Rencana ini ditulis oleh :
Fauziah Arof
Wartawan Utusan
Macam-macam reaksi daripada pelbagai
pihak apabila Kementerian Pelajaran mengambil langkah merangka Draf Peraturan
Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang membolehkan pelajar membawa telefon
bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan. Bagi pelajar-pelajar , tentunya
menganggap langkah ini sebagai suatu kemudahan yang ‘menyeronokkan’ dan
ditunggu-tunggu manakala golongan ibu bapa ada yang merasa lega kerana boleh
mengikuti perkembangan anak mereka di sekolah dan pada masa sama tidak kurang
ramai juga bimbang dengan kesannya kepada anak-anak apabila membawa alat
komunikasi itu ke sekolah. Pertama, bimbang disalah guna kemudahan tersebut.
Yang keduanya, apabila berlakunya kecurian atau kehilangan gajet berharga itu. Draf
peraturan membenarkan penggunaan telefon bimbit ini dirangka selari dengan
perkembangan semasa serta mengambil kira faktor keselamatan pelajar, tambahan
sebelum ini, pihak ibu bapa sudah beberapa kali meminta kementerian agar
membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bagi membolehkan mereka mengawasi
pergerakan anak mereka.
Sememangnya ada baik dan tidak baiknya
membawa telefon bimbit ke sekolah. Dari segi baiknya, tentu ia memudahkan ibu
bapa untuk mengesan anak mereka terutamanya selepas waktu sekolah. Ada
ketikanya anak-anak terlepas bas sekolah mungkin kerana lambat keluar kelas dan
tidak memaklumkan kepada pemandu bas terlebih dahulu. Tidak kurang juga yang
nakal dan suka berpeleseran selepas waktu sekolah. Saya pernah diminta oleh
anak saya yang bersekolah rendah menghantar kawannya pulang ke rumah kerana
kawannya itu terlepas bas. Ini disebabkan semua murid di dalam kelasnya dihukum
balik lewat sedikit setelah gagal menyiapkan kerja rumah yang diberi. Mujur
saya tidak bekerja ketika itu. Kediaman saya yang amat dekat dengan sekolah
tidak memerlukan anak saya untuk menaiki bas. Sampai di rumah saya, kawannya
itu yang menangis kerana panik meminjam telefon bimbit saya memberitahu ibunya
di tempat kerja yang dia terlepas bas dan saya akan menghantarnya.
Saya merasa gusar, rasa marah pun ada.
Kenapalah cikgu boleh membuat hukuman sebegitu tanpa memikirkan pelajar-pelajar
yang menaiki bas sekolah. Siapa yang akan menghantar mereka sekiranya terlepas
bas? Jika dibiar pelajar ini ‘bersidai’ menunggu penjaganya mengambilnya pulang
di depan sekolah dalam suasana yang agak sunyi, semua pelajar telah pulang,
kita bimbang ada pihak lain yang tidak bertanggungjawab pula menawarkan khidmat
untuk menghantar pelajar ini pulang ke rumah. Dalam situasi seperti ini telefon
bimbit amat diperlukan. Memang ada telefon awam disediakan di sekolah tetapi
tidak semua diselenggara dengan baik, lama dibiarkan rosak dan tidak banyak
pula kemudahan itu. Dalam pada itu, jangan terkejut ramai juga pelajar sekolah
terutamanya di peringkat rendah yang tidak tahu menggunakan telefon awam. Tetapi
dari sudut tidak baiknya, kita juga bimbang telefon tersebut akan disalahguna
pelajar. Kemudahan ini digunakan untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS)
sesama kawan di dalam kelas atau luar kelas, melayari Internet pada waktu
sekolah, mengemas kini status di Facebook, twitter, merakamkan perbuatan
kawan-kawan dan guru-guru dan sebagainya.
Pada masa sama, para guru bukan sahaja
berhadapan dengan cabaran mengawal pelajar sekolah ini daripada menyalahguna
telefon bimbit di sekolah tetapi terpaksa melayani masalah kehilangan telefon
bimbit itu. Kehilangan gajet ini juga mungkin membuatkan pelajar-pelajar
terbabit menuduh antara satu dengan lain sehingga berlakunya pergaduhan dan
bermacam-macam lagi kesan daripada kehilangannya. Pada masa sama,
pelajar-pelajar yang tidak ada telefon bimbit dan iPad, mula merengek meminta
ibu bapa membelikan telefon bimbit kerana melihat kawan-kawan memilikinya dan
membawa ke sekolah. Yang lagi haru, mereka mahu yang lebih canggih daripada
kawan-kawan dengan niat berlawan-lawan, telefon siapa yang lebih up to date. Saya
tidak pasti apakah peraturan-peraturan ketat yang akan digunakan kementerian
dalam mengawal penggunaan telefon bimbit ini. Tetapi sudah pastinya draf yang
sedang dirangka itu perlu mengambil kira kesan-kesan yang tidak baik ini.
Kita mahu tahu hadnya, bila waktu
telefon bimbit ini boleh digunakan dan bagaimana pihak sekolah dapat mengawal
penggunaannya. Pelaksanaan peraturan-peraturan berkaitannya pun perlu tegas dan
perlu dipatuhi. Sedangkan peraturan sedia ada yang melarang pelajar sekolah
membawa telefon bimbit, ramai juga yang melanggarnya dengan membawanya secara
sorok-sorok. Kita bimbang peraturan yang ada jika tidak dilaksanakan secara
tegas, tidak memberi apa-apa makna, sedangkan orang dewasa pun sukar untuk
mematuhi peraturan.
Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
18 Julai 2012
1 ulasan:
masalah pelajar tinggal bas sekolah tel public ada,jgn fikir untuk mudah ibubapa sahaja,fikirla untuk guru etek,kalau bawa tel masalah guru akan timbul,tak bawa tel sekarang nie pun berbagai masalah didiplin berlaku disekolah,jadi saya tidak sokong 100% pelajar bawa tel kesekolah,ok
Catat Ulasan