Rencana ini ditulis oleh :
DATUK AHMAD KHUSAIRI YAHAYA
Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan
dan Penyelidikan SPRM
Keseriusan kerajaan dalam meningkatkan
integriti dan mengekang jenayah rasuah di kalangan pegawai awam jelas menerusi
pelaksanaan pelbagai dasar dan program yang diperkenalkan sejak sedekad lalu. Antaranya
menjadikan rasuah sebagai salah satu daripada bidang penting yang ditekankan
dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP). Untuk itu, sebanyak 27 inisiatif telah
dan sedang dilaksanakan dengan giatnya menerusi Bidang Keberhasilan Utama
Negara atau NKRA Berkaitan Rasuah. Apa yang menjadi faktor paling kritikal
dalam memastikan usaha meningkatkan tahap integriti perkhidmatan awam,
sebenarnya bukanlah terletak pada hanya kesungguhan kerajaan. Kesungguhan itu
juga perlu datang dari kepimpinan agensi kerajaan dan menuntut semua lapisan
warganya untuk berubah. Sejak kebelakangan ini, terdapat perubahan yang boleh
dibanggakan ditunjukkan oleh kalangan anggota perkhidmatan awam berbanding
sedekad lalu. Hakikatnya, tahap kesedaran para pegawai awam terhadap integriti
dan semangat anti-rasuah jelas meningkat. Namun demikian, masih banyak ruang
boleh diperbaiki untuk menjadikannya unggul di kaca mata masyarakat.
Berdasarkan perangkaan SPRM sepanjang
sembilan tahun iaitu 2003 hingga 2011, secara keseluruhannya, purata tangkapan
ke atas penjawat awam adalah seramai 260 orang setahun. Berbanding jumlah
keseluruhan penjawat awam di Malaysia iaitu 1.4 juta orang, peratusannya adalah
terlalu kecil iaitu sekitar 0.018 peratus sahaja. Walaupun kelihatan kecil
namun jika tidak dibendung ia mampu meruntuhkan negara. Pegawai awam dilihat
mempunyai kuasa dan kuasa ini jika disalahgunakan boleh mengakibatkan kesan
yang amat buruk. Trend perubahan ke arah pembudayaan integriti dan anti-rasuah
di kalangan pegawai awam jelas ketara bermula 2009. Terdapat pengurangan yang
jelas dari segi jumlah tangkapan ke atas penjawat awam berbanding tangkapan ke
atas sektor swasta dan orang awam. Kempen Perangi Pemberi Rasuah benar-benar
menghasilkan impak yang besar dalam sejarah pencegahan rasuah di negara ini.
Sejak pelancarannya pada 2009, jumlah penjawat awam dan swasta yang ditangkap
kerana cuba menyogok pegawai awam melonjak begitu tinggi. Dalam 2009 misalnya,
jumlah tangkapan keseluruhan SPRM ialah seramai 500 orang kerana ditangkap cuba
memberi rasuah seramai 98 orang. Melonjak melebihi empat kali ganda iaitu
seramai 424 orang dalam 2010 dan 389 orang dalam 2011. Jumlah wang sogokan
bermula dari RM50 ke angka RM1 juta.
Perubahan BPR kepada SPRM dalam 2009
sebenarnya membawa kepada perubahan dari segi pendekatan dan strategi
pencegahan rasuah di negara ini. SPRM menetapkan tiga bidang utama iaitu
penguatkuasaan, perolehan (sebut harga dan tender awam) dan projek mega
kerajaan sebagai fokus utamanya. Beberapa kelemahan yang selama ini menghalang
usaha pencegahan rasuah dikenal pasti, antaranya tanggapan bahawa tanggungjawab
memerangi rasuah terletak di tangan SPRM semata-mata, kurangnya inisiatif
agensi awam untuk mencegah rasuah; mekanisme kawalan dalaman yang longgar dan
tidak sempurna dan kesalahan rasuah tidak dianggap sebagai kesalahan berat bagi
kes tatatertib. Terdapat segelintir ketua yang menganggap tugas mencegah rasuah
adalah tanggungjawab SPRM. Justeru, pembudayaan integriti dan pencegahan rasuah
bukan merupakan agenda utama. Yang lebih penting menjaga suasana harmoni dan
semangat esprit de corp di kalangan pegawai/staf. Jika tindakan keras diambil
dan pembudayaan anti-rasuah menjadi berkesan maka ia kononnya akan mewujudkan
suasana kurang selesa dan syak wasangka sesama anggota.
Perkara yang lebih disesalkan ialah
sikap kasihan kepada pesalah rasuah masih menjadi asas pertimbangan dalam
proses tindakan tatatertib. Bagi SPRM, siasatan sesuatu kes tidak hanya
berakhir dengan tindakan menghadapkan suspek ke mahkamah semata-mata.
Sebaliknya, banyak kes yang disiasat SPRM dikemukakan sebagai Laporan SPRM
untuk tindakan tatatertib. Namun, atas dasar simpati, suspek-suspek ini
terlepas daripada hukuman berat seperti ditamatkan perkhidmatan dan hanya
diberikan surat teguran atau amaran sahaja. Perangkaan SPRM sepanjang 10 tahun
lalu berhubung kes tatatertib jelas menunjukkan sebanyak 1,957 laporan
dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib Agensi. Daripada jumlah itu, hanya
60 kes dikenakan hukuman buang kerja. Sebaliknya, 979 atau 50% dikenakan surat
amaran yang tidak mendatangkan apa-apa kesan deterrent. Ini jelas menunjukkan
tiada istilah serius dalam kes-kes yang melibatkan perbuatan jenayah rasuah. Cabaran
utama yang perlu diperbaiki dalam memastikan kelangsungan program pemantapan
integriti dan pencegahan rasuah dalam perkhidmatan awam adalah melibatkan dua
pendekatan strategik yang dikenal pasti SPRM iaitu memperkasakan entiti kawalan
dalaman agensi awam dan memperkukuhkan SPRM.
Justeru, dalam konteks memperkasakan
entiti kawalan dalaman agensi awam, SPRM telah mencadangkan kepada kerajaan
untuk mewujudkan model pencegahan rasuah yang berbentuk kawalan dalaman
menerusi penubuhan Unit Integriti di kementerian, jabatan Persekutuan dan
negeri. Model unit ini sama seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan. Di AS
ia lebih dikenali sebagai Inspector General Office (IGO). Unit ini diwujudkan
di jabatan-jabatan berisiko tinggi dan bertanggungjawab sepenuhnya memantau dan
menjalankan siasatan ke atas kes-kes berkaitan integriti, rasuah dan lain-lain
jenayah yang melibatkan warga agensi terbabit. Mengambil contoh di AS, unit
integriti New York Police Department (NYPD) ditubuhkan dengan keanggotaan
seramai 700 orang bagi memantau 35,000 pegawai polis di NYPD iaitu nisbah 1:50
manakala Pihak Berkuasa Pelabuhan New York mempunyai keanggotaan 70 orang bagi
memantau 7,000 pekerjanya iaitu nisbah 1:100. Idea berhubung penubuhan Unit
Integriti di agensi-agensi kerajaan ini disambut baik. Buat masa ini, empat
agensi telah mewujudkan unit ini iaitu Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan
Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pengangkutan Jalan dan SPRM sendiri.
Pegawai-pegawai SPRM akan dilantik dan ditempatkan sebagai Ketua Unit Integriti
di agensi-agensi terbabit.
Perubahan status daripada BPR ke SPRM
dalam 2009 sebenarnya selari dengan perubahan besar kepada budaya kerja dan
sistem operasi SPRM secara keseluruhannya. Bermula dengan Pelan Strategik SPRM
2011-2013, tiga bidang utama diperkukuhkan termasuk memperkenalkan sistem
pengurusan siasatan berkesan, sistem pengurusan pencegahan dan pendidikan berkesan
dan pembangunan serta pemantapan modal insan SPRM secara menyeluruh. Jawatankuasa
Eksekutif Transformasi yang terdiri daripada ahli-ahli Lembaga Penasihat SPRM
dibentuk bagi memacu proses transformasi. Kesan kepada proses transformasi ini
jelas memantapkan SPRM dari segi memperbaiki struktur organisasi,
memperkenalkan sistem pengurusan modal insan berdasarkan kompetensi,
memperkenalkan sistem pengurusan bakat yang fleksibel dan membawa masuk tenaga
pakar yang berkepakaran tinggi bagi meningkatkan operasi SPRM.
Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.
Sumber
Harian Metro
22 Julai 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan