Rencana ini ditulis oleh :
MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Pengarah Urusan Rumah Jagaan
Kanak-Kanak Nur Salam di Chow Kit, Kuala lumpur, Hartini Zainudin, 50,
mendedahkan, masih ada kes bayi dan kanak-kanak gelandangan yang dijual serta
menjadi mangsa kegiatan pelacuran di Malaysia. Hartini yang berpengalaman luas
berhubung isu pemerdagangan kanak-kanak khususnya di Chow Kit memberitahu,
banyak faktor yang menyebabkan golongan itu mudah terjerat. Menurut beliau, ada
sebahagian kanak-kanak dijanjikan pekerjaan seperti di hotel dan spa, kemudian
apabila dewasa mereka kononnya akan berkahwin dan hidup bahagia. Namun, ada
yang lebih malang apabila mereka dijual keluarga sendiri atau diculik oleh
sindiket sebelum dijual.
Kanak-kanak didefinisikan oleh
undang-undang antarabangsa sebagai mereka yang berumur bawah 18 tahun. Kata
Hartini, kebanyakan remaja digunakan untuk pelacuran atau seks manakala
kanak-kanak bawah 10 tahun dieksploitasi sebagai peminta sedekah. Malang kepada
bayi pula, mereka dijual dengan harga tertentu kepada pasangan yang tidak
mempunyai anak. Bayi yang dijual berharga antara RM2,000 hingga RM10,000
manakala kanak-kanak antara RM1,000 hingga RM3,000. Hal ini berlaku kerana ibu
bayi tersebut tidak mampu menyara mereka selain tekanan yang diberikan oleh ibu
dan juga bapa ayam. Itu menyebabkan mereka mengambil tindakan nekad menjual
sahaja bayi tersebut.
Bukan warganegara
Hartini memberitahu, kerajaan kini
memandang serius isu pemerdagangan orang terutamanya bayi dan kanak-kanak
dengan penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran
2007. Kebanyakan wanita yang melahirkan bayi terdiri daripada wanita yang
terlibat dengan kegiatan pelacuran. Ada dalam kalangan mereka yang bukan
warganegara seperti wanita Vietnam dan Myanmar serta tidak mempunyai dokumen
diri. Ini mendorong mereka mengambil jalan mudah dengan menjualkannya sahaja
bayi mereka. Akhirnya, apabila bayi itu dewasa kelak mereka terdedah kepada
pelbagai perkara negatif termasuk melakukan jenayah akibat tidak mempunyai
pelajaran serta tidak mendapat kemudahan kesihatan dan makanan yang secukupnya.
Tutur Hartini, sebanyak 80 peratus kanak-kanak gelandangan tidak mempunyai
identiti diri apatah lagi hak kewarganegaraan. Ini kerana proses untuk mengenal
pasti keturunan mereka mengambil masa selama bertahun-tahun di samping
menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Tambah beliau lagi, warga tempatan
sekali pun cukup sukar untuk mengesan ibu bapa sebenar mereka inikan pula warga
asing. Tetapi lebih baik kita menjaga dan memenuhi keperluan mereka daripada
membiarkan hidup mereka terus terumbang-ambing. Bagi Timbalan Yang Dipertua
Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Datuk Faridah
Khalid, mangsa jenayah pemerdagangan manusia di negara ini sering dijanjikan
dengan pelbagai harapan sebelum diperdaya. Mangsa jenayah ini direkrut dengan
cara tipu helah, pujuk rayu, janji-janji palsu, paksaan, kekerasan, godaan,
ancaman, penculikan dan pemalsuan. Mereka kemudian dieksploitasi dalam bentuk
seks, pelacuran, buruh paksaan, perhambaan, peminta sedekah, penjualan bayi dan
pemindahan organ manusia oleh seseorang atau kumpulan yang inginkan keuntungan.
Tambah Faridah, jenayah tersebut merupakan satu bentuk perhambaan zaman moden
apabila manusia dijadikan barangan dagangan yang membawa keuntungan lumayan. Sehingga
kini kira-kira 70 peratus mangsa jenayah ini merupakan wanita kerana golongan
tersebut dilihat mampu memberikan keuntungan lumayan kepada sindiket terbabit
selain mudah terpedaya.
Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.
Sumber
Harian Metro
26 Julai 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan