Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin
Sejak dulu, tingkatan enam sering
diklasifikasikan sebagai pendidikan sukar dan menjadi pilihan terakhir pelajar
yang tidak berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi atau
matrikulasi. Begitu banyak definisi diberikan hingga menimbulkan justifikasi
berbeza masyarakat menyebabkan tingkatan enam malap dan terpinggir. Bagaimanapun,
ada cadangan untuk memberi wajah baru kepada tingkatan enam baru - baru ini
membabitkan dimensi dan nafas baru terhadap pendidikan berkenaan. Menerusi imej
baru cadangan penstrukturan semula, ia juga dianggap sebagai tanda terima kasih
kepada tingkatan enam yang selama ini menjadi penyelamat khususnya pelajar yang
ingin menjejakkan kaki ke menara gading. Persoalannya, adakah dengan pembaharuan
bakal dilaksanakan itu, tingkatan enam mampu menarik kembali ramai pelajar
untuk meneruskan pengajian atau sebaliknya?
Ketua Jabatan Pengajian Kemasyarakatan
dan Kewarganegaraan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Sohaimi
Lazim berkata, penjenamaan semula berkenaan tepat masanya bagi memberi ‘cahaya’
baru kepada tingkatan enam dan perlu segera dilaksanakan. Menurutnya, sumbangan
tingkatan enam kepada sistem pendidikan negara cukup besar dan wajah baru itu
boleh ‘mengingatkan’ kembali masyarakat, jasa-jasa yang sudah dicurahkan selama
ini. “Dulu tingkatan enam dianggap sebagai pendidikan berprestij dan hanya
untuk pelajar yang terpilih saja. Fungsinya cukup besar terutama membantu
pelajar melangkah alam pendidikan tinggi. Malangnya, kini tingkatan enam hanya
dianggap sebagai pilihan terakhir dan gagal menarik minat pelajar. Ditambah
pula dengan pelbagai tanggapan negatif. Justeru penjenamaan semula ini langkah
tepat untuk ‘menghidupkan’ kembali tingkatan enam sekali gus menjadikannya sebagai
salah satu proses kesinambungan pendidikan ke menara gading,” katanya.
Beliau menegaskan sama ada ke
tingkatan enam atau tidak, setiap peranan yang dimodulkan melalui sistem
pendidikan negara mempunyai kepentingan masing-masing. Pandangan skeptikal
masyarakatlah katanya, menyebabkan ia dikelaskan sebagai pembaziran dan kelas
kedua sekali gus bertentangan dengan kehendak pendidikan berterusan. “Secara
amnya, setiap pendidikan sama ada bertaraf tinggi atau rendah tidak wajar
dinilai mengikut spesifikasi tertentu kerana fungsi setiap daripadanya tetap
sama iaitu memberi pendidikan. Namun ramai seperti menganaktirikan tingkatan
enam menyebabkan ia sering kali diberi penilaian negatif. Justeru penstrukturan serta pemberian imej
baru ini diharap mampu menghapuskan pandangan skeptikal itu dan menjadikan
tingkatan enam sebagai salah satu wadah pendidikan terbaik negara,” katanya. Penstrukturan
imej baru tingkatan enam seperti dilaporkan akhbar baru - baru ini dianggap
sebagai landasan awal untuk meninggikan lagi penerimaan masyarakat sejajar
sistem pendidikan pra universiti.
Antara cadangannya ialah menyatukan
tingkatan enam, jadual waktu, guru dan pakaian berbeza serta dipisahkan dari sekolah
biasa. Menurutnya, penstrukturan baru itu boleh menarik dan meningkatkan imej
tingkatan enam biarpun selama ini pendidikan berkenaan kurang popular. “Ini
kerana pelajar kebanyakannya berminat memohon untuk memasuki kolej atau menara
gading bagi melanjutkan pengajian kerana dianggap lebih menjamin peluang
kemasukan ke universiti. Pada masa sama tanggapan ia susah dan membazir
sentiasa membelenggu minda masyarakat menyebabkan kurang sambutan. Padahal fungsi pembelajaran dan tujuan asasnya
tetap sama. Hanya disebabkan ia di sekolah bukan di kolej menjadikan tingkatan
enam masih disamakan seperti pendidikan di sekolah,” katanya menambah cabaran
belajar di mana - mana pun tetap serupa. Sama ada di sekolah atau menara
gading, pembelajaran adalah proses berterusan yang memerlukan seseorang fokus. Jangan
berikan alasan belajar di menara gading atau matrikulasi boleh menjamin masa
depan. Semuanya bergantung pada sikap dan di mana - mana saja seseorang boleh
mencipta kejayaan,” katanya.
Ditanya antara faktor tingkatan enam
kurang mendapat sambutan, beliau berkata subjek dikatakan sukar, peluang sukar
memasuki institusi pengajian tinggi dan hanya membuang masa berbanding diploma
adalah puncanya. “Apabila ramai berkata demikian, secara tidak langsung mematikan
minat pelajar untuk meneruskan pengajian. Mungkin pengisiannya lebih meluas
namun bersesuaian dengan fungsinya sebagai pendidikan pra universiti. Dengan
kata lain, di sinilah ilmu berdikari dipelajari sama seperti di menara gading.
Jadi tidak adil kalau pelajar tidak didedahkan dengan proses pembelajaran
seperti itu,” katanya. Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia
UPSI, Profesor Dr Othman Lebar pula beranggapan sistem pendidikan tingkatan
enam yang dilaksanakan di sekolah adalah antara punca utama ia disalah anggap. Menurutnya,
ramai menyangka tingkatan enam adalah kesinambungan proses pembelajaran di
tingkatan lima apatah lagi dilakukan di sekolah. “Ini menyebabkan mereka
‘bosan’ dan tidak tertarik sekali gus mencari alternatif lain bagi melanjutkan
pengajian. Sepatutnya tingkatan enam perlu diasingkan dengan ciri berbeza
supaya pelajar dapat merasai keistimewaannya selain disuntik dengan elemen tertentu.
Apabila ada kelainan, tentu ada tarikan. Perlu ada penegasan dan pemberitahuan
bahawa tingkatan enam adalah pendidikan berkonsepkan pra universiti bukan
sekolah,” katanya.
Setiap pendekatan yang digunakan perlu
lebih menjurus kepada cara pendidikan peringkat tinggi supaya pada masa sama
pelajar boleh berfikir dan bertindak bukan seperti pelajar sekolah. “Sejak
dulu, tingkatan enam diiktiraf setara dengan pendidikan tinggi, malangnya
kerana ia banyak dilaksanakan di sekolah, ‘perasaan’ seperti pelajar sekolah
masih wujud. Padahal pendidikan itu adalah peringkat tinggi. Saya percaya
memang sudah tiba masanya tingkatan enam diberi penjenamaan semula. Sekali gus
mengembalikan semula kegemilangannya yang sudah banyak berjasa melahirkan
golongan berpendidikan tinggi sebelum ini,” katanya.
Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
15 Julai 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan