Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI
Penindasan yang dihadapi etnik
Rohingya bukannya sesuatu yang baru dan telah diketahui dunia sejak sekian
lama, termasuk di Malaysia yang telah menerima berpuluh ribu pelarian Myanmar
sejak beberapa dekad lalu. Etnik Rohingya yang memohon suaka politik di
Malaysia jauh lebih bernasib baik berbanding saudara mereka di Myanmar yang
masih diserang dan dihalau dari tempat tinggal mereka tanpa sebarang pembelaan.
Walaupun masyarakat Rohingya telah hidup sebagai pelarian selama beberapa
generasi di negara ini dan beberapa negara anggota ASEAN lain, hak kerakyatan
etnik minoriti itu masih disekat kerajaan Myanmar kerana dikatakan tidak
termasuk dalam 130 etnik asal. Sekitar 750,000 warga Rohingya yang tinggal di
kawasan barat negeri Rakhine diklasifikasikan kerajaan Myanmar sebagai
masyarakat Islam Bengali yang masuk dari Bangladesh tetapi tiada negara sendiri.
Bangladesh pula dilaporkan menolak
pelarian Rohingya yang ingin menyelamatkan diri daripada penindasan di Myanmar
dan terbaru telah menghalang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa
menyampaikan bantuan kepada pelarian berkenaan. Kesal dengan sikap masyarakat
antarabangsa menangani isu tersebut, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan
meminta kebenaran kerajaan Myanmar bagi menghantar misi pencarian fakta ke
negara itu untuk mencari penyelesaian terbaik. Dengan jumlah kematian yang
semakin meningkat dan lebih 100,000 etnik Rohingya kehilangan tempat tinggal,
masyarakat Islam seluruh dunia tertanya-tanya apakah agenda kerajaan Myanmar
dan mengapa tragedi melibatkan masyarakat Islam sering dipandang enteng
masyarakat antarabangsa.
Walaupun sistem pemerintahan di
Myanmar kini dikatakan semakin baik tetapi mampukah perubahan ke arah demokrasi
yang dilaung-laungkan itu menyelesaikan masalah penindasan etnik yang telah
berpuluh tahun berlarutan? Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr.
Azmi Hassan menjelaskan, masalah Rohingya telah lama berlarutan sejak zaman
junta tentera sehingga di bawah kerajaan awam kini. "Apa pun, Myanmar
tidak mahu dan tidak akan mengiktiraf etnik Rohingya, yang datang dari
Bangladesh, sebagai rakyat mahupun pelarian. Ini berlaku sejak negara itu
dikenali sebagai Burma dahulu lagi. "Kini di bawah kerajaan baru, etnik
asal Myanmar mempunyai motivasi baru untuk menghapuskan etnik minoriti itu
tanpa sekatan daripada pihak pemerintah," katanya.
Menurut beliau, Myanmar sememangnya
dalam proses ke arah demokrasi tetapi dalam hal ini, pihak pemerintah dan
pembangkang termasuk Aung San Suu Kyi sendiri sepakat untuk tidak mengiktiraf
etnik Rohingya. Tambahnya, masalah tidak akan selesai selagi dibiar Myanmar
menguruskan situasi itu sendirian sementara Amerika Syarikat (AS) dan Eropah
pula melihat perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang tidak penting. Oleh
itu, beliau menganggap langkah OIC menghantar pasukan sendiri sebagai langkah
terbaik untuk campur tangan bagi mengelakkan situasi semakin melarat. "OIC
badan terbaik untuk campur tangan memandangkan ASEAN tidak boleh diharap kerana
memegang pendirian tidak campur tangan politik dalaman anggotanya sementara
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula dikawal AS dan Eropah. OIC dapat
memberi pendedahan dan membuka mata dunia terhadap penindasan berterusan etnik
Rohingya serta situasi mereka yang ditolak oleh Bangladesh dan negara
ketiga," ujarnya.
Jelasnya, etnik Rohingya yang dilihat
tiada kemahiran untuk menyumbang kepada ekonomi sesebuah negara menjadi punca
mereka ditolak semua pihak termasuk negara asal dan kerajaan Myanmar sendiri. Tegasnya
lagi, setelah berpuluh tahun ditindas, situasi mereka tidak diendahkan lagi
dunia kerana ia tidak memberi keburukan kepada geopolitik antarabangsa. Menurut
Azmi, berbeza dengan situasi rakyat Palestin yang memberi impak kepada dunia,
apa yang berlaku kepada warga Rohingya kini tiada kesan besar kerana jumlah
mereka kecil dan tiada negara sendiri. "Cara terbaik dalam jangka pendek
adalah untuk memaksa Myanmar sekurang-kurangnya mengiktiraf etnik minoriti ini
sebagai pelarian dan melalui konvensyen khas pelarian PBB, kerajaan negara itu
perlu membantu warga Rohingya. Malaysia dan Thailand selaku penerima pelarian
Rohingya terbanyak boleh menunjukkan contoh baik layanan adil kepada pelarian
terbabit sebagai satu langkah simbolik dalam ASEAN," jelasnya.
Namun, beliau secara peribadi
merasakan campur tangan OIC itu tidak akan membawa penyelesaian mahupun kesan
kesan positif dalam jangka pendek. "ASEAN sendiri perlu campur tangan
tetapi masalahnya mereka tidak mahu merencatkan proses demokrasi di Myanmar.
Persoalannya kini, yang mana lebih penting - Rohingya atau demokrasi,"
soal beliau. Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis
Profesor Negara, Proffesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak juga bersetuju ASEAN
sendiri yang sepatutnya menyelesaikan masalah di depan 'halaman' mereka itu. "Ini
bukannya campur tangan politik dalaman, ini tragedi kemanusiaan yang
menjejaskan imej ASEAN sendiri kerana selama ini mereka paling banyak membela
Myanmar daripada campur tangan Barat. ASEAN tidak boleh cuci tangan dan
membiarkan OIC membuat kerja mereka. Jika terus berdiam diri, tiada bezanya
ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) yang membiarkan Serbia menyembelih etnik Bosnia
dahulu," tegasnya. Beliau juga tidak bersetuju dengan tindakan ASEAN
terlalu 'menghormati' Myanmar dan mengekalkan dasar tidak campur tangan
sedangkan pelanggaran hak asasi manusia dan mungkin juga pembersihan etnik
sedang berlaku di depan halaman mereka sendiri.
Tambahnya, pemerintah Myanmar juga
memang dikenali berkeras dalam mengawal tindak-tanduk etnik asal negara itu,
inikan pula terhadap etnik-etnik minoriti lain yang ingin disingkirkan seperti
masyarakat Rohingya. Beliau turut mempersoalkan motif penindasan etnik minoriti
itu memandangkan masyarakat Rohingya tidak menuntut wilayah sendiri mahupun
memberontak tetapi hanya mahukan perlindungan dan keadilan. "Motif
keganasan terbaru ini kurang jelas tetapi mungkin kerana mereka takut dengan
sokongan etnik minoriti akan cenderung kepada penentang kerajaan serta pejuang
demokrasi. Sudahlah hidup serba kekurangan dalam kedaifan dan kini penindasan
sistematik oleh kerajaan yang mahu singkirkan mereka. Apabila Bangladesh dan
negara ketiga juga menolak mereka, Rohingya mungkin berhadapan dengan
pembersihan etnik pula," katanya. Beliau berharap ASEAN segera mencari
jalan untuk membantu atau kredibiliti mereka akan terjejas kerana membiarkan
etnik Rohingya seperti mana EU mengabaikan etnik Bosnia. "Persoalannya
kini, adakah ASEAN akan terus berdiam diri dan melihat pembersihan etnik
seperti mana EU lakukan dalam perang Bosnia dahulu," ujarnya.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Jumaat, 10 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan