26 Julai 2012

ISU SOSIAL : BUAT ANAK, KEMUDIAN JUAL


Rencana ini ditulis oleh :
MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


Pengarah Urusan Rumah Jagaan Kanak-Kanak Nur Salam di Chow Kit, Kuala lumpur, Hartini Zainudin, 50, mendedahkan, masih ada kes bayi dan kanak-kanak gelandangan yang dijual serta menjadi mangsa kegiatan pelacuran di Malaysia. Hartini yang berpengalaman luas berhubung isu pemerdagangan kanak-kanak khususnya di Chow Kit memberitahu, banyak faktor yang menyebabkan golongan itu mudah terjerat. Menurut beliau, ada sebahagian kanak-kanak dijanjikan pekerjaan seperti di hotel dan spa, kemudian apabila dewasa mereka kononnya akan berkahwin dan hidup bahagia. Namun, ada yang lebih malang apabila mereka dijual keluarga sendiri atau diculik oleh sindiket sebelum dijual.

Kanak-kanak didefinisikan oleh undang-undang antarabangsa sebagai mereka yang berumur bawah 18 tahun. Kata Hartini, kebanyakan remaja digunakan untuk pelacuran atau seks manakala kanak-kanak bawah 10 tahun dieksploitasi sebagai peminta sedekah. Malang kepada bayi pula, mereka dijual dengan harga tertentu kepada pasangan yang tidak mempunyai anak. Bayi yang dijual berharga antara RM2,000 hingga RM10,000 manakala kanak-kanak antara RM1,000 hingga RM3,000. Hal ini berlaku kerana ibu bayi tersebut tidak mampu menyara mereka selain tekanan yang diberikan oleh ibu dan juga bapa ayam. Itu menyebabkan mereka mengambil tindakan nekad menjual sahaja bayi tersebut.

Bukan warganegara

Hartini memberitahu, kerajaan kini memandang serius isu pemerdagangan orang terutamanya bayi dan kanak-kanak dengan penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. Kebanyakan wanita yang melahirkan bayi terdiri daripada wanita yang terlibat dengan kegiatan pelacuran. Ada dalam kalangan mereka yang bukan warganegara seperti wanita Vietnam dan Myanmar serta tidak mempunyai dokumen diri. Ini mendorong mereka mengambil jalan mudah dengan menjualkannya sahaja bayi mereka. Akhirnya, apabila bayi itu dewasa kelak mereka terdedah kepada pelbagai perkara negatif termasuk melakukan jenayah akibat tidak mempunyai pelajaran serta tidak mendapat kemudahan kesihatan dan makanan yang secukupnya. Tutur Hartini, sebanyak 80 peratus kanak-kanak gelandangan tidak mempunyai identiti diri apatah lagi hak kewarganegaraan. Ini kerana proses untuk mengenal pasti keturunan mereka mengambil masa selama bertahun-tahun di samping menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Tambah beliau lagi, warga tempatan sekali pun cukup sukar untuk mengesan ibu bapa sebenar mereka inikan pula warga asing. Tetapi lebih baik kita menjaga dan memenuhi keperluan mereka daripada membiarkan hidup mereka terus terumbang-ambing. Bagi Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Datuk Faridah Khalid, mangsa jenayah pemerdagangan manusia di negara ini sering dijanjikan dengan pelbagai harapan sebelum diperdaya. Mangsa jenayah ini direkrut dengan cara tipu helah, pujuk rayu, janji-janji palsu, paksaan, kekerasan, godaan, ancaman, penculikan dan pemalsuan. Mereka kemudian dieksploitasi dalam bentuk seks, pelacuran, buruh paksaan, perhambaan, peminta sedekah, penjualan bayi dan pemindahan organ manusia oleh seseorang atau kumpulan yang inginkan keuntungan. Tambah Faridah, jenayah tersebut merupakan satu bentuk perhambaan zaman moden apabila manusia dijadikan barangan dagangan yang membawa keuntungan lumayan. Sehingga kini kira-kira 70 peratus mangsa jenayah ini merupakan wanita kerana golongan tersebut dilihat mampu memberikan keuntungan lumayan kepada sindiket terbabit selain mudah terpedaya.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
26 Julai 2012

25 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : PATUT ATAU TIDAK PELAJAR SEKOLAH DIROTAN?


Rencana ini ditulis oleh
Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.


"BAGI saya boleh … 'anytime' cikgu boleh merotan atas kesalahan yang difikirkan perlu, syarat merotan di bawah paras lutut dan kemudian harus dirotan di hadapan murid lain." Demikian pandangan seorang pembaca dalam ruangan 'facebook.com/utusan_online' yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini. Kini cadangan guru dibenarkan merotan pelajar yang melanggar disiplin sekolah telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media sosial. Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar. Menurut mereka jika masalah disiplin tidak ditangani dengan betul ketika pelajar berada di bangku sekolah dikhuatiri boleh menimbulkan masalah lebih besar apabila mereka meninggalkan sekolah nanti.

Sesungguhnya amat merisaukan apabila melihat angka statistik dan pemaparan melalui media massa gejala sosial di kalangan remaja. Misalnya isu 'mat rempit,' apa yang mereka lakukan bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut menjejaskan keselamatan orang lain. Lebih membimbangkan mereka sudah berani mencabar pihak berkuasa dan merempit di tempat yang terbuka. Ada ketikanya orang awam turut dikasari hanya kerana cuba menasihati perbuatan yang tidak berfaedah itu. Ini belum lagi dikira jumlah penagih dadah yang kian bertambah. Kesan daripada penagihan dadah boleh menimbulkan gejala sosial lain seperti berlaku kes jenayah, penyakit HIV dan kemerosotan nilai diri sebagai seorang insan. Penagihan bukan sahaja menjadikan diri mereka tidak terurus tetapi sanggup pula mencederakan orang lain malah ibu bapa sendiri sekiranya apa yang dikehendaki tidak ditunaikan terutama keinginan mendapatkan wang.

Jenayah lain seperti pecah rumah, curi motosikal, meragut, bergaduh dan gengsterisme kerap dilaporkan dalam akhbar. Perbuatan ini bukan sahaja berlaku di bandar besar tetapi turut berlaku di kampung dan kawasan pedalaman. Tidak dinafikan gejala itu mungkin mula bertunas ketika mereka berada di bangku sekolah. Sering kita mendengar isu ponteng, membuli, mencuri, vandalisme dan bergaduh berlaku di kalangan pelajar. Sekiranya tidak dicegah daripada awal ia boleh memudaratkan apabila mereka terus melakukannya selepas meninggalkan bangku sekolah nanti. Bagi mencegah dan mendidik pelajar yang melanggar disiplin ada yang mencadangkan dikembalikan semula hukuman rotan atau corporal punishment. Tambah mereka semua guru seharusnya dibenarkan merotan pelajar. Bagi mereka hukuman itu tidak akan menimbulkan tentangan jika dilakukan dengan betul. Buat masa ini hanya pengetua atau guru yang diberikan kuasa boleh merotan pelajar dengan syarat dilakukan di tempat tertutup, direkodkan dan ibu bapa dimaklumkan akan hukuman itu.

Namun demikian ada yang mempertikaikan pendapat tersebut mempersoalkan mengapa peraturan lapuk itu ingin dihidupkan semula. Menurut mereka keadaan dan zaman telah banyak berubah. Hukuman rotan boleh menimbulkan banyak mudarat dibandingkan dengan kebaikan. Dari sudut psikologi emosi pelajar yang dirotan boleh terganggu, malu kepada rakan dan merasa rendah diri terutama apabila bersua dengan guru yang merotan mereka. Lebih bahaya boleh menimbulkan perasaan dendam terhadap guru dan sekolah. Kerap kita mendengar kereta guru dirosakkan, perbuatan vandalisme dan perasaan benci kepada sekolah. Walaupun tujuannya murni iaitu untuk mendisiplinkan pelajar tetapi boleh memberi kesan sebaliknya. Lebih parah mungkin boleh berlaku kejadian mencederakan guru dan merosakkan harta benda sekolah.

Sesungguhnya untuk menangani salah laku pelajar Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan garis panduan melalui Peraturan- Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, iaitu Perkara 8.3.1. (b) di mana guru boleh merotan pelajar lelaki sahaja dihadkan di tapak tangan atau di punggung dengan arahan Guru Besar tanpa mendatangkan kecederaan. Hukuman rotan semata-mata bertujuan mendidik dan dilakukan di tempat tertutup. Dijelaskan juga kebenaran merotan ini bermakna hukuman deraan lain seperti menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk atau tindakan lain yang seumpamanya adalah dilarang sama sekali. Berbeza di negara maju di mana terdapat peraturan yang dinamakan student rights atau 'hak asasi pelajar' di mana mereka diberi perlindungan ketika berada di sekolah termasuk tidak boleh dikenakan sebarang deraan fizikal. Ini bermakna pelajar tidak boleh dirotan dan menjadi suatu kesalahan sekiranya dilakukan oleh guru atau pentadbir sekolah. Mereka ada kaedah tertentu bagi menangani pelajar yang bermasalah seperti melalui sesi kaunseling atau merujuk terus kepada ibu bapa pelajar tersebut.

Sesungguhnya dalam sistem pendidikan kita kaedah merujuk pelajar kepada kaunselor telah lama dipraktikkan. Setiap sekolah mempunyai kaunselor yang terlatih. Melalui Surat Pekeliling Iktisas Bil. 1/1985 Penubuhan Jawatan Kuasa Bimbingan Pelajar Sekolah bertujuan memberi peluang kepada pelajar yang bermasalah termasuk melanggar disiplin mendapat perkhidmatan kaunseling. Melalui perbincangan dan bimbingan secara profesional dijangkakan pelajar itu akan sedar kesalahan yang dilakukan dan tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut. Hakikatnya guru perlu berhati-hati ketika merotan pelajar kerana jika mendatangkan kecederaan serius mereka boleh didakwa di mahkamah sekiranya ibu bapa membuat aduan polis.

Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Walaupun niat merotan itu murni iaitu untuk mendidik pelajar tetapi boleh mendatangkan mudarat dan menjadi mimpi ngeri kepada guru jika dilakukan secara berlebihan. Justeru semua guru adalah guru disiplin. Ini bermakna semua guru bertanggungjawab dan berperanan membimbing, menasihati dan menunjuk ajar pelajar. Ibu bapa dan komuniti pula perlu terlibat dalam menangani permasalahan tersebut. Keprihatinan semua pihak terhadap salah laku pelajar hari ini akan berupaya mengurangkan jumlah gejala sosial di kalangan remaja di masa akan datang.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
25 Julai 2012

24 Julai 2012

ISU NEGARA : RUPA BENTUK MALAYSIA PASCA 2020


Rencana ini ditulis oleh :
NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Pada 19 Julai 2012 yang lalu, Dewan Bankuet, bangunan Parlimen dipenuhi 542 pemimpin muda daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) yang hadir bagi membincangkan mengenai hala tuju negara selepas 2020. Perbincangan ketika Konvensyen Pemimpin Muda Negara 2012 yang diadakan separuh hari itu adalah bagi menentukan rupa bentuk Malaysia selepas negara ini mencapai status negara maju. Seriusnya kerajaan untuk mendapatkan pandangan orang muda berhubung dengan masa depan negara itu terbukti apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri turut hadir. Bukan sekadar hadir, malah kedua-dua pemimpin itu turut menyampaikan amanat untuk dikongsi dengan generasi muda terbabit. Menurut Najib, golongan belia seharusnya mengemukakan idea-idea baru bagi membolehkan kerajaan melakukan lebih banyak perubahan secara beransur-ansur untuk kebaikan masyarakat. "Transformasi secara beransur-ansur ini adalah yang terbaik berbanding langkah pihak tertentu yang mengajak generasi muda untuk bersama-sama mereka terlibat dengan demonstrasi jalanan dan revolusi bagi menjatuhkan kerajaan dengan kadar segera," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin pula menceritakan pengalamannya mendidik anak-anak beliau yang masing-masing mempunyai pandangan sendiri dalam memilih kerjaya yang hendak diceburi. "Saya tidak menghalang kerjaya yang hendak diceburi anak-anak walaupun saya pada mulanya terkejut juga kerana ia adalah bidang yang saya sendiri tidak terfikir," ujarnya. Jelasnya, berdasarkan pengalaman itu, beliau menyedari bahawa pandangan generasi muda perlu dihargai kerana setiap mereka mempunyai keistimewaan tersendiri yang boleh disumbangkan bagi menambah baik negara. "Anda adalah waris yang akan mengambil alih pimpinan dalam masyarakat dan negara. Anda akan menjadi penentu tentang masa depan negara," katanya. Sesi forum bertajuk Hala Tuju Negara: Kepimpinan Pasca tahun 2020? yang menampilkan dua ahli panel iaitu Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow pula sarat dengan idea-idea bernas. Menurut Khairy, generasi muda perlu berani untuk melontarkan idea-idea baru bagi memastikan matlamat untuk mewujudkan perpaduan kaum yang lebih mantap tercapai.

Katanya, antara idea yang boleh difikirkan adalah kemungkinan untuk diwujudkan satu kontrak sosial baru. "Kontrak sosial baru ini melibatkan persetujuan semua kaum termasuk masyarakat Cina dan India untuk mewujudkan hanya satu sistem persekolahan iaitu sekolah kebangsaan. Sebagai timbal balas, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) hendaklah dibuka untuk kemasukan bukan bumiputera," jelasnya. Menurut beliau, antara ciri-ciri lain masyarakat pasca 2020 ialah mereka tidak terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan yang kini mencecah sehingga RM20 bilion setahun. "Kita harus menamatkan ketagihan kepada subsidi. Saya hairan kerana pihak pembangkang masih bersikap seperti saudagar mimpi apabila menawarkan pelbagai pemberian percuma kepada rakyat kerana ia tidak baik untuk masa depan negara," katanya. Chang Yeow pula, dengan nada berterus terang menyatakan langkah untuk mewujudkan perpaduan kaum hanya boleh dicapai jika segala dasar-dasar yang mengutamakan kaum tertentu dihapuskan selepas 2020.

Beliau menceritakan pengalaman sendiri yang pernah menuntut di sekolah aliran kebangsaan, apabila dirinya 'terasa hati' setelah tidak mendapat Biasiswa Persekutuan yang ketika itu lebih diutamakan kepada pelajar Melayu. "Perpaduan tidak dapat diwujudkan jika semua dasar yang dilaksanakan hanya melihat kepada kepentingan satu kaum sahaja," katanya. Beliau menambah, sebarang bantuan sama ada pendidikan atau ekonomi harus diberikan kepada mereka yang benar-benar layak tanpa mengira latar belakang etnik. "Hanya dengan cara ini sahaja pergeseran antara kaum dapat dielakkan," ujarnya. Tambah beliau, perpaduan antara kaum akan dapat dimantapkan lagi sekiranya setiap rakyat dapat menerima budaya kaum lain dan menganggap ia sebagai kebudayaan Malaysia yang dikongsi bersama. "Terdapat perkembangan positif dalam aspek ini apabila pihak pembangkang sendiri telah dapat menerima syarat memakai songkok pada majlis rasmi. Pihak kerajaan juga saya dapati tidak lagi mensyaratkan setiap persembahan tarian singa perlu mendapat permit terlebih dahulu seperti amalan sebelum ini," katanya. Dalam perkembangan lain, Chang Yeow berkata, golongan terpelajar ketika pasca 2020 seharusnya membuang jauh-jauh mentaliti untuk bekerja makan gaji dan sebaliknya perlu mengutamakan budaya untuk menjadi seorang usahawan.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Bukit Aman, SAC Datuk Mohd. Sofian Md. Makinuddin mengingatkan para belia supaya sama-sama memberi sumbangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih selamat. "Untuk memastikan matlamat ini dapat dicapai, masyarakat perlulah mengubah sikap yang tidak berbuat apa-apa apabila melihat kejadian jenayah berlaku dengan alasan ia tidak melibatkan mereka," katanya. Ujarnya, kerjasama setiap rakyat adalah penting kerana pihak polis menghadapi kesukaran untuk menangani kegiatan jenayah khususnya gerakan militan Islam dan komunis berikutan pemansuhan akta-akta bersifat pencegahan. "Kita akui ketiadaan akta sedemikian menyukarkan polis menangani ancaman terkini termasuk penyusupan individu yang mempunyai kaitan dengan Jemaah Islamiah dan komunis ke dalam parti pembangkang," katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama. Beliau berkata, cabaran lain membabitkan lahirnya banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang dibiayai pihak asing dengan matlamat untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
24 Julai 2012

23 Julai 2012

ISU UMUM : CABARAN DALAM MENINGKATKAN INTEGRITI PEJAWAT AWAM


Rencana ini ditulis oleh :
DATUK AHMAD KHUSAIRI YAHAYA
Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM


Keseriusan kerajaan dalam meningkatkan integriti dan mengekang jenayah rasuah di kalangan pegawai awam jelas menerusi pelaksanaan pelbagai dasar dan program yang diperkenalkan sejak sedekad lalu. Antaranya menjadikan rasuah sebagai salah satu daripada bidang penting yang ditekankan dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP). Untuk itu, sebanyak 27 inisiatif telah dan sedang dilaksanakan dengan giatnya menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA Berkaitan Rasuah. Apa yang menjadi faktor paling kritikal dalam memastikan usaha meningkatkan tahap integriti perkhidmatan awam, sebenarnya bukanlah terletak pada hanya kesungguhan kerajaan. Kesungguhan itu juga perlu datang dari kepimpinan agensi kerajaan dan menuntut semua lapisan warganya untuk berubah. Sejak kebelakangan ini, terdapat perubahan yang boleh dibanggakan ditunjukkan oleh kalangan anggota perkhidmatan awam berbanding sedekad lalu. Hakikatnya, tahap kesedaran para pegawai awam terhadap integriti dan semangat anti-rasuah jelas meningkat. Namun demikian, masih banyak ruang boleh diperbaiki untuk menjadikannya unggul di kaca mata masyarakat.

Berdasarkan perangkaan SPRM sepanjang sembilan tahun iaitu 2003 hingga 2011, secara keseluruhannya, purata tangkapan ke atas penjawat awam adalah seramai 260 orang setahun. Berbanding jumlah keseluruhan penjawat awam di Malaysia iaitu 1.4 juta orang, peratusannya adalah terlalu kecil iaitu sekitar 0.018 peratus sahaja. Walaupun kelihatan kecil namun jika tidak dibendung ia mampu meruntuhkan negara. Pegawai awam dilihat mempunyai kuasa dan kuasa ini jika disalahgunakan boleh mengakibatkan kesan yang amat buruk. Trend perubahan ke arah pembudayaan integriti dan anti-rasuah di kalangan pegawai awam jelas ketara bermula 2009. Terdapat pengurangan yang jelas dari segi jumlah tangkapan ke atas penjawat awam berbanding tangkapan ke atas sektor swasta dan orang awam. Kempen Perangi Pemberi Rasuah benar-benar menghasilkan impak yang besar dalam sejarah pencegahan rasuah di negara ini. Sejak pelancarannya pada 2009, jumlah penjawat awam dan swasta yang ditangkap kerana cuba menyogok pegawai awam melonjak begitu tinggi. Dalam 2009 misalnya, jumlah tangkapan keseluruhan SPRM ialah seramai 500 orang kerana ditangkap cuba memberi rasuah seramai 98 orang. Melonjak melebihi empat kali ganda iaitu seramai 424 orang dalam 2010 dan 389 orang dalam 2011. Jumlah wang sogokan bermula dari RM50 ke angka RM1 juta.

Perubahan BPR kepada SPRM dalam 2009 sebenarnya membawa kepada perubahan dari segi pendekatan dan strategi pencegahan rasuah di negara ini. SPRM menetapkan tiga bidang utama iaitu penguatkuasaan, perolehan (sebut harga dan tender awam) dan projek mega kerajaan sebagai fokus utamanya. Beberapa kelemahan yang selama ini menghalang usaha pencegahan rasuah dikenal pasti, antaranya tanggapan bahawa tanggungjawab memerangi rasuah terletak di tangan SPRM semata-mata, kurangnya inisiatif agensi awam untuk mencegah rasuah; mekanisme kawalan dalaman yang longgar dan tidak sempurna dan kesalahan rasuah tidak dianggap sebagai kesalahan berat bagi kes tatatertib. Terdapat segelintir ketua yang menganggap tugas mencegah rasuah adalah tanggungjawab SPRM. Justeru, pembudayaan integriti dan pencegahan rasuah bukan merupakan agenda utama. Yang lebih penting menjaga suasana harmoni dan semangat esprit de corp di kalangan pegawai/staf. Jika tindakan keras diambil dan pembudayaan anti-rasuah menjadi berkesan maka ia kononnya akan mewujudkan suasana kurang selesa dan syak wasangka sesama anggota.

Perkara yang lebih disesalkan ialah sikap kasihan kepada pesalah rasuah masih menjadi asas pertimbangan dalam proses tindakan tatatertib. Bagi SPRM, siasatan sesuatu kes tidak hanya berakhir dengan tindakan menghadapkan suspek ke mahkamah semata-mata. Sebaliknya, banyak kes yang disiasat SPRM dikemukakan sebagai Laporan SPRM untuk tindakan tatatertib. Namun, atas dasar simpati, suspek-suspek ini terlepas daripada hukuman berat seperti ditamatkan perkhidmatan dan hanya diberikan surat teguran atau amaran sahaja. Perangkaan SPRM sepanjang 10 tahun lalu berhubung kes tatatertib jelas menunjukkan sebanyak 1,957 laporan dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib Agensi. Daripada jumlah itu, hanya 60 kes dikenakan hukuman buang kerja. Sebaliknya, 979 atau 50% dikenakan surat amaran yang tidak mendatangkan apa-apa kesan deterrent. Ini jelas menunjukkan tiada istilah serius dalam kes-kes yang melibatkan perbuatan jenayah rasuah. Cabaran utama yang perlu diperbaiki dalam memastikan kelangsungan program pemantapan integriti dan pencegahan rasuah dalam perkhidmatan awam adalah melibatkan dua pendekatan strategik yang dikenal pasti SPRM iaitu memperkasakan entiti kawalan dalaman agensi awam dan memperkukuhkan SPRM.

Justeru, dalam konteks memperkasakan entiti kawalan dalaman agensi awam, SPRM telah mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan model pencegahan rasuah yang berbentuk kawalan dalaman menerusi penubuhan Unit Integriti di kementerian, jabatan Persekutuan dan negeri. Model unit ini sama seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan. Di AS ia lebih dikenali sebagai Inspector General Office (IGO). Unit ini diwujudkan di jabatan-jabatan berisiko tinggi dan bertanggungjawab sepenuhnya memantau dan menjalankan siasatan ke atas kes-kes berkaitan integriti, rasuah dan lain-lain jenayah yang melibatkan warga agensi terbabit. Mengambil contoh di AS, unit integriti New York Police Department (NYPD) ditubuhkan dengan keanggotaan seramai 700 orang bagi memantau 35,000 pegawai polis di NYPD iaitu nisbah 1:50 manakala Pihak Berkuasa Pelabuhan New York mempunyai keanggotaan 70 orang bagi memantau 7,000 pekerjanya iaitu nisbah 1:100. Idea berhubung penubuhan Unit Integriti di agensi-agensi kerajaan ini disambut baik. Buat masa ini, empat agensi telah mewujudkan unit ini iaitu Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pengangkutan Jalan dan SPRM sendiri. Pegawai-pegawai SPRM akan dilantik dan ditempatkan sebagai Ketua Unit Integriti di agensi-agensi terbabit.

Perubahan status daripada BPR ke SPRM dalam 2009 sebenarnya selari dengan perubahan besar kepada budaya kerja dan sistem operasi SPRM secara keseluruhannya. Bermula dengan Pelan Strategik SPRM 2011-2013, tiga bidang utama diperkukuhkan termasuk memperkenalkan sistem pengurusan siasatan berkesan, sistem pengurusan pencegahan dan pendidikan berkesan dan pembangunan serta pemantapan modal insan SPRM secara menyeluruh. Jawatankuasa Eksekutif Transformasi yang terdiri daripada ahli-ahli Lembaga Penasihat SPRM dibentuk bagi memacu proses transformasi. Kesan kepada proses transformasi ini jelas memantapkan SPRM dari segi memperbaiki struktur organisasi, memperkenalkan sistem pengurusan modal insan berdasarkan kompetensi, memperkenalkan sistem pengurusan bakat yang fleksibel dan membawa masuk tenaga pakar yang berkepakaran tinggi bagi meningkatkan operasi SPRM.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
22 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : TELEFON BIMBIT, KEWUJUDAN PELBAGAI KONFLIK


Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin


Biarpun baru memasuki frasa cadangan, isu sama ada membenarkan atau tidak pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah tahun depan pantas mendapat reaksi berbeza. Pelbagai pendapat pro dan kontra dibentangkan selain melihatnya secara positif atau sebaliknya dengan pendapat masing-masing. Hakikatnya, isu berkenaan bukan baru malah sebelum ini sudah ada cadangan melaksanakannya namun tidak menjadi kenyataan. Yang menjadi teras persoalan ialah apakah kebaikan atau keburukan bakal dihadapi sekiranya ia direalisasikan mahupun jika tidak berjaya dilaksanakan. Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Zuroni Md Jusoh berkata, senario berkenaan wajar dilihat secara menyeluruh agar tidak menjadi penyesalan masa depan apatah lagi membabitkan perubahan drastik pola kehidupan pelajar, guru dan sekolah.

Menurutnya, institusi sekolah biarpun tertakluk pada dasar ditetapkan namun pendekatan bersesuaian harus diambil kira dan diteliti supaya tidak menyusahkan mana-mana pihak. “Sekolah keseluruhannya adalah aspek terpenting jika ingin melaksanakan atau tidak cadangan ini kerana sebarang tindakan diambil pasti merombak atau merubah situasi sedia ada. Dengan kata lain pihak terbabit perlu melihat dan menilai kemampuan, keupayaan mahupun persediaan sekolah dalam menangani apa jua keadaan berbangkit jika kebenaran ini diberi atau sebaliknya. Ini membabitkan institusi sekolah yang menjadi antara kelompok terbesar dan terpenting di negara ini. Justeru, perbincangan, kajian, pandangan atau apa jua tindakan bakal diambil memerlukan penelitian mendalam supaya tidak menjadi isu lain kelak”, katanya. Tidak mahu bersikap skeptikal, beliau memberi contoh beberapa senario bakal timbul jika ia dilaksanakan.

Beliau berkata, jika direalisasikan, perkara asas bakal dihadapi ialah kewujudan pelbagai konflik yang dianggap kecil namun boleh merosakkan masa depan pihak sasaran. “Antaranya, konflik sekolah dan guru dengan ibu bapa yang mana pelaksanaan itu boleh dianggap landasan mewujudkan ‘ketegangan’ emosi kedua pihak. Bayangkan, apa reaksi ibu bapa jika anak pulang dari sekolah dan mengadu guru marah kerana bertelefon. Adakah mereka boleh berdiam diri biarpun kesalahan mungkin datang daripada pelajar. Melihat reaksi ibu bapa hari ini, saya yakin keadaan pasti menjadi panas. Nampak kecil tapi kesannya boleh berpanjangan dan menimbulkan konflik lain pula hingga meruncingkan keadaan yang sudah sedia runcing ini. Jadi tidakkah ia akan mengganggu kehidupan mahupun privasi pihak lain pula?” katanya.

CIKGU ZUL RASA ADA RASIONALNYA CADANGAN INI, CUMA PELAJAR HARUS MATANG DAN BIJAK MENGGUNAKAN TELEFON BIMBIT YANG DI BAWA SERTA MENJAGANYA DENGAN BAIK. JANGAN SAMPAI LEPAS INI MASALAH KECURIAN TELEFON BIMBIT MENGANGGU TUGAS GURU DALAM MENYAMPAIKAN ILMU


Pada masa sama katanya, konflik ekonomi dalam kalangan ibu bapa juga akan wujud kerana pertambahan bebanan kewangan menambah nilai kad telefon yang digunakan anak. “Kita maklum, semuanya bukan percuma. Diberi pula pada pelajar yang rata-ratanya memang gila melakukan pembaziran air liur.  Bukankah ini turut mengganggu perjalanan ekonomi ibu bapa yang kini semakin sesak bergelut dengan kos sara hidup yang menjulang. Ini bakal mengundang konflik dalam keluarga pula. Saya percaya bukan semua ibu bapa mampu mengadakan kemudahan itu (telefon bimbit atau gajet). Jika tidak dituruti, cuba bayangkan apakah tindakan yang mereka akan lakukan semata-mata ingin memenuhi keperluan itu,” katanya tidak menyangkal akan wujud masalah sosial lain semata-mata mahu memuaskan kehendak hati. Pelajar golongan remaja yang sedang mencari identiti diri. Mereka sukakan perhatian, persaingan, dikenali serta berfikiran singkat dan kurang matang.



Sudah pasti tidak mustahil mereka rela mengikut kata hati. Jika ibu bapa tidak mampu memenuhi keinginan mereka, bayangkan pula tindakan bakal diambil pelajar berkenaan. Adakah mereka kisah mengenai soal maruah, alasan logik, kesusahan dan sebagainya? “Tidak kerana yang penting ialah tidak mahu ketinggalan mahupun diperlekehkan rakan lain Jalan paling mudah terbabit dengan gejala sosial bagi memperoleh apa diingini,” katanya. Ramai pihak juga ternyata kurang setuju dengan cadangan itu yang beranggapan seperti memanjangkan lagi langkah pelajar ke arah aspek negatif. Antaranya bakal menyebabkan kurang tumpuan di kelas, meluaskan pergaulan alam maya yang memungkinkan melonjakkan lagi tragedi sosial dan sebagainya. Beliau juga berpendapat, apa dilakukan sekolah hari ini sudah memadai dan alasan ibu bapa ia mudah untuk memantau pergerakan pelajar kurang praktikal. “Pelajar sekarang adalah anak generasi teknologi, mereka bijak memanipulasi keadaan mahupun mencipta alasan. Telefon bimbit bukan jaminan mereka tidak berbohong. Masih ada cara lain ibu bapa boleh memantau pergerakan anak seperti mengenal pasti siapa rakan mereka, melakukan pemeriksaan mengejut dan sebagainya.  Saya percaya kalau ibu bapa tidak bersikap lepas tangan, pergerakan anak boleh dipantau dengan baik. Tidak perlu telefon bimbit sebagai pengantara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan keperluan telefon bimbit untuk pelajar dalam usaha mendedahkan mereka dengan penggunaan teknologi global. “Kepentingan itu tetap ada dan kita juga tidak boleh menyekat daripada belajar atau tahu mengenainya. Sebab itu kebanyakan sekolah sudah menggunakan kaedah pembelajaran berbentuk moden sebagai alat bantuan mengajar mahupun menyediakan makmal komputer untuk mengakses maklumat dan sebagainya. Apakah kemudahan itu tidak cukup untuk memberi pendedahan teknologi hingga memerlukan gajet atau telefon bimbit bagi menjadikan suasana pembelajaran lebih seronok atau tidak ketinggalan. Justeru memberi kebenaran membawa telefon bimbit ke sekolah tidak sesuai kerana fungsinya nanti akan disalahgunakan hingga menjejaskan kepentingan proses pembelajaran lebih utama,” katanya.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Harian Metro
22 Julai 2012

ISU UMUM : TOM CRUISE AMAL AJARAN SESAT


Rencana ini ditulis oleh :
Johardy Ibrahim


Kes perceraian pelakon terkenal, Tom Cruise dengan Katie Holmes pada 29 Jun lalu, mungkin dianggap kelaziman selebriti Hollywood masa kini. Apatah lagi, dunia hiburan Malaysia juga tidak terkecuali. Setiap bulan ada sahaja pasangan yang berpisah. Jadi mengapa kita perlu peduli pun? Kelainan pada kes TomCat (nama jolokan media terhadap pasangan ini) perpisahan mereka bukan dikaitkan dengan orang ketiga atau kecurangan atau mengguna istilah peguam cerai ‘tiada persefahaman yang boleh diselamatkan lagi’. Sebaliknya, media-media Amerika Syarikat (AS) cenderung mengaitkannya dengan penolakan Katie terhadap kepercayaan Tom yang menjadi pengikut ajaran Church of Scientology atau Gereja Saintologi yang disifatkan oleh majoriti penduduk Kristian di AS sebagai ajaran sesat. Katie dikatakan amat bimbang masa depan anak mereka, Suri yang berusia enam tahun dipengaruhi oleh amalan dan pegangan Cruise yang begitu taksub dengan Scientology. Sekarang, Katie dilaporkan memasang pengawal peribadi, bimbang diganggu pengikut Scientology dan terutama, keselamatan Suri kerana ia juga bermulanya ‘peperangan’ dengan Cruise untuk mendapatkan hak penjagaan.

Menurut The Huffington Post, Cruise memang sudah mencapai status bintang filem semasa pertama kali diperkenalkan kepada Scientology. Dengan filem laris seperti ‘Risky Business’ dan ‘Top Gun’, status selebriti Cruise pantas terbina, menjadikannya sasaran utama untuk direkrut oleh Scientology. Cruise diperkenalkan kepada Scientology pada lewat 1980-an oleh isteri pertamanya, Mimi Rogers menerusi bapanya, Phil Spickler, yang merupakan antara anggota Scientology paling berpengaruh pada tahun-tahun awal penubuhannya. Cruise bercerai dengan Rogers pada Februari 1990 dan kemudian berkahwin dengan Nicole Kidman pada Disember tahun yang sama. Selama bertahun-tahun, kisah Cruise menyertai ajaran sesat Scientology tidak menjadi sensasi sehinggalah detik perceraiannya dengan Kidman pada 2011. Kidman dilaporkan tidak pernah menyokong Scientology dan banyak pihak mendakwa pegawai-pegawai gereja tersebut memanipulasikan Cruise supaya menamatkan perkahwinannya dengan pelakon tinggi lampai itu.

Hari ini, Cruise adalah pelakon Hollywood berpendapatan paling tinggi, sekali gus menjadi ikon kepada Scientology, serta dikatakan menduduki jawatan kedua tertinggi dibawah pemimpin gereja sekarang, David Miscavige. Menurut laporan RadarOnline, Cruise ‘memeluk agama’ Scientology selepas beberapa kaedah yang diguna oleh gereja tersebut membantunya mengatasi penyakit dyslexia yang dihadapinya. Seorang bekas anggota Scientologis selama 27 tahun dan kini berusaha mendedahkan kepincangan ajaran tersebut, Nancy Many berkata, Cruise telah diberi layanan istimewa bagi memastikan dia benar-benar terpengaruh. ‘‘Cruise menghadapi masalah untuk membaca. Maka semasa sesi membaca, anggota gereja tidak membiarkannya seorang diri tetapi dipasangkan dengan seseorang bagi membantunya memahami buku ajaran," kata Many. Agama baru Cruise ini menjadi tajuk berita utama pada Januari 2004, setelah dia mengakui secara terbuka mengenainya. Sejak itu, dia menjadi jurucakap dan daya tarikan kepada pencari tuhan baru, malah menjadi tanda tanya apakah Cruise telah menerima jawatan pemimpin dalam gereja tersebut. Perkara itu dinafikan oleh peguamnya.

Scientology diterima sebagai sebuah pergerakan agama di Amerika Syarikat. Dilabel sebagai agama paling kontroversi, tidak difahami dan paling kritikal, suatu ajaran sesat. Ia dikatakan berakar umbi daripada elemen yang dicedok dari Buddha, Hindu dan sebilangan besar ahli falsafah Barat, termasuk aspek-aspek tertentu Kristian. Menurut kajian majalah Rolling Stones, pengikut Scientology, sama seperti Mormons atau evangelicals Kristian, menganggap diri mereka sedang melakukan suatu misi ketuhanan. Mereka kerap menuturkan ‘mahu membantu manusia’ dan misi tersebut ditekankan dalam sebilangan besar prinsip gereja tersebut. ‘‘Pengikut Scientology melihat diri mereka sebagai pemegang doktrin dan kemahiran yang boleh menyelamatkan dunia, mungkin alam semesta juga," kata Stephen Kent, profesor sosiologi di Universiti Alberta, di Kanada, yang telah mengkaji secara mendalam ajaran tersebut. Scientology diasaskan oleh seorang penulis kisah fiksyen sains, L. Ron Hubbard pada 1953. Hari ini, pegawai gereja tersebut mendakwa pengikut Scientology telah tumbuh lebih pesat dalam tempoh lima tahun lalu berbanding 50 tahun lalu. Menurut majalah Rolling Stones, beberapa bukti, menunjukkan dakwaan itu tidak benar.

Pada 2001, satu kaji selidik oleh City University of New York mendapati hanya 55,000 orang di Amerika Syarikat yang mengaku memeluk agama Scientology. Di peringkat global, terdapat pengkaji meletakkan anggaran wajar pengikut Scientology sekitar 100,000 dan 200,000 orang, kebanyakannya di Amerika Syarikat (AS), Eropah, Afrika Selatan dan Australia. Mengikut senarai orang yang menamatkan kursus induksi gereja (yang dicatat dalam penerbitan gereja itu sendiri dan juga di Internet) hanya 6,126 orang mendaftar di pusat agama pertubuhan itu di Clearwater, Florida pada 2004, jauh menurun berbanding 11,210 orang pada 1989. Angka tersebut, dianggap oleh pengkaji menunjukkan sambutan terhadap Scientology, kian menurun. Usaha Rolling Stones untuk menyiasat lebih mendalam tidak mendapat kerjasama langsung daripada gereja Scientology yang lebih suka menutup pintu kepada media. Gereja itu juga memiliki reputasi cenderung untuk memulas tangan pengkritik menerusi tindakan saman mahkamah, malah terdapat juga kes ancaman fizikal, kata Rolling Stones yang melakukan laporan penyiasatan selama sembilan bulan terhadap Scientology.

Selebriti-selebriti Hollywood sememangnya menjadi sasaran untuk direkrut oleh Scientology, disebabkan faktor yang sememangnya diketahui umum. Keterampilan dan aura selebriti memudahkan sesuatu produk dijual kepada orang ramai. Dalam konteks ini, produk yang dijual oleh Scientology adalah suatu ajaran kerohanian ciptaan penulis fiksyen sains. Antara selebriti Hollywood lain yang diakui oleh Scientology sebagai pengikut mereka ialah John Travolta dan isterinya, Kelly Preston, Giovanni Ribisi, Lisa Marie Presley, Juliette Lewis, Erika Christensen,Bijou Phillips, Elisabeth Moss Kirstie Alley. Kebanyakan mereka dididik dengan agama Kristian oleh ibu bapa masing-masing tetapi memilih ajaran baru ini setelah dewasa. Agaknya, setelah mengecap kemasyhuran dan kemewahan, ada kalangan selebriti ini hilang punca untuk mencari pegangan hidup, lalu mendakap apa sahaja yang disuakan kepada mereka. Cruise dan rakan selebriti seangkatannya tidak bercakap mengenai agama mereka secara kerap dan terbuka. Trend yang dipegang ialah ‘agamaku, hal peribadi ku’. Tidaklah dipastikan sejauh mana ada kebaikan daripada prinsip seumpamanya. Atau apakah ia lebih baik berbanding selebriti yang melaungkan diri mahu kembali kepada agama tetapi berbuat demikian dengan parti politik, walhal lebih afdal untuk mereka sertai badan agama.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Mingguan Malaysia
22 Julai 2012

ISU KESIHATAN : PENYAKIT MENTAL DALAM KALANGAN RAKYAT MALAYSIA



ADAKAH MENTAL ANDA SAKIT?

Kejadian gempar dua rakyat Malaysia mengamuk tanpa sebab di bangunan Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini benar-benar mengejutkan. Manakan tidak kerana mereka bukan merempuh banglo kecil. Ikut logik, adakah individu normal akan bertindak membawa pedang samurai dan pisau pemotong daging lalu mengamuk di tempat kawalan ketat. Kisah Khalil Afandi, 47, dan Muhdalena Ahmad , 28, tidak lain dikaitkan akibat sakit mental kerana dikatakan bermasalah kecelaruan personaliti. Khalil sukar dicam. Sekejap menjadi baik, sekejap bertukar garang. Dia mendakwa bertukar jasad, seperti filem The Highlander. Malah menganggap hero filem itu. Muhdalena digambarkan seorang peramah dan tidak pernah bermasalah kepada keluarga serta berkelulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Amukan mereka membawa psikologi pemikiran kita kepada penyakit mental yang semakin kronik dalam masyarakat moden kini. Bayangkan secara tiba-tiba abang, kakak, adik, jiran, suami atau isteri kita menjerit, ketawa, senyum, menangis tanpa sebab.

Bagaimana sekiranya rakan sepejabat kita mengamuk hanya kerana mesin fotostat rosak? Bayangkan tunang kita ketawa tidak berhenti selepas digigit semut. Bayangkan, ini semua berkaitan mental. Dalam keadaan seperti ini, sihatkah mental mereka? Nah, di sinilah kita perlu tahu penyakit mental adalah penyakit melibatkan gangguan fungsi otak yang menyebabkan perubahan proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang. Dipercayai sekurang-kurangnya seorang daripada sembilan penduduk di Malaysia sakit mental bermula daripada kemurungan hingga skizofrenia. Tidakkah ini dilihat sebagai ancaman kepada kita yang moden ini. Mengapakah rakyat kita semakin ‘gila’. Jenayah ada merata. Apakah sebabnya. Bagaimana keadaannya? Jika ditakdirkan, mental kita tidak elok lagi, ke mana harus membawa diri. Bertitik tolak dari kisah amukkan di Putrajaya,

BEZA ANTARA SIHIR DAN SAKIT MENTAL

Masyarakat kita hari ini perlu membezakan di antara penyakit mental dan sihir lantaran kebiasaan sesetengah orang yang gemar dan cenderung mengaitkan penyakit mental dengan perbuatan sihir. Pakar yang juga Pengarah, Hospital Permai Johor Bahru, Dr Abdul Kadir Abu Bakar berkata, kita tidak boleh menafikan kewujudan sihir yang mana perbuatan (atau kejadian) luar biasa dilakukan oleh manusia secara tersembunyi (ghaib) dengan membabitkan makhluk halus. Menurutnya, sehingga kini masyarakat gemar mengaitkan gangguan sihir dengan masalah mental kerana ia menjadi amalan kepercayaan sejak  turun temurun. Tetapi, sihir dan penyakit mental adalah sesuatu yang berbeza. Akibat perbuatan sihir,  pesakit akan mengalami delirium atau meracau berikutan jangkitan kuman pada otak. Apabila otak gagal berfungsi, pesakit turut berhadapan dengan masalah phrenitis atau otak membengkak. Seterusnya tidak mampu mengurus diri, sehingga menyebabkan perubahan secara drastik. Sihir membabitkan penggunaan mantera, pemujaan dan penyeruan menggunakan makhluk halus yang kemudian mempengaruhi otak  dan akhirnya mengganggu fungsi akal fikiran rasional pesakit.

Apatah lagi kekerapan dalam filem atau rancangan televisyen mengenai sihir membawa andaian psikologi yang seterusnya mengukuhkan lagi persepsi sedemikian. Beliau tidak menolak punca perbuatan sihir disebabkan dorongan perasaan iri hati, hasad dengki dan dendam seperti dalam perebutan jawatan atau hasrat memenangi hati majikan. Bagaimanapun setakat ini beliau belum menerima pesakit yang mengalami gangguan sihir dirujuk kepada pihak hospital ini. Berhubung sakit mental katanya, 12 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini  alami masalah kesihatan mental dan masih ramai yang tidak dirawat. Beliau menafikan budaya kerja di negara ini menjadi faktor penyumbang penyakit mental sebaliknya setuju bahawa bebanan tanggungjawab dalam kehidupan sosial moden hari ini seperti keruntuhan institusi keluarga  boleh menyebabkan penyakit mental. Tetapi katanya, apa yang menjadi masalah sekarang ialah masih ramai pesakit mental yang tidak mendapatkan rawatan sedangkan rawatan boleh diperoleh secara percuma.

PENYAKIT MENTAL PENYAKIT WARISAN

Rakyat Malaysia paling ramai menghidap skizofrenia iaitu sejenis penyakit mental warisan yang berlaku akibat gangguan kimia dalam otak. Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK),  Dr N Umadevi  berkata, jenis yang kedua ialah bipolar. Katanya, ini berdasarkan jumlah kehadiran pesakit yang datang untuk rawatan  di HBUK atau lebih dikenali Hospital Tanjung Rambutan, Perak. Memperincikan ciri penyakit mental paling kronik menyerang rakyat Malaysia itu, Dr Umadevi berkata, otak seseorang  yang terganggu oleh bahan kimia iaitu dophamine berlebihan, boleh  menyebabkan penyakit skizofrenia. Menurutnya, dari segi tingkah laku, pesakit skizofrenia misalnya akan mengadu bahawa orang lain tidak suka kepada dirinya, sentiasa syak wasangka, suka memencil diri dan enggan bergaul dalam masyarakat. “Mereka tidak terurus dan selalu mengalami halusinasi atau delusi seperti mendengar suara ghaib dan bisikan-bisikan, seolah-olah ada seseorang sedang bercakap mengenainya. Apabila pesakit mengalami tekanan dan tidak tahan dengan bisikan-bisikan itu, mereka akan bertindak agresif seperti menyerang orang lain kerana beranggapan mangsa mengata diri pesakit,” kata pakar berkenaan.

Sementara bipolar penYakit keturunan yang mana pesakit akan mengalami dwipolar (dua perasaan) iaitu  terlalu gembira atau terlalu sedih. “Apabila pesakit terlalu gembira, mereka akan banyak bercakap dan sukar berhenti sehingga dia menjadi terlalu letih. Rentetan keletihan itu, pesakit tidak boleh tidur tetapi muncul semangat dan tenaga sangat tinggi. Berdasarkan pengalaman saya misalnya, pernah ada pesakit berjalan kaki dari Tapah ke hospital ini sehingga kakinya bengkak. Tetapi pesakit langsung tidak berasa letih. Keadaan seperti ini, kita panggil ‘mania’ kerana pesakit terlalu gembira dan seronok. Sementara jika pesakit terlalu sedih, ia dipanggil sebagai ‘depression’ yang mana mereka yang mengalaminya sentiasa menangis, memencilkan diri, rasa bersalah dengan apa yang pernah dilakukan sebelum ini walaupun perkara itu terlalu remeh-temeh. “Ada kalanya, mereka ini mahu membunuh diri, tidak mahu bekerja atau tidak mahu makan dan sebagainya,” jelas beliau mengenai ciri-ciri skizofrenia dan bipolar yang sedang menular dalam masyarakat moden kita hari ini. 

Dr Umadevi berkata, selain bimbang kepada dua jenis penyakit mental itu, berdasarkan jumlah kehadiran pesakit secara sukarela di HBUK, turut menunjukkan pesakit mental semakin kronik dan  sekali gus bermakna rakyat di negara ini ramai sedang bermasalah kesihatan mental. Malah beliau tidak menafikan bahawa sakit mental menjadi penyakit global pada masa depan kerana masyarakat semakin banyak terdedah dengan stres melampau. “Pada masa depan, saya percaya lebih ramai pesakit akan berjumpa pakar psikiatri akibat stres dan kemurungan. Kemudian, penyakit kerisauan atau ‘anxiety disorder’ iaitu seseorang yang sentiasa gelisah, panik dan gugup. Begitu juga ‘sustance induced disorder’ iaitu penyakit yang disebabkan oleh pengambilan dadah, gam dan alkohol. “Seperti kita maklum, sakit mental boleh disebabkan keturunan, gangguan bahan kimia dan kemalangan akibat hentakan kuat. Katanya, perlu diingat bahawa penyebab paling tinggi penyakit mental di Malaysia adalah akibat gangguan bahan kimia dalam otak terutama individu yang mengalami stres atau tekanan melampau.

“Saya beri contoh, seorang ayah terpaksa bekerja untuk isteri dan anak-anaknya. Ketika di tempat kerja, si ayah perlu beri perhatian  100 peratus dan begitu juga  di rumah. Kemudian keadaan di mana anak-anak sakit yang akhirnya mendatangkan stres. Lelaki pula biasanya malu untuk meminta pertolongan dan mereka cuba mencari penyelesaian sendiri seperti menghisap rokok, minum alkohol dan mengambil dadah. Selain stres, pengambilan dadah terutama dadah sintetik seperti syabu secara kerap dan berterusan juga antara faktor penyebab seseorang itu sakit mental khususnya golongan muda. Begitu juga penghisap gam kerana kandungan phencycledine iaitu sejenis perangsang yang boleh merosakkan otak," katanya. Begitu malang apabila negara kita diserang oleh pesakit skizofrenia dan bipola kerana penyakit mental seperti itu atau juga penyakit lain sesungguhnya tidak boleh sembuh sebetulnya tetapi hanya boleh dirawat dan dikawal menggunakan ubatan serta kaunseling. Bayangkan keadaan Malaysia hari ini dan dibimbangi keadaan akan menjadi buruk sekiranya ramai yang terlibat dadah berikutan dadah memberikan implikasi lebih teruk dan menyebabkan ia lebih sukar untuk dirawat.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Sinar Harian
23 Julai 2012

21 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : TINGKATAN ENAM BUKAN LAGI PILIHAN TERAKHIR


Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin


Sejak dulu, tingkatan enam sering diklasifikasikan sebagai pendidikan sukar dan menjadi pilihan terakhir pelajar yang tidak berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi atau matrikulasi. Begitu banyak definisi diberikan hingga menimbulkan justifikasi berbeza masyarakat menyebabkan tingkatan enam malap dan terpinggir. Bagaimanapun, ada cadangan untuk memberi wajah baru kepada tingkatan enam baru - baru ini membabitkan dimensi dan nafas baru terhadap pendidikan berkenaan. Menerusi imej baru cadangan penstrukturan semula, ia juga dianggap sebagai tanda terima kasih kepada tingkatan enam yang selama ini menjadi penyelamat khususnya pelajar yang ingin menjejakkan kaki ke menara gading. Persoalannya, adakah dengan pembaharuan bakal dilaksanakan itu, tingkatan enam mampu menarik kembali ramai pelajar untuk meneruskan pengajian atau sebaliknya?

Ketua Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Sohaimi Lazim berkata, penjenamaan semula berkenaan tepat masanya bagi memberi ‘cahaya’ baru kepada tingkatan enam dan perlu segera dilaksanakan. Menurutnya, sumbangan tingkatan enam kepada sistem pendidikan negara cukup besar dan wajah baru itu boleh ‘mengingatkan’ kembali masyarakat, jasa-jasa yang sudah dicurahkan selama ini. “Dulu tingkatan enam dianggap sebagai pendidikan berprestij dan hanya untuk pelajar yang terpilih saja. Fungsinya cukup besar terutama membantu pelajar melangkah alam pendidikan tinggi. Malangnya, kini tingkatan enam hanya dianggap sebagai pilihan terakhir dan gagal menarik minat pelajar. Ditambah pula dengan pelbagai tanggapan negatif. Justeru penjenamaan semula ini langkah tepat untuk ‘menghidupkan’ kembali tingkatan enam sekali gus menjadikannya sebagai salah satu proses kesinambungan pendidikan ke menara gading,” katanya.

Beliau menegaskan sama ada ke tingkatan enam atau tidak, setiap peranan yang dimodulkan melalui sistem pendidikan negara mempunyai kepentingan masing-masing. Pandangan skeptikal masyarakatlah katanya, menyebabkan ia dikelaskan sebagai pembaziran dan kelas kedua sekali gus bertentangan dengan kehendak pendidikan berterusan. “Secara amnya, setiap pendidikan sama ada bertaraf tinggi atau rendah tidak wajar dinilai mengikut spesifikasi tertentu kerana fungsi setiap daripadanya tetap sama iaitu memberi pendidikan. Namun ramai seperti menganaktirikan tingkatan enam menyebabkan ia sering kali diberi penilaian negatif.  Justeru penstrukturan serta pemberian imej baru ini diharap mampu menghapuskan pandangan skeptikal itu dan menjadikan tingkatan enam sebagai salah satu wadah pendidikan terbaik negara,” katanya. Penstrukturan imej baru tingkatan enam seperti dilaporkan akhbar baru - baru ini dianggap sebagai landasan awal untuk meninggikan lagi penerimaan masyarakat sejajar sistem pendidikan pra universiti.

Antara cadangannya ialah menyatukan tingkatan enam, jadual waktu, guru dan pakaian berbeza serta dipisahkan dari sekolah biasa. Menurutnya, penstrukturan baru itu boleh menarik dan meningkatkan imej tingkatan enam biarpun selama ini pendidikan berkenaan kurang popular. “Ini kerana pelajar kebanyakannya berminat memohon untuk memasuki kolej atau menara gading bagi melanjutkan pengajian kerana dianggap lebih menjamin peluang kemasukan ke universiti. Pada masa sama tanggapan ia susah dan membazir sentiasa membelenggu minda masyarakat menyebabkan kurang sambutan.  Padahal fungsi pembelajaran dan tujuan asasnya tetap sama. Hanya disebabkan ia di sekolah bukan di kolej menjadikan tingkatan enam masih disamakan seperti pendidikan di sekolah,” katanya menambah cabaran belajar di mana - mana pun tetap serupa. Sama ada di sekolah atau menara gading, pembelajaran adalah proses berterusan yang memerlukan seseorang fokus. Jangan berikan alasan belajar di menara gading atau matrikulasi boleh menjamin masa depan. Semuanya bergantung pada sikap dan di mana - mana saja seseorang boleh mencipta kejayaan,” katanya.

Ditanya antara faktor tingkatan enam kurang mendapat sambutan, beliau berkata subjek dikatakan sukar, peluang sukar memasuki institusi pengajian tinggi dan hanya membuang masa berbanding diploma adalah puncanya. “Apabila ramai berkata demikian, secara tidak langsung mematikan minat pelajar untuk meneruskan pengajian. Mungkin pengisiannya lebih meluas namun bersesuaian dengan fungsinya sebagai pendidikan pra universiti. Dengan kata lain, di sinilah ilmu berdikari dipelajari sama seperti di menara gading. Jadi tidak adil kalau pelajar tidak didedahkan dengan proses pembelajaran seperti itu,” katanya. Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia UPSI, Profesor Dr Othman Lebar pula beranggapan sistem pendidikan tingkatan enam yang dilaksanakan di sekolah adalah antara punca utama ia disalah anggap. Menurutnya, ramai menyangka tingkatan enam adalah kesinambungan proses pembelajaran di tingkatan lima apatah lagi dilakukan di sekolah. “Ini menyebabkan mereka ‘bosan’ dan tidak tertarik sekali gus mencari alternatif lain bagi melanjutkan pengajian. Sepatutnya tingkatan enam perlu diasingkan dengan ciri berbeza supaya pelajar dapat merasai keistimewaannya selain disuntik dengan elemen tertentu. Apabila ada kelainan, tentu ada tarikan. Perlu ada penegasan dan pemberitahuan bahawa tingkatan enam adalah pendidikan berkonsepkan pra universiti bukan sekolah,” katanya.

Setiap pendekatan yang digunakan perlu lebih menjurus kepada cara pendidikan peringkat tinggi supaya pada masa sama pelajar boleh berfikir dan bertindak bukan seperti pelajar sekolah. “Sejak dulu, tingkatan enam diiktiraf setara dengan pendidikan tinggi, malangnya kerana ia banyak dilaksanakan di sekolah, ‘perasaan’ seperti pelajar sekolah masih wujud. Padahal pendidikan itu adalah peringkat tinggi. Saya percaya memang sudah tiba masanya tingkatan enam diberi penjenamaan semula. Sekali gus mengembalikan semula kegemilangannya yang sudah banyak berjasa melahirkan golongan berpendidikan tinggi sebelum ini,” katanya.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
15 Julai 2012


20 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : KEWAJARAN BAWA TELEFON BIMBIT KE SEKOLAH


Rencana ini ditulis oleh :
Fauziah Arof
Wartawan Utusan


Macam-macam reaksi daripada pelbagai pihak apabila Kementerian Pelajaran mengambil langkah merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang membolehkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan. Bagi pelajar-pelajar , tentunya menganggap langkah ini sebagai suatu kemudahan yang ‘menyeronokkan’ dan ditunggu-tunggu manakala golongan ibu bapa ada yang merasa lega kerana boleh mengikuti perkembangan anak mereka di sekolah dan pada masa sama tidak kurang ramai juga bimbang dengan kesannya kepada anak-anak apabila membawa alat komunikasi itu ke sekolah. Pertama, bimbang disalah guna kemudahan tersebut. Yang keduanya, apabila berlakunya kecurian atau kehilangan gajet berharga itu. Draf peraturan membenarkan penggunaan telefon bimbit ini dirangka selari dengan perkembangan semasa serta mengambil kira faktor keselamatan pelajar, tambahan sebelum ini, pihak ibu bapa sudah beberapa kali meminta kementerian agar membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bagi membolehkan mereka mengawasi pergerakan anak mereka.

Sememangnya ada baik dan tidak baiknya membawa telefon bimbit ke sekolah. Dari segi baiknya, tentu ia memudahkan ibu bapa untuk mengesan anak mereka terutamanya selepas waktu sekolah. Ada ketikanya anak-anak terlepas bas sekolah mungkin kerana lambat keluar kelas dan tidak memaklumkan kepada pemandu bas terlebih dahulu. Tidak kurang juga yang nakal dan suka berpeleseran selepas waktu sekolah. Saya pernah diminta oleh anak saya yang bersekolah rendah menghantar kawannya pulang ke rumah kerana kawannya itu terlepas bas. Ini disebabkan semua murid di dalam kelasnya dihukum balik lewat sedikit setelah gagal menyiapkan kerja rumah yang diberi. Mujur saya tidak bekerja ketika itu. Kediaman saya yang amat dekat dengan sekolah tidak memerlukan anak saya untuk menaiki bas. Sampai di rumah saya, kawannya itu yang menangis kerana panik meminjam telefon bimbit saya memberitahu ibunya di tempat kerja yang dia terlepas bas dan saya akan menghantarnya.

Saya merasa gusar, rasa marah pun ada. Kenapalah cikgu boleh membuat hukuman sebegitu tanpa memikirkan pelajar-pelajar yang menaiki bas sekolah. Siapa yang akan menghantar mereka sekiranya terlepas bas? Jika dibiar pelajar ini ‘bersidai’ menunggu penjaganya mengambilnya pulang di depan sekolah dalam suasana yang agak sunyi, semua pelajar telah pulang, kita bimbang ada pihak lain yang tidak bertanggungjawab pula menawarkan khidmat untuk menghantar pelajar ini pulang ke rumah. Dalam situasi seperti ini telefon bimbit amat diperlukan. Memang ada telefon awam disediakan di sekolah tetapi tidak semua diselenggara dengan baik, lama dibiarkan rosak dan tidak banyak pula kemudahan itu. Dalam pada itu, jangan terkejut ramai juga pelajar sekolah terutamanya di peringkat rendah yang tidak tahu menggunakan telefon awam. Tetapi dari sudut tidak baiknya, kita juga bimbang telefon tersebut akan disalahguna pelajar. Kemudahan ini digunakan untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sesama kawan di dalam kelas atau luar kelas, melayari Internet pada waktu sekolah, mengemas kini status di Facebook, twitter, merakamkan perbuatan kawan-kawan dan guru-guru dan sebagainya.

Pada masa sama, para guru bukan sahaja berhadapan dengan cabaran mengawal pelajar sekolah ini daripada menyalahguna telefon bimbit di sekolah tetapi terpaksa melayani masalah kehilangan telefon bimbit itu. Kehilangan gajet ini juga mungkin membuatkan pelajar-pelajar terbabit menuduh antara satu dengan lain sehingga berlakunya pergaduhan dan bermacam-macam lagi kesan daripada kehilangannya. Pada masa sama, pelajar-pelajar yang tidak ada telefon bimbit dan iPad, mula merengek meminta ibu bapa membelikan telefon bimbit kerana melihat kawan-kawan memilikinya dan membawa ke sekolah. Yang lagi haru, mereka mahu yang lebih canggih daripada kawan-kawan dengan niat berlawan-lawan, telefon siapa yang lebih up to date. Saya tidak pasti apakah peraturan-peraturan ketat yang akan digunakan kementerian dalam mengawal penggunaan telefon bimbit ini. Tetapi sudah pastinya draf yang sedang dirangka itu perlu mengambil kira kesan-kesan yang tidak baik ini.

Kita mahu tahu hadnya, bila waktu telefon bimbit ini boleh digunakan dan bagaimana pihak sekolah dapat mengawal penggunaannya. Pelaksanaan peraturan-peraturan berkaitannya pun perlu tegas dan perlu dipatuhi. Sedangkan peraturan sedia ada yang melarang pelajar sekolah membawa telefon bimbit, ramai juga yang melanggarnya dengan membawanya secara sorok-sorok. Kita bimbang peraturan yang ada jika tidak dilaksanakan secara tegas, tidak memberi apa-apa makna, sedangkan orang dewasa pun sukar untuk mematuhi peraturan.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Julai 2012