Rencana ini ditulis oleh :
Johardy Ibrahim
Yeaa...Girls Power!" (Kuasa
Gadis!) jawab Pandelela Rinong Pamg spontan semasa dinyatakan oleh penyampai
stesen radio bahawa beliau adalah wanita pertama Malaysia merangkul pingat
Olimpik. Jawapan comel itu disusuli dengan ketawa seorang remaja berusia 19
tahun. Jika tidak kerana penyampai radio terlalu banyak celoteh, mungkin lebih
banyak kata-kata Pandelela yang boleh didengar. Perbualan yang diringkaskan itu
masih berupaya menonjolkan perwatakan Pandelela. Beliau ternyata gembira dan
ceria. Suaranya bergetar dan sentiasa diselang-seli dengan ketawa kecil. Ini
pesona Pandelela disalurkan terus menerusi radio. Kita yang mendengar turut
tersenyum. Bagi kebanyakan kita, kegembiraan Pandelela itu sememangnya dikongsi
beramai-ramai tanpa perlu dijamu ais krim. Kejayaan Pandelela ini juga
sekurang-kurangnya mampu mengurangkan gegak-gempita beberapa hari sebelum itu
dalam acara badminton iaitu Datuk Lee Chong Wei yang tewas kepada Lin Dan.
Betapa berat bahu Chong Wei menanggung harapan seluruh negara, maka apabila
beliau menitis air mata di atas podium, ramai yang sebak. Lelaki, perempuan;
Cina, Melayu, India dan semua merasainya.
Ini kerana air mata itu memberi
isyarat jelas bahawa Chong Wei telah berhabis dan berjuang sepenuh tenaga dalam
perlawanan tetapi apakan daya, Lin Dan tetap berkelebihan dua mata di
hadapannya untuk merangkul emas. Maka penerjunan Pandelela yang diikuti dengan
penuh minat dan tabah (berlangsung sepanjang subuh merangkumi waktu sahur),
adalah penawar lara yang mengembalikan keceriaan. Paling penting, tiada lagi
ahli politik bankrap idea berani mempertikaikan Pandelela seperti yang
dilakukan terhadap Chong Wei walaupun ramai yang mencari identiti sebenar
pemegang akaun Facebook, Johari Pain yang bertaruh akan memotong komponen
penting badannya jika Malaysia menang pingat dalam acara terjun tersebut. Pingat
gangsa Pandelela tidak akan dinilai lebih rendah daripada pingat perak yang
dimenangi Chong Wei, kerana kedua-duanya adalah pencapaian terbaik Malaysia
pada Olimpik 2012 di London. Mengikut rekod, M. Vasugi adalah wanita Malaysia
yang memenangi pingat Olimpik di Seoul pada 1988 dalam acara taekwando.
Namun, ketika itu acara taekwando
adalah bersifat pertunjukan sahaja iaitu kaedah Korea untuk melobi agar ia
dijadikan acara rasmi yang dipertandingkan di Olimpik. Bermakna Pandelela
berhak digelar pemenang wanita pertama Malaysia tapi tidak perlu kita padam
habis pencapaian Vasugi yang juga telah mengharumkan nama negara. Keupayaan
Pandelela meraih pingat gangsa di temasya Sukan Olimpik 2012 dalam acara
platform 10 meter Individu, amat mengagumkan walaupun bagi yang sudah mengikuti
perkembangannya, ia bukan memeranjatkan. Ini kerana Pandelela sudah pun
membuktikan keupayaannya di peringkat antarabangsa iaitu tempat keenam dari 24
peserta di Piala Dunia Penerjunan FINA di Beijing pada 2008. Pada 2009, bersama
Leong Mun Yee, mereka meraih pingat gangsa di kejohanan dunia di Rome dan pada
Ogos 2010 Olimpik Remaja di Singapura, Pandelela meraih dua pingat perak.
Dikenali
Tentunya nama Pandelela mula dikenali
ramai ekoran kejayaannya memenangi pingat emas terjun platform 10 meter di
Sukan Komanwel di New Delhi, sekali gus menjadi atlet Malaysia pertama
memenangi emas dalam acara itu. Barang harus diingat, penyertaan seseorang
atlet dalam sukan Olimpik bukan secara automatik. Sebaliknya ia adalah
berdasarkan ranking dan pencapaian sebelum itu, yang hanya melayakkan atlet
yang benar-benar berkelas dunia. Pandelela meraih tempatnya setelah menduduki
tempat keempat di Kejohanan Akuatik Dunia di Shanghai pada Julai lalu, dibantu
oleh pencapaiannya di Sukan Komanwel. Bagi mereka yang telah mempersoalkan
kewajaran anugerah Olahragawati Kebangsaan 2012 yang dimenanginya pada April
lalu, atau mempertikai kenapa beliau dipilih membawa bendera semasa perarakan
kontinjen Malaysia di Stadium Olimpik London, maka pingat gangsa inilah jawapannya!
Satu aspek yang luar biasa ialah asal
usul Pandelela sebelum bergelar atlet. Berketurunan Bidayuh dengan keluarganya
berasal dari Bau (sebut Ba-uk), daerah ini bukan di pedalaman tetapi sekadar 24
kilometer dari pusat bandar raya Kuching. Bau kini lebih dikenali sebagai
laluan menuju ke pasar sempadan Serikin. Mengikut rekod, bakat Pandelela
dikesan oleh jurulatih negeri semasa di bangku sekolah. Difahamkan kriteria
khusus yang perlu ada pada seorang atlet penerjun air ialah badan bersaiz kecil
(untuk gusti harus berbadan sasa?). Luar biasa yang saya maksudkan ialah sikap
keterbukaan ibu bapa Pandelela iaitu Pamg Joheng dan Hartini Lamin untuk
melepaskan anak perempuan mereka berkecimpung secara serius dalam bidang sukan.
Mereka yakin masa depan Pandelela dijaga sepenuhnya oleh kerajaan, yang
menyediakan peluang pendidikan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, selain berlatih
dan bertarung di seluruh dunia.
Keluarga Pandelela bukannya sedia kala
senang. Menurut Ketua Biro Utusan Malaysia di Kuching, Saiful Haizan Hasam,
bapa Pandelela iaitu Pamg hanyalah buruh kasar dan menyewa rumah di Samarahan
sebanyak RM600 sebulan yang didiami Pandelela bersama tiga lagi adik
beradiknya. Beberapa ketika ini, majikannya tiada projek menyebabkan Pamg tidak
dipanggil bekerja. Menganggurlah dia sejak itu. Untuk menonton aksi anaknya,
Pamg menonton saluran RTM kerana langganan Astronya telah dipotong. Benar
sebagai pemenang pingat gangsa, Pandelela bakal menerima hadiah RM100,000 dari
Kerajaan Pusat dan kerajaan Sarawak mungkin menganugerahkan tanah. Ia akan
dinikmati selepas bersusah-payah. Pengorbanan yang dilalui keluarga Pandelela
belum ramai yang sanggup lakukan. Ini kerana ramai yang menganggap bidang
akademik lebih menjamin masa depan anak. Moga kejayaan Pandelela dan keyakinan
ibu bapanya boleh membantu mengubah persepsi rakyat Malaysia. Atlet berwibawa
harus dibentuk dari peringkat usia muda lagi. Satu aspek lagi ialah sistem
pembinaan atlet di Malaysia tidaklah seburuk yang ditohmahkan oleh pengkritik.
Penemuan bakat-bakat muda seperti Pandelela dan Bryan Nickson Lomas di Sarawak
yang kemudian muncul sebagai atlet negara, adalah manifestasi kekukuhan sistem
tersebut. Tidak perlu tukar kerajaan untuk atlet kita meraih pingat emas.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Ahad, 12 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan