Rencana ini ditulis oleh
:
Tan Sri Alimuddin
Mohd Dom
Pengerusi Yayasan
Guru Malaysia Berhad.
Lambakan maklumat di
alam maya boleh menimbulkan masalah apabila kita disogokkan dengan bahan yang
tidak ilmiah atau yang salah fakta. Karya asal atau tulisan tulen dalam bentuk
jurnal, ensaiklopedia, majalah, dokumen atau buku teks banyak tersimpan di
perpustakaan awam atau di institusi pengajian tinggi kadang kala sukar untuk
diperolehi jika dibandingkan dengan penggunaan komputer. Keadaan akan menjadi
tidak terkawal apabila terdapat penulis yang tidak beretika menulis sejarah
menggunakan fakta dan pendekatan yang salah. Demikian kerisauan yang diluahkan
oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Tan Sri Omar Hashim dalam
ucapan alu-aluannya semasa berlangsung Seminar Sejarah Malaysia yang diadakan
di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 20 Jun lalu.
Seminar yang
bertemakan ‘Sejarah, Etnisiti dan Identiti’ dihadiri lebih 200 peserta yang
terdiri daripada ahli-ahli PSM termasuk penggiat, peminat dan pelajar sejarah.
Objektif seminar adalah untuk mengetengah dan membincangkan isu-isu kontroversi
di sekitar sejarah tanah air. Ia turut meneliti permasalahan keetnikan dan
cabaran pembinaan identiti bangsa dalam konteks sejarah nasional. Ada pendapat
menyatakan bahawa penulisan sejarah boleh berubah mengikut perspektif dan
pendekatan yang dikehendaki oleh penulis dan persekitarannya. Sebagai contoh
semasa saya belajar di sekolah menengah lewat l960-an dalam mata pelajaran
Sejarah, JWW Birch Residen Perak yang pertama dianggap sebagai wira kerana
dibunuh di Pasir Salak ketika menjalankan tugas. Beliau dianggap berjasa kerana
bertugas atas restu Ratu Inggeris dan sedang berusaha melakukan transformasi
terhadap pentadbiran kerajaan negeri Perak terutama menyusun kembali penguasaan
kutipan cukai.
Namun demikian
apabila kita melihat sejarah melalui kaca mata kita sendiri maka wira
sebenarnya ialah mereka yang merancang dan membunuh petualang negara itu. Datuk
Maharajalela, Datuk Sagor dan rakan- rakannya dianggap sebagai pejuang ulung
yang menentang kemasukkan penjajah ketika itu. Langkah lebih berkesan telah
diambil oleh pihak penguasa tempatan apabila menukar semua nama jalan bernama
Birch kepada Maharajalela. Dalam konteks masyarakat majmuk penulisan sejarah
mempunyai kaitan yang rapat dengan etnik, kumpulan status, gender dan warga
generasi. Prof. Dr. Kamaruddin M Said dalam kertas yang bertajuk Kesedaran
Sosial dan Pentafsiran Sejarah menyatakan sebahagian besar penulisan sejarah
Malaysia dibina oleh nasionalisme Melayu khususnya pada pertengahan pertama
abad ke- 20. Dengan kejayaan UMNO menjadi pendukung utama kepada kemerdekaan
tanah air maka pentafsiran sejarah dari kaca mata nasionalis Melayu telah
diterima pakai dalam penulisan teks sejarah.
Namun demikian
akhir-akhir ini pentafsiran sejarah telah menerima saingan daripada pihak lain
secara lebih berani. Misalnya Chin Peng tokoh utama Parti Komunis Malaya (PKM)
telah menerbitkan memoirnya yang bertajuk My Side of History (Chin Peng 2003). Pentafsiran
Chin Peng terhadap sejarah kolonialisme dan kemerdekaan Malaysia adalah
antitesis kepada pentafsiran yang dibuat oleh nasionalis Melayu. Demikian juga
buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh penting PKM seperti Abdullah CD, Rashid
Maidin, Shamsiah Fakeh dan Ibrahim Chik menafsirkan sejarah ‘gerakan kiri’ dan
PKM daripada sudut pandangan peribadi masing-masing.
Demikian juga buku
yang berkisar peristiwa hitam 13 Mei 1969 selain buku yang dihasilkan oleh
Tunku Abdul Rahman bertajuk 13 Mei: Sebelum dan Selepas (Tunku 1969) dan buku
Tragedi 13 Mei: Suatu Laporan Majlis Gerakan Negara (Mageran 1969) yang
merupakan laporan rasmi kerajaan, terdapat juga buku lain yang melihat
peristiwa itu daripada perspektif yang berbeza. Antaranya buku yang ditulis
oleh Kua Kia Soong bertajuk May 13: Declassified Documents on the Malaysian
Riots of 1969 yang merujuk banyak dokumen Pejabat Rekod Awam, London. Sementara
itu buku yang bertajuk Patriots and Pretenders: The Malaysan People‘s
Independence Struggle (Kua Kia Soong 2011) mengetengahkan peranan yang
dimainkan oleh ‘golongan kiri’ dalam sejarah perjuangan kemerdekaan.
Sementara itu bagi
Abd Ghapa Harun yang membentangkan kertas bertajuk Memahami Permasalahan
Etnisiti dan Identiti dan Pengaruhnya ke atas Historiografi Negara Berbagai
Kaum, Malaysia menyatakan dalam mengidentifikasi permasalahan negara maka
peranan historiografi dan pendidikan sejarah adalah penting. Menurutnya
diagnosis ke atas historiografi akan dapat meneliti pengaruh dan kesannya ke
atas isu etnik dan identiti. Dalam abad ke-21, akibat proses globalisasi di
kebanyakan negara, isu kepelbagaian etnik dan perbezaan identiti semakin
ketara. Akibatnya isu keetnikan dan identiti semakin mendominasi arena politik.
Ia menyemarak apabila pelbagai kelompok masyarakat khususnya etnik minoriti
semakin kerap menuntut proses demokrasi dilaksanakan secara terbuka dan memperjuangkan
politik multikulturalisme. Memuncaknya isu tersebut mendorong para peneliti
sains sosial dan sains politik memberi perhatian mendalam terhadap implikasi
kepelbagaian tersebut ke atas proses pembinaan negara. Pelbagai saranan telah
dimajukan bagi menangani isu tersebut melalui penulisan, perbincangan dan
seminar.
Bagi negara kita
dengan pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan telah dapat mengurangkan isu
keetnikan dan identiti tersebut. Pendidikan menekankan konsep perpaduan di
kalangan pelbagai etnik dan membina jati diri serta mengumpulkan kanak-kanak
belajar di bawah satu bumbung. Malah mata pelajaran Sejarah digunakan untuk
membentuk pemikiran pelajar dan menjadi alat penting bagi pembinaan negara
bangsa. Atas kesedaran tersebut Menteri Pelajaran menjadikan mata pelajaran itu
wajib dipelajari oleh semua pelajar. Sejarah bukan sahaja untuk mengenal asal
usul tetapi dapat dijadikan alat mengukuhkan jati diri bagi mengukuhkan
perpaduan pelbagai etnik yang menghuni negara ini.
Pohon bersandar,
pohon cemara,
Menderu angin,
bergoyang dahan,
Jangan sekadar,
membaca sahaja,
Tulislah komen,
berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
02 Julai 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan