Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia.
Laporan akhbar baru-baru ini tentang
beberapa berita yang mengaitkan kejadian jenayah yang melibatkan keluarga
terdekat agak mengganggu fikiran kita. Dalam satu kejadian di Kuching, Sarawak
seorang anak dilaporkan memukul ayahnya yang berusia 77 tahun hingga mati. Pada
halaman yang sama, di Johor Bahru, Johor seorang anak dikatakan menyamar
sebagai ah long untuk mengugut bapanya sebanyak RM3,000. Ini hanyalah
sebahagian besar daripada kejadian yang berlaku kebelakangan ini yang tidak
harus dipandang kecil. Sedikit masa lalu kita pernah dikejutkan dengan berita
ibu bapa yang menyaman anak yang mengabaikan mereka setelah diagihkan harta dan
mereka menang kes mahkamah tersebut. Anaknya seorang pensyarah dilaporkan
dijatuhi hukuman kerana kesalahan tersebut.
Menjelang Aidilfitri nanti akan
banyaklah lagi laporan kesedihan ibu bapa yang menanti kepulangan anaknya atau
mereka mereka yang disisihkan lalu hidup dalam kesunyian dan kesepian sama ada
di rumah orang tua-tua atau pun bersendirian di rumah usang bertemankan air
mata dan kenangan melihat kepulangan anak cucu jiran tetangga dengan linangan
air mata yang barangkali amat payah difahami oleh sesetengah anak-anak muda
yang dibesarkan melalui generasi high technology dan makin kurang high
touch-nya, menggunakan istilah penulis Megatrends, John Naisbitt. Kes-kes
jenayah yang berlaku begitu menakutkan, apatah melibatkan warga emas dan sanak
saudara yang amat rapat di luar jangkauan pemikiran. Ke manakah hilangnya
belaian kasih sayang yang ada sehingga kita gagal merasai perasaan mereka
sebagai saudara, suami isteri apatah lagi ibu bapa yang melahir dan membesarkan
kita.
Ini belum lagi melihat kepada nasib
orang tua uzur yang kerap diabaikan oleh anak-anak semata-mata kerana jurang
pemisah yang besar untuk memahaminya. Seorang tua, bukan sekadar memerlukan
wang ringgit tetapi jauh dari itu adalah kasih sayang dan perhatian. Seorang
anak muda pernah bercerita kepada penulis bagaimana datuknya yang tua dan
dianggap menyusahkan keluarga dengan sikap cerewet dan memberontak tiba-tiba
tersenyum apabila dia memandi, membedak dan menyisir rambutnya. Selepas
beberapa hari, datuknya menghembuskan nafas terakhir sebagai kesudahan dari
episod bebanan anak-anak yang tidak pernah cuba memahami perasaan kesunyian
yang dilalui oleh bapa mereka.
Seorang ibu atau bapa sering melihat
anak-anak dalam bayangan masa lalunya, mengharapkan anak itu tidak pernah besar
dan dapat dimanjakan seperti mana usia kecil dan remajanya kerana apabila
dewasa dan berkeluarga sendiri, ibu bapa akan mula terasing dan kesunyian,
walau pun dia terpaksa menerima hakikat itulah fitrah kehidupan yang harus
ditempuhi. Sudah sampai masanya kita lebih prihatin terhadap hal ini. Jangan
hanya mengharapkan kerajaan dan pihak berkuasa yang menyelesaikannya. Sebaliknya
berusahalah untuk lebih mendekati dan meningkatkan kasih sayang dalam keluarga.
Anggota keluarga juga perlu lebih prihatin terhadap nasib dan keadaan mental
dan fizikal mereka yang ada di sekeliling. Jika terdapat petanda-petanda adanya
kemungkinan seperti ini berlaku, berusahalah mencegahnya dari awal.
Dalam menghadapi tekanan kerjaya,
masalah ekonomi dan apa jua yang terjadi, fikirlah dengan tenang dan lakukan
muhasabah dengan ikhlas untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Kekerasan dan
jenayah bukan cara yang terbaik apatah lagi melibatkan orang kita sayang.
Setiap masalah tentu ada penyelesaiannya jika kita jujur dan benar-benar ingin
menyelesaikannya. Jika perlu mereka yang berhadapan dengan tekanan dan masalah
peribadi boleh merujuk dirujuk kepada kaunselor yang bertauliah, mereka yang
lebih disegani atau pihak-pihak yang boleh membantu. Perasaan malu dan bimbang
dicemuh harus diatasi demi menyelamatkan nyawa dan berlakunya keadaan yang
tidak seharusnya. Satu sistem sokongan yang kuat dalam masyarakat perlu
diwujudkan. Masyarakat dan jiran tetangga perlu memainkan peranan dalam
menangani isu ini dan meningkatkan sikap siap siaga terhadap insiden tidak
diingini ini. Tidak ada salahnya mempunyai sedikit perasaan curiga apabila
berlaku hal-hal atau tingkahlaku yang di luar kebiasaan dengan membuat laporan
kepada pihak berkuasa.
Menjaga tepi kain orang barangkali
tidak wajar, namun dalam situasi tertentu yang bukan umpat keji, ia perlu
diamalkan demi membantu dari mengelakkan tragedi buruk berlaku. Namun begitu,
pada akhirnya, kasih sayang sejati yang ditanam dalam kalangan kaum keluarga
dan tentunya pegangan agama, akan menjadi benteng yang sangat berguna untuk
mengatasinya. Agama menyediakan garis panduan yang jelas dan sangat menekankan
kepada sikap berkasih sayang. Tatkala umat Islam mengerjakan ibadah untuk
mendekatkan diri dengan Allah SWT sepanjang Ramadan dan syawal yang akan
datang, adalah wajar kita kembali kepada nilai-nilai kasih sayang ini, membuat
muhasabah dan melakukan penambahbaikan dengan mengukuhkan persaudaraan dalam
keluarga. Sebesar mana pun masalah yang ada dan sehebat mana pun perselisihan
yang terjadi, kita perlu kembali kepada agama dan saling memaafkan tanpa perlu
terus menuding jari. Air dicincang tidak akan putus. Hancur hati ibu bapa yang
diabaikan apatah lagi melihat berlakunya perselisihan sesama keluarga yang
bakal meruntuhkan satu institusi utama dalam agama.
Kenanglah masa kecil dalam dakapan dan
pelukan ibu dan ayah. Ingati kembali detik-detik manis dibelai dan dihantar
belajar di sekolah malah ke kolej dan universiti. Bayangkan detik-detik manis
suami isteri, derai tawa satu keluarga dan jernihnya air mata ibu dan ayah yang
menanti kepulangan kita, yang menunggu dakapan putera-puterinya yang barangkali
itulah terakhir kalinya. Kejayaan hidup, kesibukan kerjaya dan berhadapan
dengan masalah tidak harus menjadikan kita cuai dan lalai terhadap
tanggungjawab kepada keluarga apatah lagi ibu bapa kita. Merekalah syurga kita.
Mereka mungkin tidak sehebat anak-anaknya, nilainya mungkin agak berbeza,
pemikirannya juga tidak sama, namun hakikatnya merekalah permulaan kita dan
keluargalah segalanya.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Jumaat, 10 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan