Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin
Biarpun baru memasuki frasa cadangan,
isu sama ada membenarkan atau tidak pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah
tahun depan pantas mendapat reaksi berbeza. Pelbagai pendapat pro dan kontra
dibentangkan selain melihatnya secara positif atau sebaliknya dengan pendapat
masing-masing. Hakikatnya, isu berkenaan bukan baru malah sebelum ini sudah ada
cadangan melaksanakannya namun tidak menjadi kenyataan. Yang menjadi teras
persoalan ialah apakah kebaikan atau keburukan bakal dihadapi sekiranya ia
direalisasikan mahupun jika tidak berjaya dilaksanakan. Pensyarah Kanan Jabatan
Pengurusan Sumber dan Pengajian Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia,
Zuroni Md Jusoh berkata, senario berkenaan wajar dilihat secara menyeluruh agar
tidak menjadi penyesalan masa depan apatah lagi membabitkan perubahan drastik
pola kehidupan pelajar, guru dan sekolah.
Menurutnya, institusi sekolah biarpun
tertakluk pada dasar ditetapkan namun pendekatan bersesuaian harus diambil kira
dan diteliti supaya tidak menyusahkan mana-mana pihak. “Sekolah keseluruhannya
adalah aspek terpenting jika ingin melaksanakan atau tidak cadangan ini kerana
sebarang tindakan diambil pasti merombak atau merubah situasi sedia ada. Dengan
kata lain pihak terbabit perlu melihat dan menilai kemampuan, keupayaan mahupun
persediaan sekolah dalam menangani apa jua keadaan berbangkit jika kebenaran
ini diberi atau sebaliknya. Ini membabitkan institusi sekolah yang menjadi
antara kelompok terbesar dan terpenting di negara ini. Justeru, perbincangan,
kajian, pandangan atau apa jua tindakan bakal diambil memerlukan penelitian
mendalam supaya tidak menjadi isu lain kelak”, katanya. Tidak mahu bersikap
skeptikal, beliau memberi contoh beberapa senario bakal timbul jika ia
dilaksanakan.
Beliau berkata, jika direalisasikan,
perkara asas bakal dihadapi ialah kewujudan pelbagai konflik yang dianggap
kecil namun boleh merosakkan masa depan pihak sasaran. “Antaranya, konflik
sekolah dan guru dengan ibu bapa yang mana pelaksanaan itu boleh dianggap
landasan mewujudkan ‘ketegangan’ emosi kedua pihak. Bayangkan, apa reaksi ibu
bapa jika anak pulang dari sekolah dan mengadu guru marah kerana bertelefon.
Adakah mereka boleh berdiam diri biarpun kesalahan mungkin datang daripada
pelajar. Melihat reaksi ibu bapa hari ini, saya yakin keadaan pasti menjadi
panas. Nampak kecil tapi kesannya boleh berpanjangan dan menimbulkan konflik
lain pula hingga meruncingkan keadaan yang sudah sedia runcing ini. Jadi
tidakkah ia akan mengganggu kehidupan mahupun privasi pihak lain pula?”
katanya.
CIKGU ZUL RASA ADA RASIONALNYA CADANGAN INI, CUMA PELAJAR HARUS MATANG DAN BIJAK MENGGUNAKAN TELEFON BIMBIT YANG DI BAWA SERTA MENJAGANYA DENGAN BAIK. JANGAN SAMPAI LEPAS INI MASALAH KECURIAN TELEFON BIMBIT MENGANGGU TUGAS GURU DALAM MENYAMPAIKAN ILMU
Pada masa sama katanya, konflik
ekonomi dalam kalangan ibu bapa juga akan wujud kerana pertambahan bebanan
kewangan menambah nilai kad telefon yang digunakan anak. “Kita maklum, semuanya
bukan percuma. Diberi pula pada pelajar yang rata-ratanya memang gila melakukan
pembaziran air liur. Bukankah ini turut
mengganggu perjalanan ekonomi ibu bapa yang kini semakin sesak bergelut dengan
kos sara hidup yang menjulang. Ini bakal mengundang konflik dalam keluarga
pula. Saya percaya bukan semua ibu bapa mampu mengadakan kemudahan itu (telefon
bimbit atau gajet). Jika tidak dituruti, cuba bayangkan apakah tindakan yang
mereka akan lakukan semata-mata ingin memenuhi keperluan itu,” katanya tidak
menyangkal akan wujud masalah sosial lain semata-mata mahu memuaskan kehendak
hati. Pelajar golongan remaja yang sedang mencari identiti diri. Mereka sukakan
perhatian, persaingan, dikenali serta berfikiran singkat dan kurang matang.
Sudah pasti tidak mustahil mereka rela
mengikut kata hati. Jika ibu bapa tidak mampu memenuhi keinginan mereka,
bayangkan pula tindakan bakal diambil pelajar berkenaan. Adakah mereka kisah
mengenai soal maruah, alasan logik, kesusahan dan sebagainya? “Tidak kerana
yang penting ialah tidak mahu ketinggalan mahupun diperlekehkan rakan lain Jalan
paling mudah terbabit dengan gejala sosial bagi memperoleh apa diingini,”
katanya. Ramai pihak juga ternyata kurang setuju dengan cadangan itu yang
beranggapan seperti memanjangkan lagi langkah pelajar ke arah aspek negatif. Antaranya
bakal menyebabkan kurang tumpuan di kelas, meluaskan pergaulan alam maya yang
memungkinkan melonjakkan lagi tragedi sosial dan sebagainya. Beliau juga
berpendapat, apa dilakukan sekolah hari ini sudah memadai dan alasan ibu bapa
ia mudah untuk memantau pergerakan pelajar kurang praktikal. “Pelajar sekarang
adalah anak generasi teknologi, mereka bijak memanipulasi keadaan mahupun
mencipta alasan. Telefon bimbit bukan jaminan mereka tidak berbohong. Masih ada
cara lain ibu bapa boleh memantau pergerakan anak seperti mengenal pasti siapa
rakan mereka, melakukan pemeriksaan mengejut dan sebagainya. Saya percaya kalau ibu bapa tidak bersikap
lepas tangan, pergerakan anak boleh dipantau dengan baik. Tidak perlu telefon
bimbit sebagai pengantara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan
keperluan telefon bimbit untuk pelajar dalam usaha mendedahkan mereka dengan
penggunaan teknologi global. “Kepentingan itu tetap ada dan kita juga tidak
boleh menyekat daripada belajar atau tahu mengenainya. Sebab itu kebanyakan
sekolah sudah menggunakan kaedah pembelajaran berbentuk moden sebagai alat
bantuan mengajar mahupun menyediakan makmal komputer untuk mengakses maklumat
dan sebagainya. Apakah kemudahan itu tidak cukup untuk memberi pendedahan teknologi
hingga memerlukan gajet atau telefon bimbit bagi menjadikan suasana
pembelajaran lebih seronok atau tidak ketinggalan. Justeru memberi kebenaran
membawa telefon bimbit ke sekolah tidak sesuai kerana fungsinya nanti akan
disalahgunakan hingga menjejaskan kepentingan proses pembelajaran lebih utama,”
katanya.
Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.
Sumber
Harian Metro
22 Julai 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan