Rencana ini ditulis oleh :
Johardy Ibrahim
Kes perceraian pelakon terkenal, Tom
Cruise dengan Katie Holmes pada 29 Jun lalu, mungkin dianggap kelaziman
selebriti Hollywood masa kini. Apatah lagi, dunia hiburan Malaysia juga tidak
terkecuali. Setiap bulan ada sahaja pasangan yang berpisah. Jadi mengapa kita
perlu peduli pun? Kelainan pada kes TomCat (nama jolokan media terhadap
pasangan ini) perpisahan mereka bukan dikaitkan dengan orang ketiga atau
kecurangan atau mengguna istilah peguam cerai ‘tiada persefahaman yang boleh
diselamatkan lagi’. Sebaliknya, media-media Amerika Syarikat (AS) cenderung
mengaitkannya dengan penolakan Katie terhadap kepercayaan Tom yang menjadi
pengikut ajaran Church of Scientology atau Gereja Saintologi yang disifatkan
oleh majoriti penduduk Kristian di AS sebagai ajaran sesat. Katie dikatakan amat
bimbang masa depan anak mereka, Suri yang berusia enam tahun dipengaruhi oleh
amalan dan pegangan Cruise yang begitu taksub dengan Scientology. Sekarang,
Katie dilaporkan memasang pengawal peribadi, bimbang diganggu pengikut
Scientology dan terutama, keselamatan Suri kerana ia juga bermulanya
‘peperangan’ dengan Cruise untuk mendapatkan hak penjagaan.
Menurut The Huffington Post, Cruise
memang sudah mencapai status bintang filem semasa pertama kali diperkenalkan
kepada Scientology. Dengan filem laris seperti ‘Risky Business’ dan ‘Top Gun’,
status selebriti Cruise pantas terbina, menjadikannya sasaran utama untuk
direkrut oleh Scientology. Cruise diperkenalkan kepada Scientology pada lewat
1980-an oleh isteri pertamanya, Mimi Rogers menerusi bapanya, Phil Spickler,
yang merupakan antara anggota Scientology paling berpengaruh pada tahun-tahun
awal penubuhannya. Cruise bercerai dengan Rogers pada Februari 1990 dan
kemudian berkahwin dengan Nicole Kidman pada Disember tahun yang sama. Selama
bertahun-tahun, kisah Cruise menyertai ajaran sesat Scientology tidak menjadi
sensasi sehinggalah detik perceraiannya dengan Kidman pada 2011. Kidman
dilaporkan tidak pernah menyokong Scientology dan banyak pihak mendakwa
pegawai-pegawai gereja tersebut memanipulasikan Cruise supaya menamatkan
perkahwinannya dengan pelakon tinggi lampai itu.
Hari ini, Cruise adalah pelakon
Hollywood berpendapatan paling tinggi, sekali gus menjadi ikon kepada
Scientology, serta dikatakan menduduki jawatan kedua tertinggi dibawah pemimpin
gereja sekarang, David Miscavige. Menurut laporan RadarOnline, Cruise ‘memeluk
agama’ Scientology selepas beberapa kaedah yang diguna oleh gereja tersebut
membantunya mengatasi penyakit dyslexia yang dihadapinya. Seorang bekas anggota
Scientologis selama 27 tahun dan kini berusaha mendedahkan kepincangan ajaran
tersebut, Nancy Many berkata, Cruise telah diberi layanan istimewa bagi
memastikan dia benar-benar terpengaruh. ‘‘Cruise menghadapi masalah untuk
membaca. Maka semasa sesi membaca, anggota gereja tidak membiarkannya seorang
diri tetapi dipasangkan dengan seseorang bagi membantunya memahami buku
ajaran," kata Many. Agama baru Cruise ini menjadi tajuk berita utama pada
Januari 2004, setelah dia mengakui secara terbuka mengenainya. Sejak itu, dia
menjadi jurucakap dan daya tarikan kepada pencari tuhan baru, malah menjadi
tanda tanya apakah Cruise telah menerima jawatan pemimpin dalam gereja
tersebut. Perkara itu dinafikan oleh peguamnya.
Scientology diterima sebagai sebuah
pergerakan agama di Amerika Syarikat. Dilabel sebagai agama paling kontroversi,
tidak difahami dan paling kritikal, suatu ajaran sesat. Ia dikatakan berakar
umbi daripada elemen yang dicedok dari Buddha, Hindu dan sebilangan besar ahli
falsafah Barat, termasuk aspek-aspek tertentu Kristian. Menurut kajian majalah
Rolling Stones, pengikut Scientology, sama seperti Mormons atau evangelicals
Kristian, menganggap diri mereka sedang melakukan suatu misi ketuhanan. Mereka
kerap menuturkan ‘mahu membantu manusia’ dan misi tersebut ditekankan dalam
sebilangan besar prinsip gereja tersebut. ‘‘Pengikut Scientology melihat diri
mereka sebagai pemegang doktrin dan kemahiran yang boleh menyelamatkan dunia,
mungkin alam semesta juga," kata Stephen Kent, profesor sosiologi di
Universiti Alberta, di Kanada, yang telah mengkaji secara mendalam ajaran
tersebut. Scientology diasaskan oleh seorang penulis kisah fiksyen sains, L.
Ron Hubbard pada 1953. Hari ini, pegawai gereja tersebut mendakwa pengikut
Scientology telah tumbuh lebih pesat dalam tempoh lima tahun lalu berbanding 50
tahun lalu. Menurut majalah Rolling Stones, beberapa bukti, menunjukkan dakwaan
itu tidak benar.
Pada 2001, satu kaji selidik oleh City
University of New York mendapati hanya 55,000 orang di Amerika Syarikat yang
mengaku memeluk agama Scientology. Di peringkat global, terdapat pengkaji
meletakkan anggaran wajar pengikut Scientology sekitar 100,000 dan 200,000
orang, kebanyakannya di Amerika Syarikat (AS), Eropah, Afrika Selatan dan
Australia. Mengikut senarai orang yang menamatkan kursus induksi gereja (yang
dicatat dalam penerbitan gereja itu sendiri dan juga di Internet) hanya 6,126
orang mendaftar di pusat agama pertubuhan itu di Clearwater, Florida pada 2004,
jauh menurun berbanding 11,210 orang pada 1989. Angka tersebut, dianggap oleh
pengkaji menunjukkan sambutan terhadap Scientology, kian menurun. Usaha Rolling
Stones untuk menyiasat lebih mendalam tidak mendapat kerjasama langsung
daripada gereja Scientology yang lebih suka menutup pintu kepada media. Gereja
itu juga memiliki reputasi cenderung untuk memulas tangan pengkritik menerusi
tindakan saman mahkamah, malah terdapat juga kes ancaman fizikal, kata Rolling
Stones yang melakukan laporan penyiasatan selama sembilan bulan terhadap
Scientology.
Selebriti-selebriti Hollywood
sememangnya menjadi sasaran untuk direkrut oleh Scientology, disebabkan faktor
yang sememangnya diketahui umum. Keterampilan dan aura selebriti memudahkan
sesuatu produk dijual kepada orang ramai. Dalam konteks ini, produk yang dijual
oleh Scientology adalah suatu ajaran kerohanian ciptaan penulis fiksyen sains. Antara
selebriti Hollywood lain yang diakui oleh Scientology sebagai pengikut mereka
ialah John Travolta dan isterinya, Kelly Preston, Giovanni Ribisi, Lisa Marie
Presley, Juliette Lewis, Erika Christensen,Bijou Phillips, Elisabeth Moss
Kirstie Alley. Kebanyakan mereka dididik dengan agama Kristian oleh ibu bapa masing-masing
tetapi memilih ajaran baru ini setelah dewasa. Agaknya, setelah mengecap
kemasyhuran dan kemewahan, ada kalangan selebriti ini hilang punca untuk
mencari pegangan hidup, lalu mendakap apa sahaja yang disuakan kepada mereka. Cruise
dan rakan selebriti seangkatannya tidak bercakap mengenai agama mereka secara
kerap dan terbuka. Trend yang dipegang ialah ‘agamaku, hal peribadi ku’. Tidaklah
dipastikan sejauh mana ada kebaikan daripada prinsip seumpamanya. Atau apakah
ia lebih baik berbanding selebriti yang melaungkan diri mahu kembali kepada
agama tetapi berbuat demikian dengan parti politik, walhal lebih afdal untuk
mereka sertai badan agama.
Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.
Sumber
Mingguan Malaysia
22 Julai 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan