JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Julai 2012

ISU SERANTAU : TOR-TOR, BERTINDAKLAH SEBAGAI NEGARA SAHABAT


Rencana ini ditulis oleh :
Ramli Abdul Karim


Ramai yang bertanya kepada penulis mengenai kesudahan kontroversi budaya Mandailing, Tor-tor dan Gordang Sambilan yang menyebabkan hubungan Indonesia-Malaysia sedikit goyah bermula 18 Jun 2012 yang lalu. Sebelum memperhalusi isu ini, wajar dijelaskan terlebih dahulu latar belakang kontroversi itu. Tor-tor dalam bahasa Mandailing bermaksud tarian, manakala Gordang Sambilan bermaksud gendang sembilan. Di pihak Malaysia tiada yang tersembunyi atau pelik apabila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada 14 Jun lalu menyatakan, kerajaan akan mengiktiraf kebudayaan Mandailing di Malaysia terutama tarian dan gendangnya.

Dalam ucapan selepas merasmikan Perhimpunan Anak-Anak Mandailing Malaysia dan pelancaran Persatuan Halak Mandailing Malaysia (Mandailing Malaysia) Daerah Gombak di Dewan Sri Siantan, Jalan Sungai Tua, Batu Caves pada petang hari berkenaan, Rais berkata: "Buat permulaan kita akan daftar Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan ini sebagai budaya suku kaum Mandailing di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005." Rentetan kontroversi bermula dua hari kemudian. Dengan tajuk 'Malaysia Klaim Tari Tor-Tor?' menerusi akhbar online Kompas pada 5.15 petang (6.15 petang Malaysia) 16 Jun lalu misalnya, menjadi antara peniup api kemarahan tidak rasional rakyat Indonesia. Artikel itu memetik laporan agensi berita Bernama mengenai kenyataan Rais tetapi mengubah suai tajuk asalnya. Ia dibaca 51,552 orang pelawat KOMPAS.com sehingga 3 petang, Jumaat lalu. Ia dikongsi (share) 3,764 orang ke akaun laman sosial peribadi atau kumpulan masing-masing di Facebook atau Twitter dan 3,764 orang yang menekan butang 'Suka' atau 'Like'.

Selain tajuk provokatif, KOMPAS.com menyelitkan foto tidak relevan sekumpulan penari Batak Karo dalam berita itu walaupun tarian yang dimaksudkan Rais adalah tarian Mandailing. Sepantas kilat, ia diulang kongsi dan diulang salin, sehinggalah menjelang petang esok (Ahad) dan malamnya, ia merebak ke jutaan akaun Facebook dan Twitter milik rakyat Indonesia. Keributan rakyat Indonesia lebih pantas memuncak apabila kebanyakan portal berita Indonesia turut memetik laporan Bernama itu. Mereka mengubah suai atau menulisnya ke bahasa Indonesia mengikut fahaman dan gaya tersendiri. Di Indonesia, perkataan "klaim" (dakwaan pemilikan) sangat sensitif. Sentimen dan api kemarahan rakyat Indonesia meledak sepenuhnya pada Isnin, 18 Jun. Televisyen, radio, akhbar dan portal serta edisi online akhbar di Indonesia mula memperbesar-besarkan isu ini. Tanpa segan silu dan rasa bersalah rakyat Indonesia mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat, cacian, penghinaan dan ugutan kepada Malaysia. Daripada orang biasa sehinggalah kepada tokoh masyarakat serta para pemimpin termasuk menteri dan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Indonesia melakukan penghinaan tahap paling rendah kepada Malaysia.

Ini termasuk kenyataan memperlekeh Raja-Raja Melayu, melabel Malaysia sebagai negara miskin budaya dan mengesyorkan negara ini dibom. Api kemarahan rakyat yang terus-terusan ditiup, mencapai tahap kemuncak ketidakwarasan apabila sekumpulan Pemuda Pancasila menyerang dan merosakkan bangunan Kedutaan Malaysia dan Malaysia Hall di Jakarta pada 22 Jun lalu. Dalam tempoh 18 Jun sehingga semalam, pelbagai andaian salah dibuat di Indonesia, antaranya:

1. KLAIM: Menuduh Malaysia mencuri Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan.

2. UNESCO: Andaian bahawa Malaysia telah ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk mendaftarkan kedua-duanya.

3. PATEN: Mentafsir secara salah bahawa mendaftarkannya di bawah Akta Warisan Kebangsaan bermaksud mahu mempatenkannya.

4. ASET NASIONAL: Mendakwa pendaftaran oleh Malaysia itu kerana mahu mengaut untung dengan mengkomersialkan kedua-duanya.

5. WARISAN: Mentafsir perkataan 'warisan' sebagai turut bererti pemilikan.

6. MANIPULASI UNDANG-UNDANG: Maksud klausa dalam akta itu termasuk pemilikan budaya berpindah kepada kerajaan jika warisan dijual, dimanipulasi. Ia sebenarnya khusus buat warisan ketara seperti bangunan dan istana. Kebudayaan adalah warisan tidak ketara yang mustahil dijual.

7. SENTIMEN RASIS TIDAK RELEVAN: Memfokus kontroversi kepada Tor-tor Batak Toba/Karo sedangkan yang berbangkit adalah tarian Mandailing yang dipersembahkan dengan iringan Gordang Sambilan termasuk Tor-tor Na Uli Bulung (ditarikan anak-anak gadis) dan dan Tor-tor Na Poso Bulung (tarian pemuda). Ia jauh berbeza dengan Tor-tor Toba dan Karo, kecuali berkongsi maksud perkataan tor-tor iaitu tarian.

Semua andaian salah itu dikutip daripada reaksi tidak rasional di Internet dan ketika diwawancara televisyen Indonesia atau ditemu bual wartawan akhbar mereka. Malangnya, daripada puluhan akhbar yang meminta penjelasan penulis, tiada seorang pun wartawan Kompas. Berbalik kepada persoalan mengenai penyelesaian isu ini dan apa yang dipelajari jika salah faham seumpamanya berulang, penulis berpendapat ia banyak bergantung kepada pihak Indonesia. Selagi perkara pokok, iaitu andaian-andaian mengenai "klaim", mencuri budaya, paten, aset nasional dan lain-lain menjadi asas pertimbangan Indonesia, ia tidak akan menemui titik pertemuan. Pemimpin dan rakyatnya perlu sedia mendengar penjelasan, berlapang dada, mengikhlaskan hati dan jangan secara tidak semena-mena mencurigai serta membuat penghakiman mendahului penjelasan.

Mempertahan

Penulis yakin, pemerintah Indonesia sejak dari dulu sentiasa meletak harapan tinggi untuk mempertahan dan mengekalkan hubungan sebagai negara berjiran dan negara bersahabat dengan Malaysia. Tetapi, mengimbas pendekatan Indonesia menangani kontroversi terdahulu seperti tarian Pendet dan Barongan (Reog Ponorogo) selain 'lagu Rasa Sayang', batik dan lain-lain, komitmen mengekang kontroversi daripada merebak masih boleh diperbaiki. Pantas mendapatkan gambaran tepat mengenai sesuatu isu dan segera memberi penjelasan kepada rakyat, antara yang boleh dilakukan. Paling utama, menghalang media memanipulasi salah faham sehingga meniup api kemarahan rakyat, sebaliknya turut berperanan meredakan kontroversi. Membuat kenyataan rasmi selepas beberapa hari atau minggu kontroversi merebak dan meledak, mungkin tidak membawa apa-apa makna lagi.

Sebagai negara berjiran, sebarang kontroversi boleh mengundangkan banyak kesan negatif. Pemerintah perlu berusaha menghalang atau mendidik rakyat supaya tidak menghiris perasaan rakyat Malaysia dengan kata-kata kejian. Ditegaskan, tiada seorang pun rakyat Malaysia mendakwa Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan serta budaya suku lain berasal dari Malaysia sebaliknya di Sumatera Utara bagi orang Mandailing, Kepulauan Jawa bagi suku Jawa dan Sumatera Barat bagi Minangkabau. Dalam mendepani realiti bahawa Indonesia dan Malaysia berkongsi 1,001 persamaan termasuk suku-suku kaum penduduknya, bahasa, kebudayaan, pakaian, makanan dan lain-lain, maka aspek "pemilikan" terhadap semua itu tidak sepatutnya dijadikan isu besar dan terlalu sensitif. Sempadan politik kedua-dua negara hanya mula ditandakan garis perbatasannya selepas Indonesia dan Malaysia masing-masing merdeka pada 1945 dan 1957.

Sempadan budaya masyarakat kedua-dua negara sebelum kemerdekaan itu terlalu luas. Ratusan tahun lalu, selain orang Mandailing, Jawa, Bugis, Minangkabau, Banjar dan lain-lain suku kaum rumpun Melayu atau Nusantara telah mengamalkan budaya suku masing-masing jauh lebih awal daripada tertubuhnya negara Indonesia mahupun Malaysia. Kesimpulannya, jika "pemilikan budaya" dalam konteks tafsiran sempit terus menjadi agenda besar di Indonesia; selagi media Indonesia berlumba-lumba menjadi juara melaga-lagakan kedua-dua negara; dan apabila istilah bahasa Malaysia enggan difahami secara tepat; tidak mustahil isu Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan bukan kontroversi terakhir.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
01 Julai 2012


Tiada ulasan: