08 Julai 2012

ISU UMUM : SELAMAT DATANG KERETA ELEKTRIK


Rencana ini ditulis oleh :
Johardy Ibrahim


Selama  seminggu, kereta Mitsubishi Innovative Electric Vehicle atau i-MiEV menjadi tumpuan rakan sepejabat bukan sahaja kerana reka bentuk kecilnya yang futuristik tetapi paling utama, ia adalah kereta elektrik sepenuhnya. i-MiEV menjadi perhatian kerana ia dicas bateri di pejabat. Ya, kaedah mengecas bateri kereta ini boleh menggunakan soket biasa di kediaman atau pun pejabat. Ia dibekalkan dengan kabel khas, dengan kepalanya seperti kepala pam minyak dan satu kotak petunjuk aliran elektrik. Kereta i-MiEV ini dibina berdasarkan kereta mini 'i' berenjin petrol tetapi di sebalik menggunakan enjin pembakaran dalaman, ia menggunakan sumber tenaga tunggal daripada bateri lithium-ion yang menjana tetap magnet motor elektrik. Bateri 330V dipasang dibawah lantai kereta, sementara motor elektrik terletak di bawah but.

Tiga soalan wajib yang kerap ditanya ialah berapa lama ia perlu dicas, sejauh manakah ia mampu berjalan dan berapa kelajuannya? (Anda juga boleh menonton video ulasan i-MiEV di Utusan Online) Ini jawapannya. Pertama: Secara purata ia memerlukan tempoh mengecas selama lapan jam menerusi sistem elektrik di rumah atau pejabat. Di Malaysia, kenderaan elektrik masih di peringkat pengenalan yang sangat-sangat awal. Ibarat bayi baru dilahirkan. Selain i-MiEV, satu lagi ialah Nissan Leaf. Kedua-dua syarikat buat masa ini, membawa masuk dua unit sahaja bagi tujuan demonstrasi kepada kerajaan dan orang ramai.

Berbeza dengan Eropah dan Jepun, kereta elektrik sudah sampai ke peringkat pertengahan iaitu selain dijual dalam kuantiti tertentu, beberapa lokasi disediakan infrastruktur iaitu pusat mengecas khusus, sama seperti fungsi stesen minyak sekarang. Pusat seumpamanya adalah berbentuk sebuah bangunan atau tiang seperti meter parking, boleh mengecas lebih pantas iaitu 80 peratus kapasiti dalam tempoh 30 minit. Ia berbeza dengan rumah kerana fasiliti itu membekalkan keupayaan elektrik bervoltan tinggi iaitu 50 kiloWatt (kW). Matlamat Mitsubishi dan Nissan serta syarikat kereta lain yang berminat memperkenalkan kereta elektrik di Malaysia adalah sama seperti yang dilakukan di negara-negara maju tersebut iaitu selain membekalkan kenderaan mengikut permintaan, infrastruktur mengecas elektrik juga boleh didapati di mana sahaja.

Soalan kedua: Selepas dicas sepenuhnya selama lapan jam, ia boleh bergerak sejauh 150 kilometer. Pengalaman daripada pandu uji tersebut saya dapati, ia menyerupai bateri telefon pintar. Jika sekadar untuk bercakap atau SMS, maka 150 km akan tercapai. Tetapi apabila kerap pula diguna membelek Facebook dan Twitter, maka lagi cepat bateri haus. Dalam konteks i-MiEV, selain jarak perjalanan, penggunaan pendingin hawa juga mempengaruhi hayat bateri. Dengan cas sepenuhnya lapan jam, bateri itu secara puratanya bertahan selama dua hari ulang-alik ke pejabat. Secara purata saya memandu 70 km ulang-alik, maka trip keempat iaitu terakhir pada hari kedua, bateri perlu dicas semula. Itupun tinggal antara empat dan tiga bar, menyebabkan saya menghentikan pendingin hawa. Mujur ia waktu malam.

Antara kebimbangan umum ialah bila bateri mati di tengah jalan dan tiada tempat mengecas. Buat masa ini, kebimbangan itu ada kebenarannya. Bagaimana hendak pulang ke Kelantan? Untuk permulaan, kereta ini direka untuk kegunaan dalam bandar sahaja. Jadi bukan sangat untuk menjelajah jauh-jauh. Dan harus kita ingat, kita masih di peringkat bayi. Kereta ini adalah untuk masa hadapan. Akan tiba masanya nanti bila semua isu berkaitan `lokasi mengecas’ tidak timbul kerana ia akan ada sama banyak seperti stesen minyak hari ini. Namun, ia bergantung kepada kesungguhan semua pihak berwenang untuk merealisasikan penggunaan kereta elektrik ini. Benar terdapat isu kos penjanaan elektrik tetapi beberapa kajian yang dilakukan menunjukkan kos elektrik masih rendah berbanding petrol. Dan sekiranya tarif elektrik terpaksa juga dinaikkan (disebabkan kos arang batu), suatu aspek yang boleh difikirkan ialah pemberian insentif khas bagi pemilik kereta elektrik sama ada dalam bentuk potongan pada harga belian atau cukai.

Soalan ketiga: i-MiEV memiliki kuasa output 49 kW dan kuasa kilas (torque) 180 Newton meter, dan boleh dipecut sehingga 130 km sejam. Mungkin satu hari pada minggu lepas anda jengkel melihat kereta aneh ini memotong kiri ke kanan dan ke kiri semula, saya mohon maaf. Tengah uji pandu. Ia ternyata sebuah kereta yang ligat, cergas dan `menyeronokkan’. Persepsi awal mengatakan ia mirip kereta lektrik buggy di padang golf, adalah jauh panggang dari api. i-MiEV adalah sebuah kereta normal dari segi pengendalian dan prestasi. Ia mungkin tidak boleh memintas Perodua Kelisa atau Viva tetapi boleh mengekori dengan rapat dari belakang. Sejak dilancarkan pada Julai 2009, MMC telah mengeluarkan lebih 20,000 unit kenderaan elektrik ini, membentuk perkongsian dengan lebih 60 rakan kongsi tempatan dalam sektor awam dan swasta di seluruh dunia untuk mengadakan ujian bersama, aktiviti pendidikan mengenai infrastruktur yang diperlukan. MMC mula menjual i-MiEV pada April 2010, sejak itu sebanyak 6,000 unit i-MiEV dan MINICAB-MiEV di Jepun dan dieksport ke 45 negara di seluruh dunia.

Di Malaysia, belum ada ketetapan lagi mengenai harganya tetapi ia dijual di Eropah pada harga antara 33,000 euro hingga 35,000 euro dan jika dikira dari segi tukaran matawang, ia adalah RM132,000 hingga RM140,000 tanpa mengira potongan insentif tambahan kerajaan. Sebenarnya, kereta elektrik bukan suatu fenomena baru pada abad ke-21 ini. Ia telah dihasilkan sejak akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 lagi. Sejarah ringkas dunia automotif menunjukkan minat terhadap penghasilan kereta elektrik terbantut ekoran harga minyak yang murah. Krisis tenaga pada 1970-an dan 80-an mengembalikan sekejap minat kereta elektrik tetapi hanya setelah krisis minyak yang mencanak naik sejak pertengahan tahun 2000, minat dalam pengeluaran kereta elektrik berupaya menghidupkan semula satu pilihan gentian bahan api selain daripada minyak. Malah, kelebihan ketara pada kereta elektrik adalah ia mematuhi kriteria pemuliharaan alam sekitar kerana ia tidak mengeluarkan asap.

Seperti ditegaskan di atas, kejayaan kereta elektrik di atas jalan raya Malaysia bergantung kepada Dasar Automotif Negara yang bakal diumumkan tidak lama lagi. Komuniti automotif rata-ratanya menyokong langkah kerajaan memberi penekanan kepada kereta hijau supaya tidak bergantung terlalu besar terhadap minyak. Kereta elektrik mungkin adalah jawapan kepada masa depan pengangkutan kita.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
08 Julai 2012

03 Julai 2012

ISU SOSIAL : KEUNIKAN, IDENTITI BANGSA DALAM SEJARAH


Rencana ini ditulis oleh :
Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.


Lambakan maklumat di alam maya boleh menimbulkan masalah apabila kita disogokkan dengan bahan yang tidak ilmiah atau yang salah fakta. Karya asal atau tulisan tulen dalam bentuk jurnal, ensaiklopedia, majalah, dokumen atau buku teks banyak tersimpan di perpustakaan awam atau di institusi pengajian tinggi kadang kala sukar untuk diperolehi jika dibandingkan dengan penggunaan komputer. Keadaan akan menjadi tidak terkawal apabila terdapat penulis yang tidak beretika menulis sejarah menggunakan fakta dan pendekatan yang salah. Demikian kerisauan yang diluahkan oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Tan Sri Omar Hashim dalam ucapan alu-aluannya semasa berlangsung Seminar Sejarah Malaysia yang diadakan di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 20 Jun lalu.

Seminar yang bertemakan ‘Sejarah, Etnisiti dan Identiti’ dihadiri lebih 200 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli PSM termasuk penggiat, peminat dan pelajar sejarah. Objektif seminar adalah untuk mengetengah dan membincangkan isu-isu kontroversi di sekitar sejarah tanah air. Ia turut meneliti permasalahan keetnikan dan cabaran pembinaan identiti bangsa dalam konteks sejarah nasional. Ada pendapat menyatakan bahawa penulisan sejarah boleh berubah mengikut perspektif dan pendekatan yang dikehendaki oleh penulis dan persekitarannya. Sebagai contoh semasa saya belajar di sekolah menengah lewat l960-an dalam mata pelajaran Sejarah, JWW Birch Residen Perak yang pertama dianggap sebagai wira kerana dibunuh di Pasir Salak ketika menjalankan tugas. Beliau dianggap berjasa kerana bertugas atas restu Ratu Inggeris dan sedang berusaha melakukan transformasi terhadap pentadbiran kerajaan negeri Perak terutama menyusun kembali penguasaan kutipan cukai.

Namun demikian apabila kita melihat sejarah melalui kaca mata kita sendiri maka wira sebenarnya ialah mereka yang merancang dan membunuh petualang negara itu. Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan rakan- rakannya dianggap sebagai pejuang ulung yang menentang kemasukkan penjajah ketika itu. Langkah lebih berkesan telah diambil oleh pihak penguasa tempatan apabila menukar semua nama jalan bernama Birch kepada Maharajalela. Dalam konteks masyarakat majmuk penulisan sejarah mempunyai kaitan yang rapat dengan etnik, kumpulan status, gender dan warga generasi. Prof. Dr. Kamaruddin M Said dalam kertas yang bertajuk Kesedaran Sosial dan Pentafsiran Sejarah menyatakan sebahagian besar penulisan sejarah Malaysia dibina oleh nasionalisme Melayu khususnya pada pertengahan pertama abad ke- 20. Dengan kejayaan UMNO menjadi pendukung utama kepada kemerdekaan tanah air maka pentafsiran sejarah dari kaca mata nasionalis Melayu telah diterima pakai dalam penulisan teks sejarah.

Namun demikian akhir-akhir ini pentafsiran sejarah telah menerima saingan daripada pihak lain secara lebih berani. Misalnya Chin Peng tokoh utama Parti Komunis Malaya (PKM) telah menerbitkan memoirnya yang bertajuk My Side of History (Chin Peng 2003). Pentafsiran Chin Peng terhadap sejarah kolonialisme dan kemerdekaan Malaysia adalah antitesis kepada pentafsiran yang dibuat oleh nasionalis Melayu. Demikian juga buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh penting PKM seperti Abdullah CD, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan Ibrahim Chik menafsirkan sejarah ‘gerakan kiri’ dan PKM daripada sudut pandangan peribadi masing-masing.

Demikian juga buku yang berkisar peristiwa hitam 13 Mei 1969 selain buku yang dihasilkan oleh Tunku Abdul Rahman bertajuk 13 Mei: Sebelum dan Selepas (Tunku 1969) dan buku Tragedi 13 Mei: Suatu Laporan Majlis Gerakan Negara (Mageran 1969) yang merupakan laporan rasmi kerajaan, terdapat juga buku lain yang melihat peristiwa itu daripada perspektif yang berbeza. Antaranya buku yang ditulis oleh Kua Kia Soong bertajuk May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 yang merujuk banyak dokumen Pejabat Rekod Awam, London. Sementara itu buku yang bertajuk Patriots and Pretenders: The Malaysan People‘s Independence Struggle (Kua Kia Soong 2011) mengetengahkan peranan yang dimainkan oleh ‘golongan kiri’ dalam sejarah perjuangan kemerdekaan.

Sementara itu bagi Abd Ghapa Harun yang membentangkan kertas bertajuk Memahami Permasalahan Etnisiti dan Identiti dan Pengaruhnya ke atas Historiografi Negara Berbagai Kaum, Malaysia menyatakan dalam mengidentifikasi permasalahan negara maka peranan historiografi dan pendidikan sejarah adalah penting. Menurutnya diagnosis ke atas historiografi akan dapat meneliti pengaruh dan kesannya ke atas isu etnik dan identiti. Dalam abad ke-21, akibat proses globalisasi di kebanyakan negara, isu kepelbagaian etnik dan perbezaan identiti semakin ketara. Akibatnya isu keetnikan dan identiti semakin mendominasi arena politik. Ia menyemarak apabila pelbagai kelompok masyarakat khususnya etnik minoriti semakin kerap menuntut proses demokrasi dilaksanakan secara terbuka dan memperjuangkan politik multikulturalisme. Memuncaknya isu tersebut mendorong para peneliti sains sosial dan sains politik memberi perhatian mendalam terhadap implikasi kepelbagaian tersebut ke atas proses pembinaan negara. Pelbagai saranan telah dimajukan bagi menangani isu tersebut melalui penulisan, perbincangan dan seminar.

Bagi negara kita dengan pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan telah dapat mengurangkan isu keetnikan dan identiti tersebut. Pendidikan menekankan konsep perpaduan di kalangan pelbagai etnik dan membina jati diri serta mengumpulkan kanak-kanak belajar di bawah satu bumbung. Malah mata pelajaran Sejarah digunakan untuk membentuk pemikiran pelajar dan menjadi alat penting bagi pembinaan negara bangsa. Atas kesedaran tersebut Menteri Pelajaran menjadikan mata pelajaran itu wajib dipelajari oleh semua pelajar. Sejarah bukan sahaja untuk mengenal asal usul tetapi dapat dijadikan alat mengukuhkan jati diri bagi mengukuhkan perpaduan pelbagai etnik yang menghuni negara ini.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
02 Julai 2012

ISU SOSIAL : CABARAN PUSAT KESIHATAN MENTAL KOMUNITI


Pandangan IKIM
PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).


Sesuatu  yang menggembirakan apabila baru-baru ini kerajaan mengumumkan akan menubuhkan pusat kesihatan mental komuniti bagi setiap negeri. Ini sememangnya langkah bijak dan proaktif bagi meningkatkan tahap penjagaan kesihatan mental masyarakat di negara ini. Semua anggota masyarakat berasa sungguh bertuah kerana aspek penjagaan kesihatan mental kini mula mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya. Bagi pesakit dan keluarga mereka khususnya, hak mereka untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya dan bebas daripada stigma buruk dan negatif menjadi semakin cerah. Jika ditinjau dari segi sejarah perkembangan kesihatan mental di negara ini, pada peringkat awal (akhir kurun ke-18) ia lebih tertumpu kepada merawat pesakit mental dalam persekitaran yang amat terhad dan hanya melibatkan sekelompok pakar perubatan dan kesihatan mental.

Dalam fasa pertama ini, perkhidmatan hanya terdapat di hospital-hospital mental sahaja. Pesakit pula akan ditempatkan di hospital berkenaan dalam tempoh yang amat panjang dan berjauhan dengan keluarga. Secara tidak langsung, mereka akan tersisih daripada masyarakat awam. Keadaan ini tidak membantu proses untuk pulih yang menyeluruh. Di samping menyisihkan pesakit dari dunia luar, keluarga mereka dan masyarakat awam, ia juga meningkatkan stigma negatif dan pandangan buruk masyarakat terhadap golongan pesakit mental. Malahan, ia turut meningkatkan beban penjagaan dan kos rawatan para pesakit dan kewangan negara. Kaum keluarga dan masyarakat pula semakin menjauhi dan menganggap pesakit sebagai makhluk yang pelik dan ganjil. Ini kerana pada ketika ini, pesakit mental dilihat sebagai mangsa kerasukan makhluk halus dan roh jahat dan lain-lain pengaruh berkaitan alam ghaib. Hanya pada sekitar pertengahan kurun ke-19, gerakan reformasi dalam sistem perkhidmatan kesihatan mental bergerak aktif dalam usaha untuk memberi harapan baru kepada para pesakit dan keluarga mereka, memperbaiki kaedah rawatan dan mengiktiraf peranan penting masyarakat dalam membantu proses pemulihan.

Fasa kedua ini menyaksikan kesan dalam pemodenan sistem perkhidmatan kesihatan dan peningkatan mutu kajian serta kewujudan penemuan-penemuan baru dalam bidang sains perubatan yang akhirnya mengubah persepsi dunia terhadap bidang kesihatan mental. Jika di peringkat fasa pertama masalah berkaitan gangguan mental dilihat berpunca daripada pengaruh makhluk halus dan roh jahat, pada fasa kedua ini, masalah itu dilihat berpunca akibat ketidakseimbangan hormon tertentu dalam badan pesakit yang menjejaskan tahap kesihatannya. Seterusnya pada awal dan menjelang pertengahan kurun ke-20, perkhidmatan kesihatan mental memasuki fasa ketiga di mana ia menjadi semakin berkembang dan maju. Di antara beberapa petanda kemuncak dalam perkhidmatan ini pada peringkat ini adalah kewujudan pusat-pusat kesihatan mental komuniti dan masyarakat. Di antara peranan perkhidmatan pusat-pusat kesihatan mental seperti ini adalah mewujudkan proses pemulihan itu berlaku di peringkat komuniti.

Ia juga merupakan pendekatan untuk mengintegrasikan peranan setiap anggota keluarga dan masyarakat dalam proses pemulihan dan penjagaan kesihatan mental yang lebih bersepadu. Di samping itu, pendekatan ini juga membentuk dan mendidik masyarakat supaya lebih bersikap terbuka dan positif terhadap kesihatan mental dan memahami apakah penyakit mental serta lebih menerima pesakit dan keluarga pesakit tersebut. Ia akhirnya diharapkan dapat menghilangkan pandangan buruk anggota masyarakat terhadap perkara ini dan seterusnya menghapuskan sebarang stigma berkaitan penyakit mental. Walaupun pendekatan seperti ini lama diamalkan oleh negara maju, namun ia baru dilaksanakan di negara ini. Memang ini merupakan satu langkah yang baik, namun terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan bagi mencapai matlamat penubuhannya dan untuk memastikan usaha murni bagi memperbaiki taraf kesihatan mental ke tahap yang lebih baik lagi untuk kebaikan masyarakat dan negara dapat dicapai.

Beberapa langkah dan aktiviti tertentu ke arah usaha dan matlamat ini perlu dilakukan seperti menyediakan kemudahan mencukupi, khususnya dari segi sumber tenaga manusia. Pendekatan ini merupakan satu usaha untuk memasyarakatkan sistem perkhidmatan kesihatan mental kepada orang ramai. Oleh kerana ia lebih tertumpu kepada masyarakat, sudah pasti ia tidak lagi tertumpu di hospital besar, dan sudah pasti juga jumlah tenaga pakar perubatan dan kesihatan akan menjadi lebih terhad. Masalah ini perlu di atasi segera seperti menempatkan pusat-pusat tersebut berhampiran hospital besar bagi tujuan rujukan dan kecemasan bagi kemudahan berkaitan dan jika berlaku perkara tidak diingini. Begitu juga, peranan anggota masyarakat yang terbabit untuk membantu usaha murni ini perlu diperbanyakkan lagi dan diberi latihan khusus. Perlu ada perancangan kerajaan bagi tujuan ini. Adakah wajar dengan menempatkan pakar berkaitan, atau beberapa pakar kesihatan mental yang lain?

Di negara yang lebih maju, lebih ramai anggota masyarakat yang pakar dan diiktiraf dalam perkhidmatan kesihatan mental terlibat seperti pakar psikiatri komuniti, pakar psikologi klinikal, pekerja sosial, dan kaunselor profesional. Adakah negara kita mempunyai orang seperti ini dengan jumlah yang mencukupi, diiktiraf dan telah menerima latihan yang kukuh dan bersesuaian? Ini kerana sekadar melantik dan melatih sesiapa sahaja yang berminat bukan satu langkah bijak, malah mereka gagal untuk berperanan secara aktif dalam menyumbang ke arah mencapai matlamat yang murni itu, lantas menggagalkan matlamat penubuhan pusat kesihatan mental masyarakat seperti yang dicadangkan.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
02 Julai 2012

ISU UMUM : SETIAP ORANG MESTI MEMAINKAN PERANAN MENYELAMAT MAS


Rencana ini ditulis oleh 
Amir Tan


Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) kini berada di persimpangan jalan. Masa depannya tergantung kepada dana yang diperoleh untuk membiayai kos operasinya masa kini dan seterusnya 'menyelamat' MAS daripada terus tenggelam dalam industri penerbangan komersil serantau dan global seandainya semua usaha yang dirancang menemui jalan buntu atau gagal. Inilah realiti yang dihadapi MAS sekarang. Untuk menyelamat atau memulihkan kedudukan MAS, ia dilaporkan memerlukan dana berjumlah RM9 bilion yang mungkin diperoleh daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau sumber-sumber lain yang belum pasti. Seandainya GLC dan GLIC bersedia membiayainya, maka pelan 'menyelamat' menjadi mudah dan melegakan para pelabur yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan MAS.

Angka RM9 bilion adalah sangat besar bagi sesuatu pelaburan. Namun, pelaburan itu mungkin menjadi wajar untuk menggiatkan operasi sebuah syarikat multinasional seperti MAS. MAS menjadi lambang penerbangan negara yang telah menebarkan sayapnya di ruang angkasa serantau dan antarabangsa selama lebih empat dekad lamanya. Dengan dipertaruhkan dana sebanyak itu ia mungkin berbaloi untuk 'menyelamat' dan seterusnya memastikan syarikat penerbangan nasional ini kekal beroperasi. Dalam dunia perniagaan tanpa mengambil kira apa jua bidangnya, untung dan rugi menjadi pertaruhan yang tidak dapat dielakkan. Banyak faktor yang menyumbang kepada kedua-dua senario itu. Antaranya ialah aspek pengurusan dan sumber tenaga manusia.

Selain daripada menerap sistem pentadbiran yang telus dan ikhlas, ia mesti didokong oleh sejumlah dana untuk membiayai kos operasi berskala besar, seperti yang dikehendaki MAS sekarang. MAS kini bukan sahaja terpaksa bersaing dalam penerbangan domestik dan antarabangsa. Syarikat-syarikat penerbangan multinasional antrabangsa seperti JAL, Qantas, KLM, Air France, Cathay Pacific, British Airways dan lain-lain tidak dapat tidak menjalankan 'perang harga' yang mungkin menjejaskan MAS kerana masalah modal yang dihadapinya sekarang. MAS juga tidak mampu mengatur usaha sama strategik akibat kelemahan itu. Mana mungkin syarikat yang untung mahu membantu yang rugi? Oleh kerana itu, MAS dilihat seperti bersendirian untuk keluar daripada permasalahannya. Mahu tidak mahu, MAS perlu mewujudkan pelan tindakannya sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana pihak yang bersikap seperti seteru kepada MAS.

Wang adalah bukan segalanya walaupun sangat diperlukan oleh sesebuah syarikat. Ia juga sangat memerlukan sumber manusia yang jujur, ikhlas serta bersatu hati untuk membangun syarikat yang menjadi tempat mereka bernaung. Dalam hal ini, MAS mungkin beruntung kerana nilai-nilai ini telah diterapkan sejak MAS mula beroperasi. Lantaran itu, anggota Kesatuan Pekerja MAS (MASEU) yang mewakili 20,000 orang pekerja tidak banyak mencetuskan kerenah meskipun MAS berada dalam keadaan gawat. Ini adalah aset yang sangat berharga kepada MAS. Salah satu sebab tekanan terhadap operasi MAS ialah kenaikan harga bahan api yang semakin meningkat. Ditokok dengan kos pengurusan yang tinggi telah menyebabkan pendapatan MAS menyusut. MAS mengalami kerugian dari tahun ke tahun.

Di sebalik kesulitan ini, kewujudan MAS terus dipertahan oleh pasukan pengurusan yang berintegriti dan disertai dengan iltizam politik yang tinggi oleh pihak kerajaan. Namun, penghujung jalannya belum lagi cerah dan jelas sehingga kini. MAS mungkin akan menerima satu pasukan peneraju yang baru apabila RM9 bilion diperoleh. Pasukan ini pastinya memiliki iltizam yang lebih tinggi untuk melihat MAS kekal di persada syarikat penerbangan komersil antarabangsa. Selain itu, pasukan ini juga dipercayai akan membelanjakan dana yang diperoleh dengan cermat dan bijaksana. Dengan demikian, dana itu akan menjadi lebih berharga dan bermakna dari jumlah yang sebenarnya.

Dalam pelan 'menyelamat' ini pengurusan sekarang atau yang baru seharusnya memikirkan bagaimana harga tambang MAS lebih kompetitif tanpa mengorbankan keselesaan para penumpang. Pihak pengurusan MAS mungkin terlepas pandang, harga tambang domestik amat tinggi dan telah menyebabkan pelanggan lari dan membuat pilihan yang lain. MAS sewajarnya mengkaji tambang jarak dekat, seperti KL-Kota Bharu, KL-Pulau Pinang, KL-Kuantan, KL-Senai, KL-Alor Setar dan KL-Kuala Terengganu. MAS boleh menyediakan perkhidmatan yang asas sahaja tanpa menyediakan minuman sepanjang perjalanan ke destinasi-destinasi tersebut. Pengurusan MAS juga wajar memperkenalkan tambang murah dengan kadar berpatutan kepada 50 penumpang yang pertama (first 50 customers) bagi menggalakkan mereka menaiki pesawat MAS. Penumpang selebihnya perlu membayar tambang biasa, tetapi kompetitif harganya.

Untuk menjimatkan kos, MAS wajar menswastakan executive lounge di semua lapangan terbang domestik dan antarabangsa sebagai langkah berjimat cermat. Kos yang dibelanjakan untuk ruang itu mungkin boleh digunakan dan diserapkan ke dalam tambang domestik. Dengan langkah ini, MAS mungkin dapat memancing semula para pelanggan yang kian menjauhkan diri daripada penerbangan MAS semata-mata kerana harga tambang yang tinggi. Pihak pengurusan tidak boleh terlepas pandang bahawa budaya pengembara masa kini ialah memilih perkhidmatan yang murah dan baik. Dengan mengorbankan sedikit apa yang dikatakan keselesaan atau comfort, tambang MAS mungkin menjadi lebih kompetitif pada masa hadapan. Tidak mustahil mereka yang menjauhkan diri akan kembali menikmati perkhidmatan MAS secara lebih wajar dan adil.

Walau apa sahaja langkah atau tindakan 'menyelamat' MAS diatur dan dilaksanakan, MAS mesti dihindar daripada terjebak dengan isu kontroversi yang boleh melemahkan semangat mereka yang dipertanggungjawabkan. Semua pihak mesti memberi peluang kepada mereka menyusun strategi yang tepat dan selamat untuk membangun semula MAS sebagai syarikat penerbangan terunggul di rantau ini dan global. Rakyat sudah pastinya sayang dan cintakan MAS kerana ia telah berjaya memenuhi tanggungjawab sosialnya sejak mula diperbadankan. Rakyat sewajarnya memberi sokongan supaya MAS boleh meraih keuntungan dengan pelan-pelan terbarunya. Setiap orang mesti memainkan peranan 'menyelamat' MAS sebagai satu komitmen yang tidak boleh diabaikan. Nescaya dengan semangat ini, MAS akan kembali cemerlang dan unggul sepanjang zaman. Bagaimanapun, semua perkara itu tidak seharusnya mendorong peneraju syarikat mengambil mudah apabila diamanah mentadbir dan mengurus syarikat itu. Ia mesti dilakukan sejujur mungkin melalui strategi perniagaan iaitu pengurusan yang bersih.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
01 Julai 2012

02 Julai 2012

ISU SERANTAU : TOR-TOR, BERTINDAKLAH SEBAGAI NEGARA SAHABAT


Rencana ini ditulis oleh :
Ramli Abdul Karim


Ramai yang bertanya kepada penulis mengenai kesudahan kontroversi budaya Mandailing, Tor-tor dan Gordang Sambilan yang menyebabkan hubungan Indonesia-Malaysia sedikit goyah bermula 18 Jun 2012 yang lalu. Sebelum memperhalusi isu ini, wajar dijelaskan terlebih dahulu latar belakang kontroversi itu. Tor-tor dalam bahasa Mandailing bermaksud tarian, manakala Gordang Sambilan bermaksud gendang sembilan. Di pihak Malaysia tiada yang tersembunyi atau pelik apabila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada 14 Jun lalu menyatakan, kerajaan akan mengiktiraf kebudayaan Mandailing di Malaysia terutama tarian dan gendangnya.

Dalam ucapan selepas merasmikan Perhimpunan Anak-Anak Mandailing Malaysia dan pelancaran Persatuan Halak Mandailing Malaysia (Mandailing Malaysia) Daerah Gombak di Dewan Sri Siantan, Jalan Sungai Tua, Batu Caves pada petang hari berkenaan, Rais berkata: "Buat permulaan kita akan daftar Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan ini sebagai budaya suku kaum Mandailing di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005." Rentetan kontroversi bermula dua hari kemudian. Dengan tajuk 'Malaysia Klaim Tari Tor-Tor?' menerusi akhbar online Kompas pada 5.15 petang (6.15 petang Malaysia) 16 Jun lalu misalnya, menjadi antara peniup api kemarahan tidak rasional rakyat Indonesia. Artikel itu memetik laporan agensi berita Bernama mengenai kenyataan Rais tetapi mengubah suai tajuk asalnya. Ia dibaca 51,552 orang pelawat KOMPAS.com sehingga 3 petang, Jumaat lalu. Ia dikongsi (share) 3,764 orang ke akaun laman sosial peribadi atau kumpulan masing-masing di Facebook atau Twitter dan 3,764 orang yang menekan butang 'Suka' atau 'Like'.

Selain tajuk provokatif, KOMPAS.com menyelitkan foto tidak relevan sekumpulan penari Batak Karo dalam berita itu walaupun tarian yang dimaksudkan Rais adalah tarian Mandailing. Sepantas kilat, ia diulang kongsi dan diulang salin, sehinggalah menjelang petang esok (Ahad) dan malamnya, ia merebak ke jutaan akaun Facebook dan Twitter milik rakyat Indonesia. Keributan rakyat Indonesia lebih pantas memuncak apabila kebanyakan portal berita Indonesia turut memetik laporan Bernama itu. Mereka mengubah suai atau menulisnya ke bahasa Indonesia mengikut fahaman dan gaya tersendiri. Di Indonesia, perkataan "klaim" (dakwaan pemilikan) sangat sensitif. Sentimen dan api kemarahan rakyat Indonesia meledak sepenuhnya pada Isnin, 18 Jun. Televisyen, radio, akhbar dan portal serta edisi online akhbar di Indonesia mula memperbesar-besarkan isu ini. Tanpa segan silu dan rasa bersalah rakyat Indonesia mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat, cacian, penghinaan dan ugutan kepada Malaysia. Daripada orang biasa sehinggalah kepada tokoh masyarakat serta para pemimpin termasuk menteri dan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Indonesia melakukan penghinaan tahap paling rendah kepada Malaysia.

Ini termasuk kenyataan memperlekeh Raja-Raja Melayu, melabel Malaysia sebagai negara miskin budaya dan mengesyorkan negara ini dibom. Api kemarahan rakyat yang terus-terusan ditiup, mencapai tahap kemuncak ketidakwarasan apabila sekumpulan Pemuda Pancasila menyerang dan merosakkan bangunan Kedutaan Malaysia dan Malaysia Hall di Jakarta pada 22 Jun lalu. Dalam tempoh 18 Jun sehingga semalam, pelbagai andaian salah dibuat di Indonesia, antaranya:

1. KLAIM: Menuduh Malaysia mencuri Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan.

2. UNESCO: Andaian bahawa Malaysia telah ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk mendaftarkan kedua-duanya.

3. PATEN: Mentafsir secara salah bahawa mendaftarkannya di bawah Akta Warisan Kebangsaan bermaksud mahu mempatenkannya.

4. ASET NASIONAL: Mendakwa pendaftaran oleh Malaysia itu kerana mahu mengaut untung dengan mengkomersialkan kedua-duanya.

5. WARISAN: Mentafsir perkataan 'warisan' sebagai turut bererti pemilikan.

6. MANIPULASI UNDANG-UNDANG: Maksud klausa dalam akta itu termasuk pemilikan budaya berpindah kepada kerajaan jika warisan dijual, dimanipulasi. Ia sebenarnya khusus buat warisan ketara seperti bangunan dan istana. Kebudayaan adalah warisan tidak ketara yang mustahil dijual.

7. SENTIMEN RASIS TIDAK RELEVAN: Memfokus kontroversi kepada Tor-tor Batak Toba/Karo sedangkan yang berbangkit adalah tarian Mandailing yang dipersembahkan dengan iringan Gordang Sambilan termasuk Tor-tor Na Uli Bulung (ditarikan anak-anak gadis) dan dan Tor-tor Na Poso Bulung (tarian pemuda). Ia jauh berbeza dengan Tor-tor Toba dan Karo, kecuali berkongsi maksud perkataan tor-tor iaitu tarian.

Semua andaian salah itu dikutip daripada reaksi tidak rasional di Internet dan ketika diwawancara televisyen Indonesia atau ditemu bual wartawan akhbar mereka. Malangnya, daripada puluhan akhbar yang meminta penjelasan penulis, tiada seorang pun wartawan Kompas. Berbalik kepada persoalan mengenai penyelesaian isu ini dan apa yang dipelajari jika salah faham seumpamanya berulang, penulis berpendapat ia banyak bergantung kepada pihak Indonesia. Selagi perkara pokok, iaitu andaian-andaian mengenai "klaim", mencuri budaya, paten, aset nasional dan lain-lain menjadi asas pertimbangan Indonesia, ia tidak akan menemui titik pertemuan. Pemimpin dan rakyatnya perlu sedia mendengar penjelasan, berlapang dada, mengikhlaskan hati dan jangan secara tidak semena-mena mencurigai serta membuat penghakiman mendahului penjelasan.

Mempertahan

Penulis yakin, pemerintah Indonesia sejak dari dulu sentiasa meletak harapan tinggi untuk mempertahan dan mengekalkan hubungan sebagai negara berjiran dan negara bersahabat dengan Malaysia. Tetapi, mengimbas pendekatan Indonesia menangani kontroversi terdahulu seperti tarian Pendet dan Barongan (Reog Ponorogo) selain 'lagu Rasa Sayang', batik dan lain-lain, komitmen mengekang kontroversi daripada merebak masih boleh diperbaiki. Pantas mendapatkan gambaran tepat mengenai sesuatu isu dan segera memberi penjelasan kepada rakyat, antara yang boleh dilakukan. Paling utama, menghalang media memanipulasi salah faham sehingga meniup api kemarahan rakyat, sebaliknya turut berperanan meredakan kontroversi. Membuat kenyataan rasmi selepas beberapa hari atau minggu kontroversi merebak dan meledak, mungkin tidak membawa apa-apa makna lagi.

Sebagai negara berjiran, sebarang kontroversi boleh mengundangkan banyak kesan negatif. Pemerintah perlu berusaha menghalang atau mendidik rakyat supaya tidak menghiris perasaan rakyat Malaysia dengan kata-kata kejian. Ditegaskan, tiada seorang pun rakyat Malaysia mendakwa Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan serta budaya suku lain berasal dari Malaysia sebaliknya di Sumatera Utara bagi orang Mandailing, Kepulauan Jawa bagi suku Jawa dan Sumatera Barat bagi Minangkabau. Dalam mendepani realiti bahawa Indonesia dan Malaysia berkongsi 1,001 persamaan termasuk suku-suku kaum penduduknya, bahasa, kebudayaan, pakaian, makanan dan lain-lain, maka aspek "pemilikan" terhadap semua itu tidak sepatutnya dijadikan isu besar dan terlalu sensitif. Sempadan politik kedua-dua negara hanya mula ditandakan garis perbatasannya selepas Indonesia dan Malaysia masing-masing merdeka pada 1945 dan 1957.

Sempadan budaya masyarakat kedua-dua negara sebelum kemerdekaan itu terlalu luas. Ratusan tahun lalu, selain orang Mandailing, Jawa, Bugis, Minangkabau, Banjar dan lain-lain suku kaum rumpun Melayu atau Nusantara telah mengamalkan budaya suku masing-masing jauh lebih awal daripada tertubuhnya negara Indonesia mahupun Malaysia. Kesimpulannya, jika "pemilikan budaya" dalam konteks tafsiran sempit terus menjadi agenda besar di Indonesia; selagi media Indonesia berlumba-lumba menjadi juara melaga-lagakan kedua-dua negara; dan apabila istilah bahasa Malaysia enggan difahami secara tepat; tidak mustahil isu Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan bukan kontroversi terakhir.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
01 Julai 2012


ISU ALAM : KISAH MISTIKAL BUAYA SARAWAK


Rencana ini ditulis oleh :
Johardy Ibrahim


Seminggu ini cerita buaya Sarawak menjadi FAQ (Soalan Kerap Ditanya), menenggelamkan peristiwa kekalahan Jerman kepada tandukan Mario Balotelli, atau kes serangan 'pengganas upahan' ke atas bangunan Kedutaan Malaysia di Jakarta gara-gara berebut hak pemilikan tarian Tor Tor yang mereka sendiri tidak peduli pun selama ini. Kisah buaya Bujang Seblak (nama diambil daripada sungai kejadian) menjadi tajuk utama muka depan, sekali gus menyemarakkan semula legenda buaya makan manusia yang menjadi Godfather Sungai Batang Lupar di bahagian Sri Aman sejak 1980-an lagi. Sama seperti legenda Bujang Senang, kisah buaya Bujang Seblak ini diwarnai oleh kedua-dua elemen saintifik dan mistikal. Bujang Senang misalnya, walaupun telah diisytiharkan mati dan ada gambar mengiringi berita itu oleh Utusan Malaysia pada 22 Mei 1992, masih ada lagi yang mendakwa buaya raksasa itu sebenarnya, masih hidup dan dilihat berenang di sungai tersebut pada 2004. Jadi buaya mana yang ditumpaskan pada 1992?

Bujang Seblak pula, walau diumpan tetapi 'bijak' melepas diri dari jerat tetapi dua ekor buaya lain bersaiz sederhana telah sangkut. Dua ekor ini didakwa sebagai 'konco-konco'. Setakat ini, Bujang Seblak masih bebas dan penduduk percaya ia sememangnya wujud. Sekurang-kurangnya keluarga mangsa yang dibaham sudah melepaskan dendam mereka. Pembabitan dukun buaya dalam pemburuan spesies reptilia ini meningkatkan elemen mistik dan pantas menarik imaginasi pembaca. Kes Bujang Seblak ini membabitkan penduduk kampung Iban dan dukun Indet anak Sanabong adalah berketurunan Iban yang semestinya membaca mantera dalam bahasa Iban. Dalam setiap masyarakat, mesti ada seseorang yang memiliki kemahiran ini. Dukun seumpamanya ada di Semenanjung Malaysia malah di pulau Jawa dan Sumatera (tetapi tak perlulah 'klaim' profesion dukun buaya itu milik kita). Dukun ini menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri untuk berkomunikasi secara batin dengan buaya. Mereka seolah-olah memahami bahasa buaya atau apakah buaya itu mahir pelbagai bahasa?

Seorang zoologis tempatan ketika dihubungi berkata reptilia ini boleh hidup antara 50 tahun hingga 100 tahun. Dalam tempoh itu ia boleh membesar ke saiz luar biasa terutama spesies buaya air masin. Ia boleh membesar ke saiz 19 kaki (5.8 meter) hingga 23 kaki (7 meter) dan berat 1,100 hingga 1,360 kilogram. Satu catatan ditemui dalam Internet, buaya terbesar pernah dilihat pada 1920 sepanjang 33 kaki panjang (10 meter) dan dipercayai berusia 200 tahun. Oleh itu, bila ada saksi mendakwa Bujang Senang dan Bujang Seblak bersaiz sebesar kereta Kancil, ia tidak boleh dipinggirkan sama sekali. Masalahnya, buaya-buaya ini pandai menyorok tiap kali sesiapa membawa kamera. Zaman Twitter hari ini, akan pantas mencemuh jika tiada bukti Instagram. Maka berterusanlah ia sekadar menjadi mitos pada kebanyakan orang.

Hangat

Mengapakah cerita buaya ini menjadi topik yang hangat? Sementara kesugulan dan ketakutan yang dialami penduduk di Sungai Seblak berikutan kematian anggota keluarga akibat dibaham buaya, seharusnya dibaca dengan rasa simpati. Dan disebabkan elemen mistik membabitkan dukun buaya Indet yang menceritakan ia boleh 'memukau' buaya sebelum membunuh dua ekor, cerita ini dianggap mengagumkan dan berakhir dengan berita gembira. Hutang darah dibalas darah. Ada juga yang mengulas caj perkhidmatan memburu buaya sebanyak RM3,000 oleh beliau itu sebagai mahal. Saya rasa ia berpatutan. Tuai rumah panjang pun sanggup membayar lebih lagi kerana puas hati dengan tangkapan dua ekor buaya oleh Indet. Anda yakin apakah anda atau sahabat anda sanggup mengambil alih tugasnya memburu buaya di sungai Seblak? Mengikut logik, mana mungkin manusia boleh bertutur dengan buaya. Tetapi masyarakat kita tidak lekang daripada unsur mistik seumpamanya. Bagaimana lagi hendak menjelaskannya? Hujah seorang rakan semasa berbahas mengenai isu ini. Dia memberi contoh penyakit kayap yang 'terkena' padanya semasa menebas rumput di halaman rumah.

Semasa terkena katanya, ia seperti gigitan nyamuk tepat di bahagian dada ulu hati. Malam itu dia tidak dapat tidur disebabkan sakit yang mencubit-cubit dada dan didapati tiga bintik merah timbul. Selang beberapa jam ia menjalar ke kiri menuju ke ketiak kiri. Menjelang subuh, ibu mengesahkan ia kayap ular yang diyakini bila bertemu kembali ke titik permulaan boleh membawa maut. Awal pagi dia ke hospital dan diberi sejenis ubat semburan umpama gam yang mengekang kayap itu daripada merebak. Malam kedua kesakitan makin teruk. Ia mendorong ibunya meminta bantuan sepupu untuk membawa 'parang perang warisan keluarga'. Hari kedua, sepupu membawa parang. Petuanya ialah mengalirkan air ke parang yang kemudian ditadah ke dalam mangkuk. Air itu dibaca dengan ayat al-Quran dan disapu ke tempat kayapnya. Setelah disapu beberapa kali dalam tempoh 12 jam, kayap ular itu mati.

Senarionya ialah penyakit ini yang secara saintifik dinamakan shingles adalah sejenis virus yang juga menyebabkan demam campak, menggunakan ubat hospital gagal segera menyembuhkan tetapi 'parang perang' berhasil. Ramai daripada kita percaya kayap ular adalah sejenis penyakit kulit yang boleh 'dikirim' melalui alam mistikal atau sihir. Dalam konteks rakan itu, dia percaya dia telah berada di laluan 'sihir kayap' semasa menebas rumput secara kebetulan. Lintasan kata orang. Oleh kerana ia datang secara ghaib, penawarnya hendaklah mengikut kriteria tersebut dan ubat semburan hospital tidak akan menjadi. Lama juga hendak memikirkan kaitan antara mitos buaya ganas di Sarawak dengan kisah kayap ular ini. Terserah kepada anda untuk membuat rumusan masing-masing. Bagi saya, ia mudah. Berpegang pada prinsip segalanya dalam dunia ini adalah kerana Tuhan yang ad-din, kedua-dua kisah ini harus dibaca dengan hati terbuka dan sebagai bacaan ringan hari minggu anda.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
01 Julai 2012

27 Jun 2012

ISU SOSIAL : MALAYSIA MODEL CONTOH MENENTANG RASUAH


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI

Artikel penuh tulisan Hershman itu boleh dibaca melalui laman web akhbar Huffington Post, www.huffingtonpost. com/michael-j-hershman/malaysia-anti- corruption_b_1619111.html.


Pihak yang sering mencanang Malaysia sebagai sebuah negara yang diselubungi rasuah minggu lalu menerima tamparan hebat apabila sebuah media Barat mengangkat negara ini sebagai model contoh dalam menentang aktiviti rasuah. Bagai meletakkan 'garam ke luka' bagi musuh kepimpinan negara, penulis rencana itu juga adalah pengasas bersama Transparency International, Michael J. Hershman yang menganggap sistem anti rasuah Malaysia di bawah program transformasi Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sesuatu yang komprehensif dan unik. Hershman dalam artikel bertarikh 22 Jun itu menasihatkan agar negara yang terlibat dalam rusuhan 'Arab Spring' mahupun negara yang berisiko mengalami nasib serupa melihat kepada model inovatif Malaysia dalam menentang rasuah, isu utama yang membawa kepada kebangkitan rakyat di sana.

Antara contoh yang dipuji beliau adalah penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2008, satu badan tetap bagi mengatasi kelemahan yang timbul dalam usaha menentang gejala rasuah dalam kerajaan, dunia perniagaan dan masyarakat setempat. Selain itu, penglibatan kakitangan awam dan komuniti perniagaan dalam usaha itu turut dipuji melalui Perjanjian Integriti secara sukarela yang bukan sahaja memberi insentif tertentu malahan implikasi besar jika terlibat dengan aktiviti rasuah. Hershman turut mengaitkan ketelusan dan pembaharuan perundangan sebagai salah satu strategi penting bagi Malaysia menentang aktiviti rasuah terutamanya penubuhan mahkamah anti rasuah dan memendekkan perjalanan kes rasuah dalam tempoh 12 bulan sahaja. Peningkatan penggunaan pangkalan data elektronik untuk proses pemerolehan, akauntabiliti, memudahkan ketelusan penuh, kemampuan mengaudit serta penubuhan Akademi Anti Rasuah Malaysia turut dilihat satu kejayaan bagi Malaysia.

Walaupun masih ada ruang penambahbaikan, beliau mengakui sistem anti rasuah Malaysia masih dalam proses pembangunan tetapi menegaskan komitmen dan sasaran jelas telah ditonjolkan di bawah program transformasi untuk kerajaan dan ekonomi oleh Perdana Menteri. Bagi pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, apa yang ditulis Hershman itu merupakan satu pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kualiti pentadbiran dan pengurusan negara. "Usul Hershman agar Malaysia dijadikan model contoh negara luar dalam menentang rasuah bertepatan kerana kerajaan telah memberi kuasa besar kepada SPRM sehingga berjaya menurunkan kadar rasuah. "Rakyat kita juga perlu sedar keberkesanan usaha kerajaan menentang rasuah sedangkan orang luar sendiri telah memperakuinya," katanya.

Tegasnya, walaupun langkah-langkah yang diambil kerajaan positif dan berkesan, pengiktirafan terhadap kejayaan itu juga sesuatu yang penting. Menurutnya lagi, proses transformasi menentang rasuah sejak 2008 menggambarkan kesungguhan Perdana Menteri membawa pembaharuan dan meningkatkan kualiti dalam urus tadbir negara dan masyarakat. "Ini bagi menjamin kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat dan negara ini. Apa yang ditulis Hershman itu perlu dilihat secara positif dan secara meluas kerana ia satu pengiktirafan. Mereka yang kutuk atau kritik artikel beliau itu menunjukkan usaha memburukkan imej SPRM dan kerajaan di mata rakyat demi kepentingan peribadi, sedangkan ia benda baik dan berfaedah," ujarnya. Berkenaan komen negatif terhadap artikel Hersman yang dipaparkan melalui blog dan media alternatif, Mohamad Faisol beranggapan minda pemikiran dan sifat semulajadi pembangkang adalah untuk bangkang sahaja dan cuba mengaburi mata rakyat terhadap kebaikan yang dilakukan kerajaan.

"Malang bila orang kita sendiri runtuhkan negara sedang orang lain memuji. Masyarakat sepatutnya bersama membantu usaha menentang rasuah ini dan menilai hasilnya secara adil. Pembaharuan dalam sesuatu dasar akan mengambil masa dan tidak mungkin melihat hasilnya dalam sekelip mata," tegasnya. Beliau berpendapat proses transformasi minda dan sikap manusia berkaitan amalan rasuah adalah yang paling sukar dan akan mengambil masa panjang. Tambahnya, walaupun ada sudut yang boleh ditingkatkan, pengiktirafan antarabangsa dalam tempoh singkat program transformasi oleh Perdana Menteri menjadi bukti ia satu kejayaan bagi negara.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula berpendapat mereka yang jujur dan tiada kepentingan politik pasti dapat menilai apa yang dicapai Malaysia dalam menentang rasuah. "Bukan sahaja rasuah, kita juga telah berusaha keras mengurangkan jurang sosioekonomi antara orang kaya dan miskin, lebih-lebih lagi bila melibatkan jurang etnik. Bila satu kaum dilihat kaya dan satu lagi miskin, ini berpotensi membawa ketidakstabilan. Kita telah mengenalpasti masalah itu dan menjadikan usaha menanganinya satu agenda nasional," katanya. Usaha mengurangkan jurang antara yang kaya dan miskin itu tegasnya, juga dapat mengurangkan potensi berlakunya rasuah. Jelas beliau, Arab Spring berlaku apabila kumpulan majoriti merasakan mereka tiada apa-apa sementara yang minoriti dan pemerintah ada segalanya.

"Kita berjaya urus dan bangunkan negara sehingga kekayaan dapat dikongsi. Walaupun ada yang tidak berpuas hati, sekurang-kurangnya tidak sampai tahap rakyat merasakan tiada apa-apa. "Demokrasi sahaja tidak cukup, perlu ada dasar kurangkan jurang kaya-miskin, menentang rasuah dan pendidikan. Inilah resipi rahsia kita sejak merdeka," ujarnya. Tambahnya, kombinasi pelbagai faktor ini memainkan peranan penting dan sekalipun Malaysia tidak bersih sepenuhnya, sekurang-kurangnya negara ini tidak sekumpulan dengan negara yang teruk amalan rasuahnya. "Jika mahu banding, lihat kepada situasi rasuah di Indonesia, Thailand dan Filipina. Mereka juga ada demokrasi tetapi rasuah tetap banyak berlaku. Jangan pula dibanding dengan Singapura yang sudah capai negara maju serta pendapatan per kapita yang tinggi," tegasnya. Menurutnya lagi, Singapura juga lebih kecil dan penduduknya jauh lebih sedikit dengan sebilangan besar daripada mereka membayar cukai berbanding sekitar satu juta rakyat Malaysia sahaja membayar cukai individu.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
27 Jun 2012

ISU SOSIAL : UTAMAKAN DAHULU BELI RUMAH , BARU KERETA!


Rencana ini ditulis oleh :
NUR AMALINA ZAHARI
Pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
UiTM Shah Alam


Setiap manusia mempunyai keinginan memiliki kereta, keluarga dan rumah sendiri apabila bekerja kelak. Rumah atau tempat berteduh merupakan keperluan utama dalam kehidupan. Namun, dengan kos sara hidup yang saban hari kian meningkat, adakah memiliki kediaman sendiri hanya sekadar menjadi impian? Ini ekoran kenyataan membimbangkan dengan skala harga rumah yang terpaksa dihadapi oleh semua rakyat Malaysia pada 2020 apabila pendapatan rakyat Malaysia mesti mencapai RM12,000 sebulan untuk memiliki hanya sebuah rumah teres. Tidakkah ini amat menakutkan untuk ditempuhi oleh golongan yang baru menapak dalam pekerjaan atau generasi akan datang? Atau mungkin tatkala negara sudah di ambang negara maju, mata kita akan melihat longgokan penempatan di kaki lima jalan atau hanya di bawah jambatan dek kerana tidak mampu mempunyai kediaman sendiri.

Tambahan pula, kenaikan harga barangan keperluan yang menyebabkan wang semakin hilang nilainya. RM50 hanya sekelip mata habis dibelanjakan waima dengan hanya membeli rencah dan bahan-bahan untuk dibuat hidangan makan tengah hari sahaja. Bayangkan bagaimana golongan berpendapatan rendah dan sederhana terpaksa mencatu gaji bulanan untuk meneruskan hidup, lebih-lebih lagi di era yang segalanya perlu dibayar dengan wang. Namun isu kenaikan harga segala barang ini jika ditulis hingga kiamat pun tiada sudahnya, terus-menerus menuding jari pada sesetengah pihak sehingga berbuih mulut pun masih tiada nokhtahnya. Mengapa tidak di tuding jari di muka sendiri? Bukan menempelak sikap sesetengah pihak, tetapi jika dinilai gaji bulanan hanya cukup makan, namun berbelanja seperti mereka manusia paling kaya di dunia.

Anak-anak pula ditabur dengan segala kemewahan, dari permintaan telefon pintar, komputer tablet, pakaian berjenama, dan segalanya wajib tercanggih. Tidak kurang juga pelajar di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta, wang pinjaman dijadikan tiket berbelanja sakan mengalahkan ahli perniagaan lagaknya, hujungnya mi segera menjadi santapan harian dek kekeringan wang. Jika senario perbelanjaan rakyat Malaysia berterusan begini, tidak keterlaluan dikatakan impian untuk memiliki rumah sendiri akan hanya menjadi angan-angan. Dihitung secara kasar, ada logiknya rakyat harus mempunyai pendapatan RM12,000 sebulan untuk membeli sebuah rumah waima rumah teres pada 2020. Pada masa kini sahaja harga rumah di Malaysia sudah mencecah nilai jutaan ringgit, inikan pula di zaman maju 2020.

Senario kenaikan harga rumah untuk lima tahun kebelakangan ini, bukan sahaja setakat berlegar di kawasan Lembah Klang malah sudah mula berjangkit di sekitar Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang dan di sekitar Semenyih. Contohnya, beberapa lokasi harga rumah teres baru di Semenyih dengan keluasan 24×70 kaki (7×21 meter) kini sudah mencecah harga RM460,000. Harga rumah bersaiz 22×70 kaki pula sudah mencapai RM510,000. Harga rumah di Rawang untuk keluasan rumah 20×65 kaki dijual pada harga sekitar RM288,000. Dan harga rumah di Sungai Buloh bermain-main pada harga RM398,000 untuk keluasan 22×75 kaki. Senarai ini tidak termasuk lagi jenis rumah seperti Kondominium One Menerung di Bangsar yang seluas 2,000 kaki (185 meter) persegi dijual pada harga RM2.4 juta seunit. Sementara, sebuah rumah semi-D di Sri Hartamas berharga RM1.5 juta manakala rumah teres dua tingkat di Cheras bermula dari harga RM500,000. Tidakkah ini amat memeritkan?

Jawapannya, tidak lain tidak bukan, mula berjimat dan menabung sedikit demi sedikit. Bukankah lama-lama akan menjadi bukit? Bercakap memang mudah berbanding mengamalkannya, tetapi jika dibajai dengan kesabaran, hasilnya pasti lumayan. Kepada pelajar, jangan sia-siakan peluang belajar dengan tekun bagi mendapatkan kelas pertama demi menjadikan pinjaman bertukar kepada biasiswa. Kepada yang tidak mampu mendapatkan kelas pertama, belajarlah untuk berjimat mudah-mudahan dengan baki pinjaman masih di simpanan dapat meringankan beban untuk pembayaran kelak. Bagi mereka yang sudah mula bekerja, janganlah terburu-buru membeli kereta, jika masih mempunyai pilihan, gunakan kemudahan kenderaan awam seperti LRT, Monorail, Bas Rapid dan sebagainya. Dahulukan membeli aset seperti rumah dijadikan agenda utama di dalam hidup, kenderaan menjadi impian kedua. Jangan lupa, langsaikan dahulu bayaran balik hutang pinjaman anda.

Peranan ibu bapa pula, didik anak-anak berbelanja dengan berhemah, juga amalkan sikap suka menabung demi masa hadapan. Untuk lebih jimat, wujudkan walau sedikit ruang untuk menanam sendiri jenis sayuran yang sering digunakan untuk masakan, misalnya daun kunyit, cili, sawi, serai dan sebagainya. Hasilnya bukan sahaja jimat malah menyihatkan tubuh badan dengan dapat mengurangkan bahan-bahan kimia yang selalunya digunakan ke atas bahan mentah yang terdapat di pasaran kini. Penjimatan kos air dan elektrik juga perlu diambil kira. Hadkan penggunaan keduanya dengan sentiasa memastikan penggunaan air dengan kadar yang perlu sahaja, dan sentiasa pastikan tutup suis-suis elektrik yang tidak digunakan. Kesimpulannya, kita tidak akan dapat menyekat kenaikan harga setiap inci benda yang semakin meningkat saban waktu, berhenti menuding jari. Setiap permasalahan ada penyelesaiannya.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
27 Jun 2012

22 Jun 2012

ISU KESIHATAN : TUBUH UNIT KAUNSELING SAKIT MENTAL ONLINE


Rencana ini ditulis oleh :
DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI SABRI
Penyelaras/pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia


Jika disoroti sejak kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan pelbagai kes bunuh diri dan cubaan membunuh diri. Lebih terkejut, apabila ada golongan profesional seperti doktor dan peguam yang mengambil keputusan membunuh diri, ramai yang tidak dapat memahami kenapa jalan terakhir itu yang dipilih. Belum lagi dikira dengan kes terminum racun dan terjatuh bangunan. Jika orang dewasa yang matang tidak dapat mengawal perasaan, apatah lagi remaja dan kanak-kanak. Semuanya dikaitkan dengan tekanan dan konflik hidup sebagai puncanya. Masalah mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.

Kini, masalah mental menjadi salah satu ancaman utama kepada seluruh penduduk dunia dan penduduk Malaysia khususnya. Tinjauan Kesihatan Mobiliti dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental. Statistik ini amat menakutkan, iaitu satu angka yang tinggi kerana menunjukkan seorang daripada enam (1:6) rakyat negara ini ada penyakit mental. Pada masa kini, masyarakat menganggap mereka yang mengalami masalah mental sebagai satu ancaman kepada keselamatan awam kerana akhbar sering melaporkan pelbagai kes amuk, bunuh dan gangguan-gangguan yang dilakukan oleh mereka yang mengalami masalah mental. Keadaan ini menyebabkan masyarakat membuat tanggapan negatif kepada mereka yang mengalami masalah mental ini tanpa mengkaji sebab mereka berkelakuan sedemikian.

Ironinya kita tidak didedahkan secara sepenuhnya mengenai penyakit mental ini. Masyarakat hanya memandang pesakit mental adalah orang 'gila'. Tetapi jika diperhatikan kembali hanya terdapat segelintir masyarakat yang mempunyai pengetahuan mengenai masalah mental sahaja yang dapat menerima serta membantu pesakit mental. Saya ingin mengusulkan, melihat kepada perkembangan semasa ini, mungkin pendedahan boleh diberikan di peringkat sekolah memandangkan sekolah merupakan medium terbaik dalam penjanaan ilmu pengetahuan serta memupuk sikap para pelajar dan masyarakat. Pesakit mental tidak seharusnya dipinggirkan oleh masyarakat kerana mereka yang mengalami masalah mental mempunyai peluang untuk pulih semula dan menjadi sebahagian daripada masyarakat.

Mereka sepatutnya diberi perhatian kerana ada dalam kalangan mereka mengalami tekanan dalam hidup yang berat sehingga mereka cenderung menghidap masalah mental. Oleh itu, setiap individu perlu mengubah perspektif negatif mereka terhadap pesakit mental dan memberikan sokongan-sokongan yang diperlukan agar mereka tidak merasa terpinggir daripada kelompok masyarakat. Bagi saya wujudnya 45 jabatan psikiatri di seluruh negara di samping empat buah hospital mental untuk pesakit mental menjalani rawatan pemulihan dengan sebaik mungkin tidak memberi erti jika sikap prejudis masyarakat menghalang pesakit untuk mendapatkan rawatan. Di samping itu, saya menyarankan Klinik Mental 1Malaysia perlu diwujudkan di setiap DUN dan Parlimen. Ketika ini kita hanya ada 233 pakar sakit jiwa seluruh Malaysia untuk jumlah penduduk hampir 30 juta. Nisbahnya ialah 0.8 pakar untuk 100,000 penduduk. Satu angka yang tidak masuk akal. Sesuatu perlu dilakukan segera.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Negeri sebagai tunggak pengurusan orang Islam di negara ini perlu proaktif dengan menubuhkan unit kaunseling berteraskan online di setiap kariah, daerah dan negeri. Tapi perhatikan saja laman web mereka, ada yang tidak pernah dikemas kini berbulan-bulan lamanya. Saya bukan seorang yang anti-agama lain namun jika dibuat perbandingan dengan NGO lain seperti Befriender, mereka nampaknya lebih ke hadapan menangani isu ini sedangkan mereka hanya bergerak menerusi dana-dana 'sedekah'. Saya amat menekankan perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi kerana ia berperanan menyediakan ruang untuk mangsa tekanan mental meluahkan isi hati mereka. Kaunseling juga dapat memberikan nasihat agar membantu individu tersebut menyelesaikan masalahnya.

Kaunseling juga perlu diberikan kepada keluarga penyakit mental supaya mengurangkan tekanan mereka yang terpaksa menjaga pesakit. Dengan itu, jelaslah bahawa kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi merupakan satu langkah yang penting dalam mengelakkan tekanan mental. Bukan semua individu dapat menangani tekanan hidup dengan baik. Cara dan tahap seseorang menerima sesuatu tekanan adalah berbeza. Mungkin bagi individu A, masalah dihadapi individu B dianggap remeh, tetapi tidak bagi individu B. Begitulah juga sebaliknya. Harus disedari bahawa prinsip suka menyendiri akan cenderung ke arah sakit mental. Ini kerana menyendiri akan menyebabkan kita mudah mengikut rasa dan nafsu, apatah lagi kita akan mudah mengikut telunjuk syaitan. Justeru dalam hidup ini, kita perlu mempunyai hubungan yang akrab dengan keluarga dan rakan-rakan. Sedarlah kita perlu hidup bermasyarakat, dan tidak perlu kita menjadi 'kera sumbang' kerana siapalah kita tanpa masyarakat. Marilah kita belajar hidup bermasyarakat.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
22 Jun 2012