yang dipikul bersama, yang harus bermula dari diri sendiri malah juga institusi agama kita.

Demikian juga apabila kita melihat hal-hal yang tidak bermoral yang berlaku di sekitar kita. Orang yang menari separuh bogel di tiang. Orang menganjur pesta arak dan separuh bogel di tepi kolam renang hotel. Mereka yang mengadakan pelbagai perkara yang amat menjengkelkan. Jenayah yang melibatkan anak-anak yang tidak tahu apa-apa. Kita anggap itu hanyalah tanggungjawab kerajaan dan pemimpin tertentu. Kita tuding jari dan riuh-rendahkan pelbagai perkara dengan tujuan untuk mengatakan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan apa-apa. Kita salahkan polis dan pihak berkuasa. Kita seolah-olah tidak ada tanggungjawab. Seolah-olah tugas kita hanya pandai mengkritik. Tanggungjawab kita hanya menuding jari. Ini termasuklah dalam kalangan orang yang mahir agama yang sepatutnya turut memimpin dan membawa jalan penyelesaian terbaik. Menyatu padukan ummah dan mengajak untuk melakukan kebaikan secara realistik, bukan hanya berceramah atas pentas dan berkempen untuk tujuan tertentu.

Apabila soal-soal kebajikan dan kesejahteraan masyarakat pun dijadikan bahan untuk menuding jari, maka tidak hairanlah apabila orang menghina hukum dan perkara-perkara agama pun kita boleh kita bertoleransi. Kita kata pula yang hukum agama boleh berubah mengikut masa. Kita tafsir mengikut keperluan yang ada, kononnya untuk kemashalatan yang lebih besar. Kemashlahatan siapa? Kemashlahatan masyarakat atau pihak dan individu tertentu? Kita banyak bercakap tentang moral, etika dan agama. Kita marah kerana ada pemimpin tertentu yang diangkat sebagai tokoh dan pemimpin, yang dituduh dan dicari segala alasan dan bukti untuk mengatakan tidak bermoral, korupsi dan pelbagai keburukan lagi. Tetapi bila pihak kita dituduh menjulang pemimpin tidak bermoral, kita bela mati-matian. Jika sekali atau dua kali bolehlah agaknya dianggap fitnah dan sengaja diada-adakan, tetapi jika berkali-kali, kita masih lagi menganggap bersih dan hebat, walau pun sanggup menjual nama baik agama, bangsa dan tanah air sendiri di luar negara.

Malah jika orang yang kita anggap 'baik' dan 'bermoral' melakukan tindakan bertentangan dengan nilai dan norma yang ada, kita anggap itu fitnah dan sengaja direka. Jika orang lain yang buat dan dianggap bukan dalam kem sendiri, cepat sahaja melenting dan diminta ambil tindakan segera, tubuh suruhanjaya siasatan dan pelbagai lagi. Banyak lagi hal-hal lain yang kita bersikap talam dua muka dan double-standard. Kita anggap remeh dan kecil, walau pun yang menyentuh akidah dan kepercayaan agama kita sendiri. Contoh terdekat ialah apabila dikatakan hukum agama boleh berubah mengikut keadaan. Siapa yang menentukan keadaan itu? Atau pun kita pejam mata sebelah apabila terang-terang 'sahabat' kita menentang hukum Islam dan negara Islam yang kita canangkan. Apatah lagi apabila ada individu tidak bermoral yang memperjuangkan kebebasan yang selari dengan apa yang kita percayai, terus sahaja menerimanya sebagai pemimpin besar, apatah lagi apabila diiktiraf pula oleh negara tertentu yang mempunyai agenda yang sama dan selalu tidak senang melihat pencapaian dan kemajuan negara. Mereka ini walau pun terang-terang perjuangkan sesuatu yang bertentangan dengan agama, tetap disokong, digenggam erat tanggannya malah kalau boleh dipeluk, asalkan dapat jatuhkan orang lain yang dianggap lawan.

Demikian, banyaknya hal-hal kecil dan remeh tetapi beri kesan besar terhadap kedaulatan, keselamatan masyarakat dan keharmonian negara yang kita sayangi. Perkara-perkara kecil yang boleh bersemarak sehingga merosakkan tamadun umat, kematian dan kesusahan bukan sahaja kepada individu malah juga kepada masyarakat seluruhnya. Pada Ramadan ini, sambutan Hari Raya Aidilfitri dan nantinya Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-55, wajar kita membuat muhasabah, senaraikan lagi, betapa banyaknya perkara kecil yang sewajarnya diambil tindakan awal kerana ia seperti barah dan penyakit kronik yang jika tidak ditangani awal, akan menyebabkan kesusahan dan kehancuran.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Isnin, 13 Ogos 2012

12 Ogos 2012

ISU SUKAN : ABAIKAN SUKAN OLIMPIK 2016


Rencana ini ditulis oleh :
Ku Seman Ku Hussain


Kepada satu komen saya dalam blognya, Tokoh Wartawan Negara Datuk A. Kadir Jasin secara sinikal menjawab, "Bagi mereka kerakyatan, satu dunia dah buat. Dalam jel kita ada lanun Somalia. Daripada dok makan free, kerah yang muda-muda tu lari jauh. Kita kena fikir luar daripada kebiasaan. Orang kita kurang dari segi kekuatan tubuh badan dan mental." Isu yang dibahaskan dalam blog itu ialah prestasi negara di Sukan Olimpik London 2012 yang sangat teruk. Daripada apa yang saya faham Kadir secara sinis mencadangkan kita menggunakan atlet yang "dibeli" dari negara mundur tetapi mempunyai kehebatan dalam sukan. Sejak 56 tahun menyertai Sukan Olimpik, hakikat yang terpaksa diterima ialah kegagalan. Tahun ini kalau tanpa Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong, delegasi negara sama seperti tahun-tahun sebelumnya yang pulang dengan tangan kosong. Ironiknya riuh rendah penyertaan kita ke Sukan Olimpik macam mengalahkan negara yang membawa pulang "berkarung-karung" pingat emas. Tetapi masih juga hendak hujah bahawa penyertaan itu mengharumkan nama negara. Apa yang harumnya kalau tercorot?

Barangkali sudah sampai masanya untuk birokrat sukan kita berfikir apakah wajar kita terus menyertai Sukan Olimpik yang menelan belanja besar tetapi hasilnya kosong. Tanpa menafikan kehebatan Lee Chong Wei memperlihatkan persembahan tetapi persoalannya bagaimana dengan yang lain? Kalau begini hasilnya dari London, apa lagi janji delegasi kita untuk ditepati di Sukan Olimpik di Rio de Janiero 2016 nanti? Apakah matlamat sebenarnya penyertaan kita di acara-acara sukan bertaraf dunia seperti Sukan Olimpik ini? Sekadar mendapat pengalaman menyertai dan bukan untuk menang? Kegagalan meraih pingat di Sukan Olimpik bukanlah "nasib tidak menyebelahi" kecuali kes Lee Chong Wei. Tetapi yang lain adalah kegagalan perancangan pembangunan sukan. Kalau perancangan betul sudah tentulah ada peningkatan setidak-tidaknya sama hebat Kenya atau Ethiopia.

KENAPALAH ADA ORANG 
YANG SELALU MELIHAT 
SESUATU DARI SUDUT NEGATIF?

Sebenarnya tidak menyertai Sukan Olimpik bukanlah menunjukkan negara kita tidak maju. Sukan dan kemajuan negara tidak ada kena mengena. Malah sukan tidak pernah dan tidak boleh dijadikan penanda aras kemajuan ekonomi, tamadun dan politik sesebuah negara dan juga bangsa. Buktinya negara di Afrika yang lebih mundur tetapi lebih berjaya di Sukan Olimpik. Maka lebih baik tidak menyertai daripada kita membazirkan kutipan cukai yang dibayar oleh rakyat untuk satu sasaran yang sentiasa tersasar. Kalau masih berhasrat juga untuk menyertai Sukan Olimpik 2016, birokrat sukan kita kenalah ada rasa malu yang amat sangat kepada pembangunan sukan di negara mundur seperti Kenya, Jamaica atau Ethiopia. Di London, Jamaica dapat 10 pingat (3 emas), Kenya lapan pingat (2 emas) dan Ethiopia dapat enam pingat (3 emas). Apa agaknya hujah birokrat sukan untuk menafikan negara-negara mundur ini lebih hebat berbanding kita?

Kalau dilihat sejarah penyertaan negara-negara mundur ini pula, Jamaica misalnya menyertai Sukan Olimpik sejak 1948 dan setakat ini telah mengumpul 65 pingat termasuk 16 pingat emas. Sementara Kenya pula mula menyertai Sukan Olimpik pada 1956 telah mengumpul 75 pingat termasuk 23 pingat emas. Birokrat sukan kita perlu belajar dari negara-negara ini bagaimana mereka membangunkan sukan hingga jauh meninggalkan negara ini yang memperuntukkan RM365 juta untuk sukan dalam Belanjawan 2011. Mungkin belanja pembangunan sukan di negara berkenaan tidak sebesar kita. Tetapi mereka berjaya kerana tidak melibatkan orang politik sebagai pemimpin badan sukan seperti kita. Birokrat dan pengurusan sukan kita tentu ada alasan kenapa sukan negara ini tidak sepadan dengan wang yang dilaburkan. Mereka mesti bertanggungjawab terhadap sekian banyak pembaziran terutama penyertaan di Sukan Olimpik tanpa ada hasil yang setimpal. Kalau pengurusan sukan kita masih mahu mempertahankan penyertaan ke Sukan Olimpik, mereka kenalah bentangkan kepada rakyat apa hasilnya.

Saya fikir adalah lebih wajar kalau birokrat sukan kita melupakan sahaja Sukan Olimpik. Lagi pun atlet yang berjaya tidak pernah menjulang nama negaranya, cuma kita sahaja yang selalu menganggap begitu. Kalau benarlah Sukan Olimpik menjulang nama negara, dari negara manakah Asbel Kipruto Kiprop (pingat emas 1,500 meter lelaki), Wifred Bungei (pingat emas 800 meter lelaki) atau Nancy Lagat (pingat emas 1,500 meter wanita) di Sukan Olimpik Beijing 2008? Jangan terpinga-pinga. Kalau benar atlet menjulang nama negara tentu kita tahu negara yang mereka wakili. Maka janganlah kita terlalu mengharapkan nama negara harum selepas Lee Chong Wei mendapat pingat perak atau Rinong mendapat pingat gangsa. Itu tidak benar. Kita berbangga dengan kejayaan mereka tetapi hakikatnya tidak mengharumkan nama negara. Sebabnya yang mendapat pingat emas pun orang tidak tahu dari mana, inikan pula bukan emas. Tetapi kita terpaksalah berbangga dengan dua pingat ini kerana Malaysia bukan Kenya atau Jamaica yang "memborong" pingat dari London.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Ahad, 12 Ogos 2012

ISU SUKAN : KUASA GADIS PANDELELA RINONG


Rencana ini ditulis oleh :
Johardy Ibrahim


Yeaa...Girl’s Power!" (Kuasa Gadis!) jawab Pandelela Rinong Pamg spontan semasa dinyatakan oleh penyampai stesen radio bahawa beliau adalah wanita pertama Malaysia merangkul pingat Olimpik. Jawapan comel itu disusuli dengan ketawa seorang remaja berusia 19 tahun. Jika tidak kerana penyampai radio terlalu banyak celoteh, mungkin lebih banyak kata-kata Pandelela yang boleh didengar. Perbualan yang diringkaskan itu masih berupaya menonjolkan perwatakan Pandelela. Beliau ternyata gembira dan ceria. Suaranya bergetar dan sentiasa diselang-seli dengan ketawa kecil. Ini pesona Pandelela disalurkan terus menerusi radio. Kita yang mendengar turut tersenyum. Bagi kebanyakan kita, kegembiraan Pandelela itu sememangnya dikongsi beramai-ramai tanpa perlu dijamu ais krim. Kejayaan Pandelela ini juga sekurang-kurangnya mampu mengurangkan gegak-gempita beberapa hari sebelum itu dalam acara badminton iaitu Datuk Lee Chong Wei yang tewas kepada Lin Dan. Betapa berat bahu Chong Wei menanggung harapan seluruh negara, maka apabila beliau menitis air mata di atas podium, ramai yang sebak. Lelaki, perempuan; Cina, Melayu, India dan semua merasainya.

Ini kerana air mata itu memberi isyarat jelas bahawa Chong Wei telah berhabis dan berjuang sepenuh tenaga dalam perlawanan tetapi apakan daya, Lin Dan tetap berkelebihan dua mata di hadapannya untuk merangkul emas. Maka penerjunan Pandelela yang diikuti dengan penuh minat dan tabah (berlangsung sepanjang subuh merangkumi waktu sahur), adalah penawar lara yang mengembalikan keceriaan. Paling penting, tiada lagi ahli politik bankrap idea berani mempertikaikan Pandelela seperti yang dilakukan terhadap Chong Wei walaupun ramai yang mencari identiti sebenar pemegang akaun Facebook, Johari Pain yang bertaruh akan memotong komponen penting badannya jika Malaysia menang pingat dalam acara terjun tersebut. Pingat gangsa Pandelela tidak akan dinilai lebih rendah daripada pingat perak yang dimenangi Chong Wei, kerana kedua-duanya adalah pencapaian terbaik Malaysia pada Olimpik 2012 di London. Mengikut rekod, M. Vasugi adalah wanita Malaysia yang memenangi pingat Olimpik di Seoul pada 1988 dalam acara taekwando.

Namun, ketika itu acara taekwando adalah bersifat pertunjukan sahaja iaitu kaedah Korea untuk melobi agar ia dijadikan acara rasmi yang dipertandingkan di Olimpik. Bermakna Pandelela berhak digelar pemenang wanita pertama Malaysia tapi tidak perlu kita padam habis pencapaian Vasugi yang juga telah mengharumkan nama negara. Keupayaan Pandelela meraih pingat gangsa di temasya Sukan Olimpik 2012 dalam acara platform 10 meter Individu, amat mengagumkan walaupun bagi yang sudah mengikuti perkembangannya, ia bukan memeranjatkan. Ini kerana Pandelela sudah pun membuktikan keupayaannya di peringkat antarabangsa iaitu tempat keenam dari 24 peserta di Piala Dunia Penerjunan FINA di Beijing pada 2008. Pada 2009, bersama Leong Mun Yee, mereka meraih pingat gangsa di kejohanan dunia di Rome dan pada Ogos 2010 Olimpik Remaja di Singapura, Pandelela meraih dua pingat perak.

Dikenali

Tentunya nama Pandelela mula dikenali ramai ekoran kejayaannya memenangi pingat emas terjun platform 10 meter di Sukan Komanwel di New Delhi, sekali gus menjadi atlet Malaysia pertama memenangi emas dalam acara itu. Barang harus diingat, penyertaan seseorang atlet dalam sukan Olimpik bukan secara automatik. Sebaliknya ia adalah berdasarkan ranking dan pencapaian sebelum itu, yang hanya melayakkan atlet yang benar-benar berkelas dunia. Pandelela meraih tempatnya setelah menduduki tempat keempat di Kejohanan Akuatik Dunia di Shanghai pada Julai lalu, dibantu oleh pencapaiannya di Sukan Komanwel. Bagi mereka yang telah mempersoalkan kewajaran anugerah Olahragawati Kebangsaan 2012 yang dimenanginya pada April lalu, atau mempertikai kenapa beliau dipilih membawa bendera semasa perarakan kontinjen Malaysia di Stadium Olimpik London, maka pingat gangsa inilah jawapannya!

Satu aspek yang luar biasa ialah asal usul Pandelela sebelum bergelar atlet. Berketurunan Bidayuh dengan keluarganya berasal dari Bau (sebut Ba-uk), daerah ini bukan di pedalaman tetapi sekadar 24 kilometer dari pusat bandar raya Kuching. Bau kini lebih dikenali sebagai laluan menuju ke pasar sempadan Serikin. Mengikut rekod, bakat Pandelela dikesan oleh jurulatih negeri semasa di bangku sekolah. Difahamkan kriteria khusus yang perlu ada pada seorang atlet penerjun air ialah badan bersaiz kecil (untuk gusti harus berbadan sasa?). Luar biasa yang saya maksudkan ialah sikap keterbukaan ibu bapa Pandelela iaitu Pamg Joheng dan Hartini Lamin untuk melepaskan anak perempuan mereka berkecimpung secara serius dalam bidang sukan. Mereka yakin masa depan Pandelela dijaga sepenuhnya oleh kerajaan, yang menyediakan peluang pendidikan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, selain berlatih dan bertarung di seluruh dunia.

Keluarga Pandelela bukannya sedia kala senang. Menurut Ketua Biro Utusan Malaysia di Kuching, Saiful Haizan Hasam, bapa Pandelela iaitu Pamg hanyalah buruh kasar dan menyewa rumah di Samarahan sebanyak RM600 sebulan yang didiami Pandelela bersama tiga lagi adik beradiknya. Beberapa ketika ini, majikannya tiada projek menyebabkan Pamg tidak dipanggil bekerja. Menganggurlah dia sejak itu. Untuk menonton aksi anaknya, Pamg menonton saluran RTM kerana langganan Astronya telah dipotong. Benar sebagai pemenang pingat gangsa, Pandelela bakal menerima hadiah RM100,000 dari Kerajaan Pusat dan kerajaan Sarawak mungkin menganugerahkan tanah. Ia akan dinikmati selepas bersusah-payah. Pengorbanan yang dilalui keluarga Pandelela belum ramai yang sanggup lakukan. Ini kerana ramai yang menganggap bidang akademik lebih menjamin masa depan anak. Moga kejayaan Pandelela dan keyakinan ibu bapanya boleh membantu mengubah persepsi rakyat Malaysia. Atlet berwibawa harus dibentuk dari peringkat usia muda lagi. Satu aspek lagi ialah sistem pembinaan atlet di Malaysia tidaklah seburuk yang ditohmahkan oleh pengkritik. Penemuan bakat-bakat muda seperti Pandelela dan Bryan Nickson Lomas di Sarawak yang kemudian muncul sebagai atlet negara, adalah manifestasi kekukuhan sistem tersebut. Tidak perlu tukar kerajaan untuk atlet kita meraih pingat emas.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Ahad, 12 Ogos 2012


10 Ogos 2012

ISU GLOBAL : NASIB ROHINGYA UMPAMA ETINK BOSNIA


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI


Penindasan yang dihadapi etnik Rohingya bukannya sesuatu yang baru dan telah diketahui dunia sejak sekian lama, termasuk di Malaysia yang telah menerima berpuluh ribu pelarian Myanmar sejak beberapa dekad lalu. Etnik Rohingya yang memohon suaka politik di Malaysia jauh lebih bernasib baik berbanding saudara mereka di Myanmar yang masih diserang dan dihalau dari tempat tinggal mereka tanpa sebarang pembelaan. Walaupun masyarakat Rohingya telah hidup sebagai pelarian selama beberapa generasi di negara ini dan beberapa negara anggota ASEAN lain, hak kerakyatan etnik minoriti itu masih disekat kerajaan Myanmar kerana dikatakan tidak termasuk dalam 130 etnik asal. Sekitar 750,000 warga Rohingya yang tinggal di kawasan barat negeri Rakhine diklasifikasikan kerajaan Myanmar sebagai masyarakat Islam Bengali yang masuk dari Bangladesh tetapi tiada negara sendiri.

Bangladesh pula dilaporkan menolak pelarian Rohingya yang ingin menyelamatkan diri daripada penindasan di Myanmar dan terbaru telah menghalang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa menyampaikan bantuan kepada pelarian berkenaan. Kesal dengan sikap masyarakat antarabangsa menangani isu tersebut, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan meminta kebenaran kerajaan Myanmar bagi menghantar misi pencarian fakta ke negara itu untuk mencari penyelesaian terbaik. Dengan jumlah kematian yang semakin meningkat dan lebih 100,000 etnik Rohingya kehilangan tempat tinggal, masyarakat Islam seluruh dunia tertanya-tanya apakah agenda kerajaan Myanmar dan mengapa tragedi melibatkan masyarakat Islam sering dipandang enteng masyarakat antarabangsa.

Walaupun sistem pemerintahan di Myanmar kini dikatakan semakin baik tetapi mampukah perubahan ke arah demokrasi yang dilaung-laungkan itu menyelesaikan masalah penindasan etnik yang telah berpuluh tahun berlarutan? Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan menjelaskan, masalah Rohingya telah lama berlarutan sejak zaman junta tentera sehingga di bawah kerajaan awam kini. "Apa pun, Myanmar tidak mahu dan tidak akan mengiktiraf etnik Rohingya, yang datang dari Bangladesh, sebagai rakyat mahupun pelarian. Ini berlaku sejak negara itu dikenali sebagai Burma dahulu lagi. "Kini di bawah kerajaan baru, etnik asal Myanmar mempunyai motivasi baru untuk menghapuskan etnik minoriti itu tanpa sekatan daripada pihak pemerintah," katanya.

Menurut beliau, Myanmar sememangnya dalam proses ke arah demokrasi tetapi dalam hal ini, pihak pemerintah dan pembangkang termasuk Aung San Suu Kyi sendiri sepakat untuk tidak mengiktiraf etnik Rohingya. Tambahnya, masalah tidak akan selesai selagi dibiar Myanmar menguruskan situasi itu sendirian sementara Amerika Syarikat (AS) dan Eropah pula melihat perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang tidak penting. Oleh itu, beliau menganggap langkah OIC menghantar pasukan sendiri sebagai langkah terbaik untuk campur tangan bagi mengelakkan situasi semakin melarat. "OIC badan terbaik untuk campur tangan memandangkan ASEAN tidak boleh diharap kerana memegang pendirian tidak campur tangan politik dalaman anggotanya sementara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula dikawal AS dan Eropah. OIC dapat memberi pendedahan dan membuka mata dunia terhadap penindasan berterusan etnik Rohingya serta situasi mereka yang ditolak oleh Bangladesh dan negara ketiga," ujarnya.

Jelasnya, etnik Rohingya yang dilihat tiada kemahiran untuk menyumbang kepada ekonomi sesebuah negara menjadi punca mereka ditolak semua pihak termasuk negara asal dan kerajaan Myanmar sendiri. Tegasnya lagi, setelah berpuluh tahun ditindas, situasi mereka tidak diendahkan lagi dunia kerana ia tidak memberi keburukan kepada geopolitik antarabangsa. Menurut Azmi, berbeza dengan situasi rakyat Palestin yang memberi impak kepada dunia, apa yang berlaku kepada warga Rohingya kini tiada kesan besar kerana jumlah mereka kecil dan tiada negara sendiri. "Cara terbaik dalam jangka pendek adalah untuk memaksa Myanmar sekurang-kurangnya mengiktiraf etnik minoriti ini sebagai pelarian dan melalui konvensyen khas pelarian PBB, kerajaan negara itu perlu membantu warga Rohingya. Malaysia dan Thailand selaku penerima pelarian Rohingya terbanyak boleh menunjukkan contoh baik layanan adil kepada pelarian terbabit sebagai satu langkah simbolik dalam ASEAN," jelasnya.

Namun, beliau secara peribadi merasakan campur tangan OIC itu tidak akan membawa penyelesaian mahupun kesan kesan positif dalam jangka pendek. "ASEAN sendiri perlu campur tangan tetapi masalahnya mereka tidak mahu merencatkan proses demokrasi di Myanmar. Persoalannya kini, yang mana lebih penting - Rohingya atau demokrasi," soal beliau. Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Proffesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak juga bersetuju ASEAN sendiri yang sepatutnya menyelesaikan masalah di depan 'halaman' mereka itu. "Ini bukannya campur tangan politik dalaman, ini tragedi kemanusiaan yang menjejaskan imej ASEAN sendiri kerana selama ini mereka paling banyak membela Myanmar daripada campur tangan Barat. ASEAN tidak boleh cuci tangan dan membiarkan OIC membuat kerja mereka. Jika terus berdiam diri, tiada bezanya ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) yang membiarkan Serbia menyembelih etnik Bosnia dahulu," tegasnya. Beliau juga tidak bersetuju dengan tindakan ASEAN terlalu 'menghormati' Myanmar dan mengekalkan dasar tidak campur tangan sedangkan pelanggaran hak asasi manusia dan mungkin juga pembersihan etnik sedang berlaku di depan halaman mereka sendiri.

Tambahnya, pemerintah Myanmar juga memang dikenali berkeras dalam mengawal tindak-tanduk etnik asal negara itu, inikan pula terhadap etnik-etnik minoriti lain yang ingin disingkirkan seperti masyarakat Rohingya. Beliau turut mempersoalkan motif penindasan etnik minoriti itu memandangkan masyarakat Rohingya tidak menuntut wilayah sendiri mahupun memberontak tetapi hanya mahukan perlindungan dan keadilan. "Motif keganasan terbaru ini kurang jelas tetapi mungkin kerana mereka takut dengan sokongan etnik minoriti akan cenderung kepada penentang kerajaan serta pejuang demokrasi. Sudahlah hidup serba kekurangan dalam kedaifan dan kini penindasan sistematik oleh kerajaan yang mahu singkirkan mereka. Apabila Bangladesh dan negara ketiga juga menolak mereka, Rohingya mungkin berhadapan dengan pembersihan etnik pula," katanya. Beliau berharap ASEAN segera mencari jalan untuk membantu atau kredibiliti mereka akan terjejas kerana membiarkan etnik Rohingya seperti mana EU mengabaikan etnik Bosnia. "Persoalannya kini, adakah ASEAN akan terus berdiam diri dan melihat pembersihan etnik seperti mana EU lakukan dalam perang Bosnia dahulu," ujarnya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Jumaat, 10 Ogos 2012

ISU SOSIAL : KEMBALIKAN KASIH SAYANG KELUARGA


Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia.


Laporan akhbar baru-baru ini tentang beberapa berita yang mengaitkan kejadian jenayah yang melibatkan keluarga terdekat agak mengganggu fikiran kita. Dalam satu kejadian di Kuching, Sarawak seorang anak dilaporkan memukul ayahnya yang berusia 77 tahun hingga mati. Pada halaman yang sama, di Johor Bahru, Johor seorang anak dikatakan menyamar sebagai ah long untuk mengugut bapanya sebanyak RM3,000. Ini hanyalah sebahagian besar daripada kejadian yang berlaku kebelakangan ini yang tidak harus dipandang kecil. Sedikit masa lalu kita pernah dikejutkan dengan berita ibu bapa yang menyaman anak yang mengabaikan mereka setelah diagihkan harta dan mereka menang kes mahkamah tersebut. Anaknya seorang pensyarah dilaporkan dijatuhi hukuman kerana kesalahan tersebut.

Menjelang Aidilfitri nanti akan banyaklah lagi laporan kesedihan ibu bapa yang menanti kepulangan anaknya atau mereka mereka yang disisihkan lalu hidup dalam kesunyian dan kesepian sama ada di rumah orang tua-tua atau pun bersendirian di rumah usang bertemankan air mata dan kenangan melihat kepulangan anak cucu jiran tetangga dengan linangan air mata yang barangkali amat payah difahami oleh sesetengah anak-anak muda yang dibesarkan melalui generasi high technology dan makin kurang high touch-nya, menggunakan istilah penulis Megatrends, John Naisbitt. Kes-kes jenayah yang berlaku begitu menakutkan, apatah melibatkan warga emas dan sanak saudara yang amat rapat di luar jangkauan pemikiran. Ke manakah hilangnya belaian kasih sayang yang ada sehingga kita gagal merasai perasaan mereka sebagai saudara, suami isteri apatah lagi ibu bapa yang melahir dan membesarkan kita.

Ini belum lagi melihat kepada nasib orang tua uzur yang kerap diabaikan oleh anak-anak semata-mata kerana jurang pemisah yang besar untuk memahaminya. Seorang tua, bukan sekadar memerlukan wang ringgit tetapi jauh dari itu adalah kasih sayang dan perhatian. Seorang anak muda pernah bercerita kepada penulis bagaimana datuknya yang tua dan dianggap menyusahkan keluarga dengan sikap cerewet dan memberontak tiba-tiba tersenyum apabila dia memandi, membedak dan menyisir rambutnya. Selepas beberapa hari, datuknya menghembuskan nafas terakhir sebagai kesudahan dari episod bebanan anak-anak yang tidak pernah cuba memahami perasaan kesunyian yang dilalui oleh bapa mereka.

Seorang ibu atau bapa sering melihat anak-anak dalam bayangan masa lalunya, mengharapkan anak itu tidak pernah besar dan dapat dimanjakan seperti mana usia kecil dan remajanya kerana apabila dewasa dan berkeluarga sendiri, ibu bapa akan mula terasing dan kesunyian, walau pun dia terpaksa menerima hakikat itulah fitrah kehidupan yang harus ditempuhi. Sudah sampai masanya kita lebih prihatin terhadap hal ini. Jangan hanya mengharapkan kerajaan dan pihak berkuasa yang menyelesaikannya. Sebaliknya berusahalah untuk lebih mendekati dan meningkatkan kasih sayang dalam keluarga. Anggota keluarga juga perlu lebih prihatin terhadap nasib dan keadaan mental dan fizikal mereka yang ada di sekeliling. Jika terdapat petanda-petanda adanya kemungkinan seperti ini berlaku, berusahalah mencegahnya dari awal.

Dalam menghadapi tekanan kerjaya, masalah ekonomi dan apa jua yang terjadi, fikirlah dengan tenang dan lakukan muhasabah dengan ikhlas untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Kekerasan dan jenayah bukan cara yang terbaik apatah lagi melibatkan orang kita sayang. Setiap masalah tentu ada penyelesaiannya jika kita jujur dan benar-benar ingin menyelesaikannya. Jika perlu mereka yang berhadapan dengan tekanan dan masalah peribadi boleh merujuk dirujuk kepada kaunselor yang bertauliah, mereka yang lebih disegani atau pihak-pihak yang boleh membantu. Perasaan malu dan bimbang dicemuh harus diatasi demi menyelamatkan nyawa dan berlakunya keadaan yang tidak seharusnya. Satu sistem sokongan yang kuat dalam masyarakat perlu diwujudkan. Masyarakat dan jiran tetangga perlu memainkan peranan dalam menangani isu ini dan meningkatkan sikap siap siaga terhadap insiden tidak diingini ini. Tidak ada salahnya mempunyai sedikit perasaan curiga apabila berlaku hal-hal atau tingkahlaku yang di luar kebiasaan dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Menjaga tepi kain orang barangkali tidak wajar, namun dalam situasi tertentu yang bukan umpat keji, ia perlu diamalkan demi membantu dari mengelakkan tragedi buruk berlaku. Namun begitu, pada akhirnya, kasih sayang sejati yang ditanam dalam kalangan kaum keluarga dan tentunya pegangan agama, akan menjadi benteng yang sangat berguna untuk mengatasinya. Agama menyediakan garis panduan yang jelas dan sangat menekankan kepada sikap berkasih sayang. Tatkala umat Islam mengerjakan ibadah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT sepanjang Ramadan dan syawal yang akan datang, adalah wajar kita kembali kepada nilai-nilai kasih sayang ini, membuat muhasabah dan melakukan penambahbaikan dengan mengukuhkan persaudaraan dalam keluarga. Sebesar mana pun masalah yang ada dan sehebat mana pun perselisihan yang terjadi, kita perlu kembali kepada agama dan saling memaafkan tanpa perlu terus menuding jari. Air dicincang tidak akan putus. Hancur hati ibu bapa yang diabaikan apatah lagi melihat berlakunya perselisihan sesama keluarga yang bakal meruntuhkan satu institusi utama dalam agama.

Kenanglah masa kecil dalam dakapan dan pelukan ibu dan ayah. Ingati kembali detik-detik manis dibelai dan dihantar belajar di sekolah malah ke kolej dan universiti. Bayangkan detik-detik manis suami isteri, derai tawa satu keluarga dan jernihnya air mata ibu dan ayah yang menanti kepulangan kita, yang menunggu dakapan putera-puterinya yang barangkali itulah terakhir kalinya. Kejayaan hidup, kesibukan kerjaya dan berhadapan dengan masalah tidak harus menjadikan kita cuai dan lalai terhadap tanggungjawab kepada keluarga apatah lagi ibu bapa kita. Merekalah syurga kita. Mereka mungkin tidak sehebat anak-anaknya, nilainya mungkin agak berbeza, pemikirannya juga tidak sama, namun hakikatnya merekalah permulaan kita dan keluargalah segalanya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Jumaat, 10 Ogos 2012

09 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : IJAZAH PALSU, JALAN MUDAH MAHU CARI REZEKI


Oleh Ruhaiza Rusmin


Ketika kerajaan berusaha mencapai status cemerlang dan profesional dalam industri pendidikan, imejnya sedikit tercalar dengan isu ijazah dan graduan palsu, baru-baru ini. Biarpun dianggap kes terpencil, isu berkenaan masih dianggap besar dan perlu ditangani segera bagi memastikan imej institusi pendidikan tinggi lain tidak terjejas atau dipersoalkan. Penipuan itu juga menimbulkan tanggapan lebih memalukan dengan memperlihatkan betapa terdesaknya masyarakat memperoleh status tinggi walaupun melalui jalan salah. Mengapa ia berlaku sedangkan pengawalan ketat diberikan tanpa kompromi. Adakah pihak berkenaan hanya memikirkan keuntungan dan kepentingan diri semata-mata hingga melanggar tatasusila serta undang-undang?

Timbalan Rektor Perancangan dan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Md Tahir Md Azhar berkata, persoalan perlu ditekankan ialah soal etika yang menjadi kata kunci terhadap segala tindakan. Beliau berkata, jika seseorang mempunyai nilai etika yang tinggi, mereka tidak mungkin tergamak melakukan kesalahan dengan mengambil jalan pintas bagi memperoleh ijazah ataupun menyediakan institusi palsu. “Malangnya, mereka yang ‘terdesak’ ini tidak mahu memikirkan soal itu, sebaliknya bersikap ambil mudah dan sanggup melanggar etika, nilai moral serta melakukan kesalahan undang-undang demi memuaskan kehendak hati. Yang penting, keuntungan, mempunyai kelulusan hebat setara orang lain hingga mampu mengagumkan masyarakat dan dipandang tinggi kerana kelebihan pada diri,” katanya.

Beliau mengakui, fenomena itu ada kaitan dengan persaingan sengit dalam kerjaya sehingga mendorong seseorang itu melakukan apa saja, apatah lagi dengan sikap majikan yang terlalu memilih. Kebiasaannya, katanya, ijazah dari luar negara selalu dipandang tinggi menyebabkan ada yang mengambil kesempatan untuk menawarkan sesuatu secara mudah. “Mereka menggunakan peluang ini untuk meraih keuntungan manakala pihak terdesak pula tidak peduli latar belakang institusi yang dipilih. Asalkan ada bukti kelayakan luar negara sudah memadai. Adanya permintaan dan penawaran ini menyebabkan perkara ini berlaku biarpun apa ditawarkan itu ada kalanya tidak masuk akal, ia salah di sisi undang-undang selain ‘mengotorkan’ nama industri pendidikan,” katanya.  Enggan mengaitkannya dengan kesalahan pihak tertentu, apa lebih dibimbangi ialah ijazah atau graduan palsu itu boleh memberi kesan tidak terduga terhadap profesionalisme sesuatu institusi.

Memberi contoh institusi pengajian tinggi, katanya, mereka yang ‘palsu’ ini boleh menjejaskan kredibiliti, nama baik juga kewibawaan institusi juga warga keseluruhannya terutama mahasiswa. “Misalnya, pensyarah palsu biarpun mempunyai kelayakan berjela-jela atau gah, belum tentu mampu menjadi pensyarah berwibawa dan memenuhi standard universiti. Pensyarah palsu biasanya gagal menjalankan tugasan dengan baik tetapi lebih bahaya kesannya kepada pelajar yang mereka didik. Justeru, ia bukan perkara kecil yang boleh dipandang sebelah mata kerana kesannya sangat besar dalam mempengaruhi sistem sedia ada,” katanya mengakui kes pemalsuan ijazah atau graduan bukanlah baru di negara ini namun lebih ketara berlaku di negara luar. Di sini, ia boleh dianggap terpencil dan masih dalam kawalan namun di negara luar, keadaannya berbeza terutama jika pemohonnya datang dari negara yang mempunyai universiti tidak dikenali. Bagaimanapun, setiap negara ada polisi sendiri bagaimana menanganinya dan kepekaan itu penting bagi memastikan penipuan dilakukan itu mampu disekat,” katanya.

Katanya, bidang bukan profesional antara berpotensi tinggi melakukan penipuan kerana kurang mempunyai badan profesional yang memantau. “Bidang yang mempunyai badan profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan perundangan jarang dipalsukan kerana mereka mempunyai polisi ketat dan sentiasa dikawal. Yang sering menjadi mangsa ialah bidang seperti pengurusan dan pentadbiran kerana bukan saja penawaran terhadap program sangat luas, malah membabitkan banyak institusi. Jadi, pemantauan sukar dilakukan dan membolehkan bidang berkenaan ‘diceroboh’ mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya. Bagi memastikan kesahihan dan ketulenan ijazah atau graduan, ada pendekatan tertentu boleh digunakan. Kami sentiasa peka, berhubungan dengan universiti asal, menyertakan sijil kelayakan asli selain mendapatkan maklumat daripada rakan terdekat juga pandangan ahli profesional sealiran. Jika ia dilakukan dengan tegas, saya percaya masalah ini boleh dibendung dan mereka yang bersalah tentu tidak yakin mahu melakukan kesalahan. Masalahnya, bukan semua bersikap seperti itu dan mudah percaya pada kelayakan yang tertera pada sekeping kertas,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga berpesan agar majikan tidak terlalu taksub jika disogokkan dengan kelayakan berjela-jela. “Jangan ada sikap ambil mudah dan taksub dengan kelebihan calon. Selidik dulu kebenaran terutama jika disertakan dengan kelayakan tidak masuk akal. Jika ada pencegahan dan pengawalan ketat, saya percaya mereka ini juga tidak berani meneruskan langkah sumbang menggunakan ijazah atau menjadi graduan palsu,” katanya.

Bahan ini diperoleh dari :
Akhbar Harian Metro,
Isnin, 6 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : NILAI P.HD HANYA RM200 SAHAJA


Rencana ini ditulis oleh :
SITI NOR AFZAN KASIMAN


Presiden Hungary, Pal Schmitt melepaskan jawatannya selepas didapati memplagiat tesis sarjana kedoktoran (Ph.D) yang ditulisnya 20 tahun lalu. Tesis mengenai Sukan Olimpik itu dihantar kepada Universiti Budapest Semmelweis di Hungary untuk dinilai bagi membolehkan Schmitt meraih gelaran doktor falsafah. Bagaimanapun, ia telah disahkan diciplak bulat-bulat. Jawatankuasa universiti berkenaan melucutkan gelaran tersebut dan mendedahkan kepada media bahawa ia bukan kajian tulen. Sebaliknya, tesis setebal 200 halaman itu sebenarnya hasil terjemahan kajian dua penyelidik Bulgaria, Nikolai Georgiev dan Klaus Heineman pada tahun 1987. Isu plagiat khususnya di kolej dan universiti sering dianggap sebagai kesalahan akademik semata-mata. Ramai berpendapat ia bukanlah satu kesalahan di sisi undang-undang atau dengan bahasa mudahnya, bukan satu jenayah. Tanggapan ini sebenarnya salah sama sekali. Di Malaysia, mereka yang terlibat dengan aktiviti plagiat boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuklah disingkirkan, dilucut kelayakan malah penciplak boleh disabitkan sebagai pesalah mengikut Akta Hak Cipta 1987.

Jika puluhan tahun dahulu, ada yang mengambil jalan pintas untuk mendapatkan ijazah dengan meniru, situasi pada hari ini lebih teruk lagi. Menurut Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) Malaysia, Datuk Akhbar Satar. Membeli ijazah terutamanya Ph.D melalui Internet sudah menjadi satu trend baharu khususnya melibatkan segelintir ahli perniagaan dan pakar motivasi di negara ini.  Beliau yang berpengalaman mengendalikan antara 40 hingga 50 kes penipuan ijazah Ph.D setahun sejak tahun 2004, beliau memberitahu, kesemua pemegang pangkat doktor palsu itu mempunyai personaliti yang hampir sama. Menurut beliau, mereka manusia yang dahagakan pengiktirafan, lebih-lebih lagi daripada orang yang baru dikenali. Mereka mahu dipandang tinggi, berilmu, berkebolehan dan boleh dijadikan pakar rujuk dalam sesuatu bidang. Disebabkan itu, mereka bangga memperkenalkan diri sebagai ‘Dr.’ sedangkan ada dalam kalangan mereka tamat tingkatan lima sahaja. Dengan gelaran ‘Dr.’ yang dijaja itu juga mereka diberi lebih peluang dan keutamaan untuk menjawat jawatan penting seperti pengarah dan perunding dalam sesebuah organisasi.

Cetak Ph.D sendiri

Rumusan Akhbar itu ada benarnya. Kes penipuan ijazah semakin berleluasa malah ia sukar dibendung. Malah, ijazah itu boleh dibeli melalui Internet. Difahamkan, ramai ahli politik, ahli perniagaan, pakar motivasi, ahli akademik, penulis, serta perunding pelaburan dan insurans yang menggunakan taktik sama untuk mendapatkan kepercayaan pihak tertentu dan masyarakat. Walaupun Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataanya menafikan tiada institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini yang mengeluarkan sijil palsu, tinjauan di enjin carian Google mendapati terdapat 2,680,000 laman berkaitan penjualan transkrip diploma, ijazah, sarjana dan Ph.D palsu. Boleh dikatakan hampir kesemua sindiket ijazah palsu Internet itu menawarkan sijil daripada peringkat diploma hingga ke Ph.D. Ia boleh dibeli secara dalam talian, tanpa perlu menghadiri kelas, tidak perlu menjalankan kaji selidik untuk penulisan tesis malah tidak perlu berjumpa dengan pensyarah seperti program pengajian biasa.

“Jangan asyik sangat hendak 
mengejar nama dan pangkat 
dengan cara menipu, 
akhirnya nanti ludah terpalit 
ke muka sendiri,”

Laman-laman sesawang yang kebanyakannya beroperasi dari luar negara itu juga saling bersaing dengan menawarkan harga paling murah untuk mendapatkan transkrip ijazah. Malah, ada yang menawarkannya pada harga serendah AS$69 (RM200) sahaja. Pembeli juga diberi pilihan untuk memilih sendiri bidang, tahun pengajian dan lokasi universiti seperti Universiti Concordia, Universiti St. Regis, Universiti St. Lourdes, Universiti All Saints American dan Universiti Heartland, semuanya didakwa terletak di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada. Kebanyakan universiti ini tidak wujud. Ada juga yang wujud tetapi program yang ditawarkan tidak mendapat akreditasi di negara mereka sendiri apatah lagi di Malaysia. Isu membeli sijil palsu sudah banyak kali diketengahkan tetapi setakat ini saya belum lihat ada tindakan drastik yang diambil. Ramai yang lebih suka pejamkan mata.

Pada tahun 2009, akhbar Spokesmen Review di Washington, AS melaporkan penjualan ijazah palsu di negara itu dalam sebulan mampu menarik hingga 10,000 pembeli. Daripada angka itu, lebih daripada 50 pembeli adalah rakyat Malaysia. Dianggarkan AS$7.3 juta (RM22.4 juta) dibelanjakan untuk membeli ijazah palsu tersebut. Pembeli tidak perlu tunggu sehingga empat ke lima tahun pengajian, sebaliknya sijil ijazah atau Ph.D akan mereka peroleh selepas tujuh hari pembayaran dibuat. Malah, mereka juga boleh mencetak sendiri sijil tersebut. Tambah Akhbar, sungguhpun ada pihak yang menganggap pembelian Ph.D palsu ini sebagai perkara remeh, tetapi setiap individu perlu memiliki sikap integriti, jujur dan telus.

Bahan ini diperoleh dari :
Harian Kosmo
Khamis, 9 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : POLIS AKAN SIASAT VVIP BELI IJAZAH PALSU



Polis sedang mengenal pasti identiti beberapa kenamaan termasuk individu bergelar Tan Sri dan ahli politik, yang dipercayai membeli ijazah palsu daripada sebuah syarikat di Subang Jaya. Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Hamzah berkata, kenamaan itu merupakan sebahagian daripada 525 graduan palsu yang memperoleh ijazah dengan jalan mudah tanpa perlu menghadiri kuliah, mengambil ujian dan menghantar kertas kerja. Kita tidak menolak kemungkinan ada beberapa individu yang mempunyai status dalam masyarakat telah membeli ijazah ini, namun kita tidak boleh mengulas mengenainya sehinggalah polis mengenal pasti individu itu. Polis juga akan memanggil graduan lain untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes ini. Beliau berkata, ijazah terbabit dikeluarkan atas nama lima universiti luar negara termasuk tiga yang disahkan tidak wujud. Lima universiti itu ialah :

01. University Of Rockhampton (tidak wujud)
02. Harvey International University (tidak wujud),
03. Cannington Brook University (tidak wujud),
04. Glastonbury University (United Kingdom)
05. Charles Molnar University (Hungary)

Sumber : BERNAMA