Rencana ini ditulis oleh
:
NURUL ANUAR KARI
Artikel penuh tulisan
Hershman itu boleh dibaca melalui laman web akhbar Huffington Post, www.huffingtonpost. com/michael-j-hershman/malaysia-anti-
corruption_b_1619111.html.
Pihak yang sering
mencanang Malaysia sebagai sebuah negara yang diselubungi rasuah minggu lalu
menerima tamparan hebat apabila sebuah media Barat mengangkat negara ini
sebagai model contoh dalam menentang aktiviti rasuah. Bagai meletakkan 'garam
ke luka' bagi musuh kepimpinan negara, penulis rencana itu juga adalah pengasas
bersama Transparency International, Michael J. Hershman yang menganggap sistem
anti rasuah Malaysia di bawah program transformasi Datuk Seri Najib Tun Razak
sebagai sesuatu yang komprehensif dan unik. Hershman dalam artikel bertarikh 22
Jun itu menasihatkan agar negara yang terlibat dalam rusuhan 'Arab Spring'
mahupun negara yang berisiko mengalami nasib serupa melihat kepada model
inovatif Malaysia dalam menentang rasuah, isu utama yang membawa kepada
kebangkitan rakyat di sana.
Antara contoh yang
dipuji beliau adalah penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
pada 2008, satu badan tetap bagi mengatasi kelemahan yang timbul dalam usaha
menentang gejala rasuah dalam kerajaan, dunia perniagaan dan masyarakat
setempat. Selain itu, penglibatan kakitangan awam dan komuniti perniagaan dalam
usaha itu turut dipuji melalui Perjanjian Integriti secara sukarela yang bukan
sahaja memberi insentif tertentu malahan implikasi besar jika terlibat dengan
aktiviti rasuah. Hershman turut mengaitkan ketelusan dan pembaharuan
perundangan sebagai salah satu strategi penting bagi Malaysia menentang
aktiviti rasuah terutamanya penubuhan mahkamah anti rasuah dan memendekkan
perjalanan kes rasuah dalam tempoh 12 bulan sahaja. Peningkatan penggunaan
pangkalan data elektronik untuk proses pemerolehan, akauntabiliti, memudahkan
ketelusan penuh, kemampuan mengaudit serta penubuhan Akademi Anti Rasuah
Malaysia turut dilihat satu kejayaan bagi Malaysia.
Walaupun masih ada
ruang penambahbaikan, beliau mengakui sistem anti rasuah Malaysia masih dalam
proses pembangunan tetapi menegaskan komitmen dan sasaran jelas telah
ditonjolkan di bawah program transformasi untuk kerajaan dan ekonomi oleh
Perdana Menteri. Bagi pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian
Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, apa yang
ditulis Hershman itu merupakan satu pengiktirafan masyarakat antarabangsa
terhadap kualiti pentadbiran dan pengurusan negara. "Usul Hershman agar
Malaysia dijadikan model contoh negara luar dalam menentang rasuah bertepatan
kerana kerajaan telah memberi kuasa besar kepada SPRM sehingga berjaya
menurunkan kadar rasuah. "Rakyat kita juga perlu sedar keberkesanan usaha
kerajaan menentang rasuah sedangkan orang luar sendiri telah
memperakuinya," katanya.
Tegasnya, walaupun
langkah-langkah yang diambil kerajaan positif dan berkesan, pengiktirafan
terhadap kejayaan itu juga sesuatu yang penting. Menurutnya lagi, proses
transformasi menentang rasuah sejak 2008 menggambarkan kesungguhan Perdana
Menteri membawa pembaharuan dan meningkatkan kualiti dalam urus tadbir negara
dan masyarakat. "Ini bagi menjamin kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat
dan negara ini. Apa yang ditulis Hershman itu perlu dilihat secara positif dan
secara meluas kerana ia satu pengiktirafan. Mereka yang kutuk atau kritik
artikel beliau itu menunjukkan usaha memburukkan imej SPRM dan kerajaan di mata
rakyat demi kepentingan peribadi, sedangkan ia benda baik dan berfaedah,"
ujarnya. Berkenaan komen negatif terhadap artikel Hersman yang dipaparkan
melalui blog dan media alternatif, Mohamad Faisol beranggapan minda pemikiran
dan sifat semulajadi pembangkang adalah untuk bangkang sahaja dan cuba
mengaburi mata rakyat terhadap kebaikan yang dilakukan kerajaan.
"Malang bila
orang kita sendiri runtuhkan negara sedang orang lain memuji. Masyarakat
sepatutnya bersama membantu usaha menentang rasuah ini dan menilai hasilnya
secara adil. Pembaharuan dalam sesuatu dasar akan mengambil masa dan tidak
mungkin melihat hasilnya dalam sekelip mata," tegasnya. Beliau berpendapat
proses transformasi minda dan sikap manusia berkaitan amalan rasuah adalah yang
paling sukar dan akan mengambil masa panjang. Tambahnya, walaupun ada sudut
yang boleh ditingkatkan, pengiktirafan antarabangsa dalam tempoh singkat
program transformasi oleh Perdana Menteri menjadi bukti ia satu kejayaan bagi
negara.
Ketua Kluster
Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk
Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula berpendapat mereka yang jujur dan tiada
kepentingan politik pasti dapat menilai apa yang dicapai Malaysia dalam
menentang rasuah. "Bukan sahaja rasuah, kita juga telah berusaha keras
mengurangkan jurang sosioekonomi antara orang kaya dan miskin, lebih-lebih lagi
bila melibatkan jurang etnik. Bila satu kaum dilihat kaya dan satu lagi miskin,
ini berpotensi membawa ketidakstabilan. Kita telah mengenalpasti masalah itu dan
menjadikan usaha menanganinya satu agenda nasional," katanya. Usaha
mengurangkan jurang antara yang kaya dan miskin itu tegasnya, juga dapat
mengurangkan potensi berlakunya rasuah. Jelas beliau, Arab Spring berlaku
apabila kumpulan majoriti merasakan mereka tiada apa-apa sementara yang
minoriti dan pemerintah ada segalanya.
"Kita berjaya
urus dan bangunkan negara sehingga kekayaan dapat dikongsi. Walaupun ada yang
tidak berpuas hati, sekurang-kurangnya tidak sampai tahap rakyat merasakan
tiada apa-apa. "Demokrasi sahaja tidak cukup, perlu ada dasar kurangkan
jurang kaya-miskin, menentang rasuah dan pendidikan. Inilah resipi rahsia kita
sejak merdeka," ujarnya. Tambahnya, kombinasi pelbagai faktor ini
memainkan peranan penting dan sekalipun Malaysia tidak bersih sepenuhnya,
sekurang-kurangnya negara ini tidak sekumpulan dengan negara yang teruk amalan
rasuahnya. "Jika mahu banding, lihat kepada situasi rasuah di Indonesia,
Thailand dan Filipina. Mereka juga ada demokrasi tetapi rasuah tetap banyak
berlaku. Jangan pula dibanding dengan Singapura yang sudah capai negara maju
serta pendapatan per kapita yang tinggi," tegasnya. Menurutnya lagi,
Singapura juga lebih kecil dan penduduknya jauh lebih sedikit dengan sebilangan
besar daripada mereka membayar cukai berbanding sekitar satu juta rakyat
Malaysia sahaja membayar cukai individu.
Pohon bersandar,
pohon cemara,
Menderu angin,
bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca
sahaja,
Tulislah komen,
berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
27 Jun 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan